--- disclaimer --->
Ini adalah siri 5 dalam siri-siri Komponen MTB dan disiarkan secara berperingkat atas dasar "bila aku ada masa". Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung |
TUAS BREK DAN PENUKAR GEAR
Jom kita tengok pulak warga tetap bar hendal ni. Kenapa disekalikan bicara tentang tuas brek dengan penukar gear? Haaa...kerana teknologi dan perkembangan terbaru memungkinkan kedua-dua komponen ini dicantum sekali dalam bentuk bersepadu. Kita akan bincangkan juga bab itu nanti. Justeru, kedua-dua komponen ini dibincangkan bersama.
Dan kalau anda ingin mencari saranan dari saya sistem mana yang terbaik, anda tidak akan berjumpa dalam artikel ini. Saya biarkan anda hadamkan sendiri maklumat ini dan pilih sendiri sistem mana yang terbaik untuk anda. Anda yang tentukan.
Jadi kita akan membincangkan bab ini seperti berikut;
Tuas brek adalah alat yang memindahkan daya tarikan dari tangan ke brek untuk memperlahankan atau memberhentikan basikal. Terdapat dua jenis yang umum iaitu;
Tuas brek mekanikal yang tipikal. Ini jenis badan plastik dan tuas alu
Tuas brek mekanikal bekerja dengan memberikan daya tarikan pada kabel untuk menarik brek bagi memperlahankan atau memberhentikan basikal. Boleh digunakan untuk brek V atau brek cakera mekanikal atau mana-mana sistem yang menggunakan tarikan menegak atau tarikan melintang.
Komposisi asas tuas brek mekanikal terdiri daripada;
- Badan
- Tuas brek
- Sauh kabel
- Sangga
- Pengapuk
Satu tuas brek mekanikal yang tipikal
Kemudian rekaan asas ini dimajukan lagi dengan penambahan tombol pelaras(adjusting barrel), pelaras jangkauan (reach adjuster) dan pelaras sangga (leverage adjuster) seperti sistem "speed dial" pada tuas Avid misalnya. Rekabentuk tuas juga diperbaiki dan diperhalusi untuk memberi tahap kekuatan membrek yang berbeza pada tahap pautan yang berbeza. Sistem Servo Wave Action pada tuas Shimano misalnya, menggunakan ciri ini. Tidak terhenti di situ saja, tuas dimajukan lagi dengan ciri pengapuk kepingan terpisah (detachable faceplate) dan dwicakat (ambidextrous). Pengapuk kepingan terpisah membolehkan pemasangan tuas lebih mudah dan cepat tanpa perlu menanggalkan penggenggam. Dwicakat memberikan tuas yang serupa dan sepadan bagi kedua-dua belah kiri dan kanan. Tidak perlu tergaru-garu memikirkan yang mana satu tuas kiri atau kanan kerana kedua-dua serupa. Entah apa lagi yang akan dimajukan pada masa hadapan agaknya?
Tuas Avid SL. Perhatikan pelaras sangga berwarna merah.
|
Tuas Shimano LX. Servo Wave Action gah dipamerkan.
|
Tuas brek hidrolik bekerja dengan memberikan daya tolakan pada bendalir hidrolik apabila tuas ditarik. Tolakan pada bendalir hidrolik ini akan dihantar ke kaliper untuk memperlahankan atau memberhentikan basikal.
Satu tuas brek hidro yang tipikal
Tuas brek hidrolik Shimano SLX
Komposisi asas tuas brek hidrolik terdiri daripada;
- Badan dan silinder utama (master cylinder)
- Tuas brek
- pelocok (push rod)
- Sangga
- Pengapuk
Tuas hidrolik disambungkan ke kaliper dengan hos tekanan tinggi. Sambungan perlu kedap supaya bendalir hidrolik tidak tiris dan tidak dimasuki angin.
Seperti tuas mekanikal, tuas hidrolik juga melalui beberapa evolusi dan ditambahkan dengan ciri-ciri tambahan yang hampir sama seperti tuas mekanikal seperti pelaras jangkauan (reach adjuster), pengapuk kepingan terpisah (detachable faceplate) dan dwicakat (ambidextrous).
Penukar gear berfungsi menarik atau menegangkan kabel gear bagi tujuan pertukaran gear. Apabila membicarakan penukar, kita akan berjumpa dengan dua istilah penting - TAKAT (INDEX) dan NISBAH DORONGAN (ACTUATION RATIO). Elok difahamkan dulu maksud istilah ini bagi lebih memahami bab penukar ini.
Takat merujuk kepada penakat di dalam penukar yang menentukan titik henti bagi setiap gear. Dengan adanya takat, pengguna tidak perlu teraba mencari di mana mau diletakkan posisi tuas untuk mendapatkan gear yang dikehendaki berbanding dengan sistem geseran.
Nisbah dorongan pula merujuk kepada setakat mana gear bergerak apabila penukar ditekan atau ditarik. Nisbah 2:1 bermaksud 2mm pergerakan kabel pada penukar akan menggerakkan 1mm pada gear. Nisbah ini biasa dipakai pada sistem Shimano dan SRAM Attack. Manakala nisbah 1:1 bermaksud pergerakan 1mm pada penukar akan menggerakkan gear pada 1mm juga. Nisbah ini terdapat pada kebanyakan sistem SRAM.
Jenis penukar yang umum dipakai pada basikal gunung ialah;
Penukar gear ibu jari klasik
Antara jenis penukar yang awal. Juga dikenali dengan pemasangan atas (top-mount) kerana tuasnya dipasang di atas hendal bar. Juga dikenali dengan penukar geseran. Tukaran gear menaik (menegangkan kabel) dibuat dengan menolak tuas penukar dengan ibu jari. Dari situlah didapati namanya penukar ibu jari. Sementara tukaran menurun dibuat dengan menarik tuas penukar dengan jari telunjuk.
Rekaan asasnya tidak mempunyai penakat gear. Pengguna perlu mengagak setakat mana tuas perlu ditolak atau ditarik untuk mendapatkan gear yang betul. Pada Tolakan/atau tarikan akan terdapat sedikit rasa ketat (geseran). Ini dibuat bertujuan memperlahankan tolakan atau tarikan sekaligus menyekat kabel dari tertarik oleh spring gear. Kerana itu penukar jenis ini juga dikenali dengan penukar geseran (friction shifter)
Ia masih lagi digunakan pada basikal-basikal kegunaan harian atau untuk kegunaan anak-anak. Namun masih ada lagi pendokong penukar jenis ini atas sebab-sebab tersendiri. Mungkin kerana nostalgia dan nilai sentimental barangkali...
Penukar gear ibu jari bertakat 7 kelajuan dari Sunrace
Apabila teknologi semakin maju, penukar ini juga dimajukan dengan sistem bertakat (index). Mekanisma di dalam perumah ditambah dengan penakat mengikut gear. Pengguna tidak perlu lagi teraba-raba mengagak setakat mana hendak ditolak atau ditarik tuas kerana penakat sudah terbina dalam. Hanya perlu menolak atau menarik mengikut penanda yang tertera.
Anatomi sebuah penukar picu - Shimano XT
Penukar ibu jari dipasang di atas bar hendal. Sementara kedudukan semulajadi ibu jari apabila pengayuh memegang bar hendal adalah di bawah bar. Akibat kesukaran mengalihkan ibu jari ke atas untuk menukar gear lahirlah penukar gear yang dipasang di bawah bar hendal. Lahirlah penukar picu (trigger/rapid fire shifter). Tuas-tuas penukar dijadikan seperti picu pada pistol.
- PESAING UTAMA -
SHIMANO
Penukar picu Shimano XT SL M770. Paparan pada penukar kanan dibuka. Satu lagi inovasi dari Shimano.
|
SRAM
X9 dari SRAM.
|
Penukar picu memajukan lagi teknologi penukaran gear bertakat. Gerakan tegang-kendur kabel diperbaiki dengan menambahkan satu lagi tuas untuk melepaskan tegangan. Pada sistem rapid fire Shimano, tuas pelepasan ini digerakkan dengan jari telunjuk dari atas bar. Sementara pada sistem SRAM, ke dua-dua picu diletakkan di sebelah bawah bar dan digerakkan oleh ibu jari. Sistem pada Shimano kemudiannya dimajukan lagi dengan rapid fire plus di mana picu pelepasan mempunyai dwi gerakan. Picu pelepasan boleh digerakkan dengan menarik picu dengan jari telunjuk atau ditekan dengan ibu jari. Ini memadamkan sungutan dan rungutan pengguna yang lebih selesa memperuntukkan jari telunjuk untuk menarik brek. Shimano mengambil langkah bijak menjadikan tuas pelepasan boleh digerakkan dengan ibu jari atau jari telunjuk. Pilihlah mana-mana yang anda suka. Pilihan di jari anda!
Penukar pulas SRAM X-O
Sistem ini agak berbeza dari segi rupa berbanding penukar ibu jari dan penukar picu. Ada yang memanggilnya sistem motor kerana rupanya yang iras-iras sistem pendikit (throttle) pada motorsikal. Mat Rempit mesti suka dengan sistem ini.
Revo adalah singkatan pada revolution atau putaran. Dinamakan begitu kerana pertukaran gear dibuat dengan memutar penukar yang kelihatan seperti penggenggam. Sistem ini juga menggunakan penukar bertakat. Gear di tukar dengan memulas penggenggam ke depan atau ke belakang. Ke belakang untuk tarik kabel, ke depan untuk lepaskan kabel.
Untuk pakai sistem ini, penggenggam (grip) perlu pakai yang serasi. Sama ada beli penggenggam yang dibuat untuk penukar gear jenis ini atau...potong sendiri penggenggam standard.
Shimano seperti sudah hilang minat membangunkan sistem ini. Tiada model-model baru dikeluarkan untuk komponen tahap pertengahan atau tahap tinggi. Yang masih ada hanya untuk kegunaan biasa. Berbeza dengan SRAM yang masih memberikan perhatian serius kepada penukar jenis ini. Pembangunan terus diberikan kepada penukar pulas termasuk untuk siri X-9 dan X-0.
Rasanya, dah selesai serba sedikit perbincangan asas tentang tuas brek dan penukar gear. Kita maju lagi untuk mengenali sistem yang telah melalui kawin campur. Sistem gabungan di antara tuas brek dengan penukar gear. Ada 2 jenis;
- Kombo tuas-penukar gear
- Tuas dwi-kawalan
Penukar kombo Shimano Deore.
Panggillah istilah kombo atau kombi tapi bukan chombi(chombi tu anak mami tanjung). Asalnya dari perkataan combination. Kalau bahasa melayu kita nak sebut apa ya? Kembar siam? Sebab melekat macam kembar siam...Istilah "kembar" atau "cantum" sesuai untuk digunakan dalam konteks ini. Sistem ini juga dikenali dengan nama "integrated system" atau sistem bersepadu. Apapun istilah, maksudnya tetap sama - tuas brek dan penukar gear berkongsi satu pengapuk.
Kenapa nak dicantumkan? Dengan kombo, hanya satu pengapuk diperlukan. Jimatlah ruang pada bar hendal. Bolehlah ruang yang lapang itu digunakan untuk menggantung teh tarik dan sebagainya...Dengan itu, berat juga dapat dikurangkan beberapa gram. Bagus bukan?
Yang tak bagusnya, bila berlaku kemalangan pada pengapuk, kedua-dua penukar dan tuas tidak boleh dipakai.
Matchmaker. Hanya sekeping plet...
Hanya dengan sekeping plet, tuas brek dan penukar disepadukan. Tapi...terhad kepada tuas dengan penukar yang serasi Matchmaker sajalah.
Kombo tuas-penukar ini selalu dikelirukan dengan dwi-kawalan sebab nampak macam serupa tapi tak sama. Kombo merujuk kepada unit tuas dan penukar berkongsi satu pengapuk. Perkongsian berhenti setakat itu sahaja. Unit kawalan masih terasing dan tersendiri. Sistem ini banyak dipakai oleh Shimano. Namun model-model terkini Shimano tidak lagi menggunakna sistem ini. Mungkin kerana Shimano akur dengan sentimen pengguna yang kurang berkenan kepada sistem ini. SRAM menawarkan fungsi yang hampir serupa tetapi bukan pada unit khusus. SRAM menawarkan sistem kembar siam ini melalui Avid Matchmaker. Satu alat mudah yag sebenarnya hanya plet muka tuas Avid yang ditambahkan satu lagi ruang untuk memasang penukar SRAM yang serasi Matchmaker. Lebih mudah dan praktikal dari sistem yang ditawarkan oleh Shimano.
Tuas dwi-kawalan (dual control lever) berbeza dari kombo kerana tuas brek dan penukar gear berkongsi perumah dan komponen tertentu. Tuas menjadi alat kawalan utama untuk membrek dan menukar gear. Bagi tuas biasa, pergerakan tuas hanya pada satu paksi iaitu depan-belakang untuk membrek. Tetapi pada TDK, tuas boleh bergerak pada dua paksi. Depan-belakang untuk membrek dan atas-bawah untuk menukar gear. TDK boleh didapati dalam bentuk mekanikal atau hidrolik.
Shimano XT ST M775. Meneruskan kemegahan Shimano dalam TDK.
Kelebihan sistem ini ialah pengguna tidak perlu mengalih tangan secara drastik untuk memilih tuas atau penukar. Segalanya terletak pada satu tempat sahaja. Kendalian brek dan gear menjadi lebih cepat dan mudah. Dan biasalah, dalam apahal sekalipun perlu membiasakan diri dulu. Alah bisa, tegal biasa...
Oleh kerana satu komponen menjalan dua fungsi, maka kadar kehausan akan lebih cepat berbanding unit jenis biasa. Dan lebih berisiko lagi apabila perumah yang dikongsipecah atau rosak, maka kedua-dua penukar dan tuas brek akan terjejas. Disebabkan perkongsian juga, rupanya menjadi gemuk dan setongkol. Nampak hodoh bila bertenggek di atas bar hendal. Shimano masih meneruskan pengeluaran sistem ini pada model-model baru. Mungkin kerana masih mendapat sambutan menggalakkan.
Baiklah, tamat sudah perjalanan meniti dari satu hujung bar hendal ke hujung yang lain. Perjalanan yang dekat tapi menghimbau puluhan tahun perkembangan teknologi. Semoga artikel ini bermanfaat untuk semua...