Wednesday, November 24, 2010

Shimano Rapidfire Plus - Rahsia Yang Bukan Rahsia

"Tuas pelepas pada Rapidfire Plus boleh berfungsi dua arah. Pilih mana yang anda mahu".
Pengguna sistem gear Shimano mungkin sudah biasa dengan penukar gear jenis picu yang menggunakan teknologi Rapidfire. Pada penukar gear ada 2 picu, satu untuk menarik dan satu untuk melepaskan gear.

Picu penarik (picu bawah) digerakkan dengan menolak picu dengan ibu jari manakala gear dilepaskan dengan menarik picu pelepas (picu atas) dengan jari telunjuk. Shimano kemudian memperkenalkan pula sistem Rapidfire plus. Sistem yang hampir sama dengan Rapidfire dengan tambahan fungsi picu pelepas boleh digerakkan sama ada dengan menarik picu dengan jari telunjuk atau MENOLAK PICU PELEPAS DENGAN IBU JARI. Shimano panggil ini TWO WAY/DUAL RELEASE.

Mungkin ramai yang akan berkata "Ah...cerita sudah basi. Semua orang dah tau...". Sayapun ingat begitu sehinggalah saya jumpa beberapa orang yang tidak sedar akan kelebihan pada sistem Rapidfire Plus. Maka saya terdorong menulis tentang hal ini untuk mereka yang tidak sedar atau perasan tentang kehadiran sistem Rapidfire Plus pada basikal mereka.

Kalau anda tergolong dalam golongan yang berkata "Ooooooo...." sepanjang 6 harakat atau "Iye ke?" apabila membaca penulisan ini, eloklah anda mencuba penukar gear Shimano anda. Cuba tolak picu pelepas. Kalau picu pelepas boleh ditolak dan gear bertukar...Sah, penukar gear anda adalah sistem Rapidfire Plus. Bolehlah anda mencubanya dan bandingkan dengan pelepasan gear cara tarikan dengan jari telunjuk. Mana tahu anda lebih selesa dengan menolak?.

Cubalah....

Wednesday, November 17, 2010

Sebutir Permata Di Tengah Kotaraya

D i mana agaknya lokasi gambar di atas di ambil. Mungkin susah nak mengagak. Maklum kalau gambar denai kat mana-mana nampak lebih kurang serupa saja. Baik FRIM, Kiara, Ulu Yam, PCP dan seumpama. Bagaimana kalau aku katakan yang gambar di atas diambil di TAMAN TASIK PERDANA. Ada yang jatuh dagu? Ini betul-betul, bukan cubaan.


Siapa sangka di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur ada denai MTB. Tambahan pulak Tasik Perdana itu antara laluan biasa kayuhan malam GLC, tak pernah pulak perasan ada denai kat situ. Mungkin sebab biasa lalu situ waktu malam gelap kot. Kemudian, sampailah khabar ke telinga yang di Tasik Perdana ada denai mountainbike. Aku tak berapa ambil pusing. Biarlah...kalau adapun. Denai lain lagi berlambak kat KL nih...Sombong la konon.

Kitaran kehidupan meletakkan kita dalam situasi berbeza. Bila pergerakan terhad, nak berkayuh jauh dari rumah terhalang. Timbul balik minat untuk meninjau denai Tasik Perdana. Amik kau, hari tu sombong sangat. Sembang-sembang di chatbox BBSdan beberapa posting dari Facebook Khairul memberikan gambaran dan maklumat yang lebih lengkap sebagai panduan meneroka.

1 Nov 2010, Isnin. Aku kembali bekerja selepas seminggu bercuti. Dengan rencana sulit untuk meneroka denai Tasik Perdana selepas kerja, Sang Raksa aku heret ke pejabat. RnB hanya melihat saja bila aku mencelapak Sang Raksa pagi itu.

Petangnya selepas kerja, aku buru-buru salin kulit daripada baju pejabat ke baju kayuh. Beg messenger CheckerPlate besar gedabak warna oren aku sandang di belakang. Trafik petang sesak padat merangkak tidak menjadi halangan pada Sang Raksa. Meluncur ia pergi meredah Jalan Tuanku Abdul Rahman, membelok ke Jalan Parlimen dan akhirnya sampai ke Tasik Perdana dalam keadaan mencungap.

Lepas berehat sekejap, penerokaan bermula. Aku mulakan dari taman permainan (GPS N 03° 08.819 E 101° 40.895), menyusur laluan jogging ke arah timur. Kayuhan perlahan sambil mata melingas mencari kepala denai. Jam sudah 1830. Matahari meredup dan bertambah kelam di bawah rimbunan pokok jejawi besar yang tercongok di situ. Tu dia! (N 03° 08.786 E 101° 40.874) Nampak samar laluan di atas kawasan berumput melepasi bonjolan-bonjolan akar jejawi. Rumput menipis dan nampak macam bekas pijakan dan lenyekan tayar. Bermula pencarian dan penerokaan sebenar... Aku berkayuh masuk dengan perassan di bawah jangkaan. Dan... aku tersalah jangka. Denai sememangnya di luar jangka. Denai singletrack dalam rimba beralun naik turun membuatkan kita terlupa sebentar yang kita berada di tengah kotaraya. Muka denai bagaikan portal masuk ke alam dan dimensi lain...Aku kayuh gopoh gapah meninjau denai sementara sinaran mentari masih bersisa...

Salam perkenalan pertama tidak berlaku dengan baik. Aku sudah salah langkah rupanya. Aku sudah ikut arah pusingan yang di luar tabi'e. Padan la mencungap. Lebih mendaki daripada meluncur turun. Cerun curam pulak tu...

Sesi pertama di susul dengan sesi kedua dan ketiga beberapa hari kemudian. Sesi kedua masih takut-takut dan seriau-seriau sebab berkayuh seorang diri bila senja menjelang. Tambah pulak di tempat kejadian pernah ditemui mayat seorang perempuan kena bunuh. Sesi ketiga bertambah baik sebab aku sampai lebih awal dan...ada penunjuk jalan yang sudi mengiring. Terima kasih Khairul Token dan Faizal. Aku juga berkesempatan berjumpa dengan Abah, orang lama yang bertanggungjawab membina denai MTB di Taman Tasik Perdana.

Jadi apa yang istimewanya denai Taman Tasik Perdana? Pertama, ia terletak di tengah kotaraya Kuala Lumpur. Senang dan dekat untuk meluncur pergi sebaik habis kerja bagi mereka yang bekerja di tengah kota. Kedua, denainya pendek sahaja, sesuai untuk bermain selepas waktu kerja. Ketiga, lokasinya di Taman Tasik Perdana yang dipenuhi dengan berbagai kemudahan lain. Boleh bawa keluarga bersantai di situ sementara anda pergi berkayuh. Dan banyak lagi yang tak tersenarai di sini...

Jom kita teliti denainya dengan lebih terperinci. Sedia? Sekiranya anda berkereta, elok parkir di medan parkir berhampiran taman permainan di sebelah Lebuhraya Mahameru. Ruang luas dan ada kedai minum di situ. Dari situ boleh berkayuh santai ikut jalan Kebun Bunga hingga berjumpa cabang ke Jalan Tembusu. Ambil kiri ke Jalan Tembusu kemudian simpang ke kanan di depan Taman Rusa dan Kancil. Jalan berturap mendaki membawa anda ke muka denai (N 03° 08.578 E 101° 41.128). Denai singletrack di sebelah kiri laluan jogging hanya samar kelihatan.

Pembukaannya mendaki sederhana menyusur hampir selari dengan laluan jogging. Peneroka denai telah menjalankan tugas dengan baik menarah denai melalui padang rumput, menyelinap beberapa pokok dengan akar-akar berselirat merintang laluan. Anda dibawa daripada aras 60m ke aras 80m berhampiran dengan Planetarium Negara dalam jarak 350m.

Penat jerih anda mula berbaloi kerana denai akan mula menurun. Bermula perlahan kemudian berdesup turun laluan singletrack dengan kesudahan yang agak curam berhampiran terowong ke Muzium Negara. Sedap bermain downhill pendek dan pantas sejauh 300M.

Laluan bertemu kembali dengan trek jogging berturap. Jangan ingat denai sudah habis. Belok ke kiri kemudian di sebelah perdu buluh kuning di situ ada muka denai. Masuk ikut situ dan ikut laluan tepi lereng dan keluar kembali ke jogging track kira-kira 15M di hadapan.

Akan terbentang satu kawasan lapang dan landai. Ada pintu pagar yang berhadapan dengan Persiaran Mahameru. Denai bermula dari padang lapang, mendaki denai sempit di tepi lereng masuk ke dalam hutan sekunder. Satu luruan turun dengan belokan pantas ke kanan menyusul sebelum kembali tenang dan melandai pada satu kawasan lapang lagi. Jarak dalam 480M.

Sempat mencuri nafas seketika sebelum meneruskan pendakian. Laluan teduh dan suram di bawah lindungan pokok. Lantai denai dilitup daun kering. Memang terlupa terus yang sebenarnya anda sedang berada di tengah kotaraya. Cerun menaik dengan rintangan akar pada beberapa tempat. Denai melandai sekejap kemudian meluru pantas turun pada tebing curam. Larian terus pantas sehingga membawa anda ke lapangan ketiga.

Penutup kepada litar ini menjanjikan nada yang sama. Naik dan naik denai sempit yang mendakap lereng kemudian meluru turun. Kalau anda berhati kering, boleh belasah meluru laju dan melompat turun denai, selain dari bergolek turun macam biasa. Denai melandai bersebelahan trek jogging dengan akar-akar berselirat dan sepohon besar pohon jejawi tercongok di hadapan menandakan denai sudah di penghujungnya. Taman permainan yang disebutkan pada awal posting hanya beberapa meter di hadapan.

Laluan hampir 3km itu mampu membuat anda tercungap dalam keterujaan. Cukup untuk orang yang tak sempat ke denai lain pada hujung minggu. Cukup untuk melepaskan gian. Kalau rasa tak cukup, belasah satu pusingan lagi...Terima kasih pada Abah dan sukarelawan lain yang berusaha membina denai. Memang denai Taman Tasik Perdana bagaikan sebutir permata di tengah kotaraya untuk peminat MTB

Gambar-gambar ketikan kamera poket murahan boleh ditonton di sini.

Thursday, November 11, 2010

Rakap

D i mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di mana pengayuh MTB berpijak? Pada RAKAPlah. Apa? Tak pernah dengar? RAKAP tu pedal ikut sebutan orang utara. Untuk posting kali ini, mai semua pakat guna istilah RAKAP untuk pedal. Jangan marah noooooo...

Bang Chik Kelolo akan cuba bercerita, berceloteh tentang sifat-sifat rakap, jenis-jenis rakap yang biasa dipakai untuk MTB. Rakap ni tempat kita berpijak. Ada macam-macam jenis bergantung kepada jenis kayuhan. Eloklah dikenali rakap ini dengan lebih dekat supaya rakap yang dipilih sesuai dengan kegunaan dan bentuk kayuhan.


ANATOMI SEBUAH RAKAP



Secara amnya, sebuah rakap akan ada satu pangsi dan badan utama. Dari situ dikembangkan lagi rekabentuk kepada badan utama dan plet luar terpisah. Pada hujung pangsi ada umpar (spindle) yang berbebenang. Umpar untuk rakap dewasa diberi piawai saiz 9/16inci dengan bebenang 20TPI (thread per inch). Umpar ini akan disekerukan ke lubang pada lengan engkol. Bebenang pada umpar ini berbeza untuk rakap kiri dan kanan. Pada umpar kanan, alur bebenang mengikut putaran jam, manakala di sebelah kiri mengikut arah lawan jam. Bebenang kiri direka sedemikian bagi mengelakkan rakap lama-kelamaan melonggar disebabkan oleh precession. (putaran melonggar secara perlahan)

Untuk melincirkan putaran rakap, bebola (sama ada bebola butir atau bebola kedap) yang dilumur gris digunakan.

JENIS-JENIS RAKAP

Jenis rakap terbahagi kepada:-

  • Platform biasa
  • Platform "ganaz"
  • Sangkar
  • Berklip
  • Campur-campur rojak.

Platform Biasa

Rakap platform biasa

Jenis yang paling umum. Rakap peringkat permulaan. Permukaan pemijaknya rata. Ada yang dibuat dalam dua bahagian.  Bingkai luar dalam bentuk kepingan dan biasanya dibuat bergerigi untuk memberikan cengkaman. Ada juga yang dibuat seketul.  Yang kompak padat dibuat kecil daripada saiz biasa untuk mengurangkan berat. Bahan platform biasanya daripada besi, aluminum atau plastik. Rekabentuk asas dan mudah. Kelemahan utama rakap jenis ini ialah kehilangan cengkaman bila disalut selut dan lumpur. Pijakan mudah tergelincir.  Sesuai digunakan untuk belajar berkenalan dengan MTB, dalam cuaca kering dan untuk kayuhan atas tarmac.  

Platform "Ganaz"

Rakap platform ganas. Badan nampak tegap sasa dengan pin penambah cengkaman terjulur

Rakap platform biasa yang dimajukan. Badan disekalikan dengan tapak pemijak luar. Nampak seketul setongkol dan lebih berotot berbanding dengan platform biasa yang nampak terpisah daripada badan tengah dengan permukaan pemijak luar. Biasa diperbuat daripada aluminum atau magnesium. Lebih ringan daripada besi, lebih kuat daripada plastik. Untuk mengatasi masalah hilang cengkaman dalam selut dan lumpur, permukaan pemijak dipasang dengan pin. Pin akan melekat pada tapak kasut dan "memaku" kasut pada rakap bila dipijak memberikan pengayuh lekapan lebih mantap pada rakap. Namun, ada pulak bahayanya. Pin itu "buta" dan gemar memaku betis atau keting kalau tersalah langkah.

Rakap ini juga digunapakai kebanyakan pengayuh MTB terutama untuk disiplin lompatan (dirt jump), kayuh bebas (free ride) dan terjun bukit (downhill).


Sangkar

Serkup untuk memegang kasut dipasang pada rakap platform biasa.

Dalam bahasa Inggeris, sangkar ini disebut "TOE CLIP" atau "CAGE". Saya memandai terjemah ke "SANGKAR" sebab rupanya yang seakan sangkar. Ada juga kawan-kawan yang menyebut serkup mulut anjing kerana rupanya yang begitu.  Bentuk asasnya sebenarnya hanyalah rakap biasa tetapi dipasang sangkar tambahan.  Kasut pengayuh akan diserlumkan ke dalam sangkar dan sangkar akan memegang kasut daripada tergelincir.  Kaki pengayuh akan tersangkut pada rakap sepanjang masa.  Satu kelebihan yang nyata ialah tambahan prestasi kayuhan bila kayuhan belakang juga memberikan sedikit kuasa kerana kaki terlekat pada rakap.

Lecehnya memakai rakap jenis ini ialah pengayuh kena membiasakan diri memasukkan kasut ke dalam sangkar.  Sesuatu yang agak sukar dan melecehkan.  Pengayuh juga kena ingat untuk mencabut kasut daripada sangkar bila berhenti.  Kalau terlupa, boleh dapat hidangan jamuan tanah percuma.  Lagi perit kalau terjatuh atas tar atau batu.  Satu lagi kelecehan ialah, sangkarnya terletak pada satu permukaan sahaja.  Kalau anda malas menyarungkan kasut ke sangkar, sangkar itu akan bersagat dengan tanah.

Rakap jenis ini kurang popular di kalangan MTB dan jarang-jarang kelihatan.  Lebih banyak dipakai oleh basikal kembara (touring) dan basikal prewel mati (fixie).


Rakap Berklip

ATAC Z...Rakap berklip dengan platform dari Time.

Dari Shimano Pedaling Dynamic - Rakap XT M-770.

Ini bab yang agak sukar dan mencabar.  Lebih sukar dan mencabar dari berkayuh naik ke puncak helipad di Bukit Steroid, FRIM.  Macam mana nak terjemah "clipless pedal"?  Istilah bahasa inggeris itu sendiri mengelirukan.  Macam mana rakap dikatakan "tanpa klip"  sedangkan bila berkayuh mereka menyebut "clip in".  How do you clip in when it is clipless???  [sekali aku cakap orang putih daaaa....]. Pelik sungguh perlakuan orang Inggeris ni.  Disebabkan kecelaruan ini, saya menggunakan kuasa yang ada pada saya untuk menggunakan istilah "rakap berklip" untuk clipless pedal.  Ha..lantak kamu, janji orang faham.  Dan sayugia diingatkan istilah berklip di sini tidak sama sekali bermaksud berkelip macam lampu lip lap rumah mami masa raya tu.

Baik,  dah selesai persoalan istilah.  Kita terus ke bab rakap berklip itu sendiri.  Rekaan rakap ini memang jauh berbeza dengan rekaan rakap yang dibincangkan di atas.  Rupanya agak futuristik.  Bentuk platform tidak jelas kelihatan.  Sekali pandang macam kapal angkasa dalam cerita sains fiksyen.

Umumnya, pada rekaan rakap jenis ini akan nampak terjulur spring pada permukaannya.  Sama ada 2 spring, satu pada setiap permukaan, atau 4 spring.  rekaan 2 spring ini terdapat pada rakap Shimano SPD, Time, Atomlab dan beberapa pengeluar lain.  Crank Brothers tampil dengan rekaan 4 spring.  Sama ada 2 atau 4 spring, fungsinya sama, guna untuk menangkap kelit (cleat).  Kelit adalah alat  yang berupa plet kecil dalam bentuk khusus yang akan melekat pada spring pada rakap.  Kelit dipasang pada tapak kasut khas untuk rakap berklip.  Dan mujurlah pengeluar telah sepakat dengan satu piawai untuk lubang pada tapak kasut untuk memasang kelit.

Setakat hari ini, rakap rekaan inilah yang dikatakan paling cekap.  Dikatakan prestasi berkayuh dan mendaki boleh meningkat dalam lingkungan 10% hingga 20%.  Ini terhasil melalui daya tujahan semasa kayuhan belakang (back pedal).  Kalau kaki tak melekat pada rakap, kayuhan belakang tidak menghasilkan daya.  Sebaliknya, masih ada daya kayuhan pada angkatan kaki bila kaki melekap pada rakap.

Faedah kedua ialah menghilangkan kerunsingan kaki tergeleceh ketika sedap enak lazat melayan terjunan bukit, bahagian bergegar dan berbonggol.


Kelit untuk rakap Time
Akan tetapi...(bila keluar perkataan yang rasa tak berapa sedap ni), ada beberapa kelemahan juga pada rakap berklip ini...antaranya:-

  • mahal.  Secara bandingan, kategori rakap ini adalah yang termahal di antara semua jenis rakap.
  • perlukan kasut khusus.  Anda tak boleh sesuka hati menyarungkan kasut futsal, kasut jogging untuk berkayuh menggunakan rakap ini.  Kasut mesti menggunakan kasut untuk rakap berklip.  Juga kurang sesuai untuk berkayuh dengan selipar atau sandal jika ingin berkayuh untuk ke kedai dekat rumah dan sebagainya.
  • Tidak mudah pindah tukar.  Kalau anda ada lebih dari satu basikal, anda perlukan lebih daripada sepasang kasut.  Melainkan kalau anda pasang rakap jenis kelit yang sama pada semua basikal.
  • jatuh bodoh.  Ini biasa berlaku bila kaki tidak sempat melepaskan rakap bila berhenti.  Jatuh bodoh ini sesungguhnya memanglah terserlah kebodohannya.  Sering berlaku pada mereka yang baru menggunakan rakap berklip.  Sesekali juga berlaku pada orang lama terutama ketika berhadapan dengan denai teknikal.  Kaki tak sempat dilepaskan daripada rakap.  Dan jadilah aksi stunt gerakan "pokok tumbang".     

Memang peringkat awal menggunakan rakap berklip ini, anda akan dihantui cabaran melekatkan kasut pada klip dan "jatuh bodo".  Peringkat awal, anda akan terdorong untuk melihat rakap untuk melekatkannya.  Tergagau dan terkial pada peringkat awal itu biasa.  Satu lagi igauan rakap berklip ialah "jatuh bodo".  Setakat empat lima kali itu dikira biasa saja dan sebahagian dari latihan dan proses pembiasaan.  Anda perlu seringkali mengingatkan diri anda supaya menari "twist" untuk menanggalkan kaki dari rakap. 

Apabila sudah mahir,  gerakan putaran kaki itu tidak lagi menjadi sesuatu yang perlu diingatkan.  kaki seolah ada memori sendiri dan dengan sendiri akan memutarkan diri untuk membebaskan dari lekatan pada rakap secara mudah, cepat dan bersahaja.


Campur-campur rojak

Macam makan kat kedai mamak pulak.  Yang bercampurnya ialah sifat dan ciri.  Campuran yang lazim ialah rakap platform dengan rakap berkelip. Satu permukaan pada rakap dipasang klip, manakala satu lagi dikekalkan rupa platform.  Rakap dibuat demikian kononnya untuk membantu mereka yang baru nak berjinak dengan rakap berklip.  Entah berkesan entah tidak sebab beberapa pengayuh yang saya perhatikan menggunakan rakap jenis ini lebih cenderung untuk tidak klip.

Itulah sedikit sebanyak celoteh BC KeLoLo pasal rakap MTB.  Tak ada kena mengena dengan basikal road mahupun basikal roada tiga.  Rakap mana yang terbaik?  Tepuk peha tanya kaki.  Anda harus pilih sendiri.  Pilihan ikut kesesuaian dan disiplin kayuhan...Selamat merakap.

Saturday, November 06, 2010

Grip Ergonomik

Grip rekaan ergonomik dengan unjuran "sayap".
A ntara keringsaan yang terpaksa ditanggung bila berkayuh ialah keringsaan pada pergelangan tangan bila berkayuh lama-lama.  Terasa pedih dan menyucuk.  Pedih pada luaran,menyucuk pada sendi.  Terpandang grip dengan rekaan agak pelik.  Grip yang ada unjuran macam sayap.  Ada bermacam jenama.  Nampak macam pelik.  Kononnya ergonomik.  Iya ka?

Tiada cara lain selain dari mencubanya sendiri.  Sepasang disarungkan ke bar hendal Sang Raksa.  Mula-mula agak kekok.  Terasa macam ada benda menolak-nolak pada tapak tangan.  Bahu terasa makin sakit.  Lebih sakit daripada pakai grip bulat biasa.  Ishhh...tak ergolah macam ni nampak gayanya. Satu lagi keghairahan pemasaran daripada pengeluar?

Perlu sedikit masa untuk kenal pasti aras yang sesuai dan optimum bergantung pada penunggang individu.
Saya semak balik pemasangan.  Teringat balik rasa-rasa tolakan pada bahagian tapak tangan yang tertekan pada bahagian grip yang mengunjur itu.  Hmmmm...mungkin sebab "sayap"nya di pasang tinggi kot.  Saya cuba genggam kembali dan perhatikan titik sentuhan tapak tangan dengan sayap.  Saya turunkan sedikit aras sayap sehingga tidak terasa sangat tolakan daripada grip.  Cukup sekadar meletakkan tangan dengan sedikit sokongan daripada sayap. Kemudian terus ke medan ujian. Beberapa pelarasan kemudian, titik keselesaan optimum dicapai. Dan...ternyata "sayap" pada grip itu membantu meredakan keringsaan. Tapak tanga kurang kebas. Pergelangan tangan kurang sengal. pada tapak tangan dan bahu. Kayuhan XC lama-lama terasa lebih selesa dan tekanan pada bahu juga berkurangan. Keseluruhan pegangan dan tekanan pada legan dan bahu tidak terlalu terasa menjadikan kayuhan lebih selesa dan menyeronokkan. Memang ergonomik.  

Monday, October 11, 2010

MLP-1 Playar Master-Link dari Park Tool

Playar ParkTool MLP-1 master-link plier.

P layar dalam gambar di atas memang pelik. Perhatikan muncungnya. Tak bercantumpun walau pemegangnya ditekan habis. Nak boleh buat sepit apa kalau muncung tak bercantum? Teruskan membaca...

Playar ini ialah playar ParkTool MLP-1. Playar ini berkaitan dengan rantai. Lebih tepat lagi dengan penyambung rantai jenis master-link. Penyambung dua keping yang terpisah digunakan untuk menyambung rantai basikal. Dengan link, penyambungan lebih cepat dan mudah berbanding menggunakan teknik potong-dan-sambung.

Menanggalkan master-link cukup mudah dengan playar ini

Menyambung memang mudah, tapi nak menanggalkannya pula satu hal. Cukup susah kalau link sudah lama melekat pada rantai. Datanglah playar ini untuk menyelamatkan keadaan.

Daripada terkial-kial menggunakan playar muncung untuk cuba menanggalkan master-link, playar ini cuma memerlukan 2 saat untuk mengeluarkan master-link. Cuma masukkan muncung playar pada pin dan kacip. Master link akan tertanggal. Semudah itu.

Monday, October 04, 2010

Prewel Loose

B ayangkan tengah anda sedap-sedap kayuh tiba-tiba kayuhan terasa ringan sangat. Crank berpusing, rantai berputar, tetapi basikal tak bergerak. Pemeriksaan ringkas kemudian mendapati freehub anda berpusing secara bebas ikut suka hati dia sama ada anda kayuh ke depan atau ke belakang. Bunyi detikan dari hub mahal anda tidak kedengaran bila dikayuh ke belakang. Haru?

Berita buruk untuk anda. Basikal anda telah terkena penyakit "PREWEL LOOSE". Freehub anda tidak lagi menangkap gigi hub untuk memutarkan tayar belakang anda. Freehub direka supaya daya tujahan pada engkol dipindahkan ke tayar pada satu arah kayuhan sahaja. Bagaimana kalau tujahan kayuhan pada kedua-dua arah menjadi loose? Kosong, tiada pindahan daya? Sah sesuatu telah berlaku kepada hub/freehub anda.

Freehub Spinergy Fall Line yang diselaputi keladak adunan gris, tanah dan lumpur.

Satu masalah yang biasa ialah apabila keladak minyak, tanah dan selut dalam freehub body telah bergumpal kental sehingga menyebabkan jetap (pawl) tidak boleh bangun. Bila jetap tidak boleh bangun, tidak ada rintangan/sangkutan pada hub bila freehub diputarkan, maka tiada pindahan daya. Berpusing setempatlah anda.

Luangkan sedikit masa untuk memeriksa freehub anda bagi mengelakkan masalah ini. Lagi kerap anda berkayuh dalam keadaan berair dan berlumpur, lagi kerapa anda perlu memeriksa hub dan freehub anda.

Kita tak akan bincang bagaimana cara membuka freehub. Cuma secara ringkas akan diceritakan gejala yang perlu diperhatikan dan bagaimana membersihkannya. Sila rujuk website lain cara-cara membuka freehub.


Bahan-bahan diperlukan:

  • Pelarut (degreaser). Saya guna minyak diesel kerana ia tidak terlalu “tajam”. Cukup untuk melarutkan gumpalan gris. WD40 tidak digalakkan kerana ia boleh menyelinap masuk ke dalam hub dan bearing.
  • Berus gigi lama. Guna untuk menyental kotoran degil.
  • Takungan. Saya guna botol minyak enjin yang dibelah dua.
  • Kain buruk.
  • gris

Perhatikan freehub yang telah dibuka. Jetap berada pada kedudukan separas dengan permukaan gelung freehub. Sisa gris sudah menghitam dan menggumpal pekat menyelaputi jetap hingga jetap hilang upaya untuk bangun. [macam masalah orang lelaki pulak].

Caranya:

  1. Jetap dipegang pada gelung hub dengan spring cincin. Cari bahagian yang putus pada spring cincin itu. Cungkil keluar spring cincin. Pastikan cungkilan dibuat di atas takungan supaya kalau jetap tecabut dan terjatuh, ia akan masuk ke dalam takungan.
  2. Rendam spring dan jetap dalam pelarut selama beberapa minit. Sambil itu, celup berus gigi ke dalam pelarut dan beruskan permukaan gelung pada freehub. Perhatikan lurah spring cincin dan lubang jetap. Pastikan lurah spring cincin dan lubang jetap bersih dari kotoran. Selepas bersih, lapkan gelung freehub hingga kering.
  3. Sembur atau sapukan pelarut pada gerigi hub. Berus dengan berus gigi untuk membuang keladak dan gumpalan. Berus hingga bersih. Kemudian lap hingga kering
  4. Sapukan minyak gris pada gelung freehub, lekuk jetap dan lurah spring cincin. Sapu gris seadanya. Jangan terlalu banyak. Ia akan "memberatkan" putaran freehub anda dan...mennyenyapkan bunyi detakan hub mahal anda.
  5. Pasang jetap pada lekuknya. Gris yang disapu akan membuatkan jetap melekat pada tempatnya.
  6. Pasang spring cincin. Selepas spring cincin dipasang, jetap akan bangun. Uji tekan jetap untuk memastikan jetap boleh turun dan naik dengan bebas. Kalau jetap tak bangun selepas spring cincin dipasang, periksa semula untuk memastikan jetap dan spring dipasang dengan betul.
  7. Sapu gris pada gerigi pada hub.
  8. Pasang kembali freehub ke hub.
Selesai proses mencuci freehub. Pasangkan kembali kaset. Pasang kembali tayar. Uji kayuhan untuk memastikan freehub tidak lagi loose.

SEMOGA MEMBANTU...

Sunday, October 03, 2010

Selepas Diintip...

Aku pernah menceritakan kebimbangan aku bila sekumpulan manusia yang mencurigakan membuatkan aku terasa seolah aku diintip. Peristiwa berlaku dalam bulan Jun. Tiada apa-apa yang luarbiasa berlaku selepas peristiwa itu. Maka aku diamkan sahaja. Mungkin aku cuma perasan. Rupanya, pihak yang mengintip tidak duduk diam begitu saja. Dalam diam mereka telah merencanakan sesuatu. Dan…hanya baru-baru ini, selepas 3 bulan, rahsia intipan itu terbongkar. Tiada selindung lagi. Mereka memang telah mengintip aku dalam usaha membongkar sesuatu tentang diri aku. Apakah yang telah mereka bongkarkan? Adakah aku telah terlibat dengan kegiatan subversive yang boleh mengancam keselamatan negara? Adakah aku telah terlibat dalam skandal “perbuatan-perbuatan melampau”? Adakah aku seorang "racist" yang boleh mengundang Namewee supaya menggubah satu lagu rap mengkritik aku? Carilah jawapannya sendiri dalam majalah Cycling Asia isu # 5.


Gambar dicilok tanpa izin dari Cycling Asia

Friday, October 01, 2010

Sang Bara Ekor Keras???

Cuba perhatikan gambar ini...Nampak sesuatu yang tak kena dan tak sepadan??? Tak nampak lagi?  Tak perasan lagi? Cuba perhati baik-baik...



Apa yang luarbiasa pada gambar ini?
Kalau dah nampak, bagus! Kalau tak perasan jugak, saya ceritakanlah. Itu...ampaian belakang (shock) basikal tu. Kan dah berganti dengan sebatang besi.

Ini bukan cubaan menukarkan basikal Banshee Pyre full suspension ini kepada basikal ekor keras (hard tail).  Batang besi dipasang sementara supaya basikal tidak "runtuh" sebab ampaian Fox Float RP23 yang sepatutnya berada di situ telah rosak. Minyak meleleh keluar melalui tombol pelaras lantunan. Kerosakan dikesan bila basikal hendak disiapkan untuk memulakan kayuhan selepas raya.

Ampaian Fox Float RP23 itu baru berusia 16 bulan. Datang bersama dengan kerangka Sang Bara. Sang Bara adalah basikal XC/AM. Memang itu gaya kayuhan saya. Cuma sesekali Sang Bara dibawa berlasak sedikit di PCP. Tapi...tidaklah sampai melompat dengan ketinggian 3, 4 kaki. Hanya bermain di bonggol-bonggol kecil pada denai.

Semakan pada manual Fox mendapati yang memang servis minyak disarankan dalam tempoh kurang lebih 18 bulan. Dah sampai masa la kot!

Fox memang jenama gah dalam bidang ampaian. Tetapi, di Malaysia, tak ada satupun pusat servis untuk ampaian Fox. Susah sungguh kalau nak servis ampaian Fox.  Ngapalah Fox tak nak buka service center kat 1Malaysia Boleh ker ni?


Wakil Fox untuk Malaysia, Singapura dan Indonesia ialah Kian Hong Cycle.  Terpaksa hantar shock ke Singapura untuk diservis.  Maklumat lanjut bagaimana untuk menghantar ampaian untuk diservis dan anggaran caj yang dikenakan boleh dilihat di sini. Apa akan berlaku seterusnya setelah barang dihantar secara pos ke Singapura? Kos penghantaran dengan Poslaju ke Singapura hampir RM50. Saya memilih menggunakan pos biasa sahaja dengan kos RM18.50. Mujur kos menghantar balik ditanggung oleh KH Cycle.

Datang kembali untuk kemaskini cerita ini.

K R O N O L O G I

29/09/2010Hantar shock ke KH Cycle. Poslaju caj RM40 lebih. Terkejut cipan aku. Tukar kaedah penghantaran ke pos biasa. RM18.++ sahaja.
11/10/2010Lepas lebih 10 hari menunggu, tiada maklumbalas daripada KH Cycle. Sampai ke tidak? Aku tulis e-mail minta KH Cycle confirm penerimaan. Manalah tahu kot hilang dalam penghantaran. Tak ke naya.
12/10/2010Enoch dari KH Cycle balas e-mail memaklumkan shock sudah selamat sampai ke KH Cycle. Aku balas minta Enoch maklumkan jenis servis yang diperlukan dan anggaran kos.
22/10/2010Enoch dari KH Cycle hantar e-mail memaklumkan shock sudah siap diservis. Kos pembaikan SGD125. Terkejut aku. Sepatutnya depa kena bagi tau dulu apa nak dibaiki dan berapa anggaran kos. Ni tidak, tau-tau dah siap. Mujur kos lebih kurang RM300 tu dalam anggaran aku. Buatnya mencanak, mana nak cekau. Bayaran terus dibuat menggunakan PayPal pada hari yang sama.
26/10/2010Satu bungkusan FedEx tercongok atas meja. Shock sudah sampai balik! Kos penghantaran balik ditanggung olah KH Cycle. Lengkap kitaran daripada 29/09/2010 hingga 26/10/2010. Hampir sebulan.

The Biking Chronicles of Pedal Bob Braino # 8 - "That Ain't No Duck!"

Oone fine morning, Pedal Bob rode a tight twisting singletrack. Approaching a blind, tight switchback, he heard the rider in front of him yelled "DUCKKKK!". He looked at the switchback and saw a junglefowl perching on the branch of a small tree beside the turn. He negotiated the switchback, head turned as if glued to the fowl and yelled loudly, wanting to correct the rider in front of him, "THAT AIN'T NO DUCK, THAT WAS A CHIC.....". Before he could finish his yelling, there was a loud smack. The branch dangling across the trail gave Bob a mighty fine slap on his face. That was for not ducking...

Friday, September 03, 2010

FRIM...Penuh Krim!

F RIM. Forest Research Institute of Malaysia INSTITUT KAJIAN PERHUTANAN MALAYSIA - Satu kawasan hutan rimba terpelihara di pinggir bandaraya Kuala Lumpur. Memasuki kawasan FRIM bagaikan berada di alam lain...Alam cerita dongeng dengan pari-pari barangkali. Untuk peminat basikal lasak, FRIM menawarkan jaluran denai yang mengujakan.

Sekian lama, FRIM menjadi medan perkenalan dengan mountainbiking. Sesiapa yang mahu menempa "penyakit" berbasikal lasak memang disaran mencuba FRIM dulu kerana denai tahap sederhana FRIM memang sesuai untuk mereka yang masih berdarah manis. Itu dulu!

Dengan hadirnya gerombolan pembasikal lasak di kalangan kakitangan FRIM sendiri, denai FRIM beransur berubah wajah. Denai lebar tahap sederhana mendapat unjuran-unjuran baru. Denai sempit yang dengan kecerunan menyirap darah dihias dengan akar-akar berselirat. Cuaca basah pula akan menambahkan lagi perisa kayuhan dengan denai licin dan berlumpur. Bersiaplah untuk mencium tanah!. BC KeLoLo akan membawa anda menggapai impian, di THE DREAM dan menggelitik kegelian pacat di PACAT TRAIL. Sedikit sorotan juga pada denai-denai lain yang tidak kurang panasnya.

MENGGAPAI IMPIAN - THE DREAM

Sedikit sejarah ringkas The Dream. Pembinaan bermula sekitar Mac 2006 dengan restu pengarah FRIM sendiri. Aliran denai adalah cetusan minda Pat Brunsdon, seorang veteran dalam pembinaan denai, dengan bantuan kakitangan FRIM dan sukarelawan peminat MTB lain. Pembinaan Dream adalah gabungan usaha menghidupkan denai lama dan terbiar, dan pembinaan denai-denai baru menggantikan denai lama yang kurang sesuai.

The Dream membuka lembaran baru dalam denai di FRIM. Denai lain lebih bersifat denai lebar, beralun mudah tanpa banyak cabaran teknikal. The Dream membawa pembasikal lasak ke satu tahap lain. Jaraknya dikira pendek sahaja. Lebih kurang 1.7km. Tapi, jarak pendek itu jangan dipandang sinis...Jom kita kayuh The Dream secara maya (i.e. dengan leteran dan bebelan BC KeLoLo)

Jalan Bukit Bujang...Gerbang utama mencari mimpi.

The Dream memulakan mimpi dari Jalan Bukit Bujang. Jalan tar mendaki. Dah berpeluh keting memanjat jalan tar ini. Lebih kurang 150m, akan bertemu simpang jalan denai. Anda boleh belok kiri untuk jalan pintas atau terus saja ikut jalan tar.

Terus akan membawa ke penghujung jalan tar dan bersambung dengan denai lebar. Berkayuh nyaman di bawah naungan rimbunan pohonan tua. Tenang, nyaman dan menyegarkan. Sesekali kena bertepuk bertampar dengan nyamuk tempatan yang sememangnya ramah tamah menyapa tamu. Jalan beralun dengan beberapa pendakian manja buat pemanas keting. Jalan lengkok U itu akan bertemu kembali dengan jalan pintas tadi. Belok kanan bila bertemu simpang T dan kepala denai ke Dream akan terbentang di depan mata.

Gambar diambil dari simpang denai. Kayuh ke arah denai atau teruskan kayuhan ke jalan tar sebelah kiri di dalam gambar. Pemanas badan...denai lebar di bawah teduhan pohonan rimba.

Jalan pintas belokan kiri pada jalan denai juga menawarkan senario yang sama. Muzik latar kayuhan disulam bunyi tayar menggerutup dedaun dan ranting kering sambil riang-riang bersahut-sahutan mendendang irama hutan acapella.

Pintu masuk ke dunia mimppi...
Bermacam perisa ada...batu, kayu, akar, lumpur...

Denai lebar tiba-tiba melebar dan terhenti bagaikan sampai ke satu halaman di dalam rimba. Laman bagaikan taman bunian. Sayang sedikit kadang tercemar dengan sepahan botol air mineral dan pembungkus makanan. Bilalah rakyat Malaysia boleh bersikap lebih beradab dan bertamadun menghormati dan memelihara alam? Biasa di situ, pengayuh akan berhenti sebentar. Mengambil nafas sambil menunggu kawan-kawan yang lain sampai. Sekali pandang memang tak perasan ada denai kecil menyusur turun dan melibas ke kanan. Selamat datang ke Dream...bermula impian (atau mimpi ngeri) anda.

Denai sempit bagaikan terselindung di sebalik pohonan renik. Lantai dihias akar sebesar lengan melintang laluan. Cerun sedikit menurun memungkinkan kemasukan dengan lajakan. Tak perlu turunkan pelana. Sedia dengan gear belakang tengah, depan tengah. Kayuh dengan cadence sederhana. Tujahan keras diperlukan pada beberapa tempat untuk melepaskan rintangan akar. Denai sempit mendakap lereng, mendatar pada mulanya...

Makin lama batu makin besar.

Selepas belokan kiri pertama, akar makin bertambah, batuan sebesar bola pula diadun bagi menambah perisa. Alur mula menurun. Kalau takut-takut dan kurang kemahiran, memang cuak dan melelahkan. Lebih baik seru semua keberanian dan kemahiran. Jaga keseimbangan, pindahkan berat ke belakang pelana, berdiri dan bersedia untuk bermain-main brek. Jangan dikacip mati, cukup sekadar lenturan tuas perlahan dan berdikit sekadar memperlahankan basikal. Dan...meluncurlah. Perhatikan laluan mendatang dan bersedia. Ada satu dua bahagian yang ada senggang setinggi sekaki hingga satu setengah kaki. Dengan ampaian, sedikit kelajuan dan keberanian, senggang boleh dihadapi dengan mudah. Terpulang anda untuk bermimpi atau membiarkannya menjadi igauan.

Batu sebesar bilik dengan denai sempit curam

Habis bahagian meluncur turun tiba-tiba tercongok cerun curam memanjat. Laluan pula sempit menyusur di antara dua bongkah batu sebesar bilik. Pengayuh handalan akan boleh melepasinya dengan sedikit susah payah. Kebanyakan yang lain hanya mampu mendukung basikal dan memikulnya naik.

Laluan mendaki curam dan berakar

Nada menaik berterusan. Cerun agak curam dengan akar berselirat. Boleh lagi digagahkan berkayuh. Untuk ekor keras, boleh berkayuh sambil berdiri. Untuk ekor lembut, anjak bontot ke hadapan pelana sedepan mungkin. Jangan malu dan segan menggunakan gear granny. Kayuh perlahan dan beransur mencelapak cerun. Ia boleh dilakukan. Untuk lebihh cengkaman, pastikan tekanan tayar tidak terlalu keras. Memadai dengan 35-40psi.

Legaaaa...kecerunan sifar

...tapi banyak jerangkap samar yang suka menangkap pedal anda

Denai melandai semula adalah petanda baik. Walau landai, lantainya berceragah dengan batu. Salah terjah, crank dan pedal terhenyak. Semuanya perlukan kemahiran - keseimbangan dan pemasaan yang kena dan tepat untuk melepasi cabaran batu.

Belok balik 1...pemanas awal

Belok balik 2...makin hangat

Belok balik 4...Panas menggelegak

Keluar dari igauan zon batu, denai mula melorot turun. Denai sempit mendakap lereng yang boleh menyirap bandungkan darah kalau asyik terpandang ke gaung. Laluan tidak dimudahkan begitu saja. Ada 4 belok balik (swithback) menanti. Dengan belok balik pertama dikira paling mudah kemudian beransur meningkat cabaran kesukarannya. Belok balik ke 4 paling mencabar. Kemasukannya senget dengan gaung dalam menanti di depan. Selekoh pula sempit. Tambah mencabar kalau malamnya hujan. Licin! Setelah beberapa kali mencuba, saya dapati kebarangkalian berjaya mengambil selekoh lebih tinggi kalau dimasuki dengan sedikit kelajuan. Dengan mengikut laluan luar, sambil bontot dipindah ke belakang pelana, keseimbangan dan pengambilan selekoh jadi lebih mudah. Mainan brek membantu mengawal kelajuan supaya tidak terhumban.

Melepasi belok balik ke 4 adalah satu bonus. Terasa kepuasan yang amat sangat ditambah pula laluan seterusnya meluru turun pantas. Cuma berjaga dengan alur air di tengah denai. Belasahlah semahunya kerana anda memang berhak! Denai pantas membawa anda ke laluan menurun berbatu yang nampak mengerikan. Tetapi...bila garisannya telah dikenalpasti, laluannya mudah saja. Dan jangan terkejut bila tiba-tiba ada jambatan kayu yang bukan main cantik lagi di tengah rimba. Rilek, itu bukan jambatan dalam kampung bunian...Terima kasih FRIM kerana membuat jambatan yang bukan main cantik lagi. Jambatan itu macam penanda bahawa The Dream sudah hampir ke penghujungnya.

Jambatan kayu cantik terjerogok di tengah rimba

Keluar dari jambatan, denai landai memudian mendadak mendaki. Kekalkan kelajuan selepas jambatan supaya cukup momentum untuk memanjat cerun tersebut. Sebaik melepasinya, laluan keluar Dream terhampar di hadapan. Laluan menurun dengan belokan kiri pantas di bawahnya. Memang mencuakkan, tapi satu penutup tirai yang hebat bergaya. Dahulunya, sengaja direnggangkan di antara batu besar dengan denai Rover bagi "memaksa" pengayuh turun dari basikal dan memimpin basikal keluar dari Dream. Ini dibuat untuk keselamatan kerana pintu keluar Dream bertembung dengan denai Rover Track yang sibuk dengan pengunjung. Baru-baru ini, crew FRIM telah membina jambatan kayu yang membolehkan basikal dikayuh keluar dari Dream. Memang lebih mudah. Cuma beringatlah semasa keluar supaya tidak terlebih ghairah. Takut petaka yang mendatang.

Sampai ke Rover Track tanda mimpi sudah berakhir. Hanya 1.6km tetapi menawarkan keterujaan hebat. Tak puas? Ulang la sekali lagi...Kalau dah, teruskan mengambil laluan kanan Rover Track menuju satu lagi krim di FRIM...PACAT TRAIL.


EEIII, PACAT! GELI!

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut diketit pacat, jangan gatal nak main basikal". Karam Singh Walla Walla melaporkan dari FRIM. Crew FRIM menjadi pahlawan cangkul lagi sekali menarah denai yang penuh lazat berkrim untuk disantap oleh pembasikal-pembasikal lasak. Denai ditarah untuk menyambut acara Green Cycle pada 06/06/2010. Sekalung penghargaan kepada Majid, Zain dan kawan-kawan.

Seperti The Dream, yang tersorok jauh ke dalam denai, Trail Pacat juga begitu. Sebelum boleh meratah Pacat Trail, anda perlu mendera betis dan peha, mengharung pendakian curam.

Gerbang mencari pacat. Denai di sebelah kanan gambar ialah Rover Track. Perhatikan papan tanda "LOJI PEMBERSIHAN AIR KEPONG"

Laluan bermula di penghujung Rover Track. Sebelum anda meluru turun larian deras tarmac, akan ada simpang ke kanan ke tangki air. Tukar gear rendah dan bersedia untuk mendaki. Pendakian tarmac dengan kecuraman sehingga 15%. Cuba kekalkan cadence pada gear rendah. Kuatkan mental kerana sepanjang jalan batin akan menjerit minta diberhentikan penderaan dan berpatah balik. Satu kelegaan dan kepuasan yang amat sangat bila berjaya sampai ke tangki air tanpa berhenti atau menolak. Tapi...jika terpaksa berhenti dan menolak, jangan patah semangat. Teruskan! Kerana di hadapan, kelazatan menanti. Sungguh!

Mencanak naiknya...

Berjaya!!!

Bila sudah sampai ke tangki air, bolehlah berehat sebentar. Kalau kaki masih kuat, terus saja menerjah ke Syabas Trail. Syabas Trail adalah denai yang lari di atas laluan paip air. Paip dengan garis pusat 18inci (anggaran), menghias sepanjang laluan. Hanya sedikit bahagian atas paip yang terbonjol di atas tanah. Denai masih di bawah naungan teduhan rimba. Alun naik turunnya santai bersahaja. Cuma diperingatkan agar berhati-hati bila melintas paip. Sesetengah bahagian licin dan sudah ada yang mencium bumi bila tayar hilang cengkaman bila berlari di atas paip.

Syabas kerana sampai ke Syabas Trail!

Paip air sepanjang denai

Dan bila anda merasakan sudah sedap selesa berkayuh di sisi paip, keenakan anda akan disentap dengan rakus. Sekonyong terbentang cerun curam. Pada sisi kanannya sudah ditambak konkrit siap dengan selusur tali untuk anda berpegang. Cerunnya hampir 45°. Sayupppp...puncaknya tidak kelihatan terlindung di sebalik lengkuk kecerunan. Muka denai Pacat Trail betul-betul di atas puncak. Gagahkanlah diri anda memikul basikal kesayangan anda mendaki cerun. Memang mencungap. Kalau ada sesiapa yang boleh kayuh hingga ke atas, memang boleh bagi satu tabik spring!

Cerun yang boleh menyebabkan anda kena buasir...

Pendakian menyeksakan ini dibahagi dua. Sebelah tanah togel dengan beberapa bahagian dipakuk sperti anak tangga. Cuma anak tangga itu besar dan tinggi. Lebih sesuai untuk kelangkang Sang Kelembai, bukan manusia biasa. Sebelah lagi diturap konkrit. Permukaannya berlumut menjadikannya licin dan susah mendapat jejak yang mantap. Ah...FRIM bermurah hati membina pemegang selusur, besi dipancang bertakat-takat dengan tali sebagai pemegang. Mudahlah sikit kerja-kerja memanjat cerun. Mencungap!

Muka denai Pacat Trail. Kalau cuaca lembap, merenyut menatang penghisap darah tu...

Puncak derun melandai dan megah terpancang di situ papan tanda PACAT TRAIL. Jangan tanya sama ada ada pacat atau tidak. Satu kelegaan menerpa bila sudah di muka denai. Berehat la sekejap menghilangkan dup-dap dup-dap jantung.

Mengambil nafas sebelum menjamu pacat

Pacat Trail bermula dengan cerun curam sempit. Kalau berani boleh turun laju-laju. Dalam 10meter, ada sebongkah batu dan denai membelok ke kanan. Ramai yang kecundang di sini.

Rendahkan pelana, pindahkan ponggong ke belakang pelana, gentel brek, dan meluru turun. Awas akar dan batu!

Denai melandai sekejap dan menyelinap di antara pohonan kemudian meluru turun lagi dengan pantas. Tebing gaung curam menanti di sebelah kiri anda. Denai memang pantas. Akar-akar berselirat, bersedia menguis tayar anda dari laluan. Kalau denai basah, bertambah perisa kayuhan anda dengan teknik drift. Aliran pantas, agak teknikal dan mencabar. Dijamin merembes adrenalin dengan laju.

Slalom celahan pokok Cerun pendek, pantas dan licin Kalau berani boleh "terbang"

Aliran deras tiba-tiba mengalir tenang dan anda boleh mengayuh perlahan dan malas keluar dari Pacat Trail. Dari denai sempit meluru laju, bertembung dengan denai lebar. Ke kiri boleh, ke kanan boleh? Mahu kiri atau kanan?

Ke kiri akan memberikan hamparan denai lebar dengan larian menurun. Denai lebar tetapi permukaan kayuhan tak lebar kerana hakisan. Larian turun sederhana pada denai tanah merah sehingga berakhir hampir dengan kaki Steroid.

Ke kanan akan menghadap pendakian pendek sederhana curam. Denai lebar dengan lantainya dipenuhi daunan dan ranting kering. Pendakian itu hanya sedikit ujian sahaja kerana sebaik denai kembali melandai, anda akan disajikan dengan sajian lazat. Balak melintang dibiarkan sebagai cabaran tambahan. Kayu-kayu kecil dipasak pada sisi menjadikan semacam tanjakan. Hanya kayuh, angkat tayar depan sedikit, imbang dan terus kayuh. Balak boleh dilepasi.

Selepas balak, laluan meluru turun dengan lebih laju dan berhadapan dengan selekoh "chicane" bentuk S yang memaksa anda melibas ke kanan dan ke kiri dengan pantas. Keghairahan bersambung dengan beberapa bonggol dan cerun kecil dan disudahi dengan larian turun yang curam dan panjang sebelum berakhir berhampiran kaki Steroid. Ada yang terlebih teruja merasa tak puas, sanggup menolak basikal untuk merasa lagi sekali. Anda dah pernah cuba? Kalau belum...cepat-cepat laaaa....

KUDAPAN LAIN - AROMATIC TRAIL

Selain daripada Dream dan Pacat, ada denai-denai lain yang tak kurang lazatnya...Yang patut dicelapak juga ialah Aromatic Trail. Saya selalu menjadikan denai ini denai "pencuci mulut" sebagai penutup kayuhan FRIM. Denainya pendek saja dalam 300meter. Boleh masuk terus dari Jalan Watson atau melalui Jalan Kapur, berdekatan dengan tapak semaian. Saya lebih suka masuk melalui Jalan Kapur selepas meluru turun denai batu kerikil hala balik dari Bukit Hari. Kepala denai adalah denai lebar di bawah teduhan rimbunan rimba. Boleh berkayuh mode tanang dan santai atau belasah ala-ala Julien Absalone nak menghampiri garisan penamat sebab kayuhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Kepala Aromatic Trail di sebelah kanan dekat dengan pertemuan denai dengan jalan tar (Jalan Watson). Kepala denai mencerun turun dengan akar sebesar lengan budak berserakan. Kemudian sedikit melandai dan melengkuk dalam bentuk U yang besar mendakap lereng. Saya suka belasah kayuh laju-laju. Mendengar gerutup daun kering dilanyak tayar bagaikan bunyi muzik lunak. Aromatic Trail berakhir bila bertemu dengan Jalan Watson.
Keluar dari Aromatic Trail dengan dada berombak dan nafas mencungap berbaur puas. Ada anak sungai pada penghujung denai, sesuai untuk berehat sebantar menunggu kawan-kawan. Boleh juga diambil kesempatan untuk mencuci basikal...Selepas itu terpulang anda. Mahu ke kafeteria untuk minum? Mahu kayuh Dream sekali lagi? Tepuk peha, tanya lutut...
Akan datang - Gambar dan video akan dimasukkan.