Wednesday, May 18, 2016

Bermain (2 round) dengan Playmate di Kiara

Bunyi tajuk macam membawa maksud kelam di sebalik tabir.  Biasa laaaa... Tajuk mesti mau ada sengat sikit.  Tajuk saja gempak, isi... kenalah baca dulu.  Dan...ibu-bapa tak perlu bimbang.  Tulisan ini sesuai untuk tatapan umum.

Playmate
Okeh...Sedikit imbas balik.  Playmate adalah nama satu denai di Kiara.  Denai lama yang dihidupkan semula dan diberi beberapa sentuhan baru menjadikannnya lebih mencabar dan lebih seronok untuk untuk dikayuh.  Minggu lepas perkenalan pertama.  Terkocoh kacah tak sempat berbuat apa.  Track log tak sempat dirakam.  Gambar tak sempat diambil sementelah handphone aku pecah minggu lepas.

Bila balik, kenangan singkat mengusik jiwa.  Tidur malam tak berapa lena.  Mata terbayang hati terkenang. Hah... datang saja Sabtu, Playmate di Kiara aku serbu!  GPS check!  Kamera..errr.. tak berapa nak check.  Bolehlahhhhh...

Nak sampai ke kepala denai Playmate boleh melalui dua jalan.  Dari dalam Bukit Kiara ikut Plan C upper atau dari Hartamas, juga ikut Plan C.  Kepala denai tak jauh dari pintu pagar Plan C.  Kalau dari dalam Kiara, jumpa kepala denai dulu.  Kalau dari Hartamas (sekolah), dah tentu jumpa pagar dulu.  Kepala denai terletak di N3° 09.366' E101° 38.653'. 

Kepala denai Playmate
Statistik Playmate
Jarak : 1.5km
Ketinggian minima : 99 m
Maximum Elevation: 152 m
Jumlah pendakian : 34m
Jumlah penurunan : 56m


Nak senang penceritaan, kita bahagikan denai kepada 2 bahagian.  Sedang elok pulak tu pembahagiannya.

Bahagian 1 - Dari muka denai ke puncak. Jaraknya kurang lebih 0.8km.  Laluan semua mendaki.  Tapi, jangan risau, kecerunannya mesra pengayuh.  Insyaa Allah, boleh dikayuh dari mula sampai ke puncak.  Sedap saja melayan sampai tak sempat ambil gambar.

Di puncak.  Bersedia!
Bila dah sampai di puncak, suka hati la nak rehat sekejap ka tak mau.  Disarankan supaya diperiksa basikal dan peralatan.  Pastikan fork dan shock di set dengan betul.  Maklum tadi baru mendaki.  Mungkin terlupa nak lepas lockout.  Pastikan skewer terkunci kemas.  Tak maulah nanti tayar tercabut tengah sedap-sedap memecut.

Woo hooo... sudah tangkap angin
Bahagian 2 - Dari puncak ke penamat.  Jarak 0.7km.  Jom!
Kemaskan helmet.  Pakai padding.  Teguk air sikit.  Tarik nafas dalam-dalam... Dan... dengan lafaz bismillah, terkam turun dan...cheh...kena panjat balik sikit.  Potong angin betul.

Dah...jangan sedih.  Saja ja denai tu mainkan anda gitu.  Teruskan mengayuh.  Laluan mula mencerun turun.  Dan membelok kanan.  Pantas.  Kemaskan pegangan.  Pasang jurus beruk bertenggek di dahan.  Nah...tanjakan (ramp) comel pertama tercongok di depan.  Apa tunggu lagi.  Jangan ragu jangan was-was.  Ambil tanjakan dengan kemas.  Anda dan basikal akan dilambung ke udara seketika.  Dan adrenalin akan terasa mengalir laju dalam badan.  Lazattttttt.

 Bukan masa untuk berangan.  Tumpuan penuh diperlukan.  Sebaik tayar mencecah tanah, belokan kiri pantas pula dijamah.  Denai tanah singletrack di bawah teduhan pohonan rimba dalam larian menurun pantas dan cergas.  Tiada masa untuk melabuhkan ponggong di atas pelana.  Nak duduk-duduk, baik lepak depan TV di rumah.

Sekonyong terlontar keluar daripada teduhan rimba ke kawasan terbuka.  Laluan di bawah kabel voltan tinggi.  Kemudian menyusup balik ke dalam denai singletrack.  Untuk yang kaki lompat, ada sedikit drop sebelum denai membelok ke kanan.  Bagi yang pro, boleh lompat, goyang ekor sikit.  Buat mid-air adjustment untuk ambil line ke kanan.  Untuk yang prolah.  Untuk yang macam aku, ikut sajalah line tu dengan irama zapin dan inang.



Pagar tanda penamat Playmate.
Melintas di bawah laluan kabel voltan tinggi lagi dalam arah berlawanann.  Deru terus menderu.  Cabang Y tercongok di depan.  Boleh pilih nak balun kiri atau kanan.  Aku lebih suka laluan kanan.  Kacip brek sekejap untuk kelajuan yang sesuai untuk membelok ke kanan.  Akan berdepan dengan pagar.  Denai terbelah dua lagi sekali.  Kanan entah ke mana aku tak tahu.  Kiri pula jadi pilihan kali itu.

Akan bertemu dengan simpang empat.  Arah dari kiri datang dari cabang Y yang aku sebut di atas.  Kali ini ambil arah pukul 12.  Jalan terus.  Ada ramp lagi di depan.  Sapuuuuu!  Keluar balik ke kawasan terbuka laluan di bawah kabel.  Bersedia untuk sajian penyudah.  Denai singletrack dengan rumpai dan lalang di kiri kanan.  Laluan sempit menurun dan membelok kanan membawa ke pintu pagar di tepi Penchala Link.  Tamatlah sudah 1.5km bermain dengan Playmate.  Memang lazat dan berkrim.  Tak puas rasa.  Bila seround rasa tak puas, apa nak buat?  Bantailah seround lagi.  Tuuudiaaaaaa Playmate punya penangan.

p.s. Untuk kayuhan hari itu, apa kami buat ialah...selepas tamat pusingan pertama, kami lari ke Hartamas.  Lepak kat Devis (sebelah AmBank) pekena ayag-melo-ais gelas besar dan minuman yang seumpama dengannya.  Kemudian baru kami sambung balik kayuhan.  Masuk balik ikut Plan C, denai tepi sekolah tu.  Tau?

Lagi gambar kayuhan hari tu boleh di tengok di album di Google Plus aku.   

No comments: