Hilang angin boleh membuatkan kita mati angin, lama-lama naik angin sebab tak boleh pergi makan angin. Pam Topeak JoeBlow Sport II yang saya beli pada bulan Februari tahun lepas dah hilang angin. Menolak tarik pelocoknya terasa ringan tak melawan langsung. Tiada desis angin menderu keluar di kepalanya. Ishhhhh...
Sistem pemasangan mudahnya membolehkan penutup silinder utama dibuka dan diperiksa. Diagnosis kepada penyakit hilang angin ialah kerana gegelang O pada pelocok pam ini sudah keras dan mengecut. Tidak lagi menampan dan memampan udara bila disorong tarik.
Diagnosis sudah. Rawatannya bagaimana? Tempat pertama dirujuk ialah laman web Topeak. Ada kit gantian untuk pam ini. Harga pula berapa? Ada kawan yang bagi tahu harga mencecah RM80. Haaaaa! Tak berbaloi beli kit pembaikan RM80 untuk pam yang berharga RM125.
Ada kawan-kawan yang menyarankan supaya pergi balik ke Rodalink. Ya tak ya juga. Kan Rodalink yang mengedar barangan Topeak? Kadang-kadang minda dan akal memang suka berfikir secara rumit dari mengikut jalan mudah yang terbentang.
Hanya dengan satu panggilan telefon, masalah hampir selesai. Rodalink Sri Hartamas minta dibawakan pam ke kedai untuk diperiksa dan dibaiki. Legaaaaa. Dalam kelegaan sementara, terlupa untuk bertanya anggaran kos.
Jadinya semalam, selepas puas bermain di Kiara, saya singgah di Rodalink Sri Hartamas. Diunjukkan pam pada mekanik bertugas. Dia perhatikan sekejap kemudian dengan wajah tak berapa seronok dia bagi tahu kedai tak ada alat ganti. Saya sendiri terasa muka saya jadi mencuka. Mujur cepat dia redakan suasana.
"Kedai kat Bangsar ada bang", katanya macam tak pasti. Muka yang mencuka tertawar kembali. Ada harapan. "Boleh call Bangsar untuk pastikan. Saya tak mau drive ke sana sia-sia.". Dengan senang hati dia call dan memang sahih ada alat ganti di Bangsar.
Ke Bangsar pada tengahari Ahad satu cabaran besar untuk mencari parkir. Mujur rezeki saya baik terus dapat parkir tak jauh dari Rodalink. Sebaik melangkah masuk, disambut dengan ramah mesra oleh pekerja bertugas. Tak perlu bercerita banyak kerana sudah ditelefon sebelum datang. Pekerja (minta maaf tak tanya nama) mengambil satu kotak yang mengandungi bermacam jenis alat ganti untuk bermacam jenis dan model pam Topeak.
Kit datang dengan 3 komponen. Gegelang O, lapik getah twinhead untuk kepala kecil dan kepala besar. Harganya cuma RM14 termasuk upah pasang dan sedikit pelinciran. Sangat berpatutan. Gegelang O diganti sementara getah lapik disimpan dulu sebab yang ada masih baik. Legaaaaa...
No comments:
Post a Comment