F RIM. Forest Research Institute of Malaysia INSTITUT KAJIAN PERHUTANAN MALAYSIA - Satu kawasan hutan rimba terpelihara di pinggir bandaraya Kuala Lumpur. Memasuki kawasan FRIM bagaikan berada di alam lain...Alam cerita dongeng dengan pari-pari barangkali. Untuk peminat basikal lasak, FRIM menawarkan jaluran denai yang mengujakan.
Sekian lama, FRIM menjadi medan perkenalan dengan mountainbiking. Sesiapa yang mahu menempa "penyakit" berbasikal lasak memang disaran mencuba FRIM dulu kerana denai tahap sederhana FRIM memang sesuai untuk mereka yang masih berdarah manis. Itu dulu!
Dengan hadirnya gerombolan pembasikal lasak di kalangan kakitangan FRIM sendiri, denai FRIM beransur berubah wajah. Denai lebar tahap sederhana mendapat unjuran-unjuran baru. Denai sempit yang dengan kecerunan menyirap darah dihias dengan akar-akar berselirat. Cuaca basah pula akan menambahkan lagi perisa kayuhan dengan denai licin dan berlumpur. Bersiaplah untuk mencium tanah!. BC KeLoLo akan membawa anda menggapai impian, di THE DREAM dan menggelitik kegelian pacat di PACAT TRAIL. Sedikit sorotan juga pada denai-denai lain yang tidak kurang panasnya.
MENGGAPAI IMPIAN - THE DREAM
Sedikit sejarah ringkas The Dream. Pembinaan bermula sekitar Mac 2006 dengan restu pengarah FRIM sendiri. Aliran denai adalah cetusan minda Pat Brunsdon, seorang veteran dalam pembinaan denai, dengan bantuan kakitangan FRIM dan sukarelawan peminat MTB lain. Pembinaan Dream adalah gabungan usaha menghidupkan denai lama dan terbiar, dan pembinaan denai-denai baru menggantikan denai lama yang kurang sesuai.
The Dream membuka lembaran baru dalam denai di FRIM. Denai lain lebih bersifat denai lebar, beralun mudah tanpa banyak cabaran teknikal. The Dream membawa pembasikal lasak ke satu tahap lain. Jaraknya dikira pendek sahaja. Lebih kurang 1.7km. Tapi, jarak pendek itu jangan dipandang sinis...Jom kita kayuh The Dream secara maya (i.e. dengan leteran dan bebelan BC KeLoLo)
The Dream memulakan mimpi dari Jalan Bukit Bujang. Jalan tar mendaki. Dah berpeluh keting memanjat jalan tar ini. Lebih kurang 150m, akan bertemu simpang jalan denai. Anda boleh belok kiri untuk jalan pintas atau terus saja ikut jalan tar.
Terus akan membawa ke penghujung jalan tar dan bersambung dengan denai lebar. Berkayuh nyaman di bawah naungan rimbunan pohonan tua. Tenang, nyaman dan menyegarkan. Sesekali kena bertepuk bertampar dengan nyamuk tempatan yang sememangnya ramah tamah menyapa tamu. Jalan beralun dengan beberapa pendakian manja buat pemanas keting. Jalan lengkok U itu akan bertemu kembali dengan jalan pintas tadi. Belok kanan bila bertemu simpang T dan kepala denai ke Dream akan terbentang di depan mata.
Jalan pintas belokan kiri pada jalan denai juga menawarkan senario yang sama. Muzik latar kayuhan disulam bunyi tayar menggerutup dedaun dan ranting kering sambil riang-riang bersahut-sahutan mendendang irama hutan acapella.
Denai lebar tiba-tiba melebar dan terhenti bagaikan sampai ke satu halaman di dalam rimba. Laman bagaikan taman bunian. Sayang sedikit kadang tercemar dengan sepahan botol air mineral dan pembungkus makanan. Bilalah rakyat Malaysia boleh bersikap lebih beradab dan bertamadun menghormati dan memelihara alam? Biasa di situ, pengayuh akan berhenti sebentar. Mengambil nafas sambil menunggu kawan-kawan yang lain sampai. Sekali pandang memang tak perasan ada denai kecil menyusur turun dan melibas ke kanan. Selamat datang ke Dream...bermula impian (atau mimpi ngeri) anda.
Denai sempit bagaikan terselindung di sebalik pohonan renik. Lantai dihias akar sebesar lengan melintang laluan. Cerun sedikit menurun memungkinkan kemasukan dengan lajakan. Tak perlu turunkan pelana. Sedia dengan gear belakang tengah, depan tengah. Kayuh dengan cadence sederhana. Tujahan keras diperlukan pada beberapa tempat untuk melepaskan rintangan akar. Denai sempit mendakap lereng, mendatar pada mulanya...
Selepas belokan kiri pertama, akar makin bertambah, batuan sebesar bola pula diadun bagi menambah perisa. Alur mula menurun. Kalau takut-takut dan kurang kemahiran, memang cuak dan melelahkan. Lebih baik seru semua keberanian dan kemahiran. Jaga keseimbangan, pindahkan berat ke belakang pelana, berdiri dan bersedia untuk bermain-main brek. Jangan dikacip mati, cukup sekadar lenturan tuas perlahan dan berdikit sekadar memperlahankan basikal. Dan...meluncurlah. Perhatikan laluan mendatang dan bersedia. Ada satu dua bahagian yang ada senggang setinggi sekaki hingga satu setengah kaki. Dengan ampaian, sedikit kelajuan dan keberanian, senggang boleh dihadapi dengan mudah. Terpulang anda untuk bermimpi atau membiarkannya menjadi igauan.
Habis bahagian meluncur turun tiba-tiba tercongok cerun curam memanjat. Laluan pula sempit menyusur di antara dua bongkah batu sebesar bilik. Pengayuh handalan akan boleh melepasinya dengan sedikit susah payah. Kebanyakan yang lain hanya mampu mendukung basikal dan memikulnya naik.
Nada menaik berterusan. Cerun agak curam dengan akar berselirat. Boleh lagi digagahkan berkayuh. Untuk ekor keras, boleh berkayuh sambil berdiri. Untuk ekor lembut, anjak bontot ke hadapan pelana sedepan mungkin. Jangan malu dan segan menggunakan gear granny. Kayuh perlahan dan beransur mencelapak cerun. Ia boleh dilakukan. Untuk lebihh cengkaman, pastikan tekanan tayar tidak terlalu keras. Memadai dengan 35-40psi.
Denai melandai semula adalah petanda baik. Walau landai, lantainya berceragah dengan batu. Salah terjah, crank dan pedal terhenyak. Semuanya perlukan kemahiran - keseimbangan dan pemasaan yang kena dan tepat untuk melepasi cabaran batu.
Keluar dari igauan zon batu, denai mula melorot turun. Denai sempit mendakap lereng yang boleh menyirap bandungkan darah kalau asyik terpandang ke gaung. Laluan tidak dimudahkan begitu saja. Ada 4 belok balik (swithback) menanti. Dengan belok balik pertama dikira paling mudah kemudian beransur meningkat cabaran kesukarannya. Belok balik ke 4 paling mencabar. Kemasukannya senget dengan gaung dalam menanti di depan. Selekoh pula sempit. Tambah mencabar kalau malamnya hujan. Licin! Setelah beberapa kali mencuba, saya dapati kebarangkalian berjaya mengambil selekoh lebih tinggi kalau dimasuki dengan sedikit kelajuan. Dengan mengikut laluan luar, sambil bontot dipindah ke belakang pelana, keseimbangan dan pengambilan selekoh jadi lebih mudah. Mainan brek membantu mengawal kelajuan supaya tidak terhumban.
Melepasi belok balik ke 4 adalah satu bonus. Terasa kepuasan yang amat sangat ditambah pula laluan seterusnya meluru turun pantas. Cuma berjaga dengan alur air di tengah denai. Belasahlah semahunya kerana anda memang berhak! Denai pantas membawa anda ke laluan menurun berbatu yang nampak mengerikan. Tetapi...bila garisannya telah dikenalpasti, laluannya mudah saja. Dan jangan terkejut bila tiba-tiba ada jambatan kayu yang bukan main cantik lagi di tengah rimba. Rilek, itu bukan jambatan dalam kampung bunian...Terima kasih FRIM kerana membuat jambatan yang bukan main cantik lagi. Jambatan itu macam penanda bahawa The Dream sudah hampir ke penghujungnya.
Keluar dari jambatan, denai landai memudian mendadak mendaki. Kekalkan kelajuan selepas jambatan supaya cukup momentum untuk memanjat cerun tersebut. Sebaik melepasinya, laluan keluar Dream terhampar di hadapan. Laluan menurun dengan belokan kiri pantas di bawahnya. Memang mencuakkan, tapi satu penutup tirai yang hebat bergaya. Dahulunya, sengaja direnggangkan di antara batu besar dengan denai Rover bagi "memaksa" pengayuh turun dari basikal dan memimpin basikal keluar dari Dream. Ini dibuat untuk keselamatan kerana pintu keluar Dream bertembung dengan denai Rover Track yang sibuk dengan pengunjung. Baru-baru ini, crew FRIM telah membina jambatan kayu yang membolehkan basikal dikayuh keluar dari Dream. Memang lebih mudah. Cuma beringatlah semasa keluar supaya tidak terlebih ghairah. Takut petaka yang mendatang.
Sampai ke Rover Track tanda mimpi sudah berakhir. Hanya 1.6km tetapi menawarkan keterujaan hebat. Tak puas? Ulang la sekali lagi...Kalau dah, teruskan mengambil laluan kanan Rover Track menuju satu lagi krim di FRIM...PACAT TRAIL.
EEIII, PACAT! GELI!
"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut diketit pacat, jangan gatal nak main basikal". Karam Singh Walla Walla melaporkan dari FRIM. Crew FRIM menjadi pahlawan cangkul lagi sekali menarah denai yang penuh lazat berkrim untuk disantap oleh pembasikal-pembasikal lasak. Denai ditarah untuk menyambut acara Green Cycle pada 06/06/2010. Sekalung penghargaan kepada Majid, Zain dan kawan-kawan.
Seperti The Dream, yang tersorok jauh ke dalam denai, Trail Pacat juga begitu. Sebelum boleh meratah Pacat Trail, anda perlu mendera betis dan peha, mengharung pendakian curam.
Laluan bermula di penghujung Rover Track. Sebelum anda meluru turun larian deras tarmac, akan ada simpang ke kanan ke tangki air. Tukar gear rendah dan bersedia untuk mendaki. Pendakian tarmac dengan kecuraman sehingga 15%. Cuba kekalkan cadence pada gear rendah. Kuatkan mental kerana sepanjang jalan batin akan menjerit minta diberhentikan penderaan dan berpatah balik. Satu kelegaan dan kepuasan yang amat sangat bila berjaya sampai ke tangki air tanpa berhenti atau menolak. Tapi...jika terpaksa berhenti dan menolak, jangan patah semangat. Teruskan! Kerana di hadapan, kelazatan menanti. Sungguh!
Bila sudah sampai ke tangki air, bolehlah berehat sebentar. Kalau kaki masih kuat, terus saja menerjah ke Syabas Trail. Syabas Trail adalah denai yang lari di atas laluan paip air. Paip dengan garis pusat 18inci (anggaran), menghias sepanjang laluan. Hanya sedikit bahagian atas paip yang terbonjol di atas tanah. Denai masih di bawah naungan teduhan rimba. Alun naik turunnya santai bersahaja. Cuma diperingatkan agar berhati-hati bila melintas paip. Sesetengah bahagian licin dan sudah ada yang mencium bumi bila tayar hilang cengkaman bila berlari di atas paip.
Dan bila anda merasakan sudah sedap selesa berkayuh di sisi paip, keenakan anda akan disentap dengan rakus. Sekonyong terbentang cerun curam. Pada sisi kanannya sudah ditambak konkrit siap dengan selusur tali untuk anda berpegang. Cerunnya hampir 45°. Sayupppp...puncaknya tidak kelihatan terlindung di sebalik lengkuk kecerunan. Muka denai Pacat Trail betul-betul di atas puncak. Gagahkanlah diri anda memikul basikal kesayangan anda mendaki cerun. Memang mencungap. Kalau ada sesiapa yang boleh kayuh hingga ke atas, memang boleh bagi satu tabik spring!
Pendakian menyeksakan ini dibahagi dua. Sebelah tanah togel dengan beberapa bahagian dipakuk sperti anak tangga. Cuma anak tangga itu besar dan tinggi. Lebih sesuai untuk kelangkang Sang Kelembai, bukan manusia biasa. Sebelah lagi diturap konkrit. Permukaannya berlumut menjadikannya licin dan susah mendapat jejak yang mantap. Ah...FRIM bermurah hati membina pemegang selusur, besi dipancang bertakat-takat dengan tali sebagai pemegang. Mudahlah sikit kerja-kerja memanjat cerun. Mencungap!
Puncak derun melandai dan megah terpancang di situ papan tanda PACAT TRAIL. Jangan tanya sama ada ada pacat atau tidak. Satu kelegaan menerpa bila sudah di muka denai. Berehat la sekejap menghilangkan dup-dap dup-dap jantung.
Pacat Trail bermula dengan cerun curam sempit. Kalau berani boleh turun laju-laju. Dalam 10meter, ada sebongkah batu dan denai membelok ke kanan. Ramai yang kecundang di sini.
Denai melandai sekejap dan menyelinap di antara pohonan kemudian meluru turun lagi dengan pantas. Tebing gaung curam menanti di sebelah kiri anda. Denai memang pantas. Akar-akar berselirat, bersedia menguis tayar anda dari laluan. Kalau denai basah, bertambah perisa kayuhan anda dengan teknik drift. Aliran pantas, agak teknikal dan mencabar. Dijamin merembes adrenalin dengan laju.
Slalom celahan pokok | Cerun pendek, pantas dan licin | Kalau berani boleh "terbang" |
Aliran deras tiba-tiba mengalir tenang dan anda boleh mengayuh perlahan dan malas keluar dari Pacat Trail. Dari denai sempit meluru laju, bertembung dengan denai lebar. Ke kiri boleh, ke kanan boleh? Mahu kiri atau kanan?
Ke kiri akan memberikan hamparan denai lebar dengan larian menurun. Denai lebar tetapi permukaan kayuhan tak lebar kerana hakisan. Larian turun sederhana pada denai tanah merah sehingga berakhir hampir dengan kaki Steroid.
Ke kanan akan menghadap pendakian pendek sederhana curam. Denai lebar dengan lantainya dipenuhi daunan dan ranting kering. Pendakian itu hanya sedikit ujian sahaja kerana sebaik denai kembali melandai, anda akan disajikan dengan sajian lazat. Balak melintang dibiarkan sebagai cabaran tambahan. Kayu-kayu kecil dipasak pada sisi menjadikan semacam tanjakan. Hanya kayuh, angkat tayar depan sedikit, imbang dan terus kayuh. Balak boleh dilepasi.
Selepas balak, laluan meluru turun dengan lebih laju dan berhadapan dengan selekoh "chicane" bentuk S yang memaksa anda melibas ke kanan dan ke kiri dengan pantas. Keghairahan bersambung dengan beberapa bonggol dan cerun kecil dan disudahi dengan larian turun yang curam dan panjang sebelum berakhir berhampiran kaki Steroid. Ada yang terlebih teruja merasa tak puas, sanggup menolak basikal untuk merasa lagi sekali. Anda dah pernah cuba? Kalau belum...cepat-cepat laaaa....
KUDAPAN LAIN - AROMATIC TRAIL
Selain daripada Dream dan Pacat, ada denai-denai lain yang tak kurang lazatnya...Yang patut dicelapak juga ialah Aromatic Trail. Saya selalu menjadikan denai ini denai "pencuci mulut" sebagai penutup kayuhan FRIM. Denainya pendek saja dalam 300meter. Boleh masuk terus dari Jalan Watson atau melalui Jalan Kapur, berdekatan dengan tapak semaian. Saya lebih suka masuk melalui Jalan Kapur selepas meluru turun denai batu kerikil hala balik dari Bukit Hari. Kepala denai adalah denai lebar di bawah teduhan rimbunan rimba. Boleh berkayuh mode tanang dan santai atau belasah ala-ala Julien Absalone nak menghampiri garisan penamat sebab kayuhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Kepala Aromatic Trail di sebelah kanan dekat dengan pertemuan denai dengan jalan tar (Jalan Watson). Kepala denai mencerun turun dengan akar sebesar lengan budak berserakan. Kemudian sedikit melandai dan melengkuk dalam bentuk U yang besar mendakap lereng. Saya suka belasah kayuh laju-laju. Mendengar gerutup daun kering dilanyak tayar bagaikan bunyi muzik lunak. Aromatic Trail berakhir bila bertemu dengan Jalan Watson.Keluar dari Aromatic Trail dengan dada berombak dan nafas mencungap berbaur puas. Ada anak sungai pada penghujung denai, sesuai untuk berehat sebantar menunggu kawan-kawan. Boleh juga diambil kesempatan untuk mencuci basikal...Selepas itu terpulang anda. Mahu ke kafeteria untuk minum? Mahu kayuh Dream sekali lagi? Tepuk peha, tanya lutut...
Akan datang - Gambar dan video akan dimasukkan.
No comments:
Post a Comment