Showing posts with label Sungai Sendat. Show all posts
Showing posts with label Sungai Sendat. Show all posts

Sunday, December 01, 2013

KEMBAS ~ GLC Berkayuh Piknik Ke Sungai Sendat - Bahagian II

Bahagian I kembas (kembara basikal) kayuhan piknik Sungai Sendat yang panjang berjela telah membawa anda berbasikal secara maya dari Gombak ke Sungai Sendat.  Dua bukit yang mencabar lutut di tempuhi hinggalah selamat sampai ke Sungai Sendat.  Bahagian II akan membawa anda balik dari Sungai Sendat ke Gombak.  Eh… sama sajalah ceritanya kan?  Cuma yang kemudian didulukan.  Tak gitu?  Oh…tiap perjalanan ada kisahnya tersendiri (terutama untuk orang kuat membebel macam aku).  Begitu juga kisah kayuh balik dari Sungai Sendat.  Sendat dengan kisah tersendiri...

Mesti mau posing dulu...


Disiplin masa pengayuh sungguh mengagumkan.  Memang 1215hrs, semua dah bersiap untuk berkayuh balik.  Pengunjung ke Sungai Sendat semakin ramai.  Bagi peluang mereka pulak berkelah.  Jam 1230hrs bermakna matahari mula galak memancar.  Siaplah untuk dipanggang sekejap lagi.

Selamat tinggal Sungai Sendat
Kayuh bermula selepas usai sesi bergambar.  Mesti la bergambar alang-alang dah sampai.  Entah bila pulak nak boleh berkayuh ke situ.  Laluan pembuka tirai memang sedap.  Walau matahari terik, laluan masih di bawah teduhan pokok yang menghijau di sekitar.  Laluan cerun turun pulak tu.  Bonus berganda.  Cuma kena berhati-hati sebab jalan sempit.  Banyak pula berselisih dengan kereta yang semakin banyak masuk.

Sampai ke Kampung Gurney, teduhan mula hilang.  Perit panas mula terasa.  Laluan jambatan gantung diambil.  Sampai kembali ke Jalan Sungai Tua.  Landai saja pada mulanya sejauh 2km sehingga Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.  Peluh dah mula membasah di bawah terik matahari.  Papan tanda "Lorong Memotong" memang penanda pemula petaka.  Ibu jari kanan bersiap untuk mengambil peranan merendahkan gear mengikut keperluan.  

Petaka bermula di sini...
Ada yang dah mula menjadi nakal. Menyakat-nyakat yang lain untuk menduga bukit.  Dino membuka pencak.  Berpecah dari peloton dan membuka jarak.  Faris dan RJ ikut menyahut.  Banshee Vientonya (dalam bahasa Sepanyol, Viento bermaksud angin).  Aku di tengah.  Fuji San cool di belakang dengan Sazril.

Aku tak tau apa yang berkitar dalam fikiran orang lain.  Dalam kepala aku, pendakian bukit ini lebih parah dari pendakian dari Sungai Tua hala datang.  Memang terasa jerihnya.  Ditambah pula dengan bakaran mentari terik.  Strategi aku Cuma untuk kayuh tanpa henti hingga ke puncak.  Kelajuan tidak penting. Perlahan tidak mengapa.  Janji puncak berjaya ditawan tanpa perlu berhenti. 

Satu demi satu gear aku turunkan dipadankan dengan granny crank di hadapan bila kaki dirasakan makin lenguh dan berat.  Tekan punya tekan shifter LX tua aku sampai dah habis gear tak boleh tekan lagi.  Dah pakai gear paling rendah!  Mau lagi gearrrrr!!!  Kereta-kereta makin bertambah di jalan.

Dengan kayuhan perlahan kora-kora, aku teruskan.  Cerun semakin mencuram.  RJ mengambil kesempatan berjalan beriringan dengan Sang Bayu.  Faris masih gigih berusaha.  Dia perlu bekerja lebih keras kerana tayarnya besar dan menggerutu.  Aku perlahan mendekatinya dari belakang.  Dino masih lagi mengekalkan jarak.  Sesekali Nampak dia berdiri dan menerjah.  Perrrghhhh… mengkagumkan!

Aku teruskan mengayuh ikut tempo aku.  Aku bukan nak berlumbapun walaupun kadang-kadang datang akal jahat menghasut “Enjut sajaaaa…potong depa semua…”, jahat sungguh pemikiran sebegitu.  Sedikit demi sedikit aku menghampiri Faris.  Dan sedikit demi sedikit juga aku memotong dia.  Badan makin lesu.  Peluh makin laju.  Basah kuyup sudah.  Peluh yang masuk ke mata lagi sampai pedih-pedih biji mata.  Bahang panas makin menyengat.  Aku kuatkan semangat.  Puncak bukit entah di mana lagi…

Pelan-pelan rapat dengan Dino
Dino pula makin dihampiri.  Sama juga kaedahnya.  Pelan-pelan potong.  Sudahnya aku dah ke depan sekali.  Kayuh tak peduli apa dah.  Mata tengok depan tayar.  Malas nak tengok jauh-jauh.  Dok nampak cerun yang tak habis-habis.  Mati semangat dibuatnya.

Bahang badan makin membara.  Zip baju dah turun sampai ke dada.  Ada la angin curi-curi masuk.  Sejuk la sikit terasa.  Kaki dok protes sakan.  Lenguhnya jangan cerita.  “Berenti…berenti…berenti” dalam kepala.  Sesekali toleh ke belakang tengok kawan-kawan yang dah ruyup sayup di belakang.

Badan makin terasa hangat. Peluh dok mencurah masuk ke dalam mata.  Elok pula terpandang dalam longkang ditepi jalan aliran air jernih sejuk.  Bukan air longkang tau…Itu air dari anak sungai/ mata air di atas bukit.  Bantahan kaki lenguh, badan hangat, paru-paru sesak dan jantung kencang mengalahkan ego yang nak habiskan kayuhan.  Aku akur dan berhenti di tepi jalan untuk berehat dan menunggu yang lain.  Jam 1330hrs…

Faris teman ayah berehat...Puncak lagi sikiitttt saja lagi
Air sejuk jernih disimbah ke kepala dan muka.  Sisa air yang meleleh masuk ke badan memberikan rasa sejuk dan nyaman yang bukan kepalang.  Lat tak lama nampak kelibat Faris.  Masih tekun berkayuh.  Mukanya nampak jerih mengheret basikal MTB dengan tayar gemuk memanjat bukit.

Bila dia menghampiri aku, aku menyuruh dia meneruskan kayuhan dengan sedikit kata-kata perangsang.  Sesuatu yang dia tidak dapat akur.  Basikalnya dicampakkan saja dekat basikal aku.  Mereka yang lain menyusul kemudian dengan derap selang seli kayuh dan tolak.  Fuji San muncul di belakang sekali dengan tenang dan bersahaja mengayuh dengan nada santai.  Macam rilek saja nampaknya.

Mereka yang lain meneruskan kayuhan.  Aku tertinggal di belakang sebab bersolek lama sangat.  Yang pertama sampai, yang terkemudian jalan.  Seminit dua selepas sambungan kayuhan nampaklah air terjun kecil di sebelah kiri.  Air terjun kecil bermakna sudah sampai puncak.  Dengan tak semena menderu datang rasa kesal sebab berhenti tadi.  Apa tidaknya, rupanya puncak hanya lebih kurang 100 meter dari tempat aku berhenti.  Cissss…

Selesai pendakian sejauh 8.5km dari Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.  Dari aras 104M hingga aras 386M.  Mana tak pongeh!  Singgah sekejap tempat orang mengambil air mineral semulajadi.  Air ditogok dengan lahap.  Sedap sungguh air di situ.  Sebab itulah orang sanggup beratur berjam-jam untuk mengambil air.

Hala turun semua berdesup tak hingat
Bila sudah di puncak, apa lagi?  Layan turunlah pula.  Cuma kena beringat dan lebih berhati-hati sebab menjelang petang, kenderaan semakin banyak di situ terutama di kawasan perkelahan.  Meluncurlah dengan laju sehingga sampai ke kawasan Empangan Batu di mana jalan kembali melandai.

Bukit Empangan Batu sekali lagi mencabar.  Dan kali itu aku terjah dengan iltizam untuk menghabiskan hingga ke puncak.  Berkat istiqamah berkayuh, puncak berjaya ditawan.  Dino sampai kemudian dan meneruskan kayuhan berseorangan kerana perlu segera balik.  Yang lain-lain menyusul kemudian.  Ada yang di atas basikal.  Ada yang di sisi basikal…Ada yang naik hangin bila jam itulah kawan-kawan telefon lepas tu cakap main-main...

Deraan terakhir
Fuji San nakal menduga mengajak balik ikut Sungai Kertas.  Aku tahu padah menunggu laluan itu.  Bukitnya panjang dan curam ya amat.  Cadangan dibantah sekerasnya.  Jam sudah 1420hrs.  Perut dah lapar.  Kayuhan diteruskan…

Sampai di simpang baru Jalan Sg Tua – Jalan Binjai 1A.  Dengan Fuji San sebagai jurupandu memandangkan dia abang kawasan di situ.  Jalan tar berdebu dengan kilang-kilang berderetan menggantikan suasana hijau hening nyaman.  Tinggal kami berlima saja sebab Dino sudah memecut pergi dengan kelajuan supersonic.

Dari Jalan Binjai 1A, ada satu belok kanan menuju ke jalan Jasa 25.  Jalan dalam taman perumahan yang menyusur parit.  Sampai di simpang berhampiran loji, aku perasan kurang seorang.  Mana Sazril?  Cuba telefon tak berjawab.  Rupanya dia terlepas simpang kanan tadi.  Tunggu pulak dia berputar mencari simpang nak ke Jalan Jasa 25.  Yang lain ambil kesempatan melanggah air soya yang dijual berdekatan.

Selesai minum, Fuji San mintak diri sebab rumah dia sudah dekat.  Kami berpecah haluan.  Suasana makin hangat membahang.  Badan makin letih.  Perut makin lapar.  Kayuh makin longlai.  Ambil Jalan Nakhoda Kiri.  Lalu satu jambatan kecil merentas Sungai Batu yang menyambung ke terminal bas.  Dah basikal Sazril pula pancit.  Aku tengok muka Faris dengan RJ yang semacam mintak kasihan.  Aku bagi lampu hijau untuk Faris dengan RJ jalan dulu.  Tinggal aku dengan Sazril mengerjakan basikalnya yang injap tiub sudah rabak.

Tiub ditukar tanpa sukar.  Perut berkeriut tanda lapar.  Tengok, dah berapa kali aku ulang perkataan lapar.  Jam sudah 1500hrs.  Jarak kayuhan berbaki lagi 6km.  Dah terbayang-bayang pagar rumah dah di dalam logamaya terik matahari petang yang memancar di atas medan bas tempat berhenti menampal tiub Sazril.

Dengan tenaga berbaki sisa, kayuh longlai balik menyusur kembali Wiradamai, Taman Bolton.  Dalam hati berharap-harap agar tiada lagi gendala.  Trafik makin banyak bila MRR2 ditempuh bila keluar dari Taman Bolton.  Kayuh ikut Jalan Gombak di antara hiruk pikuk trafik.  Membelok kanan naik ke DUKE kemudian kluar ke susur kiri Taman Selasih.  Kalau cerita Ultraman, lampu dada Ultraman dah berkelip-kelip tanda kecemasan kuasa nak habis.  Aku dengan Sazril dah macam Ultraman jugalah...Mujrlah destinasi sudah dekat.  Dari Taman Selasih, menyusur jalan pintas untuk balik ke rumah.  Jam 1527hrs selamat sampai ke rumah.  Alhamdulillah...

       






Friday, November 22, 2013

KEMBAS ~ GLC Berkayuh Piknik Ke Sungai Sendat - Bahagian I


Basikal kembara aku sudah lama tidak beraksi.  Nak pergi jauh-jauh tidak berkesempatan.  Dapat berkembara jarak dekatpun jadilah.  Timbul rancangan untuk berkayuh harian berkelah-kelah ke Sungai Sendat. 

Hutan Lipur Sungai Sendat terletak di Batang Kali.  Hutan yang merupakan sebahagian daripada Taman Hutan Negeri, juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri Selangor Terletak kira-kira 40km dari Kuala Lumpur. Ia adalah satu tempat percutian yang bagus dan jauh dari hiruk pikuk kehidupan bandar.

3 basikal kembara
Untuk pergi ke situ tidak banyak karenah.  Kereta boleh dipandu sehingga hampir ke tempat perkelahan.  Itu kalau naik kereta atau kenderaan berenjin.  Bagaimana kalau kita tinggalkan sekejap kenderaan berenjin dan kita ke sana dengan basikal? Ya! Berkayuh ke sana dari pinggir bandar Kuala Lumpur. Tinggalkan pencemar dengan enjin pembakaran dalaman di rumah. Jarak sehala kira-kira 36km dengan dua bukit yang tinggi untuk ditangani (dikakii?). Gila? Mungkin ... Berkayuhan untuk menikmati lebih kehijauan dan hamparan alam.  Satu kombinasi yang sangat mesra alam untuk mencapai objektif serampang dua mata - untuk menikmati perjalanan itu sendiri dan sudah tentu destinasinya juga.

Bermula dari Gombak dengan 6 pengayuh basikal. Campuran basikal gunung dan basikal kembara. Aku, Faris (anak aku), Dino , Sazril dan RJ . Itu hanya 5 , mana satu lagi?  Teruskan membaca...

Cuaca redup dingin pada pagi Selasa, 5 Disember 2013M bersamaan 1 Muharam 1435H.  Cuti umum sempena Ma'al Hijrah , tahun baru untuk takwim hijri.  0800hrs, bermula dari Taman Greenwood Indah.  Mula dengan berkayuh ke Jalan Batu Caves - Gombak. Menyimpang ke Taman Industri Bolton, tidak mengikut Taman Seri Gombak, untuk mengelakkan pendakian curam dan panjang di Seri Gombak.  Jalan Taman Industri Bolton merentas melalui Taman Wira Damai , satu kawasan perumahan yang  sesak, kemudian menghala ke arah Kampung Nakhoda.

Jalan Sungai Tua...Hujan makin lebat
Langit mendung mula melepaskan rintik-rintik halus.  Kami terus meredah melalui Kampung Nakhoda sehingga bertemu Jalan Sungai Tua .  Hujan yang mulanya merintik halus menjadi semakin kasar dan lebat.  Kami memecut secepat yang boleh ke arah stesen minyak Petronas untuk perlindungan dan untuk berjumpa ahli ke enam,  Encik Fuji San.

Fuji San bukanlah pelancong dari Jepun, walaupun wajahnya ada iras-iras.  Dengan baju kemeja lengan pendek,  seluar panjang dan topi safari menghiasi kepalanya memang macam pelancong i negara matahari terbit.

Nasib kami baik.  Hujan tiba-tiba reda dalam masa beberapa minit dan kami meneruskan kayuhan.  4 basikal kembara dan 2 basikal gunung (jika anda boleh memanggil Banshee Viento RJ itu basikal gunung ) meneruskan kayuhan.  Terdengar dari kejauhan suara Sungai Sendat menyeru sayup mendayu...

Penangan pertama - bukit Empangan Batu
Kira-kira selepas 10km pertama berkayuh santai, ujian pertama datang menyergah, satu pendakian curam dan panjang, kira-kira gred 15% dalam anggaran aku.  Curam , panjang dan berliku.  Jalannya mempedaya kerana selekoh-selekoh menyembunyikan pendakian yang berikutnya.  Beberapa kali aku tertipu kerana menyangka pendakian akan tamat.  Rupanya di sebalik selekoh, masih ada pendakian menunggu.  Kena banyak sabar dalam mengharung pendakian ini.  Kayuh tenang-tenang dengan gear rendah.  Puncak ketinggian kira-kira 175 meter.  Yang penting adalah untuk "menikmati" pendakian.

Bagi manusia biasa macam aku, pertaruhan yang lebih selamat ialah beralih kepada gear rendah dan mengayuh bersahaja sambil memastikan bahawa pernafasan dilakukan dengan teratur (bukan terabur).  Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung dan hembus nafas melalui mulut.  Kayuh perlahan-lahan , tanpa perlu berhenti atau menolak basikal.  Kayuhan nada begitu tidak terlalu menyeksakan dan membolehkan anda menikmati pemandangan tasik Empangan Batu.  Awas kenderaan bermotor yang lalu lalang yang suka meratah selekoh seperti pelumba F1 atau MotoGP terutama pada hari minggu.

Apabila anda telah sampai ke atas, masa untuk menuntut kembali semua darah, keringat dan air mata tumpah dalam penyiksaan anda ke atas. Beralih kepada gear tinggi, lepaskan brek dan wheeeeeee ... Meluru ke bawah dan biarkan angin sejuk menyapa muka anda.  Pemandangan tasik empangan mula terungkap di depan anda.  Menakjubkan ... Sesuatu yang anda mungkin tidak perasan jika anda memandu atau menunggang motosikal.  Berhentilah sekejap menikmati suasana dan bergambar sekeping dua untuk Facebook anda.  Anda layak menerimanya.

Tasik Empangan Batu. Bersama dua Batu Keras...
Jalan seterusnya kembali rata.  Buat pemulih tenaga dan penghilang lenguh.  Kerataan itu sebagai persediaan untuk anda mengharung pendakian yang bakal mendatang.  Seb
elum sampai ke Riverstone Eco Resort, basikal aku rasa bergoyang di belakang.  Goyangan yang membuatkan aku berhenti dan memeriksa.  Rupanya tayar belakang sudah kekurangan angin.  Aku syak ada kebocoran.  Belum cukup rajin untuk aku tukar tiub.  Aku cuba pam dulu dan teruskan kayuhan.  Tinggal aku dengan Sazril dan Fuji San di belakang.  3 yang lain, Faris, RJ dan Dino sudah ruyup ke hadapan (dan ke atas).

Kawasan selepas Riverstone merupakan kawasan perkelahan yang agak terkenal.  Kawasan HUTLISTA – HuTan LIpur Sungai TuA.  Medan-medan parkir disediakan ditandakan dengan P1 sehingga P4.  P1 menandakan jalan rata mula berakhir dan pendakian bermula dengan kecerunan landai dan beransur-ansur naik.

Cantik dan panoramik.  Air terjun dekat P4
Selepas P1, tayar belakang kembali bergoyang.  Bermakna kadar kehilangan angin cepat.  Bocor mungkin besar.  Tiub perlu ditukar.  Operasi penukaran tiub dibuat dengan pantas.  Pendakian disambung.  Basikal yang tidak ditambah apa-apa bebanan tambahan terasa semakin berat.  Kayuh sajalah dengan gear rendah bersantai-santai.

Menghampiri P4, ada air terjun cantik di sebelah kiri.  Persona air terjun menggamit untuk berhenti sekejap dan menikmati panorama indah alam semulajadi.  P4 juga penanda yang kecerunan akan meningkat.  Bersedia untuk pendakian yang lebih berat.  Berhenti sekejap di air terjun membantu memulihkan tenaga sebagai persiapan untuk mendaki.  Kayuhan santai diteruskan menuju ke puncak.  Sambil kayuh perasan yang sepanjang-panjang jalan ada banyak serpihan bahagian kenderaan di atas jalan.  Cebisan bumper, cermin lampu berserakan bukti tinggalan kemalangan-kemalangan yang pernah berlaku di situ.  Satu peringatan supaya berhati-hati kalau memandu di situ.

Fuji San memang cool saja mendaki...
Setelah jenuh berjerih, akhirnya puncak mulai kelihatan.  Deretan kereta berhenti di sebelah kiri.  Di situ ada mata air yang menjadi tumpuan ramai untuk menadah dan mengambil air.  Katanya, air itu air mineral tapisan semulajadi yang bagus.  Punya banyak khasiat.  Aku sudah merasa airnya.  Memang terasa lebih sedap dari air minuman dari pili atau air tapisan osmosis songsang.

Puncak! 
Faris, Dino dan RJ sudah lama sampai.  Aras ketinggian pada 386 meter.  Kenaikan ketinggian sekitar 250 meter dalam jarak 10km.  Papan tanda sempadan Daerah Gombak menjadi penanda.  Masa terdera habis sudah…Sekarang masa untuk menuai benih azab yang disemai.  Cerun menurun terbentang di depan.  Sedapkan duduk, kemaskan pegangan dan meluru turun.  Sesekali tuas brek di tarik bila dirasakan angin yang menderu di telinga melebihi had toleransi.  Cerun turun sejauh 8km itu memberi lajak sehingga Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.  Seronokkkk!

Lebih 60 km/j!
Rancangan laluan asal ialah berkayuh sehingga ke Kampung Pasir kemudian membelok kanan pada simpang tiga.  Sambil berkayuh kepala aku terbayang balik gambaran Jalan Kampung Gurney yang selari dengan jalan SungaibTua.  Cumanya di pisahkan oleh sungai.  Perkiraan cepat menjangka tentu ada jambatan kecil jalan pintas yang boleh dilalui dengan basikal.  Dan memang tidak silap.  Ada satu jambatan gantung menyeberang Sungai Liam.  Dengan segera rancangan diubah.  Lintas sungai melalui jambatan gantung untuk ke Jalan Gurney.



Lintasan jambatan gantung membawa ke perkampungan cina, Kampung Baru Gurney, salah satu daripada kawasan perpindahan sewaktu zaman darurat.  Jalan tar kecil melewati kampung orang asli Gurney dan terus beriringan selari dengan Sungai Liam.  Aku terperasan ada kegiatan mendulang di situ.  Bijih apa yang ada dalam Sungai Liam agaknya? 

Sahabat...
Laluan dipayungi teduhan pokok getah dan pokok-pokok rimba.  Juga ada beberapa kawasan dusun di kiri kanan jalan.  Untuk sampai ke Air Terjun Sungai Sendat juga bukan kerja mudah.  Masih ada cerun-cerun yang perlu dikerabat.  Mujur tidak securam jalan Sungai Tua.  Bila dalam minda sudah terpahat yang Sg Sendat sudah dekat, sedikit pendakian tidak menjadi hal lagi. 

Kayuh beramai-ramai dalam suasana tenang nyaman redup.  Kesegaran udara sangat terasa bila udara bersih tanpa cemar menyapa rongga hidung lansung masuk ke paru-paru.  Terasa segar paru-paru…Papan tanda Selamat Datang Ke Hutan Lipur Sungai Sendat petanda kayuhan hampir tamat.  Anda perlu membayar sedikit ufti (RM1.00 untuk dewasa) sebagai bayaran masuk.  Pengutip tol menunggu sebelum jambatan.  Selepas jambatan, kawasan air terjun Sungai Sendat.  Basikal dikayuh sehingga ke tapak perkelahan.  Itulah lebihnya bila berbasikal.  Kenderaan lain tidak boleh berbuat begitu.  Jam menunjukkan 1115hrs.  Jarak ditempuh sudah 36km.  Alhamdulillah, semua selamat sampai tanpa sebarang masalah besar…

Masa santai diberi 1 jam.  Cukuplah untuk mandi, berendam berkubang sebentar.  Kawasan perkelahan aku perhatikan bersih dan rapi.  Bermakna, ada kawalan yang bagus di situ.  Sampah, bekas polisterin dan lampai pakai buang yang selalu menjadi pencemar utama tidak kelihatan. 

Tarikan utama ialah kolam mandi yang agak luas di bawah air terjun setinggi 20 kaki.  Air terjun yang mengalir di atas batu-batu menjadi mainan gelungsur untuk mereka yang berani.  Setingkat lagi kolam di atas kolam utama ditandakan kawasan berbahaya.  Telah berlaku beberapa insiden maut di situ.  Itu tidak menakutkan ramai remaja yang suka bermain-main di situ.  Darah dan semangat mudalah katakan.

Di bawah kolam utama, terbentuk jeram-jeram yang mengalirkan air jernih sejuk ke bawah.  Kolam-kolam kecil dengan kepungan batu sungai menjadi kolam-kolam Jacuzzi semulajadi.  Seronok berendam sambil arus sungai mengurut-urut pinggang dan belakang.  Lagi bagus kalau baru lepas penat berkayuh.  Sungguh menyegarkan.  Masa tidak mengizinkan untuk berlama di situ kerana ada yang perlu pulang segera.  Kita tutup dulu tirai kisah kayuhan ke Hutan Lipur Sungai Sendat.  Satu kembara basikal yang memberikan puas rasa, sama ada perjalanannya, mahupun destinasinya.  Kita jumpa lagi bila tirai diangkat semula untuk Bahagian II – kayuhan balik.