D alam setahun dua ini bagai ada ledakan dalam kegiatan berbasikal di Malaysia. Saya tidak ada perangkaan rasmi untuk menyokong pernyataan ini. Sekadar perhatian rambang dari bilangan pengayuh yang muncul di jalanraya dan denai-denai. Kedai-kedai basikal di sekitar rumah saya juga berkembang biak. Semakin ramai yang kembali berbasikal sama ada untuk
riadah, rekreasi atau sukan. Acara dan jamboree semakin banyak kedapatan hingga berpinar mata untuk memilih yang mana satu.
Dalam keghairahan untuk kembali berbasikal atau mencuba untuk berbasikal, ada beberapa tanggapan salah mengenai berbasikal. Saya cuba kongsikan beberapa pemerhatian sebagai panduan kepada mereka yang ingin/bercadang untuk berbasikal. Pemerhatian ini merangkumi semua jenis basikal secara umum. Jika khusus untuk jenis-jenis tertentu, akan dinyatakan.
10 Salah Tanggapan Umum Tentang Basikal (Bukan dalam urutan kepentingan. Nombor hanyalah sekadar untuk rujukan)
10. Lagi mahal lagi bagus.
Lagi mahal harga sesuatu basikal, lagi bagus basikal itu. Tanggapan ini mungkin benar pada permukaannya sahaja. Tidak semestinya. Untuk mereka yang belanjawan besar mungkin tiada masalah. Belanjalah berapa yang hendak dibelanjakan untuk sebuah basikal. Tetapi, untuk mereka yang terhad belanjawannya, tidak perlu bersusah payah berhabisan untuk membeli basikal yang mahal. Belilah basikal yang sepadan dengan kemampuan dan tujuan kayuhan anda. Saya selalu cakap... "Biar kayuhan lebih mahal dari basikal". Itu yang penting. Tingkatkan nilai kayuhan anda...
9. Pelana tinggi sangat. Susah bila berhenti.
Untuk mendapatkan keselesaan dan output kayuhan optimum, tinggi pelana perlu dilaras supaya kaki hampir lurus dalam keadaan rakap berada di bawah sekali. Bila dilaras begini, pengayuh terpaksa berginjat bila berhenti. Ramai, terutama yang baru berjinak, tidak selesa berhenti dalam keadaan begitu. Ramai yang lebih selesa dengan ketinggian pelana yang membolehkan tapak kaki berpijak penuh pada tanah bila berhenti.
Cuba fikir sejenak. Bila kita mencelapak ke atas basikal, adakah kita akan duduk bertenggek saja tanpa berkayuh? Berapa lamakah kita berhenti berbanding dengan berapa lama kita berkayuh? Jadi, kedudukan ketika berhenti atau berkayuh yang perlu diutamakan?
8. Lagi ringan lagi bagus. Boleh angkat satu jari woooo.
Sangat biasa kita dengar "Basikal ringan woooo... boleh angkat satu jari...". Satu jari sudah menjadi piawai keringanan basikal sejak sekian lama. Zaman saya sekolah rendah, piawai ini sudah digunakan. Memanglah basikal yang berat agak memenatkan bila dikayuh. Tetapi, tidak semua basikal yang ringan itu lebih bagus. Biasanya, untuk mendapat basikal ringan, poket anda juga kena diringankan untuk membeli komponen-komponen yang ringan, yang lazimnya mahal.
Tanya diri anda seringan mana anda mahu. Tanya juga diri anda berapa ringan sanggup anda ringankan kocek anda. Keringanan mungkin memberikan impak besar jika anda seorang pelumba. Tidak mengapalah untuk pelumba kerana lazimnya mereka mendapat tajaan. Bukan poket mereka yang meringan, tetapi kocek penaja. Untuk mereka yang berkayuh untuk riadah dan rekreasi, kelebihan berat sekilo dua tidak memberikan impak besar kepada prestasi kayuhan anda. Malah mungkin lebih baik kerana anda mendapat gerakerja otot yang lebih dek kerana berat itu.
7. Jangan pakai brek depan. Bahaya nanti tertonggeng.
Mitos pakai brek depan boleh tertonggeng ini sudah sekian lama menghantui pengayuh. Kalau betul penggunaan brek depan boleh menyebabkan penunggang dihumban melepasi palang hendal hingga tertomoih patah gigi, kenapa pengeluar masih memasang brek depan pada basikal? Baik tak payah buat langsung brek depan.
Yang jadi punca tertomoih bukan kerana brek depan tetapi kerana SALAH GUNA dan teknik membrek yang salah. Tahukah anda bahawa nisbah kuasa membrek yang betul ialah 80 : 20. 80% depan dan 20% belakang. Jadi, manfaatkan brek depan. Belajar menggunakannya dengan cara dan kaedah yang betul. Ia akan jadi penyelamat anda. Juga menyumbang kepada lebih keyakinan bila menghadapi halangan teknikal.
6. Segan la nak pakai helmet dan sarung tangan. Macam beria sangat.
Memang helmet/ topi keledar tidak boleh menjamin nyawa anda dari maut. Memang sangat. Akan tetapi...Kalau kepala terhantuk ke pokok atau tanah atau batu dan anda tak mati, tanpa helmet, sakit sangat rasanya. Saya sudah merasai sendiri beberapa insiden yang kesakitan kepala terhindar/ berkurang dengan pemakaian helmet...
Sarung tangan bergunan untuk mengurangkan keringsaan pada tapak tangan, membantu cengkaman bila tangan mulai berpeluh dan melindungi tapak tangan daripada luka apabila terjatuh.
Memang mulut orang akan berkata macam-macam. Tapi...andai berlaku kemalangan (yang kita tak pernah minta pun), yang sakit bukan mereka, tapi kita. Kita yang patut ikhtiar untuk keselamatan dan perlindungan diri sendiri...
5. Anu jadi lemah dan boleh mandul
Ini ketakutan dan mimpi ngeri pada pengayuh lelaki. Saya belum pernah berjumpa lagi kajian perubatan dan saintifik yang mengesahkan bahawa berkayuh basikal boleh melemahkan syahwat dan menyebabkan kemandulan. Memang ada satu dua kajian tetapi rumusannya tidak konklusif.
Di kalangan rakan pengayuh juga belum lagi berjumpa mereka yang menghadapi masalah syahwat dan kemandulan. Yang anak berderet, ramai...
4. Kedudukan tengah tapak kaki atas rakap/pedal
Persoalan ini berkait dengan persoalan pelana tinggi. Bahagian tengah tapak kaki diletakkan di atas rakap/pedal. Ini kerana anggapan bahawa kedudukan tengah itu kedudukan terbaik untuk cengkaman tapak kaki ke rakap dan juga keseimbangan.
Kedudukan tapak kaki yang betul ialah sepertiga hadapn kaki diletakkan di atas rakap sesuai dengan anatomi tulang dan otot manusia. Kedudukan ini memberikan tujahan kaki dan kecekapan maksimum bila berkayuh berbanding dengan kedudukan tapak kaki sama tengah.
3. Basikal ampaian penuh untuk keselesaan
Basikal ampaian penuh adalah basikal yang mempunyai ampaian ("spring" kata orang) di depan dan belakang. Saya sering-sering ditanya oleh orang yang nak bermula berkayuh yang menyangkakan basikal ampaian penuh itu untuk keselesaan. Kononnya, basikal tidak bergegar dan segala hentakan akan diserap oleh spring.
Anggapan mungkin benar untuk motorsikal dan kereta yang mempunyai berat lebih daripada basikal. Untuk basikal, tekanan angin pada tayar sudah boleh menyerap hentakan dan gegaran di atas jalan tar dan jalan tanah biasa. Tidak perlu ampaian jika kayuhan di jalanraya berturap yang anda inginkan.
Disebaliknya, ampaian pada basikal itu boleh menjadi musibah kepada anda. Kenapa? Daya tujahan untuk kayuhan itu tidak diterjemahkan atau dihantar sepenuhnya kepada putaran roda belakang. Sifat anjal pada sistem ampaian "mencuri" sebahagian daripada kederat daya tujahan anda. Kayuhan menjadi kurang cekap. Basikal akan berhenjut dalam apa yang dipanggil "pedal bob" (alunan kayuhan).
2. Lagi banyak gear lagi bagus
Gear pada basikal telah melalui evolusi yang besar dalam beberapa dekad ini. Bilangan gear dikira berdasarkan bilangan piring gegancu pada engkol dan bilangan piring pada sproket/keset. Menjadi tanggapan biasa bahawa lagi banyak gear lagi bagus. Pada satu ketika 3x7 dikira hebat. Kemudian muncul 3x8. Naik setakah lagi 3x9. Terus maju dengan 3x10. 30 gear engkau! Selepas itu datang 4x14 pulak. Cheh! Mana ada 4x14. Yang datang 1x11. Haaa! Kenapa pulak? Dari 30 bilangan gear, turun jadi 11 saja. Aikkk....?!!!
Nyatanya, bukan bilangan gear itu yang penting, tetapi nisbah gear yang boleh diraih daripada kombinasi gear depan dan belakang. Dalam sistem 3x9 atau 3x10, ada kombinansi gear yang memberikan nisbah gear yang bertindih. Dan ada juga kombinasi gear yang tidak dipakai. Kombinasi gear kecik depan kecik belakang dan besar depan besar belakang lazimnya tidak dipakai kerana rantai berada dalam kedudukan ekstrim. Jadi, jumlah gear berkesan yang sebenarnya bukanlah bilangan gear depan darab gear belakang.
Maka sekarang, pengeluar, setelah mengkaji gear untuk kegunaan optimum mendapati nisbah-nisbah gear tertentu yang diperlukan untuk basikal lasak. Sebab itu lahir sistem 2x10 atau 1x11. Cukup dan memadai tanpa perlu membawa beban berat berebihan.
1. Laju itu merbahaya!
Kelajuan itu bagaikan api. Kecil sangat, nak bakar apapun tak boleh. Bijak menggunakannnya, api berguna untuk memasak, melebur logam, membentuk kaca dan pelbagai kegunaan lagi yang memberi manfaat besar kepada manusia. Itu berlaku pada tahap kepanasan yang berbeza. Dibiarkan terlalu besar, akan menjadi tidak terkawal membakar luluh hangus rentung segala apa yang boleh dilahapnya.
Begitu juga kelajuan pada basikal. Ada tempat yang kita perlu perlahan, ada tempat yang kita perlu kelajuan untuk kayuhan yang lebih lancar dan upaya melepasi halangan.
Anda sebagai pengayuh, harus menjadi pengawal api yang bijak. Harus tahu bila api perlu dibesarkan dan dikecilkan dan harus pandai dan bijak mengawal marak api supaya anda mendapat manfaat sepenuhnya daripada kayuhan anda.
Nah, garapan di atas adalah hasil pemerhatian dan pengalaman saya berhadapan dengan mereka yang mahu berjinak dengan basikal. Mungkin tidak tepat sepenuhnya tetapi rasanya tidak tersasar jauh. Semoga catatan ini boleh menjadi penduan berguna kepada semua terutama yang mahu mula berjinak dengan basikal.
Showing posts with label panduan. Show all posts
Showing posts with label panduan. Show all posts
Tuesday, May 27, 2014
Thursday, April 11, 2013
Fulcrum Red Metal 5 Freehub Body
| Wheelset Fulcrum Red Metal 5 pada Sang Raksa |
Aku pakai lebih 2 tahun tanpa masalah, tanpa gelong. Puas hati! Apa bendapun kalau selalu dipakai, boleh jadi haus. Lepas 2 tahun lebih, dikesan kaset menjadi gelong. Aikkk...hairan juga pada mulanya. Selepas bicyclopsi, dikesan simtom disebabkan oleh freehub body yang gelong. Diagnosisnya, bearing di dalam freehub body sudah haus.
Aku buka bearing dan usung ke beberapa kedai bearing di KL yang aku tahu. Semua jawapan sama..."Ini bearing saiz spesel punya woooo...kita tak da jual ini bearing". Ahhhh...sudah. Rujuk laman web fulcrum dan dikenalpasti part number bearing ini ialah RM0-009 SEALED BEARING FOR FW BODY. Sambil cari-cari bearing ada pula Fulcrum jual freehub body yang serasi dengan RM5 ni. Part number untuk freehub body ialah RM3-122.
![]() |
| Dari Itali beb! |
Kemudian aku teringat Rodalink Singapura. Mereka pernah membantu aku sebelum ini dengan masalah lock nut untuk shaft Red Metal 5.
Aku e-mel ke Rodalink Singapura. Dengan segera dibalas oleh Jason Tan. Jawapan berserta cadangan. Jason mencadangkan supaya aku gantikan saja freehub body menggunakan RM3-122 yang serasi untuk Red Metal 5 dan 3. Freehub asal RM5 ialah RM3-022. Hujahnya kerana mengganti freehub body lebih mudah berbanding menggantikan bearing. Aku akur dengan saranannya. Ringkas cerita, pesanan dibuat. Semua urusan hanya melalui e-mel.
![]() |
| RM3-122 sebelah kiri, RM3-022 sebelah kanan |
Freehub yang rosak segera digantikan dengan yang baru dan wheelset Fulcrum RM5 pada Sang Raksa kembali bertugas. Bila diteliti, nampak beberapa perbezaan di antara freehub asal dengan RM3-122. Buatan nampak lebih kemas. Satu yang aku sangat suka, bunyi ketik ratchet RM3-122 lebih galak berbanding yang asal. Besttttt!
Jadi, untuk kawan-kawan yang pakai wheelset Fulcrum, tidak perlu berasa runsing sangat kalau perlukan alat ganti. Kalau Rodalink Malaysia tidak boleh membantu, hubungi terus Rodalink Singapura. Segala aduan dan pertanyaan boleh dibuat melalui ruang support laman web Rodalink Singapura.
Wednesday, April 10, 2013
Sindrom MENONONG
Berkayuh dalam jamboree atau hash tak sama macam kayuh hujung minggu. Kayuh hujung minggu biasanya di denai yang kita biasa. Laluannya kita sudah mahir. Atau setidaknyapun ada kepala yang mahir dengan laluan dan kita cuma main ikut saja.
Tidak begitu bila dalam jamboree atau hash. Bila berjamboree atau hash, kita berada di kawasan asing, kawasan yang kita tidak biasa. Semuanya kali pertama. Semuanya asing dan misteri. Laluannya, rupabuminya, halangan dan cabarannya...Sebagai panduan, laluan akan ditanda. Tandaan yang biasa untuk jamboree ialah riben keselamatan putih merah, semburan cat dan papan tanda. Ada juga menggunakan carikan kertas seperti yang dibuat oleh penganjur hash. Secara peribadi, saya lebih suka teknik taburan kertas kerana ia organik dan nyahbio (biodegradable). Jalur plastik keselamatan mudah dan senang tetapi mengambil masa lama untuk mereput.
Manusia memang cenderung mengikut tabiat. Dan tabiat berkayuh weekend warrior hujung minggu terbawa bila berkayuh jamboree atau hash. Sindrom MENONONG. Sindrom suka berkayuh mengikut orang di hadapan. Sindrom ini tambah parah bila badan sudah letih. Peluh dah membasahi badan, Otot sudah diracuni asid laktik dan ancaman kekejangan sudah bertubi melanda. Kepala sudah dirasuk keinginan mahu segera sampai ke garisan penamat. Perhatian kepada tandaan laluan terabai. Kepercayaan untuk mencari laluan yang betul diserahkan bulat-bulat kepada orang yang di hadapan. Dan...orang di hadapan juga sebenarnya sedang menghadapi krisis dalaman seperti anda. Sesat dan menyesatkan...
Saya sudah menyaksikan banyak kali pengayuh terbabas dan tidak mengikut laluan yang ditandakan kerana hilang tumpuan dan perhatian. Sindrom MENONONG mengambil alih. Kayuh saja ikut orang di hadapan. Akibatnya, badan yang letih bertambah letih kerana terpaksa berpatah balik. Masa dan kederat terbuang sesia.
SELAMATKAN DIRI ANDA DARIPADA SINDROM MENONONG!!!
Walau bagaimana penat sekalipun berkayuh, ingat untuk sesekali memeriksa tandaan bagi memastikan anda berada di laluan yang betul. Perkataan SESAT atau salah jalan menambahkan keletihan dan meruntuhkan moral anda.
SEMOGA ANDA SENTIASA BERADA DI JALAN YANG BENAR!
Tidak begitu bila dalam jamboree atau hash. Bila berjamboree atau hash, kita berada di kawasan asing, kawasan yang kita tidak biasa. Semuanya kali pertama. Semuanya asing dan misteri. Laluannya, rupabuminya, halangan dan cabarannya...Sebagai panduan, laluan akan ditanda. Tandaan yang biasa untuk jamboree ialah riben keselamatan putih merah, semburan cat dan papan tanda. Ada juga menggunakan carikan kertas seperti yang dibuat oleh penganjur hash. Secara peribadi, saya lebih suka teknik taburan kertas kerana ia organik dan nyahbio (biodegradable). Jalur plastik keselamatan mudah dan senang tetapi mengambil masa lama untuk mereput.
Manusia memang cenderung mengikut tabiat. Dan tabiat berkayuh weekend warrior hujung minggu terbawa bila berkayuh jamboree atau hash. Sindrom MENONONG. Sindrom suka berkayuh mengikut orang di hadapan. Sindrom ini tambah parah bila badan sudah letih. Peluh dah membasahi badan, Otot sudah diracuni asid laktik dan ancaman kekejangan sudah bertubi melanda. Kepala sudah dirasuk keinginan mahu segera sampai ke garisan penamat. Perhatian kepada tandaan laluan terabai. Kepercayaan untuk mencari laluan yang betul diserahkan bulat-bulat kepada orang yang di hadapan. Dan...orang di hadapan juga sebenarnya sedang menghadapi krisis dalaman seperti anda. Sesat dan menyesatkan...
Saya sudah menyaksikan banyak kali pengayuh terbabas dan tidak mengikut laluan yang ditandakan kerana hilang tumpuan dan perhatian. Sindrom MENONONG mengambil alih. Kayuh saja ikut orang di hadapan. Akibatnya, badan yang letih bertambah letih kerana terpaksa berpatah balik. Masa dan kederat terbuang sesia.
SELAMATKAN DIRI ANDA DARIPADA SINDROM MENONONG!!!
SEMOGA ANDA SENTIASA BERADA DI JALAN YANG BENAR!
Jamboree Sudah Maree - Bahagian Akhir
| Ini adalah Bahagian akhir dari 3 bahagian dalam siri Jamboree Sudah Maree. Satu usaha kecil untuk menerangkan perihal jamboree kepada pengayuh-pengayuh MTB. Apa yang ternukil adalah pendapat dan pandangan peribadi Penulis. Mungkin betul, mungkin salah. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. |
Bahagian 1 telah menyentuh tentang pengenalan kepada jamboree MTB. Juga disorot sedikit panduan memilih jamboree yang mana satu untuk disertai. Rujuk Jamboree Sudah Maree untuk artikel penuh. Untuk bahagian 2, kita telah bincangkan tindakan-tindakan yang perlu untuk menyertai jamboree. Boleh rujuk di sini untuk artikel penuh.
Untuk bahagian akhir, kita akan menyorot:-
- Tindakan yang perlu diambil beberapa hari sebelum jamboree
- Tindakan yang perlu diambil sehari sebelum jamboree (D-day - 1)
- Tindakan yang perlu diambil pada hari jamboree
- Pasca jamboree
SEMINGGU SEBELUM JAMBOREE
Sengaja saya letakkan seminggu sebelum jamboree untuk memudahkan penceritaan. Kurang lebih dalam tempoh ini, tidak banyak yang perlu dilakukan. Cuma perlu rajin-rajin menjengah ke blog/laman web penganjur untuk maklumat-maklumat terkini. Biasa terjadi perkara penting seperti penundaan tarikh jamboree, perubahan tempat permulaan dan seumpama berlaku. Jadi, rajin-rajin perhatikan. Sesekali, periksa juga basikal untuk memastikan basikal siap siaga untuk mengharungi cabaran menanti.Perhatikan maklumat denai yang di pamerkan oleh penganjur. Berapa jarak. Berapa check-point. Berapa feeding/water point. Berapa pendakian dan seumpama. Bila dan di mana cut off point. Maklumat ini akan membantu anda merangka strategi semasa berkayuh.
Perhatikan pengumuman untuk tarikh, masa dan tempat bagi penyerahan beg ole-ole (goodie bag). Ambil catatan jika perlu. Jika koordinat GPS diberikan, masukkan koordinat GPS bagi memudahkan pencarian tempat berkenaan.
Sesekali, periksa basikal. Manalah tahu kot ada komponen yang meragam menjelang hampirnya acara. Sempat la nak baiki.
SEHARI SEBELUM JAMBOREE (D-DAY - 1)
Beg Ole-ole (goodie bag)
Hari semakin mendekat. Sudah sampai kepada sehari sebelum jamboree. Perkara besar yang biasa berlaku ialah penyerahan beg ole-ole yang di dalamnya terdapat plet nombor penyertaan. Kebanyakan penganjur mengedarkan beg bermula sehari sebelum acara. Hanya Knight of The Round Table (KOTRT), penganjur Kayuh Lasak, yang memberikan beg ole-ole selepas kayuhan!
Anda boleh...
- mengambil sendiri beg ole-ole anda Pastikan anda mencatat nombor pendaftaran (biasanya terdapat dalam daftar peserta yang dipamerkan dalam laman web/blog penganjur. Jangan lupa bawa bersama salinan borang pendaftaran dan slip bukti pembayaran.
- mewakilkan orang lain untuk mengambil bagi pihak anda Mewakilkan orang lain untuk mengambil biasa berlaku kepada orang yang tidak dapat hadir sendiri atau bila pendaftaran dibuat secara kumpulan atau sebab-sebab lain. Jika anda mewakilkan orang lain untuk mengambilnya, maklumkan nombor pendaftaran kepada wakil. Juga serahkan salinan borang pendaftaran dan bukti pembayaran kepada wakil. Tetapkan juga dengan wakil bila dan di mana anda akan mengambil beg daripadanya. Sebagai wakil yang dilantik pula, pastikan anda ada butiran lengkap mereka yang anda wakilkan. Apabila mengambil beg ole-ole, semak untuk memastikan supaya semua beg bagi orang yang anda wakilkan cukup lengkap dan sempurna.
Memasang Nombor Plet
Jika beg ole-ole sudah di tangan, luang sedikit masa untuk memasang nombor plet pada basikal. Ini supaya anda tidak kelam kabut dan terkocoh-kacah pada hari acara.
Perjalanan
Jika tempat acara jauh dan memerlukan perjalanan awal, rancang perjalanan supaya selamat sampai dan pada masa yang sepatutnya.
Keselamatan Basikal
Sudah banyak kali berlaku kecurian basikal sewaktu jamboree dan perlumbaan. Maklumlah, bila beramai begitu, kadang-kadang si tangan panjang tidak melepas peluang. Tingkatkan tahap keselamatan untuk basikal anda. Tambahkan perlindungan tambahan dan ambil langkah keselamatan.
- Untuk yang menginap di hotel, bawa basikal ke bilik hotel. Biasanya, hotel-hotel yang terlibat dengan jamboree, akan membenarkan basikal dibawa masuk ke bilik. Ada juga hotel yang menyediakan tempat simpanan khas untuk basikal.
- Bagi yang menyimpan basikal di dalam kereta, kurangkan minat sang penyamun dengan tidak menampakkan basikal anda. Tutuplah basikal supaya tidak kelihatan.
- Bagi yang terpaksa (kalau boleh elakkan) meninggalkan basikal di rak, sama ada atas bumbung atau gantung belakang, usahalah untuk menambah kunci. Rantaikan semua komponen kritikal - frame, set roda, fork. Memang bukan jaminan seratus peratur, tetapi itu akan lebih menyukarkan sang penyamun melarikan harta kesayangan anda.
Jamboree memerlukan banyak tenaga dibakar dan diperah. Anda perlu sediakan bahanapi untuk dibakar keesokan harinya. Untuk makan malam anda, makan makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi. Elakkan makanan pedas supaya perut dan usus tidak memberontak selepas makan atau keesokan harinya.
Bekalan
Dapatkan bekalan untuk dibawa berkayuh. Bekalan yang lazim ialah makanan/gel tenaga. Snek yang boleh memberikan tenaga. Minuman isotonik dan seumpama. Bawa dalam jumlah yang bersesuaian. Anda hendak pergi berkayuh, bukan pergi berkelah.
Taklimat
Satu perkara yang sering diremehkan oleh ramai peserta. Taklimat biasa diberikan pada malam sebelum jamboree atau pada pagi jamboree, sebelum waktu berlepas. Berikan perhatian pada taklimat. Seringkali diperhatikan ramai yang tidak ambil pusing. Akibatnya, terjebak kayuh berpusing-pusing. Hilang arah tujuan sebab tidak pasti apa tandaan. Sama ada kerana sistem pembesar suara yang kurang bagus sehingga apa yang diumumkan tidak berbutir, penyampai kurang persediaan atau sikap tidak ambil pusing peserta. Diharapkan semua pihak berkenaan dapat ambil tindakan untuk mengatasi kekurangan semasa taklimat.
Perkara yang biasa disentuh:-
- Jarak kayuhan
- Check points
- Tandaan laluan - cebisan kertas, riben hitam merah, papan tanda, semburan cat dan seumpama. Ini sangat penting terutama jika laluan adalah laluan popular dan menjadi tumpuan penggiat aktiviti lain seperti hiking, larian dan seumpama. Mungkin ada tandaan-tandaan lain yang boleh mengelirukan. Pastikan anda tahu apa tandaan yang digunakan oleh penganjur.
- Feeding point/water point. Lokasi dan jarak akan dinyatakan. Penting untuk diketahui supaya anda boleh merancang bekalan air/makanan sepanjang kayuhan.
- Prosedur kecemasan dan nombor untuk dihubungi andai berlaku kecemasan. Biasanya, di belakang plet jamboree dicetak dengan nombor untuk dihubungi bila kecemasan.
- Batasan masa. Biasa diberikan had batasan masa (cut off time) untuk check point tertentu. Pastikan anda maklum dengan batasan masa supaya anda tidak diarahkan ke perkara seterusnya...laluan AYAM.
- Laluan AYAM. Satu istilah yang sangat sinonim dengan jamboree. Laluan ayam ialah laluan pintas untuk balik ke tempat permulaan. Laluan ini dibuat untuk mereka yang tak lalu lagi untuk meneruskan jamboree atau mereka yang tidak berjaya memenuhi batasan masa yang ditetapkan.
- Nombor kecemasan. Biasanya nombor kecemasan akan dicetak di belakang nombor plet.
- Syarat-syarat kelayakan untuk cabutan bertuah (jika ada). Berapa pelekat diperlukan untuk layak menyertai cabutan bertuah.
Malam sebelum tidur, siapkan beg dan peralatan.
- Periksa basikal buat kali terakhir. Minyakkan rantai jika perlu. Angin tayar dipam secukupnya.
- Pastikan peralatan cukup - tuas tayar, tiub gantian, pam, penymbung rantai, pemotong rantai dan tool pelbagai
- Bladder beg/ botol air siap diisi.
- Pakaian mengayuh siap tersedia - jersi, seluar, glove
- Kasut dan stokin diletakkan berhampiran
- Helmet
- Handphone siap dicaj
- Bateri untuk kamera dan GPS siap sedia termasuk bateri tambahan
- Cermin mata untuk perlindungan jangan dilupa.
Sebelum mata ditutup, ingat-ingatkan laluan untuk ke tempat permulaan. Masukkan koordinat GPS kalau ada. Imbas-imbas kembali aturcara - jam berapa kena berada di sana. Sarapan (jika ada) bermula jam berapa. Taklimat bila dan masa berlepas.
Jangan lupa gosok gigi dan basuh kaki sebelum tidur. Takut nanti terngigau pula. Setkan penggera pada jam atau handphone. Masa bangun perlu ambil kira masa bersiap, masa perjalanan termasuk sekali masa untuk bersarapan. Dah sedia? Baca basmalah dan doa' tidur. Tidurlah...anda perlu rehat dan tidur yang cukup untuk berentap esok.
Satu kebiasaan yang kurang sihat ialah melepak hingga ke dini hari malam sebelum jamboree. Jangan diamalkan. Mudarat diri.
HARI JAMBOREE (D-DAY)
Sudah tiba masanya! Jam/handphone berdering. Anda bingkas menekan snooze..dan sambung tidur. Alaaaa...sekejap saja. Sekejap saja..Dan...jahanam sebab terbabas tidur. Kan dah cakap jangan amal sembang sampai dinihari pada malam sebelum jamboree. AMIK KAUUUUU!!!Bangun Awal
Bila penggera berdering, bingkas bangun dan melompat dari katil. Berlari dengan pantas dan deras ke bilik air. Luangkan sedikit masa untuk meluangkan usus dan pundi kencing. Gosok gigi, bersih diri.
Bergantung kepada jarak tempat anda bermalam dengan tempat jamboree, anda mungkin boleh solat subuh sebelum bertolak ataupun jika perjalanan perlu awal, rancang untuk solat subuh di perjalanan. Dan...satu peringatan untuk saya dan semua saudara muslim...solat subuh TIDAK BOLEH DIJAMAK ATAU DIQASAR.
Punggah-memunggah
Untuk yang belum memunggah barang keperluan dan basikal ke dalam kereta, ingat tadi kita sebut semua barang dan basikal diletakkan setempat? Inilah masanya mendapat faedahnya. Mudah saja mencapai semua barang untuk dimuatkan ke dalam kereta. Kebarangkalian untuk barang tercicir dikurangkan.
Bila sudah siap punggah masuk, semak sepintas untuk memastikan semua barang ada. Masuk kereta, baca doa naik kenderaan dan majulah ke destinasi anda.
Sarapan
Makanan penting pembuka hari. Aturkan supaya anda dapat bersarapan. Kadang-kadang penganjur ada menyediakan sarapan. Yang penting, pastikan anda ada bekalan bahan bakar buat bekalan untuk kayuhan nanti.
Ketibaan
Bila sampai ke tempat jamboree, patuhi papan tanda dan arahan marshal dan petugas. Parkir kereta molek-molek. Jangan parkir sebarang sehingga terjejas laluan orang lain dan penduduk setempat.
Bagi yang belum mengambil goodie, segera berbuat demikian. Pasang nombor plet anda. Periksa jika penganjur memerlukan anda untuk "check-in". Jika ya, pastikan anda check-in. Biasanya, satu sticker diberikan tanda telah check-in.
Bilangan peserta jamboree yang mencecah ribuan orang sudah menjadi perkara biasa. Oleh kerana tiada saringan kelayakan kedudukan peserta dalam kawasan menunggu bergantung kepada "siapa cepat dia dapat". Kalau mahu kedudukan pole position, sila datang awal. Hindarkan daripada cuba mengasak ke hadapan kalau datang lambat. Hodoh perlakuan begitu!
Taklimat
Sebelum berlepas, biasanya penganjur akan memberikan taklimat berupa beberapa peringatan dan makluman-makluman terkini. Sila beri perhatian terutama jika ada perubahan pada laluan. Ini biasa berlaku disebabkan faktor cuaca dan sebagainya. Rujuk para di atas untuk perincian.
Berlepas!!!
Dan masa yang ditunggupun tiba. Berlepas! Kayuhlah!!! Apa tunggu lagi??? Sambil berkayuh, elok juga diperhatikan adab-adab yang perlu diamalkan dan dipatuhi ketika di dalam denai. Ini sesuatu yang masih lagi tampak kurang di kalangan pengayuh kita. Jadi tolong baca, fahamkan dan amalkan untuk kebaikan dan keselesaan semua.
Adab dalam trail
Bagaimana ribuan manusia dengan basikal masing-masing boleh mengharung laluan jamboree yang sempit? Yang membezakan manusia dengan haiwan ialah ADAB. Sayugia diingat, dalam ribuan peserta jamboree, terdapat berbagai peringkat kecerdasan dan kemahiran. Sering juga diperhatikan, ada di antara peserta yang BELUM bersedia untuk ikut kayuhan jamboree. Kemahiran asas dan persediaan jasmani belum mencukupi. Untuk sahabat yang begini, saya nasihatkan bersabar dulu. Biar cukup ilmu asas dan kaki cukup cerdas sebelum berhajat menyertai jamboree. Maaf kalau pedas, tapi ini teguran ikhlas. Atau setidaknyapun ambil tahu adab bila berada di dalam kayuhan.
- Walau jamboree tidak bertumpu kepada perlumbaan, tidak bermakna anda tidak boleh laju. Anda boleh memotong. Seperti peraturan memandu, untuk memotong anda perlu beri isyarat dan memotong bila laluan mengizinkan. Sama juga bila berbasikal. Berikan isyarat bila hendak memotong. Tujuannya supaya orang yang hendak dipotong maklum dan tidak terperanjat bila dipotong. Maklum basikal ni kenderaan jenis "bisu" tanpa bunyi. Maklumkan secara lisan "Potong di kanan". Biasanya ramai yang cakap orang putih "Rider right". Suka hatilah nak cakap bahasa apa asalkan orang yang hendak dipotong faham.
- Walaupun jamboree ini lebih bersifat riadah dan santai, semasa berkayuh, hindarkan dari berkayuh beriringan. Merbahaya kalau di jalan tar yang banyak kenderaan melainkan kalau yakin pasti sepenuh hati yang jalan memang tidak ada kenderaan bermotor lalu-lalang, buatlah... Tabiat kayuh bersaing sambil bersembang ala Cik Kiah ini boleh menyusahkan terutama apabila di laluan sempit. Simpan-simpan la dulu sembang tu sampai kat check point atau waterpoint.
- Laluan jamboree biasalah kalau berbagai kecerunan dan tahap teknikalnya. Upaya pengayuh juga berbeza. Kalau anda tidak upaya mengayuh mendaki bukit, jangan ingat semua pengayuh lain serupa. Maka anda dengan senang hati menolak di bahagian tengah jalan. Bila menurun juga begitu. Perhatikan semasa anda menolak, adakah ada pengayuh di belakang yang masih upaya mengayuh. BERI LALUAN! Itu adab yang sepatutnya. Tidak perlu mencebik sambil mengeluarkan kata "Ellleh...macam la terer sangat" dari mulut yang tidak bertapis. Walau penganjur seringkali mengingatkan peserta supaya menolak basikal pada laluan sukar, masih ramai yang enggan dan tidak mempedulikan. Jadi, tolong ambil perhatian. Menolak di laluan sukar supaya line kayuhan terbuka untuk mereka yang masih upaya mengayuh.
- Jika terpaksa berhenti semasa mengayuh, elakkan daripada berhenti di tengah laluan terutama pada laluan singletrack. Usahakan untuk ke tepi sedapat mungkin. Saya pernah terpaksa membrek mengejut sebab pengayuh di hadapan berhenti di tengah-tengah laluan, sedangkan bahagian sisi masih luas. Berhentinya pula sekadar untuk menurunkan saddle. Satu masalah biasa ialah pada tempat check-point atau water point. Pengayuh berhenti sewenang hingga menutup laluan. Perhatikan dan pastikan tempat anda berhenti supaya anda tidak menghalang jalan. Jadi, ingatlah...mudahkan urusan orang lain, semoga urusan anda juga akan dipermudahkan.
- Untuk pengayuh-pengayuh handalan pula, beradablah bila meminta laluan. Kita tahu anda kuat. Tidak perlu riak dan bongkak. Sentiasa perhatikan keadaan pengayuh di hadapan dan siap siaga untuk sebarang kemungkinan. Jika perlu memotong atau minta laluan, buatlah dengan adab sopan. Tapi...tidak perlulah sampai turun dari basikal dan berjalan sambil membongkok dengan tangan diluruskan ke bawah sambil berkata "Tumpang lalu...tumpang lalu.". Sopan sangatlah pulakkkkk.
- Dalam acara yang ramai peserta begini, saling bantu-membantulah. Bila berdepan laluan berhalangan, lubang, lopak dan seumpama, laung supaya mereka yang di belakang maklum dan bersedia untuk tindakan-tindakan keselamatan. Sedikit laungan anda mungkin boleh menyelamatkan kawan-kawan pengayuh daripada terhumban dan kemalangan. Sesuatu yang biasa dalam jamboree ialah berhadapan dengan halangan yang memerlukan basikal dipikul. Halangan seperti longkang/carok yang dalam, cerun yang curam akan lebih mudah diatasi sekiranya pengayuh berpakat dan bekerjasama. Kerja melepasi halangan lebih mudah jika rantaian manusia dibentuk untuk mengangkut basikal melepasi halangan berbanding dengan usaha berseorangan terhegeh dan terkial untuk melepasi halangan.
- Antara sebab kita ber MTB ialah kerana hubungannya dengan alam. Denai-denai, rimba belantara, bukit-bukau, sungai, jeram dan air terjun yang semulajadi dan indah menjadi juadah penenang jiwa. Sebagai pengayuh, itu semua dihargai dan dihormati. Perlu ada tanggungjawab untuk bersama memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar. Amat jelik kalau pengayuh MTB, ketika menyertai jamboree bersikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Tolonglah...botol air anda yang sudah kosong bukan untuk dihumban atau dibiar bersepah di tepi denai atau di dalam hutan. Penyekkan dan bawa keluar kemudian buanglah di tempat yang sepatutnya. Tiub bocor anda bukan untuk digantung pada pokok-pokok untuk dihadiahkan pada beruk kera monyet. Depapun tak hinginkan tiub yang sudah bocor. Bawalah balik dan buanglah ditempat buangan yang bersesuaian. Pembungkus makanan anda - snek, power gel dan seumpama - bukanlah berat manapun. Janganlah disepah dan dibuang sewenangnya. Plastik yang tanpa berat itu tidak membebankan kalau dibawa keluar dan dibuang dengan cara yang wajar...
Tolonglah sekali lagi... anda lebih hensem dari beruk kera monyet di dalam hutan. Anda akan lebih hensem lagi kalau anda bersama membantu memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar...
Kayuh dan terus kayuh!
Kayuh dan terus kayuh hingga sampai ke garisan penamat atau terpaksa akur untuk mengikut laluan AYAM atau naik lori AYAM. Mengalah bukan kalah. Anda harus bersikap wajar dan adil kepada diri sendiri.
TAMMAT
Satu nikmat dan lega yang amat bila berjaya melintasi garisan penamat. Terasa semua penat jerih berbayar sudah. Peluh dan keringat yang tumpah jadi saksi!
Biasanya ketibaan anda akan disambut di garisan penamat. Ikut nasib la...Kadang ada gadis manis mengalungkan medal di tengkuk anda. Kadang ada Makcik Kiah, kadang ada abang misai. Tak kisahlah tu...
Biasanya penganjur menyediakan makanan. Sama ada siap berbungkus atau hidangan secara buffet. Anda letih dan lapar. Makanlah, anada berhak. Cuma jangan ceduk dan senduk semahu nafsu. Ingat juga bahagian orang lain.
Barang diingat yang makanan disediakan untuk peserta. Tidak termasuk suami/isteri anak beranak sanak saudara yang ikut serta ke jamboree tapi bukan peserta. Mereka tidak berhak untuk ikut menjamah jamuan yang disediakan. Jangan ambil barang yang bukan hak dan menafikan pula hak orang lain.
Antara tarikan acara jamboree ini ialah cabutan bertuah. Barangan agak lumayan. Daripada peralatan berkayuh, aksesori basikal, alat gantian hinggalah ke basikal lengkap. Siap sedia dengan nombor plet anda. Nombor anda boleh dipanggil bila-bila masa. Semoga anda bertuah.
Tamat acara cabutan bertuah, tamatlah sudah satu jamboree. Akan tercatat dan terpahat berbagai kisah dan pengalaman suka duka. Jumpa lagi di lain jamboree.
PASCA JAMBOREE
Rumah siap pahat berbunyi. Sudah jadi resam biasa. Sementelah ada perantara elektronik canggih-manggih dunia moden ini, lebih mudah untuk melontar rasa, menghimbau bicara. Laman web, chat box dan blog akan bercerita perihal jamboree yang baru berlalu.Bermacam komen tersiar tersebar. Yang kata bagus, yang merungut tak bagus bercampur baur. Maklumbalas perlu untuk memberitahu kepada penganjur tahap penganjuran mereka. Berikan komen jujur. Dan berpada dalam memberi komen. Tidak perlu maki hamun sampai benda-benda di dalam kain disebut. Bersikap objektif bila memberikan komen. Hindarkan dari memberikan komen seperti "Penganjur macam t**i. Tau nak untung saja". Komen sedemikian tidak memberikan apa-apa faedah melainkan sekadar melampiaskan angin marah sahaja. Sebaliknya nyatakan, misalnya "Tandaan kurang jelas". "Bekalan air tidak mencukupi". "Goodie beg tidak lengkap". "T-shirt/jersi tidak bermutu. Sekali pakai sudah luntur warna".
Dan suka saya mencadangkan, kiranya ada kesempatan, cuba anda sendiri menjadi penganjur. Kalau tidak penganjurpun, cuba ikut jadi petugas semasa jamboree. Cuba untuk berada di sebelah sana sekali sekala supaya anda boleh merasa sendiri dan lebih memahami bagaimana rasanya berada di sebelah sana.
Sekian, nukilan untuk kali ini. Semoga bermanfaat untuk semua dan menjadi panduan berguna. Sebarang komen dan teguran dialukan.
Tuesday, November 27, 2012
Tampal Tiub : Satu Seni Yang Semakin Dilupakan
| AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung. |
Dulu, kalau tiub basikal bocor, akan ditampal saja. Seingat saya, sekitar tahun 80-an, kos tampalan hanyalah 50 sen. Itupun sudah dikira mahal pada masa itu. Bila meningkat remaja, kerja menampal tiub itu dibuat sendiri. Lagi cepat dan jimat. Tidak perlu bersusah payah menyorong basikal ke kedai basikal.
Bila saya kembali berbasikal sekitar 2006, saya perhatikan kerja menampal tiub ini sangat jarang dibuat. Tiub yang bocor diganti sahaja. Mungkin kerana sekarang zaman senang, zaman mewah maka tidak perlu bersusah payah. Bukan setakat itu sahaja, bahan untuk menampal tiub juga susah didapati. Jenuh saya mencari merata kedai tidak berjumpa.
Sayang sekali bila melihat tiub yang bocor terbuang begitu saja. Sedangkan dengan tampalan, ia boleh digunakan semula. Jimat dan mesra alam. Kebanyakan kedai memang keberatan untuk menampal tiub kerana kerjanya yang renyah dan memakan tetapi masyuknya tidak setimpal. Kedai lebih senang menyarankan supaya ditukar saja tiub yang bocor. Cepat, mudah dan masyukkkk.
Pengalaman peribadi membuktikan kemahiran menampal tiub dan kesediaan membawa kelengkapan menampal tiub sangat membnatu menyelamatkan keadaan bila berlaku lebih daripada satu kebocoran dalam satu kayuhan. Saya sangat mengesyorkan supaya anda semua dapatkan dan bawalah kelengkapan menampal tiub dan pelajarilah kemahiran menampal tiub.
Saya akan cuba menyingkap kembali bagaimana cara menampal tiub, satu seni yang semakin dilupakan. Semoga selepas ini, makin ramai yang akan menampal dan menggunakan semula tiub yang bocor. Lagipun, kemahiran ini sangat berguna terutama bagi mereka yang sering berkayuh di dalam rimba. Memang, biasanya tiub gantian akan dibawa sebagai awasan tetapi, bolehkah dijamin yang tiub akan bocor sekali sahaja sepanjang kayuhan?
Tampalan tidak memerlukan banyak barangan di bawa untuk melakukannya. Hanya sedikit ruang tambahan diperlukan untuk beberapa keping penampal, gam dan kertas pasir.
Panduan ini akan menunjukkan cara-cara menampal tiub yang bocor bagi kaedah tampalan di rumah dan tampalan ketika berkayuh. Semoga bermanfaat.
| ...SEBELUM MEMULAKAN |
| Panduan ini tertumpu kepada tampalan tiub sahaja. Saya tidak akan masukkan cara-cara membuka dan memasang tayar ke roda. Sebelum tiub boleh ditampal, keluarkan tiub dari roda. |
| ALATAN YANG DIPERLUKAN |
Subscribe to:
Posts (Atom)


