Showing posts with label Petua. Show all posts
Showing posts with label Petua. Show all posts

Wednesday, September 25, 2013

S.O.S - Meminyak Rantai Kaedah Kecemasan!


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman luas dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.

Cabaran berkayuh di denai basah dan berlumpur ialah rantai menjadi berselepat dan bersalut dengan tanah, selut dan lumpur.  Ini membawa kepada masalah kekejangan rantai (chainsuck).  Anda pernah kena?  Rantai tersekat dan tidak berputar lancar menyebabkan kayuhan tergendala.  Ini berlaku sebab tanah, selut dan lumpur yang berselepat menyalut rantai dan menyebabkan plet rantai dan pin tidak dapat bergerak bebas. Saya sendiri pernah mengalami masalah yang sama.  Dan tiada persediaan membawa minyak pelincir semasa berkayuh memburukkan keadaan.  Mujur ada kaedah rawatan kecemasan bagi masalah ini sekiranya kejadian berlaku di dalam ladang kelapa sawit.
Bila ini berlaku, rantai perlu dicuci dan diminyak.  Kalau ada bawa minyak pelincir rantai, mudahlah kerja.  Bagaimana kalau minyak tidak dibawa?
Kalau denai yang dikayuh di dalam kebun kelapa sawit, anda bernasib baik.  Buah kelapa sawit boleh menjadi pembersih rantai sekaligus meminyakkannnya.  Rantai kembali bersih dan berminyak selepas dirawat.  Bolehlah anda meneruskan kayuhan setidak-tidaknya untuk keluar dari denai.
Bagaimana caranya?
Buah kelapa sawit ( Elaies guineesi) masak
 Apa yang diperlukan hanyalah sebiji buah kelapa sawit masak.  Biasa kalau di kebun kelapa sawit, buah ini banyak berserakan di tanah.  Hanya sebiji diperlukan.  Lebih afdal kalau diminta izin dulu daripada empunya ladang.



SOS - Mencuci dan Meminyakkan Rantai
Langkah Tindakan
1
Rantai berkerak


Sandarkan basikal atau terlentangkan basikal.
Tukar gear supaya rantai berada pada keset tengah.

Tengoklah rupa rantai yang kering dan berkerak dengan tanah dan lumpur tu.
2
Lekapkan buah kelapa sawit pada rantai di sebelah atas pulley bawah.  Putarkan rantai ke belakang supaya rantai menyagat buah kelapa sawit.  Plet rantai akan memotong buah kelapa sawit.  Minyak olein di dalam kelapa sawit akan membasahkan rantai.  Sabut kelapa sawit akan bertindak sebagai berus untuk membersihkan rantai.  Terus memutar rantai sehingga rantai bersih dan berminyak.
3

Lekapkan buah kelapa sawit tadi pada pulley bawah pula.  Putarkan rantai supaya gerigi pulley akan menyagat buah kelapa.  Kesannya sama seperti di langkah 2. 
4
Lekapkan buah kelapa sawit tadi pada pulley atas pula.  Putarkan rantai supaya gerigi pulley akan menyagat buah kelapa.  Kesannya sama seperti di langkah 2.
5
Selesai...Perhatikan rantai dan pulley yang sudah dibersihkan dan diminyakkan.

Bolehlah anda meneruskan kayuhan...


Lihat pada bahagian kelapa sawit yang disagat oleh rantai dan pulley.  Nampak bahagian bersabut?  Nampak minyak kelapa sawit?

Semoga panduan ringkas ini berguna dan dapat membantu anda. Selamat mencuba!!!

Monday, July 16, 2012

TEKKORA - Mendaki Dengan Jaya!

Nama dalam tajuk posting tidak ada kena mengena dengan satu jenama basikal.  Kalau ada, hanya satu kehampiran kebetulan.  Apa maksud disebaliknya?  Akan dilondeh satu persatu sekejap lagi.  Biasala, mesti banyak kona dulu baru sampai ke tujuan.

Berkayuh MTB mendaki bukit atau gon (loghat utara untuk bukit kecil) memerlukan kudrat dan kekuatan lebih daripada berkayuh di laluan landai.  Ramai yang sudah menjadi korban (bukan korban maut ya!) bila berhadapan dengan pendakian, terutama yang curam dan panjang.  Akhirnya hanya mampu berada di sisi basikal gerek dan berpimpin mesra mendaki bukit bersama-sama.

Saya juga sama macam anda.  Peha dan betis cekeding.  Tiada otot dan urat sasa.  Memang sering-sering diketawakan bukit dan gon.  Dada pula tidak bidang.  Peparu dah bersarang dengan nikotin dan tar.  Kalau berjaya mengayuh mendaki bukit curam dan panjang, terasa satu kepuasan yang amat sangat.

Bila saya balik kampung bulan lepas dan berkayuh bersama geng-geng Simpang Empat Tasik, saya jadi kagum dengan keupayaan beberapa pengayuh perempuan dalam kategori "makcik-makcik" (jangan marah noooo...) yang berupaya mengayuh melepasi bukit yang curam dan panjang.  Sayapun bisik-bisik tanya "Apa rahsia depa?".  Maka terjawablah persoalannnya.  Mereka adalah pengamal TEKKORA.  (Tudiaaaaa...mukaddimah.  Berjelaaaa).

Apa pula tu?  TEK KORA adalah ringkasan daripada TEKnik KORA-kora.  Kora-kora tu sebenarnya adalah kura-kura ikut sebutan loghat utara.  Jadilah teknik kura-kura itu TEKKORA.  Okay?  Boleh ikut?  Kalau tak boleh ikut, hampa lagi lembab dari kora.

Jadi apa yang dimaksudkan dengan teknik kura-kura?  Apa hubungkait kura-kura dengan kayuh MTB kerabat bukit dan gon?  Kaedah TEKKORA ialah kaedah mendaki bukit/gon yang curam dan panjang menggunakan gear rendah dengan cadence/putaran engkol yang rendah tetapi dengan kayuhan yang berterusan. 

Sayugia diingatkan kaedah ini kurang sesuai untuk mereka yang berkaki kuat macam kuda. Kalau nak menang perlumbaan, teknik ini bukan untuk dijadikan amalan.  Teknik ini untuk mereka yang mempunyai sepasang kaki yang comel dan stamina yang terbatas.  Kuncinya ialah "Kayuh perlahan lebih baik daripada menolak".  Jika anda tergolong dalam golongan ini dan berhajat untuk terus berkayuh mendaki bukit/gon curam dan panjang, mungkin kaedah ini untuk anda.

Bagaimana caranya?  Untuk permulaan, gunakan gear paling rendah (depan paling kecil, belakang paling besar) bila menghampiri bukit/gon.  Langut tengok ke atas untuk mengagak berapa ketinggian bukit/gon yang bakal dihadapi.  Perhatikan juga keadaan permukaan laluan.  Cuba kesan laluan yang paling kurang rintangan (lopak, bonggol, kayu dan sebagainya).  Kayuh dengan cadence perlahan.  Sekira-kira tidak terasa sangat rintangan pada kaki dan nafas serta jantung tidak berombak dan berdegup laju.  Kekalkan kayuhan dalam nada begitu.  Badan dibongkokkan sedikit jika dirasakan tayar hadapan menjadi ringan dan mudah terangkat.

Itulah mukaddimah TEKKORA.  Kekalkan kayuhan dalam gear dan ritma begitu.  Hati dan mental kena bersabar.  Kadang-kadang terdorong menerjah lebih sedikit apabila ternampak kawan di hadapan.  Konon nak bersaing.  Tanpa sedar terjahan mendadak begitu menyebabkan nafas jadi kencang dan tidak teratur.  Jantung juga berdegup kencang dan asid laktik mula merembes keluar melesukan dan melenguhkan otot-otot kaki.  Sabarrrrr...jangan terburu.  Kawan yang di hadapan itu belum tentu akan dapat meneruskan kayuhan hingga ke puncak.

Dalam pendakian itu mental memang akan teruji.  Pace kayuhan yang relaks akan membantu mengurangkan desakan untuk berhenti akibat pendek nafas dan kelesuan otot.  Sesekali langut ke atas untuk melihat sasaran.  Jangan ditengok lama-lama, nanti akan terasa azab dan siksa sebab masih jauh lagi.  Biarkan pandangan berada sekitar 2 meter di hadapan tayar.  Untuk mengisi masa luang, bolehlah diisikan dengan zikrullah.  Sambil kayuh dapat pahala, insyaAllah.  Bertasbih, bertakbir, bertahmidlah...Sambil berkayuh, perhatikan juga kelajuan.  Jangan sampai terlalu perlahan sehingga basikal melelong kiri dan kanan.  Jika terasa gear terlalu ringan, naikkan satu gear pada gear belakang.  Cuba kayuhan dalam gear itu.  Jika selesa, nafas tidak berterabur dan jantung tidak berdegup kencang melampau, boleh teruskan dalam gear tersebut.  Kalau tidak, kembali ke gear paling rendah.  INGAT!  Sasaran ialah untuk kayuhan tanpa henti menuju puncak.  Kelajuan soal kedua.

Untuk latihan mendaki, anda boleh guna kaedah ini dengan beransur-ansur membuat peningkatan gear dan kelajuan kayuhan.  Ulanglah sehingga anda tidak perlu lagi menjadi KORA.

Saya telah mengamal sendiri kaedah ini dan terasa puas hati dengan hasilnya.  Ia mungkin tidak menjadikan anda sekuat dan selaju jagoan-jagoan lain, tapi ia membantu untuk memberikan lebih rasa kepuasan diri bila bukit/gon tinggi dan curam boleh dikayuh keseluruhannya tanpa perlu menjejakkan kaki ke tanah ataupun berjalan berpimpin mesra dengan basikal.

Selamat mencuba!!!    


p.s. Posting ini saya tujukan kepada crew-crew Geng Kayuh Junjung yang memberikan inspirasi untuk posting ini.