Monday, July 09, 2012

Minggu Tayar Pancit Se Malaya?

Posting terakhir aku bertajuk hilang angin.  Cakap-cakap kita tu kadang-kadang menjadi doa.  Dan kadang-kadang doa itu dimakbulkan segera.  Minggu ini aku betul-betul kena serangan hilang angin.  Penyakit itu melanda tak lain tak bukan, kepada barang yang berangin.  Apa barangnya?  Tiub basikal laaaaa...

Mula-mula kena serangan ialah Rockin'Blues.  Basikal touring aku.  Tayar depan hilang angin tanpa disedari.  Tayar depan basikal touring/komuter itu hanya disedari kempis lembik melepek bila aku nak bawa basikal itu ke kedai.  Oleh kerana ada basikal lain untuk memikul tugasnya buat sementara waktu, aku biarkan saja RnB begitu.  Tunggulah bila virus M(alas)  yang menyerang aku reda...

Adegan 2, tiub depan Sang Raksa.  Sedang elok bersiap untuk layan KeRabu, bila angin tayar depan nampak kurang, kenalah ditambah.  Injap presta pada tiub patah kepalanya.  Menderu angin keluar.  Tiub tak bocor...penutup injap yang rabak...Pengunci injap presta tu entah macam mana boleh patah.  Mujur ada tiub gantian.  Dengan pantas tiub diganti dan selamatlah kayuhan Carcosa malam itu.

Adegan 3, semalam...Sabtu, 07/07/2012.  Sang Boboi diheret ke Taman Lembah Kiara.  KLMTB Carnival ada buat acara untuk anak-anak berbagai peringkat umur.  Anak aku didaftarkan untuk acara kategori 7-10 tahun.  Malam sebelumnya, sudah jenuh berhempas pulas menala Sang Boboi.  Beberapa komponen diganti dengan komponen prestasi perlumbaan tahap Super Saiyya.  Tekanan angin diperiksa dan dipam tepat 35.217psi.

Sampai di Taman Lembah Kiara, Alan membawa Sang Boboi berkitar sekeliling sebagai pemanas badan.  Dan cuaca semalam memang panas.  Jadi, tak perlu memanaskan badan lama-lama sebab cuaca sudah panas.  Dengan tidak semena-mena  tayar belakang Sang Boboi kempis.  Halamak!  Tiub gantian tidak dibawa.  Ada kedai basikal yang buka gerai pameran di situ.  Tapi...tak ada satupun yang menjual tiub saiz 24. Nak buat macam mana?  Nak buat macam mana?!!!

Tiub gantian tiada.  Ikhtiar kedua...tampal tiub.  Mujurlah kit penampal tiub aku sentiasa bawa.  Beressss!  Tiub siap ditampal dan Sang Boboi dapat beraksi.  Tidak habis di situ.  Setelah tamat acara, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah, masa untuk balik.  Baru gaya nak sorong basikal balik ke kereta, berdetup bunyi dari injap presta.  Bunyi detup dengan pantas diiringi bunyi desir angin dan tayar Sang Boboi kempis kecut dengan semerta.  Mujur dah selesai acara.  Mujurrrrr...Dua bocoran dalam masa tak sampai 2 jam.  Sampai sekarang tiubnya belum diganti.  Aku penat.

Adegan 4, rancangan asal untuk ke Ladang Tuan Mee berkayuh dengan Briged Basikal BTP terbantut kerana hujan lebat.  Alang-alang dah siap, haluan dialih ke kawasan yang kering dan ternag benderang... PCP.  Galaklah aku dan anak-anak, Faris dan Farhan melayan denai-denai PCP.  Tiba di denai no 6 merah selepas pendakian pertama dengan tiba-tiba tayar depan berbunyi kelepek kelepek laksana bunyi tahi lembu berguguran jatuh ke bumi.  Laaaa...pancit lagi.  Angin hilang bukan kerana lubang pada tiub tetapi sebab rabak pada pangkal injap.  Memang tak boleh ditampal.  Dan...mujur juga pada saat-saat akhir tadi aku sempat menyuruh Faris membawa satu tiub gantian.  Tidak sia-sia...Aku ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada nyamuk-nyamuk yang sudi datang beramai-ramai menemani aku ketika aku sibuk menukar tiub tadi. 


Empat insiden hilang angin itu memang boleh menaikkan angin.  Kalau ikutkan dungu rasa, memang terasa nak marah.  Nak marahkan siapa?  Bukan ada sesiapapun yang mendajalkan tiub-tiub itu...Semua yang terjadi adalah dengan kehendakNya.  Barangkali ujian dan dugaan untuk aku...Redholah dengan ketetapanNya...Bila pemikiran dicondongkan begitu, tenang rasa hati.  Innalillah..semuanya dari Allah...

2 comments:

hisufian said...

UST! ...or summon the McGuyer in you and cook-up a homemade tubeless recipe

akmalhizam said...

35.217? Sungguh teliti.
:)