Artikel ini merupakan siri 1 dalam siri-siri Komponen MTB dan disiarkan secara berperingkat atas dasar "bila aku ada masa". Penulis bukan orang yang berpengalaman luas dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukakn kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Beskal Gunung |
Set kepala (macam lawak bunyinya kalau sebut dalam bahasa melayu, tu tak try bahasa jawa lagi tu) adalah komponen basikal yang memberikan sambungan berputar di antara sepit udang (fork) dengan kerangka basikal. Paksi penyambungan ialah pada tiub kepala (head tube) yang menjadi perumah kepada set kepala. Bahagian asas set kepala biasanya mempunyai 2 mangkuk yang dipasang melekap pada bahagian atas dan bawah tiub kepala. Di dalam mangkuk-mangkuk itu diletakkan alas bebola yang biasanya dilumurkan dengan minyak gris untuk mengurangkan geseran dan melicinkan pergerakan satah sepit udang.
Teknologi dan kemajuan berubah, merobah reka bentuk dan rupa set kepala. Kita akan melihat beberapa jenis set kepala yang biasa digunakan pada MTB.
SAIZ SET KEPALA
Basikal tradisional menggunakan tiub kepala dan set kepala untuk tiub kemudi (steerer tube) bersaiz garispusat 1 inci. Trend sekarang, ramai pengeluar mula beralih dari 1 inci ke 1 1/8 inci. Saiz tiub kepala dan set kepala yang lebih besar memberikan ketegaran yang lebih kepada bahagian pengemudian basikal.
Saiz set kepala yang biasa...
- 1" or 1 inci
- 1.125" or 1 1/8 inci
- 1.25" or 1 1/4 inci
- 1.5" or 1 1/2 inci, sepertimana yang digunakan oleh OnePointFive International Standard.
- Cannondale Headshok. Cannondale headshok agak unik dan tersendiri. Walaupun tiub kemudi hampir 1.5" saiz sebenarnya ialah 1.5625". Dimensi tiub kepala untuk 1.5" dengan Headshok agak hampir, melainkan sedikit perbezaan kecil pada "press depth".
JENIS-JENIS SET KEPALA
Set Kepala Berbenang (Threaded headsets)
Set ini jenis yang awal. Disebut "berbenang" kerana tiub kemudi pada sepit ada mempunyai lorekan bebenang untuk menguncikan set kepala kepada tiub kepala. Biasanya mempunyai komponen-komponen berikut;
- Nat pengunci
- Pelapik
- Kon atas
- Bebola (bearing) atas
- Mangkuk atas
- Mangkuk bawah
- Bebola bawah
- Kon bawah
- Set kepala bebenang memerlukan tiub kemudi yang bebenang. Pengeluar basikal terpaksa membuat atau membeli sepit udang yang berbagai saiz untuk disesuaikan dengan saiz tiub kepala yang berbeza-beza. Jika dibandingkan dengan set kepala tiada bebenang, set kepala dan sepit udang yang tiada bebenang lebih murah kerana tiada kos melarik bebenang dan satu saiz sepit udang boleh digunakan untuk semua saiz tiub kepala.
- Kos pemasangan set kepala lebih murah kerana lebih mudah dipasang.
- Sepit udang bebenang biasanya lebih berat dari sepit udang dan set kepala tiada bebenang.
- Stem untuk set tiada bebenang melekap dengan lebih utuh pada sepit udang, memberikan tegaran yang lebih baik pada pegangan hendal. Stem jenis bebenang dipasak masuk ke dalam tiub kemudi pada sepit udang jenis bebenang. Ia dipasak ke tiub kemudi menggunakan baji. Untuk stem jenis tiada bebenang, stem disarungkan di bahagian luar tiub kemudi dan mencengkam tiub kemudi dari luar.
- Disebabkan stem untuk jenis bebenang dipasang ke dalam tiub kemudi, air mudah menyerap masuk menyebabkan berlaku hakisan dan karatan hingga akhirnya stem "melekat" kepada tiub kemudi dan sukar ditanggalkan.
- Peralatan yang besar dan mahal diperlukan untuk penyelenggaraan dan pelarasan bebola. Alatan yang besar sukar untuk dibawa bersama bila berkayuh.
Set Kepala Tiada Berbenang (Threadless headsets)
Juga dipanggil set kepala A. Kenapa? Entahlah...Rekabentuk set kepala masih berasaskan set kepala bebenang. Komponen masih lagi 2 set bebola dan mangkuk. Perbezaan yang paling besar ialah set kepala tiada bebenang tidak mempunyai kon atas yang beralur dan tidak menggunakan tiub kemudi yang beralur. Sebaliknya, tiub kemudi untuk set tiada bebenang menjulur masuk melalui tiub kepala dan melepasi set kepala dengan lebihan ruang untuk stem berpaut. Set kepala tiada bebenang dikuncikan pada tempatnya dengan stem yang dipasang di atasnya.
Untuk mengetat/melonggarkan set kepala, hanya satu bolt diperlukan. Bolt ini dipasang di atas stem dan dilapisi satu penutup. Bolt dipasang pada satu nat bintang yang diasak masuk ke dalam tiub kemudi. Nat bintang ini berperanan seperti sauh dengan mencengkam bahagian dinding dalam tiub kemudi dan memberikan daya tekanan ke bawah. Apabila dikunci, akan terhasil daya tekanan ke bawah yang akan mengetatkan stem kepada set kepala. Tahap tekanan dikira mencukupi apabila tiada luang pada set kepala dan sepit udang boleh dipusing tanpa rintangan yang berlebihan. Akan tetapi, bolt sahaja tidak memadai untuk mengemaskan pegangan. Stem perlu dikunci kemas setelah pelarasan yang optima didapati.
Set Kepala Bersepadu (Integrated headsets)
Pendatang baru dalam arena set kepala ini. Dikatakan bersepadu kerana tiub kepala disepadukan menjadi sebahagian set kepala. Bahagain bawah dan atas tiub kepala dikembangkan untuk menakung bebola (biasanya bebola kedap katrij) menggantikan mangkuk atas dan bawah pada set bebenang dan set A. Ini menurunkan bilangan komponen sekaligus mengurangkan berat beberapa gram. Mungkin tidak begitu signifikan tetapi sangat bermakna buat weight weenie.
Kehadiran set bersepadu ini disambut dengan berbagai pendapat. Biasalah, ada pro ada kontra. Di sebelah pronya, kerana set ini lebih ringan dan pemasangannya lebih mudah. Di sebelah kontranya, dikatakan mengancam prestasi kerana tempat duduknya bebola adalah di dalam tiub kepala. Sekiranya tiub kepala tidak dicanai dengan betul, maka bebola tidak duduk dengan betul. Untuk jangka panjang, ini akan menyebabkan geseran dan hakisan pada tiub kepala. Hendal akan bergoyang apabila set kepala longgar menjejaskan pengendalian. Setakat ini spekulasi semata. Belum ada bukti saintifik konkrit. Terpulang pada anda mana mahu pilih.
Set Kepala Dalaman (Internal headsets)
Yang ini macam dua alam. Duduk tengah-tengah. Dipanggil juga dengan nama separa-sepadu (semi-integrated). Chewah!..Rupanya macam set tiada bebenang cumanya bebolanya, tidak duduk di dalam mangkuk, sebaliknya duduk di dalam tiub kepala.
Sekian dulu untuk kali ini. Semoga kepala anda tidak berpusing-pusing selepas membca artikel tentang set kepala. Lepas kepala kita tengok cerita pasal badan pulak...
No comments:
Post a Comment