Thursday, November 11, 2010

Rakap

D i mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di mana pengayuh MTB berpijak? Pada RAKAPlah. Apa? Tak pernah dengar? RAKAP tu pedal ikut sebutan orang utara. Untuk posting kali ini, mai semua pakat guna istilah RAKAP untuk pedal. Jangan marah noooooo...

Bang Chik Kelolo akan cuba bercerita, berceloteh tentang sifat-sifat rakap, jenis-jenis rakap yang biasa dipakai untuk MTB. Rakap ni tempat kita berpijak. Ada macam-macam jenis bergantung kepada jenis kayuhan. Eloklah dikenali rakap ini dengan lebih dekat supaya rakap yang dipilih sesuai dengan kegunaan dan bentuk kayuhan.


ANATOMI SEBUAH RAKAP



Secara amnya, sebuah rakap akan ada satu pangsi dan badan utama. Dari situ dikembangkan lagi rekabentuk kepada badan utama dan plet luar terpisah. Pada hujung pangsi ada umpar (spindle) yang berbebenang. Umpar untuk rakap dewasa diberi piawai saiz 9/16inci dengan bebenang 20TPI (thread per inch). Umpar ini akan disekerukan ke lubang pada lengan engkol. Bebenang pada umpar ini berbeza untuk rakap kiri dan kanan. Pada umpar kanan, alur bebenang mengikut putaran jam, manakala di sebelah kiri mengikut arah lawan jam. Bebenang kiri direka sedemikian bagi mengelakkan rakap lama-kelamaan melonggar disebabkan oleh precession. (putaran melonggar secara perlahan)

Untuk melincirkan putaran rakap, bebola (sama ada bebola butir atau bebola kedap) yang dilumur gris digunakan.

JENIS-JENIS RAKAP

Jenis rakap terbahagi kepada:-

  • Platform biasa
  • Platform "ganaz"
  • Sangkar
  • Berklip
  • Campur-campur rojak.

Platform Biasa

Rakap platform biasa

Jenis yang paling umum. Rakap peringkat permulaan. Permukaan pemijaknya rata. Ada yang dibuat dalam dua bahagian.  Bingkai luar dalam bentuk kepingan dan biasanya dibuat bergerigi untuk memberikan cengkaman. Ada juga yang dibuat seketul.  Yang kompak padat dibuat kecil daripada saiz biasa untuk mengurangkan berat. Bahan platform biasanya daripada besi, aluminum atau plastik. Rekabentuk asas dan mudah. Kelemahan utama rakap jenis ini ialah kehilangan cengkaman bila disalut selut dan lumpur. Pijakan mudah tergelincir.  Sesuai digunakan untuk belajar berkenalan dengan MTB, dalam cuaca kering dan untuk kayuhan atas tarmac.  

Platform "Ganaz"

Rakap platform ganas. Badan nampak tegap sasa dengan pin penambah cengkaman terjulur

Rakap platform biasa yang dimajukan. Badan disekalikan dengan tapak pemijak luar. Nampak seketul setongkol dan lebih berotot berbanding dengan platform biasa yang nampak terpisah daripada badan tengah dengan permukaan pemijak luar. Biasa diperbuat daripada aluminum atau magnesium. Lebih ringan daripada besi, lebih kuat daripada plastik. Untuk mengatasi masalah hilang cengkaman dalam selut dan lumpur, permukaan pemijak dipasang dengan pin. Pin akan melekat pada tapak kasut dan "memaku" kasut pada rakap bila dipijak memberikan pengayuh lekapan lebih mantap pada rakap. Namun, ada pulak bahayanya. Pin itu "buta" dan gemar memaku betis atau keting kalau tersalah langkah.

Rakap ini juga digunapakai kebanyakan pengayuh MTB terutama untuk disiplin lompatan (dirt jump), kayuh bebas (free ride) dan terjun bukit (downhill).


Sangkar

Serkup untuk memegang kasut dipasang pada rakap platform biasa.

Dalam bahasa Inggeris, sangkar ini disebut "TOE CLIP" atau "CAGE". Saya memandai terjemah ke "SANGKAR" sebab rupanya yang seakan sangkar. Ada juga kawan-kawan yang menyebut serkup mulut anjing kerana rupanya yang begitu.  Bentuk asasnya sebenarnya hanyalah rakap biasa tetapi dipasang sangkar tambahan.  Kasut pengayuh akan diserlumkan ke dalam sangkar dan sangkar akan memegang kasut daripada tergelincir.  Kaki pengayuh akan tersangkut pada rakap sepanjang masa.  Satu kelebihan yang nyata ialah tambahan prestasi kayuhan bila kayuhan belakang juga memberikan sedikit kuasa kerana kaki terlekat pada rakap.

Lecehnya memakai rakap jenis ini ialah pengayuh kena membiasakan diri memasukkan kasut ke dalam sangkar.  Sesuatu yang agak sukar dan melecehkan.  Pengayuh juga kena ingat untuk mencabut kasut daripada sangkar bila berhenti.  Kalau terlupa, boleh dapat hidangan jamuan tanah percuma.  Lagi perit kalau terjatuh atas tar atau batu.  Satu lagi kelecehan ialah, sangkarnya terletak pada satu permukaan sahaja.  Kalau anda malas menyarungkan kasut ke sangkar, sangkar itu akan bersagat dengan tanah.

Rakap jenis ini kurang popular di kalangan MTB dan jarang-jarang kelihatan.  Lebih banyak dipakai oleh basikal kembara (touring) dan basikal prewel mati (fixie).


Rakap Berklip

ATAC Z...Rakap berklip dengan platform dari Time.

Dari Shimano Pedaling Dynamic - Rakap XT M-770.

Ini bab yang agak sukar dan mencabar.  Lebih sukar dan mencabar dari berkayuh naik ke puncak helipad di Bukit Steroid, FRIM.  Macam mana nak terjemah "clipless pedal"?  Istilah bahasa inggeris itu sendiri mengelirukan.  Macam mana rakap dikatakan "tanpa klip"  sedangkan bila berkayuh mereka menyebut "clip in".  How do you clip in when it is clipless???  [sekali aku cakap orang putih daaaa....]. Pelik sungguh perlakuan orang Inggeris ni.  Disebabkan kecelaruan ini, saya menggunakan kuasa yang ada pada saya untuk menggunakan istilah "rakap berklip" untuk clipless pedal.  Ha..lantak kamu, janji orang faham.  Dan sayugia diingatkan istilah berklip di sini tidak sama sekali bermaksud berkelip macam lampu lip lap rumah mami masa raya tu.

Baik,  dah selesai persoalan istilah.  Kita terus ke bab rakap berklip itu sendiri.  Rekaan rakap ini memang jauh berbeza dengan rekaan rakap yang dibincangkan di atas.  Rupanya agak futuristik.  Bentuk platform tidak jelas kelihatan.  Sekali pandang macam kapal angkasa dalam cerita sains fiksyen.

Umumnya, pada rekaan rakap jenis ini akan nampak terjulur spring pada permukaannya.  Sama ada 2 spring, satu pada setiap permukaan, atau 4 spring.  rekaan 2 spring ini terdapat pada rakap Shimano SPD, Time, Atomlab dan beberapa pengeluar lain.  Crank Brothers tampil dengan rekaan 4 spring.  Sama ada 2 atau 4 spring, fungsinya sama, guna untuk menangkap kelit (cleat).  Kelit adalah alat  yang berupa plet kecil dalam bentuk khusus yang akan melekat pada spring pada rakap.  Kelit dipasang pada tapak kasut khas untuk rakap berklip.  Dan mujurlah pengeluar telah sepakat dengan satu piawai untuk lubang pada tapak kasut untuk memasang kelit.

Setakat hari ini, rakap rekaan inilah yang dikatakan paling cekap.  Dikatakan prestasi berkayuh dan mendaki boleh meningkat dalam lingkungan 10% hingga 20%.  Ini terhasil melalui daya tujahan semasa kayuhan belakang (back pedal).  Kalau kaki tak melekat pada rakap, kayuhan belakang tidak menghasilkan daya.  Sebaliknya, masih ada daya kayuhan pada angkatan kaki bila kaki melekap pada rakap.

Faedah kedua ialah menghilangkan kerunsingan kaki tergeleceh ketika sedap enak lazat melayan terjunan bukit, bahagian bergegar dan berbonggol.


Kelit untuk rakap Time
Akan tetapi...(bila keluar perkataan yang rasa tak berapa sedap ni), ada beberapa kelemahan juga pada rakap berklip ini...antaranya:-

  • mahal.  Secara bandingan, kategori rakap ini adalah yang termahal di antara semua jenis rakap.
  • perlukan kasut khusus.  Anda tak boleh sesuka hati menyarungkan kasut futsal, kasut jogging untuk berkayuh menggunakan rakap ini.  Kasut mesti menggunakan kasut untuk rakap berklip.  Juga kurang sesuai untuk berkayuh dengan selipar atau sandal jika ingin berkayuh untuk ke kedai dekat rumah dan sebagainya.
  • Tidak mudah pindah tukar.  Kalau anda ada lebih dari satu basikal, anda perlukan lebih daripada sepasang kasut.  Melainkan kalau anda pasang rakap jenis kelit yang sama pada semua basikal.
  • jatuh bodoh.  Ini biasa berlaku bila kaki tidak sempat melepaskan rakap bila berhenti.  Jatuh bodoh ini sesungguhnya memanglah terserlah kebodohannya.  Sering berlaku pada mereka yang baru menggunakan rakap berklip.  Sesekali juga berlaku pada orang lama terutama ketika berhadapan dengan denai teknikal.  Kaki tak sempat dilepaskan daripada rakap.  Dan jadilah aksi stunt gerakan "pokok tumbang".     

Memang peringkat awal menggunakan rakap berklip ini, anda akan dihantui cabaran melekatkan kasut pada klip dan "jatuh bodo".  Peringkat awal, anda akan terdorong untuk melihat rakap untuk melekatkannya.  Tergagau dan terkial pada peringkat awal itu biasa.  Satu lagi igauan rakap berklip ialah "jatuh bodo".  Setakat empat lima kali itu dikira biasa saja dan sebahagian dari latihan dan proses pembiasaan.  Anda perlu seringkali mengingatkan diri anda supaya menari "twist" untuk menanggalkan kaki dari rakap. 

Apabila sudah mahir,  gerakan putaran kaki itu tidak lagi menjadi sesuatu yang perlu diingatkan.  kaki seolah ada memori sendiri dan dengan sendiri akan memutarkan diri untuk membebaskan dari lekatan pada rakap secara mudah, cepat dan bersahaja.


Campur-campur rojak

Macam makan kat kedai mamak pulak.  Yang bercampurnya ialah sifat dan ciri.  Campuran yang lazim ialah rakap platform dengan rakap berkelip. Satu permukaan pada rakap dipasang klip, manakala satu lagi dikekalkan rupa platform.  Rakap dibuat demikian kononnya untuk membantu mereka yang baru nak berjinak dengan rakap berklip.  Entah berkesan entah tidak sebab beberapa pengayuh yang saya perhatikan menggunakan rakap jenis ini lebih cenderung untuk tidak klip.

Itulah sedikit sebanyak celoteh BC KeLoLo pasal rakap MTB.  Tak ada kena mengena dengan basikal road mahupun basikal roada tiga.  Rakap mana yang terbaik?  Tepuk peha tanya kaki.  Anda harus pilih sendiri.  Pilihan ikut kesesuaian dan disiplin kayuhan...Selamat merakap.

3 comments:

akmalhizam said...

Tak berani nak gunakan toeclips/sangkar, tapi tengok BC gunakan macam second nature aje.

Nama 'clipless' bersusur galur dari 'toeclips' (sangkar). Bila depa reka rakap tanpa toeclips, maka dah jadi tanpa 'clips' = clipless.

BC Kelolo said...

Memang masa mula-mula mengelip, jatuh bodo tu jadi "makanan ruji". Ambik masa jugak untuk membiasakan diri. Bila dah serasi, tak sedap kayuh kalau tak klip.

Klip memaksa kita memperbaiki imbangan dan kendalian. Juga memberikan tambahan "kuasa" masa mendaki...

Unknown said...

Salam sejahtera Moha Haris Khalim & juga semua readers...Minta advice kasut yg sesuai utk flatpedals.Rasanya selamat ke pakai kasut sukan biasa.