Friday, April 02, 2010

Tangan Ke Empat???


Tangan Ke Empat

B ila mengerjakan kabel, terutama kabel gear, antara masalah dan cabarannya ialah menarik kabel supaya tegang. Teknik mekanik "sendiri bikin" ialah menggunakan playar untuk menarik kabel. Biasanya tarikan dengan tangan kosong tidak cukup untuk menegangkan kabel. Ditokok pula dengan hanya sebelah tangan saja boleh digunakan manakala sebelah lagi terkial-kial mengunci bol pengikat kabel.

Akal manusia anugerah Allah pantas mencari penyelesaian. Terhasillah alat ini. Nama biasanya ialah playar kabel. Dah tentu tak menarik dan membosankan. Sekali lagi akal manusia membuatkan namanya lebih menarik. Kerana alat ini bagaikan "tangan ke empat" pada sang mekanik, maka digelarkan alat ini TANGAN KE EMPAT (fourth hand). Kerja menarik kabel jadi lebih mudah. Kabel lebih tegang sekaligus menghilangkan kenduran dan menjadikan pertukaran gear lebih tepat dan jitu.

Kita berkenalan dengan alat ini dulu. Posting akan datang akan ditunjukkan cara penggunaan dan bagaimana menambahkan tangan menjadi empat...

Ada seorang dua kawan yang datang dari spesis pelik. Mereka (termasuk saya) akan jadi teruja bila melihat benda eksotik macam ni. Ya betullll...EKSOTIK. Susah nak jumpa. Harap mereka bersabar bila melihat gambar alat ini. Belajarlah mendidik jiwa supaya bersabar bila diuji sebegini. Tu...tutup mulut jangan bagi air liur meleleh.

Thursday, April 01, 2010

Spanar Kon

A nda pernah mengalami masalah roda gelong? Bila diperiksa didapati rim elok, jejari elok. Bila ditolak-tarik rim, ada terasa longgar. Nampak pada bahagian hub macam ada ruang kelegaan menyebabkan rim boleh beralih kiri dan kanan. Pergerakan yang sedikit inipun boleh mengganggu prestasi dan menyebabkan kerosakan pada hub dan bebola hub. Puncanya, kerana kon hub melonggar dan tidak mengasak pada hub dengan cukup. Andapun capai spanar saiz 16 anda dan cuba mengetatkan kon. Tapi...tak boleh masuk walaupun saiz dah betul. Ini kerana spanar biasa lebih tebal dari ruang yang ada pada kon. Maka, untuk melaraskan kon,anda perlukan alat ini - SPANAR KON.


Spanar kon dari Icetoolz. Saiz 13, 14, 15, 16,17 dan 18.

Set yang ini dibuat daripada keluli kromoli. Ada juga yang dibuat dari krom vanadium. Kuat dan tahan lasak. Tebalnya cuma 2mm berbanding spanar biasa yang tebal 5mm. Boleh menyelinap ke celahan kon. Saiz yang pelbagai kerana saiz kon juga begitu.

Untuk kali ini, kita berkenalan dengan alat ini dulu. Posting akan datang akan ditunjukkan cara penggunaan dan bagaimana melaras kon hub