Wednesday, May 18, 2016

Bermain (2 round) dengan Playmate di Kiara

Bunyi tajuk macam membawa maksud kelam di sebalik tabir.  Biasa laaaa... Tajuk mesti mau ada sengat sikit.  Tajuk saja gempak, isi... kenalah baca dulu.  Dan...ibu-bapa tak perlu bimbang.  Tulisan ini sesuai untuk tatapan umum.

Playmate
Okeh...Sedikit imbas balik.  Playmate adalah nama satu denai di Kiara.  Denai lama yang dihidupkan semula dan diberi beberapa sentuhan baru menjadikannnya lebih mencabar dan lebih seronok untuk untuk dikayuh.  Minggu lepas perkenalan pertama.  Terkocoh kacah tak sempat berbuat apa.  Track log tak sempat dirakam.  Gambar tak sempat diambil sementelah handphone aku pecah minggu lepas.

Bila balik, kenangan singkat mengusik jiwa.  Tidur malam tak berapa lena.  Mata terbayang hati terkenang. Hah... datang saja Sabtu, Playmate di Kiara aku serbu!  GPS check!  Kamera..errr.. tak berapa nak check.  Bolehlahhhhh...

Nak sampai ke kepala denai Playmate boleh melalui dua jalan.  Dari dalam Bukit Kiara ikut Plan C upper atau dari Hartamas, juga ikut Plan C.  Kepala denai tak jauh dari pintu pagar Plan C.  Kalau dari dalam Kiara, jumpa kepala denai dulu.  Kalau dari Hartamas (sekolah), dah tentu jumpa pagar dulu.  Kepala denai terletak di N3° 09.366' E101° 38.653'. 

Kepala denai Playmate
Statistik Playmate
Jarak : 1.5km
Ketinggian minima : 99 m
Maximum Elevation: 152 m
Jumlah pendakian : 34m
Jumlah penurunan : 56m


Nak senang penceritaan, kita bahagikan denai kepada 2 bahagian.  Sedang elok pulak tu pembahagiannya.

Bahagian 1 - Dari muka denai ke puncak. Jaraknya kurang lebih 0.8km.  Laluan semua mendaki.  Tapi, jangan risau, kecerunannya mesra pengayuh.  Insyaa Allah, boleh dikayuh dari mula sampai ke puncak.  Sedap saja melayan sampai tak sempat ambil gambar.

Di puncak.  Bersedia!
Bila dah sampai di puncak, suka hati la nak rehat sekejap ka tak mau.  Disarankan supaya diperiksa basikal dan peralatan.  Pastikan fork dan shock di set dengan betul.  Maklum tadi baru mendaki.  Mungkin terlupa nak lepas lockout.  Pastikan skewer terkunci kemas.  Tak maulah nanti tayar tercabut tengah sedap-sedap memecut.

Woo hooo... sudah tangkap angin
Bahagian 2 - Dari puncak ke penamat.  Jarak 0.7km.  Jom!
Kemaskan helmet.  Pakai padding.  Teguk air sikit.  Tarik nafas dalam-dalam... Dan... dengan lafaz bismillah, terkam turun dan...cheh...kena panjat balik sikit.  Potong angin betul.

Dah...jangan sedih.  Saja ja denai tu mainkan anda gitu.  Teruskan mengayuh.  Laluan mula mencerun turun.  Dan membelok kanan.  Pantas.  Kemaskan pegangan.  Pasang jurus beruk bertenggek di dahan.  Nah...tanjakan (ramp) comel pertama tercongok di depan.  Apa tunggu lagi.  Jangan ragu jangan was-was.  Ambil tanjakan dengan kemas.  Anda dan basikal akan dilambung ke udara seketika.  Dan adrenalin akan terasa mengalir laju dalam badan.  Lazattttttt.

 Bukan masa untuk berangan.  Tumpuan penuh diperlukan.  Sebaik tayar mencecah tanah, belokan kiri pantas pula dijamah.  Denai tanah singletrack di bawah teduhan pohonan rimba dalam larian menurun pantas dan cergas.  Tiada masa untuk melabuhkan ponggong di atas pelana.  Nak duduk-duduk, baik lepak depan TV di rumah.

Sekonyong terlontar keluar daripada teduhan rimba ke kawasan terbuka.  Laluan di bawah kabel voltan tinggi.  Kemudian menyusup balik ke dalam denai singletrack.  Untuk yang kaki lompat, ada sedikit drop sebelum denai membelok ke kanan.  Bagi yang pro, boleh lompat, goyang ekor sikit.  Buat mid-air adjustment untuk ambil line ke kanan.  Untuk yang prolah.  Untuk yang macam aku, ikut sajalah line tu dengan irama zapin dan inang.



Pagar tanda penamat Playmate.
Melintas di bawah laluan kabel voltan tinggi lagi dalam arah berlawanann.  Deru terus menderu.  Cabang Y tercongok di depan.  Boleh pilih nak balun kiri atau kanan.  Aku lebih suka laluan kanan.  Kacip brek sekejap untuk kelajuan yang sesuai untuk membelok ke kanan.  Akan berdepan dengan pagar.  Denai terbelah dua lagi sekali.  Kanan entah ke mana aku tak tahu.  Kiri pula jadi pilihan kali itu.

Akan bertemu dengan simpang empat.  Arah dari kiri datang dari cabang Y yang aku sebut di atas.  Kali ini ambil arah pukul 12.  Jalan terus.  Ada ramp lagi di depan.  Sapuuuuu!  Keluar balik ke kawasan terbuka laluan di bawah kabel.  Bersedia untuk sajian penyudah.  Denai singletrack dengan rumpai dan lalang di kiri kanan.  Laluan sempit menurun dan membelok kanan membawa ke pintu pagar di tepi Penchala Link.  Tamatlah sudah 1.5km bermain dengan Playmate.  Memang lazat dan berkrim.  Tak puas rasa.  Bila seround rasa tak puas, apa nak buat?  Bantailah seround lagi.  Tuuudiaaaaaa Playmate punya penangan.

p.s. Untuk kayuhan hari itu, apa kami buat ialah...selepas tamat pusingan pertama, kami lari ke Hartamas.  Lepak kat Devis (sebelah AmBank) pekena ayag-melo-ais gelas besar dan minuman yang seumpama dengannya.  Kemudian baru kami sambung balik kayuhan.  Masuk balik ikut Plan C, denai tepi sekolah tu.  Tau?

Lagi gambar kayuhan hari tu boleh di tengok di album di Google Plus aku.   

Wednesday, May 11, 2016

Bermain dengan Playmate di Kiara

Kiara tidak pernah sunyi daripada kejutan. Ada saja denai baru.  Ada juga denai lama yang hampir dilupakan.  Dihidupkan semula oleh gabungan pengayuh lama dan baru, menjadikan Kiara sentiasa menarik untuk didatangi dan ditunggangi...

Minggu lepas, Sabtu, 7 Mei 2016... Aku ke Kiara lagi.  Kayuhan yang dijangkakan biasa-biasa saja menjadi luarbiasa untuk aku hari itu kerana :-
  1. Crank aku tercabut.  Baru masuk Chunder Valley, crank dah tercabut.
  2. Rantai aku putus sebaik menerjah naik cerun selepas titian kurus di Wasteland 
  3. HP aku pecah skrin.
Innalillahi wainna ilahi ra ji'un... Aku redha... Kayuhan diteruskan kerana Umar Razak Razali aka Ajak pagi-pagi dah menyebut jumpa trail baru... Namanya PLAYMATE.  Haaa...jangan dok pikir ini ada kaitan dengan arnab yaaa. 

Cadangan asal nak buat dokumentasi lengkap pasal Playmate terbantut lepas handphone aku pecah... Kita biar suspen sikit...

OK...aku cerita sikit bagi geli-geli.  Trailhead Playmate ni di tepi denai Plan C Upper.  Agak dalam 30meter sebelum sampai ke pagar. Muka denai di sebelah kanan.

Mukaddimahnya... panjat...panjat...dan panjat.  Pendakian mudah saja.  Dan pendakian itu tidak cuma-cuma sebab bila sudah sampai puncak, masa untuk anda menuntu ganjaran anda.

Larian turun dengan beberapa switchback dan tanjakan comel.  Yessss...! Boleh la lompat-lompat manja.  Begitulah lariannya sampai anda keluar di pintu pagar di tepi Penchala Link.

Cukup la dulu untuk geli-geli kali ni... Ada rezeki, aku pegi layan Playmate lagi...Amik tracklog dan ambil gambar untuk tatapan semua.  Insyaa Allah.

SELAMATKAN BUKIT KIARA!!! SAVE BUKIT KIARA!!! 

Anatomi MTB ~ Semanggang (Fork) - Bahagian 1


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan seorang professional dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung

Foto-foto di dalam posting ini ada yang digunakan tanpa izin daripada pemegang hakcipta.  Mohon kebenaran menggunakannya di dalam posting ini.  Posting ini sekadar perkongsian maklumat dengan masyarakat tanpa perolehan untung komersil.  Sekiranya pemilik hakcipta keberatan memberikan kebenaran, sila hubungi penulis untuk membuang foto-foto berkenaan daripada posting ini.

Some photos used in this posting are used without permission from the copyright holder.  Please allow its usage as this is a community posting and of non profit in nature.  If copyright owner reluctant to grant consent, please contact the author for removal of the photos.  - kelolo   (kelolo24@gmail.com)

Semanggang atau fork adalah bahagian yang menyambungkan tayar hadapan dengan kerangka basikal dan bar hendal. Guna untuk memegang tayar depan dan juga kendalian.

Semanggang ialah istilah yang digunapakai di bahagian utara Semenanjung. Dipanggil semanggang kerana merupai alat penyepit yang digunakan untuk memanggang ikan. Ikan haruan dibakar tawar cicah “ayaq asam”.Fuhhhh… lazatttt. Eh, ke mana sudah kona ni?. U-turn balik. Membawa ke tengah dan selatan, istilah yang digunapakai ialah "sepit udang". Barang kali kerana rupanya yang seakan rupa sepit udang. Agakyalah. Untuk posting ini, saya akan gunapakai istilah semanggang.  (mestilah kan? :-))

Bentuk semanggang paling asas ialah bentuk Y terbalik. Juga dipanggil "rigid fork" Semanggang tegar.

Untuk Bahagian 1 ini kita berkenalan dulu dengan semanggang keras kung aka "rigid fork"


Anatomi semanggang

1. Tiub kemudi atau steerer tube. 1", 1 1/8 dan 1 1/2". Diperbuat dari besi, kromoli, aluminum, titanium atau karbon. Rekaan lama mempunyai ulir (thread) pada batangnya. Untuk rekaan-rekaan terkini, diameter tiub kemudi dipelbagaikan lagi.

  • 1inci crown 1 inci atas
  • 1 1/8 inci crown, 1 1/8 inci atas
  • Tapered 1 1/2inci crown, 1 1/8 inci atas
  • 1 1/2 inci crown, 1 1/2 inci atas.

Batang tiub ini biasanya datang panjang dan dipotong ikut kesesuaian tiub kepala pada kerangka dan tinggi yang dikehendaki pengguna.

Ada tiub kemudi yang dilarik ulir (thread) pada atasnya.  Ini untuk dipadankan dengan set kepala berulir dan stem jenis quill.


2. Crown.
Menyambung kaki dengan tiub steerer. Tiub kepala kerangka akan ditampung oleh crown bila semanggang dipasangkan ke kerangka.Pada crown akan dipasangkan crown race, mangkuk untuk alas bebola set kepala bergolek. Untuk semanggang kaki melengkung, biasanya crown dengan kaki disekalikan.Untuk semanggang kaki lurus, crown dibuat berasingan daripada kaki dan tiub kemudi.



3. Tiang brek V
Tiang brek V ini gunanya untuk memasang brek V.  Tiangnya boleh dicabut sekiranya tidak dekehendaki. Tapi, kerja mencabutnya tak pula senang. Model-model terbaru tidak lagi di buat dengan pancang brek V.  Sebaliknya rekaan dengan tab brek cakera lebih meluas sekarang.




Pelbagai jenis kaki semanggang.
4. Kaki
Juga dipanggil blade. Panjang ikut saiz roda 26", 27.5" atau 29". Diperbuat dari besi, kromoli, aluminum, titanium atau karbon. Ada yang dibuat melengkung pada bahagian bawah untuk memberikan offset kepada semanggang.  Untuk semanggang rekaan lurus, ditambah tab pada bahagian bawah untuk drop out dan memberikan kesan offset pada semanggang.


Pelbagai dropout.  Kanan sekali ialah jenis through axle.





5. Drop out
Asalnya cangap berbentuk C untuk meletakkan gandar roda hadapan. Bagi rekaan kaki lurus, ditambahkan tab untuk dropout bagi memberikan offset kepada semanggang.  Bila rekaan semakin maju, drop out disesuaikan pula dengan gandar celus (through axle).  Ada 2 standard umum untuk gandar celus;
15mm - XC/AM
20mm - DH/FR

6. Tab untuk brek cakera.
Kadang ada kadang tiada.
Tab untuk memasang brek cakera pada kaki kiri.  Boleh jadi tab untuk International Standard (IS) atau post-mount.

Tab brek cakera jenis IS
Tab brek cakera jenis "post mount"

Kita tutup dulu tirai untuk Bahagian 1.  Insyaa Allah, bertemu lagi di Bahagian 2 yang akan menyingkap perihal semanggang jenis yang melantun-lantun pulak.

Monday, May 02, 2016

Kawan-Kawan di Kiara


Kiara...Penuh dengan denai berselirat.  Denai pelbagai kategori dan tahap.  Dah 10 tahun aku bermain di Kiara.  Tak sempat habis khatam semua denai yang ada.  Dan biasa kalau bermain di Kiara akan berjumpa dengan kawan-kawan.  Kawasan simpang/pondok/four-cross adalah kawasan perhimpunan umum.  Denai-denai bertembung di situ.  Maka, pengayuh juga akan ikut sama bertembung.  Di situ tempat masuk keluar denai 2K.  Juga tempat permulaan denai 4K.  Untuk naik ke Twin Peaks juga bermula di situ.  Untuk berjumpa Kawan-kawan juga di situ... Haaaa... Tajuk posting dah sebut "kawan-kawan".  Dalam mukaddimah dok ulang perkataan "kawan-kawan". Apa nih?... Heh...heh...rupanya ada satu lagi denai berdekatan simpang empat tu...nama dia "KAWAN-KAWAN".  Tak tau?  Dah tau?  Dah kenal "kawan-kawan"?  Mari aku kenalkan...Anakku Faris jadi pemandu denai.


Waktu gambar ini diambil, kepala denai agak terganggu dengan kerja-kerja pembinaan.
Kepala denai "Kawan-kawan" bermula di tepi pondok pengawal dekat simpang.  Sangat sesuai untuk kayuhan penenang selepas galak bermain di 2K.

Masuk saja, anda akan disajikan dengan switchback kiri kemudian satu lagi switchback kanan pulak di lereng dengan pokok getah sebesar satu pemeluk di kanan anda. Kona ketat dengan cerun menurun.  Layan.

Layan drop comel dan manja
Selepas itu sajian singletrack laluan menurun cerun dalam 5% dihiasi beberapa drop sekaki, dua kaki tinggi.  Sedap jugak la melayan.

Kawasan bertenang
Selepas itu denai melandai sekejap seolah berkata "rilek sat naaaa...ambik nafas dulu...".  Kemudian denai kembali meluru turun, mendakap lereng dan teres.  Di beberapa tempat di hias dengan akar melintang denai.  Ada yang pada sudut sendeng yang boleh mengheret tayar anda ke tepi dan menghumban anda dari basikal.

Beberapa switchback lagi termasuk dalam sajian kemudian nada berubah kepada sedikit pendakian.  Kena cepat bertindakbalas sebab ada akar menanti di tengah dan hujung pendakian yang boleh membuatkan anda hilang daya tujahan dan basikal tersangkut di situ.
Melepasi lintangan kayu

Mendaki sekejap saja.  Sambung balik dengan denai menurun.  Denai semakin sempit di tepi lereng.  Hanya yang berkemahiran mampu terus mengimbangi basikal dan terus berkayuh.  Aku hanya mampu tersenyum dan pimpin basikal menuju ke kawasan pemisah lereng dengan carok sungai. 

Dari lereng, ada lintangan batang kayu diletak melintang. Sekali lagi, pengayuh mahir boleh kayuh melepasi lintangan kayu untuk masuk ke fasa terakhir Kawan-kawan.

Sajian terakhir ialah carok sungai.  Hamparan lembangan anak sungai yang ditabur dengan batu-batu sungai aneka saiz.  Laluan berbonggol-bonggol.  Boleh dikayuh bagi pengayuh mahir.

Penutup kepada Kawan-kawan ialah drop setinggi 2 kaki bersambung dengan titian kayu menutupi longkang.  Lepasi itu dan anda selesai beramah mesra dengan kawan-kawan.

Ramai yang merasa tak puas bermesra dengan Kawan-kawan.  Adat la... Benda sedap memang begitu.  Terasa sikit.  Lagipun, memang sikitpun.  Jarak Kawan-kawan hanya 600meter lebih sikit...

Itulah serba sedikit perihal Kawan-kawan... Sedap beritahu kawan-kawan...Ajak kawan-kawan bermain di Kawan-kawan.