Monday, April 18, 2011

Harapan Seorang Kawan...

M elagang roda bukan satu kerja mudah. Satu kerja yang perlu ketelitian, ketekunan, kehalusan dan kesabaran. Salah adun, salah anyam roda jadi gelong, jadi lonjong. Kalau pasang di basikal, boleh terasa enjut-enjut macam tarian poco-poco. Panjang pulak mukaddimah aku...Ni baru separuh ni. Sambung lagi...Aku pernah la pasang set roda dua tiga set sebelum ini. Jujur dan ikhlas aku cakap,aku sendiri belum berpuas hati tahap ketrampilan aku dalam bidang melagang set roda ini. Jenuh dan terkial nak siapkan satu roda. Berapa kali terbabas, tersalah masuk lubang jejari. Buka semula. Pasang balik. Naik jelak...Tapi, aku gagahkan juga. Dan...aku tak berani lagi nak sorongkan pipi untuk membuat set roda untuk orang lain...

Datang kawan aku si Pian. Dia ni tinggal nun di Penang nun. Di atas pulau tu, ada banyak kedai basikal dengan mekanik yang hebat-hebat. Tak cukup di pulau, di Seberang Perai tu, banyak juga kedai basikal yang juga hebat-hebat. Tak mau dia suruh depa buatkan set roda untuk dia. Tak mau...Tak tau apa pasal. Tak semena-mena dia datang kat aku...datang membawa harapan...

Dua ketul harapan yang dibawa...Hope Pro II.

Aku jadi gementar...Tak berani aku memikul harapan yang dibawa. Terlalu berat untuk aku letakkan harapan itu di atas batu jemala aku. Tangan dan jari-jemari aku masih keras kaku dalam seni melagang dan menganyam roda. Aku cuba menolak secara halus dan sopan, namun dia tetap dengan harapannya. Sehingga dia membuat perakuan yang apa saja hasil kerja tangan aku, dia akan terima tanpa soal bicara dan aku diberi luang masa sesuka hati aku untuk mengerjakannya...barulah aku sanggup menjunjung harapan itu. Berattttt...

Dua ketul harapan dihantar keribaan aku. Hope Pro II depan dan belakang. Warna GunMetal. Ketikan bunyi ratchet freehub body menggetarkan sukma. Membuat mata susah mau terpejam dan terlena.

Harapan dipasangkan dengan roda dari ZTR. Pian yang sudah semakin lasak lagi ganas memilih Crest untuk digandingkan dengan Hope Pro II. Satu gandingan yang ringan tapi lasak memadai untuk kayuhan XC-Trail dia. Rim ZTR Crest diperolehi daripada Greasebike.

Hub sudah ada, roda sudah ada, jari jemari belum. Aku luangkan satu petang untuk mencari jejari yang sesuai. Ukuran panjang jejari sudah diberikan. Untuk hub depan 262mm kiri dan kanan. Untuk belakang, 262mm kiri dan 258mm kanan. Aku sudahkan pencarian di Kedai Basikal R.N. Samy, Batu Caves sahaja. Tak berapa rajin untuk aku menjelajah ke kedai lain di Lembah Kelang. Jejari DT Swiss tak pasti model mana, warna hitam diangkut pulang. Kos meminang RM2.50 sebatang termasuk puting.

Bahan-bahan untuk diadun menjadi segunung harapan...

Roda ZTR Crest
  • Saiz : 26" x 24.4mm
  • Lubang : # 32
  • Berat : 340g
  • ISO : 559 x 21
  • ERD : 541
  • Lebar pita : 21 atau 25mm

Jejari dari DT Swiss. 48x261mm + 16x258mm.

Buku resipi aku...
Ramuan sudah siap. Aku tambah gementar. Ramuan santapan diraja nih. Mana mungkin aku, tukang masak picisan boleh mengadun, menumis, menggulai santapan diraja. Bahan disusun di atas meja. Moga dengan melihat susunan bahan akan tercetus ilham, tergamit keyakinan dan keberanian untuk memulakan kerja. Lazim tukang masak picisan akan terpaksa merujuk resipi untuk memasak. Aku keluarkan nota lakaran kasar aku bagaimana melagang roda. Aku amati betul-betul biar khatam. Kemudian tarik nafas dalam-dalam, dengan lafaz Bismillah...jejari pertama masuk ke lubang di hub. Dimulakan dengan hub depan kerana dirasakan lebih mudah. Jejari sama panjang kiri dan kanan. Jejari dimasukkan ke lubang di hub berselang seli. Atas, bawah, atas, bawah...
Menjolok jejari ke lubang roda. Berlapik kusyen tuuuu...

Selesai jejari dimasukkan ke hub, tiba masa memasukkan jejari ke lubang di roda. Tiga jejari pertama adalah kritikal. Dua jejari harus di halakan supaya lubang injap berada di antaranya. Kalau tersalah, jejari akan bersilang di atas lubang injap. Susah untuk kerja mengepam nanti. Berpandukan nota, kerja melagang jejari dimulakan.

Format lagangan ialah silang 3 (3 cross) untuk 32 jejari. Dipanggil 3 cross sebab setiap jejari merentas batang jejari lain. Memasukkan jejari ke lubang roda peringkat awal memang mudah. Jolok saja jejari hingga terjulur keluar dari lubang, sekerukan puting. Makin banyak jejari dimasukkan, akan berlaku tarikan. Jejari tidak lagi boleh dijolok keluar. Kerja menggentel puting jadi tambah rumit. Mujur aku pernah menuntut dengan seorang otai, Abang Da'i dari Dr Cycle. Dari dia aku dapat ilmu membuat alat menggentel puting jejari. Alat mudah yang memudahkan kerja menggentel puting. Nanti aku cerita pasal alat tu...Nanti tau.

Kerja menjolok dilakukan ikut sisi. Siapkan sisi demi sisi. 16 batang ikut susunan pada lubang. Silangan mesti betul supaya hasil akhir akan memberikan regangan yang cukup. Sisi yang terkedalam, sisi yang ada lubang cakera brek untuk hub depan dan sisi yang ada freehub body untuk hub belakang, di dahulukan, kemudian baru sisi yang satu lagi. Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah memastikan jejari masuk ikut off-set lubang yang betul bagi roda yang lubangnya digerudi sendeng, bukan di tengah-tengah bahagian tulang tengah roda. Sebab aku risaukan takut hub dan roda yang baru tercalar, kerja melagang jejari dibuat di atas kusyen. Tu diaaaa...Dan selesailah satu proses awal membina roda. Masakan masih belum siap. Baru separuh masak.

Roda depan tertenggek di atas alat imbangan. Yang merah macam tanduk tu penakat melintang. Yang merah hampir melekat pada roda itu, penakat menegak.

Jejari sudah ditempatnya. Tapi masih longgar dan kendur. Bentuk roda sudah terserlah. Tapi belum nampak tampan gagah. Tiba masa untuk alat imbangan dan jajaran roda bekerja. Set Minoura True-Pro Combo 2 dengan penuh gembira bangun dari tidurnya yang lama. Maklum, jarang-jarang guna. Dah berabuk berdebupun haaaa...

Roda yang bagus perlu seimbang kiri dan kanan dan perlu bulat sebulat-bulatnya, tidak lonjong. Itulah sasaran yang mesti dicapai dalam membuat imbangan roda ini dan Minoura True-Pro akan membantu. Alat saja pro, aku masih amatur hingusan. Seimbang bukan bermakna jejari sama panjang dan sama tegang kiri dan kanan. Seimbang bermakna roda perlu berada di tengah-tengah pada kerangka. Disebabkan bentuk hub, jejari akan panjang sebelah. Ini membuatkan kerja imbangan lebih mencabar.

Bermula dengan roda depan dulu kerana tahap kesukaran lebih rendah berbanding roda belakang. Perbezaan tahap regangan tidak terlalu besar seperti roda belakang. Roda ditenggekkan di atas mesin imbangan. Jejari sisi kiri diketatkan dulu. Ketatkan separuh menggunakan pemutar mesin. Kalau pulas sendiri dengan tangan, boleh, tapi lambat la. Lepas tu sisi kanan pula. Lepas diketatkan separuh, bermulalah bahagian paling mencabar...imbangan (ketar nih...ketar nih).

Penakat melintang(satu alat penanda had imbangan) diletakkan. Roda diputar. Kegelongan awal itu biasa. Berpandukan penakat, kawasan roda yang terkeluar dan termasuk dikenalpasti. Roda akan bersagat dengan penakat kalau terkeluar. Kerja tukang ialah untuk menghilangkan sagatan. Pelarasan dibuat dengan mengetatkan jejari yang berada di sisi bertentangan dengan bahagian roda yang menyagat. Pelarasan dibuat sedikit demi sedikit dengan puting diputarkan ikut arah jam. Pelarasan dibuat dalam suku atau setengah putaran. Tidak dibuat beberapa putaran sekaligus. Proses ini dibuat berulang-ulang pada jejari kiri dan kanan sehingga permukaan roda tidak lagi menyagat alat penakat dan roda berputar tegak pada paksi tanpa gelongan. Tukang yang mahir mungkin boleh mendapat hasil imbangan 100%. Tukang karut macam aku cukuplah dengan syarat minima 3mm kelegaan. Itupun jenuh berhempas pulas. Eh...tak ada hempas,cuma pulas saja.

Setelah imbangan dicapai, lonjongan pula dikerjakan. Penakat melintang direhatkan tugas. Penakat tegak pula melapor diri. Berupa satu kepingan yang dirapatkankan kepada bulatan luar roda. Roda diputar untuk mengukur lonjongan roda. Bahagian yang lonjong akan menyagat penakat menegak. Bila itu berlaku, sagatan kena dihilangkan. Ini dilakukan dengan mengetatkan puting jejari pada bahagian yang lonjong. Kali ini, jejari di kedua-dua belah diketatkan pada kadar yang sama. Pengetatan dibuat berdikit-dikit. Dalam suku atau setengah putaran. Proses diulang hingga sagatan hilang. Proses yang sama dilakukan pada tempat-tempat yang bersagat. Juga diperhatikan tempat yang jarak dengan penakat jauh melebihi 3mm. Ini berlaku kerana jejari diketatkan terlebih dari yang sepatutnya. Untuk bahagian ini, puting dilonggarkan. Juga berdikit-dikit. Begitulah prosesnya, hingga roda menjadi bulat. Sekali lagi, saya hanya mampu mendapat hasil ketepatan dalam lingkungan 3mm. Belum cukup mahir untuk dapat 100%.

Imbangan untuk roda belakang juga melalui proses yang sama. Setelah siap, aku cuba pasang roda pada fork dan frame untuk memastikan roda berada di tengah-tengah fork dan frame. Roda belakang cantik. Roda depan agak memberat ke kiri. Masuk balik roda depan ke mesin imbangan untuk mendapat "dishing" yang lebih tepat.

Dah siap!

Lega yang amat bila proses selesai. Aku sendiri masih tak berapa puas hati dengan hasil kerja aku. Nak aku godeh lagi takut jadi seperti pengalaman lepas. Benda dah agak elok digodeh langsung jadi kurang elok. Terpaksa aku telan saja rasa tak puas hati aku.

Sementara menunggu barang diserahkan kepada pemiliknya, set roda segunung harapan ini dibungkus rapi dengan plastik "shrink wrap" yang biasa orang guna untuk membungkus makanan. Siaplah sudah masakan aku. Entah apa rasa agaknya. Harap nanti, puaslah hati kepada yang empunya barang. Harap nanti berjayalah aku memenuhi harapan seorang kawan.