Monday, June 22, 2009

Nibong Tebal Mountainbike Adventure 2009

T:"Nibong Tebal kat mana?"
J:"Nibong Tebal kat perdu laaaa..."

Ha..ha..Satu teka-teki lama pasal Nibong Tebal. Antara pusaka warisan arwah ayahku. Tapi...untuk Nibong Tebal Mountainbike Adventure 2009 (NTMTBA 09), jawapannya ialah..."Di puncak". Kenapa? Haa...teruskan membaca.

Gerek Gunung telah tampil buat julung kalinya menganjurkan satu jamboree adventure basikal lasak. Dinamakan Nibong Tebal Mountainbike Adventure 09 pada Ahad, 21 Jun 2009. Bermula di Sekolah Kebangsaan Jawi.

Aku, isteri, anak saudara dengan beberapa geng dari Briged Basikal BTP, Zazhar dan Sani GRO serta kawan-kawan sekolah menengah NanJ, Pian ngan Zamri ikut sama memeriahkan (baca "mendera diri") majlis. Dari pihakku, tiga jentera diturunkan - Banshee Pyre Sang Bara, BH Sommet Cik Putih dan Fuji Tahoe Serba Tahoe.

MUQADDIMAH


5.47 pagi. Stesen Petronas Kelang Lama.
Kami (Aku, isteri dengan anak menakan) bangun awal. Pukul 5.00 terpacak dah bangun dah. Basikal dengan barang semua dah siap masuk kereta tadi malam. Aku cadang nak gosok gigi dengan mandi siap-siap sebelum tidur supaya bila bangun pagi tak payah gosok gigi dengan mandi. Bini aku kata "Merepek abang ni.". Awatnya? Salah ka?

5.30 pagi tayar Unta bergolek meninggalkan Sungai Karangan. Ikut lebuhraya BKE ke Kulim. Terpaksa melencong ke Kelang Lama (haa..kat Kulimpun ada Kelang Lama tau!) untuk isi minyak sebab lampun minyak Unta dah menyala macam lampu kat dada Ultraman.

Siap isi minyak, sambung balik perjalanan. Azan subuh sedang kumandang membangunkan insan dari enak lena. Kami bercadang solat subuh di Masjid Jawi yang memang berdepan dengan sekolah tempat bermula kayuhan. Laluan Taman Selasih > Air Merah > Jalan Junjung dipilih. Sengaja aku turunkan tingkap untuk menghirup udara segar pagi. Satu kesilapan bila terlupa menaikkan cermin apabila melalui Kampung Valdor. Bau hangit taik ayam menyumbat hidung. Valdor memang terkenal dengan bau taik ayam sebab banyak ladang ternak ayam kat situ. Sesak dada dibuatnya. Mungkin juga punca aku kandas dalam kayuhan? Paru-paru tersumbat kerana kecanduan wap taik ayam candu.


Perkarangan masjid Jawi
Alhamdulillah, perjalanan lancar. Jam 6.20 pagi selamat sampai ke perkarangan masjid. Laman parkir dah dipenuhi dengan kereta yang bertenggek basikal, sama ada atas bumbung, belakang kereta atau dalam perut kereta. Tak ada pulak yang tenggek basikal atas bonet depan.

Jauh dalam hati terasa syukur kerana ramai yang masih memastikan kewajipan rukun terpelihara. Solat dijaga. Cuma yang kurang comel sikit, bila kelihatan beberapa orang yang berpakaian tidak bersesuaian di perkarangan masjid. Tuan-tuan, solat kita jaga sebab wajib, perkara aurat juga kena jaga tuan-tuan. Hat tupun wajib jugak. Apa tah lagi di perkarangan masjid. Minta maaf no, saya tegur. Sambil tu saya juga mengingatkan diri saya sendiri...


Bersiap untuk bergi "berperang"
Selesai solat, beralih parkir ke tempat yang lebih sesuai dan dekat sikit dengan sekolah. Padahal, tak jauh manapun dengan masjid. Lorong depan sekolah seberang jalan dah penuh dengan kereta pembasikal-pembasikal. Dari jauh kedengaran celoteh DJ yang jadi pengacara majlis. Semua pakat dok bersiap dengan basikal dan kelengkapan masing-masing. Tengah dok nak bawak turun basikal, tau-tau ada satu mamat mai dok tolong angkat basikal. Nak saja disigung (siku). Nasib baik sempat jeling nampak kelibat jersi oran BBB. Ish...Sani GRO ni, nasib baik tak sarapan siku pagi tu. Rupanya, dia dengan Zazharpun parkir dekat situ jugak. Dengan tiba-tiba jadi terang gemilang suasana dengan jersi oren...5 pengayuh akan membawa panji-panji BBB.

Brigadiers berjersi oren...Dari kiri Ummu (isteriku), Sani GRO, Zazhar, Aku, Erie (anak menakan)



Motocrosser - marshal
Sekitar jam 7.10, DJ mula memanggil semua pengayuh supaya masuk ke perkarangan sekolah. Jalan depan sekolah sudah sibuk dengan basikal pergi dan balik. Moto-moto scrambler marshall siap berbaris di pintu pagar sebelah kiri. Marshal dan petugas berbaju kuning mundar mandir sibuk dengan tugas masing-masing. Polis trafik dan RELA juga dengan rela hati turun menjalankan tugas. Bukan senang nak uruskan 1032 pengayuh.

Gabungan putih kuning memastikan perjalanan kayuhan teratur dan selamat. Terima kasihhhhh



Harimau-harimau dalam kurungan, menati saat dilepaskan. AAUUUMMMMMM!!!
Pintu pagar sekolah ditutup. Pengayuh-pengayuh handalan sudah siap sedia di dalam. Macam harimau ganas yang akan menerkam sebaik kandang dibuka. Aku dan kawan-kawan yang agak kemudian dan "sedar siapalah diri ini" menyelinap masuk ikut pintu sisi. Jam baru 7.20 pagi. Di laman depan sekolah, ada acara pemanas badan. Hanya segelintir yang mengikuti. Mungkin sebab kepalanya Abang Hensem, maka kurang sambutan. Barangkali, kalau Adik Comel yang lead, mau ramai yang tercongok kat situ, ikut sama kira satu-sampai lapan...Heh...heh.


Buah hati lama. Beskal tuuu, side by side dengan Sang Bara...bukan Abang Hensem baju biru tu. Yang tu Pian. Dia dah kena getah MTB kow-kow. Masuk tahap hardcore dah ni. Berjaya menamatkan semua 4 CP. Salute bro!
Baru nak tinjau sekitaran, terdengar nama dipanggil. Ah...Pian rupanya dengan kekasih lamaku...Element sikuda itam. Rindu terubat. Aku kelebek sang kuda itam macam bapak kelebek anak selepas anak dinikahkan dengan orang. Itu kata Pianlah...Baru dok sembang masuk gear dua, tau-tau bunyi air-horn bertempik. Dah mula rupanya. Air-horn bertempik galak! Pagar dibuka dan berterkamanlah harimau-harimau yang sedari tadi menderam tidak sabar menerkam. Huru-hara dan gegak gempitalah Jawi seketika. Lebih seribu pembasikal lasak meninggalkan Sekolah Kebangsaan Jawi mencari kembara, memburu gelar, menguji diri dan mencari penyakit..Penyakit yang sendiri ditempa! NTMTBA 09 bermula!

KE CHECK POINT 1- Bila Nak Habis Panjat Ni?


Tepi...tepi...VIP nak lalu.
7.30 pagi, air-horn menjerit dan rimau-rimau menerkam. Kekura macam aku dok termangu lagi kat belakang. Perlahan saja menujah pedal mengikut arus ribuan pengayuh membanjiri jalan. Sebaik keluar dari pagar sekolah, laluan menuju utara. Kemudian melibas kanan pada lampu isyarat. Wah...rasa macam VIP (very important pedaler) bila polis dengan Rela sekat jalan bagi basikal lalu. Menderu bagai kelkatu basikal berbagai jenis, rupa dan rona dengan pengayuh berbagai aksi dan gaya. Lelaki juga wanita, kecil dan dewasa.

Pengayuh muda. Umur 9 tahun. Berjaya menghabiskan semua 4 CP. Syabas adik. (Yang kanan tu, bukan yang kiri.)



Cuba perhatikan papan tanda. SUNGAI DURI. Memang maksud tersirat. DURI menanti di hadapan. Tak siapa perasan.
Lumrah biasa la kalau jamboree, laluan awal mesti laluan gula-gula. Manis dan bersari. Laluan tarmac santai. Tambah meriah dengan bilangan pengayuh yang ramai. Penat belum terasa. Boleh kayuh sambil gelak-gelak tawa dan tegur sapa. Sebenarnya tempo dah mula mendaki sebab ansur-ansur betis rasa berat dan gear makin ringan. Pun takpa lagi sebab baru berapa minit saja berkayuh. Laktik belum terkumpul. Badan masih segar. Nafas masih tenang. Dada belum debar. Bau yang kurang menyenangkan mula menusuk hidung. Macam bau Valdor, tapi bukan Valdor. Bau Valdor lagi kuat...Bau apa pulak ni???


Perisa off-road bermula!
Tarmac tamat bila laluan mula membelok ke kiri. Jalan batuan halus doubletrack dalam ladang kelapa sawit. Lurus dan landai. Mentari masih terlindung di balik rimbunan kelapa sawit tua yang tinggi melayut. Masih lagi boleh kayuh sambil menyanyi lagu "Kami tak besar dan kami tak kuat, bila bekerjasama semua jadi mudah...". Sekonyong-konyong, lagu terhenti. Ramai berkerumun di hadapan. bau tadi semakin kuat. Aku masih tak ketahuan hujung pangkal apa yang berlaku. Nampak Zazhar juga ada di situ. Dari jauh nampak berserakan tompok-tompok putih di sana sini. Banyak sekali. Apa ke hal?


Apa hal? Apa hal? Zazhar ambik gambar apa tu? Apa yang tompok-tompok putih di belakang sana tu?
Biasa kalau ramai-ramai tu mesti ada yang menarik perhatian. Aku menghampiri. Ummuku dah jauh ke depan bersama anak menakan. Zazhar sibuk ambik gambar macam wartawan. GRO tengok saja. Yang lainpun sama. Bila dah dekat bau makin kuat. Tompok putih mula menampakkan bentuk. Bentuk yang dah lama aku tak tengok. Oooooo...rupanya tompok putih tu itik-itik putih yang berserakan di merata tempat di bawah pohonan kelapa sawit. Dan bau yang mirip bau Valdor tu rupanya bau taik itik. Ceh! Bertambah candu taik dalam paru-paru. Dan jalan jadi jem sebab dah berjumpa dengan pendakian pertama. Pendakian jarak pendek dengan permukaan dihiasai batu-batu longgar. Salah terjah memang tayar berpusing setempat atau terkandas pada batu. Juga jem sebab ramai yang heran dan berenti sebab nak tengok itik. Jadi selebriti sekejap itik-itik tu hari tu.


DH singletrack pendek. Baru nak berasa hangat, dah habih. Nan senyum sakan layan DH.
Lepas dah pakat puas tengok itik, dengan tengok orang ralit tengok itik, aku cuba try test kayuh naik bukit berbatu. Lepas! Yeeayyyyy...Jalan clear sat saja, lepas tu nampak jem balik. Rupanya dah ada DH singletrack kat depan. Aku kesot pi pelan-pelan, tinjau-tinjau tahap teknikal mana DH di depan. Agak kira tahap permulaan la. Cuma yang buat ghaflah sikit sebab singletrack. Tahap kemahiran pengayuh berbeza. Ada yang selamba, ada yang teragak. Ada yang turun pimpin basikal. Tu yang buat jadi jem. Aku menyempit kat lorong sempit sebelah kiri. Kesot pelan-pelan sambil mata liar memerhati laluan. Rumput panjang yang menutup laluan mungkin menyediakan habuan di hadapan. Sambil lalu, sambil minta izin. Maklum potong orang kot belah kiri ni. Kalau ada polis, mau kena saman dah. Selamat sampai ke bawah ada laluan clear sikit, akupun tukar gear dan pecut ke depan. Boleh layan dua tiga kona jadilah. Lepas tu lempar basikal ke tepi dan menjalankan tugas sebagai jurufoto tak bertauliah...

Kena DH semua senyum...


Rupanya, manis kayuhan sampai di situ saja. Gula-gula dah habis. Di depan menunggu akar seruntun (bakawali) berlingkar-lingkar yang pahitnya tidak tertelan. Sebaik melintas jalan raya dan memasuki kebun kelapa sawit, nada mula bertukar. Trek mula membukit. Mula-mula pendakian sederhana dalam teduhan kelapa sawit. Kaki masih boleh menerjah walau dada sudah mula mengah-mengah. Baru berapa kilometer perjalanan. Masih jauh yang perlu ditempuh. Dari permulaan ke CP1 katanya 14km. Jam baru sekitar 8.00 pagi. Jalan mendaki kelapa sawit mula bersimpang. Naik...naik...dan naik.

Dah mula mencanak. Awat tak patah balik?


Rupanya pendakian kelapa sawit itu hanya amaran awal. Mari pula selepas itu pendakian pada jalan berturap konkrit yang dah pecah-pecah di sana-sini. Menambah rencah pada kayuhan menaik. Ramai yang masih bergagah berkayuh. Selesai juga kayuhan tanpa perlu menolak basikal. Cukup baik setakat ini. Rehat sebentar untuk menghela nafas.


Ummuku gigih pulun kerabat laluan berturap konkrit...
Tanggapan awal, laluan akan beralun naik turun. Nyata tanggapan hanya separuh benar. Benar kat bahagian naik sahaja. Turun? Minta maaf banyak-banyak walaupun raya jauh lagi. Nun ruyup di balik sana nun baru akan jumpa perkataan "turun". Bermula selepas pendakian berturap konkrit itulah sebenarnya acara menolak. Dikaburi sebentar saja dengan laluan landai. Resepinya lengkap. Pendakian curam, berliku-liku dalam suasana terdedah kepada terik mentari. Kecerunan berlumba dengan matahari. Sama-sama makin lama makin naik. Dua-dua menang. Yang kalah? Pengayuh kekura macam aku. Kena dera dengan bukit curam dan mentari panas. Dua-dua habuan dapat. Bertambah cerahlah kulit hitam manisku. Patutlah kaki-kaki deras lagi power pulun perabis cepat-cepat. Sebab takut kena panas. Cheh...penakut jugak rupanya...


Kata-kata tidak cukup menggambarkan segala azab dan derita. Biarlah foto-foto di bawah ini menjadi testimoni betapa gumbiranya kami mendaki bukit dengan basikal di sisi.

Baru 2 kali kona dah sayup. Ntah berapa lagi kona menunggu di depan...errr...atas.

Ummuku gigih pulak memimpin basikal (orang utara kata "tuntun")

Menghampiri sindrom hilang akal lupa diri akibat gayat

Tukang Kebun dari Tanjong Malim. Berjumpa juga akhirnya...

Switchback menaik

Lagi aksi pimpinan basikal
Aksi-aksi seterusnya hanyalah ulangan daripada apa yang dipaparkan di atas. Terlalu sadis untuk diperincikan. Air dalam tangki semakin berkurangan. Power Gel yang ditogok tidak membantu menambahkan powerpun. Dah la rasa tangerine tu sikitpun tak sedap! Power Bar kena la buat perasa tom yam ka, ayam panggang ka, baru cun!.

Lepas terdera sekian lama, barulah laluan berubah gaya kepada menurun. Jam sudah melewati 9.00 pagi. Yang bermain di kepala..."Jauh ka lagi CP1?". Reda la sikit bila melayan downhill. Sedap woooiii melayan doubletrack kelapa sawit yang banyak dihias dengan switchback-switchback lebar. Semua kona sampai cecah tayar laaaa...



Mengesot turun tebing teknikal bersama Sang Bara

Singletrack teknikal yang dah kena bajak dengan ratusan basikal...
Nak sedap lagi, pereka trail yang sadis telah menambahkan cerun curam 60 darjah selepas sedap downhill. Mujurlah dengan berbekal sedikit pengalaman bermain di teres-teres curam Tuan Mee dan Kiara, dapatlah aku melepasi halangan itu. Bukan dengan satu basikal sahaja, malah dua! Keseronokan itu kemudian disusuli pula dengan sampainya water point. Air mineral berbotol-botol menunggu. Satu disambar dan ditogok lahap. Beg air yang sudah hampir kemarau gersang kembali berisi. Legaaaaa...Sempat pula ambil gambar Nizam aka Chan dari NXT yang sebelum ni dok jumpa di alam siber saja. Salam Bro Chan.


Nizam aka Chan dari NXT
Bila berjumpa kawasan lapang, dengan ada kolam di tepinya. Botol-botol air bersusun menanti ketibaan pembasikal-pembasikal kepenatan dan kehausan, petugas berbaju kuning mundar mandir mandur ke sana ke mari, membuatkan aku berasa lega. Yeahhhh...dah sampai CP 1. Akupun bertanya soalan keramat "Mana stikernya?". Dan jawapan yang datang balik macam halilintar...bingit berdentum menendang gegendag telinga."Sini bukan check point, bang. Sini water point saja. Dengan chicken loop untuk sapa yang nak kluarg.". "Habih, mana check pointnya?", aku tanya balik. "Depan lagi bang. Kat ataih nuuuuuu", petugas menjelaskan. Tangannya tunjuk ke atas macam tunjuk langit. Halamakkkkkkk..... Aku pandang muka isteriku, dia pandang aku balik. Tiada kata terungkap...Jom jalan. Jam terus berdetik 9.40pagi. Dah 2 jam 10 minit berbasikal...

Sekali lagi persepsi dan tanggapan memperdayakan aku. Sangkaku, CP1 hanya beberapa puluh meter saja dari water point. Lazimnya begitu. Namun penganjur NTMTBA 09 ini telah bertindak di luar kelaziman. Sadis sungguh mereka. Entah berapa bukit lagi perlu dikerabat sebelum dapat melihat banner CP1. Dengan matahari yang makin terik, cerun-cerun terdedah, memang cepat penat lelah. Mujur gerakan dalam tiga serangkai - Aku, isteriku dan Zazhar kekal bersatu tidak berpecah. Anak menakan aku dah lepas ruyup entah ke mana. Maklum kederat muda.


Lirik lagu lama "...mengapa kau tergamak sungguh..." terngiang di telinga.

Bukit curam saja tak cukup, tambah dengan longkang melintang jalan. (Sebenarnya beting air (water bar) untuk saliran supaya jalan tidak hakis)

Ada sapa suruh ka hampa mai sini?

Sanggup bayar lima puluh ringgit untuk dapat habuan ni...
Setelah puas keringat diperah, akhirnya sampai juga ke tempat petugas baju kuning menampal stiker. Huruf J bertepek pada plet. Aku dah tak lalu nak teruskan. Aku baringkan saja Sang Bara di situ walaupun salah sorang petugas bagi tau "Kat atas sana tempat rehat cantik sikit bang. Lagi teduh". Mujur Zazhar yang sampai dulu datang memanggil. Baru aku berganjak. Banner CP 1 terpampang megah. Basikal Giant NRSg Zazhar dah bersandar pada bangsal, tepat di bawah banner. Zazhar dah siap ready nak posing ambil gambar rupanya. Dia minta aku tolong ambil gambar. Aku gagahkan juga walau nak picit butangpun aku dah tak larat. Tak lama lepas tu isteriku pula sampai. Jam lebih kurang 10.20pagi. Meter mencatat hampir 19km. Lebih 5km dari yang dinyatakan. Mana datang lagi tambahan 5km tu? Hampir 3 jam baru sampai CP1?!!! Masih ada 3 CP perlu dicapai. Tak sempat la nampak gayanya sebab trail akan ditutup jam 12.30.


Akhirnyaaaaa...CP1.

Senyum jugak...walaupun dah tak berapa nak manis

CHECK POINT 1 KE CHECK POINT 2 - Cukup La 2 Warna...


Selepas berehat hingga tahap berbaring-baring, kayuhan diteruskan. Marshal dengan tenang bagi tahu kayuhan akan menurun. Kemudian "naik sikit" saja untuk sampai ke CP2. Hmmmm...aku dah tak berapa nak percaya. Pekerjaan apapun, kalau dibuat dengan mulut, memang senang.

Kayuhan diteruskan. Memang sungguh trail menurun. DH doubletrack tanah merah. Cuaca kering menyebabkan tanah jadi gembur dan berdebu. Apa tunggu lagi? Masa untuk lepas geram. Aku meluncur turun selaju mungkin ikut tahap kemahiranku. Tayar gemuk 2.35 depan belakang yang menyiksakan bila mendaki, jadi pertaruhan baik pulak bila DH. Cengkaman kemas dan pasti. Pad brek Quad Deuce yang baru ditukar, menambahkan keyakinan. Brek Quad yang kuat itu membekalkan membrek yang cukup Quad, eh kuat.

Zazhar dan isteriku mengekor di belakang. Aku berenti sekejap bila menghampiri penghujung jalan tanah merah. Biasa la kalau berenti....skodeng la...inilah hasil skodengan aku.

Dari jauh nampak macam dah habis DH bila jalan tanah merah abis. Rupanya terlindung di sebalik semak, DH dengan jalan berturap konkrit bersambung. Penganjur siap letak papan tanda SLOW mengingatkan pengayuh supaya jangan terlalu laju. Isteriku dan Zazhar terus meluncur meninggalkan aku. Memang bila DH terasa laju dan sekejap saja. Tau-tau dah habis. Jalan bertemu balik dengan tar sempit. Dan...perkataan "naik" kembali mewarnai kayuhan.


Pendakian tarmac. Kayuh Kak Cik kayuhhhhh....
Pendakian tarmac bermula dengan kecerunan sederhana. Laluan selari dengan anak sungai. Dalam hati terbayang alangkah lazatnya kalau dapat berkubang menyejukkan diri dalam keadaan hangat macam tu. Bunyi deru air sedikit sebanyak membantu menenangkan jiwa. Sebaik pendakian bermula, tiada lagi laluan landai. Tar habis bersambung dengan denai. Mujur dalam teduhan rimbunan hutan sekunder. Kebun getahpun ada. Pergerakan dalam bentuk kayuh-tolak-rehat-kayuh-tolak. Dah tak ramai pengayuh kelihatan. Kami antara yang di dalam kelompok belakang. Sampai satu ketika, kami suami isteri disahkan pengayuh paling belakang. Marshal yang sweep bagi tau. Cheh...ini sudah mencabar kewibawaanku. Isteriku juga bagai tersentak. Terhenti dari lamunan. Sekonyong berkumandang lagu Hattan "Lamunan Terhenti". Dia bingkas bangun. Bersiap, capai basikal dan maju ke atas. Aku biarkan dia berlalu. Abang GROpun dah ke depan. Sekarang, tinggal aku sorang diri...The lastman standing. Sang Bara yang tengah sedap lena dibangunkan dengan rakus. Terus aku celapak dan kayuh. Kayuh beb, bukan tolak. Cerun dikerabat. Rupanya GRO sedang enak santai di puncak dengan Marshal. Tengah bedek Marshal nak pinjam moto scrambler kot.


Muka lapar nasi...
Ah...ada DH sikit. Jadilah...Aku lepas geram. Turun bukitpun aku kayuh. Nak cari momentum untuk kerabat bukit di depan. Dah nampak Zazhar dangan isteriku sedang tekun menolak basikal. Aku buat ride bypass. Terus kayuh dengan kelajuan 3 km/j. Gerenti tak kena saman speed trap. Laluan memang memperdayakan sebab berbentuk zig zag. Selekoh-selekoh menyorokkan apa yang ada di depan. Dan setiap selekoh menyedikan kejutan. Terlalu banyak sampai aku dah tak larat nak terkejut. Macam tulah laluan berterusan. Mujur sepanjang-panjang laluan berada di bawah naungan teduhan rimbunan pokok. Taklah terlalu azab sangat.


Denai dengan turapan konkrit di tengah.
Kaki aku bukan kaki Nik-Bio. Lama-lama letih la jugak. Berenti la sekejap sementara menunggu Zazhar dengan isteriku sampai. Ada lagi beberapa riders yang bersama kami. Jam dah pukul 12.00. Perut Melayu aku dah mula minta nasi. Mana nak cari tengah hutan rimba ni?

Kembara diteruskan. Masih lagi dalam pendakian. Terjumpa satu pakcik dengan motor kapcai sarat dengan durian. Kalau tak kerana tengah jamboree, aku dah pasang sila hadap durian. Aku ketepikan dulu durian, yang sedap sekarang ni ialah check point. Yang lain aku dah tak berapa peduli. Lepas jumpa pakcik, semua teduhan hilang. Laluan jadi terang-benderang dengan panahan matahari langsung. Bertambah putih gebu la aku yang dah sedia putih ni. Aku gagahkan juga mengayuh. Biar perlahan, janji kayuh. Dah tegang semua urat betis menolak.


May day...may day. Minta helikopter satu untuk mai ambik rider
Sesekali langut ke jauh ke depan. Laluan sayup terbentang. Belum nampak gaya laluan nak melandai. Isteri dah jauh di belakang rasanya. Terserempak dengan satu group yang sedang bersantai di bawah teduhan. Walau masih daya, aku berhenti saja sebab menunggu isteri. Ada satu brader dalam group tu yang dah "tak boleh pegi". Terdengar dia call nombor kecemasan minta bantuan. Malang bantuan tak boleh datang, malah dia diminta turun balik, all the way sampai ke bawah. Hangin la kawan tu. Sudahnya, dia ambil keputusan untuk teruskan saja.


Memanjat...dan di bawah mentari rembang.
Panorama...
Bila isteriku sampai, kami bergerak bersama dalam kumpulan yang lebih besar. Terasa lebih bersemangat sikit. Sambil kayuh, mata memerhati kesayupan pemandangan sebelah kiri. Penuh dengan kehijauan dan bukit bukau. Aku cuba-cuba buat lawak dan usik-usik isteriku untuk menceriakan suasana. Mungkin lawak aku dah tak best, dia tak senyum sikitpun.


CP2. Dapat "A". Lepaih dah dapat "A", nak cari apa lagi?
Sebaik melepasi kawasan terdedah itu, laluan dah nampak melandai. Aku tak mau teruja sangat takut tertipu lagi. Tapi...terasa sendiri kayuhan makin bersemangat. Jalan dah tak berapa curam tapi masih beralun naik turun. Jalan macam tu memang sedap. Masa untuk pulun. Dari laluan beralun, bertukar corak menurun pulak. Eh...apakah derita sudah berakhir. Hati jadi melonjak. Layan saja deruan turun hingga ke satu selekoh dan terpandang orang kuning macam orang Digi (cuma tak tembam saja) Banner CP 2 terpampang. Aku pecut habis biar ketibaan nampak bergaya. Siap sempat lompat-lompat kecil bila langgar bonggol tuuuuu...kalau tonggeng kat situ, baru padan muka. CP 2 akhirnya!!! Jam 12.40 tengahari. 7km dari CP1. Stiker huruf A ditempek ke plate. Cukup la 2.

CHECK POINT 2 KE PICKUP POINT - Downhill Sampai Lebam...


Marshal memaklumkan apa yang aku dah sedia maklum. Jalan dah tutup...kena keluar...bla...bla...bla...DH all the way. "Ya ka?", spontan isteriku bertanya. Dia dah tak berapa nak percaya dengan cerita manis dari Marshal

Tanpa lengah, aku terus menerjah. Memang laluan enak dan lazat sungguh. Dengan laluan DH singletrack dalam kebun getah, disusul pulak dengan doubletrack tanah merah. Perggghhhh..Jangan pandang belakang. Sesah cukup-cukup. Laluan yang terbuka melondehkan apa yang bakal ditempuh di bawah sana. Lupa...lupa pada semua jerih yang dah dilalui berjam-jam tadi. Hanya turunkan pelana. Ponggong ke belakang, genggam handlebar kemas-kemas. Pilih line yang clear. Belasah turun. Seronok melayan suspensi Sang Bara. Memang cemerlang. Debu-debu berterbangan disagat tayar-tayar knobby gerutu manusia yang dah kemaruk nak cepat sampai.


Maaf. Kualiti video kurang cantik. Tangan ketag.

Kalau tadi gaduhkan letih sebab kena perah kederat nak memanjat, turun bukitpun ada bahana sendiri. Lenguh tangan dan kaki menahan gegaran hingga mendorong berhenti sekejap. Haa...puas?!!! Nak downhill sangat!!! Sekejap saja dah sampai ke pick up point. Ramai yang sedang menunggu giliran untuk diangkut balik. Kira di situlah berakhirnya kayuhan secara rasmi. Sambil togok air, aku sempat tinjau sekeliling. Nampak ramai lagi ni. Giliran aku tentu lambat. Aku pejam mata sat untuk check aku punya power level. Eh...bateri rezab tak pakai lagi. Ada saki baki power lagi dalam badan. Baik aku kayuh saja balik...Aku utarakan cadangan pada Zazhar. Zazhar angkat ibu jari. Aku maklumkan kat Marshal niat nak kayuh balik. Marshal kata OK. Dia bagi sikit pandu arah sebab ada beberapa simpang sepanjang laluan. Aku angguk-angguk saja macam faham, padahal haram tak faham.


Tu...nampak laluan DH panjang di belakang?

Zazhar...setiakawan sampai kesudah.

DARI PICKUP POINT - RTB - Return To Base...


Aku persiap diri. Tinggalkan pesanan ringkas pada isteri. Nasib baik ramai orang keliling, kalau tidak mahu tangkap peluk cium dulu. Maklum, nak berpergian. Suami penyayang memang begitu.

Kamipun berkayuh serentak dengan pikap trak yang bawa pengayuh lain. Rupanya ada sorang lagi brader nak ikut kami berkayuh balik. Maka bertigalah kami. Jalan landai saja mini tar dalam kampung. Pikap bergerak dalam kelajuan yang boleh diikuti basikal. Sebaik keluar ke jalan besar, pikap memecut pergi. Ingatkan jalan tu jalan lurus sahaja hingga balik ke sekolah Jawi. Mujur sempat ternampak kelibat pikap membelok ke kiri kemudiannya. Entah apa nama jalan tak sempat pula diperatikan. Ish...ingatkan dah atas tarmac tak ada climbing lagi. Kena juga climbing tarmac.

Satu gerombolan pacuan 4 roda memotong kami. Siap bagi hon macam bagi sokongan dan galakan. Kemudian dari kejauhan nampak macam ada jalan menyimpang kiri. Sekonyong ada pulak sorang manusia berbaju kuning di atas jalan entah dari mana datangnya berdiri di atas jalan sambil membuat isyarat tangan menunjuk ke arah simpang. Bunyi wisel sayup-sayup kedengaran. Ada la seminit kot orang kuning tu buat gerakan macam tu. Kami tak berapa nampak sangat sebab memang jauh. Lain la kalau mata ni mata bio-nik. Aku bagi tau Zazhar apa yang aku nampak. Zazhar angguk-angguk. Mungkin petugas nak bagi tau kita belok kiri kot?

Bila sampai ke simpang, kami ambil keputusan masuk kiri saja. Dengan andaian memang aksi orang kuning tadi nak menunjuk arah kepada kami. Tak lama kemudian ternampak la kawasan dan tandaan yang dikenali. Simpang off road mula-mula awal pagi tadi. Sah! Mujur tak terus tadi, kalau tidak mungkin boleh tersesat sampai Juru.

Perkayuhan semakin menghampiri penghujungnya bila sampai ke simpang dengan lampu isyarat. Aku cilok masuk ikut rumah kedai. Lebih dekat jalan pintas. Sempat singgah sat kat gerai jual air jambu batu. Sedapnyaaaaa air jambu batu. Kayuhan longlai lepas minum air jambu batu sebab tiada apa lagi yang nak dikejar ligan. Garis penamat sudah hampir. Aku tak masuk ke laman sekolah, sebaliknya terus ke kereta...Tamat kayuhan NTMTBA 09 untuk aku walaupun aku tak berjaya menamatkan semua CP.

Dapat la dua katam nibong tebal...Sayang, penganjur tutup trail cepat. Kalau tidak, biarlah buka trail sampai pukul 4.00. Sempat jugalah yang slo mo tapi ada kederat sikit-sikit kayuh setakat mana larat...
Keseluruhannya, masih lagi boleh dibanggakan. Bukit banyak itu biasa bagi jamboree. Kalau kaki kuat, semua bukit boleh dikayuh tuuu...Makna kata, kena banyak training lagi laaa...Terima kasih GerekGunung. Tahun depan buat lagi nooooo...

Gambar lain boleh ditengok di sini

TAMAT

1 comment:

tukangkebun said...

BC, masa downhill sebelum 2nd waterpoint hari tu tetiba teringat kat posting pasal quad.. ya allah ya tuhanku, selamatkan la aku sampai kaki bukit... hahaha!!

ps: mesti meriah basikal kak chik masa dh. ada loceng..