Thursday, November 07, 2013

Mendapatkan Tinggi Pelana Yang Betul


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan seorang professional dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung

Posting ini adalah terjemahan bebas daripada posting asal How To Get Your Seat Height Right tulisan Nick Morgan, dari e-Majalah BikeRadar

Mendapatkan tinggi pelana yang betul seolah satu perkara asas berbasikal yang membuatkan anda terfikir yang para bijak pandai sudah bersetuju lama dahulu dengan kaedah terbaik mendapatkannya.  Betapa anda salah.  Satu perkara yang disepakati oleh pakar-pakar ialah jika tinggi pelana anda salah, akibatnya boleh memudaratkan.  Kajian menunjukkan yang pelana rendah memendekkan masa untuk kelesuan sebanyak 12 peratus (iaitu pelana rendah mempercepatkan kelesuan).

Makanya, ada pengayuh yang mempunyai masa terhad mungkin mengambil langkah merendahkan pelana untuk mendapatkan kayuhan yang lebih sukar.

Satu teori yang menarik, tetapi untuk mendapatkan ketinggian yang salah, memerlukan anda mengetahui bagaimana mendapatkan ketinggian yang betul terlebih dahulu.  Malangnya, tidak ramai yang tahu.  Teruskan membaca untuk mengetahui bagaimana mendapatkan tinggi pelana yang betul.

  1. Kaedah Tumit

    Kaedah ini kaedah umum yang digunakan oleh kedai basikal dan jurulatih di gim.  Anda letakkan tumit anda di atas rakap (pedal) dan tetapkan tinggi pelana supaya kaki anda lurus dalam rakap berada pada kedudukan paling bawah dan ponggong anda melintang tanpa senget.


    Walaupun ini adalah kaedah yang paling umum digunakan, tiada bukti-bukti saintifik untuk menyokongnya dan selalunya mendorong kepada tinggi pelana dilaraskan terlalu rendah.

    Professor Will Pelever dari Mississippi University for Women menulis beberapa makalah membandingkan kaedah untuk mendapat tinggi pelana terbaik mengatakan, "Masalah utama ialah kaedah ini tidak mengambil kira perbezaan individu pada femur (tulang peha), tibia (tulang betis) dan panjang tapak kaki."
  2. Kaedah 109%

    Kaedah yang lebih mantap telah dibuat oleh Hamley & Thomas dalam satu makalah tahun 1967.  Mereka membuat ujikaji ke atas ketingginan pelana yang berbeza dan mendapati yang tinggi pelana ideal dicapai apabila pelana dipasang pada 109% panjang "inseam" diukur dari gandar rakap ke bahagian atas pelana.

    Ukuran "inseam" ialah panjang dari kelangkang ke lantai.  Untuk mengukur inseam, berdiri menghadap dinding an letakkan sebuah buku di celah kelangkang sepertimana anda duduk di atas pelana.  Biar buku bersentuh dinding.  Tapak kaki rata dengan lantai.  Tandakan bahagian atas buku yang bersentuh dengan dinding.  Ukur panjang di antara tandaan pada dinding dengan lantai.  Itulah ukuran "inseam" anda.  Ulang proses tadi beberapa kali dan ambil purata untuk mendapat bacaan yang lebih baik. 

    Kaedah ini adalah antara kaedah yang sangat popular dan disarankan oleh ramai jurulatih handalan.  Bagaimanapun, kajian yang dibuat oleh Profesor Pelever mendapati kaedah ini masih ada kekurangan berbanding kaedah Holmes dari segi output kuasa dan ekonomi.

  3. Kaedah LeMond

    Kaedah ini adalah variasi daripada kaedah 109% dan dimulakan oleh juara Tour de France 3 kali, Greg LeMond.

    Masih menggunakan panjang inseam sebagai panduan, formula ini mengambil 88.3% panjang inseam dan menggunakannya untuk mengukur jarak dari tengah braket bawah ke atas pelana.

    Yang menariknya, Pelever telah menunjukkan yang kaedah ini memberikan tinggi pelana yang berbeza daripada kaedah 109% dan walaupun nampak berkesan dan sesuai dengan ramai orang, ia kurang sesuai untuk mereka yang mempunyai tulang femur yang panjang.
  4. Kaedah Holmes

    Kaedah ini dibangunkan pada asalnya untuk mengurangkan kecederaan berbasikal akibat terlebih-guna otot dan mengambil pendekatan yang berbeza sama sekali dengan kaedah-kaedah di atas.

    Ia menggunakan alat goniometer untuk mengukur sudut di antara sendi lutut bila rakap berada di bawah.  Holmes menyarankan sudut di antara 25 darjah dan 35 darjah.  Untuk mereka yang pernah menghadapi masalah patella tendonitis (   ), disarankan sudut yang menghampiri 25 darjah. 

    Ini mungkin kedengaran agak teknikal dan jika anda rasa begitu mungkin lebih baik ikut saja mana-mana satu kaedah inseam.  Kalau rajin sedikit, dapatkan goniometer daripada mana-mana pembekal alat perubatan...  

No comments: