Pejam celik, pejam celik...dahpun sampai ke penghujung tahun 2013. Acara hash bulanan anjuran Kuala Lumpur Mountainbike Hash (KLMBH) untuk bulan Disember datang lagi!
KLMBH Hash # 231 ~ Taman Wetland , Putrajaya.
Tarikh : Dis 15, 2013.Masa: 0930hrs .
Jarak: 16km
Hares : Geoff Foote , Mike Grover, Riza Shaharudin
Hash ini adalah yang keenam untuk aku tahun ini. Anak jantan nombor 4, yang sepanjang tahun mengetap gigi menahan geram tak dapat ikut sama kerana kekangan nak menghadapi UPSR akhirnya bebas dan melompat sakan sebab dapat ikut sama. Farhan dan ayah akan mengambil laluan pendek manakala anak yang seorang lagi, Faris, dibiarkan berseorangan membawa diri ikut laluan panjang 32km.
Aku pernah berkayuh di sini bulan Oktober lepas. Ceritanya di sini. Pengalaman pertama menggamit aku untuk datang sekali lagi.
Pagi redup tenang. Jam 0915hrs , Geoff Foote tampil untuk memberikan taklimat ringkas kayuhan. Perasan tangannya beranduh. Apa kehal pulak? Semoga cepat sembuh Geoff. Dia bagi taklimat sepertimana taklimat lazim dengan sedikit penekanan kepada tandaan denai - 3 jenis penanda digunakan - kertas kecil segi empat tepat, pelekat hijau bercahaya dengan cetakan KLMBH dan kapur tulis.
Selesai taklimat, kata hikmat ON ON sebagia pemula dilaung. Biasanya, selepas ON ON, pengayuh akan berpusu dan bergegas memasuki denai dan memulakan kayuhan. Tapi, pagi tu pelik pulak bila ramai yang lepak. Hmmm ... luar biasa. Tadi malam ada makan malam tahunan. Masih mamai agaknya.
Denai bermula dengan pesona. Rimbunan pohon buluh bagaikan dalam taman pari-pari,menghiasi pendakian berumput. Tanah dirasakan basah dan lembap. Sedikit licin. Seorang pengayuh terkelebak di tepi aku akibat tayar yang kalah dalam bertanding dengan batang buluh. Denai kemudian menurun dan membelok ke kanan masuk ke dalam semak belukar. Ada kesesakan pulak. Di hadapan ada lintasan anak sungai. Laluan sempit memaksa giliran seorang demi seorang.
Naik dari tebing anak sungai, dihidang hamparan padang hijau. Laluan menyusur sisi padang yang lembik. Nampak nyata bekas tayar-tayar "membajak" padang. Datang pulak pendakian pendek kemudian turun balik melalui satu lagi padang hijau di bawah kabel letrik voltan tinggi. Huuuu... seriau. Di hujung padang, ditarah satu laluan turun yang bercantum balik dengan jalan tar. Belok kiri ke bawah terowong kemudian masuk ke laluan denai konkrit selepas 10 meter dari terowong. Seronok melayan denai yang berliuk lentok. Tapi kena jaga sikit sebab permukaan agak licin.
Denai konkrit membawa ke jalan batu persisir tasik (paya?) menghala ke selatan. Di pertengahan, membelok ke kiri mengikut jalan batu kerikil yang merentas pertengahan tasik. Dari kejauhan nampak seorang pengayuh berhenti di tepi. Perilakunya sedikit luarbiasa dan menghairankan. Dia mengibas-ngibas baju sambil menggoyang-goyangkan badan. Apahal pulak berdangdut di tengah paya ni? Tergerak hati untuk berhenti dan bertanya. Rupanya, dia sedang cuba membuang semut yang sudah masuk ke dalam baju. Padan la tergeliat-geliat. Dah kena gigit katanya. Aku tanya kat mana? Dia jawab kat belakang. Aku singkap belakang bajunya. Baru separuh singkap, satu serangga kecil buru-buru terbang pergi. Tak dapat nak kenalpasti serangga jenis apa. Kalau dapat tengokpun, bukan aku kenal jenis serangga. Seimbas pandang, nampak macam penyengat. Sengatnya boleh tahan berbisa. Nasib baik berjaya dikeluarkan.
Denai kerikil terus menuju barat daya. Menyusur di bawah Persiaran Utara menuju ke Pusat Rekreasi Air , Taman Wetland , satu bahagian lain di Taman Wetland yang menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi air - berkayak , memancing dan sebagainya. Sekumpulan pengayuh berkayuh berpatah balik. Jejak kertas sudah hilang rupanya. Aku cuba mencari balik jejajk. Berkayuh sehingga melepasi bangsal bot. Masih tiada. Lajak masuk hingga ke terowong. Pun masih tak berjumpa. Akhirnya, jalan yang betul ditemui. Di belakang nun. Satu simpang kiri ikut laluan blok selepas terowong.
Laluan naik ke atas berlari seiring dengan Persiaran Persekutuan. Berlangsung sejauh 600meter kemudian membelok kiri dan turun melalui satu cerun kecil kembali ke pinggir tasik. Ada beberapa pengayuh di situ, nampak seperti kumpulan ayah dan anak. Si ayah cuba membimbing si anak menuruni cerun. Si anak masih takut-takut. Aku toleh ke belakang melihat Farhan selepas aku turun. Farhan dengan yakin berkayuh turun tanpa basa basi. Bagus!
Kembali ke laluan batu bata blok yang menyusur tasik. Sambil kayuh santai sambil menikmati suasana tenang damai tasik. Laluan batu bata blok berakhir dan bersambung dengan denai batu kerikil menyusur mengelilingi tasik membentuk satu bentuk U yang besar. Pada penghujung U, nampak pengayuh-pengayuh hadapan yang cuma beberapa meter saja dari laluan kami. Jalan berpusing ke situ rupanya. Datang godaan untuk memintas saja. Tapi... takseronok la kalau buat macam tu. Kan?
Kertas penanda menuju ke satu palet kayu yang diletakkan merentas longkang. Tengok pada keadaan palet kayu yang agak uzur, seriau untuk berkayuh di atasnya. Pikul saja basikal untuk menyeberang. Kemudian denai menyusur laluan rumput dan masuk ke dalam semak melalui satu bukaan kecil. Selepas semak datang denai ladang kelapa sawit. Tanah merah yang dibasahi air memberikan permukaan lembik, lecah dan licin. (3L). Terus aku di bawa mendaki sedikit kemudian meluru turun sehingga akhirnya terdampar dalam lopak lumpur. Rupanya lopak lumpur itu dekat saja dengan puncak laluan U tadi.
Selepas keluar lopak lumpur, datang pulak cerun naik yang curam tapi pendek. Kayuh naik sekejap kemudian kembali meluru turun sehingga dihadap dengan satu pendakian sempit. Di kiri kanannya semak dengan pokok resam paku pakis. Farhan sudah habis bekalan airnya. Mujur beg tangki aku besar untuk tampung bekalan cukup untuk 2 beranak. Aku tak berani nak tinggalkan dia jauh-jauh. Sampai dipuncak pendakian, aku berehat sekejap sementara menunggu Farhan sampai.
Dari puncak laluan landai dan lecah. Kemudian masuk ke denai sempit dalam semak dan lalang. Lopak-lopak air jadi hiasan biasa. Dan, mengikut etika kayuhan denai yang beradab, lopak air tidak seharusnya dielakkan. Harus berkayuh meredah lopak air bagi mengelak denai melebar dan hakisan bertambah. Dan itulah yang telah aku amalkan bila berhadapan satu lagi lopak. Apa yang disangka lopak biasa rupanya pernagkap yang menelan separuh tayar depan aku dan nyaris menghumban aku dari basikal. Mujur aku tak laju...
Dari lopak perangkap, selepas lebih kurang 50 meter keluar ke jalan P11 berhadapan balai polis Presint 11. Kecoh sekejap di situ selepas sambungan laluan tidak dijumpai. Rupanya tanda ada pada tiang dan pengayuh kena melintas jalan. Sebaik menyeberang jalan, terpampang papan tanda Taman Saujana Hijau. Di kakinya, pada blok simen, tertulis dengan kapur warna merah jambu "KLMBH". Comel sungguh!
Tandaan merah jambu membawa aku ke kaki tangga. Ada beberapa tingkat tangga yang nak dipanjat. Aku biarkan Farhan cuba menguruskan sendiri basikalnya. Dengan bersusah-payah dan terkial dia mengheret basi
kalnya memanjat tangga. Aku mengelat dengan menolak naik ikut tebing di sebelah kanan tangga. Haaa... ngelat. Tak aci. Heh...heh.
Apa yang dilihat selepas tangga selamat dikerabat adalah sesuatu yang mengkagumkan. Di sebelah kiri tebing tinggi. Terhampar pemnadangan Putrajaya sayup mata memandang. Di sebelah kanan tebing bukit yang dilitup rumput subur menghijau. Dihiasi dengan aneka tumbuhan taman yang terjaga rapi. Dilengkapka pula dengan wakaf-wakaf persinggahan. Buat singgah berehat handai taulan. Sungguh indah dipandang mata. Manis bagai halwa sehingga jadi alpa dan tidak terasa kayuhan mendaki dek kerana pesonanya. Bagai berada di shangri-la...Sungguh! Kalau anda ke Putrajaya cuba singgah dan lawat sendiri Taman Saujana Hijau.
Jalan dalam taman berkitar di sekeliling bukit kemudian turun dan keluar kembali ke Jalan P11. Jalan P11 diseberangi lagi sekali. Melalui laluan berbatu meluru turun dengan laju. Tersentot sekejap bila tengah laku kena belok kanan dan... BERHENTI! Ada pokok tumbang melintang jalan. Hah...tunggu apa lagi? Pikul la basikal melepasi pokok tumbang.
Sambung kayuh dalam ladang kelapa sawit. Elok kayuh tak sampai 2 minit dah kena berhenti lagi. Kali ni berhadapan dengan parit yang lebar tak boleh dilangkah. Terpaksa turun ke dalam parit yang tebingnya 6 kaki tinggi. Kalau seorang diri payah juga nak melepasi. Mujur ada pengayuh lain pada masa itu. Bolehlah berpakat bergotong-royong mengangkut basikal dan membantu yang lain memanjat tebing. Jarak kayuhan kat situ sudah 14km. Lagi 2 km untuk sampai balik. Dah dekat dah...
Lepas parit, sambung kayuh lagi dalam ladang kelapa sawit. Kemudian keluar ke satu kawasan lapang dengan satu bangunan besar yang ada beberapa cerobong besar. Loji janakuasa elektrik TNB. Ikut laluan kiri sehingga berjumpa jalan tar. Ingatkan, akan berkayuh ikut jalan tar balik ke tempat permulaan, rupanya ada lagi asam garam dan rempah ratus yang disaji.
Belok kanan ikut jalan tar kecil kemudian masuk balik ke dalam ladang kelapa sawit melalui denai turun berbatu kerikil. Jaga-jaga sebab batu kerikil longgar. Tayar basikal boleh menyasar. Sampai di bawah, belok kiri ikut laluan ladang. Sajian adunan naik dan turun yang kemudiannya turun dengan curam sedikit dan berakhir di lembah berair. Ada laluan daripada palet kayu yang sudah uzur. Cukup untuk memikul basikal dan berjalan tapi tak sesuai untuk berkayuh.
Dah makin dekat! Satu pendakian terakhir dari ladang kelapa sawit masuk ke dalam belukar. Laluan peringkat akhir diselaputi selut dan lumpur lembik yang diadun dengan daun dan ranting reput. Memang "menangkap" dan memberatkan tayar. Suasana teduhan mula beransur kelam bila hujung denai dihampiri dan tercokoh keluar pada satu jalan tar. Tempat penamat hanya 500 meter saja lagi.
Ayah dan anak kayuh beriringan balik ke tempat mula/tamat. Farhan nampak letih dan penat. Basikal dan pengayuh sudah berpalit lumpur merata. Keletihan memang sudah diduga. Namapun berkayuh basikal gunung...Namun di wajah terpalit rasa puas dan gumbira.
2 comments:
macam menarik jer...
ada sesi repeat ker?
Ada cadangan merepeat. Tunggu pengumuman.
BC Kelolo
Post a Comment