Monday, May 02, 2016

Kawan-Kawan di Kiara


Kiara...Penuh dengan denai berselirat.  Denai pelbagai kategori dan tahap.  Dah 10 tahun aku bermain di Kiara.  Tak sempat habis khatam semua denai yang ada.  Dan biasa kalau bermain di Kiara akan berjumpa dengan kawan-kawan.  Kawasan simpang/pondok/four-cross adalah kawasan perhimpunan umum.  Denai-denai bertembung di situ.  Maka, pengayuh juga akan ikut sama bertembung.  Di situ tempat masuk keluar denai 2K.  Juga tempat permulaan denai 4K.  Untuk naik ke Twin Peaks juga bermula di situ.  Untuk berjumpa Kawan-kawan juga di situ... Haaaa... Tajuk posting dah sebut "kawan-kawan".  Dalam mukaddimah dok ulang perkataan "kawan-kawan". Apa nih?... Heh...heh...rupanya ada satu lagi denai berdekatan simpang empat tu...nama dia "KAWAN-KAWAN".  Tak tau?  Dah tau?  Dah kenal "kawan-kawan"?  Mari aku kenalkan...Anakku Faris jadi pemandu denai.


Waktu gambar ini diambil, kepala denai agak terganggu dengan kerja-kerja pembinaan.
Kepala denai "Kawan-kawan" bermula di tepi pondok pengawal dekat simpang.  Sangat sesuai untuk kayuhan penenang selepas galak bermain di 2K.

Masuk saja, anda akan disajikan dengan switchback kiri kemudian satu lagi switchback kanan pulak di lereng dengan pokok getah sebesar satu pemeluk di kanan anda. Kona ketat dengan cerun menurun.  Layan.

Layan drop comel dan manja
Selepas itu sajian singletrack laluan menurun cerun dalam 5% dihiasi beberapa drop sekaki, dua kaki tinggi.  Sedap jugak la melayan.

Kawasan bertenang
Selepas itu denai melandai sekejap seolah berkata "rilek sat naaaa...ambik nafas dulu...".  Kemudian denai kembali meluru turun, mendakap lereng dan teres.  Di beberapa tempat di hias dengan akar melintang denai.  Ada yang pada sudut sendeng yang boleh mengheret tayar anda ke tepi dan menghumban anda dari basikal.

Beberapa switchback lagi termasuk dalam sajian kemudian nada berubah kepada sedikit pendakian.  Kena cepat bertindakbalas sebab ada akar menanti di tengah dan hujung pendakian yang boleh membuatkan anda hilang daya tujahan dan basikal tersangkut di situ.
Melepasi lintangan kayu

Mendaki sekejap saja.  Sambung balik dengan denai menurun.  Denai semakin sempit di tepi lereng.  Hanya yang berkemahiran mampu terus mengimbangi basikal dan terus berkayuh.  Aku hanya mampu tersenyum dan pimpin basikal menuju ke kawasan pemisah lereng dengan carok sungai. 

Dari lereng, ada lintangan batang kayu diletak melintang. Sekali lagi, pengayuh mahir boleh kayuh melepasi lintangan kayu untuk masuk ke fasa terakhir Kawan-kawan.

Sajian terakhir ialah carok sungai.  Hamparan lembangan anak sungai yang ditabur dengan batu-batu sungai aneka saiz.  Laluan berbonggol-bonggol.  Boleh dikayuh bagi pengayuh mahir.

Penutup kepada Kawan-kawan ialah drop setinggi 2 kaki bersambung dengan titian kayu menutupi longkang.  Lepasi itu dan anda selesai beramah mesra dengan kawan-kawan.

Ramai yang merasa tak puas bermesra dengan Kawan-kawan.  Adat la... Benda sedap memang begitu.  Terasa sikit.  Lagipun, memang sikitpun.  Jarak Kawan-kawan hanya 600meter lebih sikit...

Itulah serba sedikit perihal Kawan-kawan... Sedap beritahu kawan-kawan...Ajak kawan-kawan bermain di Kawan-kawan.


 

No comments: