Sunday, December 01, 2013

KEMBAS ~ GLC Berkayuh Piknik Ke Sungai Sendat - Bahagian II

Bahagian I kembas (kembara basikal) kayuhan piknik Sungai Sendat yang panjang berjela telah membawa anda berbasikal secara maya dari Gombak ke Sungai Sendat.  Dua bukit yang mencabar lutut di tempuhi hinggalah selamat sampai ke Sungai Sendat.  Bahagian II akan membawa anda balik dari Sungai Sendat ke Gombak.  Eh… sama sajalah ceritanya kan?  Cuma yang kemudian didulukan.  Tak gitu?  Oh…tiap perjalanan ada kisahnya tersendiri (terutama untuk orang kuat membebel macam aku).  Begitu juga kisah kayuh balik dari Sungai Sendat.  Sendat dengan kisah tersendiri...

Mesti mau posing dulu...


Disiplin masa pengayuh sungguh mengagumkan.  Memang 1215hrs, semua dah bersiap untuk berkayuh balik.  Pengunjung ke Sungai Sendat semakin ramai.  Bagi peluang mereka pulak berkelah.  Jam 1230hrs bermakna matahari mula galak memancar.  Siaplah untuk dipanggang sekejap lagi.

Selamat tinggal Sungai Sendat
Kayuh bermula selepas usai sesi bergambar.  Mesti la bergambar alang-alang dah sampai.  Entah bila pulak nak boleh berkayuh ke situ.  Laluan pembuka tirai memang sedap.  Walau matahari terik, laluan masih di bawah teduhan pokok yang menghijau di sekitar.  Laluan cerun turun pulak tu.  Bonus berganda.  Cuma kena berhati-hati sebab jalan sempit.  Banyak pula berselisih dengan kereta yang semakin banyak masuk.

Sampai ke Kampung Gurney, teduhan mula hilang.  Perit panas mula terasa.  Laluan jambatan gantung diambil.  Sampai kembali ke Jalan Sungai Tua.  Landai saja pada mulanya sejauh 2km sehingga Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.  Peluh dah mula membasah di bawah terik matahari.  Papan tanda "Lorong Memotong" memang penanda pemula petaka.  Ibu jari kanan bersiap untuk mengambil peranan merendahkan gear mengikut keperluan.  

Petaka bermula di sini...
Ada yang dah mula menjadi nakal. Menyakat-nyakat yang lain untuk menduga bukit.  Dino membuka pencak.  Berpecah dari peloton dan membuka jarak.  Faris dan RJ ikut menyahut.  Banshee Vientonya (dalam bahasa Sepanyol, Viento bermaksud angin).  Aku di tengah.  Fuji San cool di belakang dengan Sazril.

Aku tak tau apa yang berkitar dalam fikiran orang lain.  Dalam kepala aku, pendakian bukit ini lebih parah dari pendakian dari Sungai Tua hala datang.  Memang terasa jerihnya.  Ditambah pula dengan bakaran mentari terik.  Strategi aku Cuma untuk kayuh tanpa henti hingga ke puncak.  Kelajuan tidak penting. Perlahan tidak mengapa.  Janji puncak berjaya ditawan tanpa perlu berhenti. 

Satu demi satu gear aku turunkan dipadankan dengan granny crank di hadapan bila kaki dirasakan makin lenguh dan berat.  Tekan punya tekan shifter LX tua aku sampai dah habis gear tak boleh tekan lagi.  Dah pakai gear paling rendah!  Mau lagi gearrrrr!!!  Kereta-kereta makin bertambah di jalan.

Dengan kayuhan perlahan kora-kora, aku teruskan.  Cerun semakin mencuram.  RJ mengambil kesempatan berjalan beriringan dengan Sang Bayu.  Faris masih gigih berusaha.  Dia perlu bekerja lebih keras kerana tayarnya besar dan menggerutu.  Aku perlahan mendekatinya dari belakang.  Dino masih lagi mengekalkan jarak.  Sesekali Nampak dia berdiri dan menerjah.  Perrrghhhh… mengkagumkan!

Aku teruskan mengayuh ikut tempo aku.  Aku bukan nak berlumbapun walaupun kadang-kadang datang akal jahat menghasut “Enjut sajaaaa…potong depa semua…”, jahat sungguh pemikiran sebegitu.  Sedikit demi sedikit aku menghampiri Faris.  Dan sedikit demi sedikit juga aku memotong dia.  Badan makin lesu.  Peluh makin laju.  Basah kuyup sudah.  Peluh yang masuk ke mata lagi sampai pedih-pedih biji mata.  Bahang panas makin menyengat.  Aku kuatkan semangat.  Puncak bukit entah di mana lagi…

Pelan-pelan rapat dengan Dino
Dino pula makin dihampiri.  Sama juga kaedahnya.  Pelan-pelan potong.  Sudahnya aku dah ke depan sekali.  Kayuh tak peduli apa dah.  Mata tengok depan tayar.  Malas nak tengok jauh-jauh.  Dok nampak cerun yang tak habis-habis.  Mati semangat dibuatnya.

Bahang badan makin membara.  Zip baju dah turun sampai ke dada.  Ada la angin curi-curi masuk.  Sejuk la sikit terasa.  Kaki dok protes sakan.  Lenguhnya jangan cerita.  “Berenti…berenti…berenti” dalam kepala.  Sesekali toleh ke belakang tengok kawan-kawan yang dah ruyup sayup di belakang.

Badan makin terasa hangat. Peluh dok mencurah masuk ke dalam mata.  Elok pula terpandang dalam longkang ditepi jalan aliran air jernih sejuk.  Bukan air longkang tau…Itu air dari anak sungai/ mata air di atas bukit.  Bantahan kaki lenguh, badan hangat, paru-paru sesak dan jantung kencang mengalahkan ego yang nak habiskan kayuhan.  Aku akur dan berhenti di tepi jalan untuk berehat dan menunggu yang lain.  Jam 1330hrs…

Faris teman ayah berehat...Puncak lagi sikiitttt saja lagi
Air sejuk jernih disimbah ke kepala dan muka.  Sisa air yang meleleh masuk ke badan memberikan rasa sejuk dan nyaman yang bukan kepalang.  Lat tak lama nampak kelibat Faris.  Masih tekun berkayuh.  Mukanya nampak jerih mengheret basikal MTB dengan tayar gemuk memanjat bukit.

Bila dia menghampiri aku, aku menyuruh dia meneruskan kayuhan dengan sedikit kata-kata perangsang.  Sesuatu yang dia tidak dapat akur.  Basikalnya dicampakkan saja dekat basikal aku.  Mereka yang lain menyusul kemudian dengan derap selang seli kayuh dan tolak.  Fuji San muncul di belakang sekali dengan tenang dan bersahaja mengayuh dengan nada santai.  Macam rilek saja nampaknya.

Mereka yang lain meneruskan kayuhan.  Aku tertinggal di belakang sebab bersolek lama sangat.  Yang pertama sampai, yang terkemudian jalan.  Seminit dua selepas sambungan kayuhan nampaklah air terjun kecil di sebelah kiri.  Air terjun kecil bermakna sudah sampai puncak.  Dengan tak semena menderu datang rasa kesal sebab berhenti tadi.  Apa tidaknya, rupanya puncak hanya lebih kurang 100 meter dari tempat aku berhenti.  Cissss…

Selesai pendakian sejauh 8.5km dari Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.  Dari aras 104M hingga aras 386M.  Mana tak pongeh!  Singgah sekejap tempat orang mengambil air mineral semulajadi.  Air ditogok dengan lahap.  Sedap sungguh air di situ.  Sebab itulah orang sanggup beratur berjam-jam untuk mengambil air.

Hala turun semua berdesup tak hingat
Bila sudah di puncak, apa lagi?  Layan turunlah pula.  Cuma kena beringat dan lebih berhati-hati sebab menjelang petang, kenderaan semakin banyak di situ terutama di kawasan perkelahan.  Meluncurlah dengan laju sehingga sampai ke kawasan Empangan Batu di mana jalan kembali melandai.

Bukit Empangan Batu sekali lagi mencabar.  Dan kali itu aku terjah dengan iltizam untuk menghabiskan hingga ke puncak.  Berkat istiqamah berkayuh, puncak berjaya ditawan.  Dino sampai kemudian dan meneruskan kayuhan berseorangan kerana perlu segera balik.  Yang lain-lain menyusul kemudian.  Ada yang di atas basikal.  Ada yang di sisi basikal…Ada yang naik hangin bila jam itulah kawan-kawan telefon lepas tu cakap main-main...

Deraan terakhir
Fuji San nakal menduga mengajak balik ikut Sungai Kertas.  Aku tahu padah menunggu laluan itu.  Bukitnya panjang dan curam ya amat.  Cadangan dibantah sekerasnya.  Jam sudah 1420hrs.  Perut dah lapar.  Kayuhan diteruskan…

Sampai di simpang baru Jalan Sg Tua – Jalan Binjai 1A.  Dengan Fuji San sebagai jurupandu memandangkan dia abang kawasan di situ.  Jalan tar berdebu dengan kilang-kilang berderetan menggantikan suasana hijau hening nyaman.  Tinggal kami berlima saja sebab Dino sudah memecut pergi dengan kelajuan supersonic.

Dari Jalan Binjai 1A, ada satu belok kanan menuju ke jalan Jasa 25.  Jalan dalam taman perumahan yang menyusur parit.  Sampai di simpang berhampiran loji, aku perasan kurang seorang.  Mana Sazril?  Cuba telefon tak berjawab.  Rupanya dia terlepas simpang kanan tadi.  Tunggu pulak dia berputar mencari simpang nak ke Jalan Jasa 25.  Yang lain ambil kesempatan melanggah air soya yang dijual berdekatan.

Selesai minum, Fuji San mintak diri sebab rumah dia sudah dekat.  Kami berpecah haluan.  Suasana makin hangat membahang.  Badan makin letih.  Perut makin lapar.  Kayuh makin longlai.  Ambil Jalan Nakhoda Kiri.  Lalu satu jambatan kecil merentas Sungai Batu yang menyambung ke terminal bas.  Dah basikal Sazril pula pancit.  Aku tengok muka Faris dengan RJ yang semacam mintak kasihan.  Aku bagi lampu hijau untuk Faris dengan RJ jalan dulu.  Tinggal aku dengan Sazril mengerjakan basikalnya yang injap tiub sudah rabak.

Tiub ditukar tanpa sukar.  Perut berkeriut tanda lapar.  Tengok, dah berapa kali aku ulang perkataan lapar.  Jam sudah 1500hrs.  Jarak kayuhan berbaki lagi 6km.  Dah terbayang-bayang pagar rumah dah di dalam logamaya terik matahari petang yang memancar di atas medan bas tempat berhenti menampal tiub Sazril.

Dengan tenaga berbaki sisa, kayuh longlai balik menyusur kembali Wiradamai, Taman Bolton.  Dalam hati berharap-harap agar tiada lagi gendala.  Trafik makin banyak bila MRR2 ditempuh bila keluar dari Taman Bolton.  Kayuh ikut Jalan Gombak di antara hiruk pikuk trafik.  Membelok kanan naik ke DUKE kemudian kluar ke susur kiri Taman Selasih.  Kalau cerita Ultraman, lampu dada Ultraman dah berkelip-kelip tanda kecemasan kuasa nak habis.  Aku dengan Sazril dah macam Ultraman jugalah...Mujrlah destinasi sudah dekat.  Dari Taman Selasih, menyusur jalan pintas untuk balik ke rumah.  Jam 1527hrs selamat sampai ke rumah.  Alhamdulillah...

       






No comments: