Saturday, April 20, 2013

Satu Jam Yang Gemilang

Untuk pengayuh-pengayuh Gombak, jika ada masa 1 jam untuk kayuhan, ke mana anda nak berkayuh?  Mari jadikan 1 jam itu 1 jam yang gemilang.  Bagaimana?  Berkayuh ke Desa Gemilang.  Di mana tu?  Desa Gemilang ialah satu taman perumahan di Kampung Sungai Pusu, Gombak.  Terletak pada ketinggian 180m.

Laluan yang saya ambil ialah Taman Melewar - Greenwood - Simpang Tiga - Sg Pusu.

Saya suka laluan ini kerana beberapa sebab:-
  • Jaraknya yang ideal untuk kayuhan masa terhad.  10km sehala dengan kayuhan sederhana laju sekitar 17km/j - 20km/j, memberikan jumlah jarak 20km pergi balik dari Taman Melewar - Desa Gemilang - Taman Melewar.
  • Rupabumi yang beralun sederhana curam jarak pendek.  Anda tidak bosan dengan kelandaian dan tidak pula terlalu terdera dengan pendakian yang curam dan jauh.
  • Trafik rendah.  Laluan ini termasuk kategori laluan kampung.  Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang.  Rasa lebih selamat berkayuh di sini.
  • Suasana sekelilingnya yang nyaman.  Bermula daripada pintu utama UIAM, kawasan dikelilingi kehijauan.  Segar pada mata memandang dan segar pada hidung dan paru-paru yang menyedut udara kurang tercemar.
  • Cabaran pendakian Sg Pusu dan Desa Gemilang.  Menghampiri Kampung Sungai Pusu, laluan mula mendaki dengan pendakian mencabar.  Cabaran akhir datang dalam bentuk pendakian curam dan panjang menuju puncak Taman Desa Gemilang.  Dan satu nikmat bila sampai di puncak bila dapat melihat pemandangan damai dan hening.  Banjaran Titiwangsa berbalam dari kejauhan.  Ditokok pula dengan suasana lembayung jingga mentari mula terbenam di ufuk barat.  Sungguh mententeramkan jiwa. 
    Cerun Selamat Datang.  Sg Pusu mengalukan kedatangan anda.
  • Agak memeranjatkan bila didapati yang laluan itu diterangi lampu sepanjang jalan.  Sangkaan awal laluan itu gelap gelemat rupanya meleset.  Laluan terang sesuai untuk kayuhan malam.  Cuma kayuh berseorangan tidak disarankan.  Kalau hendak berkayuh, pergilah sekurangnya berdua.
Jadi, kalau ada sedikit masa luang pada petang Sabtu atau Ahad, cuba layan laluan Desa Gemilang.  Satu jam memadai untuk memanaskan otot betis dan peha. 

Selamat berkayuh!

Memanjat ke Desa Gemilang
Sudah di puncak.  Banjaran Titiwangsa di latar kejauhan.













Thursday, April 11, 2013

Fulcrum Red Metal 5 Freehub Body


Wheelset Fulcrum Red Metal 5 pada Sang Raksa
Wheelset Fulcrum Red Metal 5 ini batch awal yang dipasarkan di sini.  Masih lagi buatan Itali.  Harga lebih RM1,000.  Aku hanya mampu beli yang terpakai.  Wheelset tahap pertengahan untuk belasah kayuhan XC. 

Aku pakai lebih 2 tahun tanpa masalah, tanpa gelong.  Puas hati!  Apa bendapun kalau selalu dipakai, boleh jadi haus.  Lepas 2 tahun lebih, dikesan kaset menjadi gelong.  Aikkk...hairan juga pada mulanya. Selepas bicyclopsi, dikesan simtom disebabkan oleh freehub body yang gelong.  Diagnosisnya, bearing di dalam freehub body sudah haus.

Aku buka bearing dan usung ke beberapa kedai bearing di KL yang aku tahu.  Semua jawapan sama..."Ini bearing saiz spesel punya woooo...kita tak da jual ini bearing".   Ahhhh...sudah.  Rujuk laman web fulcrum dan dikenalpasti part number bearing ini ialah RM0-009 SEALED BEARING FOR FW BODY.  Sambil cari-cari bearing ada pula Fulcrum jual freehub body yang serasi dengan RM5 ni.  Part number untuk freehub body ialah RM3-122.

Dari Itali beb!
Setelah dikenalpasti part number, masuk pula pusingan kedua mencari barangnya.  Sasaran pertama tentulah Rodalink.  Malangnya, Rodalink Bangsar beritahu mereka tidak menyimpan stok.  Sesuatu yang aku rasa tidak patut kerana mereka pengedar barangan Fulcrum untuk Malaysia.  Cuba menulis e-emel ke Fulcrum Itali.  Tidak berjawab.  Bengang!

Kemudian aku teringat Rodalink Singapura.  Mereka pernah membantu aku sebelum ini dengan masalah lock nut untuk shaft Red Metal 5.

Aku e-mel ke Rodalink Singapura.  Dengan segera dibalas oleh Jason Tan.  Jawapan berserta cadangan.  Jason mencadangkan supaya aku gantikan saja freehub body menggunakan RM3-122 yang serasi untuk Red Metal 5 dan 3.  Freehub asal RM5 ialah RM3-022.  Hujahnya kerana mengganti freehub body lebih mudah berbanding menggantikan bearing.  Aku akur dengan saranannya.  Ringkas cerita, pesanan dibuat.  Semua urusan hanya melalui e-mel.  

RM3-122 sebelah kiri, RM3-022 sebelah kanan
Seminggu kemudian barang sampai di Rodalink Bangsar.  Harga freehub body RM3-122 ialah RM255.

Freehub yang rosak segera digantikan dengan yang baru dan wheelset Fulcrum RM5 pada Sang Raksa kembali bertugas.  Bila diteliti, nampak beberapa perbezaan di antara freehub asal dengan RM3-122.  Buatan nampak lebih kemas.  Satu yang aku sangat suka, bunyi ketik ratchet RM3-122 lebih galak berbanding yang asal.  Besttttt!


Jadi, untuk kawan-kawan yang pakai wheelset Fulcrum, tidak perlu berasa runsing sangat kalau perlukan alat ganti.  Kalau Rodalink Malaysia tidak boleh membantu, hubungi terus Rodalink Singapura.  Segala aduan dan pertanyaan boleh dibuat melalui ruang support laman web Rodalink Singapura.

Wednesday, April 10, 2013

Sindrom MENONONG

Berkayuh dalam jamboree atau hash tak sama macam kayuh hujung minggu. Kayuh hujung minggu biasanya di denai yang kita biasa. Laluannya kita sudah mahir. Atau setidaknyapun ada kepala yang mahir dengan laluan dan kita cuma main ikut saja.

Tidak begitu bila dalam jamboree atau hash. Bila berjamboree atau hash, kita berada di kawasan asing, kawasan yang kita tidak biasa. Semuanya kali pertama. Semuanya asing dan misteri. Laluannya, rupabuminya, halangan dan cabarannya...Sebagai panduan, laluan akan ditanda. Tandaan yang biasa untuk jamboree ialah riben keselamatan putih merah, semburan cat dan papan tanda. Ada juga menggunakan carikan kertas seperti yang dibuat oleh penganjur hash. Secara peribadi, saya lebih suka teknik taburan kertas kerana ia organik dan nyahbio (biodegradable). Jalur plastik keselamatan mudah dan senang tetapi mengambil masa lama untuk mereput.

Manusia memang cenderung mengikut tabiat. Dan tabiat berkayuh weekend warrior hujung minggu terbawa bila berkayuh jamboree atau hash. Sindrom MENONONG. Sindrom suka berkayuh mengikut orang di hadapan. Sindrom ini tambah parah bila badan sudah letih. Peluh dah membasahi badan, Otot sudah diracuni asid laktik dan ancaman kekejangan sudah bertubi melanda. Kepala sudah dirasuk keinginan mahu segera sampai ke garisan penamat. Perhatian kepada tandaan laluan terabai. Kepercayaan untuk mencari laluan yang betul diserahkan bulat-bulat kepada orang yang di hadapan. Dan...orang di hadapan juga sebenarnya sedang menghadapi krisis dalaman seperti anda. Sesat dan menyesatkan...

Saya sudah menyaksikan banyak kali pengayuh terbabas dan tidak mengikut laluan yang ditandakan kerana hilang tumpuan dan perhatian. Sindrom MENONONG mengambil alih. Kayuh saja ikut orang di hadapan. Akibatnya, badan yang letih bertambah letih kerana terpaksa berpatah balik. Masa dan kederat terbuang sesia.

SELAMATKAN DIRI ANDA DARIPADA SINDROM MENONONG!!!
 

Walau bagaimana penat sekalipun berkayuh, ingat untuk sesekali memeriksa tandaan bagi memastikan anda berada di laluan yang betul. Perkataan SESAT atau salah jalan menambahkan keletihan dan meruntuhkan moral anda.

SEMOGA ANDA SENTIASA BERADA DI JALAN YANG BENAR!

Jamboree Sudah Maree - Bahagian Akhir

Ini adalah Bahagian akhir dari 3 bahagian dalam siri Jamboree Sudah Maree.  Satu usaha kecil untuk menerangkan perihal jamboree kepada pengayuh-pengayuh MTB.  Apa yang ternukil adalah pendapat dan pandangan peribadi Penulis.  Mungkin betul, mungkin salah.  Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. 


Bahagian 1 telah menyentuh tentang pengenalan kepada jamboree MTB.  Juga disorot sedikit panduan memilih jamboree yang mana satu untuk disertai.  Rujuk Jamboree Sudah Maree untuk artikel penuh.  Untuk bahagian 2, kita telah bincangkan tindakan-tindakan yang perlu untuk menyertai jamboree.  Boleh rujuk di sini untuk artikel penuh.

Untuk bahagian akhir, kita akan menyorot:-
  • Tindakan yang perlu diambil beberapa hari sebelum jamboree
  • Tindakan yang perlu diambil sehari sebelum jamboree (D-day - 1)
  • Tindakan yang perlu diambil pada hari jamboree
  • Pasca jamboree
Sayugia diingatkan, panduan yang saya turunkan di sini lebih sesuai untuk pengayuh-pengayuh biasa saja.  Jika anda pelumba handalan, mungkin sesetengahnya tidak sesuai.

SEMINGGU SEBELUM JAMBOREE

Sengaja saya letakkan seminggu sebelum jamboree untuk memudahkan penceritaan.  Kurang lebih dalam tempoh ini, tidak banyak yang perlu dilakukan.  Cuma perlu rajin-rajin menjengah ke blog/laman web penganjur untuk maklumat-maklumat terkini. Biasa terjadi perkara penting seperti penundaan tarikh jamboree, perubahan tempat permulaan dan seumpama berlaku.  Jadi, rajin-rajin perhatikan.  Sesekali, periksa juga basikal untuk memastikan basikal siap siaga untuk mengharungi cabaran menanti.

Perhatikan maklumat denai yang di pamerkan oleh penganjur.  Berapa jarak.  Berapa check-point.  Berapa feeding/water point.  Berapa pendakian dan seumpama.  Bila dan di mana cut off point.  Maklumat ini akan membantu anda merangka strategi semasa berkayuh. 

Perhatikan pengumuman untuk tarikh, masa dan tempat bagi penyerahan beg ole-ole (goodie bag).  Ambil catatan jika perlu.  Jika koordinat GPS diberikan, masukkan koordinat GPS bagi memudahkan pencarian tempat berkenaan.

Sesekali, periksa basikal.  Manalah tahu kot ada komponen yang meragam menjelang hampirnya acara.  Sempat la nak baiki.


SEHARI SEBELUM JAMBOREE (D-DAY - 1)


Beg Ole-ole (goodie bag)
Hari semakin mendekat.  Sudah sampai kepada sehari sebelum jamboree.  Perkara besar yang biasa berlaku ialah penyerahan beg ole-ole yang di dalamnya terdapat plet nombor penyertaan.  Kebanyakan penganjur mengedarkan beg bermula sehari sebelum acara.  Hanya Knight of The Round Table (KOTRT), penganjur Kayuh Lasak, yang memberikan beg ole-ole selepas kayuhan!


Anda boleh...
  • mengambil sendiri beg ole-ole anda
  • Pastikan anda mencatat nombor pendaftaran (biasanya terdapat dalam daftar peserta yang dipamerkan dalam laman web/blog penganjur.  Jangan lupa bawa bersama salinan borang pendaftaran dan slip bukti pembayaran.

  • mewakilkan orang lain untuk mengambil bagi pihak anda
  • Mewakilkan orang lain untuk mengambil biasa berlaku kepada orang yang tidak dapat hadir sendiri atau bila pendaftaran dibuat secara kumpulan atau sebab-sebab lain. Jika anda mewakilkan orang lain untuk mengambilnya, maklumkan nombor pendaftaran kepada wakil.  Juga serahkan salinan borang pendaftaran dan bukti pembayaran kepada wakil.  Tetapkan juga dengan wakil bila dan di mana anda akan mengambil beg daripadanya. Sebagai wakil yang dilantik pula, pastikan anda ada butiran lengkap mereka yang anda wakilkan.  Apabila mengambil beg ole-ole, semak untuk memastikan supaya semua  beg bagi orang yang anda wakilkan cukup lengkap dan sempurna.

Memasang Nombor Plet
Jika beg ole-ole sudah di tangan, luang sedikit masa untuk memasang nombor plet pada basikal.  Ini supaya anda tidak kelam kabut dan terkocoh-kacah pada hari acara.

Perjalanan
Jika tempat acara jauh dan memerlukan perjalanan awal, rancang perjalanan supaya selamat sampai dan pada masa yang sepatutnya.

Keselamatan Basikal
Sudah banyak kali berlaku kecurian basikal sewaktu jamboree dan perlumbaan.  Maklumlah, bila beramai begitu, kadang-kadang si tangan panjang tidak melepas peluang.  Tingkatkan tahap keselamatan untuk basikal anda.  Tambahkan perlindungan tambahan dan ambil langkah keselamatan.
  • Untuk yang menginap di hotel, bawa basikal ke bilik hotel.  Biasanya, hotel-hotel yang terlibat dengan jamboree, akan membenarkan basikal dibawa masuk ke bilik.  Ada juga hotel yang menyediakan tempat simpanan khas untuk basikal.  
  • Bagi yang menyimpan basikal di dalam kereta, kurangkan minat sang penyamun dengan tidak menampakkan basikal anda.  Tutuplah basikal supaya tidak kelihatan.
  • Bagi yang terpaksa (kalau boleh elakkan) meninggalkan basikal di rak, sama ada atas bumbung atau gantung belakang, usahalah untuk menambah kunci.  Rantaikan semua komponen kritikal - frame, set roda, fork.  Memang bukan jaminan seratus peratur, tetapi itu akan lebih menyukarkan sang penyamun melarikan harta kesayangan anda.
Isian Karbo (Carbo Loading)
Jamboree memerlukan banyak tenaga dibakar dan diperah.  Anda perlu sediakan bahanapi untuk dibakar keesokan harinya.  Untuk makan malam anda, makan makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi.  Elakkan makanan pedas supaya perut dan usus tidak memberontak selepas makan atau keesokan harinya.

Bekalan
Dapatkan bekalan untuk dibawa berkayuh.  Bekalan yang lazim ialah makanan/gel tenaga.  Snek yang boleh memberikan tenaga.  Minuman isotonik dan seumpama.  Bawa dalam jumlah yang bersesuaian.  Anda hendak pergi berkayuh, bukan pergi berkelah.

Taklimat
Satu perkara yang sering diremehkan oleh ramai peserta.  Taklimat biasa diberikan pada malam sebelum jamboree atau pada pagi jamboree, sebelum waktu berlepas.  Berikan perhatian pada taklimat.  Seringkali diperhatikan ramai yang tidak ambil pusing.  Akibatnya, terjebak kayuh berpusing-pusing.  Hilang arah tujuan sebab tidak pasti apa tandaan.  Sama ada kerana sistem pembesar suara yang kurang bagus sehingga apa yang diumumkan tidak berbutir, penyampai kurang persediaan atau sikap tidak ambil pusing peserta.  Diharapkan semua pihak berkenaan dapat ambil tindakan untuk mengatasi kekurangan semasa taklimat.

Perkara yang biasa disentuh:-
  • Jarak kayuhan
  • Check points
  • Tandaan laluan - cebisan kertas, riben hitam merah, papan tanda, semburan cat dan seumpama.  Ini sangat penting terutama jika laluan adalah laluan popular dan menjadi tumpuan penggiat aktiviti lain seperti hiking, larian dan seumpama.  Mungkin ada tandaan-tandaan lain yang boleh mengelirukan.  Pastikan anda tahu apa tandaan yang digunakan oleh penganjur.
  • Feeding point/water point.  Lokasi dan jarak akan dinyatakan.  Penting untuk diketahui supaya anda boleh merancang bekalan air/makanan sepanjang kayuhan.
  • Prosedur kecemasan dan nombor untuk dihubungi andai berlaku kecemasan.  Biasanya, di belakang plet jamboree dicetak dengan nombor untuk dihubungi bila kecemasan.
  • Batasan masa.  Biasa diberikan had batasan masa (cut off time) untuk check point tertentu.  Pastikan anda maklum dengan batasan masa supaya anda tidak diarahkan ke perkara seterusnya...laluan AYAM.
  • Laluan AYAM.  Satu istilah yang sangat sinonim dengan jamboree.  Laluan ayam ialah laluan  pintas untuk balik ke tempat permulaan.  Laluan ini dibuat untuk mereka yang tak lalu lagi untuk meneruskan jamboree atau mereka yang tidak berjaya memenuhi batasan masa yang ditetapkan.
  • Nombor kecemasan.  Biasanya nombor kecemasan akan dicetak di belakang nombor plet.
  • Syarat-syarat kelayakan untuk cabutan bertuah (jika ada).  Berapa pelekat diperlukan untuk layak menyertai cabutan bertuah. 
Siapkan Beg dan Peralatan
Malam sebelum tidur, siapkan beg dan peralatan.
  • Periksa basikal buat kali terakhir.  Minyakkan rantai jika perlu.  Angin tayar dipam secukupnya.
  • Pastikan peralatan cukup - tuas tayar, tiub gantian, pam, penymbung rantai, pemotong rantai dan tool pelbagai
  • Bladder beg/ botol air siap diisi.
  • Pakaian mengayuh siap tersedia - jersi, seluar, glove
  • Kasut dan stokin diletakkan berhampiran
  • Helmet
  • Handphone siap dicaj
  • Bateri untuk kamera dan GPS siap sedia termasuk bateri tambahan
  • Cermin mata untuk perlindungan jangan dilupa.
Jika kereta anda berada di tempat yang selamat, semua barang-barang di atas boleh dimasukkan siap-siap ke dalam kereta.  Besok pagi dah tak perlu terburu dan terkocoh-kacah.
  
    Pra-Lelap
    Sebelum mata ditutup, ingat-ingatkan laluan untuk ke tempat permulaan.  Masukkan koordinat GPS kalau ada.  Imbas-imbas kembali aturcara - jam berapa kena berada di sana.  Sarapan (jika ada) bermula jam berapa.  Taklimat bila dan masa berlepas.

    Jangan lupa gosok gigi dan basuh kaki sebelum tidur. Takut nanti terngigau pula.  Setkan penggera pada jam atau handphone.  Masa bangun perlu ambil kira masa bersiap, masa perjalanan termasuk sekali masa untuk bersarapan.  Dah sedia?  Baca basmalah dan doa' tidur.  Tidurlah...anda perlu rehat dan tidur yang cukup untuk berentap esok.

    Satu kebiasaan yang kurang sihat ialah melepak hingga ke dini hari malam sebelum jamboree.  Jangan diamalkan.  Mudarat diri.  

    HARI JAMBOREE (D-DAY)

    Sudah tiba masanya!  Jam/handphone berdering.  Anda bingkas menekan snooze..dan sambung tidur.  Alaaaa...sekejap saja.  Sekejap saja..Dan...jahanam sebab terbabas tidur.  Kan dah cakap jangan amal sembang sampai dinihari pada malam sebelum jamboree.  AMIK KAUUUUU!!!


    Bangun Awal
    Bila penggera berdering, bingkas bangun dan melompat dari katil.  Berlari dengan pantas dan deras ke bilik air.  Luangkan sedikit masa untuk meluangkan usus dan pundi kencing.  Gosok gigi, bersih diri.

    Bergantung kepada jarak tempat anda bermalam dengan tempat jamboree, anda mungkin boleh solat subuh sebelum bertolak ataupun jika perjalanan perlu awal, rancang untuk solat subuh di perjalanan.  Dan...satu peringatan untuk saya dan semua saudara muslim...solat subuh TIDAK BOLEH DIJAMAK ATAU DIQASAR.

    Punggah-memunggah
    Untuk yang belum memunggah barang keperluan dan basikal ke dalam kereta, ingat tadi kita sebut semua barang dan basikal diletakkan setempat?  Inilah masanya mendapat faedahnya.  Mudah saja mencapai semua barang untuk dimuatkan ke dalam kereta.  Kebarangkalian untuk barang tercicir dikurangkan.

    Bila sudah siap punggah masuk, semak sepintas untuk memastikan semua barang ada.  Masuk kereta, baca doa naik kenderaan dan majulah ke destinasi anda.

    Sarapan
    Makanan penting pembuka hari.  Aturkan supaya anda dapat bersarapan.  Kadang-kadang penganjur ada menyediakan sarapan.  Yang penting, pastikan anda ada bekalan bahan bakar buat bekalan untuk kayuhan nanti.

     Ketibaan   
    Bila sampai ke tempat jamboree, patuhi papan tanda dan arahan marshal dan petugas.  Parkir kereta molek-molek.  Jangan parkir sebarang sehingga terjejas laluan orang lain dan penduduk setempat.

    Bagi yang belum mengambil goodie, segera berbuat demikian.  Pasang nombor plet anda.  Periksa jika penganjur memerlukan anda untuk "check-in".  Jika ya, pastikan anda check-in.  Biasanya, satu sticker diberikan tanda telah check-in.

    Bilangan peserta jamboree yang mencecah ribuan orang sudah menjadi perkara biasa.  Oleh kerana tiada saringan kelayakan kedudukan peserta dalam kawasan menunggu bergantung kepada "siapa cepat dia dapat".  Kalau mahu kedudukan pole position, sila datang awal.  Hindarkan daripada cuba mengasak ke hadapan kalau datang lambat.  Hodoh perlakuan begitu!

    Taklimat
    Sebelum berlepas, biasanya penganjur akan memberikan taklimat berupa beberapa peringatan dan makluman-makluman terkini.  Sila beri perhatian terutama jika ada perubahan pada laluan.  Ini biasa berlaku disebabkan faktor cuaca dan sebagainya.  Rujuk para di atas untuk perincian.

    Berlepas!!!
    Dan masa yang ditunggupun tiba.  Berlepas!  Kayuhlah!!! Apa tunggu lagi???  Sambil berkayuh, elok juga diperhatikan adab-adab yang perlu diamalkan dan dipatuhi ketika di dalam denai.  Ini sesuatu yang masih lagi tampak kurang di kalangan pengayuh kita.  Jadi tolong baca, fahamkan dan amalkan untuk kebaikan dan keselesaan semua.  

    Adab dalam trail
    Bagaimana ribuan manusia dengan basikal masing-masing boleh mengharung laluan jamboree yang sempit?  Yang membezakan manusia dengan haiwan ialah ADAB.  Sayugia diingat, dalam ribuan peserta jamboree, terdapat berbagai peringkat kecerdasan dan kemahiran.  Sering juga diperhatikan, ada di antara peserta yang BELUM bersedia untuk ikut kayuhan jamboree.  Kemahiran asas dan persediaan jasmani belum mencukupi.  Untuk sahabat yang begini, saya nasihatkan bersabar dulu.  Biar cukup ilmu asas dan kaki cukup cerdas sebelum berhajat menyertai jamboree.  Maaf kalau pedas, tapi ini teguran ikhlas.  Atau setidaknyapun ambil tahu adab bila berada di dalam kayuhan.
    • Walau jamboree tidak bertumpu kepada perlumbaan, tidak bermakna anda tidak boleh laju.  Anda boleh memotong.  Seperti peraturan memandu, untuk memotong anda perlu beri isyarat dan memotong bila laluan mengizinkan.  Sama juga bila berbasikal.  Berikan isyarat bila hendak memotong.  Tujuannya supaya orang yang hendak dipotong maklum dan tidak terperanjat bila dipotong.  Maklum basikal ni kenderaan jenis "bisu" tanpa bunyi.  Maklumkan secara lisan "Potong di kanan".  Biasanya ramai yang cakap orang putih "Rider right".  Suka hatilah nak cakap bahasa apa asalkan orang yang hendak dipotong faham.
    • Walaupun jamboree ini lebih bersifat riadah dan santai, semasa berkayuh, hindarkan dari berkayuh beriringan.  Merbahaya kalau di jalan tar yang banyak kenderaan melainkan kalau yakin pasti sepenuh hati yang jalan memang tidak ada kenderaan bermotor lalu-lalang, buatlah... Tabiat kayuh bersaing sambil bersembang ala Cik Kiah ini boleh menyusahkan terutama apabila di laluan sempit.  Simpan-simpan la dulu sembang tu sampai kat check point atau waterpoint.
    • Laluan jamboree biasalah kalau berbagai kecerunan dan tahap teknikalnya.  Upaya pengayuh juga berbeza.  Kalau anda tidak upaya mengayuh mendaki bukit, jangan ingat semua pengayuh lain serupa.  Maka anda dengan senang hati menolak di bahagian tengah jalan.  Bila menurun juga begitu.  Perhatikan semasa anda menolak, adakah ada pengayuh di belakang yang masih upaya mengayuh.  BERI LALUAN!  Itu adab yang sepatutnya.  Tidak perlu mencebik sambil mengeluarkan kata "Ellleh...macam la terer sangat" dari mulut yang tidak bertapis.  Walau penganjur seringkali mengingatkan peserta supaya menolak basikal pada laluan sukar, masih ramai yang enggan dan tidak mempedulikan.  Jadi, tolong ambil perhatian.  Menolak di laluan sukar supaya line kayuhan terbuka untuk mereka yang masih upaya mengayuh.
    • Jika terpaksa berhenti semasa mengayuh, elakkan daripada berhenti di tengah laluan terutama pada laluan singletrack.  Usahakan untuk ke tepi sedapat mungkin.  Saya pernah terpaksa membrek mengejut sebab pengayuh di hadapan berhenti di tengah-tengah laluan, sedangkan bahagian sisi masih luas.  Berhentinya pula sekadar untuk menurunkan saddle.  Satu masalah biasa ialah pada tempat check-point atau water point.  Pengayuh berhenti sewenang hingga menutup laluan.  Perhatikan dan pastikan tempat anda berhenti supaya anda tidak menghalang jalan.  Jadi, ingatlah...mudahkan urusan orang lain, semoga urusan anda juga akan dipermudahkan.
    • Untuk pengayuh-pengayuh handalan pula, beradablah bila meminta laluan.  Kita tahu anda kuat.  Tidak perlu riak dan bongkak.  Sentiasa perhatikan keadaan pengayuh di hadapan dan siap siaga untuk sebarang kemungkinan.  Jika perlu memotong atau minta laluan, buatlah dengan adab sopan.  Tapi...tidak perlulah sampai turun dari basikal dan berjalan sambil membongkok dengan tangan diluruskan ke bawah sambil berkata "Tumpang lalu...tumpang lalu.".  Sopan sangatlah pulakkkkk.
    • Dalam acara yang ramai peserta begini, saling bantu-membantulah.  Bila berdepan laluan berhalangan, lubang, lopak dan seumpama, laung supaya mereka yang di belakang maklum dan bersedia untuk tindakan-tindakan keselamatan.  Sedikit laungan anda mungkin boleh menyelamatkan kawan-kawan pengayuh daripada terhumban dan kemalangan.  Sesuatu yang biasa dalam jamboree ialah berhadapan dengan halangan yang memerlukan basikal dipikul.  Halangan seperti longkang/carok yang dalam, cerun yang curam akan lebih mudah diatasi sekiranya pengayuh berpakat dan bekerjasama.  Kerja melepasi halangan lebih mudah jika rantaian manusia dibentuk untuk mengangkut basikal melepasi halangan berbanding dengan usaha berseorangan terhegeh dan terkial untuk melepasi halangan.
    Itulah sedikit sebanyak adab di dalam trail yang dapat saya kongsikan.  Senarainya mungkin panjang lagi.  Gunakan akal dan pertimbangan yang wajar dalam menangani situasi.  Maklum, bila dah penat dan oksigen kurang sampai ke otak, kadang kita mudah hilang pertimbangan.   

    Kayuh dan terus kayuh!
    Kayuh dan terus kayuh hingga sampai ke garisan penamat atau terpaksa akur untuk mengikut laluan AYAM atau naik lori AYAM.  Mengalah bukan kalah.  Anda harus bersikap wajar dan adil kepada diri sendiri.

    TAMMAT
    Satu nikmat dan lega yang amat bila berjaya melintasi garisan penamat.  Terasa semua penat jerih berbayar sudah.  Peluh dan keringat yang tumpah jadi saksi!

    Biasanya ketibaan anda akan disambut di garisan penamat.  Ikut nasib la...Kadang ada gadis manis mengalungkan medal di tengkuk anda.  Kadang ada Makcik Kiah, kadang ada abang misai.  Tak kisahlah tu...

    Biasanya penganjur menyediakan makanan.  Sama ada siap berbungkus atau hidangan secara buffet.  Anda letih dan lapar.  Makanlah, anada berhak.  Cuma jangan ceduk dan senduk semahu nafsu.  Ingat juga bahagian orang lain.

    Barang diingat yang makanan disediakan untuk peserta.  Tidak termasuk suami/isteri anak beranak sanak saudara yang ikut serta ke jamboree tapi bukan peserta.  Mereka tidak berhak untuk ikut menjamah jamuan yang disediakan.  Jangan ambil barang yang bukan hak dan menafikan pula hak orang lain.

    Antara tarikan acara jamboree ini ialah cabutan bertuah.  Barangan agak lumayan.  Daripada peralatan berkayuh, aksesori basikal, alat gantian hinggalah ke basikal lengkap.  Siap sedia dengan nombor plet anda.  Nombor anda boleh dipanggil bila-bila masa.  Semoga anda bertuah.

    Tamat acara cabutan bertuah, tamatlah sudah satu jamboree.  Akan tercatat dan terpahat berbagai kisah dan pengalaman suka duka.  Jumpa lagi di lain jamboree.

    PASCA JAMBOREE

    Rumah siap pahat berbunyi.  Sudah jadi resam biasa.  Sementelah ada perantara elektronik canggih-manggih dunia moden ini, lebih mudah untuk melontar rasa, menghimbau bicara.  Laman web, chat box dan blog akan bercerita perihal jamboree yang baru berlalu.

    Bermacam komen tersiar tersebar.  Yang kata bagus, yang merungut tak bagus bercampur baur.  Maklumbalas perlu untuk memberitahu kepada penganjur tahap penganjuran mereka.  Berikan komen jujur.  Dan berpada dalam memberi komen.  Tidak perlu maki hamun sampai benda-benda di dalam kain disebut.  Bersikap objektif bila memberikan komen.  Hindarkan dari memberikan komen seperti "Penganjur macam t**i.  Tau nak untung saja".  Komen sedemikian tidak memberikan apa-apa faedah melainkan sekadar melampiaskan angin marah sahaja.  Sebaliknya nyatakan, misalnya "Tandaan kurang jelas".  "Bekalan air tidak mencukupi".  "Goodie beg tidak lengkap".  "T-shirt/jersi tidak bermutu.  Sekali pakai sudah luntur warna".

    Dan suka saya mencadangkan, kiranya ada kesempatan, cuba anda sendiri menjadi penganjur.  Kalau tidak penganjurpun, cuba ikut jadi petugas semasa jamboree.  Cuba untuk berada di sebelah sana sekali sekala supaya anda boleh merasa sendiri dan lebih memahami bagaimana rasanya berada di sebelah sana.

    Sekian, nukilan untuk kali ini.  Semoga bermanfaat untuk semua dan menjadi panduan berguna.  Sebarang komen dan teguran dialukan.  

    Tuesday, November 27, 2012

    Tampal Tiub : Satu Seni Yang Semakin Dilupakan


    AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.

    Dulu, kalau tiub basikal bocor, akan ditampal saja.  Seingat saya, sekitar tahun 80-an, kos tampalan hanyalah 50 sen.  Itupun sudah dikira mahal pada masa itu.  Bila meningkat remaja, kerja menampal tiub itu dibuat sendiri.  Lagi cepat dan jimat.  Tidak perlu bersusah payah menyorong basikal ke kedai basikal.

    Bila saya kembali berbasikal sekitar 2006, saya perhatikan kerja menampal tiub ini sangat jarang dibuat.  Tiub yang bocor diganti sahaja.  Mungkin kerana sekarang zaman senang, zaman mewah maka tidak perlu bersusah payah.  Bukan setakat itu sahaja, bahan untuk menampal tiub juga susah didapati.  Jenuh saya mencari merata kedai tidak berjumpa.


    Sayang sekali bila melihat tiub yang bocor terbuang begitu saja.  Sedangkan dengan tampalan, ia boleh digunakan semula.  Jimat dan mesra alam.  Kebanyakan kedai memang keberatan untuk menampal tiub kerana kerjanya yang renyah dan memakan tetapi masyuknya tidak setimpal.  Kedai lebih senang menyarankan supaya ditukar saja tiub yang bocor.  Cepat, mudah dan masyukkkk.

    Pengalaman peribadi membuktikan kemahiran menampal tiub dan kesediaan membawa kelengkapan menampal tiub sangat membnatu menyelamatkan keadaan bila berlaku lebih daripada satu kebocoran dalam satu kayuhan.  Saya sangat mengesyorkan supaya anda semua dapatkan dan bawalah kelengkapan menampal tiub dan pelajarilah kemahiran menampal tiub.    

    Saya akan cuba menyingkap kembali bagaimana cara menampal tiub, satu seni yang semakin dilupakan.  Semoga selepas ini, makin ramai yang akan menampal dan menggunakan semula tiub yang bocor.  Lagipun, kemahiran ini sangat berguna terutama bagi mereka yang sering berkayuh di dalam rimba.  Memang, biasanya tiub gantian akan dibawa sebagai awasan tetapi, bolehkah dijamin yang tiub akan bocor sekali sahaja sepanjang kayuhan?

    Tampalan tidak memerlukan banyak barangan di bawa untuk melakukannya.  Hanya sedikit ruang tambahan diperlukan untuk beberapa keping penampal, gam dan kertas pasir.
       
    Panduan ini akan menunjukkan cara-cara menampal tiub yang bocor bagi kaedah tampalan di rumah dan tampalan ketika berkayuh.  Semoga bermanfaat.


    ...SEBELUM MEMULAKAN
    Panduan ini tertumpu kepada tampalan tiub sahaja.  Saya tidak akan masukkan cara-cara membuka dan memasang tayar ke roda.

    Sebelum tiub boleh ditampal, keluarkan tiub dari roda.


    ALATAN YANG DIPERLUKAN
    Alatan yang diperlukan untuk kerja-kerja menampal tiub bocor.
    • pam
    • penampal
    • gam
    • kertas pasir
    • besen/baldi


    CARA-CARA MEMBUKA DAN MEMASANG SEMANGGANG
    Langkah Tindakan
    1
    Pam tiub yang bocor sehingga tegang.

    Kalau angin tidak kekal di dalam tiub, bermakna bocor mungkin besar atau sambungan tiub dengan injap sudah rabak.  Tiub sebegini tidak lagi boleh ditampal.  Anda terpaksa mengganti tiub baru.

    Jika tiub tidak rabak dan pembaikan dilakukan di rumah, terus ke langkah seterusnya.

    Jika pembaikan di dalam denai, maju ke langkah 3.


    2
    Untuk kaedah di rumah, isikan air ke dalam besen/ baldi sedalam kira-kira 6 inci (15sm).




    Mulakan dari bahagian injap, rendam hingga tenggelam tiub ke dalam air sepenuhnya.

    Perhatikan sekiranya ada buih di dalam air.

    Anjak tiub supaya bahagian bahagian lain pula tenggelam di dalam air.  Perhatikan buih udara.  Ulang sehingga semua bahagian tiub terendam dalam air dan kebocoran dapat dikenalpasti. 

    Kenalpasti tempat yang bocor.

    Gelembung buih pada tempat bocor
    Terus ke langkah 5.

    3

    Untuk tampalan di dalam denai, buka sarung tangan (jika dipakai).

    Genggam tiub pada bahagian injap dengan genggaman lembut.  Gerakkan genggaman ke seluruh bahagian tiub dengan perlahan.

    Sambil genggaman digerakkan, rasakan hembusan angin pada tangan.  Jika ada bunyi desiran dan terasa hembusan pada tangan, titiskan sedikit air pada tempat tersebut atau gunakan air liur.

    Akan ada gelembung udara pada tempat tersebut.  Itu adalah tempat bocor.

    Ulang sehingga seluruh tiub diperiksa dan tempat bocor dikenalpasti. 
    4
    Gunakan jari telunjuk untuk menanda lubang yang bocor.  Ini perlu kerana biasanya lubang halus dan susah untuk dilihat dengan mata kasar.

    Lubang halus saja.  Kadang-kadang tidak kelihatan dengan mata kasar

    5
    Genggam tangan membentuk penumbuk dan balutkan tiub pada penumbuk.  Lubang bocor berada di tengah pada bahagian belakang tapak tangan.
    6

    Gunakan kertas pasir untuk meggosok bahagian sekitar lubang.  Kawasan gosokan berbentuk segiempat tepat dengan dimensi 2 x 1 inci.



    7

    Bersihkan kawasan gosokan daripada habuk getah dengan menyapu atau meniup.


    8
    Sapukan gam pada kawasan gosokan dengan lapisan gam yang nipis dan rata.
    9


    Biarkan sebentar sekitar 5 minit untuk gam mengering.
    10
    Koyakkan kepingan penampal daripada lapisan pelindung.
    11
    Tampalkan penampal pada kawasan gam dengan memastikan lubang berada di tengah-tengah tampalan.  Tekan biar penampal melekat rata..
    12
    Picit penampal dengan ibu jari untuk memastikan lekatan yang elok dan menyeluruh.


    Kalau ada alat ragum (vice) kepitkan bahagian yang ditampal dengan ragum.


    Biarkan 5 ke 10 minit untuk tampalan melekat dengan baik.
    13
    Bila tampalan sudah melekat dengan elok, pam tiub sehingga kembung dan menegang.  Rendam bahagian yang ditampal kedalam air.  Periksa sama ada gelembung udara masih keluar.  Jika tiada gelembung yang keluar bermakna tampalan sudah berjaya.  Tiub boleh digunakan semula.

    Saturday, October 13, 2012

    Bagaimana Membuka Dan Memasang Fork


    AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.
    Sesetengah gambar di dalam makalah ini diguna tanpa izin. Kalau empunya hakcipta merasakan saya tidak patut gunakan gambar-gambar tersebut, sila maklumkan.
    Some of the pictures used in this article are used without permission. If the copyright owner feel offended by this, please contact me so that I can remove it.

    Di utara ia dipanggil SEMANGGANG. Di sebelah tengah dan selatan, ia dipanggil SEPIT UDANG. Di sebelah pantai timur, tak tau la pulak saya. Dipanggil fork kot? Kali ini kita akan berkongsi cara-cara bagaimana menyalin semanggang. Membuka yang lama dan memasang yang baru. Dua tatacara dalam satu.

    Panduan ini akan menunjukkan cara-cara bagaimana menukarkan semanggang. Ia akan dipecah dua. Pertama, cara-cara membuka. Kedua, cara-cara memasang. Pelarasan dan penalaan tidak termasuk dalam cerita ini.


    ...SEBELUM MEMULAKAN
    Sekiranya semanggang yang akan dipasang adalah semanggang terpakai dan steerer tubenya sudah berpotong, pastikan panjang steerer cukup untuk dimasukkan ke basikal anda.


    ALATAN YANG DIPERLUKAN
    Sebelum ditunjukkan cara-cara, kita tengok dulu apa alatan yang diperlukan untuk kerja-kerja membuka dan memasang semanggang.
    • allen key
    • tukul getah (rubber mallet)
    • gris
    • sawing guide
    • gergaji besi
    • kikir
    • pemotong kabel


    CARA-CARA MEMBUKA DAN MEMASANG SEMANGGANG
    Langkah Tindakan
    1
    Buka top cap pada penutup steerer.


    2
    Longgarkan bol yang megikat stem. Bila sudah cukup longgar, cabut stem bersama dengan bar hendal dan kaum kerabatnya daripada steerer.

    3

    Buka brek depan. Perhatikan kabel/hos brek. Jika ada bahagian yang diikat pada semanggang, bukakan. Sekiranya ada meter kelajuan jenis wayar, tanggalkan juga daripada kaki semanggang.
    4
    Cabut stem daripada tiub steerer bersekali dengan bar hendal.  Bar hendal tidak perlu diceraikan daripada stem.
    5

    Keluarkan spacer.

    6

    Keluarkan seal dan compression ring set kepala.

    7
    Cabut semanggang daripada basikal.

    Selesailah kerja membuka semanggang daripada basikal.  Teruskan ke langkah seterusnya sekiranya anda ingin memasang semanggang.

    8
    Keluarkan crown race daripada semanggang yang dicabut.


    Abaikan langkah ini jika anda ada crown race lain.


    Nota :  Crown race di dalam illustrasi adalah jenis "terputus".  Mudah saja mengeluarkannya.  Untuk yang jenis bulat, mengeluarkan crown race mungkin agak sedikit mencabar kerana crown race jenis bulat melekat kuat pada crown.
    9
    Pasang crown race ke semanggang baru.
    Minyakkan crown race dengan sedikit minyak gris.

    Untuk memudahkan kerja, pasang tayar depan pada semanggang baru.

    Nota :  Crown race di dalam illustrasi adalah jenis "terputus".  Mudah saja memasangnya.  Untuk yang jenis bulat, memasang crown race agak lebih  mencabar kerana crown race perlu diketuk masuk sehingga rapat pada crown.
    10

    Masukkan semanggang baru ke basikal.  Jolok tiub steerer dari bawah melalui lubang pada set kepala hingga tembus ke atas.


    Pastikan kemasukan sempurna dengan crown race masuk rapat dengan set kepala seperti di gambar kanan.
    11
    Pasangkan kembali compression ring dan top seal set kepala. 

    Nota : Pastikan compression ring dimasukkan dengan sempurna ke celahan di antara tiub steerer dan bearing.

    12

    Pasangkan kembali spacer.

    Nota : bilangan spacer yang hendak dipasang bergantung kepada tinggi mana stem yang anda kehendaki.  Pemasangan spacer adalah mengikut pilihan dan selera anda.
    13
    Pasangkan kembali stem berserta dengan bar hendal.
    14

    Tandakan aras atas stem dengan menggunakan pen marker atau yang seumpama.

    Cabut stem selepas penandaan dibuat.




    15
    Berpandukan tandaan tadi, buat satu lagi tandaan kira-kira 5mm di bawah tandaan pertama.  Tandaan kedua ini akan menjadi panduan untuk memotong tiub steerer.
    16

    Berpandukan tandaan kedua tadi, pasangkan "sawing guide" supaya tempat gergaji setentang dengan tandaan kedua.

    17

    Gergaji tiub steerer menggunakan gergaji besi.


    Nota :  Apabila hampir putus, teruskan menggergaji dengan cermat dan elakkan daripada mematahkan tiub steerer untuk mendapatkan pemotongan yang rata.

    Tiub steerer siap dipotong
     
    18
    Gunakan kikir untuk melicinkan permukaan yang dipotong tadi.
    19
    Pasang star-nut.  Bol di dalam gambar bukan bol yang akan digunakan untuk mengunci top cap.  Ketuk pada bol supaya ketukan sekata dan star-nut masuk dengan sekata ke dalam lubang tiub steerer.  Ketuk sehingga kelopak atas star-nut berada kira-kira 5mm di dalam tiub steerer.
     
    20

    Pasang kembali stem dan bar hendal pada tiub steerer.  Laraskan supaya stem selari dengan tiub atas.
    21

    Pasang top cap.  Ketatkan bol pengikat sehingga terasa rintangan.  Angkat bahagian depan dan periksa pergerakan steering supaya tidak terlalu longgar atau tidak terlalu ketat.  Ketatkan atau longgarkan bol untuk mendapatkan pergerakan steering yang paling sedap.
    22

    Ketatkan bol pengikat stem.  Ketatkan bergilir-gilir bol atas dan bol bawah untuk mendapat cekaman yang kemas.
    23

    Pasang brek depan.

    Selesai kerja-kerja pemindahan semanggang. 

    Semanggang ada remote lockout?  Kalau ada, teruskan dengan langkah seterusnya.  Kalau tidak, tunggu apa lagi, pergilah pandu uji semanggang baru.  Eh...nanti dulu, semanggang perlu disetup sebelum digunakan.  Bab setup tidak termasuk dalam panduan ini.  Jumpa lagi dalam siaran lain berkenaan setup dan penalaan semanggang.
    24


    Pasang tuas remote lockout.

    Pasang tuas di bar hendal sebelah yang ada tuas lockout pada semanggang.  Kalau nak sebelah lainpun boleh.  Awak punya sukalah.  Basikal awak.
    25


    Potong housing kabel untuk kabel remote lockout.
    26


    Buka penutup tuas lockout pada semanggang.
    27


    Longgarkan bol pengikat (A).  Masukkan kabel melalui lubang pada (B).

    Pastikan tuas remote dilepaskan.  Tarik kabel dan kuncikan kabel dengan mengetatkan bol (A). 
    28

    Pasang balik penutup tuas lockout pada semanggang.

    SELESAI!!!