Basikal kembara aku sudah lama tidak beraksi. Nak pergi jauh-jauh tidak berkesempatan. Dapat berkembara jarak dekatpun jadilah. Timbul rancangan untuk berkayuh harian berkelah-kelah ke Sungai Sendat.
Hutan Lipur Sungai Sendat terletak di Batang Kali. Hutan yang merupakan sebahagian daripada Taman Hutan Negeri, juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri Selangor Terletak kira-kira 40km dari Kuala Lumpur. Ia adalah satu tempat percutian yang bagus dan jauh dari hiruk pikuk kehidupan bandar.
3 basikal kembara |
Bermula dari Gombak dengan 6 pengayuh basikal. Campuran basikal gunung dan basikal kembara. Aku, Faris (anak aku), Dino , Sazril dan RJ . Itu hanya 5 , mana satu lagi? Teruskan membaca...
Cuaca redup dingin pada pagi Selasa, 5 Disember 2013M bersamaan 1 Muharam 1435H. Cuti umum sempena Ma'al Hijrah , tahun baru untuk takwim hijri. 0800hrs, bermula dari Taman Greenwood Indah. Mula dengan berkayuh ke Jalan Batu Caves - Gombak. Menyimpang ke Taman Industri Bolton, tidak mengikut Taman Seri Gombak, untuk mengelakkan pendakian curam dan panjang di Seri Gombak. Jalan Taman Industri Bolton merentas melalui Taman Wira Damai , satu kawasan perumahan yang sesak, kemudian menghala ke arah Kampung Nakhoda.
Jalan Sungai Tua...Hujan makin lebat |
Fuji San bukanlah pelancong dari Jepun, walaupun wajahnya ada iras-iras. Dengan baju kemeja lengan pendek, seluar panjang dan topi safari menghiasi kepalanya memang macam pelancong i negara matahari terbit.
Nasib kami baik. Hujan tiba-tiba reda dalam masa beberapa minit dan kami meneruskan kayuhan. 4 basikal kembara dan 2 basikal gunung (jika anda boleh memanggil Banshee Viento RJ itu basikal gunung ) meneruskan kayuhan. Terdengar dari kejauhan suara Sungai Sendat menyeru sayup mendayu...
Penangan pertama - bukit Empangan Batu |
Bagi manusia biasa macam aku, pertaruhan yang lebih selamat ialah beralih kepada gear rendah dan mengayuh bersahaja sambil memastikan bahawa pernafasan dilakukan dengan teratur (bukan terabur). Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung dan hembus nafas melalui mulut. Kayuh perlahan-lahan , tanpa perlu berhenti atau menolak basikal. Kayuhan nada begitu tidak terlalu menyeksakan dan membolehkan anda menikmati pemandangan tasik Empangan Batu. Awas kenderaan bermotor yang lalu lalang yang suka meratah selekoh seperti pelumba F1 atau MotoGP terutama pada hari minggu.
Apabila anda telah sampai ke atas, masa untuk menuntut kembali semua darah, keringat dan air mata tumpah dalam penyiksaan anda ke atas. Beralih kepada gear tinggi, lepaskan brek dan wheeeeeee ... Meluru ke bawah dan biarkan angin sejuk menyapa muka anda. Pemandangan tasik empangan mula terungkap di depan anda. Menakjubkan ... Sesuatu yang anda mungkin tidak perasan jika anda memandu atau menunggang motosikal. Berhentilah sekejap menikmati suasana dan bergambar sekeping dua untuk Facebook anda. Anda layak menerimanya.
Tasik Empangan Batu. Bersama dua Batu Keras... |
elum sampai ke Riverstone Eco Resort, basikal aku rasa bergoyang di belakang. Goyangan yang membuatkan aku berhenti dan memeriksa. Rupanya tayar belakang sudah kekurangan angin. Aku syak ada kebocoran. Belum cukup rajin untuk aku tukar tiub. Aku cuba pam dulu dan teruskan kayuhan. Tinggal aku dengan Sazril dan Fuji San di belakang. 3 yang lain, Faris, RJ dan Dino sudah ruyup ke hadapan (dan ke atas).
Kawasan selepas Riverstone merupakan kawasan perkelahan yang agak terkenal. Kawasan HUTLISTA – HuTan LIpur Sungai TuA. Medan-medan parkir disediakan ditandakan dengan P1 sehingga P4. P1 menandakan jalan rata mula berakhir dan pendakian bermula dengan kecerunan landai dan beransur-ansur naik.
Cantik dan panoramik. Air terjun dekat P4 |
Menghampiri P4, ada air terjun cantik di sebelah kiri. Persona air terjun menggamit untuk berhenti sekejap dan menikmati panorama indah alam semulajadi. P4 juga penanda yang kecerunan akan meningkat. Bersedia untuk pendakian yang lebih berat. Berhenti sekejap di air terjun membantu memulihkan tenaga sebagai persiapan untuk mendaki. Kayuhan santai diteruskan menuju ke puncak. Sambil kayuh perasan yang sepanjang-panjang jalan ada banyak serpihan bahagian kenderaan di atas jalan. Cebisan bumper, cermin lampu berserakan bukti tinggalan kemalangan-kemalangan yang pernah berlaku di situ. Satu peringatan supaya berhati-hati kalau memandu di situ.
Fuji San memang cool saja mendaki... |
Puncak! |
Lebih 60 km/j! |
Lintasan jambatan gantung membawa ke perkampungan cina, Kampung Baru Gurney, salah satu daripada kawasan perpindahan sewaktu zaman darurat. Jalan tar kecil melewati kampung orang asli Gurney dan terus beriringan selari dengan Sungai Liam. Aku terperasan ada kegiatan mendulang di situ. Bijih apa yang ada dalam Sungai Liam agaknya?
Sahabat... |
Kayuh beramai-ramai dalam suasana tenang nyaman redup. Kesegaran udara sangat terasa bila udara bersih tanpa cemar menyapa rongga hidung lansung masuk ke paru-paru. Terasa segar paru-paru…Papan tanda Selamat Datang Ke Hutan Lipur Sungai Sendat petanda kayuhan hampir tamat. Anda perlu membayar sedikit ufti (RM1.00 untuk dewasa) sebagai bayaran masuk. Pengutip tol menunggu sebelum jambatan. Selepas jambatan, kawasan air terjun Sungai Sendat. Basikal dikayuh sehingga ke tapak perkelahan. Itulah lebihnya bila berbasikal. Kenderaan lain tidak boleh berbuat begitu. Jam menunjukkan 1115hrs. Jarak ditempuh sudah 36km. Alhamdulillah, semua selamat sampai tanpa sebarang masalah besar…
Masa santai diberi 1 jam. Cukuplah untuk mandi, berendam berkubang sebentar. Kawasan perkelahan aku perhatikan bersih dan rapi. Bermakna, ada kawalan yang bagus di situ. Sampah, bekas polisterin dan lampai pakai buang yang selalu menjadi pencemar utama tidak kelihatan.
Tarikan utama ialah kolam mandi yang agak luas di bawah air terjun setinggi 20 kaki. Air terjun yang mengalir di atas batu-batu menjadi mainan gelungsur untuk mereka yang berani. Setingkat lagi kolam di atas kolam utama ditandakan kawasan berbahaya. Telah berlaku beberapa insiden maut di situ. Itu tidak menakutkan ramai remaja yang suka bermain-main di situ. Darah dan semangat mudalah katakan.
Di bawah kolam utama, terbentuk jeram-jeram yang mengalirkan air jernih sejuk ke bawah. Kolam-kolam kecil dengan kepungan batu sungai menjadi kolam-kolam Jacuzzi semulajadi. Seronok berendam sambil arus sungai mengurut-urut pinggang dan belakang. Lagi bagus kalau baru lepas penat berkayuh. Sungguh menyegarkan. Masa tidak mengizinkan untuk berlama di situ kerana ada yang perlu pulang segera. Kita tutup dulu tirai kisah kayuhan ke Hutan Lipur Sungai Sendat. Satu kembara basikal yang memberikan puas rasa, sama ada perjalanannya, mahupun destinasinya. Kita jumpa lagi bila tirai diangkat semula untuk Bahagian II – kayuhan balik.
No comments:
Post a Comment