Wednesday, December 24, 2014

Kasut MTB ~ Sette Epic

Sette Epic
Dah 3 pasang kasut MTB aku rabak dalam tempoh lebih 8 tahun aku berkayuh.  Semuanya dari jenis Shimano.  Kenapa Shimano?  Sebab dia murah.  Itu saja yang aku mampu.  Puratanya sepasang boleh tahan lebih dari 2 tahun dengan lanyakan berat aku,  Kira berbaloilah untuk kasut yang harga sekitar RM200 sepasang.

Pasang pertama Shimano MT-20D.  Jenis bertali.  Diikuti dengan M085.  Jenis velcro strap dan pengunci ratchet.  Pasang ketiga M086.  Macam kebetulan pula susun atur nombor modelnya. 

Keseluruhannya, aku suka kasut Shimano ini.  Selesa dipakai.  Badannya tahan,  Sayang sedikit tapaknya yang bergetah itu dibuat berasingan daripada tapak keras bawah.  Mudah terkoyak dan tertanggal.  Masalah yang sama dihadapi oleh M085 dan M086.

Pasang ke-4 punya cerita berbeza.  Bila tapak M086 dah mula koyak dan tanggal, aku mula meninjau-ninjau prospek untuk kasut baru.  Dan kawan-kawan selalu peka dengan masalah dan cbaran yang aku hadapi.  Pian menawarkan khidmat untuk tolong beli kasut di USA bila dia pergi ke sana.  Satu tawaran yang sukar ditolak.

Pengunci ratchet
Parameter pertama aku ialah harga tidak melebihi RM250.  Strap velcro dengan pengunci ratchet.  Kebetulan pula pemergian dia pada bulan Disember.  Banyak sale berlaku.

Setelah ditinjau apa yang ada, hanya satu dua saja yang boleh disenarai pendek.  Akhirnya Sette Epic jadi pilihan.  Kasut belum dibawa beraksi di denai lagi.  Jadi belum dapat dibuat ulasan prestasi.  Kita cerita dulu tentang rupa dan sifat luarannya.

Tapak yang nampak lebih kukuh dan utuh.
Saiz 43 memang cocok dengan kaki aku.  Bukaan depannya lebar sesuai dengan anatomi kaki aku.  Bahagian tapak hadapan dilengkapi dengan 2 stud boleh tanggal untuk lebih cengkaman bila mendaki tebing berlumpur.  Strap dan ratchet berfungsi dengan baik.  Dan...aku sangat suka dengan cara Sette membuat tapak kasut Epic ini.  Tapak seolah terangkum dengan tapak dalam.  Bahannya terasa lebih keras dengan corak bunga bagai tayar traktor.  Hodoh dan garang.  Sangat sesuai untuk denai.  Kita tengok sama ada tapak Sette Epic ini boleh tahan lanyakan aku.


Datang balik ke mari untuk ulasan prestasi kasut ini.

Wednesday, December 10, 2014

Kali Pertama ~ KL Pagi Bebas Kenderaan

Sang Lintar pertama kali ikut KL Pagi Bebas Kenderaan
A cara KL Pagi Bebas Kenderaan ni dah lama dah dibuat oleh DBKL.  Cuma untuk bulan Disember ni sebagai penutup untuk tahun 2014, tergerak hati untuk ikut sama.  Kiranya aku dan posting ni terlambat 11 bulan lah.  Lambat pun lambatlah... janji ada cerita.   

Jadi apa kisahnya KL Pagi Bebas Kenderaan ni?  Basikal bukan kenderaan ka?  Payah jugak nak jawab tu.  Toksah banyak soal... mari ikut sama!

DBKL mengambil inisiatif untuk mengajak wargakota tinggalkan sekejap kenderaan berenjin yang mengeluarkan bahan cemar dan kembali kepada kegiatan mesra alam.  Setiap Ahad pertama setiap bulan, beberapa jalan akan ditutup kepada kenderaan berenjin.  Wargakota beramai akan melalui laluan ini dengan berbasikal, berkasut roda, papan selaju, kerusi roda, berjalan kaki dan apa saja kaedah pergerakan yang tidak menggunakan kenderaan berenjin.  Saya tak pasti sama ada basikal elektrik segway dibenarkan.  Yang pasti, ternampak sebuah dua motorsikal yang tersalah masuk ke kawasan "hijau" diminta matikan enjin dan ditolak keluar oleh penguasa bertugas.

Cukup maklumat ringkas latar acara.  Gombak League of Cyclists (GLC) juag mahu ikut serta.  GLC memang sudah lama mahukan kegiatan berbasikal ini disohorkan.  GLC sendiri menganjurkan kayuhan bandaraya setiap minggu sebagai tanda sokongan.  Oh yeahhhh... GO GOMBAK!!!

Melaut manusia
Pengayuh tegar, separa tegar dan separa sedar (mamun lagi) berkumpul di Restoran Thaqwa, Taman Greenwood Indah seawal 0630hrs.  4 pengayuh memulakan serangan subuh... Aku, anakku Faris, Lan Manap dan Sazril Anuar.  Anggota tambahan komando Lee bergabung di separuh perjalanan.  Paksi serangan mengikut DUKE - Jalan Sentul - Jalan Ipoh.

Tiba di kawasan Sentul Boulevard, kelihatan anggota memakai seragam yang sama.  Rupanya Wan Rizal dari unit tumpangan dan ceraian dengan kumpulannya.  Kumpulan pergerakan menjadi lebih besar.  Laluan seterusnya Jalan Ipoh > Jalan Tuanku Abdul Rahman > Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Simpang Jalan Sultan Ismail - Jalan Tuanku Abdul Rahman sudah diletakkan penghadang menghindar kenderaan bermotor dari masuk.  Itupun ada jugak yang terbabas masuk sebijik dua.  Roman muka mereka yang terbabas masuk sangat mirip kepada expatriate dari Bangladesh...Aku tak komen lebih-lebih.  Nanti dikata racist.


Basikal lipan?
0710hrs sampai ke Jalan Raja Laut, perkarangan Menara Dewan Bandaraya.  Dah ramai manusia berkumpul.  Yang berbasikal, yang berkasut in-line, yang berpapan selaju, yang berkerusi roda, yang bersekuter tunjal... Macam-macam ragam jenis dan aneka.

Bergabung lagi dengan anggota GLC yang datang ikut laluan lain - Firdaus, Hakim, Zul antaranya...Lekas-lekas aku dan gerombolan yang baru sampai pi mendaftarkan diri.  Mana tahu kot nombor naik bila lucky draw nanti.  Dari kejauhan kedengaran pengumuman dari MC yang tak berapa berbutir.  Tau-tau gerombolan manusia mulai beransur bergerak meninggalkan tempat permulaan.

KL Pagi Bebas Kenderaan bukan acara lumba.  Ia acara sosial.  Santai masyarakat.  Acara keluarga.  Ada belaka adik kakak, pakcik makcik.  Semua kaum dan bangsa.  Basikal aneka rupa dan gaya.  Dari basikal lumba hingga basikal lipat.  Dari yang naik sorang hingga yang naik beramai-ramai.  Meriah.  Dan kemeriahan perarakan manusia dari Jalan Raja Laut > Jalan Sultan Ismail > Jalan Tuanku Abdul Rahman > Jalan Dang Wangi > Jalan Ampang > Jalan Sultan Ismail > Jalan P Ramlee.  Opppp... berhenti sekejap di depan KLCC.  Rehat-rehat kesat peluh yang tidak seberapa sambil bergambar beramai-ramai.

Sambung balik pergerakan ke Jalan Ampang > Jalan Sultan Ismail > Jalan Tuanku Abdul Rahman > Tempat permulaan.  Kalau berbasikal kelajuan santai 10km/j - 15km/j, kitaran lengkap selesai dalam masa 30 minit.  Boleh ulang satu lap lagi kalau mahu.  Dan itulah yang GLC buat pada pagi tersebut.
Zon gambar

Rancangan awal untuk menunggu cabutan bertuah dibatalkan memandangkan ada urusan lain menanti. Gerombolan GLC berkayuh ke Jalan Raja Abdullah untuk menyahut tuntutan perut yang mintak diisi.  Nasi Lemak RA memang sohor.  Ramai pelanggan mendatangi.  Mujur sekejap saja menunggu untuk mendapat tempat duduk.

Tamat sudah kisah aku dan GLC menyertai acara KL Pagi Bebas Kenderaan.

Wednesday, June 11, 2014

Kenali Komponen Basikal ~ Kerangka (Frame)

AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan seorang professional dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.

Foto-foto di dalam posting ini ada yang digunakan tanpa izin daripada pemegang hakcipta.  Mohon kebenaran menggunakannya di dalam posting ini.  Posting ini sekadar perkongsian maklumat dengan masyarakat tanpa perolehan untung komersil.  Sekiranya pemilik hakcipta keberatan memberikan kebenaran, sila hubungi penulis untuk membuang foto-foto berkenaan daripada posting ini.

Some photos used in this posting are used without permission from the copyright holder.  Please allow its usage as this is a community posting and of non profit in nature.  If copyright owner reluctant to grant consent, please contact the author for removal of the photos.  - kelolo   (kelolo24@gmail.com)

Anatomi Sebuah MTB ~ Kerangka dan Geometri

Kerangka MTB yang tipikal

Kerangka basikal adalah komponen utama yang menjadi tempat komponen lain berpegang dan berpaut. Kita akan cuba mengenali komponen-komponen kerangka dengan lebih terperinci. Dan bila berbincang tentang kerangka, kita tidak boleh lari dari membincangkan geometri kerangka.

Geometri kerangka adalah sudut dan panjang komponen tertentu pada kerangka. Geometri ini berbeza mengikut disiplin kegunaan kerangka. Geometri juga mempengaruhi pemadanan saiz basikal dengan pengayuh. Kita akan cuba singkap satu persatu.  Posting ini hanya akan memberikan pengenalan dan definisi-definisi kepada bahagian-bahagian kerangka.  Maklumat lanjut berkenaan bagaimana bahagian ini mempengaruhi prestasi basikal akan dibincangkan kemudian  (kalau ada masa dan kesempatan).  


HT [Head Tube Length]
Panjang Tiub Kepala
Jarak dari atas tiub kepala ke bawah tiub kepala.  Mudah kan?!  


B(HA) [Head Tube Angle]
Sudut Tiub Kepala
Sudut tiub kepala diukur dengan mengambil sendeng sudut kepala dengan tanah. Sudut yang tinggi, berkadar terus dengan kepantasan membelok dan lebih cekap untuk mendaki. Sebaliknye, sudut yang lebih rendah akan memberikan belokan yang lebih perlahan, lebih susah untuk mendaki tetapi memberi lebih keseimbangan pada kelajuan tinggi. Kerangka basikal XC mempunyai sudut tiub kepala lebih tinggi sekitar 71 darjah. Basikal downhill biasanya dibuat dengan sudut tiub kepala sekitar 65-68 darjah.

Fork Rake [Offset]
Sadak
Merujuk kepada jika satu garisan lurus dilukis dari tengah tiub steerer hingga ke tanah dan satu lagi garisan selari yang merentasi bahagian tengah ofset fork, jarak di antara dua garisan selari ini ialah sadak atau fork rake.

Sadak untuk MTB biasanya dalam julat 45-50mm.


TRL [Trail]
Jejak
Berkait rapat dengan sadak di atas.  Ukuran ini boleh memberikan gambaran yang lebih tepat bagaimana kepantasan membelok sesuatu basikal.

Kaedah umumnya...
- Jejak rendah, belokan pantas
- Jejak tinggi, belokan lembab

Jejak untuk MTB berada dalam julat 55mm - 65mm.


WB [Wheelbase]
Tapak roda
Jarak tapak roda diukur di antara titik roda depan dan roda belakang bersentuhan dengan tanah. Juga boleh diambil ukuran di antara gandar depan dan gandar belakang. Lebih panjang tapak roda, memberikan keseimbangan yang lebih baik terutama pada kelajuan tinggi. Akan tetapi, keseimbangan itu mengorbankan pula kelincahan kawalan dan belokan terutama pada kelajuan rendah. Jarak roda pendek memberikan lebih kelincahan dan kepantasan bila membelok. Basikal-basikal XC mempunyai tapak roda yang lebih pendek berbanding dengan basikal-basikal DH.


CS [Chainstay length]
Panjang chainstay
Panjang chainstay akan mempengaruhi panjang tapak roda dan mempengaruhi kelincahan kawalan dan keseimbangan. Makanya, chainstay pendek akan memberikan kayuhan lebih pantas. Chainstay pendek membolehkan gerakan-gerakan dibuat dengan lebih mudah seperti manual, wheelie dan melompat. Chainstay pendek juga memberikan kawalan yang lebih baik ketika "terbang". Sebab itu kita perhatikan chainstay pendek adalah satu kemestian kepada basikal-basikal lompat (dirtjump) dan basikal jalanan (street bikes). Chainstay pendek memberi ketegaran yang lebih maka kerangka tidak mudah meliuk, memberikan hantaran tenaga yang lebih pantas ke roda belakang untuk setiap tujahan engkol.


SO [StandOver height]
Tinggi kelangkang
Tinggi kelangkang ini boleh dikatakan seperti kelim dalam pada basikal. Tinggi diukur dari tanah ke bahagian atas tiub atas. Ketinggian tinggi kelangkang mempengaruhi kelegaan kelangkang pengayuh dengan tiub atas. Sepatutnya ada kelegaan di antara 1-3 inci di antara kelangkang dengan tiub atas. Ini perlu untuk memberi kebebasan pergerakan dan sedikit insuran untuk harta berharga di celah kelangkang itu. Bayangkan kalau kaki tergeleceh dari rakap... Kelegaan ini juga perlu untuk memudahkan pergerakan naik dan turun basikal. Untuk basikal lasak, tinggi kelangkang direndahkan. Perendahan ini ditambahbaikkan lagi dengan kemajuan dalam bidang pembentukan logam yang membolehkan tiub atas dibuat melentur. Dengan lenturan, kelegaan kelangkang boleh ditambah.


BBH [Bottom Bracket Height]
Tinggi Braket Bawah
Ketinggian braket bawah mempengaruhi pusat graviti. Legi rendah pusat graviti, lebih mudah basikal membelok. Akan tetapi, terlalu rendah mendatangkan isu kelegaan ruang pula. Braket bawah yang terlalu rendah akan turut merendahkan engkol, rakap dan tiub braket bawah. Komponen ini akan terdedah kepada menghentam batu, akar dan segala halangan lain di dalam denai. Tinggi braket bawah juga perlu mengambil kira mendapan oleh sepit udang. Bagi sepit udang yang panjang gelungsurnya, sela untuk braket bawah menjadi lebih rendah di bawah mampatan mendatangkan isu kelegaan kerangka dengan tanah.

Tinggi braket bawah tidak malar.  Boleh berubah mengikut saiz roda/tayar yang digunakan.  Kurang tepat jika digunakan untuk rujukan kelegaan basikal dengan tanah.  Untuk rujukan kelegaan yang lebih tepat, digunakan Bottom Bracket Drop (BBD) 

BBD [Bottom Bracket Drop]
Turunan Braket Bawah
Gariskan satu garisan di antara titik tengah roda depan dan belakang.  Gariskan satu garisan berserenjang dari tengah braket bawah ke garisan di atas.  Panjang garisan ini ialah turunan braket bawah.  

Tinggi/rendah nilai turunan ini mempengaruhi bagaimana stabilnya kendalian sesuatu basikal. Hukum asasnya ialah lagi tinggi nilai turunan lagi stabil.  Perlu diingat yang nilai itu tidak boleh dinaikkan sewenangnya kerana akan mempengaruhi kelegaan tanah pula.  Dan perubahan nilainya dilakukan berdikit-dikit dalam kiraan milimeter. 

Nilai ukuran boleh jadi positif (+) atau negatif (-).  Positif bermakna braket bawah berada di bawah garisan.  Negatif bermakna braket bawah berada di atas garisan.

TT [Top Tube Length]
Panjang Tiub Atas
Panjang ini diukur daripada bahagian tengah tiub pelana dan bahagian tengah tiub kepala dalam satu garisan yang selari dengan tanah. Juga dipanggil Effective Top Tube. Tiub atas pendek menjadikan tapak roda pendek. Begitu juga sebaliknya. Panjang tiub atas yang sesuai bergantung kepada fizikal pengayuh. Kerangka basikal bersaiz besar mempunyai tiub atas yang lebih panjang. Lebih sesuai untuk mereka yang bertubuh tinggi yang relatifnya akan mempunyai lengan yang panjang. Mereka yang mempunyai ketinggian yang berada dekat sempadan saiz kerangka akan berhadapan dengan lebih cabaran mendapatkan kerangka yang sesuai dan selesa. Kadang-kadang, saiz kerangka sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan padanan yang sesuai. Sekiranya kerangka yang digunakan memberikan rasa sedikit sempit atau sedikit luas, cuba bermain-main dengan panjang stem dan anjakan pelana yang berbeza. Mungkin itu sudah memadai untuk mendapatkan keserasian dan keselesaan dan tidak perlu memburu kerangka baru.

ST [Seat Tube Length]
Panjang Tiub Pelana
Panjang dari atas tiub pelana ke pusat braket bawah.  Jarak ini yang biasa digunakan sebagai piawai saiz kerangka basikal.  Contohnya : Saiz 17inci C to C.  Bermaksud panjang tiub pelana adalah 17 inci.  C to T bermaksud "Center To T", ukuran dibuat dari pusat braket bawah ke atas tiub pelana.

A(SA) [Seat Tube Angle]
Sudut Tiub Pelana
Prinsipnya hampir sama dengan sudut tiub kepala. Sudut dikira berdasarkan sudut tiub pelana dengan tanah. Sudut ini menentukan di mana pengayuh akan duduk di atas basikal, menentukan jajaran dengan engkol. Sudut yang tinggi, memberikan tiub pelana yang lebih tegak. Pinggul pengayuh akan lebih hampir dengan engkol. Ini membolehkan pengayuh mengayuh dengan lebih laju. Sebab itu, berkayuh sambil berdiri memberi lebih kuasa pecutan. Sebaliknya, sudut yang rendah akan membuatkan pengayuh berada lebih jauh daripada engkol. Sudut yang rendah juga akan menyebabkan pengayuh lebih ke belakang bila tinggi pelana ditambah.


Itu sahaja bahagian-bahagian kerangka yang perlu dan patut diketahui.  Berkenalan dulu dengan kerangka.  Insyaa Allah, ada masa, ada rezeki kita teliti dengan lebih mendalam lagi setiap komponen dan bagaimana ia mempengaruhi prestasi sesebuah MTB.

Tuesday, May 27, 2014

10 Salah Tanggapan Umum Tentang Basikal

D alam setahun dua ini bagai ada ledakan dalam kegiatan berbasikal di Malaysia.  Saya tidak ada perangkaan rasmi untuk menyokong pernyataan ini.  Sekadar perhatian rambang dari bilangan pengayuh yang muncul di jalanraya dan denai-denai.  Kedai-kedai basikal di sekitar rumah saya juga berkembang biak.  Semakin ramai yang kembali berbasikal sama ada untuk
riadah, rekreasi atau sukan.  Acara dan jamboree semakin banyak kedapatan hingga berpinar mata untuk memilih yang mana satu.

Dalam keghairahan untuk kembali berbasikal atau mencuba untuk berbasikal, ada beberapa tanggapan salah mengenai berbasikal.  Saya cuba kongsikan beberapa pemerhatian sebagai panduan kepada mereka yang ingin/bercadang untuk berbasikal.  Pemerhatian ini merangkumi semua jenis basikal secara umum.  Jika khusus untuk jenis-jenis tertentu, akan dinyatakan.

10 Salah Tanggapan Umum Tentang Basikal (Bukan dalam urutan kepentingan.  Nombor hanyalah sekadar untuk rujukan)

10.  Lagi mahal lagi bagus.
Lagi mahal harga sesuatu basikal, lagi bagus basikal itu.  Tanggapan ini mungkin benar pada permukaannya sahaja.  Tidak semestinya.  Untuk mereka yang belanjawan besar mungkin tiada masalah.  Belanjalah berapa yang hendak dibelanjakan untuk sebuah basikal.  Tetapi, untuk mereka yang terhad belanjawannya, tidak perlu bersusah payah berhabisan untuk membeli basikal yang mahal.  Belilah basikal yang sepadan dengan kemampuan dan tujuan kayuhan anda.  Saya selalu cakap... "Biar kayuhan lebih mahal dari basikal".  Itu yang penting.  Tingkatkan nilai kayuhan anda...

9.  Pelana tinggi sangat.  Susah bila berhenti.
Untuk mendapatkan keselesaan dan output kayuhan optimum, tinggi pelana perlu dilaras supaya kaki hampir lurus dalam keadaan rakap berada di bawah sekali.  Bila dilaras begini, pengayuh terpaksa berginjat bila berhenti.  Ramai, terutama yang baru berjinak, tidak selesa berhenti dalam keadaan begitu.  Ramai yang lebih selesa dengan ketinggian pelana yang membolehkan tapak kaki berpijak penuh pada tanah bila berhenti.

Cuba fikir sejenak.  Bila kita mencelapak ke atas basikal, adakah kita akan duduk bertenggek saja tanpa berkayuh?  Berapa lamakah kita berhenti berbanding dengan berapa lama kita berkayuh?  Jadi, kedudukan ketika berhenti atau berkayuh yang perlu diutamakan?

8.  Lagi ringan lagi bagus.  Boleh angkat satu jari woooo.
Sangat biasa kita dengar "Basikal ringan woooo... boleh angkat satu jari...".  Satu jari sudah menjadi piawai keringanan basikal sejak sekian lama.  Zaman saya sekolah rendah, piawai ini sudah digunakan.  Memanglah basikal yang berat agak memenatkan bila dikayuh.  Tetapi, tidak semua basikal yang ringan itu lebih bagus.  Biasanya, untuk mendapat basikal ringan, poket anda juga kena diringankan untuk membeli komponen-komponen yang ringan, yang lazimnya mahal.

Tanya diri anda seringan mana anda mahu.  Tanya juga diri anda berapa ringan sanggup anda ringankan kocek anda.  Keringanan mungkin memberikan impak besar jika anda seorang pelumba.  Tidak mengapalah untuk pelumba kerana lazimnya mereka mendapat tajaan.  Bukan poket mereka yang meringan, tetapi kocek penaja.  Untuk mereka yang berkayuh untuk riadah dan rekreasi, kelebihan berat sekilo dua tidak memberikan impak besar kepada prestasi kayuhan anda.  Malah mungkin lebih baik kerana anda mendapat gerakerja otot yang lebih dek kerana berat itu.  

7.  Jangan pakai brek depan.  Bahaya nanti tertonggeng.
Mitos pakai brek depan boleh tertonggeng ini sudah sekian lama menghantui pengayuh.  Kalau betul penggunaan brek depan boleh menyebabkan penunggang dihumban melepasi palang hendal hingga tertomoih patah gigi, kenapa pengeluar masih memasang brek depan pada basikal?  Baik tak payah buat langsung brek depan.

Yang jadi punca tertomoih bukan kerana brek depan tetapi kerana SALAH GUNA dan teknik membrek yang salah.  Tahukah anda bahawa nisbah kuasa membrek yang betul ialah 80 : 20.  80% depan dan 20% belakang.  Jadi, manfaatkan brek depan.  Belajar menggunakannya dengan cara dan kaedah yang betul.  Ia akan jadi penyelamat anda.  Juga menyumbang kepada lebih keyakinan bila menghadapi halangan teknikal.

6.  Segan la nak pakai helmet dan sarung tangan.  Macam beria sangat.
Memang helmet/ topi keledar tidak boleh menjamin nyawa anda dari maut.  Memang sangat.  Akan tetapi...Kalau kepala terhantuk ke pokok atau tanah atau batu dan anda tak mati, tanpa helmet, sakit sangat rasanya.  Saya sudah merasai sendiri beberapa insiden yang kesakitan kepala terhindar/ berkurang dengan pemakaian helmet...

Sarung tangan bergunan untuk mengurangkan keringsaan pada tapak tangan, membantu cengkaman bila tangan mulai berpeluh dan melindungi tapak tangan daripada luka apabila terjatuh.

Memang mulut orang akan berkata macam-macam.  Tapi...andai berlaku kemalangan (yang kita tak pernah minta pun), yang sakit bukan mereka, tapi kita.  Kita yang patut ikhtiar untuk keselamatan dan perlindungan diri sendiri...

5.  Anu jadi lemah dan boleh mandul
Ini ketakutan dan mimpi ngeri pada pengayuh lelaki.  Saya belum pernah berjumpa lagi kajian perubatan dan saintifik yang mengesahkan bahawa berkayuh basikal boleh melemahkan syahwat dan menyebabkan kemandulan.  Memang ada satu dua kajian tetapi rumusannya tidak konklusif.

Di kalangan rakan pengayuh juga belum lagi berjumpa mereka yang menghadapi masalah syahwat dan kemandulan.  Yang anak berderet, ramai...

4.  Kedudukan tengah tapak kaki atas rakap/pedal
Persoalan ini berkait dengan persoalan pelana tinggi.  Bahagian tengah tapak kaki diletakkan di atas rakap/pedal.  Ini kerana anggapan bahawa kedudukan tengah itu kedudukan terbaik untuk cengkaman tapak kaki ke rakap dan juga keseimbangan.

Kedudukan tapak kaki yang betul ialah sepertiga hadapn kaki diletakkan di atas rakap sesuai dengan anatomi tulang dan otot manusia.  Kedudukan ini memberikan tujahan kaki dan kecekapan maksimum bila berkayuh berbanding dengan kedudukan tapak kaki sama tengah.

3.  Basikal ampaian penuh untuk keselesaan
Basikal ampaian penuh adalah basikal yang mempunyai ampaian ("spring" kata orang) di depan dan belakang.  Saya sering-sering ditanya oleh orang yang nak bermula berkayuh yang menyangkakan basikal ampaian penuh itu untuk keselesaan.  Kononnya, basikal tidak bergegar dan segala hentakan akan diserap oleh spring.

Anggapan mungkin benar untuk motorsikal dan kereta yang mempunyai berat lebih daripada basikal.  Untuk basikal, tekanan angin pada tayar sudah boleh menyerap hentakan dan gegaran di atas jalan tar dan jalan tanah biasa.  Tidak perlu ampaian jika kayuhan di jalanraya berturap yang anda inginkan.

Disebaliknya, ampaian pada basikal itu boleh menjadi musibah kepada anda.  Kenapa?  Daya tujahan untuk kayuhan itu tidak diterjemahkan atau dihantar sepenuhnya kepada putaran roda belakang.  Sifat anjal pada sistem ampaian "mencuri" sebahagian daripada kederat daya tujahan anda.  Kayuhan menjadi kurang cekap.  Basikal akan berhenjut dalam apa yang dipanggil "pedal bob" (alunan kayuhan).

2.  Lagi banyak gear lagi bagus
Gear pada basikal telah melalui evolusi yang besar dalam beberapa dekad ini.  Bilangan gear dikira berdasarkan bilangan piring gegancu pada engkol dan bilangan piring pada sproket/keset.  Menjadi tanggapan biasa bahawa lagi banyak gear lagi bagus.  Pada satu ketika 3x7 dikira hebat.  Kemudian muncul 3x8.  Naik setakah lagi 3x9.  Terus maju dengan 3x10.  30 gear engkau!  Selepas itu datang 4x14 pulak.  Cheh!  Mana ada 4x14.  Yang datang 1x11.  Haaa!  Kenapa pulak?  Dari 30 bilangan gear, turun jadi 11 saja.  Aikkk....?!!!

Nyatanya, bukan bilangan gear itu yang penting, tetapi nisbah gear yang boleh diraih daripada kombinasi gear depan dan belakang.  Dalam sistem 3x9 atau 3x10, ada kombinansi gear yang memberikan nisbah gear yang bertindih.  Dan ada juga kombinasi gear yang tidak dipakai.  Kombinasi gear kecik depan kecik belakang dan besar depan besar belakang lazimnya tidak dipakai kerana rantai berada dalam kedudukan ekstrim.  Jadi, jumlah gear berkesan yang sebenarnya bukanlah bilangan gear depan darab gear belakang.

Maka sekarang, pengeluar, setelah mengkaji gear untuk kegunaan optimum mendapati nisbah-nisbah gear tertentu yang diperlukan untuk basikal lasak.  Sebab itu lahir sistem 2x10 atau 1x11.  Cukup dan memadai tanpa perlu membawa beban berat berebihan.

1.  Laju itu merbahaya!
Kelajuan itu bagaikan api.  Kecil sangat, nak bakar apapun tak boleh.  Bijak menggunakannnya, api berguna untuk memasak, melebur logam, membentuk kaca dan pelbagai kegunaan lagi yang memberi manfaat besar kepada manusia.  Itu berlaku pada tahap kepanasan yang berbeza.  Dibiarkan terlalu besar, akan menjadi tidak terkawal membakar luluh hangus rentung segala apa yang boleh dilahapnya.

Begitu juga kelajuan pada basikal.  Ada tempat yang kita perlu perlahan, ada tempat yang kita perlu kelajuan untuk kayuhan yang lebih lancar dan upaya melepasi halangan.

Anda sebagai pengayuh, harus menjadi pengawal api yang bijak.  Harus tahu bila api perlu dibesarkan dan dikecilkan dan harus pandai dan bijak mengawal marak api supaya anda mendapat manfaat sepenuhnya daripada kayuhan anda.


Nah, garapan di atas adalah hasil pemerhatian dan pengalaman saya berhadapan dengan mereka yang mahu berjinak dengan basikal.  Mungkin tidak tepat sepenuhnya tetapi rasanya tidak tersasar jauh.  Semoga catatan ini boleh menjadi penduan berguna kepada semua terutama yang mahu mula berjinak dengan basikal.


Thursday, May 15, 2014

Kayuhan Solo Gombak - Putrajaya


Solo bersama Sang Lintar Di Depan Astaka Morokko, Taman Botani

A Aku tiada apa-apa rancangan berkayuh untuk cuti Hari Wesak.  Sengaja aku simpan untuk aktiviti keluarga.  Tahu-tahu hari Isnin, isteri bersuara.  "Esok ada nak kayuh ke mana?...".  Belum sempat aku jawab, dia dah sambung"...kalau nak kayuh kat Putrajaya boleh juga.  Esok nak pi Bangi hantar barang kat kawan-kawan...".  Mendadak datang dalam kepala cadangan berkayuh ke Putrajaya.  Sang Lintar belum pernah diuji berkayuh sejauh itu.  Rancangan yang sangat sesuai!  Siapa boleh tolak?

Aku pelawa juga Faris, kot dia berminat.  Mesej kelam kabut aku sampaikan pada group Whatsapp GLC kot ada yang berminat.  Tiada yang menyahut.  Maka, pada pagi Selasa, 13/05/2014 jam 8.00 pagi aku dan Sang Lintar bergerak dari rumah menuju Putrajaya.  Agenda utama berkayuh ke Putrajaya.  Agenda kedua, mencari jalan yang paling kurang trafik, yakni yang tidak melalui lebuhraya atau paling kurang melalui lebuhraya untuk ke Putrajaya.  Dalam kesuntukan masa aku merancang laluan dalam keadaan caca merba.

Persiapan diri dan basikal dibuat.  Telefon sangat penting dan berguna.  Selain daripada untuk perhubungan, telefon juga aku gunakan untuk rakaman kayuhan.  Aku gunakan aplikasi Endomondo.  Endomondo dipasang.  Boleh tengok rakaman Endomondo kayuhan di sini.  Dan sebaik suara perempuan dari Endomondo berkata "GO", kayuhan bermula.  Dari rumah, Lebuhraya Duta Ulu Kelang Expressway (DUKE E33) diambil.  Ada alternatif untuk ambil jalan dalam kampung Padang Balang tapi mood malas pagi tu mendorong aku ke DUKE saja.  DUKE, seawal 8.00 pagi sudah berderu kereta walaupun hari cuti.

DUKE disorot sehingga simpang Kampung Bandar Dalam.  Aku keluar dari DUKE di situ dan membelok kanan menghala ke Sentul.  Jalan dua hala yang kadang-kadang jadi tak tentu hala.  Kesibukan biasa Sentul terutama ketika melalui kawasan pasar.  Kawasan berhampiran Sentul Boulevard bertambah sibuk dengan deretan kereta penganut Buddha berkunjung ke wat Buddha di situ menyambut Wesak. 

Aku cilok ke Bandar Baru Sentul.  Laluan tembus ke Jalan Pahang.  Jalan Pahang dilintas membawa ke Taman Tasik Titiwangsa.  Ramai pengunjung pagi Taman Tasik Titiwangsa.  Berjalan, berjogging, berbasikal dalam berbagai rupa, gaya dan usia.

Taman Tasik Titiwangsa aku tinggalkan.  Masuk ke jalan Fletcher yang selari dengan Jalan Tun Razak.  Aku panjangkan tengkuk menjengah keadaan Jalan Tun Razak.  Trafik sederhana.

Jln Tun Razak...selepas simpang Jalan Ampang
Cilok masuk ke Jalan Tun Razak selepas stesen minyak Shell.  Dan mimpi ngeri pengayuh basikal bermula.  Trafik kadar sederhana bermakna jalan lapang.  Jalan lapang mendorong pemandu dan penunggang motorsikal memandu dengan laju.  Harus berhati-hati.  Aku ambil laluan bawah di hadapan Perpustakaan Negara Malaysia.  Biar tersengguk dengan banyak lampu isyarat daripada menghadap kenderaan bermotor yang laju berdesup.

Atas dasar keselamatan dan berhati-hati, aku cuba menghindar daripada mengikuti arus utama trafik apabila menghampiri susur masuk atau keluar.  Sedapat mungkin aku akan mengelak daripada memintas aliran trafik.  Sebab itu, pada susur masuk/keluar aku rela keluar daripada laluan utama, menunggu di lampu isyarat dan masuk semula ke aliran trafik.  Lambat, tapi lebih selamat. 

Kaedah itu yang aku pakai bila aku keluar tidak masuk ke terowong di Jalan Tun Razak.  Sebaliknya keluar dan mengambil laluan atas.  Lebih selamat.  Itulah yang berlaku berulang kali sepanjang kayuhan aku.

Namun, panduan ini tidak boleh digunapakai pada semua tempat.  Contohnya, bila menghampiri Bulatan Kampung Pandan, aku terpaksa juga memintas laluan trafik kerana arah tuju aku menghala ke Jalan Tun Razak.  Terpaksa memintas trafik yang hendak ke Kampung Pandan.  Bila itu terpaksa berlaku, ianya dilakukan dengan penuh waspada dan hati-hati. 

Bulatan besar dilalui dan keluar pada susur Jalan Tun Razak.  Lalu di depan kedai sup Sururi.  Hmmm...dah lama tak pekena sup Sururi.  Kayuh terus melepasi simpang Jalan Cochrane, kemudian Jalan Peel sebelum membelok kiri ke Jalan Cheras.  Jalan jadi sesak dan bercelaru dengan pemidang-pemidang yang dipasang untuk projek MRT.

Maju terus di Jalan Cheras sehingga bulatan menuju Bandar Tun Razak.  Trafik sedang-sedang molek.  Kelibat warung-warung di tepi velodrom Cheras melonjak rasa ingin berhenti dan bersarapan.  Separuh lagi diri aku sedang seronok berkayuh dan enggan berhenti.  Keseronokan mengayuh menang dan aku terus berkayuh santai sekitar 20-25 km/j melepasi melalui Jalan Yaacob Latif hingga ke HUKM.  Terus membelok kanan menyusur Jalan Budiman kemudian ke kiri ke Jalan Bangsawan dan ke kanan balik mengikut Jalan Jujur dan Persiaran Mewah.  Kemudian menyusup masuk di bawah Lebuhraya Hubungan Timur Barat dan bertemu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2 #26).  Aku menyusur MRR2 menuju Bandar Tasik Selatan.

Masuk saja ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, trafik mula berderu.  Kenderaan bermotor laju berpusu.  Aku kekalkan laluan kiri dengan formula yang sama bila menghadapi susur masuk dan keluar.  Susur kiri ke Sungai Besi diambil.  Meluru saja turunnya melalui Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang berhadapan dengan stesen Start LRT Tasik Selatan.  Masuk ke satu lagi fasa "seriau" dalam kayuhan aku.  Lebuhraya Besraya Sungai Besi...

Lebuhraya Sungai Besi...Bangunan Sapura dari kejauhan
Keseriauan itu hanyalah mainan minda rupanya.  Trafik tidaklah segerun sepertimana dijangkakan.  Cuma pada bahagian susur masuk/keluar sahaja yang agak ngeri sikit.  Bahagian lain, Lebuhraya 3 lorong dengan lorong kecemasan yang cukup luas memberikan laluan selesa untuk basikal.  Kayuhan bernada santai sehinggalah sampai ke Serdang.  Barulah ada rasa mendaki sikit bila menaiki flyover.  Kayuh pelan-pelan menggunakan chainring kecik 34T.  Bergilir-gilir kaset bahagian tengah mengambil peranan.  Laju-lajupun nak ke mana?

Lebuhraya Sungai Besi terus disusur.  Dikit-dikit kayuhan diteruskan melepasi kawasan UPM.  Jalan agak tenang daripada trafik.  Matahari pagi mula galak menaburkan sinar limpah ruah ke alam maya.  Badan sudah pasah dengan peluh.  Mujur segala otot dan urat saraf masih bertahan.  Jantung dan paru-paru bekerja di luar garis merah.  Air minum baru sedikit saja diteguk...

Papan tanda menunjukkan Putrajaya lagi 10km!  Wah...rasa dah dekat dah.  Tapi tak perlu buru-buru pasang suis turbo untuk meluru pergi pada kelajuan bunyi.  10km tu masih jauh lagi untuk seorang pengayuh amatur macam aku.  Adrenalin yang melonjak tiba-tiba dipendamkan dulu.  Lengkok susur diambil untuk keluar dari Lebuhraya Sungai besi dan menyusur masuk ke Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE E26).  Putrajaya dah semakin dekat.  Hidung sudah terhidu-hidu bau Putrajaya.  Susur ke hospital Serdang dilepasi.  Muncul pula susur ke Putrajaya.  Horeyyyyy...

Dalam kepala berkira-kira ke mana arah tuju aku di Putrajaya nanti.  Teringat kedai makan di Pusat Rekreasi Air Wetland, Taman Wetland.  Tempat minum dengan suasana indah dan damai di tepi tasik.  Pilihan sesuai untuk berhenti rehat dan bersarapan pagi. Sempadan Putrajaya dilepasi menyusuri Persiaran Utara.  Laluan membawa ke susur keluar Persiaran Persekutuan.  Sasaran aku hanya disebelah sana jalan.  Boleh kalau aku hendak pikul basikal dan lintas saja... Ah, kayuhan di Putrajaya tidak akan lengkap kalau tidak membuat satu pusingan bulatan besar Putrajaya, Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah. 

Bulatan besar Putrajaya dikelilingi.  Terasa bagaikan juara yang membuat victory lap selepas memenangi kejuaraan.  Aku memang terasa seperti juara... Berjaya berkayuh solo dari Gombak ke Putrajaya.  Cukuplah kejuaraan itu aku raikan untuk diri aku sendiri.  Bulatan sejauh 3.5km dilengkapi.  Sampai masa untuk berlabuh.  Taman Botani jadi pilihan untuk berhenti.  Aku membelok masuk dan berkayuh turun malas dan longlai kerana destinasi sudah sampai.  Sudah ramai pengunjung berkitar di Taman Botani.  Jam sudah pukul 10.20 bila aku menarik brek Sang Lintar dan berhenti di depan Astaka Morokko.  Satu binaan astaka inspirasi dari Morokko di Taman Botani.  Sejarah peribadi tercatat pada hari Selasa, 13 Mei 2014 bersamaan 14 Rejab 1435 hijrah.  Jarak 45km dari Gombak ke Putrajaya dalam masa 2 jam 20 minit...Syukur... Alhamdulillah.  Impian tercapai dengan selamat sejahtera. Masa untuk berselfie!



EPILOG
PCP... Terasa macam nak cyclocrossing
Rasa gumbira itu aku kongsikan dengan keluarga dan kawan-kawan. Bertubilah hantaran mesej Whatsapp dan kemaskini status FB.  Kebetulan Sam, kawan dari opis dan juga GLC juga berada disekitar, sedang sarapan di Dataran Masjid.  Aku dijemput sekali bersama.  Terima kasih Sam belanja sarapan...Lepas sarapan, masa masih bersisa.  Tunggu support car belum kunjung tiba.  Bukan boleh duduk diam saja...

Sang Lintar terus dibawa meronda.  Dari Dataran Masjid hingga Pusat Konvensyen Antarabangsa.  Masih belum terasa puas juga.  Sedikit lagi laluan diteroka.  Taman Cabaran sudah di mata.  Hanya beberapa kayuhan, sampailah ia...Itulah saja sketsa kembara.  Aku dan Sang Lintar ke Putrajaya...

Monday, May 05, 2014

Menggagau Di Dalam Gelap di Kiara

Bermain basikal lasak atau basikal gunung, bagi sesetengah orang, sudah dianggap aktiviti "kurang siuman". Mungkin ada sedikit betul. Anda perlu sedikit "gila" untuk menceburkan diri dalam kegiatan ini. Bermain basikal di denai-denai di dalam rimba, di atas bukit, ke ceruk rantau yang tidak masuk dek akal untuk berbasikal. Itu semua dilakukan pada waktu siang. Dalam terang sinar mentari. Bagaimana pula kalau aktiviti ini dilakukan pada waktu malam. Dalam gelap kelam? Uisshhhh...kalau pada waktu siang sudah dikira "kurang siuman", melakukannya pada waktu malam dalam gelap kelam...Memang sah sudah hilang akal!

Denai-denai Kiara memang terkenal dengan lingkaran denai sempit berliuk lentuk naik turun di dalam rimba.  Teknikal, satu perkataan mudah menerangkannya.  Berkayuh di Kiara pada wktu siang terang benderang cukup menggusarkan, pada masa yang sama, memberikan cabaran yang merembeskan adrenalin dengan laju bila segala cabaran dan rintangan dapat diharungi.  Ataupun,,akur saja yang Kiara terlalu hebat dan hanya dapat diharungi dengan cara turun dan menuntun basikal.

Bagaimana kalau dua unsur ini digabungkan?  Denai teknikal dikayuh dalam kelam malam? Itu yang dilakukan oleh sekumpulan pengayuh yang kemaruk adrenalin.

Ooi dan Amin
Mereka pernah datang sebelum ini.  Datang jauh beratus kilometer... Untuk apa?  Menggagau dan meraba Kiara di dalam kegelapan malam.  Dan kegilaan itu mulai berjangkit.  Mereka datang lagi dari Pulau Mutiara.  Membawa bersama beberapa orang lagi untuk diracun tuba meraba Kiara di dalam kegelapan malam... Aku dan anak aku diheret sama... Satu ajakan yang sukar untuk aku berkata tidak.

Hari Sabtu, 4 Mei 2014.  Jadualnya...aku bergerak dari rumah sekitar jam 6.30 petang untuk bertemu di Sri Hartamas.  Selesaikan solat magrib di sekitar situ sebelum bergerak masuk ke Kiara.  Takdirnya awal petang hujan turun lebat.  Sedikit menggusarkan kalau hujan berterusan membawa ke malam.  Mujur hujan berhenti...Rancangan diteruskan.

Kerabat pelan-pelan...
Selesai solat magrib di surau Segambut Tambahan, aku dan Faris, anak aku, bergerak ke Sri Hartamas.  Parkir kereta di depan Old Town White Coffee.  Yang lain menyusul tiba.  Pian, Ooi, Amin dan Sumi dari Penang.  Rudz dari Wangsa Maju.  7 orang akan menerjah Kiara dalam kegelapan malam...

8.30 malam, kayuhan bermula.  Ikut jalan 19/70A sehingga ke simpang 3.  Kemudian membelok kiri dan menghadap pendakian panjang Jalan Desa Kiara menuju ke muka denai di depan kondo Kiaramas Ayuria.  Langit cerah setelah petangnya hujan lebat.  Suasana lembap dingin berkabus... Nyaman...

Di depan Kiaramas Ayuria...
Pembuka tirai ialah pendakian denai berbatu.  Denai lebar dengan kecerunan 15-20%.  Kelam malam menyelubungi dan membatas jarak penglihatan hanya kepada apa yang tersuluh dengan lampu.  Kaki menujah pedal sambil mata menghantar maklumat apa yang dipandang.  Tindakbalas perlu pantas untuk disesuaikan dengan pandangan.  Pemandangan boleh cepat berubah.  Pian menonong ke depan.  Sumi diberi penghormatan menjadi sweeper menjaga bahagian belakang.  Batu-batu granit dilambak bersepah di atas denai lebar doubletrack.  Mencari line kayuhan tidak susah.  Warna putih batu memantul cahaya membantu mencari laluan...

Lihat batu-batu diiringan jalan...
Denai Boner bermula dengan mendaki laluan berbatu yang kemudiannya bertukar kepada laluan tanah merah.  Mujur walau tadinya hujan lebat, jalan tidak terlalu berlumpur.  Kemudian dihadap pula dengan kawasan lapang tanah merah yang sudah disodok jentera pengkerkah tanah.  Ingatan mula dikerah mencari mana satu arah.  Pian terjumpa satu denai di sebelah kiri laluan.  Aku dengan ingatan yang samar merasakan itu bukan... Mana laluannya.  GPS yang dibawa juga tidak mempunyai tracklog yang sepatutnya... Aduhhhhh....

Dalam samar kelam ternampak satu laluan di sebelah kanan.  Laluannya bercabang pulak.  Aduhhh.. sekali lagi.  Mana satu nak ditala ni???  Perlahan-lahan ingatan kembali datang ke dalam benak aku.  Laluan kanan adalah laluannya.

"Steep climb" yang dirindui Pian
Laluan segera berubah rupa dari laluan tanah bersodok ke denai dalam rimba.  Pokok-pokok mula muncul menghias kiri kanan denai.  Cerunnya mula sedikit melandai.  Rasa tenang sikit berkayuh.  Tayar traktor gemuk 2.35 tidak lagi membantah sangat.  Baru syok sekejap berkayuh dah kelam kabut lagi sekali sebab dah berjumpa lagi satu simpang.  Pian punya kunci petanda "steep climb... ".  Aku jadi jiwa kacau.  Pian cuba redah cabang kanan.  Yang lain pakat mengikut.  Dah... takkan nak tinggal situ tercongok saja.  Baru kayuh sat, hati aku berasa tak sedap.  Bukan itu jalannnya.  Hanya gerak naluri saja...Aku kata ini bukan jalan.  Patah balik dan ambil balik cabang kiri tadi.

Tepi...tepi...treler nak lalu
Aku terlepas ke depan sementara Pian berpatah balik setelah dia ke depan tadi meninjau laluan.  Rupa denai selepas itu nampak lebih meyakinkan.  Aku di depan berkayuh hanya berpandu gerak hati.  Berjumpa lagi satu cabang.  Hati jadi lapang dan senang sebab sah laluan betul.  Cabang kanan diambil dan tak lama lepas tu muncullah "steep climb" yang dirindukan sangat oleh Pian.  Aku cuba terjah setakat terdaya.  Cerun curam, penuh alur dan sedikit licin.  Resepi untuk cabaran pedas.  Aku mengalah selepas mendaki beberapa meter saja.  Tak daya dah.  Kaki lenguh lesu.  Dada dan paru bagai nak pecah. Jantung bergegar 8 pada skala richter.  Aku meminggir ke kiri, memberi laluan kepada yang lain sikaki besi untuk meneruskan pendakian.  Aku teruskan dengan tolak-tolak-kayuh, tolak-tolak-kayuh.  Kaki Penang mali memang juara kerabat belaka.  Sekali masa Ooi naik, macam treler 18 tayar gayarnya.  Bukan kerana saiz Ooi dan basikalnya (ehemmm!).  Tapi kerana lampunya yang terang macam lampu treler.

Lepas habis pendakian jadi kecoh sekejap bila ada pokok tumbang melintang denai.  Rudz kata nibong.  Aku tak pasti.  Yang pasti jenis palma berduri.  Kalau rodok tayar, berdesirlah angin keluar.  Boner sudah makin sampai ke penghujungnya.  Denai makin melandai dan sedap dikayuh.  Satu yang agak memeranjatkan, walaupun tadi petang hujan lebat bukan main, denai tidak becak.  Hanya ada satu dua lopak kecil...

Pokok tumbang halangan biasa...
Selamat tinggal Boner.  Hello Janie's... Errr.. Boner dan Janie's tu nama denai di bukit Kiara.  Jangan fikir yang bukan-bukan!  Suasana malam rimba sunyi dan tenang.  Sesekali nampak langit bila tiada rimbunan pohon menutup pandangan.  Tiada bunyi-bunyian makhluk hutan.  Yang memecah hening malam hanyalah bunyi rakap basikal Goka Ooi.  Pedal baru katanya...Patutlah.  Janie's mula melandai dan mencerun turun.  Bila begitu, Pian akan memanggil Rudz supaya berkayuh di belakang dia.  Kenapa?  Sebab Rudz ada pasang GoPro!  Bikin pilemlah!

Sweeper bertugas baru melepasi pagar...
Janie's memang manja dan nakal.  Denai beransur-ansur laju dalam liuk lentok rimba.  Tak lalu aku nak peligan Pian di depan.  Dengan Rudz pulak dok cucuk angin di belakang.  Sebaik melepasi pagar sempadan, aku meminggir ke kanan memberi laluan kepada Rudz mengejar Pian.  Yang lain-lain laju menderu.  Nak ambil gambarpun tak sempat.  Mujur sweeper Sumi sporting.  Sanggup memperlahankan basikal sekejap memberi peluang kamera aku merakamkan aksi.  Jarak kayuhan sudah 1/3.  Masa untuk berehat barang seminit dua...9.30pm.  Pit stop pertama di simpang ke Flinstone.  Pian pi tersasul la pulak tersebut nak lalu Flinstone selepas rehat.  Nasib baik dia tersasul...

Suka sangat!
Ada sikit lagi pendakian menanti.  Dari simpang nak ke denai Twin Peaks.  Curam dan sempit.  Memang aku tak lalu nak tujah.  Sudahnya tertinggal di belakang sorang diri.  Cuak jugak weiii...Kawan-kawan sudah menunggu di atas.  Aku hayun dulu untuk mencari tempat sesuai nak tangkap gambar.  Laluan malam itu menongkah arus biasa Twin Peaks.  Semua tidak sabar nak terjah larian turun hingga ke simpang 4.  Sekali lagi aku hampir kecewa sebab tak sempat merakam aksi.  Semua yang turun laju menderu.  Sekali lagi tertinggal di belakang.  Aku ingat nak sebab laju-laju kononnya.  Hajat besar tak kesampaian sebab mata tak berapa terang.  Kabus menutup cermin mata aku.  Menggagau jugak mencari laluan.  Rupanya ada banyak bonggol baru dibina.  Bonggol-bonggol itu ada benteng penahan air (waterbar) untuk mengalirkan air ke tepi denai.  Kalau mau lebih adrenalin, henyak saja benteng air, tangkap angin sikit.  Ada beberapa benteng air baru dibina.  Terima kasih kepada petugas-petugas sukarelawan yang menjalankan tugas selenggaraan denai.  6 jahanam di depan sudah ghuyup entah ke mana.  Aku terkial sorang-sorang melayan deru turun Twin Peaks hingga ke simpang 4...  

2K menongkah arus ~ bahagian mendaki 
Denai 2K pula di dalam menu.  Teragak untuk menyantapnya luluan biasa atau menongkah arus.  Berlaku perdebatan singkat tetapi tidaklah sampai terjadi adegan tumbuk menumbuk dan baling basikal.  Muktamadnya, laluan menongkah arus diambil.  Pian sekali lagi meluru.  Aku menyusul.  Memang arusnya menurun.  Sedap melayan meliuk lentok hinggalah bertemu dengan swithchback tajam dengan denai yang off camber.  Nyaris aku terhumban ke bawah bila tayar traktor hilang gigitan. Lepas switchback off camber, ada satu seksyen mendaki yang menyebabkan ramai kecundang.  Aku tercicir di belakang sekali lagi.  Dengan sweeper-sweeper sekali tinggalkan aku.  Laluan sepatutnya membelok kiri ke Apollo.  Namun geng depan, dek kerana terlebih ghairah suda
h termasuk ke Mission.  Jenuh aku bertempik suruh patah balik...

Cantik permainannya bermain di outer line...
Satu perkara yang aku perasan bila berkayuh di dalam gelap ini ialah pergantungan kepada deria mata perlu dikurangkan.  Deria-deria lain perlu diaktifkan.  Giro pengimbang yang terbina dalam di dalam badan kita jadi lebih sensitif.  Deria-deria lain lebih responsif untuk menimbal balas kekurangan deria mata.  Dan basikal full suspension sangat membantu.  Suspensi bekerja keras untuk menyerap kesilapan-kesilapan dan kealpaan penunggang.  Baru terasa sangat nikmatnya berkayuh full-sus.

Aku terdorong membebel bab ini kerana laluan dari cabang untuk ke Apollo berselirat dengan akar dan batu.  Akar dan batu diserap dengan baik oleh sistem ampaian basikal walaupun pengayuh tidak sempat untuk respon.  Dan sebaik turun menghala ke Apollo, kelebihan itu terasa sangat.  Laluan Apollo juga ada banyak akar dan drop yang perlu dikendalikan... Kerjanya lebih mudah kalau basikal full suspension.  Bestttt...

Pit stop # 2 pondok wakaf dekat sungai
Keluar ke jalan tar selepas Apollo, baju aku dah basah lencun.  Tak taulah sebab peluh semata atau sebab-sebab lain.  Mungkin sebab faktor kelembapan (humidity) yang tinggi kot.  Fasa tarmac fasa santai berkayuh longlai dari hujung Apollo menuju ke satu lagi muka denai.  Laluan Lower Short.  Aku jadi malas bila memikirkan nak kena memanjat lagi.  Adusss...Takpa, berhenti rehat sekejap di kawasan pondok wakaf.  Berhampiran ada anak sungai yang mengalir jernih.  Di pondok wakaf itulah aku pernah bersolat magrib bersama MTBers lain waktu berkayuh hash bulan Januari dulu...

Ooi memanjakan Goka masuk ke Lower Short
Lower Short bermula dengan gempak.  Dari tarmac masuk ke denai kemudian dengan pantas memanjat tebing curam untuk masuk ke denai.  Aku biarkan yang lain melepasi.  Tinggal Pian saja di depan aku.  Aku cuba ikut rentak lenggang lenggok Pian berdangdut dengan Pivot 5 nya.  Mulanya aku tak berapa gemar nak layan sangat sebab Lower Short ini biasa dimakan dari atas.  Laluan menurun.  Ini kali makan dari bawah pulak.  Laluan menaik.  Aku terbayang beberapa drop curam dan pantas menanti di depan yang perlu dikerabat.  Tapi... selepas melayan memanjat beberapa drop pendek rasa seronok pulak.  Puas la hati dapat sesah hampir semua gon melainkan ada satu yang gon menaik kembar yang agak curam dan panjang yang aku kandas.  Itupun sebab Pian dah terberhenti di depan aku.  Kalau tidak... harus aku tak lepas jugak!  Heh... heh.

Mencungap dengan cungapan kepuasan bila gon terakhir Lower Short dilepasi.  Tarmac memisahkan laluan seterusnya...Hujung Twin Peaks Timur.  Perlu mendaki denai doubletrack berbatu.  Kemudian membelok ke kanan ikut denai Boulder.  Dari boulder yang lebar, kemudian membelok kanan dan turun ke bawah.  Disergah oleh cerun menurun berbatu.  Sekali lagi aku tercicir di belakang.  Cerun berbatu membuat aku terkedu seketika.  Dengan perkiraan keadaan pantas, isyarat neuro automatik dihantar ke tangan  supa membrek berdikit-dikit sahaja. Sang Bara mendapat momentum bila brek dilepaskan.  Dan...dengan sedikit kelajuan dan kawalan, cerun berbatu lebih senang dihadap bila ada sedikit kelajuan.

Denai Barakuda diikut.  Kayuh punya kayuh, tahu-tahu denai dah macam berpusing balik menghampiri pondok wakaf tempat kami berehat tadi.  Uh oh... salah jalan sudahhhh... Gerombolan berpatah balik mencari laluan yang betul.  Rupanya sudah terlepas satu simpang.  Itu semua Pian punya salah.  Kayuh laju sangat tak tengok simpang di kiri kanan.  Kembali ke jalan yang benar dan berhadapan dengan pendakian berbatu.  Semua main tolak saja...Dalam kepala aku mencongak anggaran kasar berapa jauh lagi untuk sampai ke titian kurus Wasteland.  Dah tak jauh dah ni.  Dan... habuan yang menunggu di kepala titi memang mengujakan. 

Aku di belakang dengan sweeper.  Melayan belokan belokan balik yang curam, sempit dan pantas.  Sedang sedap melayan belokan terdengar bunyi berdebuk.  Rupanya Sumi sudah tergolek.  Adussss...Mujur tiada kecederaan serius.  Hanya sedikit calar pada beskal dan emosi.  Ah... lupa nak bagi tau.  Siang tadi Sumi dah belasah acara XTerra.  Malam boleh sesah kayuh lagi.  Hebat dia ni...



Plan C
Denai sempit dan berbelok tajam.  Dilayan dengan adunan perasaan seriau-seriau berani.  Habih semua peluh hangat sejuk keluar.  Sampai basah lencun baju seluar.  Datang pula bahagian berbatu.  Itu kena lanyak dengan laju.  Kalau pelan-pelan, hilang momentum.  Boleh tersekat, hilang imbangan, jatuh berdentum.  Walaupun cerun menurun, terasa penat juga sebab tubuh bahagian atas banyak bekerja.  Titian kurus Wasteland makin dekat!  Mental disediakan.  Imbangan dikemaskan.  Dan... muncullah titi kurus sepanjang 10meter terbentang di depan.  Mujur entrynya baik.  Lancar dan tidak gagap.  Maka lebih mudah berkayuh lancar melepasi titian kurus.  Wooo hooooo...

Selepas titian, gon sempit menaik.  Memang aku tak pernah lepas menujah naik.  Tolak sajalah...Adegan seterusnya merupakan mimpi ngeri kepada mereka yang menggunakan bar hendal lebar macam tanduk kerbau balar.  Laluan sempit dicelah pokok getah.  Di kiri tebing, di kanan gaung.  Kalau "tumpor" (tanya Sumi apa makna perkataan ini) jenuh melaung.

Kawan-kawan di depan macam Amin dan Ooi yang pakai bar hendal lebar jenuh menggunakan segala kemahiran imbangan dan cilokan untuk melepasi halangan slalom pokok getah.

Pagar sempadan
Slalom sempit pokok getah selamat dilepasi.  Gerombolan depan sudah menunggu di simpang IUD (Ini Ulu Damansara).  Denai lebar sedikit becak.  Berkayuh mendaki perlahan dan santai.  Tiba di hujung, melintas jalan tar kemudian turun gon mencari muka denai seterusnya di Plan C.  Satu lagi siri denai sempit yang mencabar kemahiran.  Ada satu bahagian yang cukup mengerikan.  Denai selebar satu kaki dengangaung di kiri dan tebing di kanan.  Sebelum ini aku main terjah kayuh saja.  Lepas tanpa gusar sebab aku tak perasan ada gaung di kiri.  Maklumlah, gelap.  Bila dah tahu ada gaung di kiri, hati jadi cuak, dan malam itu aku terpaksa berpuashati dengan hanya memimpin basikal melepasinya.  Sumi di belakang aku sekali lagi membuat aku terkejut ungka bila tiba-tiba dia berguling ke dalam gaung.  Bahana bar hendal tanduk kerbau tersagat tebing dan dia hilang imbangan.  Kussss semangat.  Sekali lagi nasib dia baik kerana tiada kecederaan... Hanya botol air dia tercalar sikit sebab terhumban ke bawah.

Pokok yang dah dua kali menyagat kepala aku...
Penghujung kayuhan semakin hampir.  Plan C membawa ke sempadan berpagar.  Pagar tinggi 10 kaki yang cuba dipanjat Pian tapi tak berjaya sebab pagar direka sedemikian rupa.  Mata pagar rapat dan sempit tiada ruang untuk memasukkan jari untuk berpaut.  Kesian monyet-monyet dan makhluk hutan lain yang terperangkap di dalam pagar. 

Jam sekitar 11.10 malam.  Langit malam cerah dan terang.  Aku sempat mengingatkan semua akan bahaya satu pokok yang dah dua kali menyagat helmet aku dalam kayuhan keluar.  Pokok di atas gon selepas turun dari pagar.  Dan kali itu selamat helmet aku dari disagat dahan pokok senget sebesar sepemeluk.  Berderu-deru yang lain mengikut dari belakang dan aku biarkan mereka lepas lalu.  Hidangan terakhir masih lagi pedas.  Denai sempit berselirat akar dengan beberapa lintasan longkang yang boleh membuat anda terbongkang.  Di latar terdengar bunyi kenderaan menderu dan tiba-tiba anda terpacul keluar di sebalik tembok dan berhadapan dengan lebuhraya Sprint.  Suasana yang sungguh kontras dengan tadi.  Dari kelam malam hening damai rimba bertembung dengan riuh hingar kota raya...Siar kaki di tepi Lebuhraya Sprint bersebelahan Sekolah Menengah Seri Hartamas disusur untuk melabuh tirai kayuhan malam itu.  Maka berakhirlah acara berkayuh MTB waktu malam meredah denai hutan rimba dalam kelam malam...Satu pengalaman luarbiasa.  Sungguh!  Anda  MESTI cuba!


Dari kiri... Amin, Ooi, Rudz, BC Kelolo, Pian, Faris dan Sumi

EPILOG

Hasil tuaian
Bila berada di atas basikal, memang sel-sel dan jiwa terasa muda.  Walau sudah keluar denai, rasa gila-gila tu masih bersisa.  Jalan tar biasa kurang perisa.  Di sesah pula segala tebing dan tangga.  Buah penyudah sebelum kayuhan ditamatkan di mamak Bestari, Seri Hartamas.  Jam 11.30 7 pengayuh melabuhkan sauh.  Dengan badan berpalut selut berendam peluh.  Komen-komen "lazat, sedap dan puas..." berkumandang memasuki telinga.  Sudah ada ura-ura ingin jadikan acara biasa.  Sebulan atau dua bulan sekali.  Waduhhhhh... Harap para tamu dari Tanjung, Pian, ooi, Amin dan Sumi berasa puas dengan kayuhan dan layanan.  Harap juga Rudz mendapat apa yang dihajati.  Maaf di atas segala kekurangan terutama dalam beberapa insiden hilang arah tujuan.  Tunggulah, nanti bila malam bulan mengambang ...Kita terjah lagi.


TAMMAT



 


*gon = cerun/ bukit kecil dalam loghat utara.

Gambar-gambar kayuhan malam Kiara boleh ditengok di sini


Wednesday, April 30, 2014

Mengesahkan Kemensah!

Kemensah cukup nostalgik bagi aku.  Kayuhan "rasmi" MTB aku yang pertama berlaku di situ...Kayuhan ke air terjun Sofea Jane dengan basikal Montana 7 speed aku.  Itu tahun 2006.  Masih teringat lagi berkayuh bersama geng-geng Fakawi - Uncle yap, Edli Long Con, Meer Farooq, Kiki, Nathan dan beberapa orang lagi yang aku tak ingat dah...

Warung.  Rahmat dengan awek Perancis...
Selepas itu Kemensah jadi gelanggang mainan utama sehinggalah berlaku beberapa kejadian yang menyebabkan aku tawar untuk ke Kemensah.  Antaranya, banyak denai yang lazat dikayuh lenyap disodok bulldozer ganas.  Pembangunan meratah hutan rimba hijau dengan ganas dan rakus... Hmmmm...Keadaan denai yang beralur di sana-sini di ratah scrambler dan ATV...membuatkan aku tawar untuk ke situ.

Setelah lebih 2 tahun tak ke sana, satu hari mendapat e-mel berserta gambar dari Uncle Yap.  Wah... nampak menarik!  Denai cantik kemas rapi.  Dihias pula dengan air terjun.  Datang kembali semangat dan keinginan untuk melawat Kemensah.

Jemputan dari Uncle Yap disambut.  Dipanjangkan juga pada kawan-kawan GLC.  Disambut dengan galak oleh Midut, Rahmat, Bahari dan Lan.  Pok Li juga bersemangat.  Faris, anakku, juga berminat.  

Gabungan GLC - KKT
Datang harinya Sabtu, 15 Mac 2014.  Untuk kayuhan lebih nikmat dan lazat aku berkayuh saja dari rumah.  Dari Melewar bertiga, aku, Faris dan Pok Li.  Kayuh menyusup sasap melalui Kampung Changkat, Gombak Setia, Genting Klang, Taman Melawati, Zoo Negara, Kemensah.  Geng Midut sudah sampai ke warung tempat berkumpul di Kampung Kemensah.  Uncle Yap juga sudah sampai...Jam 0815hrs.

Gombak League of Cyclists (GLC) disatukan dengan geng Kura-Kura Tur
bo (KKT).  GLC - Midut, Rahmat, Bahari, Lan, Pok Li, Faris dan aku sendiri.  Sementara KKT - Zainal, Yazid, Aziz, Amri dan beberapa nama lagi yang aku tak ingat. Uncle Yap jadi jambatan penghubung silaturrahim...

Baru lepas taklimat...
0830hrs, gerombolan GLC-KKT berkayuh naik ikut jalan tar Kampung Kemensah.  Pendakian lanjut menyusur kawasan kampung dan tebing sungai.  Kemudian membelok kiri ikut jalan ke kem Jinbara.  Dah banyak berbeza kawasan ini berbanding kali terakhir aku ke mari.  Berhenti rehat seketika dipenghujung jalan tar betul-betul di kaki cerun.  Cerun curam tersergam di depan.  Uncle Yap ambil kesempatan untuk bercerita sedikit tentang trail yang bakal dihadapi.  Uncle Yap memang veteran yang dah masak dan hadam dengan Kemensah...Aku ingat-ingat lupa laluan yang disebut... Bamboo Trail, Bukit Pau dan lain-lain.

Habuan pertama...
Habis cerita, bukit curam
diterjah.  Muka denai kering dan berdebu.  Salah terjah tayar depan terangkat.  Takpun tayar belakang berpusar setempat.  Aku macam biasa, kayuh-kayuh berhenti kunun untuk ambil gambar.  Haaa... satu tip.  Kalau tengah-tengah kayuh, tiba-tiba rasa tak boleh pergi dah.  Cepat-cepat berhenti dan keluarkan kamera...Petikla gambar sekeping dua.  Jadinya berhenti tu sebab nak ambik gambar, bukan sebab pancit.  Cover lineeeee.  Ok...kita sambung siaran.

Habis memanjat denai berbatu menyambut.  Boleh la layan sikit.  Yang lain sudah menderu ke depan.  Pok Li tercicir di belakang.  Entah apa kena Pok Li hari tu.  Angin dia tak mari.  Tewas pada cerun berkali-kali.

King of cerun...
Gerombolan menanti di simpang Bukit Pau.  Aku redah dulu untuk mencari tempat yang sesuai untuk membidik kamera.  Memang selepas simpang modenya memanjat memanjang.  Cuma cerunnya berbeza kecil besar pendek panjang.  Nadanya tetap naik...Dalam banyak cerun naik tu ada satu yang KING!  Cukup perisanya... Curam, panjang dan permukaannya bergalur.  Denainya lebar, tetapi permukaan untuk dilanyak tayar basikal tinggal 6 inci saja.  Salah imbang, tayar terjun masuk longkang...Mahu tidak mahu, terpaksa turun dan berpimpin tangan dengan basikal memanjat cerun yang macam tersengih mengejek pengayuh kaki lembik.

Layan turun la pulak!
Uncle Yap memberi kata penggalak.  Jalan di depan jalan penebus segala jerih payah tadi.  Meluncur turun di denai yang dinaungi rimbunan pohon rimba dan buluh.  Sedap sungguh melayan.  Berderu semua pergi macam peluru bila dipetik picu.

Kesedapan tidak berpanjangan bila sekali lagi dihadapkan dengan cerun.  Kali ini tidak securam cerun tadi.  Tapi rupanya sama muka berjerawat dan berlongkang.  Tapi masih boleh dikayuh.  Yang handal-handal terus menunjal hingga ke puncak.  Aku tewas dipertengahan.  Kaki lesu tak mampu menerjah.

RnR
Jam 0945hrs.  Puncak cerun 2 jadi tempat berehat selepas lebih kruang 6km berkayuh.  Aras ketinggian 245m.  Uncle Yap dengan ramah memberi taklimat sekali lagi.  Aku perasan laluan itu laluan ke Lubuk Tedung dan Kem Sleh.  Semerta darah menyirap sebab ingatan lampau menghadap laluan itu agak mencabar.  Mujur Uncle Yap mencerah suasana.  Denai akan menyusup masuk satu laluan di tepi tempat kami berhenti.  Laluan penemuan baru yang baru saja disiapkan.  Oh... tak sabar rasanya.

Keseronokan tahap baru bermula!
Masuk ikut muka denai yang samar saja
kelihatannya.  Kalau tiada jurupandu memang cari tak berjumpa. Denaipun tak berapa nampak.  Bermula dengan landai dan berliku mencari laluan di celah-celah pokok-pokok renek.  Kemudian meluru turun meliuk lentok.  Sesekali bunyi bergerutup bila dedaun kering dan ranting-ranting yang menutup jalan digilis tayar-tayar gerutu.  Laluan turun berakhir dengan caruk anak sungai.  Tebingnya boleh dikayuh jika kena cara hadapnya.

Caruk 1
Selepas caruk, kena mendaki balik.  Denai nyaman dengan kecerunan sederhana.  Boleh dikayuh.  Terpulang nak terjah sampai bersimpul urat kaki atau bertenang-tenang santai hingga ke puncaknya dalam jarak 1.3km dari caruk.  Kayuhannya memang menyeronokkan.  Terapi jiwa penghilang kusut masai serabut hidup kota.

Downhill lazatttt...
Dari puncak, sekali lagi mendapat nikmat downhill menderu turun.  Larian kali ini lebih pendek.  Melintas satu lagi caruk anak sungai.  Air sungai jernih dengan dasar sungai dihias batu-batu sebesar bola.  Masih ada laluan untuk berkayuh.  Tebingnya juga boleh dipanjat.  Namun begitu, aku tak berjaya mengharung.  Dek kerana tak puas hati, aku cuba sekali lagi.  Rahmat dan Midut jadi saksi.  Elok lepas berjaya cubaan kedua, tayar depan aku kelepek kelepek bocor.  Tadi masa redah anak sungai main terjah saja.  Tayar depan sudah hantam sama batu.  Tiub kena patukan ular.  Dua lubang tersengih memandang aku bila aku cabut tiub dari tayar...Duduk la aku bersila simpuh dengan penuh kesopanan dan keayuan menukar tiub.  Agak lama kot masa yang kami ambil, Uncle Yap berpatah balik memeriksa keadaan.  Sedang elok dia sampai, tiub siap dibaiki.  Rupanya dari tempat tiub bocor nak ke air terjun dah dekat.  Dalam 200m saja...

RnR 2 dekat air terjun
Tempat rehat di dalam rimba yang cantik.  Kawasan lapang dan bersih di bawah naungan beberapa rumpun buluh.  Siap ada bangku dan pangkin untuk duduk duduk.  Di sebelah timur, ad
a cerun turun untuk ke air terjun.  Kawasannya tak besar sangat.  Cukuplah untuk gerombolan 10-15 orang berkubang dan bersiram di bawah air yang sejuk nyaman.  Dalam diam rupanya Rahmat bawa bekal nasi lemak bungkus.  Sedap nampak depa membedal nasi lemak di tepi air terjun.  Semua orang tak lepas peluang mandi ayor terojon.  Dalam ramai-ramai, ada sorang yang takut air.  Si Bahari jenuh diajak untuk membasahkan diri.  Tak mau dia.  Alasannya, tak bawa baju salin.  Apa punya bewak takut air.  Spesis dhob fadang fasir barangkali.

Air terjun sejuk jernih segar...
Dah puas berkubang, masa untuk berkayuh balik.  Kata Uncle Yap, dah tak jauh dah.  Laluannya pula menurun.  Memang sedap menibai.  Ada dua bahagian yang curam dan berbatu.  Perlu diterjah dengan cermat.  Sedang syok melayan downhill tiba-tiba dah sampai ke jalan tar.  Denai keluar ke jalan tar berhampiran dengan kem Ghafar Baba... Dah habis bahagian denai.  Tinggal kayuhan santai atas jalan tar untuk balik ke tempat parkir.

Nyata Kemensah masih lagi ada ummmppphhhnya.  Memang tak sia-sia kayuhan hari tu.  Rasa pudar dan tawar kepada Kemensah kembali berperisa.    Dalam hati sudah ada nawaitu untuk berkayuh lagi di Kemensah.  Kayuhan hari itu kembali mengesahkan Kemensah!

Sebelum balik, sempat menjamu selera di warung.  Aku belum berselera untuk makan.  Cukup sekadar menogok airap bandung yang dihidang dalam jag.  Entah berapa cawan aku togok, aku hilang kiraan.  Yang lain sempat menyulam maggi goreng sambil bercerita dan mengimbas kembali kayuhan tadi.  Terima kasih kepada Uncle Yap dan kawan-kawan dari geng Kura-kura Turbo yang sudi menjadi jurupandu dan memeriahkan kayuhan.  Insyaa Allah kita kayuh Kemensah lagi...

Lagi gambar kayuhan ada di sini.

Thursday, April 24, 2014

FRIM ~ Kayuhan Ipoh Mali

Dua geng bersulam...GLC & KRT






Sudah lama juga aku tak berkayuh di FRIM.  Kuchai, yang dulu tinggal dekat dengan rumah aku kemudian bepindah balik ke Ipoh, minta aku tolong bawakan dia dan gengnya berkayuh di FRIM.   Permintaan dengan senang hati dipenuhi.  Tarikh pilihan jatuh pada hari Ahad, 9 Mac 2014.  Maka tercetus kayuhan gabungan di antara Gombak League of Cyclists (GLC) dengan Knight Riders Team (KRT).

Tamu dok tunggu tuan rumah bersiap...
Rajin geng KRT memandu pagi-pagi dari Ipoh hingga ke Kepong.  Jam 8.00 pagi dah tercongok di parkir tokong.  4 orang muncul - Kuchai, Shukor, Adzim dan anak Adzim.  Sori, Pakcik Kelolo tak ingat nama mike.  Dari GLC, turun Faris (anakku), Lan, Thiru, Pok Li, Yus dan dah tentulah aku sendiri.  Kawan aku, Azmin juga susah payah terbang dari Sungai Merab untuk ikut sama memeriahkan suasana.

Fenomena jerebu yang melanda agak sedikit menggusarkan.  Pagi tu masih berjerebu.  Mujurlah tak terlalu tebal.  Boleh lagi diharung.  Cuaca agak panas dan kering...Apa sajian yang boleh aku jamu tetamu istimewa dari Ipoh ni?  Takut pulak jauh-jauh datang dari Ipoh, kayuhnya tak berbaloi... Aku cuba apa yang terdaya...

Setelah semua siap, berkayuh gerombolan memasuki FRIM.  Cerita biasa membayar ufti RM3 se kepala untuk bayaran masuk.  Azmin yang parkir di dalam sudah menunggu di situ.  Hidangan pertama jamuan sarapan pembuka selera ialah pendakian manja di atas tarmac melalui Jalan Abdul Rahman Ali diambil.  Jalan kemudian bercabang Y.  Ambil cabang kiri Jalan Balau yang membawa naik bukit.  Cerun sedang-sedang.  Kayuh lanjut-lanjut.  Naik jalan tar sampai nak dekat hujung, ada simpang off road yang mencerun turun di sebelah kiri.  Pakat meluru turun masuk ke denai doubletrack di bawah naungan pokok-pokok rimba yang sayup menjulang.  Daun-daun dan ranting kering bergeretup dimamah tayar-tayar gerutu. Denai agak kering berdebu sementelah cuaca panas dan kering memanjang.  Ditokok pulak dengan jerebu.  Mujur hanya jerebu nipis.  Bolehlah digagahi berkayuh.  Denai Balau denai santai.   Memang sesuai buat pemanas betis. 

Kayuhan membawa ke simpang tiga.  Simpang kanan membawa ke Dream Trail.  Simpang kiri akan keluar balik ikut Jalan Bukit BUjang.  Sementelah khabarnya Rover tRack sudah menjadi kawasan off-limit kepada MTB, maka Dream Trail tidak termasuk dalam itinerari kayuhan hari tu.  Balas kiri dan haluan memang menurun.  Thiru belasah Runenya tanpa ehsan.  Memang sedap layan.  Lepas tu sambung lagi dengan meredah turun ikut padang rumput hingga sampai ke perpustakaan.  Bercempera semua sebab tak menyangka untuk meredah turun ikut situ.

Masa untuk bertenang sat.  Berkayuh santai sambil berpot-pet pot-pet kepada tetamu dari Ipoh.  "Kat situ Rover Track.  Tapi beskal dah tak boleh masuk...".  Aku menunjuk ke arah Rover track sambil membelok dari Jalan Foxworthy ke Jalan Jelutong.  Suasana pagi biasa di FRIM bilamana jalan-jalan dipenuhi dengan pejalan kaki dan basikal. 

Banglo kayu MNS...
Jalan Jelutong di susur hingga ke simpang Jalan Symington.  Sedikit mendaki naik ke arah Kem Perah.  Sasaran berikutnya kayuhan tonggek kerabat ke tangki Syabas.  Berhenti rehat sekejap mengatur napas dekat banglo lama Shell - MNS (Malaysia Nature Society).  Semua pengayuh diberi amaran akan cerun yang bakal mendatang.

Dari banglo, menerjah naik melalui denai dengan akar berselirat kemudian masuk ke jalan tar yang mencanak naik.  Pejalan kaki berkeliaran di merata terutama dari arah Rover Track.  Memang bilangan pengunjung semakin ramai mewajarkan tindakan pihak pengurusan FRIM menghadkan MTB daripada masuk ke kawasan bertrafik tinggi bagi menghindar kejadian yang tidak diingini.  Cuma harapnya, pihak FRIM ada perancangan untuk membuat sambungan Dream Trail keluar daripada Rover Track.  Amat sayang, terlalu sayang, kalau Dream Trail hanya cuma boleh dikayuh di dalam mimpi...

Jalan ke tangki mencanak naik dengan kecerunan 15%-20%.  Masih boleh dikayuh dengan gear rendah dan kayuhan pelan-pelan bagi pengayuh lemau macam aku.  Kalau yang baka racer berdesup saja naiknya.  Tak payah rasa malu segan untuk menolak.  Biasa laaaaa...

Mane deme nih?  Lambat bebenor sampenye
Jalan depan rumah tangki jadi tempat berehat melepas lelah sementara menunggu yang lain sampai. Sambil berehat jadi pom-pom girl menyorak kawan-kawan yang baru sampai.  Ada yang sampai dengan berkayuh.  Ada yang sampai di sisi basikal.  Tapi tiada yang sampai di bawah basikal.  Mujur...

Selepas berehat lebih kurang, kayuhan diteruskan masuk ke Trail Syabas.  Denai singletrack di bawah teduhan pohonan rimba.  Di kiri gaung, di kanan tebing.  Tengah-tengah paip air sebesar satu pemeluk.  Harus cekap mengendali mencari garis kayuhan di antara tebing dan paip air besar yang terjojol.  Ramai yang masih malu-malu untuk bermain-main di denai.  Barangkali kerana baru saja berkenalan dengan FRIM kot...

Tiru macam Thiru
Sekonyong kemudian disergah oleh satu cerun curam.  Di kanan ada turapan konkrit.  Nampak macam boleh dikayuh.  Cuaca panas telah membunuh lumut-lumut yang membalut permukaan konkrit.  Di sebelah kiri, denai tanah berlurah dan bertakah.  Aku gagahkan mencuba berkayuh ikut laluan konkrit.  Bolehlah naik dalam 1/4 jarak sahaja sebelum terpaksa akur menolak basikal ke muka denai Pacat Trail.  Mencungap sementara nak sampai ke atas.  Dagu dah terletak atas stem.

Dari tepi boleh...
Salam alu-aluan Pacat Trail memang menyeramkan.  Denai curam pantas.  Kering dan berdebu ditutup dedaun dan ranting kering.  Mujur sudah ditarah laluan baru yang lebih mesra MTB.  Aku turun dulu sebagai tuan rumah, mengambil laluan baru yang lebih mudah.  Selamat muka denai Pacat dituruni aku mengambil ceruk yang sesuai untuk merakam aksi-aksi pengayuh tuan rumah dan pengayuh tamu.  Thiru terjun berdesup tanpa meniru sesiapa.  Sengaja dipilih laluan lama yang lebih payah untuk diterjah.  Faris, anakku, juga ikut sama meniru Thiru.  Ghairah anak muda katakan.  Yang lain-lain agak malu-malu.  Tersipu turun di sisi basikal.  Mungkin kerana perkenalan pertama barangkali...

Adzim dengan penuh azam...
Melepasi muka denai Pacat Trail adalah satu cabaran.  Laluan seterusnya singletrack pantas mendakap lereng dengan satu drop-off.  Larian tengah laju sedap terbantut dengan pelepah bertam yang melintang jalan.  Berhenti sekejap untuk mengalihkan rintangan hanya dengan tulang empat kerat.  Menyesal pulak tak bawak parang...

Pondok rehat tanda berakhir larian Pacat Trail.  Di depan, cabang kanan, menanti pendakian di turuti dengan larian turun pantas dan curam.  Cabang kiri menawarkan larian doubletrack tanah campur batu yang akan membawa ke destinasi yang sama.  Hanya Thiru dan Faris yang bergagah mengharung cabang kanan.  Yang lain lebih selesa melayan larian turun pantas tanpa banyak karenah.  Mungkin sebab masih malu-malu agaknya...Sampai bilalah depa ni nak terus malu...

Tongkat Ali tahap 1...
Kaki Bukit Hari aka To
ngkat Ali Trail aka Steroid Hill memang sibuk.  Situ tempat pertembungan laluan Sungai Buloh, pendaki-pendaki Steroid Hill dan mereka yang menderu turun dari Steroid Hill.  Semua tertumpu di situ.  Maka elok sangatlah kalau ada orang berjualan air dan nasi lemak di situ.   Gerombolan GLC dan KRT berehat sebentar sambil bergambar dan berposing manja tak manja semua ada.  Biarkan para tamu melihat dulu keindahan cerun pendakian bukit Steroid yang lagenda itu.  Lebih mudah membantu menelan air liur rasanya...

Sedikit petua dan panduan kaedah Tekkora diberikan.  Kita lihat bagaimana tamu kita melayan Bukit Steroid...Tamu dari KRT masih lagi malu-malu menerjah naik Bukit Steroid.  Itu sangat difahami.  Memang pertemuan kali pertama dengan Bukit Steroid, ramai pengayuh akan menjadi malu-malu biawak.  Apa kaedah untuk naik Bukit Steroid diterima pakai janji sampai ke atas. 

Simpang Pinus Trail menjadi tempat berehat setelah berjerih memanjat Bukit Steroid.  Pendakian dua peringkat.  Ada kawasan landai untuk recovery di tengahnya sebelum di sesah pendakian peringkat kedua sebelum sampai ke simpang Pinus Trail.  Sekadar makluman, dari simpang Pinus Trail pengayuh boleh memilih untuk:-

1.  Berkitar di sekeliling bukit melalui denai Pinus Trail dengan mengambil laluan paling kanan.
2.  Langsung berkayuh ke kaki pendakian paling power root iaitu Pinus Peak dengan mengambil laluan tengah.
3.  Turun daripada Bukit Steroid meluru laju tak hingat dengan mengambil laluan paling kiri.

Tanpa berselindung dan dengan telusnya aku maklumkan apa yang bakal diharung.  Tamu disaran menikmati suasana Pinus Trail yang hampir landai berkitar sekeliling Bukit Hari hingga ke simpang ke Pinus Peak.  Sampai di situ, perkiraan keadaan akan dibuat semula bagi menentukan sama ada terus mendaki Pinus Peak atau keluar saja balik ke simpang.  Semua bersetuju tanpa bangkangan. 

Pinus Trail memang sedap dilayan.  Laluan singletrack melalui bawah pohon buluh kemudian meluru turun sekejap ikut denai sempit yang kemudian melambung naik balik.  Imbangan dan kawalan perlu baik kalau tidak boleh tergolek ke dalam gaung di sebelah kanan.  Selepas itu kayuhan santai sambil bersiul-siul saja sehingga sampai ke simpang Pinus Peak.

Kaki ke Pinus Peak
Simpang Pinus Peak memang berterus terang tanpa selindung menunjukkan dengan sombong dan megah laluan curam dengan akar berselirat menuju puncak Pinus.  Catatan peribadi aku tak pernah berjaya kayuh naik tanpa henti.  Minda hari itu bersedia untuk kayuh naik dengan sekali dua berhenti macam biasa.  Aku biarkan para tamu berfikir seketika tanpa sebarang paksa sama ada mahu naik atau terus ke simpang.  Naik atau tidak, apa-apa hal ambik gambar dulu kat sign board Pinus Peak.  Penting tu...

Thiru sudah meluru pergi.  Aku hairan sungguh dengan kederat doktor sorang tu.  Badan kurus cekeding.  Basikal pulak setup AM.  Turun memang laju.  Climbingpun berdesup jugak...Sementara para tamu masih berkira-kira mahu mencabar Pinus Peak atau kembali ke simpang Pinus Trail, aku tarik nafas dalam-dalam.  Masuk gear paling rendah.  Pelan-pelan aku terjah.  Cerun campur akar memang seolah memegang tayar  basikal.  Maintain ritma kayuhan, jaga nafas.  Mata galak mencari line yang paling kurang rintangan.  Payahnya nak dapat line yang clean.  Hantam sajalah.  Beberapa kali nyaris terhenti bila momentum hilang.  Mujur kaki cepat main peranan menerjah engkol menolak basikal ke hadapan.  Sasaran taktikal untuk melepaskan cerun fasa 1.  Sepanjang kayuhan kaki protes sebab lenguh.  Dada dan jantung boleh maintain lagi.  Pengayuh yang di depan boleh jadi umpan penjahanam.  Apa taknya, rasa macam boleh kejar kunun, maka kayuhan dilajukan.  Bila dah laju, dada mencungap jantung mengencang.  Hilang kawalan pernafasan.  Kalau terus jugak, memang kecundang. Dah, pengayuh hujung minggu jangan berangan nak jadi raja bukit.  Jangan terghairah nak memotong... Maintain saja pace sendiri.  Sasaran strategik menghabiskan kayuhan tanpa henti lagi penting...

Pendakian tahap 1 selamat diterjah.  Trail melandai sekejap dalam jarak 50 meter.  Masa untuk recovery.  Kayuh santai sambil mengatur balik nafas yang sudah berterabur tadi.  Pendakian tahap dua menggamit sambil mengejek.  Marilah orang tua.  Ada berani ka?  Cisss...kedudukan menyerang di ambil.  Badan sedikit membongkok.  Ponggong disorong ke hadapan saddle.  Gear paling rendah.  Seinci demi seinci cerun dimamah.  Laluan mencanak lebih 45 darjah.  Puncak helipad aka Pinus Peak masih terselindung di sebalik selekoh.  Teknik TEKKORA digarap dengan baik.  Beransur-ansur puncak muncul di pandangan bila selekoh kanan dilepasi.  Tinggal sekitar 20-30 meter untuk diterjah.  Sekali lagi kena berawas dengan perangkap gedik ke garisan penamat.  Walaupun jarak sudah nampak dekat, gedik lebih sebab kunun nak cepat habiskan boleh melajukan jantung dan merembeskan laktik ke seluruh otot.  Tak payah terburu... Maintain saja pace sehingga selamat sampai ke puncak.  Yeaaaaa...sejarah ternukil.  Pertama kali berjaya berkayuh naik ke helipad tanpa berhenti...

Kesatria yang tidak mahu mengalah
Thiru sudah lama sampai.  Aku campak basikal dan mencari teduhan untuk berlindung sambil nafas ditarik dalam-dalam untuk membekal oksigen yang tadinya terhutang.  Faris menyusul kemudian.  Aku ingatkan Azmin dan kawan-kawan dari KRT sudah sampai balik ke simpang Pinus Trail.  Tau-tau seorang demi seorang muncul.  Termasuk juga Azmin.  Semua ambil keputusan dengan rela hati sendiri untuk mencabar Pinus Peak.  Aku sikitpun tak "racun" de
pa.  Sungguh!  Dan selayaknya mereka yang berjaya sampai ke puncak Pinus diraikan.  Tahniah semua!

GLC - KRT di puncak
Jam sudah 12.00 tengahari terpacak.  Matahari makin galak menyuluh di sebalik tabir jerebu nipis.  Jalan turun dari Pinus Peak boleh dipilih.  Mahu meluru turun ikut jalan naik.  Atau...turun ikut laluan sempit berakar di celah pohonan pinus.  Pilih sendiri racun mana anda mahu.  Aku pilih singletrack ala-ala Whistler kununnya.  Thiru, Faris dan Pok Li ikut aku.  Yang lain turun ikut jalan naik.  Sempat aku pesan dan beri ingat supaya jaga kelajuan bila turun nanti.  Kelajuan boleh mencecah tahap "tak hengat" disebabkan cerunnya.

Kaki depan Sang Bara dilunjurkan habis 160mm.  Nak Whistler la kununnnya.  Seksyen satu turun boleh dilayan lagi walaupun pelan-pelan saja layan kona patah dengan akar terbonjol-bonjol.  Masuk tahap dua, bertambah seri kayuhan dengan hiasan golek-golek manja 2 kali.  Puihhhhh...Selamatlah turun sampai ke simpang Pinus Trail.

Bertemulah balik gerombolan yang tadi terpecah dua.  Masa untuk bagi upah kepada semua yang terlenguh lutut, terkocak jantung dan terenjat paru-paru penangan Bukit Hari aka Steroid Hil aka Tongkat Ali dan Pinus Peak.  Upah dia... downhill deras meluru turun dari puncak Tongkat Ali ke kaki bukit.  Para pelawat dari Ipoh masih lagi tak hilang segan malu.  Bertolak-tolak bila dipelawa pergi dulu.  Mau tak mau, aku selaku tuan rumah lantikan sendiri membuka pencak meluru turun.  Libas kiri sekali, libas kanan sekali dalam kelajuan lampau hingga nyaris terbabas, kemudian libas kiri sekali untuk luruan terakhir.

Laluan biasa akan mengambil cabang kiri ke kaki bukit.  Untuk hari itu resepinya diubah sedikit dengan mengambil cabang kanan naik ke bukit batu pasir.  Aku biarkan semua lepas dahulu untuk memastikan bilangan ahli cukup.  Mana tahu kot ada yang tersangkut di atas.  Lajakan turun dari Tongkat Ali memberi lonjakan naik ke denai batu pasir.  Kemudian kembali meluru turun di atas permukaan peroi berpasir.  Cengkaman tayar boleh hilang kalau salah terjah.  Dijamu pula dengan belokan kiri pantas sebelum disambut oleh muka denai Sentang.  Satu denai singletrack pendek dengan sedikit rintangan akar kemudian turun ke dalam lekuk V untuk naik semula ke kaki bukit Steroid...Batu-batu dan akar sepanjang lekuk menambah perisa.

Tamatnya Sentang bermakna penghujung kayuhan semakin hampir.  Tinggal kayuhan untuk balik saja lagi.  Oppp...oppp... Ada pilihan la pulak untuk balik ikut jalan mana.  Ada laluan biasa.  Ada laluan pedas singletrack sempit, curam dan berlongkang yang turun ke Taman Botani Kepong.  Faris dengan Thiru pilih yang pedas.  Galak sungguh dua orang tu.  Yang lain ikut laluan biasa Bukit Hari ke Kem Perah.  Trail tanah doubletrack di bawah payungan pohon rimba dan buluh dah tak banyak karenah.  Memang sesuai sebagai laluan penyudah.  Cuma ada satu bahagian mendaki dekat dusun durian orang asli.  Selebihnya alunan mesra hingga ke Kem Perah.  Kem Perah penanda tamat sudah acara denai.  Terus saja berkayuh santai ke kawasan kolam untuk acara-acara minum-minum...

Itulah saja yang dapat aku sajikan kepada tamu dari Ipoh.  Harap Kuchai, Shukor, Adzim dan anaknya berpuashati dengan layanan FRIM.  Kita jumpa lagi pada lain masa.  Mungkin GLC ke Ipoh pula!