Friday, July 25, 2008

GLC - Survey n Skodeng Nite Ride

GLC ialah singkatan kepada GOMBAK LAME CYCLIST (Pengayuh Lembab Gombak). Satu kumpulan kecil pengayuh basikal dari sekitar Gombak yang suka merayau-rayau santai di jalanan kota Kuala Lumpur pada waktu malam. Kayuhan diadakan pada setiap Khamis malam. Tapak mula ialah Medan Parkir Sri Gombak, bersebelahan MRR2 di hadapan CIMB Sri Gombak. Laluan kayuhan berubah-ubah bergantung pada selera dan citarasa dan biasanya disepakati pada siangnya. Ahli akan dihubungi melalui e-mel tentang laluan yang akan diambil. Sesiapa yang berhajat mahu menyertai kayuhan GLC, dialu-alukan. Sila hantar e-mel kepada kelolo24@gmail.com supaya anda termasuk dalam senarai edaran maklumat kayuhan mingguan.
GLC is short for GOMBAK LAME CYCLISTS. A small group of MTB cyclists who like to leisurely trod the urban roads of Kuala Lumpur at night. We hold weekly night ride every Thursday night. Rendezvous is at Sri Gombak parking bay, in front of Sri Gombak CIMB Bank. Tire rolls at 9.30 p.m. Routes taken vary depending on the mood and normally determined beforehand during the day. Members will be informed via e-mail about the routes to be taken. Those wishing to join the night urban frolics on bicycle, are welcomed. Just e-mail to me at kelolo24@gmail.com to be included in the ride mailing list.

Bahagian 1 - Survey...

Siapa sangka lebuhraya yang masih dalam pembinaan boleh jadi laluan berbasikal yang menarik. Waktu malam pulak tu. Aku dan Ummu dah merasa beberapa kali berkayuh di situ. Memang menariklah...Ada cebisan rasa off road sikit. Dek kerana itu, kayuhan GLC pada Khamis malam, 24 Julai 2008 dicadangkan laluan itu.

Kami berkayuh dari rumah ke Sri Gombak bermula hampir 9.30. Dah lewat nih. Bisik hati aku. Kayuh dengan kelajuan sederhana saja melalui taman-taman perumahan. Seperti biasa, pemandangan manusia berbasikal dengan lengkap berhelmet, lampu hadapan dan lampu kelip belakang akan menarik perhatian. Ramai yang tertoleh-toleh dan tercangak-cangak. Kami hanya mampu angkat tangan dan senyum dalam kesamaran malam.

Bila sampai ke medan parkir, hujan mula merintik. Aku langut ke langit, nampak gumpalan awan hitam yang sedia memuntahkan isi kandungannya. Alamak...Kemudian muncul Shaque dengan Dino. Mereka sampai awal lagi rupanya tapi berteduh dari hujan. Kemudian bapak GLC, Pak Abas muncul. Malam itu dengan jentera Montana kuning. Giant XTc direhatkan. Mujurlah seketika kemudian rintik hujan berhenti bercucuran. Menyambut ketibaan Pak Abas barangkali...


Oh-oh...Jalan mati daaa...
Lazim adab bertemu disulam salam-salaman. Kemudian berbincang sekejap tentang laluan kerana aku tak berapa pasti laluan di Batu Muda. Keputusan diambil untuk menyusur Taman Samudera sahaja kemudian masuk balik ke Jalan Karak. Shaque di arahkan ke hadapan. Lalu bermulalah kayuhan menyusur ke arah Giant Batu Caves kemudian ke Taman Samudera melewati laluan yang selari dengan Jalan Karak. Laluan disusuri hingga ke hujung bertemu dengan tempat latihan memandu. Sempat aku panjat bukit kecil tempat orang berlatih mendaki bukit. Di situ penghujung jalan rupanya. Menggagau sekejap dalam kesamaran malam mencari laluan tapi tidak berjumpa. Akhirnya keputusan diambil untuk kembali ke Jalan Karak menongkah arus.


Ummu pikul beskal lintas longkang dalam kesamaran malam...
Berpikullah kami mengangkat basikal melintas longkang sebelum mengambil lorong kiri jalan Karak yang masih lagi ditutup. Mujur tutup...Boleh kami menongkah arus menghala ke Sentul. Kayuhan perlu hati-hati kerana sesekali ada motor dan lori datang dari depan. Kami kena ke tepilah sebab kami yang menongkah arus...Kalau tidak, tak pasal-pasal nanti terkayuh ke hospital.

Lagi kira-kira 100 meter ke simpang Kg Bandar Dalam, ada luang di antara pembahagi jalan. Kami ambil kesempatan untuk melintas ke seberang. Selepas lintasan, laluan memanjat ke atas fly over yang masih dalam pembinaan. Seumur hidup tak pernah baik basikal di atas fly over separa siap. Malam itu mencatat sejarah...Kami ambil kesempatan berhenti sekejap sambil bergambar-gambar...Timing kurang cantik barangkali, di situlah juga bateri kamera habis. Tak sempat bergambar banyak-banyak. Dari situ, permukaan bertukar dari tarmac kepada laluan tanah. Masih ada jentolak dan lori bekerja pada pukul 10 malam menambak dan meratakan tanah. Berkejar masa barangkali. Kami meluncur turun ala downhill ke kaki fly over. Menyusur masuk ke kampung Bandar Dalam, kemudian mendaki kembali menaiki DUKE yang telah berturap. Di laluan kanan, tersergam pondok tol yang bakal memungut tol pengguna DUKE. Hmmm...tak bolehkan dibuat jalan tanpa tol?. Dari kejauhan, gemerlapan lampu dari menara kembar KLCC. Di sebelah kanan rumah-rumah pangsa Taman Dato Senu sementara di sebelah kiri bersisa rumah peneroka bandar Kampung Puah yang teselamat dari kerkahan pembangunan. Entah sampai bila mereka akan mampu bertahan. Tamat bahagian survey ride malam itu...Next part, bahagian skodeng pulak...


Bercanda di atas fly over yang masih dalam pembinaan...

Bahagian 2 - Skodeng...

Dari tarmac, kami keluar ke Kampung Puah. Menyelusuri laluan berbatu kerikil ke Bandar Baru Sentul. Laluan gelap seketika sebelum kembali cerah disinar lampu jalan Bandar Baru sentul. Jalan susur dari Bandar Baru Sentul ke Jalan Pahang telah lama siap. Simpangnya ditanda dengan lampu isyarat. Kami teruskan perjalanan. Ummu di depanku. Sempat aku melaung pada Ummu untuk teruskan perjalanan sementara aku menyimpang untuk membeli bateri kamera. Shaque dengan Dino telah ruyup di hadapan dalam mode lumba. Biarkan mereka bergalak...Sementara Pak Abas kekal dengan posisi sweeper.

Aku membelok kanan mencari kedai di kawasan pasar Bdr Baru Sentul. Kawasan itu aku memang biasa kerana keluarga pernah tinggal di situ. Puas jugak berpusing sebelum berjumpa kedai runcit yang masih dibuka di sebelah Menara Orkid. Selesai urusan bateri aku kembali bertemu dengan Ummu, Shaque dan Dino. Rupanya dalam keributan itu Pak Abas telah tersasar.


Shaque soal siasat Faizal untuk dapatkan nombor henpon macam polis tahan orang kat road block.
Kami re-group di traffic light berdekatan masjid Amru al As, sebelah Blok 29. Pak Abas masih tak muncul. Tengah lepak-lepak tunggu Pak Abas, muncul satu Kancil menghimpit kami yang berada di bucu simpang. Ingatkan Kancil tu saja nak himpit sambil cari parking, rupanya brader cyclist jugak. Faisal namanya. Dia berminat nak join GLC berkayuh malam. Dialu-alukan! Nombor handphone bertukar tangan berserta salam kenal-kenalan...

Pencarian Pak Abas diteruskan. Satu panggilan telefon kemudian, Shaque melaporkan Pak Abas sudah terbabas ke stesen BHP di simpang ke Tasik Titiwangsa. Rupanya Pak Abas sudah terambik simpang kiri di traffic light awal ke Bandar Baru Sentul. Pak Abas di minta tunggu di situ. Kami teruskan kayuhan ke traffic light Jalan Pahang - Bandar Baru Sentul. Kemudian kumpulan berpecah 2. Shaque dengan Dino pergi menjemput Pak Abas, sementara aku dan Ummu terus ke Tasik Titiwangsa. Dari kejauhan, kerlipan lampu Eye On Malaysia menggamit. Aku dan Ummu berlegar di depan pintu masuk Titiwangsa sementara menunggu Shaque, Dino dengan Pak Abas sampai...

Jam sudah hampir pukul 11.00. Manusia masih ramai berkeliaran di laman berhadapan Eye On Malaysia. Rancangan asal untuk ke KLCC ditangguhkan sebab sudah lewat. Setelah semua berkumpul kembali, kayuhan diteruskan ke dalam Taman Tasik Titiwangsa. Satu pemandangan biasa melihat pasangan-pasangan berkepit dalam kesuraman malam di bangku-bangku sekitar taman. Operasi skodeng bermula! Taklah...tak ada kerja nak skodeng orang...

Kami berkayuh ikut lorong jogger di belakang astaka. Sebenarnya, kawasan larangan untuk basikal tapi memandangkan waktu malam kawasan lengang dan sunyi, kami belasah "merempit" di laluan jogger yang berbelit dan bersimpang siur. Kalau ada couple sedang merendek, mau terkejut tengok kami...Elok juga!

Berkitar di taman seketika kemudian melewati kawasan permainan kereta remote control. Ingatkan malam tiada orang main kereta, ada juga. Shaque dengan Dino berhenti seketika melihat kerana terpesona dengan deruman enjin kereta RC. Dah jadik macam budak-budak...


Ummu seronok mengasah lutut dan betis naik turun bukit kecil
Aku, Ummu dan Pak Abas berlegar sementara menunggu "budak-budak" tua melayan RC. Berdekatan situ ada satu bukit kecil yang jadi tempat mainan aku dengan Ummu menduga lutut dan betis. Kami ke situ. Yang lain tak perasan barangkali, lalu meneruskan perjalanan. Dari atas bukit, aku terpaksa melaung kepada Dino. Terkejutlah manusia-manusia kat Tasik Titiwangsa mendengar laungan manja aku yang memecah keheningan malam. Terkejut Dino mendengar laungan aku sehingga beliau menggunakan jurus brek mengejut menggunakan brek Avid BB7 baru beliau dan nyaris-nyaris terwekang. Mereka berhenti seketika sementara menunggu aku dan Ummu. Ruang kesempatan yang dipergunakan sebaiknya oleh Shaque dan Dino bagi menyalakan obor berasap. Nak halau nyamuk kata mereka.

Malam makin tua. Ketuaan malam tidak menuakan semangat pengunjung muda ke Tasik Titiwangsa. Kami mengorak kayuhan pulang. Dari Titiwangsa menyusur kanan ke Jalan Kuantan kemudian membalas kiri ke Jalan Chan Chin Mooi sebelum bertemu kembali dengan Jalan Pahang yang masih sibuk berderu dengan kenderaan walau malam sudah melangkaui tengahnya. Melintas Jalan Pahang menjadi satu cubaan berbahaya. Ikut arah kanan menghala ke Setapak. Walau Setapak, namun jerih jugak mengayuh. Kalau berjalan kaki hanya perlu melangkah setapak saja...

Bahagian 3 - Santaian dan Kudapan


Pintu masuk YZ Bamboo. Dalam limpahan lampu aneka rona...
Dari Jalan Pahang membelok ke Jalan Gombak. Kenderaan mulai memudar dengan sesekali saja sebuah dua mengesot malas...Dan lazim bagi GLC mengisi kayuhan dengan sesi minum-minum. Malam itu, aku bawa GLC ke satu tempat yang agak eksotik. YZ Bamboo..satu restoran yang tersorok dalam Kampung Sungai Mulia. Untuk sampai ke situ, masuk kiri pada simpang selepas Pasar Besar Gombak. Kemudian ambil kanan bila berjumpa simpang T. Kayuh terus sehingga melewati simpang kiri yang pertama. Restoran berada di kiri, kira-kira 50 meter selepas simpang. Restoran YZ Bamboo punya suasana menarik. Lampu beraneka rona dengan tempat makan dibuat berupa pondok-pondok memberikan suasana relaks dan santai. Menu menawarkan sajian ala thai dan sajian barat. Dari Tom Yam hingga Tom Tom Bak...eh...bukan, bukan, aneka steak dan sebagainya.


Basikal diberi ruang parkir khas di dalam restoran. Macam VIP.
Shaque, Dino dengan Pak Abas memilih untuk menyantap burger sorang sebijik. Manakala aku cukup dengan semangkuk sup cendawan dicicah dengan roti. Untuk mencuci roti dan sup, semangkuk ABC jadi taruhan...Burrrpppp. Malam makin melarut bila semua burger dan makanan yang dipesan terkorban di mulut dan perut pengayuh santai. Hampir 12.30 tengah malam dah. Terpaksa aku berikan isyarat penamat walau majlis masih lagi galak bersidang membincangkan kayuhan tadi. GLC mula bergerak untuk pulang. Kumpulan berpecah dua bila Dino mengambil simpang untuk ke rumahnya. Kami teruskan kayuhan laluan tebingan sungai melewati Kampung Changkat menghala ke Taman Melewar. GLC kemudian berpecah lagi. Aku dengan Ummu kembali ke rumah, Shaque dengan Pak Abas meneruskan perjalanan ke Batu Caves...




Apa aku nak makan nih?

Meja makan dalam pondok-pondok dalam suram cahaya...Romantika di amor.

Tamat sekali lagi sketsa kayuhan santai GLC. Jarak dirakam hampir 30km tetapi tidak terasa sangat kerana tempo kayuhan memang "lembab". Sengaja kami tidak mahu laju-laju kerana itu akan menghilangkan identiti GLC. GLC harus mengekalkan "kelembabannya..." Siapa-siapa yang nak join kelembaban ini...dialu-alukan. Yang nak besit ,laju macam pelesit...tak payah!!! Pegi join GLC yang satu lagi...Gombak Laju Cyclists...

2 comments:

Unknown said...

BRO, gempak la kayuhan u all.
klu nak join kayuh with u all mcm mana.sebab kita orang pun lembab gak kayuhnye.nak contact mcm mana.azmie ampang

BC Kelolo said...

Ha Azmie...Welkam...welkam.

Kayuh takder le gempaqpun...Tapi mode memang santai. Jemput join, jangan segan-segan.

Ride setiap Selasa malam melainkan minggu pertama saja tiada ride.

Rujuk makluman ride di Gombak League of Cyclists