Showing posts with label The Playgrounds. Show all posts
Showing posts with label The Playgrounds. Show all posts

Monday, October 03, 2011

Buat Overtime di Ofis Pada Hari Minggu


Papan tanda kecil menyambut kedatangan tetamu ke The Office.  Di pasang tinggi melepasi paras kepala.  Kena langut baru nampak.

Denai-denai di Bukit Kiara seolah hidup dan bernyawa.  Dinamik dan berevolusi.  Berubah, bercambah dan...sedihnya ada juga yang "mati".  Dimatikan oleh kerakusan "pembangunan".  Denai-denai di"hidup"kan dan dipelihara oleh tangan-tangan sukarela, yang cintakan alam dan kedamaian, tanpa upah walau sekupang dua. Malah, tangan-tangan itu bukan sekadar menumpahkan keringat, darah dan air mata, malah modal ringgit kupang juga.  Dan...yang lebih ironisnya ialah tangan-tangan itu bukan semuanya tangan-tangan anak watan, malah tangan-tangan mereka yang "menumpang" di bumi bertuah ini...***panjang pulak mukaddimah ni.  Kalau tak berjela bukan nama BC Kelolo laaaaaa...***

Kelahiran terbaru denai Kiara punya nama yang agak nakal.  Entah kenapa diberi nama "The Office"  - pejabat.  Barangkali untuk memudahkan para suami mendapat permit berkayuh.  Bayangkan bila isteri bertanya "Nak ke mana tu bang?".  Suami dengan mudah boleh menjawab, "Nak ke office, buat overtime".

Aku sempat beberapa kali bermain di sini.  Sejak kali pertama berkenalan, hati terus tertawan dan berkenan.  Kenakalan nama denai ini tidak terhenti di situ.  Di dalam The Office ada pula satu unjuran tambahan yang dinamakan Overtime.  Kenalah tu...masuk The Office buat Overtime.  Pandai depa ni.

Jambatan kecil pendahulu kepada pendakian batu.  

Terima kasih tersangat kepada pembina denai ini.  Nanti aku cuba tanyakan siapa sebenarnya yang telah bersusah payah menarah menyangkul membina denai ini.

Aku suka sangat denai The Office ini.  Beberapa sebab peribadi.  Pertama, muka denai yang dekat dengan Taman Lembah Kiara.   Dari Lembah Kiara, masuk ikut denai Carnival, hala ke kanan.  Panjat tebing batu sehingga sampai ke simpang.  Terus akan keluar ke jalan tar.  Kiri akan menyesakkan dada dengan LungBuster.  Kanan akan membawa anda masuk ke pejabat. Faktor suka kedua ialah jaraknya yang pendek sekitar 2km sahaja.  Ketiga, denai sempit singletrack dengan pelbagai alunan naik turun dan selekoh-selekoh tajam sungguh mengujakan bila dilayan.  Keempat, denai cabangan Overtime menambahkan perisa kepada The Office.  Kelima, The Office sedap dilayan dari kedua-dua arah ikut jam atau lawan jam.  Itu yang dapat aku gariskan setakat ini.  Anda tentu akan menyukainya juga! 

Simpang...

Untuk anda yang kemaruk untuk berkayuh tetapi punya masa yang suntuk dan terhad, layan saja The Office ini.  Tak cukup satu pusingan, belasah dua tiga pusingan.  Aku sarankan kayuh dua hala.  Pergi balik ikut laluan yang sama dan rasai keterujaannya.

Tak tahu nak pergi?  Laaa...nampak sangat tak biasa dengan Kiara.  Meh sini, kita kayuh The Office secara maya i.e. ikut bebelan BC Kelolo laaaa.  Sedia???

Dari Taman Lembah Kiara, masuk ikut laluan Carnival.  Sebaik memasuki denai, anda akan nampak tanjakan.  Ambil laluan kanan yang beralun naik kemudian meluru turun melalui jambatan kecil.  Pendakian curam berbatu menyambut anda.  Kalau kuah terjah kayuh.  Kalau tidak...tolak sajalah.  Ikut laluan denai menaik sehingga berjumpa simpang.  Di situlah muka denai The Office.  Cabang kiri membawa anda naik ke Lung Buster.  Terus akan membawa anda keluar ke jalan tar.  Untuk punch card masuk ke The Office, ambil denai kanan.  Set gear tengah - tengah, kayuh sedang-sedang dan basikal akan membawa anda melorot di denai sempit berliku.  Ada satu celahan sempit di antara batu besar dan pokok.  Jangan lupa tarik nafas supaya badan kecut sikit bila lalu sini takut tak muat.  Pokok-pokok muda dengan batang sebesar betis menaung denai memberikan teduhan.

Mukaddimah The Office

Rasa seronok saja meluncur turun.  Kemudian bertemu cabang di sebelah kiri.  Siapa yang berhajat nak buat overtime, sila belok sini.  Sedikit lencongan dengan beberapa cabaran tambahan.  Sebab itu dipanggil Overtime.  Pendakian sedang dan pendek dengan laluan berliku berhias belok-balik (switchback) berbeting (berm).  Denai beralun naik turun pendek dan pantas.  Kemudian bertembung balik dengan denai laluan utama The Office.



Bonggol-bonggol Overtime

Irama dangdut denai berterusan.  Gelek-menggeleklah basikal dan pinggul mengikut liuk lentuk denai yang meluru turun dengan beberapa terjunan dan terkaman pendek.  Denai kemudian melandai tanda sudah hampir ke penghujung sempadan The Office.  Denai bertingkat dengan belokan pantas ke kiri.  Pohon-pohon rimba, bertam berduri dan segala menjadi flora latar.  Denai masih lagi di bawah teduhan.

Tugas beratttt...

Melepasi kawasan ini bermakna anda sudah memasuki fasa 2 denai The Office.  Mode landai pada denai sempit singletrack diteruskan.  Laluan masih berliku menjamin kelansungan tahap keterujaan.  Boleh bermain dengan gear tengah sebelum kecerunan kembali mengganas.

Sekonyong akan membawa anda ke satu pendakian pendek di mana denai berpecah 2.  Denai kiri lebih memaafkan dengan kecerunan sederhana manakala laluan kanan menyergah anda dengan panjatan curam tetapi pendek.  Pengayuh marhaen seperti aku akan memilih laluan kiri.  Mereka yang macho dan mempunyai betis dan peha seperti kuda akan memilih laluan kanan.

Denai dibawa ke kawasan terbuka dan landai.  Ramai yang biasa berhenti di sini untuk menarik nafas dan menunggu kawan-kawan yang tertinggal di belakang.  Aku termasuk dalam golongan yang ditunggu.  Slow and steady bro!

Sambung lagi dengan meratah denai landai yang agak terbuka.  Di sebelah kanan ternampak kawasan lapang dengan tanda-tanda pembangunan rakus mula menerjah kawasan itu.  Sesuatu yang merisaukan.  Denai akan sampai ke simpang.  Kena perhati betul-betul sebab tak berapa jelas kelihatan dan terpisah dengan bonggol kecil dan belokan tajam.

Tugas lagi berattt...

Tukar ke gear rendah dan bersedia untuk menerjah kerana masa santai sudah berakhir.  Fasa mendaki bermula.  Cerun menaik landai pada mulanya beransur-ansur bertembah curam.  Rasa pedas ditambah lagi dengan belok-balik tajam mendaki.  Pendakian panjang menandakan litar The Office sudah menghampiri masa untuk punch-out.  The Office tidak akan melepaskan anda pergi sebegitu mudah.  Menghampiri puncak pendakian, ada pokok tumbang.  Pembina denai telah membina tanjakan untuk membantu anda melepasi pokok tumbang.  Terjah melepasi pohon tumbang dan terus ke puncak pendakian.  Anda akan bertemu simpang 3 yang menandakan waktu bekerja di pejabat sudah tamat.

Tanjakan melepasi balak tumbang

Tiba di situ, pilihlah sama ada untuk ke jalan tar di simpang kanan.  Atau memanjat denai Coronary Bypass atau...patah balik menongkah arus The Office!!!  Tak kurang hebat kelazatannya bila menongkah arus The Office.  Selamat bekerja!!! 



 

Monday, March 14, 2011

Permata Kota Bertambah Kemilau

S ebutir permata di tengah kotaraya aku pernah ceritakan di sini. Bukanlah permata nilam, berlian atau zamrud. Permata yang hanya tahu dinilai oleh jauhari yang berkuda besi beroda dua...Pembasikal lasak dari kota. Permata berupa denai-denai enak lazat tanah tanih bertatah cerun dan akar.

Sejak terpesona dengan kemilaunya, aku sering-sering berkunjung. Jadi satu kelaziman untuk melayan liuk lenggok denai Tasik Perdana pada setiap Jumaat, lepas habis kerja. Bermain di situ macam terapi membuang segala kusut serabut kalut hal ehwal pejabat yang seminggu terkumpul terhimpun bertenggek di atas bahu, tersumbat sendat di dalam dada. Gegar bermain di denai Tasik Perdana bagai menggoncang tubuh sehingga keluar jatuh luruh segala bebanan kepala. Lega rasa. Jadi, jangan terkejut kalau anda ke sana anda terjumpa dengan berbagai timbunan masalah..."

Jauhari tukang permata tidak berehat begitu saja. Tidak puas dengan litar utama yang berkeliling tasik, sang jauhari mencari batu lain untuk dipotong, diasah dan digilap. Dan usaha sang jauhari tidak sia-sia. Terhasil sebutir lagi permata kecil di sebelah permata besar. Bagai adik kakak lengkap melengkapi.

Bermula kepala denai ini di Jalan Ria. Kalau dari Jalan Tembusu, berhampiran Taman Rusa dan Kancil, ambil haluan utara ikut jalan tar. Laluan mendaki akan bertemu cabang Y. Ambil cabang kanan. Dalam 10 meter perhatikan longkang di sebelah kiri. Akan nampak kepingan kayu bagai titi kecil menutupi longkang. Itulah tanda permulaan denai.

Kayuh masuk melintas longkang dan tanpa segan silu anda diajak mendaki. Kecerunan 10-15%. Naik dan dan naik kemudian meliuk ke kanan. Landai sekejap kemudian mendaki lagi. Penat? Berhenti sekejap di wakaf yang tercongok di depan. Kalau nafas belum semput, kaki belum lenguh terus turunkan gear, kayuh naik lagi hingga bertemu pagar. Anda berada di belakang Taman Orkid. Sebab itu saya pandai-pandai namakan denai ini "Denai Orkid" Bukan nama rasmi. Sekadar rujukan saja sehingga nama lain yang lebih sesuai diberikan. Pagar itu tanda akan bermula irama baru dalam kayuhan. Bersedia!

Golek naik bonggol, tarik nafas, ponggong ke belakang pelana dan meluncur turun dan bersedia untuk membelok ganas ke kiri. Awas juga denai yang off camber. Salah terjah, memang akan dihumban ke bawah.

Begitulah rupa denai orkid tu seterusya. Denai beralun naik turun pendek dan tajam mendakap lereng curam. Tahap siap siaga anda perlu cemerlang untuk bertindakbalas dengan alun cerun. Nafas perlu dijaga, kaki harus bersedia menerjah. Mulut...nganga dan keluarkan bunyi sama ada "Wooohoooooo....", "alamak..." atau "adoyyyaiiiiiii...". Mana-mana yang sesuai ikut keadaan.

Sepanjang denai berada di bawah rimbunan pohon. Teduh dan tenang. Alun naik turun yang umpama jeram itu akan kembali tenang di penghujungnya. Akhiran cantik dengan aluan turun panjang dan melorot turun tebing curam dan berakhir berdekatan simpang antara Jalan Ria, Jalan Cenderawasih dan Jalan Perdana. Taman Burung di kiri anda, Memorial Tun Abdul Razak di hadapan anda. Untuk teruskan agenda, anda boleh ke kanan untuk ke litar utama. Ada jalan celahan masuk ke denai di tepi bulatan ke Planetarium. Atau...ambil kanan ke Jalan Ria untuk ke denai Taman Rusa. Ataupun...belasah sekali lagi denai orkid!

Aku telah beberapa kali ke sini. Memang tujuan aku untuk mengambil gambar untuk ditempel di blog. Entah apa hikmahnya, ada saja halangan untuk bergambar. Sudahnya, tiada gambar dapat dikongsi. Natijahnya, anda tak boleh tengok gambar, maka...kena la rasa sendiri!...Ha...apa lagi. Bawak la basikal pergi kerja!.

Monday, February 28, 2011

Lagi Krim di FRIM

Muka denai Bukit Putus. Apa yang putus?

D alam posting saya FRIM...Lazat Berkrim terdahulu diserlahkan denai Dream, Syabas dan Pacat. Dan denai di FRIM tidak berhenti berevolusi. Kali ini BC Kelolo nak kongsi pula al kisah denai yang boleh memecahkan jantung, paru-paru dan tempurung kepala...Nah, hadaplah denai Bukit Putus dan denai Puncak Helipad.

Untuk sampai ke muka denai, anda perlu berjerih dulu mendaki Steroid yang sudah masyhur seantero dunia itu. Sebaik selesai mendaki pendakian kedua, anda akan berjumpa cabang 3. Dulunya dua sahaja. Cabang kiri membawa anda turun dari Steroid. Cabang tengah membawa anda ke langsung ke Puncak Helipad. Cabang kanan ke Bukit Putus. Di situ ada papan tanda "Bukit Putus". Untuk ke Puncak Helipad, anda boleh pilih cabang tengah atau cabang kanan.

Cabang tengah memberikan denai lebar di bawah teduhan sehingga ke kaki denai Puncak Helipad. Kalau anda mahu buru-buru lekas ke helipad, ambil cabang ini. Cabang kanan akan membawa anda ke denai Bukit Putus. Denai adunan singletrack dan doubletrack mendakap lereng mengelilingi Bukit Hari. Denai tenang dengan sedikit cabaran pedas bila tiba-tiba meluru turun kemudian naik kembali pada lereng sempit. Bahagian itu baru ditarah untuk membolehkan kayuhan. Sebelum ini bahagian itu "putus". Tak boleh dikayuh. Kena pikul basikal. Dari situlah asalnya nama Bukit Putus.

Denai Bukit Putus selepas bahagian yang "putus"

Denai tenang santai landai di bawah teduhan pohonan rimba. Tenang dan menyegarkan. Kira macam ganjaran kepada orang yang berjaya menyusahkan diri mendaki Steroid dan juga persediaan untuk mendera diri sekejap lagi untuk mendaki menuju puncak helipad.

Bahagian pacak untuk ke Puncak Helipad. Pergghhhh...

Penderaan bermula bila denai bukit putus bertemu simpang denai Puncak Helipad. Simpang patah kiri terus mencanak mendaki. Kecerunan lebih 45 darjah. Denai lebar dengan lantai dihias ambal daun kering pokok pine. Mendaki dan mendaki dan mendaki. Lidah boleh terjelir hingga ke lutut dan dagu boleh bertemu stem. Adegan menolak basikal biasa sangat dilihat di sini. Gear 2 speed dengan cog paling besar 34 gigi dirasakan tak mencukupi. Bagaimana pulak rasanya yang pakai gear 10speed 36 gigi? Ikut petua orang-orang tua, kalau mendaki begitu, tak payah laju-laju. Kayuhan tenang dan konsisten dalam gear rendah granny mak nenek. Pandangan jangan melangut tengok puncak. Akan mematikan mental. Pandang saja dua tiga meter di depan tayar sambil teruskan kayuhan tenang. Nafas jaga jangan berterabur. Menjadi jugaklah ikut petua tu.

Dah dekat sangat dengan puncak. Legaaaaa...

Lepas lebih kurang 200m mendaki pacak, barulah denai melandai sekejap. Sikit saja landainya cukup untuk merehatkan lutut yang dah lenguh, betis yang dah lesu sebab asid laktik banyak terkumpul. Denai kembali memacak selepas itu. Tapi...jangan gundah. Tabahkan hati kuatkan kaki sebab puncak sudah dekat sangat. Teruskan kayuhan tenang sehingga puncak digapai. Dan...tahniah! anda sudah sampai ke puncak Bukit Hari atau Puncak Helipad.

Bersila lega dan puas bila di puncak

Elok la berehat seketika di puncak menghirup udara kejayaan. Bukan senang nak sampai ke situ. Bila dada berombak kencang mulai tenang, pilihlah cara dan laluan mana untuk turun. Boleh turun balik ikut denai naik tadi. laluan turun pantas giler baban tak hingat hingga boleh menghauskan pad brek atau...untuk yang berani lagi macho, laluan turun teknikal singletrack tahap merah. Menyirappppp!

Denai turun Helipad bermula! Cerun menurun curam. Kalau tak berani, di sisi basikal la jawabnya. Dah penghujung denai baru datang berani.

Dari laman helipad, amik denai kecil ke dalam rimbunan hutan pine. Turunkan pelana, panjangkan fork depan, kerahkan semangat dan keberanian...Meluncur dengan berani-berani takut melayan denai sempit menyelinap di celahan pokok pine. Denai tiba-tiba meluru turun dengan curam dan mendadak dengan kecerunan sehingga 60 darjah. Ponggong di belakang pelana untuk pindahan berat, serentak dengan itu jari jemari menarik brek berkadar-kadar dan berhati. Tak mau terlebih tarik. Nisbah brek depan 75 peratus belakang 25 peratus diamalkan sebaik mungkin. Badan dilenggang lenggok membawa basikal menari ikut alunan denai. Mata bagai sang helang, tajam dan pantas memerhatikan garisan kayuhan. Cukup mengujakan. Barang diingat, kalau tahap keyakinan berbaur boleh ke tidak, baik jangan digagah. Turun dan tunjukkanlah sifat dan bakat kepimpinan anda. Pimpinlah basikal sambil berniat di dalam hati untuk mantapkan lagi jurus menyusur turun cerun tahap lapan belas. Denai singletrack kembali berjumpa dengan muka denai Bukit Putus. Tamatlah satu keterujaan. Kalau rasa tak cukup, panjatlah Puncak Helipad seali lagi.

Gabungan Bukit Putus dan Puncak Helipad memang duet yang mantap. Kalau sudah memanjat Steroid, tidak lengkap rasanya kayuhan kalau tidak menjamah Bukit Putus dan Helipad. Kalau anda belum pernah merasa, elok tanam azam untuk mencuba bila-bila anda ke FRIM lagi...

Model : Zamri dan Megat. Senior aku masa kat sekolah menengah. Susah payah mai dari Penang sebab nak merasa FRIM.

Wednesday, November 17, 2010

Sebutir Permata Di Tengah Kotaraya

D i mana agaknya lokasi gambar di atas di ambil. Mungkin susah nak mengagak. Maklum kalau gambar denai kat mana-mana nampak lebih kurang serupa saja. Baik FRIM, Kiara, Ulu Yam, PCP dan seumpama. Bagaimana kalau aku katakan yang gambar di atas diambil di TAMAN TASIK PERDANA. Ada yang jatuh dagu? Ini betul-betul, bukan cubaan.


Siapa sangka di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur ada denai MTB. Tambahan pulak Tasik Perdana itu antara laluan biasa kayuhan malam GLC, tak pernah pulak perasan ada denai kat situ. Mungkin sebab biasa lalu situ waktu malam gelap kot. Kemudian, sampailah khabar ke telinga yang di Tasik Perdana ada denai mountainbike. Aku tak berapa ambil pusing. Biarlah...kalau adapun. Denai lain lagi berlambak kat KL nih...Sombong la konon.

Kitaran kehidupan meletakkan kita dalam situasi berbeza. Bila pergerakan terhad, nak berkayuh jauh dari rumah terhalang. Timbul balik minat untuk meninjau denai Tasik Perdana. Amik kau, hari tu sombong sangat. Sembang-sembang di chatbox BBSdan beberapa posting dari Facebook Khairul memberikan gambaran dan maklumat yang lebih lengkap sebagai panduan meneroka.

1 Nov 2010, Isnin. Aku kembali bekerja selepas seminggu bercuti. Dengan rencana sulit untuk meneroka denai Tasik Perdana selepas kerja, Sang Raksa aku heret ke pejabat. RnB hanya melihat saja bila aku mencelapak Sang Raksa pagi itu.

Petangnya selepas kerja, aku buru-buru salin kulit daripada baju pejabat ke baju kayuh. Beg messenger CheckerPlate besar gedabak warna oren aku sandang di belakang. Trafik petang sesak padat merangkak tidak menjadi halangan pada Sang Raksa. Meluncur ia pergi meredah Jalan Tuanku Abdul Rahman, membelok ke Jalan Parlimen dan akhirnya sampai ke Tasik Perdana dalam keadaan mencungap.

Lepas berehat sekejap, penerokaan bermula. Aku mulakan dari taman permainan (GPS N 03° 08.819 E 101° 40.895), menyusur laluan jogging ke arah timur. Kayuhan perlahan sambil mata melingas mencari kepala denai. Jam sudah 1830. Matahari meredup dan bertambah kelam di bawah rimbunan pokok jejawi besar yang tercongok di situ. Tu dia! (N 03° 08.786 E 101° 40.874) Nampak samar laluan di atas kawasan berumput melepasi bonjolan-bonjolan akar jejawi. Rumput menipis dan nampak macam bekas pijakan dan lenyekan tayar. Bermula pencarian dan penerokaan sebenar... Aku berkayuh masuk dengan perassan di bawah jangkaan. Dan... aku tersalah jangka. Denai sememangnya di luar jangka. Denai singletrack dalam rimba beralun naik turun membuatkan kita terlupa sebentar yang kita berada di tengah kotaraya. Muka denai bagaikan portal masuk ke alam dan dimensi lain...Aku kayuh gopoh gapah meninjau denai sementara sinaran mentari masih bersisa...

Salam perkenalan pertama tidak berlaku dengan baik. Aku sudah salah langkah rupanya. Aku sudah ikut arah pusingan yang di luar tabi'e. Padan la mencungap. Lebih mendaki daripada meluncur turun. Cerun curam pulak tu...

Sesi pertama di susul dengan sesi kedua dan ketiga beberapa hari kemudian. Sesi kedua masih takut-takut dan seriau-seriau sebab berkayuh seorang diri bila senja menjelang. Tambah pulak di tempat kejadian pernah ditemui mayat seorang perempuan kena bunuh. Sesi ketiga bertambah baik sebab aku sampai lebih awal dan...ada penunjuk jalan yang sudi mengiring. Terima kasih Khairul Token dan Faizal. Aku juga berkesempatan berjumpa dengan Abah, orang lama yang bertanggungjawab membina denai MTB di Taman Tasik Perdana.

Jadi apa yang istimewanya denai Taman Tasik Perdana? Pertama, ia terletak di tengah kotaraya Kuala Lumpur. Senang dan dekat untuk meluncur pergi sebaik habis kerja bagi mereka yang bekerja di tengah kota. Kedua, denainya pendek sahaja, sesuai untuk bermain selepas waktu kerja. Ketiga, lokasinya di Taman Tasik Perdana yang dipenuhi dengan berbagai kemudahan lain. Boleh bawa keluarga bersantai di situ sementara anda pergi berkayuh. Dan banyak lagi yang tak tersenarai di sini...

Jom kita teliti denainya dengan lebih terperinci. Sedia? Sekiranya anda berkereta, elok parkir di medan parkir berhampiran taman permainan di sebelah Lebuhraya Mahameru. Ruang luas dan ada kedai minum di situ. Dari situ boleh berkayuh santai ikut jalan Kebun Bunga hingga berjumpa cabang ke Jalan Tembusu. Ambil kiri ke Jalan Tembusu kemudian simpang ke kanan di depan Taman Rusa dan Kancil. Jalan berturap mendaki membawa anda ke muka denai (N 03° 08.578 E 101° 41.128). Denai singletrack di sebelah kiri laluan jogging hanya samar kelihatan.

Pembukaannya mendaki sederhana menyusur hampir selari dengan laluan jogging. Peneroka denai telah menjalankan tugas dengan baik menarah denai melalui padang rumput, menyelinap beberapa pokok dengan akar-akar berselirat merintang laluan. Anda dibawa daripada aras 60m ke aras 80m berhampiran dengan Planetarium Negara dalam jarak 350m.

Penat jerih anda mula berbaloi kerana denai akan mula menurun. Bermula perlahan kemudian berdesup turun laluan singletrack dengan kesudahan yang agak curam berhampiran terowong ke Muzium Negara. Sedap bermain downhill pendek dan pantas sejauh 300M.

Laluan bertemu kembali dengan trek jogging berturap. Jangan ingat denai sudah habis. Belok ke kiri kemudian di sebelah perdu buluh kuning di situ ada muka denai. Masuk ikut situ dan ikut laluan tepi lereng dan keluar kembali ke jogging track kira-kira 15M di hadapan.

Akan terbentang satu kawasan lapang dan landai. Ada pintu pagar yang berhadapan dengan Persiaran Mahameru. Denai bermula dari padang lapang, mendaki denai sempit di tepi lereng masuk ke dalam hutan sekunder. Satu luruan turun dengan belokan pantas ke kanan menyusul sebelum kembali tenang dan melandai pada satu kawasan lapang lagi. Jarak dalam 480M.

Sempat mencuri nafas seketika sebelum meneruskan pendakian. Laluan teduh dan suram di bawah lindungan pokok. Lantai denai dilitup daun kering. Memang terlupa terus yang sebenarnya anda sedang berada di tengah kotaraya. Cerun menaik dengan rintangan akar pada beberapa tempat. Denai melandai sekejap kemudian meluru pantas turun pada tebing curam. Larian terus pantas sehingga membawa anda ke lapangan ketiga.

Penutup kepada litar ini menjanjikan nada yang sama. Naik dan naik denai sempit yang mendakap lereng kemudian meluru turun. Kalau anda berhati kering, boleh belasah meluru laju dan melompat turun denai, selain dari bergolek turun macam biasa. Denai melandai bersebelahan trek jogging dengan akar-akar berselirat dan sepohon besar pohon jejawi tercongok di hadapan menandakan denai sudah di penghujungnya. Taman permainan yang disebutkan pada awal posting hanya beberapa meter di hadapan.

Laluan hampir 3km itu mampu membuat anda tercungap dalam keterujaan. Cukup untuk orang yang tak sempat ke denai lain pada hujung minggu. Cukup untuk melepaskan gian. Kalau rasa tak cukup, belasah satu pusingan lagi...Terima kasih pada Abah dan sukarelawan lain yang berusaha membina denai. Memang denai Taman Tasik Perdana bagaikan sebutir permata di tengah kotaraya untuk peminat MTB

Gambar-gambar ketikan kamera poket murahan boleh ditonton di sini.

Friday, September 03, 2010

FRIM...Penuh Krim!

F RIM. Forest Research Institute of Malaysia INSTITUT KAJIAN PERHUTANAN MALAYSIA - Satu kawasan hutan rimba terpelihara di pinggir bandaraya Kuala Lumpur. Memasuki kawasan FRIM bagaikan berada di alam lain...Alam cerita dongeng dengan pari-pari barangkali. Untuk peminat basikal lasak, FRIM menawarkan jaluran denai yang mengujakan.

Sekian lama, FRIM menjadi medan perkenalan dengan mountainbiking. Sesiapa yang mahu menempa "penyakit" berbasikal lasak memang disaran mencuba FRIM dulu kerana denai tahap sederhana FRIM memang sesuai untuk mereka yang masih berdarah manis. Itu dulu!

Dengan hadirnya gerombolan pembasikal lasak di kalangan kakitangan FRIM sendiri, denai FRIM beransur berubah wajah. Denai lebar tahap sederhana mendapat unjuran-unjuran baru. Denai sempit yang dengan kecerunan menyirap darah dihias dengan akar-akar berselirat. Cuaca basah pula akan menambahkan lagi perisa kayuhan dengan denai licin dan berlumpur. Bersiaplah untuk mencium tanah!. BC KeLoLo akan membawa anda menggapai impian, di THE DREAM dan menggelitik kegelian pacat di PACAT TRAIL. Sedikit sorotan juga pada denai-denai lain yang tidak kurang panasnya.

MENGGAPAI IMPIAN - THE DREAM

Sedikit sejarah ringkas The Dream. Pembinaan bermula sekitar Mac 2006 dengan restu pengarah FRIM sendiri. Aliran denai adalah cetusan minda Pat Brunsdon, seorang veteran dalam pembinaan denai, dengan bantuan kakitangan FRIM dan sukarelawan peminat MTB lain. Pembinaan Dream adalah gabungan usaha menghidupkan denai lama dan terbiar, dan pembinaan denai-denai baru menggantikan denai lama yang kurang sesuai.

The Dream membuka lembaran baru dalam denai di FRIM. Denai lain lebih bersifat denai lebar, beralun mudah tanpa banyak cabaran teknikal. The Dream membawa pembasikal lasak ke satu tahap lain. Jaraknya dikira pendek sahaja. Lebih kurang 1.7km. Tapi, jarak pendek itu jangan dipandang sinis...Jom kita kayuh The Dream secara maya (i.e. dengan leteran dan bebelan BC KeLoLo)

Jalan Bukit Bujang...Gerbang utama mencari mimpi.

The Dream memulakan mimpi dari Jalan Bukit Bujang. Jalan tar mendaki. Dah berpeluh keting memanjat jalan tar ini. Lebih kurang 150m, akan bertemu simpang jalan denai. Anda boleh belok kiri untuk jalan pintas atau terus saja ikut jalan tar.

Terus akan membawa ke penghujung jalan tar dan bersambung dengan denai lebar. Berkayuh nyaman di bawah naungan rimbunan pohonan tua. Tenang, nyaman dan menyegarkan. Sesekali kena bertepuk bertampar dengan nyamuk tempatan yang sememangnya ramah tamah menyapa tamu. Jalan beralun dengan beberapa pendakian manja buat pemanas keting. Jalan lengkok U itu akan bertemu kembali dengan jalan pintas tadi. Belok kanan bila bertemu simpang T dan kepala denai ke Dream akan terbentang di depan mata.

Gambar diambil dari simpang denai. Kayuh ke arah denai atau teruskan kayuhan ke jalan tar sebelah kiri di dalam gambar. Pemanas badan...denai lebar di bawah teduhan pohonan rimba.

Jalan pintas belokan kiri pada jalan denai juga menawarkan senario yang sama. Muzik latar kayuhan disulam bunyi tayar menggerutup dedaun dan ranting kering sambil riang-riang bersahut-sahutan mendendang irama hutan acapella.

Pintu masuk ke dunia mimppi...
Bermacam perisa ada...batu, kayu, akar, lumpur...

Denai lebar tiba-tiba melebar dan terhenti bagaikan sampai ke satu halaman di dalam rimba. Laman bagaikan taman bunian. Sayang sedikit kadang tercemar dengan sepahan botol air mineral dan pembungkus makanan. Bilalah rakyat Malaysia boleh bersikap lebih beradab dan bertamadun menghormati dan memelihara alam? Biasa di situ, pengayuh akan berhenti sebentar. Mengambil nafas sambil menunggu kawan-kawan yang lain sampai. Sekali pandang memang tak perasan ada denai kecil menyusur turun dan melibas ke kanan. Selamat datang ke Dream...bermula impian (atau mimpi ngeri) anda.

Denai sempit bagaikan terselindung di sebalik pohonan renik. Lantai dihias akar sebesar lengan melintang laluan. Cerun sedikit menurun memungkinkan kemasukan dengan lajakan. Tak perlu turunkan pelana. Sedia dengan gear belakang tengah, depan tengah. Kayuh dengan cadence sederhana. Tujahan keras diperlukan pada beberapa tempat untuk melepaskan rintangan akar. Denai sempit mendakap lereng, mendatar pada mulanya...

Makin lama batu makin besar.

Selepas belokan kiri pertama, akar makin bertambah, batuan sebesar bola pula diadun bagi menambah perisa. Alur mula menurun. Kalau takut-takut dan kurang kemahiran, memang cuak dan melelahkan. Lebih baik seru semua keberanian dan kemahiran. Jaga keseimbangan, pindahkan berat ke belakang pelana, berdiri dan bersedia untuk bermain-main brek. Jangan dikacip mati, cukup sekadar lenturan tuas perlahan dan berdikit sekadar memperlahankan basikal. Dan...meluncurlah. Perhatikan laluan mendatang dan bersedia. Ada satu dua bahagian yang ada senggang setinggi sekaki hingga satu setengah kaki. Dengan ampaian, sedikit kelajuan dan keberanian, senggang boleh dihadapi dengan mudah. Terpulang anda untuk bermimpi atau membiarkannya menjadi igauan.

Batu sebesar bilik dengan denai sempit curam

Habis bahagian meluncur turun tiba-tiba tercongok cerun curam memanjat. Laluan pula sempit menyusur di antara dua bongkah batu sebesar bilik. Pengayuh handalan akan boleh melepasinya dengan sedikit susah payah. Kebanyakan yang lain hanya mampu mendukung basikal dan memikulnya naik.

Laluan mendaki curam dan berakar

Nada menaik berterusan. Cerun agak curam dengan akar berselirat. Boleh lagi digagahkan berkayuh. Untuk ekor keras, boleh berkayuh sambil berdiri. Untuk ekor lembut, anjak bontot ke hadapan pelana sedepan mungkin. Jangan malu dan segan menggunakan gear granny. Kayuh perlahan dan beransur mencelapak cerun. Ia boleh dilakukan. Untuk lebihh cengkaman, pastikan tekanan tayar tidak terlalu keras. Memadai dengan 35-40psi.

Legaaaa...kecerunan sifar

...tapi banyak jerangkap samar yang suka menangkap pedal anda

Denai melandai semula adalah petanda baik. Walau landai, lantainya berceragah dengan batu. Salah terjah, crank dan pedal terhenyak. Semuanya perlukan kemahiran - keseimbangan dan pemasaan yang kena dan tepat untuk melepasi cabaran batu.

Belok balik 1...pemanas awal

Belok balik 2...makin hangat

Belok balik 4...Panas menggelegak

Keluar dari igauan zon batu, denai mula melorot turun. Denai sempit mendakap lereng yang boleh menyirap bandungkan darah kalau asyik terpandang ke gaung. Laluan tidak dimudahkan begitu saja. Ada 4 belok balik (swithback) menanti. Dengan belok balik pertama dikira paling mudah kemudian beransur meningkat cabaran kesukarannya. Belok balik ke 4 paling mencabar. Kemasukannya senget dengan gaung dalam menanti di depan. Selekoh pula sempit. Tambah mencabar kalau malamnya hujan. Licin! Setelah beberapa kali mencuba, saya dapati kebarangkalian berjaya mengambil selekoh lebih tinggi kalau dimasuki dengan sedikit kelajuan. Dengan mengikut laluan luar, sambil bontot dipindah ke belakang pelana, keseimbangan dan pengambilan selekoh jadi lebih mudah. Mainan brek membantu mengawal kelajuan supaya tidak terhumban.

Melepasi belok balik ke 4 adalah satu bonus. Terasa kepuasan yang amat sangat ditambah pula laluan seterusnya meluru turun pantas. Cuma berjaga dengan alur air di tengah denai. Belasahlah semahunya kerana anda memang berhak! Denai pantas membawa anda ke laluan menurun berbatu yang nampak mengerikan. Tetapi...bila garisannya telah dikenalpasti, laluannya mudah saja. Dan jangan terkejut bila tiba-tiba ada jambatan kayu yang bukan main cantik lagi di tengah rimba. Rilek, itu bukan jambatan dalam kampung bunian...Terima kasih FRIM kerana membuat jambatan yang bukan main cantik lagi. Jambatan itu macam penanda bahawa The Dream sudah hampir ke penghujungnya.

Jambatan kayu cantik terjerogok di tengah rimba

Keluar dari jambatan, denai landai memudian mendadak mendaki. Kekalkan kelajuan selepas jambatan supaya cukup momentum untuk memanjat cerun tersebut. Sebaik melepasinya, laluan keluar Dream terhampar di hadapan. Laluan menurun dengan belokan kiri pantas di bawahnya. Memang mencuakkan, tapi satu penutup tirai yang hebat bergaya. Dahulunya, sengaja direnggangkan di antara batu besar dengan denai Rover bagi "memaksa" pengayuh turun dari basikal dan memimpin basikal keluar dari Dream. Ini dibuat untuk keselamatan kerana pintu keluar Dream bertembung dengan denai Rover Track yang sibuk dengan pengunjung. Baru-baru ini, crew FRIM telah membina jambatan kayu yang membolehkan basikal dikayuh keluar dari Dream. Memang lebih mudah. Cuma beringatlah semasa keluar supaya tidak terlebih ghairah. Takut petaka yang mendatang.

Sampai ke Rover Track tanda mimpi sudah berakhir. Hanya 1.6km tetapi menawarkan keterujaan hebat. Tak puas? Ulang la sekali lagi...Kalau dah, teruskan mengambil laluan kanan Rover Track menuju satu lagi krim di FRIM...PACAT TRAIL.


EEIII, PACAT! GELI!

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut diketit pacat, jangan gatal nak main basikal". Karam Singh Walla Walla melaporkan dari FRIM. Crew FRIM menjadi pahlawan cangkul lagi sekali menarah denai yang penuh lazat berkrim untuk disantap oleh pembasikal-pembasikal lasak. Denai ditarah untuk menyambut acara Green Cycle pada 06/06/2010. Sekalung penghargaan kepada Majid, Zain dan kawan-kawan.

Seperti The Dream, yang tersorok jauh ke dalam denai, Trail Pacat juga begitu. Sebelum boleh meratah Pacat Trail, anda perlu mendera betis dan peha, mengharung pendakian curam.

Gerbang mencari pacat. Denai di sebelah kanan gambar ialah Rover Track. Perhatikan papan tanda "LOJI PEMBERSIHAN AIR KEPONG"

Laluan bermula di penghujung Rover Track. Sebelum anda meluru turun larian deras tarmac, akan ada simpang ke kanan ke tangki air. Tukar gear rendah dan bersedia untuk mendaki. Pendakian tarmac dengan kecuraman sehingga 15%. Cuba kekalkan cadence pada gear rendah. Kuatkan mental kerana sepanjang jalan batin akan menjerit minta diberhentikan penderaan dan berpatah balik. Satu kelegaan dan kepuasan yang amat sangat bila berjaya sampai ke tangki air tanpa berhenti atau menolak. Tapi...jika terpaksa berhenti dan menolak, jangan patah semangat. Teruskan! Kerana di hadapan, kelazatan menanti. Sungguh!

Mencanak naiknya...

Berjaya!!!

Bila sudah sampai ke tangki air, bolehlah berehat sebentar. Kalau kaki masih kuat, terus saja menerjah ke Syabas Trail. Syabas Trail adalah denai yang lari di atas laluan paip air. Paip dengan garis pusat 18inci (anggaran), menghias sepanjang laluan. Hanya sedikit bahagian atas paip yang terbonjol di atas tanah. Denai masih di bawah naungan teduhan rimba. Alun naik turunnya santai bersahaja. Cuma diperingatkan agar berhati-hati bila melintas paip. Sesetengah bahagian licin dan sudah ada yang mencium bumi bila tayar hilang cengkaman bila berlari di atas paip.

Syabas kerana sampai ke Syabas Trail!

Paip air sepanjang denai

Dan bila anda merasakan sudah sedap selesa berkayuh di sisi paip, keenakan anda akan disentap dengan rakus. Sekonyong terbentang cerun curam. Pada sisi kanannya sudah ditambak konkrit siap dengan selusur tali untuk anda berpegang. Cerunnya hampir 45°. Sayupppp...puncaknya tidak kelihatan terlindung di sebalik lengkuk kecerunan. Muka denai Pacat Trail betul-betul di atas puncak. Gagahkanlah diri anda memikul basikal kesayangan anda mendaki cerun. Memang mencungap. Kalau ada sesiapa yang boleh kayuh hingga ke atas, memang boleh bagi satu tabik spring!

Cerun yang boleh menyebabkan anda kena buasir...

Pendakian menyeksakan ini dibahagi dua. Sebelah tanah togel dengan beberapa bahagian dipakuk sperti anak tangga. Cuma anak tangga itu besar dan tinggi. Lebih sesuai untuk kelangkang Sang Kelembai, bukan manusia biasa. Sebelah lagi diturap konkrit. Permukaannya berlumut menjadikannya licin dan susah mendapat jejak yang mantap. Ah...FRIM bermurah hati membina pemegang selusur, besi dipancang bertakat-takat dengan tali sebagai pemegang. Mudahlah sikit kerja-kerja memanjat cerun. Mencungap!

Muka denai Pacat Trail. Kalau cuaca lembap, merenyut menatang penghisap darah tu...

Puncak derun melandai dan megah terpancang di situ papan tanda PACAT TRAIL. Jangan tanya sama ada ada pacat atau tidak. Satu kelegaan menerpa bila sudah di muka denai. Berehat la sekejap menghilangkan dup-dap dup-dap jantung.

Mengambil nafas sebelum menjamu pacat

Pacat Trail bermula dengan cerun curam sempit. Kalau berani boleh turun laju-laju. Dalam 10meter, ada sebongkah batu dan denai membelok ke kanan. Ramai yang kecundang di sini.

Rendahkan pelana, pindahkan ponggong ke belakang pelana, gentel brek, dan meluru turun. Awas akar dan batu!

Denai melandai sekejap dan menyelinap di antara pohonan kemudian meluru turun lagi dengan pantas. Tebing gaung curam menanti di sebelah kiri anda. Denai memang pantas. Akar-akar berselirat, bersedia menguis tayar anda dari laluan. Kalau denai basah, bertambah perisa kayuhan anda dengan teknik drift. Aliran pantas, agak teknikal dan mencabar. Dijamin merembes adrenalin dengan laju.

Slalom celahan pokok Cerun pendek, pantas dan licin Kalau berani boleh "terbang"

Aliran deras tiba-tiba mengalir tenang dan anda boleh mengayuh perlahan dan malas keluar dari Pacat Trail. Dari denai sempit meluru laju, bertembung dengan denai lebar. Ke kiri boleh, ke kanan boleh? Mahu kiri atau kanan?

Ke kiri akan memberikan hamparan denai lebar dengan larian menurun. Denai lebar tetapi permukaan kayuhan tak lebar kerana hakisan. Larian turun sederhana pada denai tanah merah sehingga berakhir hampir dengan kaki Steroid.

Ke kanan akan menghadap pendakian pendek sederhana curam. Denai lebar dengan lantainya dipenuhi daunan dan ranting kering. Pendakian itu hanya sedikit ujian sahaja kerana sebaik denai kembali melandai, anda akan disajikan dengan sajian lazat. Balak melintang dibiarkan sebagai cabaran tambahan. Kayu-kayu kecil dipasak pada sisi menjadikan semacam tanjakan. Hanya kayuh, angkat tayar depan sedikit, imbang dan terus kayuh. Balak boleh dilepasi.

Selepas balak, laluan meluru turun dengan lebih laju dan berhadapan dengan selekoh "chicane" bentuk S yang memaksa anda melibas ke kanan dan ke kiri dengan pantas. Keghairahan bersambung dengan beberapa bonggol dan cerun kecil dan disudahi dengan larian turun yang curam dan panjang sebelum berakhir berhampiran kaki Steroid. Ada yang terlebih teruja merasa tak puas, sanggup menolak basikal untuk merasa lagi sekali. Anda dah pernah cuba? Kalau belum...cepat-cepat laaaa....

KUDAPAN LAIN - AROMATIC TRAIL

Selain daripada Dream dan Pacat, ada denai-denai lain yang tak kurang lazatnya...Yang patut dicelapak juga ialah Aromatic Trail. Saya selalu menjadikan denai ini denai "pencuci mulut" sebagai penutup kayuhan FRIM. Denainya pendek saja dalam 300meter. Boleh masuk terus dari Jalan Watson atau melalui Jalan Kapur, berdekatan dengan tapak semaian. Saya lebih suka masuk melalui Jalan Kapur selepas meluru turun denai batu kerikil hala balik dari Bukit Hari. Kepala denai adalah denai lebar di bawah teduhan rimbunan rimba. Boleh berkayuh mode tanang dan santai atau belasah ala-ala Julien Absalone nak menghampiri garisan penamat sebab kayuhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Kepala Aromatic Trail di sebelah kanan dekat dengan pertemuan denai dengan jalan tar (Jalan Watson). Kepala denai mencerun turun dengan akar sebesar lengan budak berserakan. Kemudian sedikit melandai dan melengkuk dalam bentuk U yang besar mendakap lereng. Saya suka belasah kayuh laju-laju. Mendengar gerutup daun kering dilanyak tayar bagaikan bunyi muzik lunak. Aromatic Trail berakhir bila bertemu dengan Jalan Watson.
Keluar dari Aromatic Trail dengan dada berombak dan nafas mencungap berbaur puas. Ada anak sungai pada penghujung denai, sesuai untuk berehat sebantar menunggu kawan-kawan. Boleh juga diambil kesempatan untuk mencuci basikal...Selepas itu terpulang anda. Mahu ke kafeteria untuk minum? Mahu kayuh Dream sekali lagi? Tepuk peha, tanya lutut...
Akan datang - Gambar dan video akan dimasukkan.