Ini adalah siri 7 dalam siri-siri Komponen MTB dan disiarkan secara berperingkat atas dasar "bila aku ada masa". Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung |
DAHAN (STEM)
Dahan pada basikal Fuji. Dahan berfungsi memegang tiub kemudi dan bar hendal.
STEM dari segi bahasanya, kalau diterjemahkan secara harfiah, membawa maksud
TANGKAI. Satu lagi terjemahan yang hampir ialah
BATANG. Secara peribadi, walaupun saya bukan ahli bahasa, terasa semacam satu kejanggalan dan kekekokan yang amat sangat untuk menerima terjemahan itu untuk stem. Bila diamati rupa zahir stem itu mirip kepada dahan pokok mangga depan rumah saya, maka saya lebih cenderung menggunakan
DAHAN sebagai terjemahan kepada
STEM. Ini dalam konteks basikal sahajalah. Jadi, untuk keseragaman, istilah DAHAN akan dipakai sebagai terjemahan kepada STEM.
Apa sebenarnya dahan ini? Dahan boleh ditakrifkan sebagai bahagian basikal yang menyambungkan bar hendal kepada tiub kemudi pada sepit udang. Kadang-kadang disebut leher angsa (goose neck) kerana rupanya yang iras-iras leher angsa.
NOTA : Andai ada ahli bahasa bertauliah lagi diktiraf terbaca makalah ini dan berasa hendak menegur saya di atas kerakusan dan kesemberonoan saya dalam terjemahan, saya terima dengan dengan hati terbuka.
Jenis dahan terbahagi kepada 2 yang utama;
Dahan jolokan
Dahan jenis ini merujuk kepada dahan yang mempunyai satu batang penjolok yang dimasukkan ke dalam tiub kemudi. Dahan dilekatkan dan dikemaskan ke tiub kemudi dengan satu baji yang diikat pada satu bol. Apabila bol diketatkan, ia akan menarik baji yang berada di bawah batang penjolok. Daya tarikan ke atas baji itu akan menghenyak baji ke dinding tiub kemudi menyebabkan dahan terlekat dan terpasak ke tiub kemudi.
Dahan jenis ini dipadankan dengan tiub kemudi jenis beralur yang dipotong sesuai dengan ketebalan
set kepala berbenang. Tiub kemudi tidak terjulur melebihi set kepala.
Dahan jenis ini merupakan rekaan awal dan masih digunakan hingga ke hari ini. Kebanyakannya menggunakan saiz tiub kemudi 22.2mm.
Anatomi dahan cekam
Sekali lagi terjemahan ini boleh dipersoalkan. Memang menyasar dari segi harfiahnya. Saya lebih mementingkan maknawi. Diterjemahkan kepada CEKAM kerana cara dahan jenis ini melekat kepada tiub kemudi. Tiub kemudi untuk dahan jenis ini tidak mempunyai alur bebenang. Sebab itu dipanggil threadless dalam bahasa Inggeris. Panjangnya pula melepasi ketebalan set kepala dan terjulur. Juluran itu menjadi tempat untuk dahan berpaut dan mencekam. Pada badan dahan bahagian pencekam itu dipasang bol yang boleh diketatkan supaya dahan melekat kuat dan kemas pada tiub kemudi.
Tahap ketat longgar dahan menekan set kepala dikawal dengan bol pengikat yang disauhkan kepada nat bintang. Nat bintang ini disumbat ke dalam tiub kemudi. Sayapnya yang bersifat satu hala, akan menghalang nat bintang dari tercabut.
Tiap jenis dahan mempunyai kelebihan tersendiri. Mari kita lihat apa kelebihan-kelebihnnya.
JOLOKAN | CEKAM |
- membolehkan pelarasan halus pada ketinggian bar hendal
- mudah untuk dinaikkan/diturunkan berbanding cekam yang bergantung kepada tebal pelapik.
- penampilan yang lebih kemas dan licin berbanding cekam yang lebih bersifat modular dan bersambung di sana sini.
|
- Lebih mudah untuk tukar, terbalikkan, adun dan padankan dahan dengan pelbagai adunan dan campuran rekaan dahan, warna pelapik dan sebagainya.
- membolehkan penggunaan tiub kemudi daripada alloy atau gentian karbon. Ini memberikan berat keseluruhan basikal yang lebih ringan.
- boleh diselenggara hanya dengan menggunakan satu kunci allen> (ada juga dahan jolokan yang boleh diselenggara dengan satu kunci allen)
- Imbangan tengah bleh dibuat tanpa menjejaskan tinggi bar hendal
- Rekaan plet muka boleh tanggal memudahkan pemasangan bar hendal tanpa perlu menanggalkan komponen lain pada bar hendal (dahan jolokan juga ada yang mempunyai ciri ini)
- Terhindar daripada masalah penjolok terlekat didalam tiub kemudi disebabkan oleh baji
|
Setelah difahamkan jenis dahan, kita lihat pula binaan sesuatu dahan. Binaan dahan ditentukan oleh perkara berikut;
Dahan diperbuat daripada aluminium, besi, titanium, kromoli, gentian karbon, dan gentian karbon disalut aluminium. Bahan yang paling banyak digunakan ialah aluminium. Aluminium menjadi pilihan kerana ia ringan dan mudah ditempa. Dengan teknologi CNC, aluminium boleh dipotong secara tepat menjadikan rekaan dahan semakin rumit dan canggih. Bahan lain yang disebutkan digunakan atas sebab-sebab tersendiri yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Besi keluli juga mudah dibentuk. Tetapi menghadapi masalah berat dan berkarat. Titanium kuat tetapi mahal. Gentian karbon ringan tetapi menghadapi masalah dengan tahap kekuatan. Sebab itu ada pengeluar yang mengambil jalan membalut aluminium dengan gentian karbon.
Kepala dahan jenis C ("pinch bolt")
Kepala dahan yang memegang bar hendal ada 2 jenis. Pertama, jenis pengapit C. Juga dipanggil "pinch bolt". Jenis ini memerlukan bar hendal dimasukkan ke dalam lubang pemegang. Agak menyulitkan bila tiba pada bahagian bar yang bengkok. Satu lagi kelecehan pemegang jenis ini ialah semua yang terpasang pada bar perlu ditanggalkan pada satu sisi. Bahagian seperti tuas brek, penukar gear dan penggenggam terpaksa dilucutkan sebelum bar hendal boleh dimasukkan ke dalam pemegang dahan. Bar diketatkan dengan mengunci bol pengemas pada pemegang C.
Dahan cekam dari FSA. Plet muka pemasangan 4 bol boleh ditangalkan.
Jenis kedua pula ialah jenis plet muka bolehtanggal. Bahagian pemegang direka semula dengan memecahkan bahagian berbentuk C kepada 2 bahagian berasingan. Plet luar boleh ditanggalkan terus. Bar hendal boleh diletakkan terus ke dalam lekuk pada pemegang tanpa perlu melondeh tuas brek, penukar gear dan penggenggam. Plet dikunci ke dahan dengan bol. Ada jenis 2 bol dan ada 4 bol.
Dahan mempunyai 2 dimensi yang mempengaruhi pemadanan dahan dengan basikal. Pertama sudut congetnya. Kedua, panjang. Sudut conget mempengaruhi tinggi rendah bar hendal pada basikal. Panjang pula mempengaruhi tahap jangkauan pengayuh. Selain sudut conget dan panjang, keserasian dengan bahagian lain juga diambilkira iaitu garispusat bar hendal dan garispusat tiub kemudi.
Sudut
Sudut conget pada dahan
Sudut merujuk kepada tahap congetan pada batang dahan relatif dengan bahagian pemegang kemudi pada dahan cekam atau batang penjolok pada dahan jolokan.
Sudut untuk dahan jenis jolok untuk basikal lumba biasanya 73° yang menjadikan batang dahan itu seolah selari dengan tanah. Dahan jenis penjolok juga mempunyai sudut lain contohnya 90°, yang menyebabkan dahan mendongak ke atas.
Dahan generasi baru untuk set kepala tanpa bebenang datang dalam berbagai sudut dalam julat 0° sehingga 17°. Dahan jenis ini juga boleh diterbalikkan bergantung kepada citarasa pengayuh. Ada juga dahan yang dibuat dengan sudut boleh laras. Untuk menjadikannya boleh laras, dipasangkan pangsi pada badan dahan.
Panjang
Panjang dahan
Panjang dahan diukur dari tengah lubang tiub kemudi ke tengah lubang bar hendal pada sepanjang batang dahan itu. Panjang boleh berada dalam julat 50mm - 110mm. Panjang dahan mempengaruhi jarak jangkauan pengayuh. Disesuaikan dengan pengayuh dan saiz kerangka yakni panjang tiub atas.
Hanya dahan jenis jolok saja yang ada jolokan minima. Jolokan minima menetapkan panjang penjolok minima yang perlu masuk ke dalam lubang tiub kemudi. Ini bagi menentukan pegangan yang cukup supaya dahan tidak longgar dan mudah tercabut ataupun mengelakkan dahan dari mudah patah dalam perlanggaran disebabkan kesan tuilan. Biasanya ada tanda jolokan minima dilorekkan pada batang penjolok.
Yang paling umum didapati ialah saiz 22.2mm untuk dahan jenis jolok dan 25.4mm untuk dahan jenis cekam. Jadual di bawah menunjukkan garispusat luar dan dalam tiub kemudi.
Padanan Dahan Dengan Saiz Tiub Kemudi |
Saiz Nominal | Garispusat Dahan |
Garispusat Luar Tiub Kemudi Saiz Dahan Cekam | Garispusat Dalam Tiub Kemudi Saiz Dahan Jolok |
1" Standard (25.4 mm) | 7/8"(22.2 mm) |
1 1/8" (28.6 mm) | 1" (25.4 mm) |
1 1/4" (31.8 mm) | 1 1/8" (28.6 mm) |
BMX/basikal O.P.C. | .833"(21.15 mm) |
Basikal Perancis 25 mm (luput) | 22mm |
Sumber :
Sheldon Brown
Kedua-dua dahan jolok dan dahan cekam dibuat dalam berbagai saiz untuk mengepit bar hendal. Piawai ISO untuk pengepit bar hendal ialah 25.4mm (1"). Piawai ini digunakan pada kebanyakan basikal gunung dan bar hendal basikal-basikal jalanan buatan Jepun. Bagi Itali pula, piawai tidak rasmi ialah 26.0mm yang merupakan juga saiz umum untuk saiz pengepit bagi bar hendal basikal jalanan. Ada juga saiz pertengahan seperti 25.8mm yang cuba untuk memenuhi keserasian dengan piawai ISO atau piawai Itali dan juga saiz 26.4mm khusus untuk Cinelli. Dalam amalan sekarang, dahan dengan pemuka pengepit boleh-tanggal membenarkan sedikit perbezaan pada saiz garispusat pengepit bar hendal. Tetapi pada dahan jenis cekam satu bol tunggal, saiz bar hendal mesti dipadankan dengan padanan yang tepat. Pada zaman dahan penjolok, dahan basikal jalanan boleh dikenal dengan mudah pada bentuknya yang menyamai nombor "7". Tetapi, hari ini, lebih sukar untuk membezakan di antara dahan untuk basikal jalanan (saiz 26mm) dengan dahan untuk basikal gunung (25.4mm). Pengeluar sengaja tidak mewar-warkan saiz pengepit sama ada dalam iklan atau pada bungkusan.
Basikal BMX biasanya mempunyai saiz cekam 22.2mm.
Piawai baru yang semakin menular adalah cekam saiz gedebab (31.8mm atau 1.25") pada bar hendal basikal jalanan dan basikal gunung. Saiz ini dengan pesatnya sedang mengambil alih saiz cekam pendahulu-pendahulunya. Bagi membolehkan bar hendal bersaiz 25.4" dipakai pada dahan berpengapit gedebab, pelapik digunakan.
Pada dahan jolok yang menggunakan pengapit C bol tunggal, bar hendal di masukkan melalui lubang pengapit dari hujung bar hendal. Pada bahagian bar hendal yang hendak dijolok masuk ke dalam pengapit, penggenggam, tuas brek dan tuas gear perlu ditanggalkan. Satu kerja leceh. Bar dimasukkan beransur-ansur dan kadang-kadang tersangkut pada bahagian bar yang bengkok menyebabkan bar boleh tercalar. Ada yang menggunakan kaedah mengangkangkan pengapit sebelum bar hendal dimasukkan. Setelah bar berada di dalam kedudukan, pengapit diketatkan dengan sebatang bol. Pada dahan yang menggunakan plet muka boleh-tanggal, pemasangan bar hendal adalah lebih mudah. Bahagian tengah bar terus diletakkan pada bahagian pengapit tanpa perlu menanggalkan tuas brek, tuas gear dan penggenggam.
Jadual di bawah menunjukkan pemadanan pengapit dengan saiz bar hendal.
Pemadanan Dahan Dengan Saiz Bar Hendal |
Saiz | Penggunaan |
22.2 mm | 7/8" | Bar besi untuk BMX dan model lama basikal gunung |
23.8 mm | 15/16" | Saiz British untuk bar hendal besi yang telah Luput. Juga dipakai pada model lama basikal English 3 kelajuan. Saiz ini juga digunakan untuk bar hendal berjuntai keluli. |
25 mm | | Saiz Perancis yang telah luput |
25 mm | | Saiz Perancis yang telah luput |
25.4 mm | 1" | Saiz piawai, digunakan pada kebanyakan basikal sekarang. Kadang-kadang disalah anggap sebagai saiz "mountain bike". |
25.8 mm | | Saiz tidak rasmi yang digunakan oleh pengeluar dari Itali bertujuan supaya boleh digunakan pada dahan saiz ISO (25.4") atau saiz Itali (26.0mm) | |
26.0 mm | | Piawai Itali untuk bar berjuntai, bar lain yang dibuat untuk dahan piawai Itali dan beberapa bar berjuntai atas pasaran kelas atasan. Kadang-kadang disalahmengertikan sebagai saiz "jalanan".
|
---|
26.4 mm | | Untuk model Cinelli lama dan Cinelli ciplak. CInelli bertukar kepada saiz 26.0 pada tahun 1998. |
27 mm | | Titan (luput). |
31.8 mm | 1 1/4" | Gedebab. Bar hendal gemuk pada bahagian pengapit. Bahagian pemegang masih lagi bersaiz 25.4mm |
Sumber :
Sheldon Brown
© BikePro.com. Dahan dengan lubang pada badan utama dari Grove Innovations
Terdapat dahan yang ditebuk lubang pada batang utama untuk pemasangan kabel bagi brek cantilever seperti yang terdapat pada basikal BMX, basikal gunung dan cyclo-cros.
Selain dari 2 jenis dahan yang umum yang disebutkan di atas, ada beberapa kepelbagaian lagi dahan yang terdapat dalam pasaran;
Boleh laras
Dahan jenis ini boleh dilaras panjang pendeknya. Ini dilakukan dengan rekaan gelangsar. Bahagian pengapit bar boleh dianjak ke depan atau ke belakang untuk panjang dahan yang berbeza. Rekaan ini dibuat oleh seorang pembasikal terkenal, Major Taylor, makanya dahan jenis ini juga dipanggil Major Taylor Outrigger.
Selain pelarasan depan belakang ada juga dahan yang boleh dilaras sudut dongaknya. Ini terhasil melalui rekaan pangsi pada badan dahan. Kehadiran pangsi membolehkan sudut dongak dahan dinaik atau diturunkan.
Berampaian
Dahan berampaian dari Softride
Satu alternatif kepada sepit udang berampaian. Sesuai untuk kayuhan di kawasan yang memberikan gegaran kecil. Antara yang terkenal ialah dahan berampaian dari
Softride. Dahan berampaian dari Softride ini memberikan 3 inci gelunsuran. Ia menggunakan sambungan parallelogram (sama seperti pada RD). Untuk menyerap hentakan, digunakan bushing polimer dan spring lingkar. Kaedah sambungan parallelogram memberikan kedudukan bar hendal yang tetap dan tidak berpusing bila menyerap hentakan. Kawalan lebih stabil dan mantap. Sayangnya, Softride sudah menghentikan pengeluaran dahan ini.
Dahan Girvin dengan ampaian elastomer
Selain spring dan penggunaan sambungan parallelogram, ada juga pengeluar yang membuat dahan berampaian menggunakan polimer sebagai bahan penyerap hentak. Gerakan naik turun dahan terhasil oleh satu pangsi pada badan dahan. Untuk menyerap hentakan, satu bungkah elastomer anjal diletakkan pada bawah pangsi.
Dahan pencacai pada basikal rangkai
Dahan untuk pencacai pada basikal rangkai sama seperti dahan biasa. Cumanya, cekaman dahan ialah pada tiang pelana pemandu.