Artikel ini adalah terjemahan bebas daripada artikel Mountainbike Wheel-size, & the Right One for you yang disiarkan di blog Singletracks.com dan ditulis oleh Bombardier. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. |
Sudah lama juga aku merangka untuk menulis perihal saiz roda untuk MTB. Apatah lagi dengan kemunculan si kaki besar 29inci dan mutakhir ini saiz 650b sedang bangkit semula. Tajuk posting tidak ada kena mengena dengan siri TV dengan tajuk yang hampir sama.
Untuk menulisnya dari sifar memang agak sukar dan memerlukan masa. Kebetulan dalam pencarian terjumpa artikel di laman web Singletracks ini memang seperti apa yang aku bayangkan, maka aku ambil keputusan untuk menterjemah saja artikel ini. Diharap menjadi panduan berguna kepada mereka yang masih lagi tercari-cari saiz roda yang mana satu yang sesuai dengan mereka.
Sudah sekian lama MTB bergolek di atas roda bersaiz 26inci. Bukan kerana itu saiz terbaik, tapi kerana hanya saiz itu yang ada untuk digunakan bersama tayar-tayar gemuk bergerutu pada masa itu. Roda diambil daripada basikal yang menggunakan "tayar belon" dan dipasangkan dengan tayar gerutu dari motosikal sebab itu saja pilihan yang ada pada masa itu. Tayar 26inci bukanlah teruk. Malahan, telah bekerja dengan baik selama ini. Dan untuk satu tempoh yang lama, itu saja saiz yang ada. Mujurlah, (bergantung dari sudut mana pandangan anda), akan sentiasa ada segolongan manusia yang sentiasa mencari jalan memperbaiki lagi basikal; dan mereka enggan menerima yang saiz roda 26inci adalah saiz yang terbaik.
Sekarang kita ada beberapa pilihan, dan saya pasti yang ramai pengayuh yang baru bermula (atau sebahagian dari kita yang "Luddites"[anti teknologi]) yang keliru dengan saiz tayar apa yang betul (ketepikan dulu soal politik-roda).
26inci (26er) - Tiada yang buruk boleh diperkatakan tentang saiz piawai ini. Walaubagaimanapun, ia ada batasan; upaya rendah untuk bergolek melepasi rintangan, daya inertia yang rendah, kecenderungan terkandas di dalam pasir dan lumpur. Manakala kelebihnnya pula adalah; industri MTB berasaskan roda bersaiz 26inci, menyokong/memadani julat saiz pengayuh yang lebih besar, roda yang lebih kukuh dan ringan boleh dibina, julat saiz tayar sepadan yang lebih banyak dan kadar pecutan lebih tinggi.
29inci (29er) - Roda besar telah membuktikan dirinya bernilai selama puluhan tahun lalu melalui industri pacuan 4 roda. Sama seperti pada kenderaan pacuan 4 roda, MTB bertayar besar berupaya bergolek melepasi rintangan dengan lebih mudah, memberikan apungan yang lebih apabila melalui pasir atau lopak lumpur, memberikan lebih sentuhan permukaan untuk cengkaman yang lebih baik dan upaya mengekalkan lajakan (momentum) pada kelajuan tinggi. Untuk kenderaan bermotor, rekaan lebih mudah disesuaikan dengan tayar lebih besar tanpa menjejaskan pemandu. Sebaliknya, pada MTB, kerangka untuk roda 29inci perlu direka supaya pusat graviti dan ketinggian "standover" kekal rendah, menghindar daripada pertindihan tayar dan jari kaki dan memastikan berat keseluruhan rendah. Memang para pengeluar telah menjalankan tugas ini dengan agak baik, basikal 29inci masih lagi terhad kesesuaiannya kepada pengayuh-pengayuh tinggi. Kerangka untk pengayuh rendah tidak dapat memberikan ketinggian "standover" pada tinggi yang munasabah, dan memang sukar untuk menghindar pertindihan tayar dengan hujung jari kaki dan pada masa yang sama berhempas pulas untuk mendapatkan tapak roda yang berkesan. Basikal 29inci yang direka untuk pengayuh dengan ketinggian 5 kaki akan membuatkan pengayuh berada di antara dua tayar, dan pada masa yang sama terpaksa mengawal peningkatan inertia roda yang besar itu. Tambahan pula, basikal ampai penuh 29inci menghadapi masalah "wheel-travel" yang terhad. Rekaan yang melebihi 6 inci travel sudah dikeluarkan, tetapi untuk mendapatkan kerangka basikal yang sesuai bagi dimensi sesebuah MTB agak sukar. Basikal ampaian penuh umumnya lebih berat daripada basikal ekor keras atau basikal rigid. Ditokok dengan roda yang besar, membina sebuah basikal ampaian penuh yang tidak berat adalah sukar tanpa penggunaan bahan-bahan eksotik dan sistem ampaian yang mudah.
Kombo (69er) - *Ini dedikasi khas untuk kawan aku Sufian Idris - BCKeLoLo. Ini bukan idea baru. Dahulu, MTB pernah dibuat dengan gabungan tayar 26inci/24inci. Tujuannya supaya roda depan 26inci yang lebih besar akan mengendalikan halangan dan rintangan manakala roda belakang 24inci yang lebih kecil akan memberikan pecutan pantas. Konsep yang sama digunapakai untuk gabungan 29inci/26inci. Rekaan ini boleh menampung pengayuh yang kurang tinggi dan lebih mudah dipecut. *Tokok tambah BCKeLoLo - biasalah bila digabungkan, akan dapat manfaat keduanya. Dan...jangan lupa, masalah juga dapat kedua-duanya.
27.5inci/650b - Dikatakan terbaik untuk kedua-dua dunia. Roda lebih besar daripada 26inci untuk menguruskan halangan dan rintangan tetapi masih lagi boleh memecut dengan pantas. Saiz ini juga memberikan lebih ruang kepada pengeluar bila mereka membuat kerangka untuk pengayuh berketinggian sederhana dan rendah. Pengayuh rendah ynag mungkin sukar mendapat padanan pada basikal 29inci, akan mendapati lebih mudah mendapat padanan yang selesa dengan basikal 27.5inci. Pengayuh yang memasang roda 27.5inci pada basikal 26inci sudah semakin umum kerana kebanyakan kerangka 26inci boleh menerima roda 27.5inci tanpa masalah kelegaan tayar. Pada basikal rigid ekor keras dengan brek cakera, proses ini akan menjadi lebih mudah. Kuncinya ialah pada brek cakera kerana penggunaan v-brek terjejas dengan saiz roda yang berbeza. Malahan, ada basikal ampaian penuh travel panjang (Fisher Fat Possum) sudah dipasang dengan tayar 650b oleh sesetengah kedai. Ada fork yang memberikan masalah kelegaan tayar bila dipasang roda 650b. Namun, beberapa jenama utama seperti RockShox Pike, X-Fusion Velvet, Maverick DUC32 dan FOX32 mempunyai ruang kelegaan yang mencukupi untuk roda 650b. White Brothers sedang dalam rangka membangunkan fork khusus untuk 650b. Pengeluar lain, pada masa ini, tidak menyarankan penggunaan fork mereka untuk roda 650b. Menggunakan roda 650b pada kerangka 26inci tidak akan menjejaskan sangat prestasi kayuhan. Ia mungkin menyebabkan sudut kepala melandai 1 darjah dan meninggikan braket bawah (pusat graviti). Masalah ini tidaklah separah menyumbat roda 29inci pada kerangka 26inci.
**Tokok tambah BCKeLoLo - Di Malaysia, 29inci mendapat sambutan agak hangat. Dah ramai diperhatikan menukar ataupun sedang berkira-kira menukar kepada 29inci. 650b, walaupun dikatakan lebih bagus secara keseluruhannya daripada 29inci, masih belum memberikan impak besar. Tidak banyak basikal 650b ditawarkan di pasaran. Mungkin kerana pengimport dan pengedar masih bertahan dan memberikan laluan untuk menghabiskan lambakan stok 29inci.
Dalam masa setahun, julat pilihan untuk senjata pilihan akan meletoppppp. 29er, 26er, 27.5", 69er, 650b-26er; hanya dibataskan oleh kesanggupan industri untuk mencuba. Dan selepas beberapa tahun berevolusi dengan perlahan, dunia MTB seakan sudah mencapai titik revolusi. Rekaan ampaian baru, rekaan roda dan materi kerangka semuanya menyumbang ke arah ini. Apapun, ianya menjadi semakin mengujakan.
3 comments:
69er..the other advantage is the chainstay...rear wheel is closer to the bottom bracket which translates into shorter wheelbase, hence helps with the climb. I know this looks good on paper, but if it really works, then it'll have the best of both world...and it is cheaper than buying another bike.
So, apa tunggu lagi? Pi cari wheel depan 29er dan boh kat Mach 5 hang. Tengok apa jadi.
Untuk 69er, adakah menggunakan kerangka 26" atau 29"?
Jika 26", masih perlu 'fork out $ for the fork'.
;)
Post a Comment