Showing posts with label berkelana. Show all posts
Showing posts with label berkelana. Show all posts

Monday, September 07, 2009

Kelana Berbasikal 2 - Garmin GPSmap 60CSx Penunjuk Arah

Basikal Fuji Tahoe telah ansur-ansur metamorfosis menjadi basikal touring. Lihat posting ini. Impian nak berkelana berbasikal makin hampir. Untuk membantu tunjuk arah, satu unit GPS pulak diperolehi. Unit terpakai saja. Nak beli baru, tabung belum cukup. Mujur pemilik dahulu, Yin, seorang yang cermat. Walau telah lebih setahun, unit Garmin GPSMap 60CSx tu nampak masih baru. Terima kasih Yin. Nanti lebih mudahlah urusan pandu arah dan catatan perjalan. Tak la nanti kalut dengan buku catatan.

Terlanjur bersembang, mari kita lihat sikit apa yang ditawarkan oleh unit GPS 60CSx ini.

Garmin GPSMAP 60CSx

Sekali pandang macam handphone lama generasi botol air, dua kali pandang macam walkie talkie...Pandang la sekali lagi...Baru nampak macam GPS. GPSmap 60CSx ini adalah lanjutan kepada siri-siri 60 Garmin. Pada siri ini ada beberapa penambahan termasuk kad microSD boleh tanggal, penerima GPS sensitiviti tinggi, barometrik altimeter dan kompas elektronik.

Garmin mendakwa model ini masih boleh berfungsi dengan baik walau di bawah rimbunan dedaun tebal atau jurang yang dalam. Kata Garminlah.

Saya belum berpeluang menguji 60CSx ini di hutan bukit bukau. Untuk membiasakan, cuba-cuba guna fungsi pandu arah dia. Seronok jugak...terutama kalau tempat yang nak dituju tu tempat asing. Memang kena percaya pada GPS tu...

Kad microSD unit ini telah siap disalin peta Malaysia yang dimuat turun dari malfreemaps. Lega sebab banyak kerja awal penyediaan dah beres. Tinggal nak guna saja.

Ciri-ciri gah GPS ni...

  • penerima GPS yang sensitif
  • altimeter barometrik untuk data ketinggian yang lebih tepat
  • kompas elektronik
  • Kalis air dengan kelasifikasi IPX7
  • skrin TFT besar, dan berwarna untuk paparan jelas
  • kad microSD 64Mb untuk simpanan tambahan peta dan maklumat lain

RUPA DAN PRESTASI

Ukuran, PxLxT: 2.4" x 6.1" x 1.3" (6.1 x 15.5 x 3.3 cm)
Saiz paparan, LxT: 1.5" x 2.2" (3.8 x 5.6 cm)
Resolusi, Lxt: 160 x 240 pixels
Jenis paparan: 256 warna aras TFT
Berat: 7.5 oz (213 g) dengan 2 bateri "AA"
Bateri: 2 AA - alkali atauNiMh
Hayat bateri: 18 jam kegunaan biasa
Kalis air: ya (IPX7)
Apungan: tidak
Penerima sensitiviti tinggi: ya
Antaramuka serial dan USB
Versi RoHS : ya

PETA DAN MEMORI

Peta asas: ya
Peta pra-muat: tiada
Boleh tambah peta: ya
Memori dalaman: tidak
Terima kad data: kad 64 MB microSD™ (termasuk)
Halatuju/tempat kegemaran/lokasi: 1000
Laluan: 50
Log trek: 10,000 titik, 20 trek simpanan



CIRI-CIRI

Penunjuk arah automatik (setiap simpang atas jalan): ya
Kompas elektronik: ya
Skrin sentuh: tidak
Altimeter barometirk ya
Mesra geocache ya
Kamera: Tiada
Mainan GPS luaran: ya
Kalendar memburu/memancing: ya
Maklumat matahari dan bulan: ya
Jadual pasang surut: tiada
Kiraan luas kawasan: ya
POIs kendiri ya
pindahan data unit ke unit: tiada
Penonton gambar tiada

Saturday, August 29, 2009

Kelana Berbasikal - Fuji Tahoe Dalam Touring Mode

Tahoe siap untuk berkelana

Impian sudah terpendam sekian lama ingin berkelana berkembara dengan basikal ke seluruh Malaysia. Besar mimpi tuh...Tercapaikah? Biarkan saja dulu persoalan itu.

Untuk menjadikan mimpi satu kenyataan, sesuatu perlu dilakukan. Langkah pertama perlu dimulakan. Benihnya perlu disemai. Bunganya beransur cambah. Langkah pertama diorak. Jentera Fuji Tahoe kepunyaan isteri yang direhatkan sementara setelah isteri ketemu Cik Putih di bangunkan semula. Mulanya dibikin untuk kayuhan biasa rentas desa. Bila angin mahu berkelana kembali bertiup sepoi-sepoi bahasa, Fuji Tahoe mula dirobah sifat. Untuk berkelana, soal upaya muat jadi pokok utama. Maka Fuji Tahoe di pasang dengan beg pelantar dari Topeak.

Nah! Bagaimana rupanya? Kelengkapan terdiri dari 2 kelompok utama. Satu, pepara Topeak Super Tourist DX Tubular Rack w/disc mounts. Dua, Topeak MTX TrunkBag EXP. Beg untuk berkelana.


Topeak Super Tourist DX Tubular Rack w/disc mounts
Pepara Topeak Super Tourist DX Tubular Rack w/disc mounts ini adalah pepara dari aluminum yang dibuat khas untuk basikal yang menggunakan brek cakera. Ia serasi dengan semua beg dalam siri MTX.

Topeak MTX TrunkBag EXP
Beg upaya muatan besar yang boleh dikembangkan panel sisinya. Ruang muatan utama siap dengan pembahagi yang dilekat dengan velcro. Menurut Topeak, ia direka menggunakan kaedah pembuatan baru yang menggabungkan panel tegar beracuan disudahi dengan bahan 420 fabrik nylon denier untuk memberikan ketegasan dan kalis air. Jalur-jalur pemantul cahaya dipasang sebagai langkah keselamatan.

Kos untuk pepara dan beg ialah RM384. Barangan didapati dari Giant Store, Sri Hartamas.

Ujian jarak dekat ke pejabat dan bazaar Ramadhan setakat ini memberikan satu rasa kelainan. Memang terasa seperti berat dan menyeret pada bahagian belakang. Perlu ambil sedikit masa untuk penyesuaian. Ruang muatan cukup menggembirakan. Pakaian kerja boleh dimuat tanpa masalah dengan ruang baki masih berlambak. Hmmm...kalau nanti nak berkayuhah jauh, barang apa yang perlu dibawa ya?

Masih ada satu dua perkara yang perlu ditambah/diganti pada jentera ini. Tayar gemuk bergerutu sekarang kurang sesuai untuk berkelana. Lebar dan berat dan juga seretan dari bunga-bunga tayar yang terjojol. Mungkin tayar 1.5 akan jadi pilihan. Masih dalam peringkat pencarian.

Bar hendal perlu dilengkapi dengan hendal tanduk. Itu boleh memberikan posisi yang lebih menegak. Bolehlah tekanan pada tapak tangan dan pergelangan tangan diredakan sedikit.

Bila dah hampir siap dan dah merasa berkayuh dalam jarak pendek, rasa tak sabar pulak nak tunggu untuk kayuhan yang lebih jauh. Buat permulaan, sebagai latihan dan pendedahan awal, cadangnya nak ke Bukit Fraser. Nak ikut? Siapkan jentera dan tunggu pengumuman. Tarikhnya mungkin hujung Syawal. Eloklah tu...boleh bakar segala lemak terkumpul selepas jenuh carbo loading lemang, ketupat, rendang.