Tuesday, May 27, 2014

10 Salah Tanggapan Umum Tentang Basikal

D alam setahun dua ini bagai ada ledakan dalam kegiatan berbasikal di Malaysia.  Saya tidak ada perangkaan rasmi untuk menyokong pernyataan ini.  Sekadar perhatian rambang dari bilangan pengayuh yang muncul di jalanraya dan denai-denai.  Kedai-kedai basikal di sekitar rumah saya juga berkembang biak.  Semakin ramai yang kembali berbasikal sama ada untuk
riadah, rekreasi atau sukan.  Acara dan jamboree semakin banyak kedapatan hingga berpinar mata untuk memilih yang mana satu.

Dalam keghairahan untuk kembali berbasikal atau mencuba untuk berbasikal, ada beberapa tanggapan salah mengenai berbasikal.  Saya cuba kongsikan beberapa pemerhatian sebagai panduan kepada mereka yang ingin/bercadang untuk berbasikal.  Pemerhatian ini merangkumi semua jenis basikal secara umum.  Jika khusus untuk jenis-jenis tertentu, akan dinyatakan.

10 Salah Tanggapan Umum Tentang Basikal (Bukan dalam urutan kepentingan.  Nombor hanyalah sekadar untuk rujukan)

10.  Lagi mahal lagi bagus.
Lagi mahal harga sesuatu basikal, lagi bagus basikal itu.  Tanggapan ini mungkin benar pada permukaannya sahaja.  Tidak semestinya.  Untuk mereka yang belanjawan besar mungkin tiada masalah.  Belanjalah berapa yang hendak dibelanjakan untuk sebuah basikal.  Tetapi, untuk mereka yang terhad belanjawannya, tidak perlu bersusah payah berhabisan untuk membeli basikal yang mahal.  Belilah basikal yang sepadan dengan kemampuan dan tujuan kayuhan anda.  Saya selalu cakap... "Biar kayuhan lebih mahal dari basikal".  Itu yang penting.  Tingkatkan nilai kayuhan anda...

9.  Pelana tinggi sangat.  Susah bila berhenti.
Untuk mendapatkan keselesaan dan output kayuhan optimum, tinggi pelana perlu dilaras supaya kaki hampir lurus dalam keadaan rakap berada di bawah sekali.  Bila dilaras begini, pengayuh terpaksa berginjat bila berhenti.  Ramai, terutama yang baru berjinak, tidak selesa berhenti dalam keadaan begitu.  Ramai yang lebih selesa dengan ketinggian pelana yang membolehkan tapak kaki berpijak penuh pada tanah bila berhenti.

Cuba fikir sejenak.  Bila kita mencelapak ke atas basikal, adakah kita akan duduk bertenggek saja tanpa berkayuh?  Berapa lamakah kita berhenti berbanding dengan berapa lama kita berkayuh?  Jadi, kedudukan ketika berhenti atau berkayuh yang perlu diutamakan?

8.  Lagi ringan lagi bagus.  Boleh angkat satu jari woooo.
Sangat biasa kita dengar "Basikal ringan woooo... boleh angkat satu jari...".  Satu jari sudah menjadi piawai keringanan basikal sejak sekian lama.  Zaman saya sekolah rendah, piawai ini sudah digunakan.  Memanglah basikal yang berat agak memenatkan bila dikayuh.  Tetapi, tidak semua basikal yang ringan itu lebih bagus.  Biasanya, untuk mendapat basikal ringan, poket anda juga kena diringankan untuk membeli komponen-komponen yang ringan, yang lazimnya mahal.

Tanya diri anda seringan mana anda mahu.  Tanya juga diri anda berapa ringan sanggup anda ringankan kocek anda.  Keringanan mungkin memberikan impak besar jika anda seorang pelumba.  Tidak mengapalah untuk pelumba kerana lazimnya mereka mendapat tajaan.  Bukan poket mereka yang meringan, tetapi kocek penaja.  Untuk mereka yang berkayuh untuk riadah dan rekreasi, kelebihan berat sekilo dua tidak memberikan impak besar kepada prestasi kayuhan anda.  Malah mungkin lebih baik kerana anda mendapat gerakerja otot yang lebih dek kerana berat itu.  

7.  Jangan pakai brek depan.  Bahaya nanti tertonggeng.
Mitos pakai brek depan boleh tertonggeng ini sudah sekian lama menghantui pengayuh.  Kalau betul penggunaan brek depan boleh menyebabkan penunggang dihumban melepasi palang hendal hingga tertomoih patah gigi, kenapa pengeluar masih memasang brek depan pada basikal?  Baik tak payah buat langsung brek depan.

Yang jadi punca tertomoih bukan kerana brek depan tetapi kerana SALAH GUNA dan teknik membrek yang salah.  Tahukah anda bahawa nisbah kuasa membrek yang betul ialah 80 : 20.  80% depan dan 20% belakang.  Jadi, manfaatkan brek depan.  Belajar menggunakannya dengan cara dan kaedah yang betul.  Ia akan jadi penyelamat anda.  Juga menyumbang kepada lebih keyakinan bila menghadapi halangan teknikal.

6.  Segan la nak pakai helmet dan sarung tangan.  Macam beria sangat.
Memang helmet/ topi keledar tidak boleh menjamin nyawa anda dari maut.  Memang sangat.  Akan tetapi...Kalau kepala terhantuk ke pokok atau tanah atau batu dan anda tak mati, tanpa helmet, sakit sangat rasanya.  Saya sudah merasai sendiri beberapa insiden yang kesakitan kepala terhindar/ berkurang dengan pemakaian helmet...

Sarung tangan bergunan untuk mengurangkan keringsaan pada tapak tangan, membantu cengkaman bila tangan mulai berpeluh dan melindungi tapak tangan daripada luka apabila terjatuh.

Memang mulut orang akan berkata macam-macam.  Tapi...andai berlaku kemalangan (yang kita tak pernah minta pun), yang sakit bukan mereka, tapi kita.  Kita yang patut ikhtiar untuk keselamatan dan perlindungan diri sendiri...

5.  Anu jadi lemah dan boleh mandul
Ini ketakutan dan mimpi ngeri pada pengayuh lelaki.  Saya belum pernah berjumpa lagi kajian perubatan dan saintifik yang mengesahkan bahawa berkayuh basikal boleh melemahkan syahwat dan menyebabkan kemandulan.  Memang ada satu dua kajian tetapi rumusannya tidak konklusif.

Di kalangan rakan pengayuh juga belum lagi berjumpa mereka yang menghadapi masalah syahwat dan kemandulan.  Yang anak berderet, ramai...

4.  Kedudukan tengah tapak kaki atas rakap/pedal
Persoalan ini berkait dengan persoalan pelana tinggi.  Bahagian tengah tapak kaki diletakkan di atas rakap/pedal.  Ini kerana anggapan bahawa kedudukan tengah itu kedudukan terbaik untuk cengkaman tapak kaki ke rakap dan juga keseimbangan.

Kedudukan tapak kaki yang betul ialah sepertiga hadapn kaki diletakkan di atas rakap sesuai dengan anatomi tulang dan otot manusia.  Kedudukan ini memberikan tujahan kaki dan kecekapan maksimum bila berkayuh berbanding dengan kedudukan tapak kaki sama tengah.

3.  Basikal ampaian penuh untuk keselesaan
Basikal ampaian penuh adalah basikal yang mempunyai ampaian ("spring" kata orang) di depan dan belakang.  Saya sering-sering ditanya oleh orang yang nak bermula berkayuh yang menyangkakan basikal ampaian penuh itu untuk keselesaan.  Kononnya, basikal tidak bergegar dan segala hentakan akan diserap oleh spring.

Anggapan mungkin benar untuk motorsikal dan kereta yang mempunyai berat lebih daripada basikal.  Untuk basikal, tekanan angin pada tayar sudah boleh menyerap hentakan dan gegaran di atas jalan tar dan jalan tanah biasa.  Tidak perlu ampaian jika kayuhan di jalanraya berturap yang anda inginkan.

Disebaliknya, ampaian pada basikal itu boleh menjadi musibah kepada anda.  Kenapa?  Daya tujahan untuk kayuhan itu tidak diterjemahkan atau dihantar sepenuhnya kepada putaran roda belakang.  Sifat anjal pada sistem ampaian "mencuri" sebahagian daripada kederat daya tujahan anda.  Kayuhan menjadi kurang cekap.  Basikal akan berhenjut dalam apa yang dipanggil "pedal bob" (alunan kayuhan).

2.  Lagi banyak gear lagi bagus
Gear pada basikal telah melalui evolusi yang besar dalam beberapa dekad ini.  Bilangan gear dikira berdasarkan bilangan piring gegancu pada engkol dan bilangan piring pada sproket/keset.  Menjadi tanggapan biasa bahawa lagi banyak gear lagi bagus.  Pada satu ketika 3x7 dikira hebat.  Kemudian muncul 3x8.  Naik setakah lagi 3x9.  Terus maju dengan 3x10.  30 gear engkau!  Selepas itu datang 4x14 pulak.  Cheh!  Mana ada 4x14.  Yang datang 1x11.  Haaa!  Kenapa pulak?  Dari 30 bilangan gear, turun jadi 11 saja.  Aikkk....?!!!

Nyatanya, bukan bilangan gear itu yang penting, tetapi nisbah gear yang boleh diraih daripada kombinasi gear depan dan belakang.  Dalam sistem 3x9 atau 3x10, ada kombinansi gear yang memberikan nisbah gear yang bertindih.  Dan ada juga kombinasi gear yang tidak dipakai.  Kombinasi gear kecik depan kecik belakang dan besar depan besar belakang lazimnya tidak dipakai kerana rantai berada dalam kedudukan ekstrim.  Jadi, jumlah gear berkesan yang sebenarnya bukanlah bilangan gear depan darab gear belakang.

Maka sekarang, pengeluar, setelah mengkaji gear untuk kegunaan optimum mendapati nisbah-nisbah gear tertentu yang diperlukan untuk basikal lasak.  Sebab itu lahir sistem 2x10 atau 1x11.  Cukup dan memadai tanpa perlu membawa beban berat berebihan.

1.  Laju itu merbahaya!
Kelajuan itu bagaikan api.  Kecil sangat, nak bakar apapun tak boleh.  Bijak menggunakannnya, api berguna untuk memasak, melebur logam, membentuk kaca dan pelbagai kegunaan lagi yang memberi manfaat besar kepada manusia.  Itu berlaku pada tahap kepanasan yang berbeza.  Dibiarkan terlalu besar, akan menjadi tidak terkawal membakar luluh hangus rentung segala apa yang boleh dilahapnya.

Begitu juga kelajuan pada basikal.  Ada tempat yang kita perlu perlahan, ada tempat yang kita perlu kelajuan untuk kayuhan yang lebih lancar dan upaya melepasi halangan.

Anda sebagai pengayuh, harus menjadi pengawal api yang bijak.  Harus tahu bila api perlu dibesarkan dan dikecilkan dan harus pandai dan bijak mengawal marak api supaya anda mendapat manfaat sepenuhnya daripada kayuhan anda.


Nah, garapan di atas adalah hasil pemerhatian dan pengalaman saya berhadapan dengan mereka yang mahu berjinak dengan basikal.  Mungkin tidak tepat sepenuhnya tetapi rasanya tidak tersasar jauh.  Semoga catatan ini boleh menjadi penduan berguna kepada semua terutama yang mahu mula berjinak dengan basikal.


1 comment:

Anonymous said...

salam.saya nak mencari mentor mtb utk women rider ada tak...dah mencari di blog2 belum berjumpa.kalau ada contact women rider bagus juga dikongsi.