Tuesday, December 17, 2013

KLMBH Hash # 231 ~ Taman Wetland, Putrajaya

Pejam celik, pejam celik...dahpun sampai ke penghujung tahun 2013.  Acara hash bulanan anjuran Kuala Lumpur Mountainbike Hash (KLMBH) untuk bulan Disember datang lagi!


KLMBH Hash # 231 ~ Taman Wetland , Putrajaya. 
Tarikh : Dis 15, 2013.Masa: 0930hrs . 
Jarak: 16km 
Hares : Geoff Foote , Mike Grover, Riza Shaharudin 

Hash ini adalah yang keenam untuk aku tahun ini.  Anak jantan nombor 4, yang sepanjang tahun mengetap gigi menahan geram tak dapat ikut sama kerana kekangan nak menghadapi UPSR akhirnya bebas dan melompat sakan sebab dapat ikut sama.  Farhan dan ayah akan mengambil laluan pendek manakala anak yang seorang lagi, Faris, dibiarkan berseorangan membawa diri ikut laluan panjang 32km.

Aku pernah berkayuh di sini bulan Oktober lepas.  Ceritanya di sini.  Pengalaman pertama menggamit aku untuk datang sekali lagi.

Pagi redup tenang.  Jam  0915hrs , Geoff Foote tampil untuk memberikan taklimat ringkas kayuhan. Perasan tangannya beranduh.  Apa kehal pulak?  Semoga cepat sembuh Geoff. Dia bagi taklimat sepertimana taklimat lazim dengan sedikit penekanan kepada tandaan denai - 3 jenis penanda  digunakan - kertas kecil segi empat tepat, pelekat hijau bercahaya dengan cetakan KLMBH dan kapur tulis.

Selesai taklimat, kata hikmat ON ON sebagia pemula dilaung.  Biasanya, selepas ON ON, pengayuh akan berpusu dan bergegas memasuki denai dan memulakan kayuhan.  Tapi, pagi tu pelik pulak bila ramai yang lepak.  Hmmm ... luar biasa. Tadi malam ada makan malam tahunan.  Masih mamai agaknya.

Denai bermula dengan pesona.  Rimbunan pohon buluh bagaikan dalam taman pari-pari,menghiasi pendakian berumput. Tanah dirasakan basah dan lembap. Sedikit licin. Seorang pengayuh terkelebak di tepi aku akibat tayar yang kalah dalam bertanding dengan batang buluh.  Denai kemudian menurun dan membelok ke kanan masuk ke dalam semak belukar.  Ada kesesakan pulak.  Di hadapan ada lintasan anak sungai.  Laluan sempit memaksa giliran seorang demi seorang.

Naik dari tebing anak sungai, dihidang hamparan padang hijau.  Laluan menyusur sisi padang yang lembik.  Nampak nyata bekas tayar-tayar "membajak" padang.  Datang pulak pendakian pendek kemudian turun balik melalui satu lagi padang hijau di bawah kabel letrik voltan tinggi.  Huuuu... seriau.  Di hujung padang, ditarah satu laluan turun yang bercantum balik dengan jalan tar.  Belok kiri ke bawah terowong kemudian masuk ke laluan denai konkrit selepas 10 meter dari terowong.  Seronok melayan denai yang berliuk lentok.  Tapi kena jaga sikit sebab permukaan agak licin.

Denai konkrit membawa ke jalan batu persisir tasik (paya?) menghala ke selatan.  Di pertengahan, membelok ke kiri mengikut jalan batu kerikil yang merentas pertengahan tasik.  Dari kejauhan nampak seorang pengayuh berhenti di tepi.  Perilakunya sedikit luarbiasa dan menghairankan.  Dia mengibas-ngibas baju sambil menggoyang-goyangkan badan.  Apahal pulak berdangdut di tengah paya ni?  Tergerak hati untuk berhenti dan bertanya.  Rupanya, dia sedang cuba membuang semut yang sudah masuk ke dalam baju.  Padan la tergeliat-geliat.  Dah kena gigit katanya.  Aku tanya kat mana?  Dia jawab kat belakang.  Aku singkap belakang bajunya.  Baru separuh singkap, satu serangga kecil buru-buru terbang pergi.  Tak dapat nak kenalpasti serangga jenis apa.  Kalau dapat tengokpun, bukan aku kenal jenis serangga.  Seimbas pandang, nampak macam penyengat.  Sengatnya boleh tahan berbisa.  Nasib baik berjaya dikeluarkan.

Denai kerikil terus menuju barat daya. Menyusur di bawah Persiaran Utara menuju ke Pusat Rekreasi Air , Taman Wetland , satu bahagian lain di Taman Wetland yang menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi air - berkayak , memancing dan sebagainya. Sekumpulan pengayuh berkayuh berpatah balik.  Jejak kertas sudah hilang rupanya. Aku cuba mencari balik jejajk. Berkayuh sehingga melepasi bangsal bot. Masih tiada.  Lajak masuk hingga ke terowong.  Pun masih tak berjumpa.  Akhirnya, jalan yang betul ditemui.  Di belakang nun.  Satu simpang kiri ikut laluan blok selepas terowong.

Laluan naik ke atas berlari seiring dengan Persiaran Persekutuan.  Berlangsung sejauh 600meter kemudian membelok kiri dan turun melalui satu cerun kecil kembali ke pinggir tasik.  Ada beberapa pengayuh di situ, nampak seperti kumpulan ayah dan anak.  Si ayah cuba membimbing si anak menuruni cerun.  Si anak masih takut-takut.  Aku toleh ke belakang melihat Farhan selepas aku turun.  Farhan dengan yakin berkayuh turun tanpa basa basi.  Bagus!

Kembali ke laluan batu bata blok yang menyusur tasik.  Sambil kayuh santai sambil menikmati suasana tenang damai tasik.  Laluan batu bata blok berakhir dan bersambung dengan denai batu kerikil menyusur mengelilingi tasik membentuk satu bentuk U yang besar.  Pada penghujung U, nampak pengayuh-pengayuh hadapan yang cuma beberapa meter saja dari laluan kami.  Jalan berpusing ke situ rupanya.  Datang godaan untuk memintas saja.  Tapi... takseronok la kalau buat macam tu.  Kan?  

Kertas penanda menuju ke satu palet kayu yang diletakkan merentas longkang.  Tengok pada keadaan palet kayu yang agak uzur, seriau untuk berkayuh di atasnya.  Pikul saja basikal untuk menyeberang.  Kemudian denai menyusur laluan rumput dan masuk ke dalam semak melalui satu bukaan kecil.  Selepas semak datang denai ladang kelapa sawit.  Tanah merah yang dibasahi air memberikan permukaan lembik, lecah dan licin.  (3L).  Terus aku di bawa mendaki sedikit kemudian meluru turun sehingga akhirnya terdampar dalam lopak lumpur.  Rupanya lopak lumpur itu dekat saja dengan puncak laluan U tadi.

Selepas keluar lopak lumpur, datang pulak cerun naik yang curam tapi pendek.  Kayuh naik sekejap kemudian kembali meluru turun sehingga dihadap dengan satu pendakian sempit.  Di kiri kanannya semak dengan pokok resam paku pakis.  Farhan sudah habis bekalan airnya.  Mujur beg tangki aku besar untuk tampung bekalan cukup untuk 2 beranak.  Aku tak berani nak tinggalkan dia jauh-jauh.  Sampai dipuncak pendakian, aku berehat sekejap sementara menunggu Farhan sampai.      

Dari puncak laluan landai dan lecah.  Kemudian masuk ke denai sempit dalam semak dan lalang.  Lopak-lopak air jadi hiasan biasa.  Dan, mengikut etika kayuhan denai yang beradab, lopak air tidak seharusnya dielakkan.  Harus berkayuh meredah lopak air bagi mengelak denai melebar dan hakisan bertambah.  Dan itulah yang telah aku amalkan bila berhadapan satu lagi lopak.  Apa yang disangka lopak biasa rupanya pernagkap yang menelan separuh tayar depan aku dan nyaris menghumban aku dari basikal.  Mujur aku tak laju...

Dari lopak perangkap, selepas lebih kurang 50 meter keluar ke jalan P11 berhadapan balai polis Presint 11.  Kecoh sekejap di situ selepas sambungan laluan tidak dijumpai.  Rupanya tanda ada pada tiang dan pengayuh kena melintas jalan.  Sebaik menyeberang jalan, terpampang papan tanda Taman Saujana Hijau. Di kakinya, pada blok simen, tertulis dengan kapur warna merah jambu "KLMBH".  Comel sungguh!    

Tandaan merah jambu membawa aku ke kaki tangga.  Ada beberapa tingkat tangga yang nak dipanjat.  Aku biarkan Farhan cuba menguruskan sendiri basikalnya.  Dengan bersusah-payah dan terkial dia mengheret basi
kalnya memanjat tangga.  Aku mengelat dengan menolak naik ikut tebing di sebelah kanan tangga.  Haaa... ngelat.  Tak aci.  Heh...heh.

Apa yang dilihat selepas tangga selamat dikerabat adalah sesuatu yang mengkagumkan.  Di sebelah kiri tebing tinggi.  Terhampar pemnadangan Putrajaya sayup mata memandang.  Di sebelah kanan tebing bukit yang dilitup rumput subur menghijau.  Dihiasi dengan aneka tumbuhan taman yang terjaga rapi.  Dilengkapka pula dengan wakaf-wakaf persinggahan.  Buat singgah berehat handai taulan.  Sungguh indah dipandang mata.  Manis bagai halwa sehingga jadi alpa dan tidak terasa kayuhan mendaki dek kerana pesonanya.  Bagai berada di shangri-la...Sungguh!  Kalau anda ke Putrajaya cuba singgah dan lawat sendiri Taman Saujana Hijau.


Jalan dalam taman berkitar di sekeliling bukit kemudian turun dan keluar kembali ke Jalan P11.  Jalan P11 diseberangi lagi sekali.  Melalui laluan berbatu meluru turun dengan laju.  Tersentot sekejap bila tengah laku kena belok kanan dan... BERHENTI!  Ada pokok tumbang melintang jalan.  Hah...tunggu apa lagi?  Pikul la basikal melepasi pokok tumbang.

Sambung kayuh dalam ladang kelapa sawit.  Elok kayuh tak sampai 2 minit dah kena berhenti lagi.  Kali ni berhadapan dengan parit yang lebar tak boleh dilangkah.  Terpaksa turun ke dalam parit yang tebingnya 6 kaki tinggi.  Kalau seorang diri payah juga nak melepasi.  Mujur ada pengayuh lain pada masa itu.  Bolehlah berpakat bergotong-royong mengangkut basikal dan membantu yang lain memanjat tebing.  Jarak kayuhan kat situ sudah 14km.  Lagi 2 km untuk sampai balik.  Dah dekat dah...

Lepas parit, sambung kayuh lagi dalam ladang kelapa sawit.  Kemudian keluar ke satu kawasan lapang dengan satu bangunan besar yang ada beberapa cerobong besar.  Loji janakuasa elektrik TNB.  Ikut laluan kiri sehingga berjumpa jalan tar.  Ingatkan, akan berkayuh ikut jalan tar balik ke tempat permulaan, rupanya ada lagi asam garam dan rempah ratus yang disaji.

Belok kanan ikut jalan tar kecil kemudian masuk balik ke dalam ladang kelapa sawit melalui denai turun berbatu kerikil.  Jaga-jaga sebab batu kerikil longgar.  Tayar basikal boleh menyasar.  Sampai di bawah, belok kiri ikut laluan ladang.  Sajian adunan naik dan turun yang kemudiannya turun dengan curam sedikit dan berakhir di lembah berair.  Ada laluan daripada palet kayu yang sudah uzur.  Cukup untuk memikul basikal dan berjalan tapi tak sesuai untuk berkayuh.

Dah makin dekat!  Satu pendakian terakhir dari ladang kelapa sawit masuk ke dalam belukar.  Laluan peringkat akhir diselaputi selut dan lumpur lembik yang diadun dengan daun dan ranting reput.  Memang "menangkap" dan memberatkan tayar.  Suasana teduhan mula beransur kelam bila hujung denai dihampiri dan tercokoh keluar pada satu jalan tar.  Tempat penamat hanya 500 meter saja lagi.

Ayah dan anak kayuh beriringan balik ke tempat mula/tamat.  Farhan nampak letih dan penat.  Basikal dan pengayuh sudah berpalit lumpur merata.  Keletihan memang sudah diduga.  Namapun berkayuh basikal gunung...Namun di wajah terpalit rasa puas dan gumbira. 

Thursday, December 05, 2013

PCC Presidential Ride Kembali! Maklumat Dari Penganjur.

Kayuhan PCC Presidential kembali!Untuk tahun 2013, tempat permulaan ialah di Taman Sri Haneco. Kawasan kayuhan di sekitar Semenyih. Maklumat acara adalah seperti di bawah diterjemahkan daripada laman BaikBike.com. Diterjemahkan secara bebas dan sukarela kerana dirasakan maklumat ini penting untuk semua peserta.  Semoga menjadi panduan berguna. Versi asal bahasa Inggeris boleh di lihat di sini 

MAKLUMAT ACARA

Tempat : Semenyih Fish Valley
Taman Sri Haneco, Jalan Sg Lalang, 43500 Semenyih, Selangor
(Koordinat GPS : N2 58.186 E101 52.128)

Aturcara
  • Tarikh: Ahad, 8 Disember 2013
  • Masa: 7.00am
  • Taklimat keselamaatan : 7:45am (Pelepasan sebaik tamat taklimat)
  • Cabutan bertuah : 3:00pm
  • Talian : Dennis Soh +6016.212.2696 / James Bak +6012.222.1200 / Adrian Chan +6012.213.2188

Kayuhan / Peringkat

Acara terbahagi kepada empat (4) peringkat yang dirantaikan menjadi satu kitaran besar sejauh lebih kurang 50km.

Jarak bagi sesuatu peringkat tidak sama dengan yang lain.  Begitu juga dengan bentuk mukabumi.

Peringkat 1 – Mamba Hitam (Black Mamba)

Laluan rentas desa yang hampir-hampir tiada bahagian teknikal yang berlengkang-lengkok bagai ular tedung naik dan turun, kiri dan kanan melalui kebun getah dan lading kelapa sawit.  Bermula dengan jalan tar dan jalan tanah sejauh 4 km sebagai laluan pemecahan kelompok.  Kesesakan dijangkakan apabila sampai ke muka denai yang sempit.  Bukit-bukit memnag tidak dapat dielakkan, jadi aturkan kayuhan anda dan jadikan peringkat ini sebagai pemanas badan persediaan untuk menghadapi cabaran lebih besar di peringkat seterusnya.  Jarak keseluruhan 11km dengan 70% di bawah teduhan.  Laluan bolehkayuh sepenuhnya.  Kasut anda dihangka basah pada penghujung peringkat…Tapi…sebelum itu, jamu dulu diri anda dengan downhill yang lazat.

Peringkat 2 – Janda Hangat* (The Bitch)


*Suka hati saja aku terjemah “The Bitch”  jadi “Janda Hangat”.  Janda-janda jangan marah yaaaa… Ini hanya gurauan semata.

Peringkat ini memerlukan anda mengerjakan segala otot dan sendi yang sudah dipanaskan di Peringkat 1.  Kemuncaknya ialah satu pendakian yang dipanggil “The Bitch”.  Ganjaran kejaayan mendaki, anda akan dihadiahi dengan downhill hebat yang turun terus ke bawah jurang V dengan satu anak sungai.  Bergantung kepada keadaan cuaca, “The Bitch” boleh membuatkan anda lemah longlai dan terbakar di bawah terik mentari kerana “The Bitch” adalah puncak tertinggi kayuhan ini.  Awas bila menuruni cerun yang panjang ini kerana bahagian awalnya dipenuhi dengan alur air yang boleh menangkap tayar anda dan menghumban anda melepasi bar hendal anda.  Laluan akan menyempit kepada singletrack yang melorot turun ke dalam sungai.  Anda terpaksa memikul basikal di sini.  Peserta diingatkan supaya berhati-hati semasa turun ke dalam sungai dan selepas melintasi sungai.  Anda akan berhadapan dengan tebing sempit dengan jurang yang dalam di sebelahnya.  Jarak peringkat ialah 12km dan 40% berada di bawah teduhan.

Peringkat 3 – Rimba Pesona (Enchanted Forest)

Peringkat yang paling panjang yang memberikan anda sedikit daripada segalanya.  Banyak singletrack ria dan bukit beralun memintas kebun getah dan lading kelapa sawit, dusun-dusun dan rimba sekunder.  Kemuncaknya ialah Rimba Pesona yang menjadi tirai penutup peringkat ini!  Anda mesti berada di situ untuk menikmati sendiri keindahan Semenyih di kawasan itu.  Dan, di situ juga anda akan menikmati masa hebat meluru turun dan menerobos keluar daripada Rimba Pesona.  Jarak peringkat ialah 17km dan 60% di bawah teduhan.

Peringkat 4 – Hati Waja (Braveheart)


Peringkat terkakhir ini dibuat untuk meguji mereka yang paling kental.  Dipanggil Hati Waja dengan sebab musabab.  Pengayuh akan berhadapan dengan “Kill Hill” – bukit pembunuh, setelah berhempas pulas mendaki dan menuruni bukit-bukit di Semenyih.  Kami angkat topi kepada mereka yang berjaya menawan cabaran terakhir ini.  Dan, sudah tentu ganjaran kejayaan ialah satu luncuran turun terbaik-atas-muka-bumi sehingga ke garisan penamat.  Peringkat ini pembeza lelaki/wanita dengan teruna/anak gadis.  Dan…jangan lupa untuk tambahkan tangki air sebelum memasuki peringkat ini.  Jaraknya 11km penderitaan yang mengasyikkan.

Laluan Ayam (Chicken Run)

Laluan pelarian yang dipanggil Laluan Ayam disediak untuk mereka yang mahu lari keluar daripada acara.  Laluan Ayam ada di hujung Peringkat 1, 2 atau 3.  Peserta yang dijangka tidak upaya untuk meneruskan ke peringkat seterusnya disarankan supaya mengambil laluan ini kerana tiada siapa yang akan bersusah payah menjulang dan memikul anda keluar daripada denai sekiranya anda tidak dapat berbuat demikian.

Laluan Ayam kali ini lebih mudah kerana setiap Tapak Semak (Check Point) berada di tepi jalan atau berdekatan jalan utama (Jalan Sungai Lalang).  Anda hanya perlu berkayuh sedikit sahaja untuk balik ke Taman Sri Haneco.  Ikut arahan dan panduan Marshal dan anak panah penunjuk arah dengan gambar ayam yang dipasang pada tiang-tiang lampu.

Anggaran jarak untuk laluan ayam dari Tapak Semak ke garisan penamat:-

  • CP1 ke Sri Haneco          7km    
  • CP2 ke Sri Haneco          9km
  • CP3 ke Sri Haneco          6km
  • CP4 berada di penghujung Peringkat 4 di Semenyih Fish Valley.



Had Masa (Cut-off Times)

Had  masa adalah komponen penting bagi acara ini.  Had ditentukan bagi memastikan semua perserta selamat kembali ke garisan penamat menjelang jam 3.00 petang.  Had ini memberikan sela masa yang cukup untuk peserta menamatkan semua peringkat atau keluar ikut laluan ayam.

Pelepasan masuk ke peringkat seterusnya mengikut had masa yang ditetapkan.  Jika pengayuh melewati had masa, pengayuh dinasihatkan berkayuh balik mengikut laluan ayam.  Had masa untuk memasuki peringkat seterusnya adalah seperti berikut.

  • Peringkat 2 – 10:30am
  • Peringkat 3 – 12:00pm
  • Peringkat 4 – 1:00pm
Jika peserta berhajat mahu meneruskan juga kayuhan, mereka berbuat demikian dengan risiko tanggungan sendiri tanpa sokongan rasmi dari penganjur dan juga berhadapan kemungkinan terlepas acara cabutan bertuah.

Ambil perhatian bahawa peserta harus mempunyai tahap kecergasan untuk berkayuh sekurang-kurangnya 18 km(laluan berbukit).  Jarak itu lebih kurang jarak kayuhan yang diperlukan sekiranya peserta keluar ke laluan ayam selepas Peringkat 1.  Jika anda keluar di CP2, anda akan berkayuh sejauh 32km manakala jarak 46km sekiranya keluar di CP3.

Nombor Plet Peserta

Setiap pseserta berdaftar akan diberikan nombor plet yang mesti dipamerkan pada basikal supaya 4 pelekat-pelekat tapak semak daripada 4 tapak semak sepanjang kayuhan.  Bagi menghindarkan kesesakan pada hari acara, nombor plet dan beg ole-ole boleh diambil oleh peserta-peserta dari Lembah Kelang dari jam 3.00pm – 6.00pm pada hari Jumaat, 6 Disember 2013 dan Sabtu, 7 Disember 2013 di

GH Speedbikes (Specialized Concept Store)
19, Jalan PJU 5/20A, The Strand Damansara,
Pusat Perdagangan Kota Damansara
Kota Damansara PJU5
47810 Petaling Jaya, Selangor
03-6142 9303
www.ghspeedbikes.com

P/S: Sila bawa kad pengenalan anda untuk pengesahan

Peserta Luar Kawasan

Peserta dari luar kawasan mempunyai pilihan untuk mengambil nombor plet dan beg ole-ole pada hari acara di Taman Sri Haneco di antara jam 7.00 – 7.30am.  Sila dating awal untuk mengelakkan kesesakan dan keterlewatan.  Kaunter akan ditutup jam 7.30am tepat.

Parkir

Laman parkir adalah di sekitar blok rumah kedai sebelum Semenyih Fish Valley.  Laman parkir mencukupi untuk semua peserta.  Sila pastikan kenderaan diletakkan dengan teratur dan tidak menghalang lalu lintas.  Sila patuhi arahan marshal bertugas.

Urustadbir Kayuhan

Setiap simpang di dalam laluan akan ditanda dengan anak panah atau pita “AWAS” merah/putih.  Keseluruhan laluan akan ditanda dengan kertas merah jambu dengan taburan sederhana.  Kertas tidak akan ditabur sewenang kerana taburan kertas sejauh 50km akan menjadi sampah yang banyak.  Anda boleh menjangkakan kehadiran kertas, tetapi pada kadar yang berpada.

Ingat bahawa acara ini BUKAN satu perlumbaan.  Jangan mengharapkan tandaan yang terang benderang gilang gemilang pada setiap simpang.  Peserta harus mengambil sikap peka sekeliling dalam memerhati tandaan simpang.

Bila menghampiri simpang, kurangkan kelajuan dan perhatikan tanda anak panah.  Marshal akan diletakkan hanya di tempat-tempat kritikal untuk membantu peserta.  Sweeper Rasmi akan masuk ke dalam denai selepas had masa setiap peringkat.  Jika anda berasa lagu dengan laluan dan tidak berjumpa dengan tanda anak panah, berpatah baliklah ke tandaan terakhir dan tunggu Sweeper.

Adab Di Dalam Denai
  • Pertama sekali, laluan melalui tanah-tanah yang bukan dimiliki oleh PCC.  Pengguna denai lain lebih berhak ke atas laluan.  Sila kayuh dengan berhati-hati.
  • Untuk para peserta :  Kesesakan dijangka pada peringkat awal acara, terutama pada denai sempit.  Mereka yang ingin laju, sila ambil kedudukan di hadapan sewaktu pelepasan.
  • Sekiranya anda terpaksa berhenti semasa sedang mendaki, sila ketepi laluan dengan seberapa segera untuk memberikan ruang bagi peserta lain terus berkayuh.  Ini akan membantu mengurangkan kesesakan.  Bila memotong, sila maklumkan kepada peserta yang hendak dipotong dan potong hanya bila denai cukup lebar untuk berbuat demikian.
  •  Jangan buat sampah.  – Buat sampah buat orang menympah.  Jangan sekali-kali.  Bawa keluar sampah anda – dari botol air, pembungkus makanan dan seumpama.  Bukan berat manapun.


Tapak Semak/ Pengisian


Ada 4 tapak semak (CP) di hujung setiap peringkat.  Tapak Semak akan ditanda dengan jelas dan aka nada marshal menjaganya.  Pastikan anda mendapatkan pelekat untuk setiap tapak semak yang anda lepasi.

CP1, CP2 dan CP3 juga menjadi stesen mengisi air untuk peserta-peserta berdaftar.  Walaubagaimanapun, anda disarankan membawa bekalan air sebanyak 3 liter dan bekalan makanan.  Membawa air hanya dua botol tidak mencukupi.

Cabutan Bertuah

Dua jenis cabutan bertuah diadakan - Cabutan Umum dan Cabutan Utama.  Untuk melayakkan diri bagi cabutan umum, peserta perlu mendapat pelekat pertama di Tapak Semak 1 (CP1).  Cabutan umum menawarkan hadiah-hadiah biasa sumbangan penaja bersama dan akan diadakan pada jam 3.00pm diikuti dengan Cabutan Utama.  Untuk melayakkan menyertai Cabutan Utama, peserta perlu dapat sekurang-kurangnya 3 pelekat daripada 3 peringkat.  Hadiah-hadiah cabutan utama adalah hadiah-hadiah yang lagi hebat sumbangan penaja utama dan PCC sendiri.

Daftar Keluar

Sebaik menamatkan kayuhan, semua peserta mesti mendaftar keluar dengan menunjukkan plet nombor kepada urusetia untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah.  Penjuru bawah nombor plet akan dipotong oleh urusetia untuk dimasukkan ke dalam peti cabutan.  Jika anda gagal mendaftar keluar, kelayakan untuk menyertai cabutan bertuah akan gugur.

Keselamatan dan Bantu Mula

Semua peserta seharusnya berkayuh dengan selamat dan tidak mengambil risiko melampau dan tidak wajar terutama di bahagian-bahagian teknikal.  Dua ambulan dari Pertubuhan St John dan ahli-ahli bantu mula akan bersiap sedia di CP1 dan CP3.  Sekiranya berlaku kecemasan, hubungi marshal bertugas di dalam denai atau di CP atau hubungi nombor kecemasan 999.  Peserat disarankan membawa sendiri alat bantu mula, telefon mudahalih dan membantu sesama peserta yang mendapat kecederaan,

Apa Yang Perlu Dibawa...
  • Basikal yang siap diservis dan berkeadaan baik keseluruhannya.Helmet.  Wajib demi pemeliharaan diri.
  • Peralatan
  • Tiub gantian (2 biji) dan penampal tiub
  • Pam
  • Air minum 3 liter.  Makanan untuk 8 jam kayuhan dan makanan tenaga/gel ikut selera anda,
  • Losyen pelindung matahari dan penghalau serangga
  • Telefon bimbit
  • Semangat dan keazaman yang kuat dan citra jenaka yang bagus.

INGAT! ACARA INI BUKAN PERLUMBAAN.

IA SATU KAYUHAN UNTUK MENGUJI KECERGASAN DAN DAYA TAHAN.

BERKAYUHLAH DENGAN SELAMAT PADA DERAP YANG ANDA RASA SELESA UNTUK MENGHINDAR DARI MENCEDERAKAN DIRI ANDA.

Sunday, December 01, 2013

KEMBAS ~ GLC Berkayuh Piknik Ke Sungai Sendat - Bahagian II

Bahagian I kembas (kembara basikal) kayuhan piknik Sungai Sendat yang panjang berjela telah membawa anda berbasikal secara maya dari Gombak ke Sungai Sendat.  Dua bukit yang mencabar lutut di tempuhi hinggalah selamat sampai ke Sungai Sendat.  Bahagian II akan membawa anda balik dari Sungai Sendat ke Gombak.  Eh… sama sajalah ceritanya kan?  Cuma yang kemudian didulukan.  Tak gitu?  Oh…tiap perjalanan ada kisahnya tersendiri (terutama untuk orang kuat membebel macam aku).  Begitu juga kisah kayuh balik dari Sungai Sendat.  Sendat dengan kisah tersendiri...

Mesti mau posing dulu...


Disiplin masa pengayuh sungguh mengagumkan.  Memang 1215hrs, semua dah bersiap untuk berkayuh balik.  Pengunjung ke Sungai Sendat semakin ramai.  Bagi peluang mereka pulak berkelah.  Jam 1230hrs bermakna matahari mula galak memancar.  Siaplah untuk dipanggang sekejap lagi.

Selamat tinggal Sungai Sendat
Kayuh bermula selepas usai sesi bergambar.  Mesti la bergambar alang-alang dah sampai.  Entah bila pulak nak boleh berkayuh ke situ.  Laluan pembuka tirai memang sedap.  Walau matahari terik, laluan masih di bawah teduhan pokok yang menghijau di sekitar.  Laluan cerun turun pulak tu.  Bonus berganda.  Cuma kena berhati-hati sebab jalan sempit.  Banyak pula berselisih dengan kereta yang semakin banyak masuk.

Sampai ke Kampung Gurney, teduhan mula hilang.  Perit panas mula terasa.  Laluan jambatan gantung diambil.  Sampai kembali ke Jalan Sungai Tua.  Landai saja pada mulanya sejauh 2km sehingga Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.  Peluh dah mula membasah di bawah terik matahari.  Papan tanda "Lorong Memotong" memang penanda pemula petaka.  Ibu jari kanan bersiap untuk mengambil peranan merendahkan gear mengikut keperluan.  

Petaka bermula di sini...
Ada yang dah mula menjadi nakal. Menyakat-nyakat yang lain untuk menduga bukit.  Dino membuka pencak.  Berpecah dari peloton dan membuka jarak.  Faris dan RJ ikut menyahut.  Banshee Vientonya (dalam bahasa Sepanyol, Viento bermaksud angin).  Aku di tengah.  Fuji San cool di belakang dengan Sazril.

Aku tak tau apa yang berkitar dalam fikiran orang lain.  Dalam kepala aku, pendakian bukit ini lebih parah dari pendakian dari Sungai Tua hala datang.  Memang terasa jerihnya.  Ditambah pula dengan bakaran mentari terik.  Strategi aku Cuma untuk kayuh tanpa henti hingga ke puncak.  Kelajuan tidak penting. Perlahan tidak mengapa.  Janji puncak berjaya ditawan tanpa perlu berhenti. 

Satu demi satu gear aku turunkan dipadankan dengan granny crank di hadapan bila kaki dirasakan makin lenguh dan berat.  Tekan punya tekan shifter LX tua aku sampai dah habis gear tak boleh tekan lagi.  Dah pakai gear paling rendah!  Mau lagi gearrrrr!!!  Kereta-kereta makin bertambah di jalan.

Dengan kayuhan perlahan kora-kora, aku teruskan.  Cerun semakin mencuram.  RJ mengambil kesempatan berjalan beriringan dengan Sang Bayu.  Faris masih gigih berusaha.  Dia perlu bekerja lebih keras kerana tayarnya besar dan menggerutu.  Aku perlahan mendekatinya dari belakang.  Dino masih lagi mengekalkan jarak.  Sesekali Nampak dia berdiri dan menerjah.  Perrrghhhh… mengkagumkan!

Aku teruskan mengayuh ikut tempo aku.  Aku bukan nak berlumbapun walaupun kadang-kadang datang akal jahat menghasut “Enjut sajaaaa…potong depa semua…”, jahat sungguh pemikiran sebegitu.  Sedikit demi sedikit aku menghampiri Faris.  Dan sedikit demi sedikit juga aku memotong dia.  Badan makin lesu.  Peluh makin laju.  Basah kuyup sudah.  Peluh yang masuk ke mata lagi sampai pedih-pedih biji mata.  Bahang panas makin menyengat.  Aku kuatkan semangat.  Puncak bukit entah di mana lagi…

Pelan-pelan rapat dengan Dino
Dino pula makin dihampiri.  Sama juga kaedahnya.  Pelan-pelan potong.  Sudahnya aku dah ke depan sekali.  Kayuh tak peduli apa dah.  Mata tengok depan tayar.  Malas nak tengok jauh-jauh.  Dok nampak cerun yang tak habis-habis.  Mati semangat dibuatnya.

Bahang badan makin membara.  Zip baju dah turun sampai ke dada.  Ada la angin curi-curi masuk.  Sejuk la sikit terasa.  Kaki dok protes sakan.  Lenguhnya jangan cerita.  “Berenti…berenti…berenti” dalam kepala.  Sesekali toleh ke belakang tengok kawan-kawan yang dah ruyup sayup di belakang.

Badan makin terasa hangat. Peluh dok mencurah masuk ke dalam mata.  Elok pula terpandang dalam longkang ditepi jalan aliran air jernih sejuk.  Bukan air longkang tau…Itu air dari anak sungai/ mata air di atas bukit.  Bantahan kaki lenguh, badan hangat, paru-paru sesak dan jantung kencang mengalahkan ego yang nak habiskan kayuhan.  Aku akur dan berhenti di tepi jalan untuk berehat dan menunggu yang lain.  Jam 1330hrs…

Faris teman ayah berehat...Puncak lagi sikiitttt saja lagi
Air sejuk jernih disimbah ke kepala dan muka.  Sisa air yang meleleh masuk ke badan memberikan rasa sejuk dan nyaman yang bukan kepalang.  Lat tak lama nampak kelibat Faris.  Masih tekun berkayuh.  Mukanya nampak jerih mengheret basikal MTB dengan tayar gemuk memanjat bukit.

Bila dia menghampiri aku, aku menyuruh dia meneruskan kayuhan dengan sedikit kata-kata perangsang.  Sesuatu yang dia tidak dapat akur.  Basikalnya dicampakkan saja dekat basikal aku.  Mereka yang lain menyusul kemudian dengan derap selang seli kayuh dan tolak.  Fuji San muncul di belakang sekali dengan tenang dan bersahaja mengayuh dengan nada santai.  Macam rilek saja nampaknya.

Mereka yang lain meneruskan kayuhan.  Aku tertinggal di belakang sebab bersolek lama sangat.  Yang pertama sampai, yang terkemudian jalan.  Seminit dua selepas sambungan kayuhan nampaklah air terjun kecil di sebelah kiri.  Air terjun kecil bermakna sudah sampai puncak.  Dengan tak semena menderu datang rasa kesal sebab berhenti tadi.  Apa tidaknya, rupanya puncak hanya lebih kurang 100 meter dari tempat aku berhenti.  Cissss…

Selesai pendakian sejauh 8.5km dari Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.  Dari aras 104M hingga aras 386M.  Mana tak pongeh!  Singgah sekejap tempat orang mengambil air mineral semulajadi.  Air ditogok dengan lahap.  Sedap sungguh air di situ.  Sebab itulah orang sanggup beratur berjam-jam untuk mengambil air.

Hala turun semua berdesup tak hingat
Bila sudah di puncak, apa lagi?  Layan turunlah pula.  Cuma kena beringat dan lebih berhati-hati sebab menjelang petang, kenderaan semakin banyak di situ terutama di kawasan perkelahan.  Meluncurlah dengan laju sehingga sampai ke kawasan Empangan Batu di mana jalan kembali melandai.

Bukit Empangan Batu sekali lagi mencabar.  Dan kali itu aku terjah dengan iltizam untuk menghabiskan hingga ke puncak.  Berkat istiqamah berkayuh, puncak berjaya ditawan.  Dino sampai kemudian dan meneruskan kayuhan berseorangan kerana perlu segera balik.  Yang lain-lain menyusul kemudian.  Ada yang di atas basikal.  Ada yang di sisi basikal…Ada yang naik hangin bila jam itulah kawan-kawan telefon lepas tu cakap main-main...

Deraan terakhir
Fuji San nakal menduga mengajak balik ikut Sungai Kertas.  Aku tahu padah menunggu laluan itu.  Bukitnya panjang dan curam ya amat.  Cadangan dibantah sekerasnya.  Jam sudah 1420hrs.  Perut dah lapar.  Kayuhan diteruskan…

Sampai di simpang baru Jalan Sg Tua – Jalan Binjai 1A.  Dengan Fuji San sebagai jurupandu memandangkan dia abang kawasan di situ.  Jalan tar berdebu dengan kilang-kilang berderetan menggantikan suasana hijau hening nyaman.  Tinggal kami berlima saja sebab Dino sudah memecut pergi dengan kelajuan supersonic.

Dari Jalan Binjai 1A, ada satu belok kanan menuju ke jalan Jasa 25.  Jalan dalam taman perumahan yang menyusur parit.  Sampai di simpang berhampiran loji, aku perasan kurang seorang.  Mana Sazril?  Cuba telefon tak berjawab.  Rupanya dia terlepas simpang kanan tadi.  Tunggu pulak dia berputar mencari simpang nak ke Jalan Jasa 25.  Yang lain ambil kesempatan melanggah air soya yang dijual berdekatan.

Selesai minum, Fuji San mintak diri sebab rumah dia sudah dekat.  Kami berpecah haluan.  Suasana makin hangat membahang.  Badan makin letih.  Perut makin lapar.  Kayuh makin longlai.  Ambil Jalan Nakhoda Kiri.  Lalu satu jambatan kecil merentas Sungai Batu yang menyambung ke terminal bas.  Dah basikal Sazril pula pancit.  Aku tengok muka Faris dengan RJ yang semacam mintak kasihan.  Aku bagi lampu hijau untuk Faris dengan RJ jalan dulu.  Tinggal aku dengan Sazril mengerjakan basikalnya yang injap tiub sudah rabak.

Tiub ditukar tanpa sukar.  Perut berkeriut tanda lapar.  Tengok, dah berapa kali aku ulang perkataan lapar.  Jam sudah 1500hrs.  Jarak kayuhan berbaki lagi 6km.  Dah terbayang-bayang pagar rumah dah di dalam logamaya terik matahari petang yang memancar di atas medan bas tempat berhenti menampal tiub Sazril.

Dengan tenaga berbaki sisa, kayuh longlai balik menyusur kembali Wiradamai, Taman Bolton.  Dalam hati berharap-harap agar tiada lagi gendala.  Trafik makin banyak bila MRR2 ditempuh bila keluar dari Taman Bolton.  Kayuh ikut Jalan Gombak di antara hiruk pikuk trafik.  Membelok kanan naik ke DUKE kemudian kluar ke susur kiri Taman Selasih.  Kalau cerita Ultraman, lampu dada Ultraman dah berkelip-kelip tanda kecemasan kuasa nak habis.  Aku dengan Sazril dah macam Ultraman jugalah...Mujrlah destinasi sudah dekat.  Dari Taman Selasih, menyusur jalan pintas untuk balik ke rumah.  Jam 1527hrs selamat sampai ke rumah.  Alhamdulillah...