Monday, October 04, 2010

Prewel Loose

B ayangkan tengah anda sedap-sedap kayuh tiba-tiba kayuhan terasa ringan sangat. Crank berpusing, rantai berputar, tetapi basikal tak bergerak. Pemeriksaan ringkas kemudian mendapati freehub anda berpusing secara bebas ikut suka hati dia sama ada anda kayuh ke depan atau ke belakang. Bunyi detikan dari hub mahal anda tidak kedengaran bila dikayuh ke belakang. Haru?

Berita buruk untuk anda. Basikal anda telah terkena penyakit "PREWEL LOOSE". Freehub anda tidak lagi menangkap gigi hub untuk memutarkan tayar belakang anda. Freehub direka supaya daya tujahan pada engkol dipindahkan ke tayar pada satu arah kayuhan sahaja. Bagaimana kalau tujahan kayuhan pada kedua-dua arah menjadi loose? Kosong, tiada pindahan daya? Sah sesuatu telah berlaku kepada hub/freehub anda.

Freehub Spinergy Fall Line yang diselaputi keladak adunan gris, tanah dan lumpur.

Satu masalah yang biasa ialah apabila keladak minyak, tanah dan selut dalam freehub body telah bergumpal kental sehingga menyebabkan jetap (pawl) tidak boleh bangun. Bila jetap tidak boleh bangun, tidak ada rintangan/sangkutan pada hub bila freehub diputarkan, maka tiada pindahan daya. Berpusing setempatlah anda.

Luangkan sedikit masa untuk memeriksa freehub anda bagi mengelakkan masalah ini. Lagi kerap anda berkayuh dalam keadaan berair dan berlumpur, lagi kerapa anda perlu memeriksa hub dan freehub anda.

Kita tak akan bincang bagaimana cara membuka freehub. Cuma secara ringkas akan diceritakan gejala yang perlu diperhatikan dan bagaimana membersihkannya. Sila rujuk website lain cara-cara membuka freehub.


Bahan-bahan diperlukan:

  • Pelarut (degreaser). Saya guna minyak diesel kerana ia tidak terlalu “tajam”. Cukup untuk melarutkan gumpalan gris. WD40 tidak digalakkan kerana ia boleh menyelinap masuk ke dalam hub dan bearing.
  • Berus gigi lama. Guna untuk menyental kotoran degil.
  • Takungan. Saya guna botol minyak enjin yang dibelah dua.
  • Kain buruk.
  • gris

Perhatikan freehub yang telah dibuka. Jetap berada pada kedudukan separas dengan permukaan gelung freehub. Sisa gris sudah menghitam dan menggumpal pekat menyelaputi jetap hingga jetap hilang upaya untuk bangun. [macam masalah orang lelaki pulak].

Caranya:

  1. Jetap dipegang pada gelung hub dengan spring cincin. Cari bahagian yang putus pada spring cincin itu. Cungkil keluar spring cincin. Pastikan cungkilan dibuat di atas takungan supaya kalau jetap tecabut dan terjatuh, ia akan masuk ke dalam takungan.
  2. Rendam spring dan jetap dalam pelarut selama beberapa minit. Sambil itu, celup berus gigi ke dalam pelarut dan beruskan permukaan gelung pada freehub. Perhatikan lurah spring cincin dan lubang jetap. Pastikan lurah spring cincin dan lubang jetap bersih dari kotoran. Selepas bersih, lapkan gelung freehub hingga kering.
  3. Sembur atau sapukan pelarut pada gerigi hub. Berus dengan berus gigi untuk membuang keladak dan gumpalan. Berus hingga bersih. Kemudian lap hingga kering
  4. Sapukan minyak gris pada gelung freehub, lekuk jetap dan lurah spring cincin. Sapu gris seadanya. Jangan terlalu banyak. Ia akan "memberatkan" putaran freehub anda dan...mennyenyapkan bunyi detakan hub mahal anda.
  5. Pasang jetap pada lekuknya. Gris yang disapu akan membuatkan jetap melekat pada tempatnya.
  6. Pasang spring cincin. Selepas spring cincin dipasang, jetap akan bangun. Uji tekan jetap untuk memastikan jetap boleh turun dan naik dengan bebas. Kalau jetap tak bangun selepas spring cincin dipasang, periksa semula untuk memastikan jetap dan spring dipasang dengan betul.
  7. Sapu gris pada gerigi pada hub.
  8. Pasang kembali freehub ke hub.
Selesai proses mencuci freehub. Pasangkan kembali kaset. Pasang kembali tayar. Uji kayuhan untuk memastikan freehub tidak lagi loose.

SEMOGA MEMBANTU...

No comments: