Lihat Kayuhan Solo Kuala Muda Pantai Merdeka untuk peta lebih besar
Ada keperluan untuk aku balik kampung. Tak dapat kayuhla nampaknya. Cuba-cuba nasib gatal mulut cakap dengan isteri nak bawa basikal balik. Jawapan ringkas “Bawaklah…”, disambut dengan penuh gumbira. La..la..la..la..la…
Cadangan asalnya nak berkayuh melayan denai di sekitar Kulim/Junjung. Aku post mesej di FB kot ada kawan-kawan kayuh dari Kulim atau Junjung yang ada rancangan kayuhan masuk denai. Tiada sahutan. Akal dengan cepat merangka rancangan B. Barangkali kerana ada pertalian darah dan dekat dengan rumah biras aku, Kampung Kuala Muda dan Pantai Merdeka menerjah dalam kepala.
Rancangan segera untuk menelusur kampung asal ayahku dirangka. Ditokok dengan rancangan bercita tinggi untuk menjelajah sehingga Tanjong Dawai, Singkir, Tanjong Jaga, Yan, Guar Chempedak, Gurun dan Sungai Petani. Satu kitaran besar melitupi jarak lebih 100km lebih. Google map dibentang untuk merancang laluan. Menjelang saat akhir, dapat pula jemputan kahwin yang tak wajar di tolak. Rancangan kayuhan bercita-cita tinggi dipendekkan supaya sempat balik rumah menjelang 12.00 tengahari…Masih lagi ke Pantai Merdeka tetapi tidak menyeberang ke Tanjong Dawai. Bahagian Yan, Guar Chempedak, Gurun terpaksa dibatalkan.
Ahad, 17 November 2012, jam 0715hrs, aku dan Sang Raksa bergolek dari rumah birasku di Bertam, Kepala Batas. Pagi yang hening lagi damai. Sebaik keluar ke jalan, sudah ternampak seorang pengayuh. Aku bertegur sapa dan bersalam sambil memaklumkan "Saya nak ke Kuala Muda", tanpa diminta.
Di persimpangan Jalan Permatang Bogak, bertemu lagi gerombolan-gerombolan pengayuh. Wah! Meriah sungguh kayuhan di sini. Aku ambil simpang kanan. Titik Sasar 1 ialah pekan Penaga, lagi 8 km. Aku kayuh dalam kelajuan 20km/j gitu. Jalan tar kampung dua hala melalui sawah bendang dan kampung-kampung. Kereta motor sesekali lalu. Jauh berbeza dengan Kuala Lumpur…Derap kayuhan begitu terasa tenang dan bersahaja. Lagipun, kalau laju-laju, tak sempat menikmati suasana…
Jam 0740hrs sudah sampai pekan Penaga. Pekan kecil yang ditandai dengan deretan kedai setingkat di kiri kanan jalan. Kedai-kedai kopi sudah dibuka dan orang ramai sudah mula berdatangan. Sekilas nampak nasi lemak dan cucur-kuih yang terhidang di atas meja terasa seperti mahu berhenti dan ikut menjamah. Namun, bayangan “menyorok1” di kuala Sungai Muda lebih kuat pengaruhnya. Lagi 8 km ke Kuala Muda.
Laluan jalan tar berturap dengan sawah bendang di kiri kanan terus mewarnai perkayuhan. Sampai ke Titik Sasar ke 2, Permatang Bendahari. Permatang Bendahari juga memberi tema sama seperti Penaga. Jalan terus dari situ membawa ke jambatan yang merentang Sungai Muda. Aku ambil simpang kiri untuk ke Kampung Kuala Muda (Seberang Perai Utara).
Tak nampakpun yang gebu-gebu di sini... |
Kpg Kuala Muda |
Aku tinjau-tinjau di mana tempat nak naik perahu untuk ke seberang. Langsung tak kelihatan. Hati mula cuak. Aku tanya orang di situ dan jawapannya “La ni sejak ada titi orang tak naik sampan dah bang…”, Alah… Hatiku kuciwa. Hati kuciwa membuat perut jadi lapaq. Aku tak menyorok lagi…
Kecewa tak dapat naik perahu... |
Selesai menyorok, berkayuh la aku berpatah balik mencari titi. Titi terletak sejauh 5.5 km dari Kampung Kuala Muda, melalui Pulau Mertajam. Sampai di simpang empat Jalan Pulau Mertajam - Permatang Bendahari (P100), Nampak beberapa orang pengayuh dari arah jambatan. Ambil simpang kiri dan lengkung jambatan tercongok di depan. Barulah ada pendakian untuk kayuhan pagi itu…Melintaslah aku dari Seberang Perai ke Kedah.
Aku kekalkan derap kayuhan pada 20km/j. Angin mula menderu. Tak pasti dari arah mana? Kiri, kanan atau depan. Yang aku rasa, basikal bagai dipegang dari belakang. Beratttt… Beberapa gerombolan pengayuh berselis
ih dengan aku. Beberapa kampung di lalui di antaranya Bukit Meriam. Nama itu senang terpahat di ingatan kerana agak luar biasa.
Bila batu tanda jalan menunjukkan lagi 2 km ke Pantai Merdeka, laluan yang landai sepanjang pagi mula bertukar mendaki yang agak curam dan panjang untuk standard hari itu. Hayun sajalah sebab dah dekat nak sampai. Turunnya laju hingga mencatat 46km/j. Dan Pantai Merdekapun terbentang di hadapan…
Jam 1000hrs. Merdeka Beach Resort di sebelah kiri jalan masuk menjadi tempat inapan utama di situ. Pengunjung belum ramai. Peniaga baru mula bersiap untuk berniaga. Air sedang pasang. Ada kemudahan gerai makan, tandas dan tempat persalinan untuk kemudahan pengunjung.
Bot ke Tanjomg Dawai |
Lepas minum dan sembang dengan Sham dan Izwan, kami bawa haluan masing-masing. Depa nak ke Tanjong Dawai dan aku nak pacak balik ke Bertam ikut Tikam Batu. Jam 1030hrs. Matahari sudah memancar terang. Dan laluan adalah kawasan terbuka. Kepanasan dijangka yang akan membuat aku lebih berjelaga dan menambah maniskan kulitku...
Sham dan Izwan. Jumpa lagi bros... |
Matahari sudah terang benderang hangat lit-lit. Hati dah puas sebab sampai juga berkayuh ke Pantai Merdeka. Kayuhan balik tak kalut sangat dah. Kayuhan lebih tenang dan santai. Tolakan angin depan terasa makin kuat.
Sedang ralit melayan kayuhan sorang-sorang, mari seorang pengayuh muda dengan basikal road bersaing dengan aku. Agak dia kesian kot tengok pakcik ni hegeh-hegeh tak dak kawan. Bila kayuh berteman, semangat naik la sikit. Sambil kayuh, sambil sembang, penat jadi kurang...
Nira nipah Paksu...Sedappp |
Lepas dah pekena nira, semangat Bang Chik kembali bernyala. Rasa nak kayuh laju-laju nak balik kat Kak Chik di rumah nuuu. Sampai Tikam Batu pengayuh muda mintak diri sebab dah sampai rumah dia. Aku kembali berseorangan. Ambil kanan pada simpang dan kayuh ikut jalan 1. Gerai-gerai makan di kiri jalan dah mula menayang hidangan tengahari. Perut dah lapaq. Nak saja aku singgah makan dulu. Bila teringat nak pegi kenduri sekejap lagi, terus tak jadi.
Jambatan Merdeka |
Sampai simpang ke Bertam, aku masuk kiri, dia teruskan kayuhan ke Bagan...Selamat jalan brader. Jalan Bertam penanda peringkat-peringkat akhir kayuhan. Dah rasa lega dah...Pekan Kepala Batas dilepasi dan lebih kurang 1215hrs selamatlah aku sampai balik ke rumah biras. Alhamdulillah.
Nota Kaki
menyorok1 = sarapan dalam loghat utara. Tiada kena-mengena dengan main sembunyi-sembunyi. Golongan muda sekarang sudah kurang menggunakan perkataan ini.