Tuesday, November 27, 2012

Tampal Tiub : Satu Seni Yang Semakin Dilupakan


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.

Dulu, kalau tiub basikal bocor, akan ditampal saja.  Seingat saya, sekitar tahun 80-an, kos tampalan hanyalah 50 sen.  Itupun sudah dikira mahal pada masa itu.  Bila meningkat remaja, kerja menampal tiub itu dibuat sendiri.  Lagi cepat dan jimat.  Tidak perlu bersusah payah menyorong basikal ke kedai basikal.

Bila saya kembali berbasikal sekitar 2006, saya perhatikan kerja menampal tiub ini sangat jarang dibuat.  Tiub yang bocor diganti sahaja.  Mungkin kerana sekarang zaman senang, zaman mewah maka tidak perlu bersusah payah.  Bukan setakat itu sahaja, bahan untuk menampal tiub juga susah didapati.  Jenuh saya mencari merata kedai tidak berjumpa.


Sayang sekali bila melihat tiub yang bocor terbuang begitu saja.  Sedangkan dengan tampalan, ia boleh digunakan semula.  Jimat dan mesra alam.  Kebanyakan kedai memang keberatan untuk menampal tiub kerana kerjanya yang renyah dan memakan tetapi masyuknya tidak setimpal.  Kedai lebih senang menyarankan supaya ditukar saja tiub yang bocor.  Cepat, mudah dan masyukkkk.

Pengalaman peribadi membuktikan kemahiran menampal tiub dan kesediaan membawa kelengkapan menampal tiub sangat membnatu menyelamatkan keadaan bila berlaku lebih daripada satu kebocoran dalam satu kayuhan.  Saya sangat mengesyorkan supaya anda semua dapatkan dan bawalah kelengkapan menampal tiub dan pelajarilah kemahiran menampal tiub.    

Saya akan cuba menyingkap kembali bagaimana cara menampal tiub, satu seni yang semakin dilupakan.  Semoga selepas ini, makin ramai yang akan menampal dan menggunakan semula tiub yang bocor.  Lagipun, kemahiran ini sangat berguna terutama bagi mereka yang sering berkayuh di dalam rimba.  Memang, biasanya tiub gantian akan dibawa sebagai awasan tetapi, bolehkah dijamin yang tiub akan bocor sekali sahaja sepanjang kayuhan?

Tampalan tidak memerlukan banyak barangan di bawa untuk melakukannya.  Hanya sedikit ruang tambahan diperlukan untuk beberapa keping penampal, gam dan kertas pasir.
   
Panduan ini akan menunjukkan cara-cara menampal tiub yang bocor bagi kaedah tampalan di rumah dan tampalan ketika berkayuh.  Semoga bermanfaat.


...SEBELUM MEMULAKAN
Panduan ini tertumpu kepada tampalan tiub sahaja.  Saya tidak akan masukkan cara-cara membuka dan memasang tayar ke roda.

Sebelum tiub boleh ditampal, keluarkan tiub dari roda.


ALATAN YANG DIPERLUKAN
Alatan yang diperlukan untuk kerja-kerja menampal tiub bocor.
  • pam
  • penampal
  • gam
  • kertas pasir
  • besen/baldi


CARA-CARA MENAMPAL TIUB BOCOR
Langkah Tindakan
1
Pam tiub yang bocor sehingga tegang.

Kalau angin tidak kekal di dalam tiub, bermakna bocor mungkin besar atau sambungan tiub dengan injap sudah rabak.  Tiub sebegini tidak lagi boleh ditampal.  Anda terpaksa mengganti tiub baru.

Jika tiub tidak rabak dan pembaikan dilakukan di rumah, terus ke langkah seterusnya.

Jika pembaikan di dalam denai, maju ke langkah 3.


2
Untuk kaedah di rumah, isikan air ke dalam besen/ baldi sedalam kira-kira 6 inci (15sm).




Mulakan dari bahagian injap, rendam hingga tenggelam tiub ke dalam air sepenuhnya.

Perhatikan sekiranya ada buih di dalam air.

Anjak tiub supaya bahagian bahagian lain pula tenggelam di dalam air.  Perhatikan buih udara.  Ulang sehingga semua bahagian tiub terendam dalam air dan kebocoran dapat dikenalpasti. 

Kenalpasti tempat yang bocor.

Gelembung buih pada tempat bocor
Terus ke langkah 5.

3

Untuk tampalan di dalam denai, buka sarung tangan (jika dipakai).

Genggam tiub pada bahagian injap dengan genggaman lembut.  Gerakkan genggaman ke seluruh bahagian tiub dengan perlahan.

Sambil genggaman digerakkan, rasakan hembusan angin pada tangan.  Jika ada bunyi desiran dan terasa hembusan pada tangan, titiskan sedikit air pada tempat tersebut atau gunakan air liur.

Akan ada gelembung udara pada tempat tersebut.  Itu adalah tempat bocor.

Ulang sehingga seluruh tiub diperiksa dan tempat bocor dikenalpasti. 
4
Gunakan jari telunjuk untuk menanda lubang yang bocor.  Ini perlu kerana biasanya lubang halus dan susah untuk dilihat dengan mata kasar.

Lubang halus saja.  Kadang-kadang tidak kelihatan dengan mata kasar

5
Genggam tangan membentuk penumbuk dan balutkan tiub pada penumbuk.  Lubang bocor berada di tengah pada bahagian belakang tapak tangan.
6

Gunakan kertas pasir untuk meggosok bahagian sekitar lubang.  Kawasan gosokan berbentuk segiempat tepat dengan dimensi 2 x 1 inci.



7

Bersihkan kawasan gosokan daripada habuk getah dengan menyapu atau meniup.


8
Sapukan gam pada kawasan gosokan dengan lapisan gam yang nipis dan rata.
9


Biarkan sebentar sekitar 5 minit untuk gam mengering.
10
Koyakkan kepingan penampal daripada lapisan pelindung.
11
Tampalkan penampal pada kawasan gam dengan memastikan lubang berada di tengah-tengah tampalan.  Tekan biar penampal melekat rata..
12
Picit penampal dengan ibu jari untuk memastikan lekatan yang elok dan menyeluruh.


Kalau ada alat ragum (vice) kepitkan bahagian yang ditampal dengan ragum.


Biarkan 5 ke 10 minit untuk tampalan melekat dengan baik.
13
Bila tampalan sudah melekat dengan elok, pam tiub sehingga kembung dan menegang.  Rendam bahagian yang ditampal kedalam air.  Periksa sama ada gelembung udara masih keluar.  Jika tiada gelembung yang keluar bermakna tampalan sudah berjaya.  Tiub boleh digunakan semula.

Saturday, October 13, 2012

Bagaimana Membuka Dan Memasang Fork


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.
Sesetengah gambar di dalam makalah ini diguna tanpa izin. Kalau empunya hakcipta merasakan saya tidak patut gunakan gambar-gambar tersebut, sila maklumkan.
Some of the pictures used in this article are used without permission. If the copyright owner feel offended by this, please contact me so that I can remove it.

Di utara ia dipanggil SEMANGGANG. Di sebelah tengah dan selatan, ia dipanggil SEPIT UDANG. Di sebelah pantai timur, tak tau la pulak saya. Dipanggil fork kot? Kali ini kita akan berkongsi cara-cara bagaimana menyalin semanggang. Membuka yang lama dan memasang yang baru. Dua tatacara dalam satu.

Panduan ini akan menunjukkan cara-cara bagaimana menukarkan semanggang. Ia akan dipecah dua. Pertama, cara-cara membuka. Kedua, cara-cara memasang. Pelarasan dan penalaan tidak termasuk dalam cerita ini.


...SEBELUM MEMULAKAN
Sekiranya semanggang yang akan dipasang adalah semanggang terpakai dan steerer tubenya sudah berpotong, pastikan panjang steerer cukup untuk dimasukkan ke basikal anda.


ALATAN YANG DIPERLUKAN
Sebelum ditunjukkan cara-cara, kita tengok dulu apa alatan yang diperlukan untuk kerja-kerja membuka dan memasang semanggang.
  • allen key
  • tukul getah (rubber mallet)
  • gris
  • sawing guide
  • gergaji besi
  • kikir
  • pemotong kabel


CARA-CARA MEMBUKA DAN MEMASANG SEMANGGANG
Langkah Tindakan
1
Buka top cap pada penutup steerer.


2
Longgarkan bol yang megikat stem. Bila sudah cukup longgar, cabut stem bersama dengan bar hendal dan kaum kerabatnya daripada steerer.

3

Buka brek depan. Perhatikan kabel/hos brek. Jika ada bahagian yang diikat pada semanggang, bukakan. Sekiranya ada meter kelajuan jenis wayar, tanggalkan juga daripada kaki semanggang.
4
Cabut stem daripada tiub steerer bersekali dengan bar hendal.  Bar hendal tidak perlu diceraikan daripada stem.
5

Keluarkan spacer.

6

Keluarkan seal dan compression ring set kepala.

7
Cabut semanggang daripada basikal.

Selesailah kerja membuka semanggang daripada basikal.  Teruskan ke langkah seterusnya sekiranya anda ingin memasang semanggang.

8
Keluarkan crown race daripada semanggang yang dicabut.


Abaikan langkah ini jika anda ada crown race lain.


Nota :  Crown race di dalam illustrasi adalah jenis "terputus".  Mudah saja mengeluarkannya.  Untuk yang jenis bulat, mengeluarkan crown race mungkin agak sedikit mencabar kerana crown race jenis bulat melekat kuat pada crown.
9
Pasang crown race ke semanggang baru.
Minyakkan crown race dengan sedikit minyak gris.

Untuk memudahkan kerja, pasang tayar depan pada semanggang baru.

Nota :  Crown race di dalam illustrasi adalah jenis "terputus".  Mudah saja memasangnya.  Untuk yang jenis bulat, memasang crown race agak lebih  mencabar kerana crown race perlu diketuk masuk sehingga rapat pada crown.
10

Masukkan semanggang baru ke basikal.  Jolok tiub steerer dari bawah melalui lubang pada set kepala hingga tembus ke atas.


Pastikan kemasukan sempurna dengan crown race masuk rapat dengan set kepala seperti di gambar kanan.
11
Pasangkan kembali compression ring dan top seal set kepala. 

Nota : Pastikan compression ring dimasukkan dengan sempurna ke celahan di antara tiub steerer dan bearing.

12

Pasangkan kembali spacer.

Nota : bilangan spacer yang hendak dipasang bergantung kepada tinggi mana stem yang anda kehendaki.  Pemasangan spacer adalah mengikut pilihan dan selera anda.
13
Pasangkan kembali stem berserta dengan bar hendal.
14

Tandakan aras atas stem dengan menggunakan pen marker atau yang seumpama.

Cabut stem selepas penandaan dibuat.




15
Berpandukan tandaan tadi, buat satu lagi tandaan kira-kira 5mm di bawah tandaan pertama.  Tandaan kedua ini akan menjadi panduan untuk memotong tiub steerer.
16

Berpandukan tandaan kedua tadi, pasangkan "sawing guide" supaya tempat gergaji setentang dengan tandaan kedua.

17

Gergaji tiub steerer menggunakan gergaji besi.


Nota :  Apabila hampir putus, teruskan menggergaji dengan cermat dan elakkan daripada mematahkan tiub steerer untuk mendapatkan pemotongan yang rata.

Tiub steerer siap dipotong
 
18
Gunakan kikir untuk melicinkan permukaan yang dipotong tadi.
19
Pasang star-nut.  Bol di dalam gambar bukan bol yang akan digunakan untuk mengunci top cap.  Ketuk pada bol supaya ketukan sekata dan star-nut masuk dengan sekata ke dalam lubang tiub steerer.  Ketuk sehingga kelopak atas star-nut berada kira-kira 5mm di dalam tiub steerer.
 
20

Pasang kembali stem dan bar hendal pada tiub steerer.  Laraskan supaya stem selari dengan tiub atas.
21

Pasang top cap.  Ketatkan bol pengikat sehingga terasa rintangan.  Angkat bahagian depan dan periksa pergerakan steering supaya tidak terlalu longgar atau tidak terlalu ketat.  Ketatkan atau longgarkan bol untuk mendapatkan pergerakan steering yang paling sedap.
22

Ketatkan bol pengikat stem.  Ketatkan bergilir-gilir bol atas dan bol bawah untuk mendapat cekaman yang kemas.
23

Pasang brek depan.

Selesai kerja-kerja pemindahan semanggang. 

Semanggang ada remote lockout?  Kalau ada, teruskan dengan langkah seterusnya.  Kalau tidak, tunggu apa lagi, pergilah pandu uji semanggang baru.  Eh...nanti dulu, semanggang perlu disetup sebelum digunakan.  Bab setup tidak termasuk dalam panduan ini.  Jumpa lagi dalam siaran lain berkenaan setup dan penalaan semanggang.
24


Pasang tuas remote lockout.

Pasang tuas di bar hendal sebelah yang ada tuas lockout pada semanggang.  Kalau nak sebelah lainpun boleh.  Awak punya sukalah.  Basikal awak.
25


Potong housing kabel untuk kabel remote lockout.
26


Buka penutup tuas lockout pada semanggang.
27


Longgarkan bol pengikat (A).  Masukkan kabel melalui lubang pada (B).

Pastikan tuas remote dilepaskan.  Tarik kabel dan kuncikan kabel dengan mengetatkan bol (A). 
28

Pasang balik penutup tuas lockout pada semanggang.

SELESAI!!!

Friday, August 17, 2012

IceToolz Tapping Tool

Biasa kena masalah alur bebenang rosak pada basikal atau komponennya? Hati jadi sakitkan? Komponen tidak boleh dipasang sebab alur bebenangnya sudah berbirat dan berselirat. Apa nak buat? IceToolz ada ubat! Saya baru dapat lepas sekian lama memendam hajat.


Datang dalam kantung yang kemas dan cantik

Gergasi peralatan membaiki basikal IceToolz dari Taiwan ini menawarkan set tapping yang hampir lengkap untuk keseluruhan basikal pada harga yang lebih rendah daripada saingan.

Set ini datang dalam beg berzip yang kemas cantik untuk memudahkan simpanan. Sekali pandang macam tas tangan wanita. Isteri pada mulanya menyangka tas tangan untuknya. Maaf sayang, ini bukan untukmu. Ini mainan untuk abang.

Mari kita buka zip dan tengok apa ada di dalam.



Alat yang ada di dalam ialah pemegang "tap" dan "tap" berbagai saiz. "Tap" ialah alat yang berupa sebatang bolt yang berlekuk pada batangnya dan mempunyai alur bebenang. Biasanya sedikit meruncing pada bahagian kepala untuk memudahkan kemasukan dalam lubang yang hendak dibuat atau di baiki alur bebenang.

Saiz tap dalam set ini adalah seperti berikut:-

KOMPONEN BUTIRAN
Pemegang Tap Pemegang tap boleh laras untuk saiz 3/16" - 1/2". Guna untuk memegang dan memulas tap
Tap 9/16" x 20TPI kiri Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kiri set engkol 3 keping standard
Tap 9/16" x 20TPI kanan Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kanan set engkol 3 keping standard
Tap 1/2" x 20TPI kiri Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kiri set engkol sebatang standard American
Tap 1/2" x 20TPI kanan Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kanan set engkol sebatang standard American
Tap M10 x 1.0P Tap saiz M10 untuk lubang pada derailer hanger
Tap M6 x 1.0P Untuk tap lubang pada adaptor brek cakera, boss v-brek dan eyelet untuk fender
Tap M5 x 1.0P Untuk tap lubang bolt untuk cakera brek, lubang pemegang botol air
Tap M3 x 1.0P

Tap yang siap dipasang ke pemegang. Sedia untuk melarik bebenang

Alat tapping ini digunakan untuk membuat alur bebenang, membaiki alur bebenang yang telah rosak dan membersihkan alur bebenang daripada bendasing contohnya cat yang melekat pada alur bebenang menyebabkan bolt atau sekeru tidak dapat dimasukkan ke dalam lubang.

Kalau ada yang berhajat, sila hubungi saya. Nak cuba?

Tuesday, August 14, 2012

Monday, July 16, 2012

TEKKORA - Mendaki Dengan Jaya!

Nama dalam tajuk posting tidak ada kena mengena dengan satu jenama basikal.  Kalau ada, hanya satu kehampiran kebetulan.  Apa maksud disebaliknya?  Akan dilondeh satu persatu sekejap lagi.  Biasala, mesti banyak kona dulu baru sampai ke tujuan.

Berkayuh MTB mendaki bukit atau gon (loghat utara untuk bukit kecil) memerlukan kudrat dan kekuatan lebih daripada berkayuh di laluan landai.  Ramai yang sudah menjadi korban (bukan korban maut ya!) bila berhadapan dengan pendakian, terutama yang curam dan panjang.  Akhirnya hanya mampu berada di sisi basikal gerek dan berpimpin mesra mendaki bukit bersama-sama.

Saya juga sama macam anda.  Peha dan betis cekeding.  Tiada otot dan urat sasa.  Memang sering-sering diketawakan bukit dan gon.  Dada pula tidak bidang.  Peparu dah bersarang dengan nikotin dan tar.  Kalau berjaya mengayuh mendaki bukit curam dan panjang, terasa satu kepuasan yang amat sangat.

Bila saya balik kampung bulan lepas dan berkayuh bersama geng-geng Simpang Empat Tasik, saya jadi kagum dengan keupayaan beberapa pengayuh perempuan dalam kategori "makcik-makcik" (jangan marah noooo...) yang berupaya mengayuh melepasi bukit yang curam dan panjang.  Sayapun bisik-bisik tanya "Apa rahsia depa?".  Maka terjawablah persoalannnya.  Mereka adalah pengamal TEKKORA.  (Tudiaaaaa...mukaddimah.  Berjelaaaa).

Apa pula tu?  TEK KORA adalah ringkasan daripada TEKnik KORA-kora.  Kora-kora tu sebenarnya adalah kura-kura ikut sebutan loghat utara.  Jadilah teknik kura-kura itu TEKKORA.  Okay?  Boleh ikut?  Kalau tak boleh ikut, hampa lagi lembab dari kora.

Jadi apa yang dimaksudkan dengan teknik kura-kura?  Apa hubungkait kura-kura dengan kayuh MTB kerabat bukit dan gon?  Kaedah TEKKORA ialah kaedah mendaki bukit/gon yang curam dan panjang menggunakan gear rendah dengan cadence/putaran engkol yang rendah tetapi dengan kayuhan yang berterusan. 

Sayugia diingatkan kaedah ini kurang sesuai untuk mereka yang berkaki kuat macam kuda. Kalau nak menang perlumbaan, teknik ini bukan untuk dijadikan amalan.  Teknik ini untuk mereka yang mempunyai sepasang kaki yang comel dan stamina yang terbatas.  Kuncinya ialah "Kayuh perlahan lebih baik daripada menolak".  Jika anda tergolong dalam golongan ini dan berhajat untuk terus berkayuh mendaki bukit/gon curam dan panjang, mungkin kaedah ini untuk anda.

Bagaimana caranya?  Untuk permulaan, gunakan gear paling rendah (depan paling kecil, belakang paling besar) bila menghampiri bukit/gon.  Langut tengok ke atas untuk mengagak berapa ketinggian bukit/gon yang bakal dihadapi.  Perhatikan juga keadaan permukaan laluan.  Cuba kesan laluan yang paling kurang rintangan (lopak, bonggol, kayu dan sebagainya).  Kayuh dengan cadence perlahan.  Sekira-kira tidak terasa sangat rintangan pada kaki dan nafas serta jantung tidak berombak dan berdegup laju.  Kekalkan kayuhan dalam nada begitu.  Badan dibongkokkan sedikit jika dirasakan tayar hadapan menjadi ringan dan mudah terangkat.

Itulah mukaddimah TEKKORA.  Kekalkan kayuhan dalam gear dan ritma begitu.  Hati dan mental kena bersabar.  Kadang-kadang terdorong menerjah lebih sedikit apabila ternampak kawan di hadapan.  Konon nak bersaing.  Tanpa sedar terjahan mendadak begitu menyebabkan nafas jadi kencang dan tidak teratur.  Jantung juga berdegup kencang dan asid laktik mula merembes keluar melesukan dan melenguhkan otot-otot kaki.  Sabarrrrr...jangan terburu.  Kawan yang di hadapan itu belum tentu akan dapat meneruskan kayuhan hingga ke puncak.

Dalam pendakian itu mental memang akan teruji.  Pace kayuhan yang relaks akan membantu mengurangkan desakan untuk berhenti akibat pendek nafas dan kelesuan otot.  Sesekali langut ke atas untuk melihat sasaran.  Jangan ditengok lama-lama, nanti akan terasa azab dan siksa sebab masih jauh lagi.  Biarkan pandangan berada sekitar 2 meter di hadapan tayar.  Untuk mengisi masa luang, bolehlah diisikan dengan zikrullah.  Sambil kayuh dapat pahala, insyaAllah.  Bertasbih, bertakbir, bertahmidlah...Sambil berkayuh, perhatikan juga kelajuan.  Jangan sampai terlalu perlahan sehingga basikal melelong kiri dan kanan.  Jika terasa gear terlalu ringan, naikkan satu gear pada gear belakang.  Cuba kayuhan dalam gear itu.  Jika selesa, nafas tidak berterabur dan jantung tidak berdegup kencang melampau, boleh teruskan dalam gear tersebut.  Kalau tidak, kembali ke gear paling rendah.  INGAT!  Sasaran ialah untuk kayuhan tanpa henti menuju puncak.  Kelajuan soal kedua.

Untuk latihan mendaki, anda boleh guna kaedah ini dengan beransur-ansur membuat peningkatan gear dan kelajuan kayuhan.  Ulanglah sehingga anda tidak perlu lagi menjadi KORA.

Saya telah mengamal sendiri kaedah ini dan terasa puas hati dengan hasilnya.  Ia mungkin tidak menjadikan anda sekuat dan selaju jagoan-jagoan lain, tapi ia membantu untuk memberikan lebih rasa kepuasan diri bila bukit/gon tinggi dan curam boleh dikayuh keseluruhannya tanpa perlu menjejakkan kaki ke tanah ataupun berjalan berpimpin mesra dengan basikal.

Selamat mencuba!!!    


p.s. Posting ini saya tujukan kepada crew-crew Geng Kayuh Junjung yang memberikan inspirasi untuk posting ini.

Wednesday, July 11, 2012

Roda-roda Rimba Raya

Artikel ini adalah terjemahan bebas daripada artikel Mountainbike Wheel-size, & the Right One for you yang disiarkan di blog Singletracks.com dan ditulis oleh Bombardier.

Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. 


Sudah lama juga aku merangka untuk menulis perihal saiz roda untuk MTB. Apatah lagi dengan kemunculan si kaki besar 29inci dan mutakhir ini saiz 650b sedang bangkit semula.  Tajuk posting tidak ada kena mengena dengan siri TV dengan tajuk yang hampir sama.

Untuk menulisnya dari sifar memang agak sukar dan memerlukan masa. Kebetulan dalam pencarian terjumpa artikel di laman web Singletracks ini memang seperti apa yang aku bayangkan, maka aku ambil keputusan untuk menterjemah saja artikel ini. Diharap menjadi panduan berguna kepada mereka yang masih lagi tercari-cari saiz roda yang mana satu yang sesuai dengan mereka.

Sudah sekian lama MTB bergolek di atas roda bersaiz 26inci. Bukan kerana itu saiz terbaik, tapi kerana hanya saiz itu yang ada untuk digunakan bersama tayar-tayar gemuk bergerutu pada masa itu. Roda diambil daripada basikal yang menggunakan "tayar belon" dan dipasangkan dengan tayar gerutu dari motosikal sebab itu saja pilihan yang ada pada masa itu. Tayar 26inci bukanlah teruk. Malahan, telah bekerja dengan baik selama ini. Dan untuk satu tempoh yang lama, itu saja saiz yang ada. Mujurlah, (bergantung dari sudut mana pandangan anda), akan sentiasa ada segolongan manusia yang sentiasa mencari jalan memperbaiki lagi basikal; dan mereka enggan menerima yang saiz roda 26inci adalah saiz yang terbaik.

Sekarang kita ada beberapa pilihan, dan saya pasti yang ramai pengayuh yang baru bermula (atau sebahagian dari kita yang "Luddites"[anti teknologi]) yang keliru dengan saiz tayar apa yang betul (ketepikan dulu soal politik-roda).

26inci (26er) - Tiada yang buruk boleh diperkatakan tentang saiz piawai ini. Walaubagaimanapun, ia ada batasan; upaya rendah untuk bergolek melepasi rintangan, daya inertia yang rendah, kecenderungan terkandas di dalam pasir dan lumpur.  Manakala kelebihnnya pula adalah; industri MTB berasaskan roda bersaiz 26inci, menyokong/memadani julat saiz pengayuh yang lebih besar, roda yang lebih kukuh dan ringan boleh dibina, julat saiz tayar sepadan yang lebih banyak dan kadar pecutan lebih tinggi.  

29inci (29er) - Roda besar telah membuktikan dirinya bernilai selama puluhan tahun lalu melalui industri pacuan 4 roda.  Sama seperti pada kenderaan pacuan 4 roda, MTB bertayar besar berupaya bergolek  melepasi rintangan dengan lebih mudah, memberikan apungan yang lebih apabila melalui pasir atau lopak lumpur, memberikan lebih sentuhan permukaan untuk cengkaman yang lebih baik dan upaya mengekalkan lajakan (momentum) pada kelajuan tinggi.  Untuk kenderaan bermotor, rekaan lebih mudah disesuaikan dengan tayar lebih besar tanpa menjejaskan pemandu.  Sebaliknya, pada MTB, kerangka untuk roda 29inci perlu direka supaya pusat graviti dan ketinggian "standover"  kekal rendah, menghindar daripada pertindihan tayar dan jari kaki dan memastikan berat keseluruhan rendah.  Memang para pengeluar telah menjalankan tugas ini dengan agak baik, basikal 29inci masih lagi terhad kesesuaiannya kepada pengayuh-pengayuh tinggi.  Kerangka untk pengayuh rendah tidak dapat memberikan ketinggian "standover" pada tinggi yang munasabah, dan memang sukar untuk menghindar pertindihan tayar dengan hujung jari kaki dan pada masa yang sama berhempas pulas untuk mendapatkan tapak roda yang berkesan.  Basikal 29inci yang direka untuk pengayuh dengan ketinggian 5 kaki akan membuatkan pengayuh berada di antara dua tayar, dan pada masa yang sama terpaksa mengawal peningkatan inertia roda yang besar itu.  Tambahan pula, basikal ampai penuh 29inci menghadapi masalah "wheel-travel" yang terhad.  Rekaan yang melebihi 6 inci travel sudah dikeluarkan, tetapi untuk mendapatkan kerangka basikal yang sesuai bagi dimensi sesebuah MTB agak sukar.  Basikal ampaian penuh umumnya lebih berat daripada basikal ekor keras atau basikal rigid.  Ditokok dengan roda yang besar, membina sebuah basikal ampaian penuh yang tidak berat adalah sukar tanpa penggunaan bahan-bahan eksotik dan sistem ampaian yang mudah.


Kombo (69er) - *Ini dedikasi khas untuk kawan aku Sufian Idris - BCKeLoLo.  Ini bukan idea baru.  Dahulu, MTB pernah dibuat dengan gabungan tayar 26inci/24inci. Tujuannya supaya roda depan 26inci yang lebih besar akan mengendalikan halangan dan rintangan manakala roda belakang 24inci yang lebih kecil akan memberikan pecutan pantas.  Konsep yang sama digunapakai untuk gabungan 29inci/26inci.  Rekaan ini boleh menampung pengayuh yang kurang tinggi dan lebih mudah dipecut.  *Tokok tambah BCKeLoLo - biasalah bila digabungkan, akan dapat manfaat keduanya.  Dan...jangan lupa, masalah juga dapat kedua-duanya.

27.5inci/650b - Dikatakan terbaik untuk kedua-dua dunia.  Roda lebih besar daripada 26inci untuk menguruskan halangan dan rintangan tetapi masih lagi boleh memecut dengan pantas.  Saiz ini juga memberikan lebih ruang kepada pengeluar bila mereka membuat kerangka untuk pengayuh berketinggian sederhana dan rendah.  Pengayuh rendah ynag mungkin sukar mendapat padanan pada basikal 29inci, akan mendapati lebih mudah mendapat padanan yang selesa dengan basikal 27.5inci.  Pengayuh yang memasang roda 27.5inci pada basikal 26inci sudah semakin umum kerana kebanyakan kerangka 26inci boleh menerima roda 27.5inci tanpa masalah kelegaan tayar.  Pada basikal rigid ekor keras dengan brek cakera, proses ini akan menjadi lebih mudah.  Kuncinya ialah pada brek cakera kerana penggunaan v-brek terjejas dengan saiz roda yang berbeza.  Malahan, ada basikal ampaian penuh travel panjang (Fisher Fat Possum) sudah dipasang dengan tayar 650b oleh sesetengah kedai.  Ada fork yang memberikan masalah kelegaan tayar bila dipasang roda 650b.  Namun, beberapa jenama utama seperti RockShox Pike, X-Fusion Velvet, Maverick DUC32 dan FOX32 mempunyai ruang kelegaan  yang mencukupi untuk roda 650b.  White Brothers sedang dalam rangka membangunkan fork khusus untuk 650b.  Pengeluar lain, pada masa ini, tidak menyarankan penggunaan fork mereka untuk roda 650b.  Menggunakan roda 650b pada kerangka 26inci tidak akan menjejaskan sangat prestasi kayuhan.  Ia mungkin menyebabkan sudut kepala melandai 1 darjah dan meninggikan braket bawah (pusat graviti).  Masalah ini tidaklah separah menyumbat roda 29inci pada kerangka 26inci. 

**Tokok tambah BCKeLoLo - Di Malaysia, 29inci mendapat sambutan agak hangat.  Dah ramai diperhatikan menukar ataupun sedang berkira-kira menukar kepada 29inci.  650b, walaupun dikatakan lebih bagus secara keseluruhannya daripada 29inci, masih belum memberikan impak besar.  Tidak banyak basikal 650b ditawarkan di pasaran.  Mungkin kerana pengimport dan pengedar masih bertahan dan memberikan laluan untuk menghabiskan lambakan stok 29inci.

Dalam masa setahun, julat pilihan untuk senjata pilihan akan meletoppppp.  29er, 26er, 27.5", 69er, 650b-26er; hanya dibataskan oleh kesanggupan industri untuk mencuba.  Dan selepas beberapa tahun berevolusi dengan perlahan, dunia MTB seakan sudah mencapai titik revolusi.  Rekaan ampaian baru, rekaan roda dan materi kerangka semuanya menyumbang ke arah ini.  Apapun, ianya menjadi semakin mengujakan.

Monday, July 09, 2012

Minggu Tayar Pancit Se Malaya?

Posting terakhir aku bertajuk hilang angin.  Cakap-cakap kita tu kadang-kadang menjadi doa.  Dan kadang-kadang doa itu dimakbulkan segera.  Minggu ini aku betul-betul kena serangan hilang angin.  Penyakit itu melanda tak lain tak bukan, kepada barang yang berangin.  Apa barangnya?  Tiub basikal laaaaa...

Mula-mula kena serangan ialah Rockin'Blues.  Basikal touring aku.  Tayar depan hilang angin tanpa disedari.  Tayar depan basikal touring/komuter itu hanya disedari kempis lembik melepek bila aku nak bawa basikal itu ke kedai.  Oleh kerana ada basikal lain untuk memikul tugasnya buat sementara waktu, aku biarkan saja RnB begitu.  Tunggulah bila virus M(alas)  yang menyerang aku reda...

Adegan 2, tiub depan Sang Raksa.  Sedang elok bersiap untuk layan KeRabu, bila angin tayar depan nampak kurang, kenalah ditambah.  Injap presta pada tiub patah kepalanya.  Menderu angin keluar.  Tiub tak bocor...penutup injap yang rabak...Pengunci injap presta tu entah macam mana boleh patah.  Mujur ada tiub gantian.  Dengan pantas tiub diganti dan selamatlah kayuhan Carcosa malam itu.

Adegan 3, semalam...Sabtu, 07/07/2012.  Sang Boboi diheret ke Taman Lembah Kiara.  KLMTB Carnival ada buat acara untuk anak-anak berbagai peringkat umur.  Anak aku didaftarkan untuk acara kategori 7-10 tahun.  Malam sebelumnya, sudah jenuh berhempas pulas menala Sang Boboi.  Beberapa komponen diganti dengan komponen prestasi perlumbaan tahap Super Saiyya.  Tekanan angin diperiksa dan dipam tepat 35.217psi.

Sampai di Taman Lembah Kiara, Alan membawa Sang Boboi berkitar sekeliling sebagai pemanas badan.  Dan cuaca semalam memang panas.  Jadi, tak perlu memanaskan badan lama-lama sebab cuaca sudah panas.  Dengan tidak semena-mena  tayar belakang Sang Boboi kempis.  Halamak!  Tiub gantian tidak dibawa.  Ada kedai basikal yang buka gerai pameran di situ.  Tapi...tak ada satupun yang menjual tiub saiz 24. Nak buat macam mana?  Nak buat macam mana?!!!

Tiub gantian tiada.  Ikhtiar kedua...tampal tiub.  Mujurlah kit penampal tiub aku sentiasa bawa.  Beressss!  Tiub siap ditampal dan Sang Boboi dapat beraksi.  Tidak habis di situ.  Setelah tamat acara, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah, masa untuk balik.  Baru gaya nak sorong basikal balik ke kereta, berdetup bunyi dari injap presta.  Bunyi detup dengan pantas diiringi bunyi desir angin dan tayar Sang Boboi kempis kecut dengan semerta.  Mujur dah selesai acara.  Mujurrrrr...Dua bocoran dalam masa tak sampai 2 jam.  Sampai sekarang tiubnya belum diganti.  Aku penat.

Adegan 4, rancangan asal untuk ke Ladang Tuan Mee berkayuh dengan Briged Basikal BTP terbantut kerana hujan lebat.  Alang-alang dah siap, haluan dialih ke kawasan yang kering dan ternag benderang... PCP.  Galaklah aku dan anak-anak, Faris dan Farhan melayan denai-denai PCP.  Tiba di denai no 6 merah selepas pendakian pertama dengan tiba-tiba tayar depan berbunyi kelepek kelepek laksana bunyi tahi lembu berguguran jatuh ke bumi.  Laaaa...pancit lagi.  Angin hilang bukan kerana lubang pada tiub tetapi sebab rabak pada pangkal injap.  Memang tak boleh ditampal.  Dan...mujur juga pada saat-saat akhir tadi aku sempat menyuruh Faris membawa satu tiub gantian.  Tidak sia-sia...Aku ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada nyamuk-nyamuk yang sudi datang beramai-ramai menemani aku ketika aku sibuk menukar tiub tadi. 


Empat insiden hilang angin itu memang boleh menaikkan angin.  Kalau ikutkan dungu rasa, memang terasa nak marah.  Nak marahkan siapa?  Bukan ada sesiapapun yang mendajalkan tiub-tiub itu...Semua yang terjadi adalah dengan kehendakNya.  Barangkali ujian dan dugaan untuk aku...Redholah dengan ketetapanNya...Bila pemikiran dicondongkan begitu, tenang rasa hati.  Innalillah..semuanya dari Allah...

Tuesday, June 26, 2012

Hilang Angin!

Hilang angin boleh membuatkan kita mati angin, lama-lama naik angin sebab tak boleh pergi makan angin. Pam Topeak JoeBlow Sport II yang saya beli pada bulan Februari tahun lepas dah hilang angin. Menolak tarik pelocoknya terasa ringan tak melawan langsung. Tiada desis angin menderu keluar di kepalanya. Ishhhhh...


Gegelang O yang sudah haus dan kecut
Sistem pemasangan mudahnya membolehkan penutup silinder utama dibuka dan diperiksa. Diagnosis kepada penyakit hilang angin ialah kerana gegelang O pada pelocok pam ini sudah keras dan mengecut. Tidak lagi menampan dan memampan udara bila disorong tarik.

Diagnosis sudah. Rawatannya bagaimana? Tempat pertama dirujuk ialah laman web Topeak. Ada kit gantian untuk pam ini. Harga pula berapa? Ada kawan yang bagi tahu harga mencecah RM80. Haaaaa! Tak berbaloi beli kit pembaikan RM80 untuk pam yang berharga RM125.

Ada kawan-kawan yang menyarankan supaya pergi balik ke Rodalink. Ya tak ya juga. Kan Rodalink yang mengedar barangan Topeak? Kadang-kadang minda dan akal memang suka berfikir secara rumit dari mengikut jalan mudah yang terbentang.

Hanya dengan satu panggilan telefon, masalah hampir selesai. Rodalink Sri Hartamas minta dibawakan pam ke kedai untuk diperiksa dan dibaiki. Legaaaaa. Dalam kelegaan sementara, terlupa untuk bertanya anggaran kos.

Jadinya semalam, selepas puas bermain di Kiara, saya singgah di Rodalink Sri Hartamas. Diunjukkan pam pada mekanik bertugas. Dia perhatikan sekejap kemudian dengan wajah tak berapa seronok dia bagi tahu kedai tak ada alat ganti. Saya sendiri terasa muka saya jadi mencuka. Mujur cepat dia redakan suasana.


Kit - Gegelang O, getah pelapik kepala kecil dan besar.
"Kedai kat Bangsar ada bang", katanya macam tak pasti. Muka yang mencuka tertawar kembali. Ada harapan. "Boleh call Bangsar untuk pastikan. Saya tak mau drive ke sana sia-sia.". Dengan senang hati dia call dan memang sahih ada alat ganti di Bangsar.

Ke Bangsar pada tengahari Ahad satu cabaran besar untuk mencari parkir. Mujur rezeki saya baik terus dapat parkir tak jauh dari Rodalink. Sebaik melangkah masuk, disambut dengan ramah mesra oleh pekerja bertugas. Tak perlu bercerita banyak kerana sudah ditelefon sebelum datang. Pekerja (minta maaf tak tanya nama) mengambil satu kotak yang mengandungi bermacam jenis alat ganti untuk bermacam jenis dan model pam Topeak.

Kit datang dengan 3 komponen. Gegelang O, lapik getah twinhead untuk kepala kecil dan kepala besar. Harganya cuma RM14 termasuk upah pasang dan sedikit pelinciran. Sangat berpatutan. Gegelang O diganti sementara getah lapik disimpan dulu sebab yang ada masih baik. Legaaaaa...