Showing posts with label Putrajaya Wetland. Show all posts
Showing posts with label Putrajaya Wetland. Show all posts

Tuesday, December 17, 2013

KLMBH Hash # 231 ~ Taman Wetland, Putrajaya

Pejam celik, pejam celik...dahpun sampai ke penghujung tahun 2013.  Acara hash bulanan anjuran Kuala Lumpur Mountainbike Hash (KLMBH) untuk bulan Disember datang lagi!


KLMBH Hash # 231 ~ Taman Wetland , Putrajaya. 
Tarikh : Dis 15, 2013.Masa: 0930hrs . 
Jarak: 16km 
Hares : Geoff Foote , Mike Grover, Riza Shaharudin 

Hash ini adalah yang keenam untuk aku tahun ini.  Anak jantan nombor 4, yang sepanjang tahun mengetap gigi menahan geram tak dapat ikut sama kerana kekangan nak menghadapi UPSR akhirnya bebas dan melompat sakan sebab dapat ikut sama.  Farhan dan ayah akan mengambil laluan pendek manakala anak yang seorang lagi, Faris, dibiarkan berseorangan membawa diri ikut laluan panjang 32km.

Aku pernah berkayuh di sini bulan Oktober lepas.  Ceritanya di sini.  Pengalaman pertama menggamit aku untuk datang sekali lagi.

Pagi redup tenang.  Jam  0915hrs , Geoff Foote tampil untuk memberikan taklimat ringkas kayuhan. Perasan tangannya beranduh.  Apa kehal pulak?  Semoga cepat sembuh Geoff. Dia bagi taklimat sepertimana taklimat lazim dengan sedikit penekanan kepada tandaan denai - 3 jenis penanda  digunakan - kertas kecil segi empat tepat, pelekat hijau bercahaya dengan cetakan KLMBH dan kapur tulis.

Selesai taklimat, kata hikmat ON ON sebagia pemula dilaung.  Biasanya, selepas ON ON, pengayuh akan berpusu dan bergegas memasuki denai dan memulakan kayuhan.  Tapi, pagi tu pelik pulak bila ramai yang lepak.  Hmmm ... luar biasa. Tadi malam ada makan malam tahunan.  Masih mamai agaknya.

Denai bermula dengan pesona.  Rimbunan pohon buluh bagaikan dalam taman pari-pari,menghiasi pendakian berumput. Tanah dirasakan basah dan lembap. Sedikit licin. Seorang pengayuh terkelebak di tepi aku akibat tayar yang kalah dalam bertanding dengan batang buluh.  Denai kemudian menurun dan membelok ke kanan masuk ke dalam semak belukar.  Ada kesesakan pulak.  Di hadapan ada lintasan anak sungai.  Laluan sempit memaksa giliran seorang demi seorang.

Naik dari tebing anak sungai, dihidang hamparan padang hijau.  Laluan menyusur sisi padang yang lembik.  Nampak nyata bekas tayar-tayar "membajak" padang.  Datang pulak pendakian pendek kemudian turun balik melalui satu lagi padang hijau di bawah kabel letrik voltan tinggi.  Huuuu... seriau.  Di hujung padang, ditarah satu laluan turun yang bercantum balik dengan jalan tar.  Belok kiri ke bawah terowong kemudian masuk ke laluan denai konkrit selepas 10 meter dari terowong.  Seronok melayan denai yang berliuk lentok.  Tapi kena jaga sikit sebab permukaan agak licin.

Denai konkrit membawa ke jalan batu persisir tasik (paya?) menghala ke selatan.  Di pertengahan, membelok ke kiri mengikut jalan batu kerikil yang merentas pertengahan tasik.  Dari kejauhan nampak seorang pengayuh berhenti di tepi.  Perilakunya sedikit luarbiasa dan menghairankan.  Dia mengibas-ngibas baju sambil menggoyang-goyangkan badan.  Apahal pulak berdangdut di tengah paya ni?  Tergerak hati untuk berhenti dan bertanya.  Rupanya, dia sedang cuba membuang semut yang sudah masuk ke dalam baju.  Padan la tergeliat-geliat.  Dah kena gigit katanya.  Aku tanya kat mana?  Dia jawab kat belakang.  Aku singkap belakang bajunya.  Baru separuh singkap, satu serangga kecil buru-buru terbang pergi.  Tak dapat nak kenalpasti serangga jenis apa.  Kalau dapat tengokpun, bukan aku kenal jenis serangga.  Seimbas pandang, nampak macam penyengat.  Sengatnya boleh tahan berbisa.  Nasib baik berjaya dikeluarkan.

Denai kerikil terus menuju barat daya. Menyusur di bawah Persiaran Utara menuju ke Pusat Rekreasi Air , Taman Wetland , satu bahagian lain di Taman Wetland yang menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi air - berkayak , memancing dan sebagainya. Sekumpulan pengayuh berkayuh berpatah balik.  Jejak kertas sudah hilang rupanya. Aku cuba mencari balik jejajk. Berkayuh sehingga melepasi bangsal bot. Masih tiada.  Lajak masuk hingga ke terowong.  Pun masih tak berjumpa.  Akhirnya, jalan yang betul ditemui.  Di belakang nun.  Satu simpang kiri ikut laluan blok selepas terowong.

Laluan naik ke atas berlari seiring dengan Persiaran Persekutuan.  Berlangsung sejauh 600meter kemudian membelok kiri dan turun melalui satu cerun kecil kembali ke pinggir tasik.  Ada beberapa pengayuh di situ, nampak seperti kumpulan ayah dan anak.  Si ayah cuba membimbing si anak menuruni cerun.  Si anak masih takut-takut.  Aku toleh ke belakang melihat Farhan selepas aku turun.  Farhan dengan yakin berkayuh turun tanpa basa basi.  Bagus!

Kembali ke laluan batu bata blok yang menyusur tasik.  Sambil kayuh santai sambil menikmati suasana tenang damai tasik.  Laluan batu bata blok berakhir dan bersambung dengan denai batu kerikil menyusur mengelilingi tasik membentuk satu bentuk U yang besar.  Pada penghujung U, nampak pengayuh-pengayuh hadapan yang cuma beberapa meter saja dari laluan kami.  Jalan berpusing ke situ rupanya.  Datang godaan untuk memintas saja.  Tapi... takseronok la kalau buat macam tu.  Kan?  

Kertas penanda menuju ke satu palet kayu yang diletakkan merentas longkang.  Tengok pada keadaan palet kayu yang agak uzur, seriau untuk berkayuh di atasnya.  Pikul saja basikal untuk menyeberang.  Kemudian denai menyusur laluan rumput dan masuk ke dalam semak melalui satu bukaan kecil.  Selepas semak datang denai ladang kelapa sawit.  Tanah merah yang dibasahi air memberikan permukaan lembik, lecah dan licin.  (3L).  Terus aku di bawa mendaki sedikit kemudian meluru turun sehingga akhirnya terdampar dalam lopak lumpur.  Rupanya lopak lumpur itu dekat saja dengan puncak laluan U tadi.

Selepas keluar lopak lumpur, datang pulak cerun naik yang curam tapi pendek.  Kayuh naik sekejap kemudian kembali meluru turun sehingga dihadap dengan satu pendakian sempit.  Di kiri kanannya semak dengan pokok resam paku pakis.  Farhan sudah habis bekalan airnya.  Mujur beg tangki aku besar untuk tampung bekalan cukup untuk 2 beranak.  Aku tak berani nak tinggalkan dia jauh-jauh.  Sampai dipuncak pendakian, aku berehat sekejap sementara menunggu Farhan sampai.      

Dari puncak laluan landai dan lecah.  Kemudian masuk ke denai sempit dalam semak dan lalang.  Lopak-lopak air jadi hiasan biasa.  Dan, mengikut etika kayuhan denai yang beradab, lopak air tidak seharusnya dielakkan.  Harus berkayuh meredah lopak air bagi mengelak denai melebar dan hakisan bertambah.  Dan itulah yang telah aku amalkan bila berhadapan satu lagi lopak.  Apa yang disangka lopak biasa rupanya pernagkap yang menelan separuh tayar depan aku dan nyaris menghumban aku dari basikal.  Mujur aku tak laju...

Dari lopak perangkap, selepas lebih kurang 50 meter keluar ke jalan P11 berhadapan balai polis Presint 11.  Kecoh sekejap di situ selepas sambungan laluan tidak dijumpai.  Rupanya tanda ada pada tiang dan pengayuh kena melintas jalan.  Sebaik menyeberang jalan, terpampang papan tanda Taman Saujana Hijau. Di kakinya, pada blok simen, tertulis dengan kapur warna merah jambu "KLMBH".  Comel sungguh!    

Tandaan merah jambu membawa aku ke kaki tangga.  Ada beberapa tingkat tangga yang nak dipanjat.  Aku biarkan Farhan cuba menguruskan sendiri basikalnya.  Dengan bersusah-payah dan terkial dia mengheret basi
kalnya memanjat tangga.  Aku mengelat dengan menolak naik ikut tebing di sebelah kanan tangga.  Haaa... ngelat.  Tak aci.  Heh...heh.

Apa yang dilihat selepas tangga selamat dikerabat adalah sesuatu yang mengkagumkan.  Di sebelah kiri tebing tinggi.  Terhampar pemnadangan Putrajaya sayup mata memandang.  Di sebelah kanan tebing bukit yang dilitup rumput subur menghijau.  Dihiasi dengan aneka tumbuhan taman yang terjaga rapi.  Dilengkapka pula dengan wakaf-wakaf persinggahan.  Buat singgah berehat handai taulan.  Sungguh indah dipandang mata.  Manis bagai halwa sehingga jadi alpa dan tidak terasa kayuhan mendaki dek kerana pesonanya.  Bagai berada di shangri-la...Sungguh!  Kalau anda ke Putrajaya cuba singgah dan lawat sendiri Taman Saujana Hijau.


Jalan dalam taman berkitar di sekeliling bukit kemudian turun dan keluar kembali ke Jalan P11.  Jalan P11 diseberangi lagi sekali.  Melalui laluan berbatu meluru turun dengan laju.  Tersentot sekejap bila tengah laku kena belok kanan dan... BERHENTI!  Ada pokok tumbang melintang jalan.  Hah...tunggu apa lagi?  Pikul la basikal melepasi pokok tumbang.

Sambung kayuh dalam ladang kelapa sawit.  Elok kayuh tak sampai 2 minit dah kena berhenti lagi.  Kali ni berhadapan dengan parit yang lebar tak boleh dilangkah.  Terpaksa turun ke dalam parit yang tebingnya 6 kaki tinggi.  Kalau seorang diri payah juga nak melepasi.  Mujur ada pengayuh lain pada masa itu.  Bolehlah berpakat bergotong-royong mengangkut basikal dan membantu yang lain memanjat tebing.  Jarak kayuhan kat situ sudah 14km.  Lagi 2 km untuk sampai balik.  Dah dekat dah...

Lepas parit, sambung kayuh lagi dalam ladang kelapa sawit.  Kemudian keluar ke satu kawasan lapang dengan satu bangunan besar yang ada beberapa cerobong besar.  Loji janakuasa elektrik TNB.  Ikut laluan kiri sehingga berjumpa jalan tar.  Ingatkan, akan berkayuh ikut jalan tar balik ke tempat permulaan, rupanya ada lagi asam garam dan rempah ratus yang disaji.

Belok kanan ikut jalan tar kecil kemudian masuk balik ke dalam ladang kelapa sawit melalui denai turun berbatu kerikil.  Jaga-jaga sebab batu kerikil longgar.  Tayar basikal boleh menyasar.  Sampai di bawah, belok kiri ikut laluan ladang.  Sajian adunan naik dan turun yang kemudiannya turun dengan curam sedikit dan berakhir di lembah berair.  Ada laluan daripada palet kayu yang sudah uzur.  Cukup untuk memikul basikal dan berjalan tapi tak sesuai untuk berkayuh.

Dah makin dekat!  Satu pendakian terakhir dari ladang kelapa sawit masuk ke dalam belukar.  Laluan peringkat akhir diselaputi selut dan lumpur lembik yang diadun dengan daun dan ranting reput.  Memang "menangkap" dan memberatkan tayar.  Suasana teduhan mula beransur kelam bila hujung denai dihampiri dan tercokoh keluar pada satu jalan tar.  Tempat penamat hanya 500 meter saja lagi.

Ayah dan anak kayuh beriringan balik ke tempat mula/tamat.  Farhan nampak letih dan penat.  Basikal dan pengayuh sudah berpalit lumpur merata.  Keletihan memang sudah diduga.  Namapun berkayuh basikal gunung...Namun di wajah terpalit rasa puas dan gumbira. 

Friday, October 04, 2013

Taman Wetland, Putrajaya


Kalau disebut kayuh MTB di Putrajaya, automatik akan terbayang denai-denai teknikal mencabar di Taman Cabaran Putrajaya.  Kalau diajak mereka yang baru sehari dua mencuba Taman Cabaran, dikerat 14pun tobat lahum tak mau.  Reputasi ngeri Taman Cabaran atau PCP mengundang gerun yang kadang-kadang keterlaluan.

Dah kalau begitu di mana tempat yang boleh dibawa orang baru berkenalan dengan denai?  Aha!  Ada beberapa denai di Putrajaya yang kurang diketahui tetapi mampu menjadi menjadi tempur untuk pengenalan awal dengan MTB.  Untuk kali ini saya perkenalkan TAMAN WETLAND, Putrajaya.


Taman Wetland, Putrajaya

 
Ringkasan Denai

Jarak : 13km
Aras rendah : 40M
Aras tertinggi : 90M
Pendakian maksima : 50M
Tahap : Pengenalan dan sederhana
Jenis denai : Laluan berbatu pinggir tasik, laluan berturap pinggir tasik, ladang kelapa sawit, jalan tar
Parkir : 
Dua parkir. 
1.  Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland (101.69903, 2.95218) .
2.  Parkir Taman Wetland di sebelah menara tinjau (101.69577, 2.9622734).  (Rujuk peta)
Peta denai Taman Wetland, Putrajaya
Mari! Saya bawa anda berkayuh secara maya di denai Taman Wetland.  Sedia???
Siap untuk berkayuh.  Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland

Jika anda bermula dari Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland.  Kayuh ikut denai berbatu.  Anda akan melalui bawah jambatan dua kali.  Selepas 850M, akan berjumpa simpang kiri.  Jalan berbatu merentas paya.  Belok kiri.  Ikut laluan itu sehingga berjumpa simpang.  Belok kiri dan lalu di bawah jambatan sekali lagi sehingga berjumpa jalan tar.  Anda telah sampai ke taman Wetland.

Kita berhenti sekejap.  Tunggu kawan-kawan yang parkir di Menara Tinjau.

Jika anda dari Menara Tinjau, kayuh seolah anda mahu keluar ke Pintu Gerbang Taman Wetland.  Bila berjumpa bulatan, ambil laluan terus pukul 12.  Anda akan berjumpa satu lagi bulatan.  Ambil arah pukul 9.  Laluan akan turun bukit.  Terus meluncur dengan gembira sehingga berjumpa simpang kiri laluan berbatu.  Mereka yang dari parkir Pusat Rekreasi Air akan berada di situ.  Berkumpul dan bergerak bersama.
Jalan batu merentas paya

Dari simpang pertemuan jalan batu dengan jalan tar, teruskan berkayuh.  Anda akan berjumpa satu bangunan besar di sebelah kanan  (101.69423, 2.95974).  Selepas bangunan, jalan tar tamat dan berganti dengan jalan batu.  Kemudian ada simpang kiri jalan berbatu merentas paya.  Belok kiri ikut laluan rentas. Penghujung jalan rentas akan bertemu simpang. 

Ambil haluan kanan di atas jalan batu bata.  Jalan batu bata tamat dan bersambung kembali dengan jalan batu.  Berkayuh santai berkitar tasik (paya?) sehingga laluan berbentuk U.  Selepas laluan U anda semakin hampir dengan muka denai.  Bersedia untuk bertukar nada dan irama.
Muka denai. 

Panjat titi kayu yang merintang longkang (101.68943, 2.96292).  Eh...kenapa turun dan tolak?  Kayuh sebentar mengikut denai di kawasan terbuka kemudian masuk ke dalam gerbang denai kelapa sawit.  Denai masih melandai.  Semerta terasa perubahan suasana.  Kawasan terbuka kini terlitup dipagari pohonan kelapa sawit.  Kawasan yang tadinya panas disimbah mentari sekarang redup.  Dan bermula juga upacara pecah peluh kerana denai yang tadinya melandai sudah mula menaik sedikit.  Pendakian manja membawa anda dari aras 40M ke aras 50M.  Baru 10M peningkatan aras...
Menolak la nampaknyaaa...

Di 101.68967, 2.96578 akan bertemu simpang.  Belok kiri dan teruskan kayuhan santai.  Denai dalam kelapa sawit mula beralun dengan anda sederhana.  Layan saja.  Mahirkan jari jemari bermain gear mengikut keperluan.  Sampai di 101.68315, 2.962401 berjaga-jaga.  Pendakian pada batu pasir dengan kecerunan sehingga 15% ke 20% menanti.  Lebih mencabar lagi bila laluan sempit di penuhi pula dengan garit-garit yang boleh menelan tayar. 
Rehat dan rawat... Mana cekodok tadi?

Pendakian pendek lebih kurang 100 meter kembali melandai dan membawa anda keluar ke hadapan balai polis Prsint 11.  Anda sudah berada di pertengahan jalan.  Sesuai untuk berehat sebentar mengambil nafas, mengisi air dan menjamah bekalan cekodok yang dibawa.  Ada yang bawa cekodok?

Dah!  Jangan nak berehat lama sangat.  Nanti badan jadi sejuk dan lemau.  Capai basikal dan kayuh ikut laluan sikal hala menaik ke arah utara.  Laluan menyusur jalan raya kemudian membelok kanan masuk ke denai.  Anda berada di puncak tertinggi pada aras 95M.  Bila sudah berada di puncak apa maknanya?  Maknanya selepas ini akan meluncur turun.  Oh yeahhhhh!
ATTACK!!!

Denai lebar berbatu halus peroi dengan cerun menurun jangan disiakan.  Pasang badan dan kuda-kuda di atas basikal dalam "attack position" dan meluncur turun.  Anda berhak menikmatinya setelah berpenat-penat. Laluan turun sejauh 500M memang terasa tak cukup.  Jadilah...

Tengah sedap laju anda akan dipaksa membrek dan membelok masuk ke kanan ke laluan sempit.  Meluncur turun lagi masuk ke dalam laluan kelapa sawit.  Belok kanan pada simpang dan anda akan melalui satu kolam dengan empangan kecil.  Laluan membawa keluar ke jalan tar (101.68141, 2.97123).   

Belok kanan dan belok kanan sekali lagi pada simpang pertama.  Jalan tar menuju ke stesen janakuasa.  Sebelum sampai ke stesen janakuasa, akan bertemu simpang denai sebelah kiri.  Masuk ke situ.  Ada simpang denai ke kiri (101.68473, 2.96839).  Masuk balik ke dalam teduhan kelapa sawit.  Anda akan berjumpa jalan batu pasir halus yang meluru turun. Belok kiri pada 101.68684, 2.96835 yang akan memaksa anda mendaki kembali.
Pendakian selepas titian pellet

Terus bermain di dalam denai kelapa sawit yang akan membawa anda dalam laluan menurun hingga berjumpa lembah yang di letakkan kayu pellet sebagai titian (101.69000, 2.96888).  Dulunya titian kayu pellet kukuh utuh dan boleh dikayuh.  Lama-kelamaan ia semakin mereput dan tidak lagi selamat untuk dikayuh.  Elok turun dan pikul basikal.  Anda sudah diberi amaran.

Selepas titian, kena mendaki sedikit lagi sebelum denai melandai dan membawa anda keluar ke jalan tar.  (101.68888, 2.96958).
Belok kanan pada jalan tar dan kayuh dalam jarak 500M sehingga berjumpa pondok pengawal di kiri anda. Di sebelah kanan ada tasik / paya dan denai batu kerikil sepanjang tasik.

Masuk ke jalan denai tasik.  Laluan denai tasik ini akan membawa anda pulang semula ke parkir. 
Nampak macam laju? Penulispun nak berposing juga...

Kayuhan semakin menghampiri penghujungnya.  Kalau rasa belum puas dan tenaga masih banyak, sesah saja dari situ sebagai buah penamat.  Kalau yang jenis sentimental (dalam hati ada wetland), nikmati pemandangan dan suasana sekitar.  Tak perlu segan silu untuk berhenti dan bergambar.  Teruskan kayuhan sehingga berjumpa kembali dengan bangunan yang saya sebutkan pada awal cerita.  Dari situ anda sudah boleh mencari jalan balik ke parkir masing-masing. Selamat mencuba denai ini.

Muatturun GPS tracklog di sini sekiranya anda mempunyai alat GPS.  Lebih memudahkan pandu arah anda.


PENGHARGAAN
Terima kasih kepada geng Siput Turbo, BBS yang menjadi jurupandu dalam kayuhan pengenalan kepada denai ini.  Jonz,  MiaoMiao, Hairi, Khalid, Fazlee dan beberapa lagi nama yang tidak sempat saya rakamkan.