Ini adalah siri 2 dalam siri-siri Komponen MTB dan disiarkan secara berperingkat atas dasar "bila aku ada masa". Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung |
Bila mula-mula kita berkenalan dengan MTB, nampak saja basikal dengan ampaian depan, tayar lebar menggerutu, ada berbagai gear, maka kita kata itulah MTB. Bila dah lama sedikit berkecimpung, bentuk basikal yang kita jumpa makin pelbagai. Kitapun pukul borong panggil semuanya MTB. Tak salah, cuma tak berapa betul. Jadi sambil-sambil kita kayuh basikal kita, mari cuba mengenali jenis-jenis MTB dengan lebih terpeinci. Kita akan lihat dari 2 aspek. dari segi rekabentuk jenis kerangka dan disiplin tunggangan.
KATEGORI BASIKAL MTB MENGIKUT JENIS KERANGKA
Sebelum kita jalan jauh, cuba kita bincang dulu sikit bab istilah. Istilah KERANGKA ni saya pandai-pandai sendiri terjemah dari istilah FRAME. Kalau disemak kamus, Frame ada berbagai terjemahan. Yang paling hampir ialah BINGKAI dan RANGKA. Saya lebih cenderung kepada KERANGKA apabila melihat semula definisi KERANGKA. Jadinya, untuk keseluruhan artikel ini dan artikel-artikel lain dalam blog ini, istilah KERANGKA akan digunapakai untuk merujuk kepada frame basikal. OK, jadi dah selesai bab istilah, kita terus kepada perbincangan mengenai jenis kerangka basikal gunung. Dari sudut kategori kerangka, MTB boleh dibahagikan kepada;
- Kerangka keras (rigid frame)
- Ekor keras (hard tail)
- Ekor lembut (soft tail)
- Ampaian penuh (full suspension)
Kerangka Keras (Rigid Frame)
Dari namanya sudah boleh diagak yang basikal ini tidak mempunyai ampaian depan dan belakang. Keras! Ini adalah rekabentuk kerangka-kerangka awal MTB. Mutakhir ini, dengan penemuan logam dan bahan yang boleh melentur (flex) seperti gentian karbon dan titanium, sepit udang tegar kembali popular di kalangan mereka yang meminati kerangka keras yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Jenis basikal ini paling banyak di Malaysia. Jarang dibawa masuk denai kerana boleh mendatangkan gegaran maksimum kepada sipenunggang.
Ekor Keras (Hardtail)
Basikal yang mempunyai ampaian depan sahaja. Ampaian depan boleh melantun naik dan turun untuk menyerap hentakan manakala bahagian belakang (ekor) tiada sebarang penyerap hentak. Jarak ampaian bergantung kepada geometri kerangka dan disiplin tunggangan. Bermula dari sependek 80mm sehingga 140mm. Bahagian ekor tidak mempunyai penyerap hentak. Penunggang masih boleh merasa gegaran yang dihantar dari bahagian ekor. Gegaran tidaklah sehebat gegaran basikal keras.
Ekor Lembut (softail)
Sekali pandang nampak sama saja basikal ekor keras dengan ekor lembut. Di mana bezanya? Cuba perhatikan penyerap hentak comel pada sambungan kerangka pelana dengan tiub pelana. Gambar 1 adalah ekor lembut dengan ampaian depan manakala gambar 2 adalah ekor lembut dengan sepit udang depan jenis keras.
Rekabentuk ekor lembut(aaauwwww...) ini unik. Ia bagaikan kacukan di antara ekor keras dengan ampaian penuh. Basikal ekor lembut mempunyai satu ampaian kecil pada bahagian kerangka pelana (seat stay) yang menyambungkan kerangka pelana dengan tiub pelana. Tiada pangsi penyambung pada kerangka rantai (chain stay) dengan braket bawah. Gerakan naik turun kerangka belakang ditentukan oleh tahap kelenturan bahan yang digunakan untuk membuat kerangka rantai.
Ampaian penuh (Full suspension)
Kategori ini mempunyai ampaian depan dan belakang. Kerangka dibahagi kepada 2 bahagian. Kerangka depan dan belakang atau ekor. Kerangka belakang mempunyai satu sistem ampaian dan disambung dengan kerangka hadapan. Kerangka belakang disambung dengan kerangka depan menggunakan sama ada satu pangsi (pivot) atau lebih dari satu pangsi. Jarak ampaian ditentukan oleh geometri kerangka. Bila terhenyak, terlanggar bonggol dan sebagainya, bahagian yang terampai ini akan bertindak menyerap hentakan-hentakan dan sang penunggang terselamat daripada terpaksa mengangguk-anggukkan kepala.
JENIS MTB MENGIKUT DISIPLIN KAYUHAN
Bab ini meninjau kategori MTB mengikut jenis kayuhan yang dipengaruhi oleh bentuk mukabumi dan denai yang dilalui, bukan ditentukan oleh sang pengayuh. Jangan la pulak terkeliru dengan disiplin yang dipilih oleh sang pengayuh. Contoh mudah, kalau ada sorang pengayuh yang menggunakan basikal ekor keras untuk melungsur turun bukit, tidak menjadikan basikal itu sebuah basikal downhill. Bukanlah bermakna basikal ekor keras tidak boleh digunakan untuk melungsur turun bukit, cuma kerangka itu mungkin tidak dapat bertahan siksaan menuruni bukit. Boleh ikut? Tak boleh? Cuba soroti perenggan-perenggan seterusnya untuk lebih memahami.
Ringkasnya, disiplin kayuhan terbahagi kepada;- Merentas Desa (Cross Country)
- Semua Bukit (All Mountain - AM)
- Kayuh Bebas (Free Ride)
- Turun Bukit (Downhill)
Merentas Desa (Cross Country)
Basikal kategori ini direka berkisar kepada dua faktor utama - ringan dan kecekapan kayuhan. Rekabentuknya biasanya mempunyai sudut tiub kepala dan tiub pelana yang curam untuk memaksa pengayuh membongkokkan badan sedikit ke depan waktu mengayuh. Ampaiannya minima supaya setiap tenaga yang digunakan dihantar kepada tayar belakang untuk menggerakkan basikal dan tidak diserap oleh sistem ampaian. Bahan yang biasa digunakan ialah aluminium, gentian karbon, campuran logam, titanium, kromoli dan sebagainya untuk mendapat kerangka seringan mungkin dengan kekuatan yang cukup untuk menanggung segala deraan dan siksaan ringan kayuhan rentas desa. Untuk penghantaran kuasa, basikal ini biasa dilengkapi dengan 3 gegancu hadapan dan 9 gegancu belakang dengan variasi nisbah gear yang besar untuk kilasan kayuhan (torque) vs jarak perjalanan.
Ciri | Butiran |
---|---|
Kerangka | ekor keras, ekor lembut atau ampai penuh |
Geometri | tiub kepala 70°, tiub pelana 73°, tapak roda 43 inci |
Berat | 10kg - 13.5kg (20 - 30 paun) |
Jarak ampaian | 80mm - 100mm (3in - 4in), depan dan/atau belakang |
Jenis ampaian | redaman angin |
Setup roda depan | Rim XC ringan 32 lubang |
Setup roda belakang | Rim XC ringan 32 lubang |
Saiz tayar | 1.9 - 2.3 |
Brek | V - brek atau disc dengan cakera 6 inci |
Saiz engkol | 175mm - 180mm |
Gegancu hadapan | 3 keping 24 - 32 - 48 |
Gegancu belakang | 9 keping 11 - 34T |
Stem | 70mm - 130mm, 6 darjah |
Hendal | 23in - 25in panjang, lekuk 0 - 1.5in, 5° ke belakang, 4° ke atas |
Semua Bukit (All Mountain - AM)
Bentuk kayuhan semua bukit merupakan kacukan di antara disiplin rentas desa dengan kayuh bebas (Free Ride). Ringkasnya boleh kata XC yang ekstrimlah. Jenteranya direka untuk kecekapan kayuhan tetapi kerangkanya lebih berat dan tegap untuk menanggung deraan kayuhan teknikal ganas dan melibatkan sedikit sebanyak lompatan. Basikal ini biasanya mempunyai jarak ampaian yang lebih panjang berbanding basikal XC. Kerangkanya lebih berat kerana menggunakan tiub yang lebih tebal. Juga ditokok dengan pesak (gusset) yang dipasang pada sambungan-sambungan kritikal, pada sambungan tiub atas dengan tiub kepala misalnya, untuk mengukuhkan lagi kerangka. Untuk pindahan tenaga, mesin dilengkapi dengan 3 gegancu hadapan dan 9 gegancu belakang untuk memberikan banjaran gear yang luas.
Ciri | Butiran |
---|---|
Kerangka | ampai penuh |
Geometri | tiub kepala 68°, tiub pelana 73°, tapak roda 45in |
Berat | 12.5kg - 16kg (28-35 paun) |
Jarak ampaian | 100mm -150mm (4in - 6in), depan dan/atau belakang |
Jenis ampaian | redaman angin, ampaian spring gegelung |
Setup roda depan | Rim serbaguna, 32 lubang, gelendong cepat lepas |
Setup roda belakang | Rim serbaguna 32 lubang, gelendong kunci bol |
Saiz tayar | 26in, 2.25 - 2.5 |
Brek | cakera 6 inci depan belakang |
Saiz engkol | 175mm |
Gegancu hadapan | 3, 22t~46t |
Gegancu belakang | 9, 11t~ 34T |
Stem | 50mm - 90mm, 6 darjah |
Hendal | 24in - 26in panjang, lekuk 0 - 1.5in, 5° ke belakang, 4° ke atas |
Kayuh Bebas (Freeride (FR)
Kayuh Bebas? Alamak! Macam tak sedap saja bunyinya. Nak tak nak terpaksa terima dulu buat masa ini. DBP belum keluarkan terjemahan resmi lagi. Hantam sajalah…
Basikal FR direka untuk menanggung deraan lompatan besar dan tunggangan teknikal yang ekstrem. Mungkin termasuk dalam kategori basikal paling versatil dalam disiplin tunggangan ekstrem teknikal. Ditambah dengan perkembangan dan kemajuan teknologi ampaian dan kerangka belakang, basikal FR mampu dikayuh untuk kerabat bukit (walau tidak sehebat basikal XC) dan boleh dikendalikan pada kelajuan rendah walaupun pada kedudukan pelana yang rendah. Biasanya menggunakan hanya satu gegancu hadapan dengan 9 gegancu belakang. Ini bertujuan memendekkan rantai yang akan mengurangkan tamparan rantai dan tersalah tukar gear.
Ciri | Butiran |
---|---|
Kerangka | ampai penuh |
Geometri | tiub kepala 66°, tiub pelana 71°, tapak roda 45.5in |
Berat | 14.5kg - 20kg (32-45 paun) |
Jarak ampaian | +150mm (+ 6in), depan dan/atau belakang |
Jenis ampaian | redaman angin, ampaian spring gegelung |
Setup roda depan | Rim tugas berat, 36 lubang, gelendong 20mm gandar tembus |
Setup roda belakang | Rim tugas berat, 36 lubang, gelendong 10mm kunci bol |
Saiz tayar | 26in, 2.5 - 2.7 |
Brek | hidrolik, cakera 8 inci (203mm) depan belakang |
Saiz engkol | 170mm |
Gegancu hadapan | tunggal, 32t~46t |
Gegancu belakang | 9, 12t~ 34T |
Stem | 30mm - 70mm, 10° |
Hendal | 24in - 27in panjang, lekuk atas 1.5”-2.5”, 9° ke belakang, 4° ke atas |
Turun Bukit (Downhill – DH)
Untuk melungsur dan meluncur turun bukit, basikalnya mesti mampu menahan deraan tunggangan teknikal ekstrem pada kelajuan tinggi. Biasanya dilengkapi ampaian sehingga 8 inci untuk meratah lompatan-lompatan tinggi, menerjun dari tebing-tebing curam dan taman-taman batu selagi mana si penunggang berani menerjah. Tapak rodanya panjang dan pelana rendah untuk kestabilan, membuatkan ianya tidak sesuai untuk kayuh-kayuh santai pada denai-denai biasa. Mendaki dengan jentera ini jauh sekali. Biasanya di bawa naik ke puncak bukit dengan kenderaan lain – trak, kereta kabel atau helikopter! Atau…Tolak la sendiri.
Ciri | Butiran |
---|---|
Kerangka | ampai penuh |
Geometri | tiub kepala 64 drj, tiub pelana 65, tapak roda 47in |
Berat | 15.5kg - 27kg (35-60 paun) |
Jarak ampaian | 150mm - + 200mm(6in - + 8in), depan dan/atau belakang |
Jenis ampaian | redaman minyak, ampaian gegelung |
Setup roda depan | Rim DH, 36 lubang, gelendong 20mm |
Setup roda belakang | Rim DH, 36 lubang, gelendong 10mm kunci bol |
Saiz tayar | 26in, 2.3 – 3.0 |
Brek | hidrolik, cakera 8 inci depan belakang |
Saiz engkol | 170mm |
Gegancu hadapan | tunggal, 32t~46t |
Gegancu belakang | 9, 12t~ 34T |
Stem | 30mm - 70mm, 10 darjah |
Hendal | 26in - 28in panjang, lekuk atas 1.5”-2.5”, 9 darjah ke belakang, 4 darjah ke atas |
No comments:
Post a Comment