Showing posts with label 29er. Show all posts
Showing posts with label 29er. Show all posts

Saturday, November 09, 2013

Fakta Saiz Roda - Bahagian 3... Tompok Sentuhan dan Faktor Tayar


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan seorang professional dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung

Posting ini adalah terjemahan bebas daripada posting asal Wheel Size Facts Part 3...Contact Patch and Tire Factor  tulisan Keith Scott , blogger Bansheebikes 

DDalam post ini, saya teruskan dengan tema saiz tayar, dengan tumpuan pada faktor-faktor berkaitan seperti tompok sentuhan, tekanan dan bunga tayar.  Semak balik Bahagian 1 dan Bahagian 2 siri mini ini untuk hal-hal lain tayar yang perlu diperhatikan.  Dalam  bahagian 1, tayar kecil mengalahkan tayar besar.  Dalam Bahagian 2, tayar besar bangkit melawan semula... Jadi, yang mana satu yang akan muncul juara untuk anda?


Kali ini kita akan bincangkan tompok sentuhan (contact patch) dan faktor berkaitan bagi ketiga-tiga saiz tayar.  Sekali lagi kita akan ambil saiz tayar dari Bahagian 1 untuk keseragaman.

Tompok Sentuh (Contact Patch)

Apa itu tompok sentuh dan bagaimana ia mempengaruhi cengkaman dan sanggahan golekan?


Rajah 1 Tompok Sentuh ditandakan dengan warna biru

Tompok sentuhan (ditunjukkan di dalam Rajah 1 berwarna biru) adalah jejak tapak kaki tayar yang bersentuhan dengan permukaan jalan pada sebilang masa dan ketika.  Untuk mana-mana tayar, ia kan berubah dengan tekanan tayar kerana Tekanan = daya/kawasan.  Jadi, lebih rendah tekanan, lebih tayar akan mengherot mengikut kontur laluan yang dikayuh.

Lebih luas tompok sentuh tayar menunjukkan lebih sentuhan getah tayar dengan permukaan jalan, yang mana akan meninggikan geseran dan juga cengkaman (bagus!).  Walaubagaimanapun, lebih besar tompok sentuh lebih besarlah juga sanggahan golekan (tak bagus!).  Jadi, sepertimana kebanyakan hal lain dalam hidup, perlu ada kompromi, dan anda perlu memilih imbangan yang sesuai di antara cengkaman dan sanggahan golekan sesuai dengan keperluan anda. 


Bentuk dan Keluasan.

Untuk bahagian ini dalam bab tompok sentuh, mari kita lihat ??? setiap saiz tayar (tiada bunga, dan tiada ketegaran tayar).  Setiap satu dengan lebar 2.3", berasaskan beban berat 50kg (dengan andaian agihan berat 50:50, dan berat basikal + penunggang = 100kg) dan 2 bar (anggaran 29PSI atau 200,000 N/m²) gas yang sempurna di atas permukaan datar bagi semua saiz tayar.  Oleh kerana tekanan sama dalam setiap tayar, keluasan tompok sentuh juga akan menjadi sama kerana tekanan = daya/kawasan.  Ini tidaklah realistik sangat kerana tekanan akan berubah sedikit mengikut saiz tayar (kita akan bincangkan nanti).  Illustrasi ini sekadar memberikan kefahaman asas untuk bentuk tompok sentuhan. 

Rajah 2 Bentuk tompok sentuh untuk tekanan tayar yang sama
Dari Rajah 2 anda boleh lihat saiz tompok sendtuh bagi ketiga-tiga tayar bertindanan pada tekanan tayar dan bebanan yang sama : lagi besar saiz tayar, lagi panjang dan sempit tompok sentuhnya.  Tetapi variasi bentuk mungkin lebih kecil dari yang anda jangkakan atau yang telah disogok untuk anda percaya.  Jadi mari kita tengok perkara ini dari sudut pandang yang lain pula...

Salah satu kaedah mengukur tekanan tayar ialah dengan kaedah "tire drop", iaitu kadar peratus tinggi asal tayar (lebih kurang macam landuran ampaian) sepertimana yang ditunjukkan di Rajah 3.

Rajah 3 Penerangan untuk "tire drop"
Jika untuk setiap saiz tayar kita dapat 6% "tire drop" bila berkayuh pada satu permukaan datar dengan tayar botak,  maka ini akan memberikan banyak maklumat tentang tekanan yang diperlukan, juga bentuk tompok sentuh dan kawasannya untuk setiap saiz tayar.

Sepertimana yang ditunjukkan oleh Rajah 4, kawasan tompok sentuh dan panjangnya berubah apabila tekanan tayar berubah, tetapi lebar tayar kekal sama kerana lebar kerangkanya sama.  Begitu juga dengan bentuk keratan lintangnya.  Maka, untuk "tire drop" 6% pada tayar 29" memberikan 2.7% lebih tompok sentuhan berbanding tayar 650b, yang mempunyai tompok sentuhan 1.85% lebih daripada tayar 26".  Perbezaan pada saiz dan bentuk tompok sentuhan adalah lebih kecil daripada apa yang pihak pemasaran pengeluar mahu anda percaya, walaupun kecil, ia wujud. 

Rajah 4 Dimensi tompok sentuh untuk 6% tire drop dan tekanan tayar untuk setiap saiz

Ini juga menunjukkan yang lebih besat garispusat tayar, lebih rendah tekanan diperlukan untuk mendapatkan "tire drop" yang sama.  Maka anda lebih selamat menggunakan tekanan rendah pada tayar yang lebih besar.  Pun begitu, volum tayar adalah faktor yang lebih penting, jadi lebar tayar akan memberi kesan yang lebih ketara ke atas tekanan angin yang diperlukan berbanding saiz tayar.      

Faktor-faktor inilah menentukan kenapa tayar basikal gunung lebih lebar daripada tayar basikal jalanan.  Untuk berkayuh di atas jalan berturap, cengkaman kurang penting berbanding sanggahan golekan (dan berat), maka mereka menggunakan tayar kurus dengan volum rendah pada tekanan tinggi.  Tayar basikal gunung diguna pada tekanan lebih rendah, volum lebih besar untuk meningkatkan cengkaman dan juga segabai kusyen untuk menyerap hentakan.  Ia lebih kepada meilih alatan yang betul untuk sesuatu tugasan, dengan mengoptimakan apa yang dikehendaki, dan berkompromi ke atas faktor-faktor yang tidak terlalu penting.


Bunga Tayar dan adunan bahan

Rajah 5 Bunga tayar bergerutu pada tayar basikal gunung
Cakap-cakap pemasaran tentang tompok sentuh mengenepikan faktor-faktor penting.  Bentuk bunga sangat berkaitan, kerana kenyataannya, tiaa di antara kita yang berkayuh menggunakan tayar botak sepenuhnya.  Jadi bila bercakap tentang tompok sentuh, kita sepatutnya mengambilkira tompok sentuh yang sebenarnya iaitu permukaan bunga tayar, dan juga mengambilkira cengkaman tambahan yang terhasil daripada pinggiran bunga tayar yang menggigit pada tanah lembut.  Bentuk corak bunga dan adunan getah memberikan perbezaan besar berbanding kawasan tompok sentuh.

Corak bunga tayar menukar kawasan sentuhan lebih besar berbanding dengan saiz tayar!

Jadi bila memikirkan tentang cengkaman, daripada berfikir terlampau berat tentang saiz tayar dan tekanan tayar yang tepat, lebih baik anda gunakan masa tersebut untuk memilih corak bunga tayar dan adunan bahan terbaik bagi suasana kayuhan anda dan berujikaji dengan tekanan tayar yang berbeza.

Adunan (compound) getah yang lembut bukan saja akan meliuk lentok dan mendapat lebih cengkaman pada tanah, tetapi juga membantu melembutkan tunggangan dengan pemampatan lebih mudah bila terkena hentakan.  Jika anda menggunakan tayar compound lembut, anda boleh membrek lebih lambat, memecut lebih cepat, mengmabil belokan dengan lebih tajam kerana bunga tayar menggigit tanah dengan gigi-gigi yang tajam.  Adunan lembut juga mempunyai koeffisien geseran yang lebih tinggi, and menyerap hentakan dengan lebih baik untuk terus kekal melekat pada tanah.   

Untuk pertimbangan anda:

Daripada maklumat yang telah disajikan, anda dapat lihat bahawa tayar besar memberikan lebih sedikit kawasan tompok sentuhan kerana anda boleh gunakan tekan angin yang lebih rendah.  Maka, tayar besar memberikan lebih sedikit cengkaman berbanding tayar kecil dengan nilai "tire drop" yang sama.  Tetapi peningkatan  dalam cengkaman pada tayar besar, secara teorinya mungkin lebih rendah daripada apa yang anda jangkakan.

Dengan tayar dengan tompok sentuhan yang lebih besar datang lebih lagi geseran golekan dan kecekapan menurun. Jadi, tayar kecil adalah lebih cekap berbanding tayar besar untuk tire drop yang sama.  Di atas permukaan yang rata dengan tayar botak (slick), tayar yang lebih kecil dengan tire drop yang sama akan kehilangan lebih sedikit tenaga bila berputar berbanding tayar yang lebih besar. 

Tetapi, mari bersikap lebih realistik.  Basikal gunung bukan sekadar digunakan di atas jalan rata dan tentunya kita tidak memasang tayar botak!  Ia berkenaan membawa kelajuan melepasi laluan-laluan tegar, membelok keras menggunakan bahagian bucu tayar, menggagau mencari cengkaman bila mendaki dan macam-macam lagi perkara yang menyeronokkan.  Untuk kebanyakan perkara ini, bunga tayar dan adunan compound tayar adalah jauh lebih penting daripada saiz tayar bila cengkaman yang dicari.  Jadi, nasihat saya ialah jangan terlalu hanyut dan sesat dengan nombor-nombor dalam saiz tayar.  Sebaliknya pilih tayar yang bagus dan nikmati kayuhan anda!

Tuesday, October 22, 2013

Fakta Saiz Roda - Bahagian 2... Faktor Golekan


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan seorang professional dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung

Posting ini adalah terjemahan bebas daripada posting asal Wheel Size Facts Part 2...Rollover Factors tulisan Keith Scott , blogger Bansheebikes 

Di sini dipaparkan lagi maklumat bebas berkenaan saiz roda dan tayar untuk membantu anda memilih saiz tayar apakah yang sesuai untuk anda.  Saya akan terus menggunakan contoh dimensi yang telah dibincangkan di bahagian 1 untuk menunjukkan pengiraan-pengiraan.  Pengiraan secara teori ini tidak mengambilkira herotan tayar...Kita akan bincangkan hal ini sekejap lagi.  Untuk minggu ini, bersedia untuk menghadapi subjek kegemaran semua orang ketika di sekolah - trigonometri.  Jadi, pasang tali pinggang keledar, dan kita bergolek melepasi beberapa matematik roda (alamakkkkkk...!).

Golekan:
Anda mungkin telah mendengar bagaimana pengayuh basikal 29er bercakap tentang bagaimana mudahnya basikal mereka bergolek tenang dan selamba melepasi halangan di dalam denai.  "Gua belasah dengan laju melalui seksyen lasak itu...", atau sesuatu yang lebih kurang macam tu.  Mungkin ini sebab utama yang diberikan oleh pengayuh dan pengeluar tentang saiz roda yang besar.  Tetapi...apa maksudnya dan setara mana bagusnya tayar 29er melepasi halangan?

Rajah di bawah (Rajah 1) menunjukkan hubungan tinggi halangan berbentuk segi empat sama dan sudut serangan (angle of attack) iaitu roda itu sendiri:

Rajah 1
Apabila tayar bertemu dengan halangan berbentuk segiempat sama (contohnya, pembendung susur jalan), sudut serangan = sudut tangen tayar pada tempat pertemuan tayar dengan halangan berbentuk segiempat sama dan satah melintang seperti di dalam rajah di atas. 
Rajah 2
 Rajah 2 menunjukkan bagaimana sudut serangan bagi setiap saiz tayar berubah mengikut ketinggian halangan melalui satu julat tinggi halangan segiempat sama.  Sudah tentulah nilai-nilai ini adalah "sempurna" dan bersifat teoretikal (dengan tidak mengambilkira herotan tayar, tekanan angin atau sudut mereng basikal)

Sudut serangan dengan sendirinya tidak banyak memberitahu anda tanpa menggunapakai fungsi trigonometri asas untuk memecahkannya kepada vektor daya melintang dan menegak.  Dalam bentuk yang dipermudahkan tanpa geseran atau herotan tayar, jika sesuatu tayar bertemu dengan halangan yang lebih tinggi dari tinggi gandar, ia akan memberhentikan tayar dengan serta-merta (daya melintang / daya menegak = infiniti).  Sebaliknya, jika halangan mempunyai ketinggian sifar ia tidak akan memperlahankan anda langsung. (daya melintang / daya menegak = sifar).  Di dalam rajah 3, anda boleh melihat bagaimana vektor daya berubah apabila ketinggian halangan bertambah untuk setiap saiz tayar (semakin tinggi tangen [sudut serangan], ia akan semakin memperlahankan anda).
Rajah 3

Rajah 4  menunjukkan bagaimana vektor daya berubah dalam bentuk % relatif kepada tayar 650b.  Nombor positif mewakili rintangan melintang yang lebih tinggi (secara efektifnya, ini bermakna ia lebih memperlahankan anda .  Jadi, anda boleh melihat bahawa tayar 26 akan perlahan lebih daripada tayar 650b manakala tayar 650b akan lebih perlahan daripada tayar 29er.

Graf di bawah menunjukkan kecekapan relatif tidak konsisten ke atas semua ketinggian halangan.  Lagi besar halangan, lagi besar kesan ke atas saiz tayar.  Jadi, agak mustahil untuk mengatakan yang satu tayar adalah x% lebih cekap mengendalikan halangan segiempat sama daripada saiz tayar yang lain tanpa menyatakan saiz halangan, saiz tayar, tekanan angin tayar dan lain-lain.

Rajah 4

Boleh dikatakan bahawa tayar yang besar bukan sahaja lebih cekap menggolek melepasi halangan segiempat sama, malah memberikan tunggangan yang lebih lancar.  Ini kerana, pada sebarang kelajuan, lagi besar diameter sesuatu tayar lebih lama ia bersentuhan dengan halangan (iaitu ia menghentam halangan lebih awal dan meninggalkan halangan lebih kemudian).  Maka, ia mempunyai masa lebih lama untuk bertindakbalas kepada halangan.  Tambahan pula, lagi besar tayar lebih sukar untuk tayar terjerlus masuk ke dalam lubang.  Maka, tayar 29er kelihatan seolahnya "meratakan" laluan.

Sekali lagi saya ingin tegaskan yang nombor-nombor ini adalah berdasarkan kepada tayar yang tidak mengherot, dan menggolek melepasi halangan segiempat sama yang sempurna, yang mana tentunya tidak realistik.  Mari kita tengok faktor-faktor dalam kehidupan nyata yang membuatkan keadaan jadi lebih rumit.

Herotan tayar membantu menyerap kesan hentakan kepada halangan segiempat sama.  Ini bukan sahaja mengurangkan hentakan yang dipindahkan kepada kerangka basikal dan penunggang, tetapi juga membuatkan tayar bergolek dengan lebih cekap melepasi halangan dengan mengurangkan sudut serangan bila hentakan diserap.  Lagi banyak tayar menyerap halangan lagi baik.  Maka, tayar tekanan rendah boleh bergolek melepasi halangan dengan lebih baik (melainkan kalau anda terkena bocor patukan ular!).

Saiz tayar adalah faktor yang penting.  Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan diameter luaran tayar yang lebih besar dengan menggunakan tayar volum besar pada roda 26" berbanding tayar volum kecil pada roda 650b.  Dalam keadaan ini, tayar 26" akan bergolek lebih baik daripada tayar 650b.  Maka tinggi tayar perlu diambilkira dalam membuat analisa pilihan.

Kita telah mengesahkan yang tayar besar menggolek melepasi halangan lebih baik daripada tayar kecil dan juga turut membantu mengekalkan momentum.  Tetapi geometri kerangka dan laluan gandar juga memainkan peranan jika kerangka mempunyai ampaian.  Ini kerana ampaian boleh membantu menyerap hentakan halangan dan membuatkan basikal melepasinya dengan lebih baik.  Jika sudut tiub kepala yang lebih condong atau laluan gandar yang lebih terkebelakang, upaya golekan melepasi halangan sesebuah basikal akan bertambah baik dengan andaian faktor lain adalah sama.      

Juga ada satu lagi faktor signifikan yang tidak diambilkira oleh nombor-nombor di atas iaitu...kita boleh LOMPAT ARNAB (bunny hop) untuk melepasi halangan.  Inilah sebab kenapa anda tidak seharusnya mendengar hujjah daripada industri automotif kerana kereta tidak boleh dihumban dan dibanting lepas bebas daripada pemandu.

Kalau bahagian kedua ilmu fizik tayar ini tidak membingungkan anda lebih daripada bahagian satu, bahagian ketiga akan muncul dengan perbincangan mengenai kawasan sentuhan dan cengkaman.  Woop!

Tuesday, October 08, 2013

Fakta Saiz Roda - Bahagian 1... Dimensi, Berat dan Kekuatan


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan seorang professional dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung

Posting ini adalah terjemahan bebas daripada posting asal Wheel Size Facts Part 1...Dimensions, Weight and Strength  tulisan Keith Scott , blogger Bansheebikes 


Anda mungkin telah membaca secara dalam talian dan bahan bercetak strategi pemasaran yang membicarakan tentang saiz roda dengan kecenderungan terhadap sesuatu saiz.  Saiz yang didokong ternyata rupanya saiz yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan atau saiz yang ingin diketengahkan.  Dongengan pemasaran antarabangsa  lazimnya mengelirukan dan boleh mengherotkan penilaian pembeli.

Saya berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk membetulkan rekod dengan menulis beberapa siri post blog yang bermula dengan post ini, yang akan mengupas persoalan dua kunci utama kepada saiz roda :  BERAT dan DIMENSI (dan sedikit sentuhan kepada bab kekuatan).  Saya akan memberikan maklumat tanpa berat sebelah yang anda akan dapati berguna dalam membuat keputusan saiz roda apa yang anda perlukan dalam pembelian akan datang.

Saya akan menawarkan maklumat tak berpihak (fakta, bukan auta iklan) kerana di sini, di Banshee, kami menawarkan kesemua 3 saiz roda untuk basikal lasak.  Kami biarkan pelanggan membuat keputusan apa yang mereka mahukan, bukannya memaksa pelanggan menerima apa yang pengeluar sarankan.  Kami tiada sebab untuk mendokong mana-mana saiz roda.

Setiap saiz roda ada kelebihan dan kekurangan tersendiri, jadi memilih saiz roda yang terbaik untuk anda lebih menjurus kepada citarasa tersendiri.  Perkara pokok dalam meilih saiz roda ialah gaya kayuhan, tujuan kayuhan (gaya atau kelajuan), rupabumi tempat berkayuh, ketinggian pengayuh.  Ada juga faktor lain yang diambil kira.  Saya akan cuba merangkumi faktor-faktor utama.

Teruskan membaca jika anda mahukan angka-angka sebenar...

 

Perbandingan di bawah dan untuk siri-siri berikutnya dibuat berdasarkan tayar Maxxis High Roller II 2.3 untuk setiap saiz roda dengan lebar rim yang sama untuk setiap saiz.

Sebarang perbandingan yang dibuat akan relatif dengan saiz 650b kerana ianya saiz pertengahan menjadikan peratus perubahan jelas dan malar.

Dimensi : (Dimensi luar tayar diambil dari fail 3D rasmi Maxxis)



Dengan semerta jadual ini boleh menyebabkan kekeliruan...sebab, seperti yang anda boleh lihat, tiada rim atau tayar yang sepadan dengan nama yang dipanggil.  Anda boleh mendalami lebih lanjut kenapa ini boleh terjadi dengan merujuk kepada guru ilmu basikal Sheldon Brown.

Walaubagaimanapun, satu perkara untuk diperhatikan ialah sementara 650b dipasarkan sebagai 27.5, garispusatnya adalah 1 inci lebih besar daripada saiz 26 dan 1.5 inci kurang daripada saiz 29.  Ia lebih dekat dengan 26 berbanding 29.  Tayar 650b tidak berada betul-betul ditengah-tengah diantara 26 dan 29. Cirinya lebih menyamai saiz 26 berbanding 29.

Berat:

Berat Statik

Ternyata, berat binaan tayar dan roda boleh berbeza dengan ketara untuk semua saiz roda.  Jadi saya akan menggunakan tayar 2.3 High Roller II 3C/EXO/TR.  Untuk roda, saya akan gunakan roda Stan’s ZTR Flow EX untuk setiap saiz.


Berat statik (berat tayar yang tidak berputar) selalu ditekankan oleh pemasaran sayarikat tayar.  Tetapi, berat statik hanya ketara bila anda mengangkat basikal sama ada untuk memuatkannya ke kereta atau memikul ketika di dalam denai.  Berat static tidak mempengaruhi…Momen Inersia (Moment of inertia). (kena buka buku fizik balik nih – BC Kelolo)

Momen Inersia
[tambahan oleh BC Kelolo] Sebelum kita terus berbincang hal Momen Inersia, elok jika difahamkan dulu istilah momen dan inersia.  Dari sumber Dewan Bahasa dan Pustaka

Momen - kecenderungan daya utk menghasilkan gerakan berputar.
Inersia - sifat jasad yg menyebabkannya berada dalam keadaan rehat atau, jika bergerak, terus bergerak dalam garis lurus, melainkan jika diganggu oleh daya luar.


Jadi Momen Inersia ialah keupayaan sesuatu jasad menentang pecutan sudutnya pada satu paksi putaran.  [Boleh faham?  Akupun tak faham.  Buat-buat faham dulu dan terus membaca].  Pada asasnya, lebih tinggi momen inersia sesuatu roda, lebih sukar roda itu untuk memecut (dan memperlahan).  Ini lebih penting berbanding berat statik apabila berkayuh basikal.

Momen inersia berkait dengan jejari dan jisim.

Momen Inersia (I) = Jisim (m) x Jejari2 (r2)

Momen Inersia yang rendah akan memberikan roda yang memecut dengan cepat (lebih mudah berputar).  Disebaliknya, Momen Inersia yang tinggi akan menyukarkan nyahpecutan (susah untuk berhenti berputar).  Roda dengan Momen Inersia tinggi akan membawa kelajuan dengan lebih baik selepas bergolek dengan andaian faktor-faktor lain adalah sama.

Jadual di bawah menunjukkan anggaran momen inersia dengan menggunakan BSD sebagai jejari putaran efektif untuk semua saiz roda.



Apa yang ditunjukkan oleh angka-angka ini ialah jika anda berkayuh di denai yang beralun dan tidak memerlukan banyak brek dan berkayuh balik untukmendapatkan kelajuan, maka roda besar adalah pilihan yang lebih baik.  Akan tetapi, jika denai memerlukan banyak brek dan pecut, brek dan pecut, maka roda kecil adalah pilihan yang lebih baik.




Jika menggunakan komponen efektif yang sama, dan peningkatan saiz roda akan meningkatkan berat dan inersia (seperti dijangka)… tetapi inersia meningkat berkadar dengan jejari kuasa dua, kenaikan inersia lebih mencanak berbanding berat bila saiz roda meningkat.

Apa maksudnya semua ini?

Kita ambil nombor-nombor ini dan buat sedikit pengiraan untuk melihat berapa banyak tenaga kinetik (Tk) yang diperlukan (dengan mengabaikan sanggahan golekan dsb) untuk menggolekkan setiap pasang tayar sehingga mencapai kelajuan 10m/s di atas permukaan rata.





Jadual di atas menunjukkan:
  • Tenaga kinetik (Tk) putaran (tenaga sesuatu roda yang berputar setempat dengan halaju luaran 10m/s)
  • Titik tengah jisim (TtJ) tenaga kinetik (tenaga jisim statik bergerak pada 10m/s)
  • Jumlah tenaga kinetik (jumlah tenaga putaran dan titik tengah jisim)
Tenaga kinetik yang terkandung dalam setiap set tayar yang bergolek pada 10m/s kemudiannya dibandingkan dengan bacaan yang dicatat oleh set tayar 650b.

Apa yang ditunjukkan di sini ialah tayar 26" memerlukan 4.87% kurang tenaga untuk memecut kepada 10m/s berbanding 650b manakala tayar 29" memerlukan 6.71% lebih tenaga berbanding 650b.

Namun sebaliknya, apabila bergerak pada 10m/s, setiap set tayar memerlukan tenaga yang sama untuk berhenti...Dengan mengandaikan sanggahan golekan dan angin sama untuk setiap set tayar, maka tayar 29" akan terus bergolek 6.71% lebih jauh daripada tayar 650b yang bergolek 4.87% lebih jauh daripada tayar 26".  Ini berlaku kerana tayar 29" mempunyai momentum tertinggi pada sebarang kelajuan.


Kekuatan:

Satu faktor yang seringkali diabaikan oleh pihak pemasaran ialah kekuatan dan ketegaran roda.  Saya rasa ianya pelik sebab kos roda agak tinggi dan roda memang selalu jadi mangsa belasahan, dan secara peribadi jangkahayat roda adalah sesuatu yang saya pentingkan bila membuat keputusan roda apa yang mahu dilaburkan.

Jika membandingkan roda yang sama (rim, hub dan sebagainya), roda yang lebih kecil secara lumrahnya lebih kuat daripada roda besar.  Ini kerana ruang yang lebih besar di antara mata jejari dan silangan jejari bagi roda besar.  Jadi, nisbah kekuatan dengan berat akan dimenangi oleh roda kecil.
Ini boleh ditimbal balik dengan rim yang lebih kuat dan tegar tetapi penambahan kekuatan dan ketegaran rim lazimnya membawa sekali masalah kos dan berat yang lebih.  Ada saja kelecehannya.  Terpaksa mengalah pada mana-mana satu.

Ia tidak berhenti di situ saja…

Berat, dimensi dan kekuatan adalah faktor penting dalam perkiraan apa saiz roda yang harus dipilih.  Tetapi…ada faktor lain lagi yang perlu juga diperhatikan.  Dan jika letusan kecil sembang-sembang pengajian fizik ini belum lagi melemahkan semangat anda, terus ikuti post yang bakal mendatang di mana roda besar juga ada kelebihannya.

Klik sini untuk ke Bahagian 2

Wednesday, July 11, 2012

Roda-roda Rimba Raya

Artikel ini adalah terjemahan bebas daripada artikel Mountainbike Wheel-size, & the Right One for you yang disiarkan di blog Singletracks.com dan ditulis oleh Bombardier.

Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. 


Sudah lama juga aku merangka untuk menulis perihal saiz roda untuk MTB. Apatah lagi dengan kemunculan si kaki besar 29inci dan mutakhir ini saiz 650b sedang bangkit semula.  Tajuk posting tidak ada kena mengena dengan siri TV dengan tajuk yang hampir sama.

Untuk menulisnya dari sifar memang agak sukar dan memerlukan masa. Kebetulan dalam pencarian terjumpa artikel di laman web Singletracks ini memang seperti apa yang aku bayangkan, maka aku ambil keputusan untuk menterjemah saja artikel ini. Diharap menjadi panduan berguna kepada mereka yang masih lagi tercari-cari saiz roda yang mana satu yang sesuai dengan mereka.

Sudah sekian lama MTB bergolek di atas roda bersaiz 26inci. Bukan kerana itu saiz terbaik, tapi kerana hanya saiz itu yang ada untuk digunakan bersama tayar-tayar gemuk bergerutu pada masa itu. Roda diambil daripada basikal yang menggunakan "tayar belon" dan dipasangkan dengan tayar gerutu dari motosikal sebab itu saja pilihan yang ada pada masa itu. Tayar 26inci bukanlah teruk. Malahan, telah bekerja dengan baik selama ini. Dan untuk satu tempoh yang lama, itu saja saiz yang ada. Mujurlah, (bergantung dari sudut mana pandangan anda), akan sentiasa ada segolongan manusia yang sentiasa mencari jalan memperbaiki lagi basikal; dan mereka enggan menerima yang saiz roda 26inci adalah saiz yang terbaik.

Sekarang kita ada beberapa pilihan, dan saya pasti yang ramai pengayuh yang baru bermula (atau sebahagian dari kita yang "Luddites"[anti teknologi]) yang keliru dengan saiz tayar apa yang betul (ketepikan dulu soal politik-roda).

26inci (26er) - Tiada yang buruk boleh diperkatakan tentang saiz piawai ini. Walaubagaimanapun, ia ada batasan; upaya rendah untuk bergolek melepasi rintangan, daya inertia yang rendah, kecenderungan terkandas di dalam pasir dan lumpur.  Manakala kelebihnnya pula adalah; industri MTB berasaskan roda bersaiz 26inci, menyokong/memadani julat saiz pengayuh yang lebih besar, roda yang lebih kukuh dan ringan boleh dibina, julat saiz tayar sepadan yang lebih banyak dan kadar pecutan lebih tinggi.  

29inci (29er) - Roda besar telah membuktikan dirinya bernilai selama puluhan tahun lalu melalui industri pacuan 4 roda.  Sama seperti pada kenderaan pacuan 4 roda, MTB bertayar besar berupaya bergolek  melepasi rintangan dengan lebih mudah, memberikan apungan yang lebih apabila melalui pasir atau lopak lumpur, memberikan lebih sentuhan permukaan untuk cengkaman yang lebih baik dan upaya mengekalkan lajakan (momentum) pada kelajuan tinggi.  Untuk kenderaan bermotor, rekaan lebih mudah disesuaikan dengan tayar lebih besar tanpa menjejaskan pemandu.  Sebaliknya, pada MTB, kerangka untuk roda 29inci perlu direka supaya pusat graviti dan ketinggian "standover"  kekal rendah, menghindar daripada pertindihan tayar dan jari kaki dan memastikan berat keseluruhan rendah.  Memang para pengeluar telah menjalankan tugas ini dengan agak baik, basikal 29inci masih lagi terhad kesesuaiannya kepada pengayuh-pengayuh tinggi.  Kerangka untk pengayuh rendah tidak dapat memberikan ketinggian "standover" pada tinggi yang munasabah, dan memang sukar untuk menghindar pertindihan tayar dengan hujung jari kaki dan pada masa yang sama berhempas pulas untuk mendapatkan tapak roda yang berkesan.  Basikal 29inci yang direka untuk pengayuh dengan ketinggian 5 kaki akan membuatkan pengayuh berada di antara dua tayar, dan pada masa yang sama terpaksa mengawal peningkatan inertia roda yang besar itu.  Tambahan pula, basikal ampai penuh 29inci menghadapi masalah "wheel-travel" yang terhad.  Rekaan yang melebihi 6 inci travel sudah dikeluarkan, tetapi untuk mendapatkan kerangka basikal yang sesuai bagi dimensi sesebuah MTB agak sukar.  Basikal ampaian penuh umumnya lebih berat daripada basikal ekor keras atau basikal rigid.  Ditokok dengan roda yang besar, membina sebuah basikal ampaian penuh yang tidak berat adalah sukar tanpa penggunaan bahan-bahan eksotik dan sistem ampaian yang mudah.


Kombo (69er) - *Ini dedikasi khas untuk kawan aku Sufian Idris - BCKeLoLo.  Ini bukan idea baru.  Dahulu, MTB pernah dibuat dengan gabungan tayar 26inci/24inci. Tujuannya supaya roda depan 26inci yang lebih besar akan mengendalikan halangan dan rintangan manakala roda belakang 24inci yang lebih kecil akan memberikan pecutan pantas.  Konsep yang sama digunapakai untuk gabungan 29inci/26inci.  Rekaan ini boleh menampung pengayuh yang kurang tinggi dan lebih mudah dipecut.  *Tokok tambah BCKeLoLo - biasalah bila digabungkan, akan dapat manfaat keduanya.  Dan...jangan lupa, masalah juga dapat kedua-duanya.

27.5inci/650b - Dikatakan terbaik untuk kedua-dua dunia.  Roda lebih besar daripada 26inci untuk menguruskan halangan dan rintangan tetapi masih lagi boleh memecut dengan pantas.  Saiz ini juga memberikan lebih ruang kepada pengeluar bila mereka membuat kerangka untuk pengayuh berketinggian sederhana dan rendah.  Pengayuh rendah ynag mungkin sukar mendapat padanan pada basikal 29inci, akan mendapati lebih mudah mendapat padanan yang selesa dengan basikal 27.5inci.  Pengayuh yang memasang roda 27.5inci pada basikal 26inci sudah semakin umum kerana kebanyakan kerangka 26inci boleh menerima roda 27.5inci tanpa masalah kelegaan tayar.  Pada basikal rigid ekor keras dengan brek cakera, proses ini akan menjadi lebih mudah.  Kuncinya ialah pada brek cakera kerana penggunaan v-brek terjejas dengan saiz roda yang berbeza.  Malahan, ada basikal ampaian penuh travel panjang (Fisher Fat Possum) sudah dipasang dengan tayar 650b oleh sesetengah kedai.  Ada fork yang memberikan masalah kelegaan tayar bila dipasang roda 650b.  Namun, beberapa jenama utama seperti RockShox Pike, X-Fusion Velvet, Maverick DUC32 dan FOX32 mempunyai ruang kelegaan  yang mencukupi untuk roda 650b.  White Brothers sedang dalam rangka membangunkan fork khusus untuk 650b.  Pengeluar lain, pada masa ini, tidak menyarankan penggunaan fork mereka untuk roda 650b.  Menggunakan roda 650b pada kerangka 26inci tidak akan menjejaskan sangat prestasi kayuhan.  Ia mungkin menyebabkan sudut kepala melandai 1 darjah dan meninggikan braket bawah (pusat graviti).  Masalah ini tidaklah separah menyumbat roda 29inci pada kerangka 26inci. 

**Tokok tambah BCKeLoLo - Di Malaysia, 29inci mendapat sambutan agak hangat.  Dah ramai diperhatikan menukar ataupun sedang berkira-kira menukar kepada 29inci.  650b, walaupun dikatakan lebih bagus secara keseluruhannya daripada 29inci, masih belum memberikan impak besar.  Tidak banyak basikal 650b ditawarkan di pasaran.  Mungkin kerana pengimport dan pengedar masih bertahan dan memberikan laluan untuk menghabiskan lambakan stok 29inci.

Dalam masa setahun, julat pilihan untuk senjata pilihan akan meletoppppp.  29er, 26er, 27.5", 69er, 650b-26er; hanya dibataskan oleh kesanggupan industri untuk mencuba.  Dan selepas beberapa tahun berevolusi dengan perlahan, dunia MTB seakan sudah mencapai titik revolusi.  Rekaan ampaian baru, rekaan roda dan materi kerangka semuanya menyumbang ke arah ini.  Apapun, ianya menjadi semakin mengujakan.