Wednesday, June 04, 2008

Bagaimana...Membuka dan Memasang Ampaian Belakang

AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung

Panduan ini akan menunjukkan bagaimana membuka dan memasang ampaian belakang. Contoh yang digunakan ialah Proton T-Bolt yang menggunakan sistem pangsi tunggal (single pivot). Panduan ini boleh juga digunapakai untuk basikal yang menggunakan prinsip dan cara pemasangan ampaian belakang yang sama dengan sistem yang ada pada T-Bolt. Keseluruhan proses boleh dikatakan mudah dan boleh dilakukan sendiri asalkan cukup alat kelengkapan.

Kita akan melihat bagaimana menukar ampaian belakang dari begini...



...jadi begini.


Jom kita tengok macam mana menukar ampaian belakang Proton T-Bolt dari Kind Shock A-Two ke Fox Float R.

...SEBELUM MEMULAKAN
Pastikan ampaian yang hendak dipasang menepati spesifikasi. Yang paling penting ialah panjang ampaian dari mata ke mata. Dan pastikan juga panjang penyendal (reducer) sesuai dengan braket pemasangan.


ALATAN YANG DIPERLUKAN

Alat yang diperlukan untuk menukar ampaian belakang Proton T-Bolt.

  • Allen key saiz 5
  • Allen key saiz 6
  • Spanar saiz 13
  • Tukul getah. Kalau tak ada guna bongkah kayu. Cuba sedapat mungkin mengelak dari menggunakan tukul besi





CARA-CARA MEMBUKA DAN MEMASANG AMPAIAN BELAKANG T-BOLT
Langkah Tindakan
1

Bukakan nat pasak atas.

Masukkan allen key saiz 6 pada lubang pasak sebelah kanan. Biarkan tuas allen key menegak ke atas dan condong ke hadapan sedikit. Ini akan berfungsi sebagai pemati pasak.




Pegang allen key yang telah dimasukkan ke dalam lubang bol pasak supaya pasak tidak berpusing bila spanar dipusing untuk membuka nat. Untuk lebih pegangan, letakkan posisi allen key pada kedudukan yang membolehkan anda memegang allen key sambil berpaut pada kerangka basikal. Gunakan spanar 13 untuk membuka nat pasak. Pusingkan ikut lawan jam sehingga nat pasak tercabut dari pasak.



2

Keluarkan pasak atas dari braket atas

Gunakan tukul getah untuk mengetuk pasak keluar dari braket. Ketuk dengan cermat dan tak terlalu kuat supaya alur pasak tidak rosak.




Bila dah ketuk kepala pasak akan terjulur macam ni di sebelah kanan. Gunakan alat yang berbentuk silinder sekira-kira muat lubang braket untuk menjolok pasak keluar. Dalam contoh ini, allen key digunakan sebagai penjolok.


Sebaik pasak tercabut, jangan dicabut allen key itu. Biarkan di situ sebagai sangga sementara supaya kerangka tidak "runtuh".



3

Keluarkan pasak bawah.

Gunakan allen key saiz 5 untuk memutar keluar pasak bawah. Pasak bawah tidak dimatikan dengan nat sebaliknya di sekeru pada plat braket sebelah kiri. Putarkan arah lawan jam sehingga hujung pasak terkeluar dari plat braket sebelah kiri.

Sekali lagi gunakan allen key itu untuk menjolok pasak bawah keluar dan biarkan allen key di situ sebagai sangga sementara.



4

Keluarkan ampaian lama

Pastikan pelana tergantung semasa mengeluarkan ampaian lama supaya kerangka tidak runtuh. Jika tiada penggantung, sendal ruang ampaian dengan sebatang kayu atau besi yang lebih kurang sama panjang dengan ampaian.

Dalam keadaan tergantung, cabut keluar allen key yang menjadi penyangga sementara dan keluarkan dari braket bawah dahulu. Kemudian baru tarik keluar ampaian dari braket atas.

5

Pasang ampaian baru

Dalam keadaan basikal masih tergantung, pasang ampaian baru. Mulakan dengan pasang pada braket atas. Sebaik masuk lubang atas dan selari dengan lubang braket, gunakan allen key sebagai sangga sementara. Masukkan allen key dari kiri ke kanan.

Masukkan pula lubang bawah ke dalam braket bawah dan laraskan supaya lubang ampaian sejajar dengan lubang pada braket.

Masukkan pasak bawah sehingga pasak menyentuh dan masuk ke lubang braket. Pulaskan dengan tangan supaya pasak masuk dan melekat pada braket.

6

Menyudahkan pemasangan ampaian baru.

Gunakan allen key saiz 5 untuk mengetatkan pasak bawah. Pulas ikut jam sehingga pasak terikat kemas.

Masukkan pula pasak atas. Tarik penyangga sementara perlahan-lahan sambil pada masa yang sama pasak atas dimasukkan. Kepala allen key akan bertemu dengan kepala pasak. Teruskan menarik allen key dan menolak pasak sehingga pasak masuk semuanya dan allen key tercabut.



Pasang nat pengikat pada pasak atas.



Masukkan allen key saiz 6 ke lubang pasak. Allen key ini akan bertindak sebagai pengunci pasak bagi mengelakkan pasak dari berpusing apabila nat diketatkan.



Dengan tangan kanan memegang allen key, gunakan tangan kiri untuk mengetatkan nat pasak.



7

Ampaian baru siap dipasang

Dahpun siap pemasangan ampaian baru. Opppsss...nanti dulu. Jangan terus melompat nak mencuba ampaian baru anda. Sebelum boleh dicuba, pastikan tekanan angin bersesuaian dengan anda. Rujuk Artikel Berkaitan...



ARTIKEL BERKAITAN...
  • Melaras tekanan ampaian belakang
  • Melaras lantunan (rebound)

2 comments:

Ober Frederiksen said...

hahahahahaha. BAHASA MELAYU giler! tak paham den membaca nye. wakakakaka.

BC Kelolo said...

Mana nak faham En Frederiksen ooiiii...Awak tu kan omputeh. :) :) :)