E h! Kelolopoint la pulak! Silap! Sebenarnya, EPX Hollowpoint. Ya betul, EPX tu pengeluar basikal-basikal Proton. Entah di mana silapnya, EPX tidak bertahan lama. Syarikat telah mati tak berkubur...Kerangka ini adalah warisan sisa terakhir EPX. Belum siappun sebenarnya. Kerangka datang dalam rupa asli, tiada solekan warna-warni pelangi...
Latar cerita, kerangka ekor keras EPX Hollowpoint bogel alu + karbon ini terpamer di iklan BicycleBuySell. Hangerpun tak ada. Tercetus di hati "kalau bikin projek XC bagus jugak nih...". Kebetulan pulak ada saudara yang terpacul di mindanya idea yang sama. Dan akhirnya, 2 unit terakhir EPX Hollowpoint saiz 17 ini aku sambar. Satu untuk aku, satu lagi untuk Akmal. Akmal deras menyiapkan projek Hollowpointnya. Ikuti al kisah EPX Hollowpoint Akmal. Aku pulak terkial merangkak kura-kura gara-gara semuanya terhad. Semuanya terbatas. Wang, masa, kemahiran... Kita lihat bagaimana hasilnya bekerja di dalam batasan ini...
Angan-angannya...
Sejak Raksasa Hijau kemudiannya Sang Bara, aku mulai lupa bagaimana rasa mencelapak basikal ekor keras. Melihat kerangka togel begitu tiba-tiba membangkitkan kembali rasa kepada basikal ekor keras.
Angannya, basikal ini akan dijadikan jentera ekor keras tulen. Kerangka togel itu akan dirawat dengan rawatan gosokan autosol supaya gemerlapan. Mungkin memakai tema perak - hitam. Satu lagi angin perubahan yang melanda ialah keinginan mencuba sistem pacuan daripada SRAM pulak. XO keterlaluan untuk kocek, memadai X9. Brek hidrolik dengan cakera 160mm depan dan belakang memadai untuk kuasa berhenti. Set roda XC yang ringan. Fork ringan dengan jarak locokan 100mm. Hmmm...itulah angannya...Terpenuhkah???
Gosok, jangan tak gosok...
Kerangka dari EPX. EPX? Ya! Pengeluar yang sama yang mengeluarkan siri-siri basikal Proton. EPX sudah berhenti beroperasi. Kerangka ini antara kerangka terakhir dari kilang EPX. Kerangka separa siap. Belum sempat disudahkan. Hadir dalam bentuk aluminum telanjang tanpa cat. Bahagian belakangnya dari gentian karbon. Juga belum disempurnakan. Lacquernya malap pudar. Hanger juga tiada. Padanlah dengan harga yang ditawarkan. Aku ambil keputusan kekalkan saja rupa kerangka dalam bentuk bogel tanpa cat. Tapi...takkan nak dibiarkan saja rupa aluminum kusam? Dengan panduan dari Kuwahara, kerangka dilumur dengan autosol kemudian digosok dengan kertas pasir dari grit 800, 1000, 1500 dan 2000. Entah berapa jam aku laburkan untuk menggilapnya. Hasilnya tidak seberapa kerana aku belum mahir dengan teknik "gosok, jangan tak gosok". Masih kelihatan jelas kesan calar awal dek kerana rakus menggunakan kertas pasir yang terlampau kasar. Jadilah...walaupun tak nampak pantulan gigi bila aku menyeringai padanya.
Dikit-dikit komponen
Sedikit demi sedikit barang dikumpul. Ada yang baru ada yang
terpakai yang dipunggah dari basikal lain. Dari Nov 2009 sehingga April, menjangkau tempoh hampir 5
bulan barulah cukup komponennya. Serlahan komponen:-
- wheelset - Unit terpakai dari Sang Bara. Gabungan rim Atomlab Pimplite, hub Novatec dijalin dengan jejari DT Swiss.
- Unit pacuan - Gabungan Sramano. Penukar gear, RD dari SRAM X9. SRAM X9 jadi pilihan dengan tambahan keset dari XO. Geram tengok spidernya yang berwarna merah anodized tu. Penukar, gear belakang, keset dan rantai saja dari SRAM. Gear depan masih lagi Shimano. Untuk penjana kuasa, engkol Shimano XT jadi pilihan.
- Brek - Untuk sebuah mesin XC, tidak perlukan brek yang kuat. Memadai dengan brek yang Quad. Quad Dime pro-RA menjadi pilihan. Unit baru. Unit ini menjadikan unit Quad yang ke 3 milikku.
- Bar hendal dan stem - Bar hendal rata yang asalnya putih. Diwarnai dengan logo Venzo. Bila cat putih ditanggalkan, terdedah rahsia yang bar itu sebenarnya dari Kalloy...Cis! Bedebah sungguh! Inilah permainan biasa pengeluar komponen. Stem OTA alloy CNC. 60mm, 0 degree.
- Seatpost - Demi menyerlahkan tema warna Raksa, aku korbankan sedikit RM untuk satu Thomson Elite.
- fork - Fork warisan turun temurun dari beberapa basikal awal hingga turun ke Sang Raksa ini. Fork Rock Shox Revelation 409 115mm. Sedikit panjang untuk sebuah basikal XC. Hantam sajalah dulu. Bajet tidak mengizinkan fork baru dipasang.
Dari segi bilangan, basikal ini adalah basikal aku yang ke LAPAN. Biar banyak basikal. Jangan banyak bini. Bolehlah dikatakan aku ini seorang yang berpoligyro (bukan poligami tau!). Basikal lain semua dilengkapi alatan pacuan dari Shimano. Masuk yang ke 8, datang kegatalan merasa sistem pacuan dari SRAM pulak. Apa rasa agaknya pacuan dengan nisbah 1:1?
Pemasangan
Bila kerangka sudah siap bergosok, komponen lain sudah mencukupi, proses pemasangan bermula. Tak perlulah diceritakan dengan terperinci bagaimana pemasangan berlaku. Sedikit perincian bagi peristiwa-peristiwa yang aku kira patut diserlahkan.
Cabaran pertama datang dalam bentuk yang memeningkan. Alur bebenang pada BB shell rosak disebabkan cubaan awal memasang BB. Puas aku arak frame ke hulu ke hilir mencari kedai yang boleh baiki alur bebenang. Tak satupun berjaya. (Atau mereka malas nak buat?). Semuanya tak punya alat untuk tapping BB shell. Masalah memaksa aku membeli sendiri alat tapping. Padan muka aku. Sekarang aku dah ada alat tapping dan facing BB shell.
Itulah hikmah rupanya kenapa alur bebenang BB shell aku rosak. Sebagai pendorong untuk aku beli sendiri alat tersebut. Dapat juga merasa bagaimana tapping balik thread BB yang rosak. Dengan alat yang sesuai, proses membuat alur bebenang baru jadi mudah. BB shell berjaya diselamatkan...
Cabaran kedua bila berhadapan dengan pemasangan brek Quad Dime Pro-RA. Mujur aku dah ada pengalaman memasang 3 set brek Quad sebelum ini termasuk satu set yang sama untuk seorang pelanggan. Jadi, sedikit sebanyak dah agak bersedia untuk sebarang kejutan. Pemasangan mudah. Cuma bila hendak memotong hos ikut saiz kerangka yang agak rumit sedikit. Mujur ada alatan dari brek Shimano yang boleh dipinjam. Hos dipotong dengan pisau cutter. Tajam pisau memberikan potongan yang bersih. Cabaran sebenar ialah memasukkan "hose insert" yang baru. Di sinilah bergunanya alatan memotong dari Shimano. Hos dikepitkan dengan ragum kecil memberikan pegangan kemas. "Hose insert" ditekan masuk ke dalam lubang hos menggunakan playar muncung. Mudah! Cuma terkujat aku sekejap bila hos membidas dan bendalir brek DOT4 mercik ke dalam mata. Mujur tindakan segera membilas mata dengan air menyelamatkan keadaan. Lepas tu baru teringat nak pakai cermin mata keselamatan. Tabiat manusia, dah kena baru terngadah...
Selepas siap brek dipasang, bendalir yang kurang perlu ditambah. Tidak perlu "bleeding". Menggunakan cawan bendalir dari Shimano, bendalir ditambah melalui lubang sekeru pada master cylinder. Mudah saja. Dan pemasangan brek selesai.
Cabaran tidak habis setakat itu. Cabaran grand finale datang bila menala gear belakang. RD X9 tidak memberikan tukaran kemas. Tukaran dari cog paling kecil naik ke atas dan seterusnya tidak lancar. Tarikan gear seolah terlebih had. Jenuh dicuba bermacam cara. Akhirnya, aku terpaksa mengelat. Gear neutral dipasang dalam keadaan tombol pelaras dibuka hampir habis. Kemudian dilonggarkan sedikit demi sedikit sehingga tukaran kemas dan pasti dan tiada lagi bunyi sangkutan. Berjaya!!! Kalau ada yang perasan, akan melihat kabel gear belakang aku kendur dalam gear belakang paling kecil.
Lahirlah Sang Raksa...
Pada masa posting ini tersiar, Sang Raksa sudah berusia 2 minggu. Tidak semua yang aku angankan menjadi kenyataan. Namun, aku berasa puas juga kerana sebahagiannya tercapai. Sempat aku belasahnya kerabat bukit Ukay Perdana. Esok, Sang Raksa akan beraksi di FRIM pula. Aku akan terjah secukupnya untuk menguji bagaimana Sang Raksa bertindakbalas dengan denai pula...Kalau ada rezeki, akan aku kisahkan bagaimana Sang Raksa bermain di tarmac. Bagaiman Sang Raksa mengendali denai...Sehingga itu, tungguuuuuu....
2 comments:
Cayalah
Tahniah Tok kerana akhirnya berjaya menyiapkan Sang Raksa ni. Mmg cun tgknya tadi di FRIM.. ditambah pula dgn seatpost yg begemerlapan tu... paling tak tahan tgk, RS SRAM X9 dan Cassette X0 tu... fuuh, berpeluh...
siap juga akhirnya.
hehe... adek beradek. dah tu macam lebih kurang aje komponennya. tapi si abang ni lagi menyerlahlah, terutamanya cassette x0 + thomson elite tu.
looks racy, for the most part. cun!
Post a Comment