Thursday, November 21, 2013

KuLima ~ Kayuh Geli-geli di Denai Alam


Tengok KuLima ~ Kayuh Geli-geli Denai Alam pada peta yang lebih besar

Aku rasa bertuah…Kerana punya kawan-kawan yang akrab.  Kawan-kawan yang aku kenal lebih 32 tahun.  Kawan-kawan sekolah menengah.  Persahabatan yang terjalin sejak Tingkatan 1 di MRSM Kulim, masih terjalin utuh kukuh.  Tidak terbatas kepada persahabatan sesama kami, isteri dan keluarga juga terbaur sama hingga terhasil berbagai program.

Enam KuLima
Bila isteri mengadakan program masak-masak di rumah Zainal di Denai Alam,  suami-suami yang bertugas sebagai supir, sambil menunggu boss masing-masing buat program masak-masak, ambil kesempatan isi masa luang dengan program kayuh “geli-geli”.  Kebetulan ada beberapa orang yang sudah terjebak dengan aktiviti berbasikal – Zainal, Sam dan Jan.  Tok Marque dah beli basikal.  Dah kayuh-kayuh sikit-sikit keliling taman… Basikal dok berkilat merelit lip lap lagi.  Fauzi pun setakat kayuh-kayuh keliling taman.  Maka, sambil masak-masak para isteri, para suami boleh mencelapak basikal dan meronda keliling Denai Alam.  Beriadah keluar peluh sambil tolong mengasuh anak, kununnya…

Cadangnya kayuhan cuma sekitar trek basikal di Denai Alam.  Tiada acara main-main tanah, lumpur selut.  Sebelum kayuh aku pot-pet la sikit cerita pasal basikal, pasal gear, pasal tinggi pelana.  Sampai terkebil dan menguap la semua yang mendengar.  Ikut semangat yang berkobar nak saja aku ceramah panjang lebar dua tiga jam.  Tapi…Pak Long Sam cepat-cepat kasi potong taklimat aku.  Dan kamipun berkayuhlah…

Dari laman rumah Zainal, 10 pengayuh bergerak.  Aku, Pak Long Sam, Zainal, Jan, Fauzi, Tok Marque campur anak jantan aku 2 orang, anak jantan Zainal 2 orang.  Cuaca pagi redup dan tenang.  Matahari terselindung di sebalik awan.  Zainal bawa kami ikut jalan tar.  Aku pelik.  Kenapa tak ikut laluan sikal?  Rupanya, ada beberapa tempat laluan sikal terputus disebabkan pembinaan.  Kawasan Denai Alam masih lagi dalam pembinaan…Sayang sekali.  Laluan sikal cantik.  Beralun, berliuk lentok.  Memang seronok kalau dilayan…Dan aku layan sorang-sorang…Yang lain layan jalan tar saja…Sambil-sambil tu dok perati cara Tok Marque main gear.  Nampak gayat lagi sebab kurang kayuh.  Fauzi nampak perit sikit berkayuh sebab seat rendah.  Lepas perbetui seat dia bagi tinggi sikit, baru nampak lebih selesa…

Trailmaster Zainal bawa main jalan raya dulu bagi perangat betis

Zainal bawa kami ikut jalan Jalan Elektron U16/53 sampai hujung, buat U –turn kat roundabout kemudian patah balik ikut hala datang tadi.  Jarak ada la dalam 5km.  Cukup la buat modai perangat betih.  Dekat nak sampai hujan rintik halus turun.  Alah…mujur tak lebat.  Kami bergagah kayuh sambil dok tertanya ke mana lagi Zainal nak bawak.  Jalan balik rumah dia dah dekat.  Aikkk.. takkan nak balik dah?  Ketiak tak berpeluh lagi ni…Aku baru dok syok layan laluan sikal yang beralun bengkang bengkok…
Ingatkan Zainal nak terus, sebaliknya dia belok kiri.  Kemudian dari kejauhan aku Nampak depa sudah terbabas keluar daripada jalan tar dan masuk ke jalan tanah merah yang membawa masuk ke ladang kelapa sawit.  Hah… masuk off road!

Laluan sikal yang sedap dilayan...
Aku perati dari jauh dulu sebab dok tunggu anak kecik aku, Fadlan, yang tertinggai di belakang.  Jalan masuk ke ladang cerun menurun sikit dengan lopak dan lubang.  Nampak Tok Marque terkial-kial membrek kemudian tak semena-mena tayar belakang dia terangkat.  Dia dengan basikal dia tergolek atas rumput.  Dah selamat basikal dia kena tepung tawar pagi tu…Objektif pertama kayuhan tercapai!  Fauzi ambil langkah bijak mengharung cerun dengan berhati-hati berpimpinan tangan dengan basikal.  Aku sempat berpotpet menurunkan ilmu jurus “hentian denyut satu jari” dengan “harimau sedia menerkam”.  Gabungan dua jurus ini kalau diamalkan, nescaya kerja turun cerun akan lebih lancar, yakin dan selamat.

Fauzi dengan Tok Marque dok amal jurus...
Laluan dalam ladang kelapa sawit membawa ingatan aku kepada denai awal waktu aku mula menggerek dulu.  Ladang Tuan Mee jadi medan percubaan.  Ladang kelapa sawit punya ciri yang hampir sama.  Rupa bumi berbukit bukau dengan denai berselirat.  Pok
ok-pokok kelapa sawit di tanam berbaris pada teres.  Itulah jamuan yang Zainal jamu kat kami pagi tu.  Naik dan turun… Turun rasa sekejap, naik mencungap.  Menolak jadi perkara biasa.  Bukan aku yang mendera tau!
Sekali lagi aku berpotpet menurunkan jurus “kesot kura-kura” kepada Fauzi.  Jurus gear ringan kayuh kartun untuk naik bukit.  Fauzi kekok pada mulanya kemudian mulai merasa nikmat mengesot macam kura-kura naik bukit.  Kayuh pelan tapi masih boleh kerabat tanpa perlu menolak basikal.  Boleh rujuk TEKKORA untuk perincian jurus ini…

Gerombolan SuTama...
Lepaih kerabat satu bukit, tersermpak dengan satu gerombolan pengayuh dari Saujana Utama.  Ramai!  Dalam 30 orang ada.  Kat situ juga tiub basikal anak aku bocor kena tikam duri pelepah kelapa sawit.  Mujur masuk dengan persediaan.  Satu lagi jurus diperturunkan…Jurus “Tolak Angin Tarik Angin” untuk menggantikan tiub yang bocor.

Anak-anak sungai jernih yang mengalir di tengah lembah di dalam ladang macam satu ganjaran bila penat-penat berkayuh.  Walau badan penat, hati dan fikiran jadi tenang lapang.  Anak sungai itu memberi tanda cukuplah kayuhan untuk hari itu.  Bajupun dah basah lencun lokoih.  Masa untuk berpatah balik dan menjamah masakan yang di masak oleh para isteri.  Nasi ayam Hainan dan nasi arab kambing menanti…

Lembah dengan anak sungai jernih...Tenang jiwa
Trailmaster Zainal membawa balik ikut laluan lain.  Laluan ladang yang
mulanya rata dan landai sehingga bertemu dengan terowong GCE.  Hah…dah terbabas.  Dengan bantuan alat Gagal Pakai Sesat, laluan lain diredah.  Laluan mendakap teres di bawah teduhan kelapa sawit pada mulanya rata kemudian mencerun naik pada darjah kecerunan tahap tak hingat.  Menolak basikal menjadi agenda.  Menolak dua basikal jadi luarbiasa.  Macam tulah kalau bawak anak umur 8 tahun.  Takpa…demi kasih seorang ayah…Pengayuh muda macam Hafiz, anak Zainal selamba berdesup pergi.

Macam berada di puncak donia...Nampak GCE di belakang?
Rupanya denai lebih kurang seiring dengan lebuhraya Guthrie.  Dari kejauhan nampak lebuhraya, plaza tol dan kawasan RnR.  Tinggi melayut…Dan semua sengsara mendaki itu tidak sia-sia.  Bila sampai ke puncak, akan turunlah ia…Bila turun, masa untuk gumbira dan bersukaria.  Luruan turun tanpa perlu kayuh.  Cuma pegang kemas-kemas dan layan liuk lentok denai.

Layan turun bukit memang syiokkkk...
Satu perangkap biasa dalam ladang kelapa sawit ialah pemandangan dan suasana yang hamper serupa pada banyak tempat.  Dan kami terkena!  Sampai ke satu kawasan simpang yang agak lapang, Zainal dengan Pak Long Sam dah terjerit suka sebab disangka situ Bukit Penat.  (dengar namapun dah penat).  Mujur skuad peninjau cepat-cepat meninjau keadaan dan mendapati itu hanyalah ilusi.  Bukit Penat yang betul-betul penat ada di depan lagi…Mujur laluan menurun lagi…Memang sedap melayan sampai ke satu kuil hindu.  Jalan menyimpang ke kanan dan mula melandai.  Dari kejauhan sudha Nampak bumbung bangunan.  Sudah dekat!

Gerombolanpun keluar daripada ladang kelapa sawit di satu kawasan berhampiran Taman Bukit Subang.  Elok pulak di situ ada stesen minyak petronas.  Dapatlah berteduh dan minum air.  Dari Petronas sudah kayuhan santai balik ke pangkalan.  Rumah Zainal cuma 10 minit dari situ.  Selamat satu kayuhan geli-geli sahabat KuLima…Jarak kayuhan lebih kurang 15km, 5 km di atas jalan, selebihnya di dalam aladang kelapa sawit.  Boleh tahan untuk kayuh geli-geli…
Penghujung denai...Dah habih dahhhh...

Timing memang elok.  Waktu sampai balik, para isteri sudah hampir siap masak.  Selepas berehat sekejap, jamuan pun siap.  Memang kalau lepas berkayuh, perut lapar dan mintak di isi.  Dan segala jamuan yang dihidangkan – Nasi ayam Hainan, nasi arab kambing, kerutub ayam, dodol dan aneka lagi tidak dibiarkan aman tenang di atas meja.  Semua kena serang…

Terima kasih kepada Zainal kerana sudi menjadi tuan rumah dan trailmaster.  Terima kasih kepada kawan-kawan yang ikut sama berkayuh.  Harap sedikit jurus-jurus yang diperturunkan membantu menambahkan ilmu dan kemahiran dalam berbasikal…Harap minat yang mula membara terus segar menyala.





Epilog

Denai Alam memang tempat menarik untuk berkayuh.  Sama ada kayuhan jalanan atau kayuhan denai.  Sekurangnya buat masa sekarang.  Penduduk belum ramai, kenderaan belum banyak.  Dan laluan sikal berselirat keliling taman.  Boleh puas berkayuh.  Untuk yang kaki denai, ladang menyajikan hamparan denai untuk disiplin rentas desa berpuluh kilometer sehingga ke Saujana Utama.  Muka denai dekat saja dengan kawasan perumahan.  Sekali masuk, mata aku sudah menjeling beberapa tempat berpotensi untuk dibuat tempat permainan yang lebih mencabar lagi mengujakan.  Denai Alam…tungguuuu… aku datang lagi.

Gambar-gambar kayuhan boleh di tengok di sini

No comments: