Saturday, November 07, 2009

### H A S H ###???

Hash? Apa tu? Jangan peduli dengan hash lain yang pernah anda tahu. Kita akan bercakap tentang hash MTB.


PENGENALAN

Secara mudahnya, HASH ialah acara berbasikal MTB beramai-ramai, mengikut laluan desa yang ditandakan terlebih dahulu. Biasanya disediakan 2 laluan - pendek dan panjang. Laluan pendek biasanya untuk peserta baru, anak-anak atau mereka yang lebih suka kayuhan santai dan tidak terlalu menerukkan. Sebaliknya, laluan panjang lebih jauh jaraknya dan lebih mencabar dari segi bentuk rupabumi. Hash bukan perlumbaan, sebaliknya lebih condong kepada aktiviti sosial.

Hash basikal biasa juga dipanggil BASH, gabungan perkataan Inggeris bike + hash. Bash adalah kembangan kepada hash, iaitu aktiviti berlari merentas desa melalui laluan yang telah ditandakan. Format dan peraturan hash larian dan hash basikal tidak banyak berbeza. Yang berbeza hanya bash menggunakan basikal manakala hash menggunakan kaki. Bash di Kuala Lumpur dikendalikan oleh Kuala Lumpur Mountain Bike Hash (KLMBH).

Acara bash ini sepatutnya menjadi acara kembara yang mengujakan dan menyeronokkan. Ya, tentunya memenatkan, tetapi di sebalik keletihan dan kepenatan terserlah kepuasan. Di samping itu, terjalin perkenalan sesama peserta yang datang dari berbagai latar sosial. Namun, seringkali berlaku juga rungutan di kalangan peserta menyebabkan acara ini sedikit tercalar. Sepanjang pemerhatian saya, masalah berlaku kebanyakannnya kerana kurang atau salah faham tentang bash. Maka, berbekalkan sedikit pengetahuan dan pengalaman menyertai dan mengendalikan hash, saya cuba berkongsi maklumat supaya bash dapat lebih difahami dan penyertaan jadi lebih bermakna.

SEBELUM BASH - PENGANJUR

Apa yang berlaku pada hari bash nampak macam mudah. Tak ramai yang tahu sebenarnya banyak masa, tenaga dan wang dibelanjakan dalam menyediakan sesuatu bash. Dan semuanya dilakukan secara sukarela!
  • Penyediaan laluan
    Persediaan utama ialah laluan. Kerja-kerja ini dilakukan oleh sekumpulan sukarelawan sama ada ahli KLMBH atau bukan. Mereka ini digelar HARE. Mereka akan meninjau kawasan yang dipilih untuk diadakan bash. Laluan dan denai dikenalpasti. Jika perlu, laluan dan denai baru akan dibuat untuk menyambung laluan dan denai sedia ada. Bukan kerja mudah. Semuanya menggunakan kederat tulang empat kerat. Kerja-kerja tinjauan ini memerlukan mereka masuk ke kawasan berkenaan beberapa kali. Penggunaan alat GPS membantu memudahkan kerja tinjauan dan penandaan laluan.
    Untuk menjadikan bash lebih menyeronokkan dan mencabar dan juga memperlahankan peserta hadapan (yang biasanya laju), hare akan menambahkan cabaran tambahan dalam bentuk;
    • checks
      Checks adalah bahagian laluan yang diputuskan daripada laluan asal. Satu tandaan checks akan dibuat bagi memberitahu peserta yang trail diputuskan, biasanya dalam bentuk longgokan kertas. Peserta yang pertama sampai perlu mencari sambungan kepada laluan yang sepatutnya. Kita akan lihat dengan lebih mendalam dalam bahagian hari kayuhan

    • false trail
      False trail atau laluan palsu ialah laluan yang bertanda seolah ianya laluan sebenarnya. Laluan ini menyimpang daripada laluan sebenar dan berakhir dengan tandaan atau pada laluan mati. Lazimnya berkahir dengan "memanjat" pokok atau dengan tanda X pada atas tanah.
  • Makluman
    Pada masa yang sama, makluman dan pengumuman akan dibuat memaklumkan tarikh dan lokasi hash. Biasanya 2 minggu lebih awal. Untuk memudahkan peserta, panduan pandu arah ke tempt bash bermula juga disertakan. Pada zaman canggih ini makluman dibuat melalui internet melalui forum forum KLMBH atau laman web KLMBH. Rajin-rajin menyemak laman web tersebut untuk makluman mutakhir tentang bash bulanan.
  • Penandaan laluan
    Setelah selesai kerja penyediaan laluan, laluan perlu ditandakan. Ini biasanya berlaku sehari sebelum hash. Laluan akan di tandakan dengan kertas. Kertas dipilih kerana sifatnya yang mudah reput, dan warna putih yang jelas kelihatan. Biasanya dua bentuk kertas digunakan untuk membezakan laluan pendek dan laluan panjang. Ada juga hare yang menggunakan kertas cari dari mesin pencarik (shredding machine). Bagi laluan tar biasanya tepung gandum digunakan.

  • Papan tanda untuk ke tempat berkumpul
    Walau bukan satu kemestian, ada hare yang mengambil inisiatif memasang papan tanda sebagai panduan ke tempat berkumpul. Biasa di pasang pada simpang-simpang utama. Biasanya, ini akan dimaklumkan dalam makluman bash. Perhatikan papan tanda ini untuk memudahkan anda mencari tempat berkumpul.

SEBELUM BASH - PESERTA

Sebagai peserta, beberapa tindakan perlu diambil sebelum hash. Walaupun acara ini acara santai, tidak bermakna ia boleh diambil mudah. Disarankan supaya peserta mengambil tindakan berikut;
  • Memastikan basikal berada dalam keadaan baik dan siap untuk digunakan. Tidak perlulah diperincikan bagaimana memastikan basikalberada dalam keadaan baik. Basikal yang meragam dalam perkayuhan adalah sesuatu yang tidak diperlukan dan merosakkan keseronokan hash. Basikal yang diperlukan ialah sebuah basikal mountain bike. Tak perlu basikal hebat dan mahal. Sekurang-kurangnya mempunyai 21 gear. (3 hadapan, 7 belakang). Ampaian depan sesuatu yang bagus. Amapaian depan dan belakang lebih bagus lagi.
  • Mengenalpasti lokasi tempat berkumpul. Biasa terjadi peserta tersesat dan tidak sampai ke tempat berkumpul kerana tidak pedulikan panduan pandu arah yang diberikan. Sama ada terlewat sampai atau tak sampai langsung. Selamatkan diri anda daripada masalah ini dengan meluangkan sedikit masa meneliti pandu arah yang diberikan. Penggunaan Google Maps sangat membantu. Tambahan pula sekarang ini kordinat GPS turut disertakan. Jangan lupa masukkan kordinat GPS tempat berkumpul ke dalam unit GPS anda.
  • Pilih laluan mana yang akan dikayuh. Anda kenal diri dan kemampuan anda. Pilihlah laluan yang sesuai dengan anda berdasarkan maklumat yang diberi.
  • Kelengkapan berkayuh seperti;
    • air minum. Sesuatu yang sangat penting. Biasanya dalam 3 liter diperlukan terutama kalau hari panas. Amat penting memastikan anda ada bekalan air secukupnya untuk mengelakkan masalah nyah-hidrat. Anggaran keperluan air ialah 1 liter untuk 1 jam kayuhan.
    • garam hidrasi (oral rehydration salt) untuk membantu menggantikan elektrolit badan.
    • snek atau makanan ringan pemberi tenaga - pisang, buah kurma, bijirin dan sebagainya
    • tiub gantian - tiub bocor semasa berkayuh biasa berlaku. Bawa tiub gantian supaya anda tidak terkandas kerana tayar tidak berangin.
    • alatan - alatan membaiki asas untuk kerosakan kecil. Biasa datang dalam set yang mudah dibawa.
    • pam
    • alat pemotong rantai
    • penyambung rantai (chain connector)
    • tuil tayar
    • penampal tiub dan gam
    • spanar untuk jejari basikal
    • krim/losyen pelindung mentari - kalau anda tak mahu kulit anda terbakar
    • ubat pencegah nyamuk/pacat
    • topi keledar - yang sesuai untuk basikal
    • kasut yang sesuai - kasut bertapak keras dengan bunga tebal untuk cengkaman
    • sarung tangan
    • cermin mata - sama ada gelap atau cerah. Untuk melindung mata anda dari abuk, debu, lumpur, ranting dan sebagainya
    • kamera - untuk merakamkan saat-saat tak ternilai. Jangan lupa untuk membawa bateri atau mengecas kamera anda.
  • Bawa salinan baju, seluar, pakaian dalam dan seumpama. Tuala dan alatan mandi sekiranya ingin mandi sebelum pulang.
  • Rehat/tidur secukupnya malam sebelum hash
  • Ada baiknya semua barang disiapkan pada malam sebelum hash supaya tidak berlaku keciciran

HARI BASH - D-DAY

Setelah semua persiapan siap, datanglah hari besar, hari yang dinantikan. Kemuncak kepada semua acara akan berlaku pada hari ini. Dinasihatkan kepada peserta supaya mengambil sarapan secara sederhana. Juga jangan lupa "melegakan" diri anda. Buang apa yang patut. Nanti bila sudah masuk ke dalam trail, yang ada cuma "tandas terbang". Datanglah awal sikit jika mahukan parkir yang selesa. Juga supaya anda cukup masa untuk bersarapan, menyiapkan basikal, mendaftar dan bergambar! Untuk yang muslim, elok juga jika dibawa bersama kelengkapan untuk bersolat. Dalam perjalanan ke tempat berkumpul, perhatikan kedudukan masjid, surau atau musolla terdekat. Ini akan memudahkan urusan solat selepas berkayuh nanti.
  • PENDAFTARAN
    Petugas KLMBH akan datang se awal jam 8.00 pagi untuk membuka kaunter pendaftaran. Semua peserta diwajibkan mendaftarkan diri. Tujuannya supaya penganjur dapat mengenalpasti jumlah perserta dan dapat memastikan semua peserta keluar dengan selamat. Dua kaunter akan dibuka, untuk ahli dan untuk tamu. Untuk ahli KLMBH, pendaftaran bash adalah percuma. Untuk tamu dikenakan sedikit bayaran RM10.00 sahaja.
    Setiap peserta akan diberikan nombor tag. Ahli tag berwarna hijau, dan tamu tag berwarna kuning. Tag ini perlu dipasangkan pada basikal. Selain dari itu, dibelakang tag terdapat nombor kecemasan KLMBH untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan

  • TAKLIMAT
    Sekitar jam 9.15 pagi, semua peserta akan diminta berkumpul untuk taklimat. Taklimat ini penting kerana hare akan memaklumkan maklumat hash. Sila beri perhatian. Perkara yang akan disentuh;
    • jarak laluan pendek/santai dan laluan jauh
    • tandaan pada laluan - bentuk kertas, tepung, tali rentang dan sebagainya
    • bilangan checks, dan jenis checks untuk setiap laluan dan laluan palsu, sekiranya ada.
    • ringkasan laluan - rupabumi, kecerunan, tarikan
    • Laluan keluar (bail out point) - laluan yang boleh diambil sekiranya anda berubah fikiran daripada laluan panjang ke laluan pendek dan sebaliknya
    • peringatan keselamatan - topi keledar, sentiasa ikut kertas dsb
    • pemilihan "scribe" - wartawan tak rasmi untuk menulis laporan bash. Tiap seorang diperlukan untuk setiap laluan. Tunjukkan bakat anda dalam penulisan. Tawarkan diri untuk menjadi scribe.
    • pertanyaan - sekiranya ada.
    Sekali lagi diingatkan supaya jangan diambil mudah taklimat ini. Dengar dan ambil perhatian. Ia boleh menyelamatkan anda dari banyak masalah.

  • KAYUHAN BERMULA!
    Kayuhan bermula sebaik taklimat tamat. Biasanya dengan kata-kata ON ON daripada pemberi taklimat. Berkayuhlah mengikut laluan yang telah dipilih dan jangan lupa pada perkara-perkara yang disebut semasa taklimat. Bash bukan perlumbaan, tapi tidak bermakna anda tidak boleh memecut pergi. Cuma ingatlah adab-adab berkayuh dan tatacara bash. Semasa berkayuh inilah anda kan berjumpa dengan perkara-perkara yang disebutkan di atas;
    • CHECKS
      Bila laluan tiba-tiba terputus dari tandaan dan terdapat setimbun kertas bermakna anda telah berjumpa dengan CHECK. Tujuan check ialah untuk memperlahankan peserta hadapan, membolehkan merekayang sedikit perlahan di belakang mengejar semula peserta di hadapan. Dalam taklimat telah disebutkan bilangan checks yang akan ditempuh. Laluan akan bersambung pada sebarang arah dalam jarak 75m-150m dari check bergantung kepada budi bicara hare (dan dipengaruhi oleh bentuk mukabumi). Terdapat beberapa jenis check;
      • check hadapan
        check paling asas. Sambungan laluan di hadapan check.
      • check belakang
        sambungan laluan mungkin berada di belakang check. Untuk mencari sambungan, peserta perlu menjejak ke belakang.
      • check pusingan
        check yang seperti round-about. Peserta akan dibawa berpusing sejauh 400m-500m (biasanya mengelilingi bukit atau halangan lain) dan akan kembali semula ke tempat check bermula. Sambungan laluan sebenar berada dalam jarak 150m daripada check.

    • LALUAN PALSU (FALSE TRAIL)
      Laluan palsu bermula dalam anggaran 150m dari check, berlangsung sejauh 150m. Laluan palsu berakhir dengan beberapa tandaan bagi menunjukkan ianya laluan palsu. Laluan palsu bermakna anda perlu berpatah balik ke check dan cari laluan sebenar. Laluan palsu dikenalpasti dengan;
      • laluan yang terputus tanpa ada longgokan kertas dihujungnya
      • berakhir pada halangan, jalan mati, pokok (mungkin terdapat kertas yang "memanjat" pokok
      • berakhir dengan tanda X
      Semua ini akan dinyatakan semasa taklimat. Bila dipastikan yang ianya laluan palsu, peserta perlu mengutio dan membersihkan kertas supaya peserta lain di belakang tidak ikut "terkena" dengan laluan palsu. Saya pernah mengikut peserta yang marah-marah bila "terkena" laluan palsu. Itu berlaku kerana peserta tersebut baru dan tidak memahami peraturan permainan

    • MENUTUP CHECK
      Apabila sambungan laluan yang sebenar dijumpai, peserta yang menunggu di check akan mengmbil kertas dari longgokan dan menyambung laluan yang telah terputus. Kertas akan ditabur dari check sehingga ke sambungan laluan sebenar. Kertas yang hendak digunakan untuk menutup check perlu dikoyakkan sedikit untuk memberitahu peserta belakang bahawa terdapat check di situ sebelumnya dan check telah ditutup. Mereka boleh mengikut laluan itu dengan selamat. Tolong jangan taburkan kertas check sehingga sambungan laluan yang sahih telah dipastikan.

    • LAUNGAN/TERIAKAN HASH
      Bila di dalam hutan, kaedah komunikasi yang berkesan ialah laungan. Tetapi laungan yang sewenang hanya akan memburukkan lagi keadaan, membuat hingar dan mengelirukan. Laungan antara satu sama lain dalam berkomunikasi perlu untuk membantu antara satu sama lain, membantu supaya peloton kekal bersama dan membantu mengelakkan sesat. Untuk hash, beberapa laungan piawai ditetapkan untuk memudahkan kefahaman. Semua laungan adalah dalam bahasa Inggeris kerana tradisi hash;
      • "Checking"
        Digunapakai dalam 2 keadaan;
        1. Sebagai pernyataan sebaik berjumpa dengan check. Melaung "Checking" akan memberitahu peserta belakang yang check telah dijumpai dan bersedia untuk mencari laluan sambungan. lniberkesan terutama untuk check belakang.
        2. Sebagai jawapan kepada pertanyaan "How are you?". How are you bukan soalan ramah tamah bertanya khabar sebaliknya bertanya kemajuan kepada yang mencari laluan sambungan. Checking akan dilaung untuk memaklumkan yang pencarian masih berlangsung dan sambungan belum ditemui.
      • "Are you?"
        Laungan ini digunakan untuk mengesan kedudukan peserta berdekatan. Melaung "Are you?" akan memberikan jawapan "Checking", membawa maksud peserta berdekatan sedang mencari sambungan laluan. Jika anda ingin ikut mencari sambungan laluan, anda boleh mencari pada arah lain selain dari arah yang menjawab "Checking". Jika jawapan yang diterima ialah "On On", menunjukkan peserta terdekat yang menjawab sedang berada pada laluan dengan kertas. Anda selamat untuk mengikuti arah tersebut. Jika jawapan yang diterima ialah "On on on on", menunjukkan sambungan laluan telah dijumpai. Anda mungkin mahu membantu menutup check dengan mengambil kerrtas pada longgokan dan menaburnya ke arah laungann "On on on on".
      • "On on"
        Jawapan kepada laungan "Are you?". Laung "On on" jika anda berada pada laluan yang betul supaya yang melaung "Are you?" boleh mengikut anda.
      • "On on on on"
        Laung jawapan ini sekiranya anda telah menjumpai kertas bagi sambungan laluan supaya yang mendengar boleh menutup check dan mengikut laluan anda
      • "On back"
        Laung jawapan ini sekiranya anda berjumpa dengan laluan palsu, atau laluan yang anda ikuti bukan laluan yang betul. "On back" guna untuk memberitahu pada yang melaung "Are you?" supaya berpatah balik ke laluan yang ada kertas.
      • "On called"
        Laungan ini sebagai lanjutan kepada laungan "On on" atau "On on on on". Mereka yang mendengar laungan "On on" atau "On on on on" akan melaung "on called" sebagai penyambung suara kepada yang meluang "On on" atau "On on on on". Dengan cara ini, orang yang dibelakang akan tahu bahawa "On on" atau "On on on on" telah dilaungkan.

    • BERSUARA, BERHEMAH dan BERHATI-HATI
      Beringat juga semasa berkayuh untuk menjaga keselamatan dan adab berkayuh. Perhatikan dan patuhi perkara-perkara berikut. Ingat dan amalkan 3B - Bersuara, Berhemah dan Berhati-hati.;
      • Bersuaralah!
        Basikal adalah kenderaan ajaib yang bergerak dengan senyap sunyi. Kesenyapannya seringkali membuatkan kehadirannya tidak disedari. Maka tertanggung ke atas pengayuhnyalah untukmengeluarkan bunyi memaklumkan pengayuh lain. Dan bila bersuara, janganlah main hentam ikut sedap gusi. Contohya, jangan sekali menjerit "Hoi! Tepi sikit, rider terer nak lalu". Ada yang makan kasut clipless nanti. Sebaliknya gunakan perkataan seperti "Memotong di sebelah kanan" atau "memotong kanan" , "On your right" sebagai memaklumkan orang di hadapan yang anda berniat memotong di sebelah kanan. Sebaik disuarakan, jangan terus memotong. Beri sedikit masa untuk memastikan pengayuh di depan anda mendengar laungan anda dan bersedia memberikan laluan terutama ketika di laluan sempit.
      • Berhemah
        Berhemah dan beradablah dalam semua keadaan. Ketika memotong, memotonglah dengan kelajuan bersesuaian. Memotong dengan laju boleh memeranjatkan orang yang dipotong. Ingatlah bahawa orang yang dipotong itu sedang berusaha untuk berkayuh habis-habisan. Memotong "sayur" ala mat rempit boleh merenjatkan semangat orang yang dipotong. Maka potong dengan kelajuan yang bersesuaian. Lagi cantik kalau disulami dengan ucapan "Terima kasih", "Thank you" dan seumpama.
        Bila keadaan sebaliknya, juga perlu berhemah. Bila terpaksa berhenti, jangan tercegat lama-lama di tengah laluan. Usahakan untuk ke tepi supaya pengayuh lain boleh meneruskan kayuhan. Jika ada permintaan untuk memotong, cuba usahakan untuk memberi laluan. Tiada guna anda menghalang kayuhan orang lain yang mampu untuk terus berkayuh.
        Bila berhadapan dengan laluan donwhill, jangan cepat teruja. Meluru turun bukit memang seronok. Cuma kalau masih ramai di dalam laluan, lakukan dengan berhati-hati pada kelajuan yang bersesuaian. Meluru laju ketika ramai orang di laluan boleh mengundang bahaya dan kecelakaan.
      • Berhati-hati
        Aktiviti berbasikal lasak ini memang berisiko. Maka sangat perlu semua berhati-hati dan mengutamakan keselamatan. Selain daripada pemakaian alat keselamatan seperti topi keledar dan sarung tangan, sikap berhati-hati juga membantu mengurangkan risiko kemalangan. Kenali tahap kemahiran dan batasan anda supaya tidak terdorong melakukan tindakan yang di luar kemampuan dan boleh mengundang bahaya.

    • ATURKAN KAYUHAN
      Setiap orang mempunyai tahap keupayaan tersendiri. Aturkan kayuhan anda supaya ada masa untuk minum air. Minum perlu untuk menggantikan peluh yang menderu keluar supaya anda tidak ternyahhidrat. Luangkan juga masa untuk makan. Makan makanan yang memberi tenaga untuk menambah tenaga. Rehat sesekali bila terlalu penat atau jantung berdegup terlalu kencang. Berehat sebentar boleh memulihkan tenaga dan menyegarkan badan. Sesekali periksa laluan supaya pasti anda berada pada laluan yang bertanda dengan kertas. Sudah banyak insiden berlaku peserta sedap berkayuh sehingga tidak menyedari laluan telah tersasar. Sentiasa ikut laluan yang bertanda.

    • .
    • MENDAFTAR KELUAR
      Jangan lupa untuk mendaftar keluar. Singgah di kaunter pendaftaran sebaik tamat kayuhan. Serahkan kembali tag anda dan tandatangan keluar. Ini sangat penting kepada hare untuk memastikan yang semua peserta telah selamat keluar. Biasa terjadi tag telah dibawa balik oleh peserta dan peserta terlupa mendaftar keluar. Huru-hara jadinya bila hare melilau mencari peserta yang belum keluar. Padahal peserta sudah senang lenang berada di rumah. Mujur ada nombor untuk dihubungi dalam daftar. Dapatlah dipastikan peserta sebenarnya telah selamat keluar.


    S E L A M A T    B E R K A Y U H!!!

    Rujukan : KLMBH

1 comment:

AK said...

informasi berguna.. On on!