Friday, January 18, 2008

Kenali Komponen Basikal - Tayar

Ini adalah siri 3 dalam siri-siri Komponen MTB dan disiarkan secara berperingkat atas dasar "bila aku ada masa". Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung

TAYAR MOUNTAIN BIKE

Oleh : Oli Beckingsale
Alihsuara dan tokok tambah oleh : BC KeLoLo

Bila anda mula-mula berbasikal gunung, apa saja tayar yang siap terpasang oleh pengeluar dirasakan sudah memadai. Asalkan tekanan angin mencukupi dan dipam dari semasa ke semasa.

Bila dah lama sikit berbasikal, dah mula bergaul dan memerhatikan basikal orang lain, anda mula perasan akan kehadiran bentuk dan saiz tayar yang berbeza-beza. Mula la gatal mulut bertanya. Kena pulak yang ditanya jenis suka bercerita, jatuh dagu anda bila mendengar cerita sambil kepala angguk-angguk. Nasib baik lagi, kawan tu murah hati pulak bagi cuba. Turun teres pulak tu yang sebelum ni anda tak pernah lepas. Bila pakai beskal dia, rasa macam lebih yakin dan anda boleh lepas pulak. Cengkaman baik dan basikal tak mudah menggelungsur bila anda membrek. Anda banding basikal anda dengan basikal dia tak nampak banyak beza melainkan pada tayar. Anda masih pakai tayar stok yang datang bersama basikal manakala kawan baru anda tadi pakai tayar yang lebih lebar dan bunga tayarnya lebih menggerutu. Kemahiran deduksi anda merumuskan yang poket anda akan rabak lagi apabila balik nanti anda kan singgah dikedai basikal untuk sepasang tayar gemuk. Anda mula menyedari dan merasakan bahawa meilih tayar yang betul boleh memberikan perbezaan besar kepada prestasi dan memungkinkan anda mendapat lebih kepuasan menunggang.

Terdapat berbagai jenis tayar di pasaran yang boleh dikelasifikasikan kepada 5 jenis asas mengikut kegunaan;

Anda perlu memilih tayar yang yang betul untuk rupabumi kegemaran anda dan gaya tunggangan anda. Untuk menjadikan hidup lebih meriah, tayar juga datang dalam pelbagai saiz, kualiti dan boleh jadi juga khusus untuk tayar depan atau belakang (sesetengahnya datang dengan pelbagai warna untuk anda pilih. Rambang mata! Kaler pinkpun ada!)

Tayar basikal gunung diukur dalam inci. Garispusat biasa ialah 26 inci tapi kelebaran boleh jadi dari 1 inci hingga 3 inci. Berhati-hati kerana saiz juga berbeza-beza bagi pengeluar yang berbeza. Tayar saiz 26 x 2.0" dari pengeluar berbeza mungkin memberikan saiz lebar sebenar yang berbeza bila terpasang pada roda anda!

Nah! Keliru? Untuk lebih mengelirukan lagi, ada juga roda yang walaupun bersaiz 26" tapi hakikatnya garispusat berbeza. Jadi, periksa tayar yang terpasang pada basikal anda untuk memastikan tayar baru anda boleh dipasang pada roda. Perhatikan 2 nombor yang diikuti oeh 3 nombor. Contohnya 47-559. Nombor ini ialah nombor penanda ETRTO (European Tyre and Rim Technical Organization). Dua nombor pertama merujuk kepada kelebaran tayar 47mm dan 3 nombor berikutnya ialah garispusat dalam tayar - 559mm. Tayar anda harus muat dengan roda anda!

Harga tayar berbeza-beza. Sebahagiannya disebabkan oleh reputasi pengeluar. Selebihnya kerana kualiti dan bahan yang digunakan.

  • Tayar bermutu tinggi mempunyai mempunyai lebih bilangan benang per inci (TPI - threads per inch) berbanding dengan model-model jimat. Lebih TPI, tayar akan jadi lebih kuat, tahan bocor dan memberikan tunggangan yang lebih lunak dan responsif. Sebagai contoh, tayar prestasi tinggi Michelin mempunyai 127 TI manakala tayar jimat hanya mempunyai 33TPI.
  • Tayar jimat menggunakan bingkai (bead - bahagian lengkung tayar yang melekat pada roda) besi, manakala tayar mahal menggunakan kevlar yang lebih ringan tetapi kukuh dan membuatkan proses memasang dan membuka tayar menjadi lebih mudah.
  • Sesetengah tayar dibuat khusus untuk tayar depan atau belakang
  • Tayar depan bertumpu kepada fungsi kendalian dan brek
  • Tayar belakang berperanan untuk kestabilan dan pemacuan.
  • Juga sesetengah tayar mempunyai bentuk bunga yang khusus untuk arah tertentu untuk lebih cengkaman - biasanya ditunjukkan dengan arah putaran pada dinding tayar.


Tayar Am


Tayar yang paling biasa digunakan dan dipasang pada kebanyakan basikal gunung. Ia mempunyai bentuk bunga tayar yang terbuka dan juga bergerutu yang boleh berfungsi dalam bergagai keadaan, dari berdebu hingga berlumpur. Corak bunga tidak terlalu agresif bagi membolehkan tayar bergolek di atas semua permukaan dari denai-denai rimba hingga ke atas tarmac. Saiznya biasa dalam lingkungan 26x1.9 atau 26x2.0 - tidak terlalu lebar, tetapi memadai untuk menyerap hentakan dan agak lasak. Tayar am ini adalah pilihan pertengahan untuk kebanyakan keadaan dan pilihannya banyak! Walaubagaimanapun, tayar serba boleh ini tidak BOLEH dalam keadaan yang lebih mencabar. Ia lebih berat dan kiraan TPInya rendah.

Balik ke senarai jenis tayar


Tayar Lumpur/Selut


Bermain basikal gunung, anda akan berhadapan dengan kayuhan di dalam lumpur/selut sekali sekala terutam bila musim tengkujuh. Bila keadaan berlumpur anda akan mendapat manfaat sekiranya menggunakan tayar yang direka untuk keadaan berlumpur. Tayar lumpur adalah tayar agresif dengan gerutu bunga yang dijarakkan untuk lebih cengkaman dan kurang palutan pada tayar. Tayar lumpur biasanya tidak lebar, sekitar 1.5" - 1.9" untuk "memotong" lalauan berlumpur dengan lebih baik dan mengelakkan kerangka bersalut lumpur terutama pada bahagian v-brake dan kerangka rantai bila berkayuh dalam keadaan melekit. Perlu diingat, kendalian tayar lumpur tidak berapa bagus atas permukaan lain dan akan terasa "perlahan", terutama atas tarmac.

Balik ke senarai jenis tayar

Tayar Turun Bukit (Downhill)


Jika anda kaki downhill maka anda memerlukan tayar downhill. Tayar ini lebih lebar berbanding tayar untuk merentas desa. Boleh digunakan dengan tekanan yang agak rendah untuk lebih cengkaman dan menyerap hentakan yang lebih kuat tanpa membocorkan tiub. Bunganya terbuka dan agresif untuk cengkaman dan kestabilan maksima untuk meluncur laju menuruni bukit. Oleh kerana saiznya lebar dan bunga yang bergerutu, tayar turun bukit akan terasa lembab dan berat untuk kayuhan merentas desa. Tayar yang lebar bermakna ruang kelegaan antara kerangka akan berkurangan menyebabkan tempelan selut akan membuatkan basikal anda tersumbat bila berkayuh dalam keadaan berlumpur.

Balik ke senarai jenis tayar



Tayar Botak (slick)


Tayar ini dipanggil "botak" kerana bunganya yang sedikit dan nipis atau tiada langsung bunga. Tayar ini mempunyai banyak persamaan dengan tayar yang digunakan di atas tarmac untuk basikal lumba. Ia lebih mudah dikendalikan dan lebih mudah berkayuh dan lebih laju daripada tayar basikal gunung yang lain. Hanya sesuai digunakan pada trek yang mudah dan kering. Tidak begitu sesuai digunakan untuk trek lasak kerana cengkaman yang sedikit dan sempit. Ini menjadikannya lebih terdedah kepada kebocoran terutama bila trail dipenuhi batu-batu tajam. Akan tetapi, bila berada di atas tarmac, ketahanan olengannya lebih bagus dari mana-mana tayar lasak. Tayar botak ini sesuai digunakan di atas jalan atau untuk berkelana - itupun jika anda tidak kisah jika basikal anda nampak "lopong" kerana menggunakan tayar kurus.

Balik ke senarai jenis tayar

Tayar separa-botak (semi-slick)


Tengok pada nama sudah tahu yang tayar ini adalah pertengahan di antara tayar botak untuk digunakan di atas tarmac dengan tayar lasak untuk meredah denai. Corak bunganya menipis di tengah dengan gerutu-gerutu besar, tebal dan berjarak pada sisi tayar. Bunga tebal pada sisi itu untuk membantu cengkaman bila membelok di jalan-jalan lasak. Lebar tayar separa-botak ini biasanya dalam saiz pertengahan, 1.5" - 1.8". Tayar ini sesuai untuk gaya kayuhan campaur aduk tarmac dengan denai lasak tetapi tidak boleh cemerlang untuk kegunaan tarmac sahaja atau denai lasak sahaja. Dua alam macam tulah...

Balik ke senarai jenis tayar

Untuk artikel penuh dalam bahasa omputeh sila ke http://www.timeoutdoors.com/experts/olibeckingsale.asp#articles.

No comments: