Bermain basikal lasak atau basikal gunung, bagi sesetengah orang, sudah dianggap aktiviti "kurang siuman". Mungkin ada sedikit betul. Anda perlu sedikit "gila" untuk menceburkan diri dalam kegiatan ini. Bermain basikal di denai-denai di dalam rimba, di atas bukit, ke ceruk rantau yang tidak masuk dek akal untuk berbasikal. Itu semua dilakukan pada waktu siang. Dalam terang sinar mentari. Bagaimana pula kalau aktiviti ini dilakukan pada waktu malam. Dalam gelap kelam? Uisshhhh...kalau pada waktu siang sudah dikira "kurang siuman", melakukannya pada waktu malam dalam gelap kelam...Memang sah sudah hilang akal!
Denai-denai Kiara memang terkenal dengan lingkaran denai sempit berliuk lentuk naik turun di dalam rimba. Teknikal, satu perkataan mudah menerangkannya. Berkayuh di Kiara pada wktu siang terang benderang cukup menggusarkan, pada masa yang sama, memberikan cabaran yang merembeskan adrenalin dengan laju bila segala cabaran dan rintangan dapat diharungi. Ataupun,,akur saja yang Kiara terlalu hebat dan hanya dapat diharungi dengan cara turun dan menuntun basikal.
Bagaimana kalau dua unsur ini digabungkan? Denai teknikal dikayuh dalam kelam malam? Itu yang dilakukan oleh sekumpulan pengayuh yang kemaruk adrenalin.
|
Ooi dan Amin |
Mereka pernah datang sebelum ini. Datang jauh beratus kilometer... Untuk apa? Menggagau dan meraba Kiara di dalam kegelapan malam. Dan kegilaan itu mulai berjangkit. Mereka datang lagi dari Pulau Mutiara. Membawa bersama beberapa orang lagi untuk diracun tuba meraba Kiara di dalam kegelapan malam... Aku dan anak aku diheret sama... Satu ajakan yang sukar untuk aku berkata tidak.
Hari Sabtu, 4 Mei 2014. Jadualnya...aku bergerak dari rumah sekitar jam 6.30 petang untuk bertemu di Sri Hartamas. Selesaikan solat magrib di sekitar situ sebelum bergerak masuk ke Kiara. Takdirnya awal petang hujan turun lebat. Sedikit menggusarkan kalau hujan berterusan membawa ke malam. Mujur hujan berhenti...Rancangan diteruskan.
|
Kerabat pelan-pelan... |
Selesai solat magrib di surau Segambut Tambahan, aku dan Faris, anak aku, bergerak ke Sri Hartamas. Parkir kereta di depan Old Town White Coffee. Yang lain menyusul tiba. Pian, Ooi, Amin dan Sumi dari Penang. Rudz dari Wangsa Maju. 7 orang akan menerjah Kiara dalam kegelapan malam...
8.30 malam, kayuhan bermula. Ikut jalan 19/70A sehingga ke simpang 3. Kemudian membelok kiri dan menghadap pendakian panjang Jalan Desa Kiara menuju ke muka denai di depan kondo Kiaramas Ayuria. Langit cerah setelah petangnya hujan lebat. Suasana lembap dingin berkabus... Nyaman...
|
Di depan Kiaramas Ayuria... |
Pembuka tirai ialah pendakian denai berbatu. Denai lebar dengan kecerunan 15-20%. Kelam malam menyelubungi dan membatas jarak penglihatan hanya kepada apa yang tersuluh dengan lampu. Kaki menujah pedal sambil mata menghantar maklumat apa yang dipandang. Tindakbalas perlu pantas untuk disesuaikan dengan pandangan. Pemandangan boleh cepat berubah. Pian menonong ke depan. Sumi diberi penghormatan menjadi sweeper menjaga bahagian belakang. Batu-batu granit dilambak bersepah di atas denai lebar doubletrack. Mencari line kayuhan tidak susah. Warna putih batu memantul cahaya membantu mencari laluan...
|
Lihat batu-batu diiringan jalan... |
Denai Boner bermula dengan mendaki laluan berbatu yang kemudiannya bertukar kepada laluan tanah merah. Mujur walau tadinya hujan lebat, jalan tidak terlalu berlumpur. Kemudian dihadap pula dengan kawasan lapang tanah merah yang sudah disodok jentera pengkerkah tanah. Ingatan mula dikerah mencari mana satu arah. Pian terjumpa satu denai di sebelah kiri laluan. Aku dengan ingatan yang samar merasakan itu bukan... Mana laluannya. GPS yang dibawa juga tidak mempunyai tracklog yang sepatutnya... Aduhhhhh....
Dalam samar kelam ternampak satu laluan di sebelah kanan. Laluannya bercabang pulak. Aduhhh.. sekali lagi. Mana satu nak ditala ni??? Perlahan-lahan ingatan kembali datang ke dalam benak aku. Laluan kanan adalah laluannya.
|
"Steep climb" yang dirindui Pian |
Laluan segera berubah rupa dari laluan tanah bersodok ke denai dalam rimba. Pokok-pokok mula muncul menghias kiri kanan denai. Cerunnya mula sedikit melandai. Rasa tenang sikit berkayuh. Tayar traktor gemuk 2.35 tidak lagi membantah sangat. Baru syok sekejap berkayuh dah kelam kabut lagi sekali sebab dah berjumpa lagi satu simpang. Pian punya kunci petanda "steep climb... ". Aku jadi jiwa kacau. Pian cuba redah cabang kanan. Yang lain pakat mengikut. Dah... takkan nak tinggal situ tercongok saja. Baru kayuh sat, hati aku berasa tak sedap. Bukan itu jalannnya. Hanya gerak naluri saja...Aku kata ini bukan jalan. Patah balik dan ambil balik cabang kiri tadi.
|
Tepi...tepi...treler nak lalu |
Aku terlepas ke depan sementara Pian berpatah balik setelah dia ke depan tadi meninjau laluan. Rupa denai selepas itu nampak lebih meyakinkan. Aku di depan berkayuh hanya berpandu gerak hati. Berjumpa lagi satu cabang. Hati jadi lapang dan senang sebab sah laluan betul. Cabang kanan diambil dan tak lama lepas tu muncullah "steep climb" yang dirindukan sangat oleh Pian. Aku cuba terjah setakat terdaya. Cerun curam, penuh alur dan sedikit licin. Resepi untuk cabaran pedas. Aku mengalah selepas mendaki beberapa meter saja. Tak daya dah. Kaki lenguh lesu. Dada dan paru bagai nak pecah. Jantung bergegar 8 pada skala richter. Aku meminggir ke kiri, memberi laluan kepada yang lain sikaki besi untuk meneruskan pendakian. Aku teruskan dengan tolak-tolak-kayuh, tolak-tolak-kayuh. Kaki Penang mali memang juara kerabat belaka. Sekali masa Ooi naik, macam treler 18 tayar gayarnya. Bukan kerana saiz Ooi dan basikalnya (ehemmm!). Tapi kerana lampunya yang terang macam lampu treler.
Lepas habis pendakian jadi kecoh sekejap bila ada pokok tumbang melintang denai. Rudz kata nibong. Aku tak pasti. Yang pasti jenis palma berduri. Kalau rodok tayar, berdesirlah angin keluar. Boner sudah makin sampai ke penghujungnya. Denai makin melandai dan sedap dikayuh. Satu yang agak memeranjatkan, walaupun tadi petang hujan lebat bukan main, denai tidak becak. Hanya ada satu dua lopak kecil...
|
Pokok tumbang halangan biasa... |
Selamat tinggal Boner. Hello Janie's... Errr.. Boner dan Janie's tu nama denai di bukit Kiara. Jangan fikir yang bukan-bukan! Suasana malam rimba sunyi dan tenang. Sesekali nampak langit bila tiada rimbunan pohon menutup pandangan. Tiada bunyi-bunyian makhluk hutan. Yang memecah hening malam hanyalah bunyi rakap basikal Goka Ooi. Pedal baru katanya...Patutlah. Janie's mula melandai dan mencerun turun. Bila begitu, Pian akan memanggil Rudz supaya berkayuh di belakang dia. Kenapa? Sebab Rudz ada pasang GoPro! Bikin pilemlah!
|
Sweeper bertugas baru melepasi pagar... |
Janie's memang manja dan nakal. Denai beransur-ansur laju dalam liuk lentok rimba. Tak lalu aku nak peligan Pian di depan. Dengan Rudz pulak dok cucuk angin di belakang. Sebaik melepasi pagar sempadan, aku meminggir ke kanan memberi laluan kepada Rudz mengejar Pian. Yang lain-lain laju menderu. Nak ambil gambarpun tak sempat. Mujur sweeper Sumi sporting. Sanggup memperlahankan basikal sekejap memberi peluang kamera aku merakamkan aksi. Jarak kayuhan sudah 1/3. Masa untuk berehat barang seminit dua...9.30pm. Pit stop pertama di simpang ke Flinstone. Pian pi tersasul la pulak tersebut nak lalu Flinstone selepas rehat. Nasib baik dia tersasul...
|
Suka sangat! |
Ada sikit lagi pendakian menanti. Dari simpang nak ke denai Twin Peaks. Curam dan sempit. Memang aku tak lalu nak tujah. Sudahnya tertinggal di belakang sorang diri. Cuak jugak weiii...Kawan-kawan sudah menunggu di atas. Aku hayun dulu untuk mencari tempat sesuai nak tangkap gambar. Laluan malam itu menongkah arus biasa Twin Peaks. Semua tidak sabar nak terjah larian turun hingga ke simpang 4. Sekali lagi aku hampir kecewa sebab tak sempat merakam aksi. Semua yang turun laju menderu. Sekali lagi tertinggal di belakang. Aku ingat nak sebab laju-laju kononnya. Hajat besar tak kesampaian sebab mata tak berapa terang. Kabus menutup cermin mata aku. Menggagau jugak mencari laluan. Rupanya ada banyak bonggol baru dibina. Bonggol-bonggol itu ada benteng penahan air (waterbar) untuk mengalirkan air ke tepi denai. Kalau mau lebih adrenalin, henyak saja benteng air, tangkap angin sikit. Ada beberapa benteng air baru dibina. Terima kasih kepada petugas-petugas sukarelawan yang menjalankan tugas selenggaraan denai. 6 jahanam di depan sudah ghuyup entah ke mana. Aku terkial sorang-sorang melayan deru turun Twin Peaks hingga ke simpang 4...
|
2K menongkah arus ~ bahagian mendaki |
Denai 2K pula di dalam menu. Teragak untuk menyantapnya luluan biasa atau menongkah arus. Berlaku perdebatan singkat tetapi tidaklah sampai terjadi adegan tumbuk menumbuk dan baling basikal. Muktamadnya, laluan menongkah arus diambil. Pian sekali lagi meluru. Aku menyusul. Memang arusnya menurun. Sedap melayan meliuk lentok hinggalah bertemu dengan swithchback tajam dengan denai yang off camber. Nyaris aku terhumban ke bawah bila tayar traktor hilang gigitan. Lepas switchback off camber, ada satu seksyen mendaki yang menyebabkan ramai kecundang. Aku tercicir di belakang sekali lagi. Dengan sweeper-sweeper sekali tinggalkan aku. Laluan sepatutnya membelok kiri ke Apollo. Namun geng depan, dek kerana terlebih ghairah suda
h termasuk ke Mission. Jenuh aku bertempik suruh patah balik...
|
Cantik permainannya bermain di outer line... |
Satu perkara yang aku perasan bila berkayuh di dalam gelap ini ialah pergantungan kepada deria mata perlu dikurangkan. Deria-deria lain perlu diaktifkan. Giro pengimbang yang terbina dalam di dalam badan kita jadi lebih sensitif. Deria-deria lain lebih responsif untuk menimbal balas kekurangan deria mata. Dan basikal full suspension sangat membantu. Suspensi bekerja keras untuk menyerap kesilapan-kesilapan dan kealpaan penunggang. Baru terasa sangat nikmatnya berkayuh full-sus.
Aku terdorong membebel bab ini kerana laluan dari cabang untuk ke Apollo berselirat dengan akar dan batu. Akar dan batu diserap dengan baik oleh sistem ampaian basikal walaupun pengayuh tidak sempat untuk respon. Dan sebaik turun menghala ke Apollo, kelebihan itu terasa sangat. Laluan Apollo juga ada banyak akar dan drop yang perlu dikendalikan... Kerjanya lebih mudah kalau basikal full suspension. Bestttt...
|
Pit stop # 2 pondok wakaf dekat sungai |
Keluar ke jalan tar selepas Apollo, baju aku dah basah lencun. Tak taulah sebab peluh semata atau sebab-sebab lain. Mungkin sebab faktor kelembapan (humidity) yang tinggi kot. Fasa tarmac fasa santai berkayuh longlai dari hujung Apollo menuju ke satu lagi muka denai. Laluan Lower Short. Aku jadi malas bila memikirkan nak kena memanjat lagi. Adusss...Takpa, berhenti rehat sekejap di kawasan pondok wakaf. Berhampiran ada anak sungai yang mengalir jernih. Di pondok wakaf itulah aku pernah bersolat magrib bersama MTBers lain waktu berkayuh hash bulan Januari dulu...
|
Ooi memanjakan Goka masuk ke Lower Short |
Lower Short bermula dengan gempak. Dari tarmac masuk ke denai kemudian dengan pantas memanjat tebing curam untuk masuk ke denai. Aku biarkan yang lain melepasi. Tinggal Pian saja di depan aku. Aku cuba ikut rentak lenggang lenggok Pian berdangdut dengan Pivot 5 nya. Mulanya aku tak berapa gemar nak layan sangat sebab Lower Short ini biasa dimakan dari atas. Laluan menurun. Ini kali makan dari bawah pulak. Laluan menaik. Aku terbayang beberapa drop curam dan pantas menanti di depan yang perlu dikerabat. Tapi... selepas melayan memanjat beberapa drop pendek rasa seronok pulak. Puas la hati dapat sesah hampir semua gon melainkan ada satu yang gon menaik kembar yang agak curam dan panjang yang aku kandas. Itupun sebab Pian dah terberhenti di depan aku. Kalau tidak... harus aku tak lepas jugak! Heh... heh.
Mencungap dengan cungapan kepuasan bila gon terakhir Lower Short
dilepasi. Tarmac memisahkan laluan seterusnya...Hujung Twin Peaks
Timur. Perlu mendaki denai doubletrack berbatu. Kemudian membelok ke
kanan ikut denai Boulder. Dari boulder yang lebar, kemudian membelok
kanan dan turun ke bawah. Disergah oleh cerun menurun berbatu. Sekali
lagi aku tercicir di belakang. Cerun berbatu membuat aku terkedu
seketika. Dengan perkiraan keadaan pantas, isyarat neuro automatik
dihantar ke tangan supa membrek berdikit-dikit sahaja. Sang Bara
mendapat momentum bila brek dilepaskan. Dan...dengan sedikit kelajuan
dan kawalan, cerun berbatu lebih senang dihadap bila ada sedikit
kelajuan.
Denai Barakuda diikut. Kayuh punya kayuh, tahu-tahu denai dah macam
berpusing balik menghampiri pondok wakaf tempat kami berehat tadi. Uh
oh... salah jalan sudahhhh... Gerombolan berpatah balik mencari laluan
yang betul. Rupanya sudah terlepas satu simpang. Itu semua Pian punya
salah. Kayuh laju sangat tak tengok simpang di kiri kanan. Kembali ke
jalan yang benar dan berhadapan dengan pendakian berbatu. Semua main
tolak saja...Dalam kepala aku mencongak anggaran kasar berapa jauh lagi
untuk sampai ke titian kurus Wasteland. Dah tak jauh dah ni. Dan...
habuan yang menunggu di kepala titi memang mengujakan.
Aku di belakang dengan sweeper. Melayan belokan belokan balik yang
curam, sempit dan pantas. Sedang sedap melayan belokan terdengar bunyi
berdebuk. Rupanya Sumi sudah tergolek. Adussss...Mujur tiada
kecederaan serius. Hanya sedikit calar pada beskal dan emosi. Ah...
lupa nak bagi tau. Siang tadi Sumi dah belasah acara XTerra. Malam
boleh sesah kayuh lagi. Hebat dia ni...
|
Plan C |
Denai sempit dan
berbelok tajam. Dilayan dengan adunan perasaan seriau-seriau berani.
Habih semua peluh hangat sejuk keluar. Sampai basah lencun baju
seluar. Datang pula bahagian berbatu. Itu kena lanyak dengan laju.
Kalau pelan-pelan, hilang momentum. Boleh tersekat, hilang imbangan,
jatuh berdentum. Walaupun cerun menurun, terasa penat juga sebab tubuh
bahagian atas banyak bekerja. Titian kurus Wasteland makin dekat!
Mental disediakan. Imbangan dikemaskan. Dan... muncullah titi kurus
sepanjang 10meter terbentang di depan. Mujur entrynya baik. Lancar dan
tidak gagap. Maka lebih mudah berkayuh lancar melepasi titian kurus.
Wooo hooooo...
Selepas titian, gon sempit menaik. Memang aku tak pernah lepas menujah
naik. Tolak sajalah...Adegan seterusnya merupakan mimpi ngeri kepada
mereka yang menggunakan bar hendal lebar macam tanduk kerbau balar.
Laluan sempit dicelah pokok getah. Di kiri tebing, di kanan gaung.
Kalau "tumpor" (tanya Sumi apa makna perkataan ini) jenuh melaung.
Kawan-kawan di depan macam Amin dan Ooi yang pakai bar hendal lebar
jenuh menggunakan segala kemahiran imbangan dan cilokan untuk melepasi
halangan slalom pokok getah.
|
Pagar sempadan |
Slalom
sempit pokok getah selamat dilepasi. Gerombolan depan sudah menunggu
di simpang IUD (Ini Ulu Damansara). Denai lebar sedikit becak.
Berkayuh mendaki perlahan dan santai. Tiba di hujung, melintas jalan
tar kemudian turun gon mencari muka denai seterusnya di Plan C. Satu
lagi siri denai sempit yang mencabar kemahiran. Ada satu bahagian yang
cukup mengerikan. Denai selebar satu kaki dengangaung di kiri dan
tebing di kanan. Sebelum ini aku main terjah kayuh saja. Lepas tanpa
gusar sebab aku tak perasan ada gaung di kiri. Maklumlah, gelap. Bila
dah tahu ada gaung di kiri, hati jadi cuak, dan malam itu aku terpaksa
berpuashati dengan hanya memimpin basikal melepasinya. Sumi di belakang
aku sekali lagi membuat aku terkejut ungka bila tiba-tiba dia berguling
ke dalam gaung. Bahana bar hendal tanduk kerbau tersagat tebing dan
dia hilang imbangan. Kussss semangat. Sekali lagi nasib dia baik
kerana tiada kecederaan... Hanya botol air dia tercalar sikit sebab
terhumban ke bawah.
|
Pokok yang dah dua kali menyagat kepala aku... |
Penghujung kayuhan semakin hampir. Plan C membawa ke sempadan
berpagar. Pagar tinggi 10 kaki yang cuba dipanjat Pian tapi tak berjaya
sebab pagar direka sedemikian rupa. Mata pagar rapat dan sempit tiada
ruang untuk memasukkan jari untuk berpaut. Kesian monyet-monyet dan
makhluk hutan lain yang terperangkap di dalam pagar.
Jam
sekitar 11.10 malam. Langit malam cerah dan terang. Aku sempat
mengingatkan semua akan bahaya satu pokok yang dah dua kali menyagat
helmet aku dalam kayuhan keluar. Pokok di atas gon selepas turun dari
pagar. Dan kali itu selamat helmet aku dari disagat dahan pokok senget
sebesar sepemeluk. Berderu-deru yang lain mengikut dari belakang dan
aku biarkan mereka lepas lalu. Hidangan terakhir masih lagi pedas.
Denai sempit berselirat akar dengan beberapa lintasan longkang yang
boleh membuat anda terbongkang. Di latar terdengar bunyi kenderaan
menderu dan tiba-tiba anda terpacul keluar di sebalik tembok dan
berhadapan dengan lebuhraya Sprint. Suasana yang sungguh kontras dengan
tadi. Dari kelam malam hening damai rimba bertembung dengan riuh
hingar kota raya...Siar kaki di tepi Lebuhraya Sprint bersebelahan
Sekolah Menengah Seri Hartamas disusur untuk melabuh tirai kayuhan malam
itu. Maka berakhirlah acara berkayuh MTB waktu malam meredah denai
hutan rimba dalam kelam malam...Satu pengalaman luarbiasa. Sungguh!
Anda MESTI cuba!
|
Dari kiri... Amin, Ooi, Rudz, BC Kelolo, Pian, Faris dan Sumi |
EPILOG
|
Hasil tuaian |
Bila berada di atas basikal, memang sel-sel dan jiwa terasa muda. Walau sudah keluar denai, rasa gila-gila tu masih bersisa. Jalan tar biasa kurang perisa. Di sesah pula segala tebing dan tangga. Buah penyudah sebelum kayuhan ditamatkan di mamak Bestari, Seri Hartamas. Jam 11.30 7 pengayuh melabuhkan sauh. Dengan badan berpalut selut berendam peluh. Komen-komen "lazat, sedap dan puas..." berkumandang memasuki telinga. Sudah ada ura-ura ingin jadikan acara biasa. Sebulan atau dua bulan sekali. Waduhhhhh... Harap para tamu dari Tanjung, Pian, ooi, Amin dan Sumi berasa puas dengan kayuhan dan layanan. Harap juga Rudz mendapat apa yang dihajati. Maaf di atas segala kekurangan terutama dalam beberapa insiden hilang arah tujuan. Tunggulah, nanti bila malam bulan mengambang ...Kita terjah lagi.
TAMMAT
*gon = cerun/ bukit kecil dalam loghat utara.
Gambar-gambar kayuhan malam Kiara boleh ditengok
di sini