Wednesday, January 08, 2014

KEMBAS ~ Gombak - Pengkalan Balak - Gombak (Bahagian 1)


Dino, Aku, Subki "Muddox", Anuar
I stilah KEMBAS (kembara basikal) ini terzahir 3 tahun lepas bila aku merancang satu kayuhan kembara basikal dari Kuala Lumpur ke Ipoh.  Kisahnya di sini.  Itulah satu-satunya projek kembara basikal aku yang terlaksana.  Projek dan perancangan lain kemudiannya semuanya tidak menjadi.  Yang ada hanyalah kembara kecil-kecilan pergi balik hari.

Kontang 3 tahun berakhir bila rancangan KEMBAS Pengkalan Balak menjadi.  Tidak seperti KEMBAS2010 Ipoh yang merupakan kayuhan sehala, KEMBAS2013 Pengkalan Balak adalah kayuhan pergi dan balik.  Bahagian 1 akan mengisahkan kayuhan dari Gombak ke Pengkalan Balak, Melaka.

Empat pengayuh ikut serta.  Dua orang yang pernah ikut KEMBAS2010, Dino dan Subki, juga ikut bersama.  Dino ada personal vendetta untuk ditebus dari KEMBAS2010.  Nak tahu apa halnya?  Baca sendiri kisah KEMBAS2010.  Subki sudah maju jauh menjadi tourer tegar.  Dah beribu kilometer dia jelajah dengan Wyomingnya.  Muka baru yang ikut sama kali ini ialah Anuar.  Ahli GLC dan juga jiran setaman.  Ini akan jadi kayuhan pertama dia mencecah jarak 100km. 

Kayuhan berlangsung selama 2 hari.  28 Disember 2013, kayuhan ke Pengkalan Balak.  29 Disember 2013, kayuhan balik ke Gombak.  Purata kelajuan dijangka sekitar 17km/j.  Kayuh santai-santai saja.  Apa yang bakal dihadapi?  Kayuhan sejauh 156km.  Melalui laluan yang 85% landai.  Ada beberapa bahagian yang sedikit mendaki.  Bagus!  Mendaki dengan basikal yang sarat dengan muatan memang aku tak berapa gemar.

Tourer tegar
Pagi 28 Disember 2013, 4 basikal kembara (tourer) berkumpul di Restoran Thaqwa, Taman Greenwood Indah.  Sambil bersarapan aku pot-pet sikit pasal kayuhan yang bakal dihadapi.  Sebagai bekalan, aku belasah 2 bungkus nasi lemak.  Cukuplah rasanya untuk sampai makan tengahari.

Dengan bacaan doa selamat dan doa naik kenderaan, kayuhan bermula jam 0815hrs.  Dari Restoran Thaqwa menuju laluan susur dari Taman Koperasi Polis ke Duta Ulu Kelang Expressway (DUKE E33).  Laluan Peringkat 1 sampai ke Kajang.  Jarak lebih kurang 35km.  Pagi yang tenang dengan trafik sederhana di Jalan Sentul.  Kemudian memintas ke Bandar Baru Sentul untuk ke Taman Tasik Titiwangsa.  Dari Situ, menyusur jalan dalam hingga keluar di Petronas di sebelah Hospital Pusrawi.  Setakat itu, laluan memang mengelak laluan utama yang sibuk dan penuh dengan kenderaan.

Nuar cuba merawat Sang Singa Kembara yang mengalami masalah sendi
Ketenangan kayuhan pagi terusik bila masuk Jalan Tun Razak.  Kenderaan mulai banyak dan laju.  Harus ditempuh dengan hati-hati.  Jalan Tun Razak di ikut hingga ke bulatan Kampung Pandan.  Kami keluar di situ kemudian membelok kiri ke Jalan Cheras.  Jauh sedikit tetapi kurang kenderaan dan lebih landai.  Jalan dipenuhi pemidang-pemidang untuk projek MRT.  Semak dan serabut.  Ujian kayuhan pertama menjengah bila sampai ke Taman Midah.  Nuar mengadu cranknya longgar.  Penyakit sendi Sang Singa Kembara datang balik.  Berhenti sekejap di stesen Petronas untuk merawat sakit sendi.  Mujur aku ada bawak segala alat perkakas yang membolehkan rawatan diberikan.

Jalan Cheras-Kajang dah semakin sibuk.  Kenderaan berderu.  Bulatan ditempuh dan terus ke lebuhraya Grand Saga di mana Kengerian bermula.  Di lebuhraya kenderaan laju-laju belaka.  Seriau berganda bila melalui susur keluar atau susur masuk. Kena tengok dan tengok lagi sebelum memotong jalan.  Kalau bukan kerna terpaksa, tobat aku tak mau kayuh atas lebuhraya.  Mujurlah jaraknya pendek saja.  Nak melepasi jarak daripada Plaza Phoenix untuk keluar di Simpang Balak/Sungai Sekamat jauhnya rasa. 

K-Pro Cycle
Bila keluar dari Grand Saga, lega rasa.  Tadi Nuar ada sebut nak baiki BB basikal dia.  Aku cadang nak singgah kedai Khairi K-Fine kat Sungai Sekamat.  Dah lama aku tak pergi kedai Khairi.  Tempatnyapun ingat-ingat lupa.  Menonong aku kayuh sambil mata meninjau kedai K-Fine.  Nampak ada satu kedai basikal.  Laaaa... kedai Jami.  Aku ada dengar pasal kedai Jami walaupun aku tak pernah pergi.  Mana kedai Khairi?

Dino bagi tahu tadi lepas keluar dari lebuhraya ada kedai basikal dekat simpang.  Laaa... dah pindah ka?  Nak tak nak, kena patah balik.  Jumpa la akhirnya kedai Khairi.  Uiiii... kedai dah besar.  Namapun dah tukar dari K-Fine ke K-Pro.  Hebat!  Kedai baru dibuka dan pembantu kedai dok sibuk mengemas kedai untuk mula berniaga.  Tunggu la sekejap.

Bila dah nampak macam sedia, Nuarpun mengadu hal.  Bila pembantu respon "Kami tak biasa buat barang touring ni bang.  Touring ni barang dia lain sikit".  Aku cuak.  Alahai...lain apanya barang touring ni?  Mujur ada seorang lagi pembantu yang "biasa" buat barang touring.  Diagnosis awalnya, BB rosak dan dicadangkan supaya ditukar BB.  Nuar setuju dan proses pembedahan menukar BB dimulakan.  Bila dibuka, pembantu mendapati yang BB tidak rosak.  masih baik.  Cuma cup BB sebelah kanan saja yang longgar.  Itu memang kami tau dan cuba disampaikan sedari awal tapi dia buat tak dengar.  Akhirnya, hanya cup BB diketatkan semula dengan caj RM5.  Selesai masalah.  Kayuhan diteruskan hingga ke pekan Kajang.  Simpang 4 berdekatan stadium Kajang penanda peringkat 1 selesai sudah.  Jam 1058hrs, jarak 35km.

Pongeh!
Peringkat 2 bermula dengan mencilok-cilok di celah kenderaan di dalam pekan Kajang.  Kemudian menghad
ap pendakian pertama untuk hari itu.  Mendaki jambatan Jalan Reko yang boleh tahan cerun dan tingginya.  Selepas itu jalan kembali landai.  Jalan Reko masih dalam suasana bandar dan pinggir bandar.  Masih banyak bangunan di kiri kanan. Kajang Bandar Sate ansur-ansur ditinggalkan.  Bumi Bangi dijejaki di atas Jalan B17 Jalan Bangi.  Dari kejauhan ternampak kelibat dua basikal di depan kami.  Nampak macam tourer sarat dengan muatan.  Bila dihampiri baru nampak jelas muatan mesin rumput dan perkakasnya.  Dua expatriate sedang bekerja rupanya.  Dino sudah beria nak mengajak bahia berdua join sama kayuh.  Terbantut hasrat beliau...

Bahia, mari la pegi Melaka
Dan Bangi bukanlah Bangi kalau tidak melalui Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ikonik itu.  Selepas simpang pintu utama UKM, nada laluan beransur berubah.  Jalan lebar lurus mulai menyempit menjadi laluan 2 hala dan mula bengkang bengkok mendakap kontur bukit.  Makin banyak kehijauan pohonan dan rimba belukar di kiri jalan.  Di kanan ada dusun-dusun dan kebun yang masih lagi milik UKM. Dan aku tiba-tiba jadi puitis bila melalui Taman Pantun UKM.  Satu kawasan kampung yang dipelihara sebagai warisan...

Jam menunjukkan 1125hrs.  Sudah 3 jam di atas pelana.  Kebas-kebas mula menggigit tapak tangan dan ponggong.  Selepas simpang Jalan Teras ke Teras Jernang, Dino memberi isyarat berhenti.  Hah!  Awat pulak?  Oh...Ada warung Laksa Redup Rimba.  Godaan laksa dan cendol membuat kami berhenti sebentar.  Jam masih awal untuk makan tengahari.  Hanya cendol di jamah dan dihirup.  Biasa la kalau berhenti di mana-mana.  Orang sekeliling akan bertanya.  Dari mana hendak ke mana... Bila tahu dari Gombak hendak ke Melaka ada yang menggeleng kepala.  Biasaaaaaa...

Laksa dan cendol sedap
Nama Laksa Redup Rimba memang sesuai sangat dan kena.  Jalan selepas itu memang redup dalam naungan rimba.  Sedap saja mengayuh.  Jalan mendaki lanjut berlari seiring dengan E2 Lebuhraya Utara Selatan.  Walau matahari sudah galak memancar, tidak terasa sangat panasnya sebab dinaung teduhan rimba.  Seronokkkkk...Lagi seronok sebab selepas mendaki jalan meluru turun.  Tapi awas!  Laluan berikutnya penuh radioaktif.  Mana tidaknya,  mula-mula berjumpa dengan Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia, kemudian Institut Genom.  Punya syok melayan lajak sampai terlepas simpang ke Dengkil.  Lajak sampai ke satu kawasan pekan yang kelihatan "lama".  Macam kembali ke zaman 70-an.  Mujur Subki ada untuk bagi tau yang aku sudah terbabas.  Mujur belum jauh sangat dari simpang.

Radiasi tinggi di sini
Kami berpatah balik dan terpaksa terhegeh mendaki sedikit sebab tadinya galak sangat meluru turun.  Ambil simpang kiri jalan B18 Jalan Kajang - Dengkil.  Jalan masih lagi beradio aktif tinggi.  Ada Agensi Nuklear Malaysia dan Pusat Perlesenan Tenaga Atom di situ.  Perghhh... rasa macam dalam wayang cerita fiksyen sains. 

Kawasan radioaktif ditinggalkan dan masuk dalam kawasan radio Subki.  Ha, Wyoming Subki dilengkapi dengan sistem stereo yang memainkan lagu-lagu berbagai variasi.  Melayu, inggeris, Cina, Thai, Tamil...Semuanya ada.  Sepanjang kayuhan aku lebih banyak berada di depan.  Dino di belakang aku.  Di ikuti Nuar dan Subki dengan segala rendah dirinya setia di belakang sebagai sweeper.  Sesuatu yang agak mencabar kesabaran untuk seorang tourer tegar yang biasa berkayuh lebih laju dari derap kami hari itu...

Durian, rambutan, cempedak dan pulasan
Kawasan nuklear, atom dan genom ditinggalkan.  Jambatan yang merintangi Sungai Langat dilepasi.  Suasana diganti dengan jalan dua hala yang punya bahu jalan yang lebar.  Seronok dan selesa untuk dikayuhi.  Di kiri kanan dinaung rimbunan pohon yang memberikan teduhan daripada panahan mentari yang makin meninggi.  Gerai-gerai menjual buah-buahan - durian, rambutan, cempedak dan pulasan berceratuk sepanjang jalan.  Menggamit rasa untuk singgah dan melahap sebiji dua durian.  Padan la dengan nama tempat Sungai Buah.  Memandangkan perjalanan masih jauh, hasrat dipendamkan saja.   

Dari jalan B18 Jalan Dengkil, simpang kiri masuk ke jalan B48 Jalan Sepang.  Jalan ritma kampung diteruskan melalui Jenderam Hulu.  Masih lagi landai dan berlengkang-lengkok.  Jam sudah lebih 1200hrs.  Perut sudah mula menyalakan lampu kuning tanda penyakit lapar akan menular.  2 bungkus nasi lemak tadi sudah hampir habis dibakar.

Breakaway...Touringpun ada
Jalan yang landai mula berubah sifat.  Pendakian lanjut yang sungguh panjang.  Kawasan pula terdedah terbuka.  Hawa panas menerpa.  Mujur aku bersedia dengan baju lengan panjang.  Tidaklah terasa terlalu perit pada kulit.  Kenderaan sederhana banyak pergi dan balik.  Sedang asyik melayan bukit yang bagai tak berkesudahan, terpandang kelibat di seberang jalan.  Satu gerombolan pembasikal lipat sedang enak melayan belaian graviti.  Adalah dalam 20 orang.  Hanya mampu bertukar-tukar lambaian. 

Aku terlebih galak berkayuh melayan bukit sehingga kawan-kawan tercicir jauh di belakang.  Menghampiri puncak pendakian, Dino memberi isyarat untuk berhenti sekejap.  Mata melilau mencari tempat yang teduh untuk berhenti.  Memang tak kedapatan.  Berhenti saja di depan pagar Akademi Al Fateh.  Aras ketinggian 70M sajapun tetapi mendakinya terasa azab.  Anuar dan Subki menyusul kemudian.  Asal berhenti Subki akan mengeluarkan buku notanya mencatat sesuatu.  Entah apa yang dicatat aku tak ambil pusing.  Nota untuk jurnal touringnya barangkali.  Aku hanya bergantung kepada alat Garmin GPSmap 60CSx dan kamera aku sebagai catatan.  Garmin untuk rakaman laluan.  Kamera untuk penceritaan dan garis masa.  Sebab itu kadang-kadang aku main petik saja kamera aku.  Bukan kerana hendak mengambil gambar menarik tetapi hanya sebagai rakaman masa dan tempat...Cop tarikh dalam EXIF gambar dipadankan balik dengan cop masa pada tracklog GPS.  Memudahkan kerja aku bila menulis tentang kayuhan.  Eh...dah terkona ke mana ni?  Terbabas la pulak.  Kembali ke laluan yang betul.

Sudah penat memanjat tadi, masa untuk menuai hasil.  Cerun menurun pantas diratah rakus.  Lajunya hingga terasa angin berdesing di telinga.  Meluncur di bawah jejantas B20 Jalan Persiaran Negeri.  Tadi di puncak bukit sudah dimaklumkan ada tempat makan yang sesuai selepas jejantas.  Brek dikacip dan kelajuan diperlahankan.  Mata, dengan panduan dan arahan dari perut, melingas mencari tempat yang dimaksudkan.  Jaraknya cuma 1.5km dari puncak Akademi Al Fateh tadi.  Dekat saja.  Restoran Pak Wan, Salak Tinggi disinggahi pada sekitar jam 1300hrs.  Sesuai sangat. 

Subki menjadi waiter sementara
Aku memang lapar.  Jarum penunjuk tangki perutku sudah menghampiri K (kebulur).  Hantam nasi penuh repu sepinggan dibasuh dengan sebiji air kelapa mawar.  Kenyang.  Alhamdulillah.  Jam 1400hrs, Resoran Pak Wan ditinggalkan untuk menunaikan kewajipan seterusnya...Solat.  Dalam perjalanan menuju masjid, bertemu dengan satu lagi kumpulan tourer.  Katanya dari grup GengGerek.  Kalau tak silap dengarlah.  Anuar yang layan mereka bersembang. Aku dah di gerbang masjid ketika itu dan tak sempat bertegur sapa.  Mereka menunggu kawan yang yang tercicir di belakang.  Kami masuk ke masjid untuk menunaikan solat.  Solat Zohor dan Asar dijamakkan dan diqasarkan.  Mudah sungguh ruksah yang Allah berikan kepada hambaNya ketika bermusafir...

Jam 1420hrs, kayuhan diteruskan.  Suasana semakin panas.  Jalan B48 terus diterjah melalui Pekan Salak menuju ke matlamat seterusnya, Sepang.  Jarak lebih kurang 13km.  Laluan melalui kawasan kampung kemudiannya kawasan ladang kelapa sawit.  Laluan mendatar tanpa bukit-bukit besar yang boleh membuatkan lutut terketar.  Sepanjang-panjang jalan ada banyak tempat gerai/warung yang menjual nangka madu.  Aku teringin juga nak singgah merasa nangka madu yang nampak kuning keemasan lazat sekali.  Namun, rasa sayang sangat kalau nak berhenti kalau tengah sedap-sedap kayuh.  Nantilah, hala balik nanti singgah...

Dari kejauhan ternampak kubah masjid Sepang yang tersergam menandakan sudah hampir ke simpang pekan Sepang.  Aku tertinjau mencari mesin ATM.  Lepas mengisi tangki perut aku tadi, kantung duit sudah kosong.  Perlu diisi segera.  Aku bagi isyarat pada Dino yang aku nak belok kanan untuk cucuk duit.  Mujur ada Bank Unta berdekatan simpang.  Kantung duit berisi kembali sambil tu sempat pula singgah kedai beli air seratus campur.  Memang sedap ditogok bila badan tengah berpeluh.      


Kawan-kawan menunggu di hadapan lepas sedikit daripada papan tanda sempadan Selangor-Negeri Sembilan.  Kayuhan diteruskan.  Laluan beralun sederhana dengan pendakian lanjut di dalam kawasan ladang kelapa sawit.  Kawasan baru ditanam semula.  Kelapa sawit masih rendah.  Tidak dapat memberikan teduhan.  Mujur awan yang banyak bergumpalan di dada langit menapis sedikit terik matahari.  Jalan 5 Jalan Sepang - Lukut melalui kawasan Bukit Pelanduk, yang pernah satu ketika gempar dengan virus JE dan Nipah.  Kemudian melalui Ladang Tanah Merah.  Semuanya kawasan kelapa sawit.


Tiba di Tanah Merah Site C, Subki terasa tayar belakangnya membuang.  Memang tayar dia kempis.  Kami berhenti di hadapan satu deretan rumah kedai, sebelum simpang ke Kuala Lukut.  Bila diperiksa, rupanya ada dawai kecil sudah menyucuk tayar Subki.  Kena ganti tiub la nampaknya.  Dino dengan semangat setiakawan menolong Subki mengganti tiub.  Aku ambil kesempatan untuk ke kedai berdekatan membeli bateri untuk GPS dan kamera aku.  Sempat juga membeli pisang goreng yang dijual ditepi kedai.  Kakak pisang goreng dengan ramah bertanya aku dari mana.  Bila aku jawab Gombak, dia balas balik "Padang Balang ka?".  Uikkk...masyhur juga kampung Padang Balang ni rupanya...Tengah penat-penat gitu pekena pisang goreng panas memang lazat! Jam 1500hrs, tiub siap dibaiki.  Pembaikan ambil masa sebab tukaran pertama terkena tiub yang bocor.  Kena buat dua kali penukaran. 

Sampai terjelir
Antara cabaran bila menggunakan pam tangan ialah kesukaran mendapatkan tekanan yang dikehendaki.  Penggunaan pam tangan hanya mampu memberikan sehingga 35 - 40 psi.  Cukuplah untuk membolehkan kayuhan diteruskan.  Strategi seterusnya ialah singgah di stesen minyak untuk mendapatkan tekanan angin tayar yang diperlukan.  Mujur 4km dari Tanah Merah, ada satu stesen Petronas.  Dino sempat menurunkan ilmu mengukur tekanan tayar hanya dengan meraba dinding tayar.  Aku tak dapat ilmu tu sebab tak mau bayar pengkeras.  Satu tips yang boleh dikongsi bila mengisi angin basikal di stesen minyak ialah gunakan mode mengepam untuk tayar kempis.  Jika digunakan setting ikut tekanan, angin tak mau masuk.  Sapa nak menuntut ilmu ukur tekanan angin dengan jari saja boleh hubungi Dino.  Ehemmmm!

Sasaran simpang Lukut makin mendekat.  Satu cerun menurun laju ditempuh dan sampai ke simpang Jalan Seremban - Port Dickson.  Jam 1640hrs.  Datang satu perasaan lega dan gumbira.  Dalam hati berkira-kira seronok suka sebab jangkanya laluan mendatang landai saja almaklum jalan susur pantai.  Mula-mula selepas simpang memang macam tu.  Selepas pekan Port Dickson, jalannya mula beralaun naik turun.  Boleh tahan juga pendakiannya.  Bila pula cerun-cerun ni ada kat sepanjang pantai ni.  Hari tu aku datang dengan kereta tak terasapun naik turun bukit.  Itulah lebihnya kalau naik basikal.  Dapat berhubung langsung dengan alam.  Rasanya lebih real daripada kalau berkereta atau bermotosikal.

Mentari mulai menjatuh di ufuk barat.  Aku masih di hadapan berkayuh-kayuh santai menikmati suasana indah pantai.  Sedang seronok melayan, terdetik hati menoleh ke belakang.  Bila dipandang, seorangpun tak kelihatan.  Alahai...laju sangat ka aku?  Kemudian dapat panggilan dari Anuar.  Rupanya basikal Dino pula yang pancit.  Patutlapun...Ni mesti terlebih angin masuk dalam tiub ni.  

Aku teruskan kayuhan mencari port untuk lepak yang lebih sesuai.  Dapat stesen minyak Shell di tepi simpang ke Sunggala.  Boleh la beli air penghilang dahaga.  Perut dah mula lapar juga.  Sebiji roti disumbat masuk buat menyendal ruang dalam perut yang sudah mengosong.  Trafik memang sibuk di situ.  Maklum hari Sabtu.  Ramai yang berkunjung.  Banyak juga group-group motor berkonvoi.  Group basikal hanya aku saja.  Duduklah aku tercongok ditepi basikal cabuk aku menunggu kedatangan kawan-kawan.  Lat tak lama muncullah lampu-lampu kelip dari kejauhan.  Sampailah Dino, Anuar dan Subki.  Dino terus mencari pam angin untuk menokok angin pada tayarnya.  Dan 4 basikal meneruskan kayuhan meninggalkan bandar peranginan pantai Port Dickson.  Jam di tangan menunjukkan 1800hrs.

Matahari semakin condong ke ufuk barat.  Hawa panas tidak terasa lagi.  4 basikal dikayuh melalui Tanjong Tuan, Kampung Tanjong Pelandok hinggalah masing-masing mencungap perlukan minuman.  Singgah sebentar di Pasir Panjang untuk berehat senapas dua dan menambah bekalan air.  Rezeki untuk Dino kerana terjumpa dengan seorang kawan lama dia di situ.

5km selepas Pasir Panjang, kami membelok kanan ke Tanjong Agas.  Jalan N143.  Matahari semakin terbenam dan tabir malam mula dilabuhkan.  Lampu basikal mula berfungsi menyuluh laluan.  Jalan dua hala tenang dengan sesekali kenderaan lalu.  1919hrs, jambatan Kuala Linggi dilepasi.  Selamat tinggal Negeri Sembilan.  Tayar basikal aku mencecah bumi Hang Tuah.  Aku di depan.  Terus saja menonong kayuh di bawah lembayung senja.  Antara gelap dan terang. Nampak tak nampak.  Sasaran segera ketika itu ialah mencari surau/masjid untuk solat magrib.

2km selepas jambatan Kuala Linggi, bertemu simpang.  Kanan ke Kuala Linggi, kiri ke Pengkalan Balak.  Aku berhenti di simpang menunggu kawan-kawan.  Kebetulan ada orang berjualan di situ.  Air tebu dan soya nampak sungguh membuka selera untuk orang yang basah berjeruk dengan peluh.  Srupppp...segelas air tebu masuk ke dalam perut.  Alhamdulillah.  Sempat bertanya dengan orang situ di mana surau masjid terdekat.  Katanya di depan saja dah dekat sangat.  Bila kawan-kawan sampai, bagi peluang mereka minum dulu.  Mana boleh aku sorang saja hantam.

Macam yang dibagi tahu, ada surau dalam 300meter dari simpang.  Surau kecil saja.  Tak sempat pulak ambil gambar atau mencatat nama surau.  Tuntutan solat magrib dan isya diselesaikan sekali.  Kayuhan diteruskan dalam kegelapan malam.  Masih ada 13.5km yang perlu diterjah untuk sampai ke Kemalak.  Ha...itulah nama Pengkalan Balak ikut sebutan orang tempatan.  Oooo... Awat Dino tak habag awai-awai?  Kayuhan ikut jalan kampung dua hala.  Dalam kelam malam tak nampak apa-apa disekeliling.  Kayuh sajalah.  Kayuh hingga melintasi jambatan Sungai Baru.  Kemudian membelok kanan ke Jalan Sungai Baru pada simpang selepas jambatan.  Suasana makin meriah dengan lampu-lampuan di kiri kanan jalan.  Kebanyakannya tempat makan atau chalet-chalet yang berserakan sepanjang jalan. 

Papan tanda Pengkalan Balak yang terpampang kemudian menyemarakkan harapan.  Sudah sampai!  Segala jerih payah kebas ponggong dan tangan akan berakhir.  Akan tercatat satu lagi sejarah dalam kembara berbasikal aku.  Aku biarkan Dino di depan kerana ini wilayah dia.  Tugasannya mencari tempat untuk makan.  Jalan Pengkalan Balak sesak dengan kenderaan yang kebanyakannya mahu makan-makan di tepi pantai di segala macam warung dan restoran.  Kami sampai di Restoran Bayu Selera milik mak menakan Dino.  Jam 2100hrs.  Sayangnya, pelanggan sangat ramai.  Meja semua penuh.  Terpaksa berpatah balik mencari tempat makan yang lebih sesuai.

Sudahnya ambil keputusan makan di satu medan selera.  Aku makan sup dengan telur dadar.  Siap mintak nasi extra.  Dan semangkuk len chee kang sejuk untuk penyejuk badan dan penghilang dahaga.  Siap makan, kami berkayuh malas ke rumah pusaka nenek Dino yang akan menjadi tempat berlabuh untuk malam itu.  Tiada rancangan lain kerana masa sudah lewat.  Perlu tidur dan berehat secukupnya untuk berkayuh balik esok.  Selesai mandi, aku terus terlelap tak sedar diri.  (kata mereka yang lain dengkuran aku sungguh kuat dan merdu hingga mereka sanggup tidak tidur kerana mendengar kemerduannya).

Penat... Memang penat selepas berkayuh sejauh 156km.  14 jam masa perjalanan.  10 jam di atas pelana basikal.  Entah berapa liter peluh tercurah.  Tapi...kepuasan yang dikecap daripada semua itu tak terbeli dengan wang ringgit.  Satu pengalaman satu kepuasan. Esok akan berkayuh balik pula...









Baru sampai.  Di depan istana hinggap