Friday, October 04, 2013

Taman Wetland, Putrajaya


Kalau disebut kayuh MTB di Putrajaya, automatik akan terbayang denai-denai teknikal mencabar di Taman Cabaran Putrajaya.  Kalau diajak mereka yang baru sehari dua mencuba Taman Cabaran, dikerat 14pun tobat lahum tak mau.  Reputasi ngeri Taman Cabaran atau PCP mengundang gerun yang kadang-kadang keterlaluan.

Dah kalau begitu di mana tempat yang boleh dibawa orang baru berkenalan dengan denai?  Aha!  Ada beberapa denai di Putrajaya yang kurang diketahui tetapi mampu menjadi menjadi tempur untuk pengenalan awal dengan MTB.  Untuk kali ini saya perkenalkan TAMAN WETLAND, Putrajaya.


Taman Wetland, Putrajaya

 
Ringkasan Denai

Jarak : 13km
Aras rendah : 40M
Aras tertinggi : 90M
Pendakian maksima : 50M
Tahap : Pengenalan dan sederhana
Jenis denai : Laluan berbatu pinggir tasik, laluan berturap pinggir tasik, ladang kelapa sawit, jalan tar
Parkir : 
Dua parkir. 
1.  Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland (101.69903, 2.95218) .
2.  Parkir Taman Wetland di sebelah menara tinjau (101.69577, 2.9622734).  (Rujuk peta)
Peta denai Taman Wetland, Putrajaya
Mari! Saya bawa anda berkayuh secara maya di denai Taman Wetland.  Sedia???
Siap untuk berkayuh.  Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland

Jika anda bermula dari Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland.  Kayuh ikut denai berbatu.  Anda akan melalui bawah jambatan dua kali.  Selepas 850M, akan berjumpa simpang kiri.  Jalan berbatu merentas paya.  Belok kiri.  Ikut laluan itu sehingga berjumpa simpang.  Belok kiri dan lalu di bawah jambatan sekali lagi sehingga berjumpa jalan tar.  Anda telah sampai ke taman Wetland.

Kita berhenti sekejap.  Tunggu kawan-kawan yang parkir di Menara Tinjau.

Jika anda dari Menara Tinjau, kayuh seolah anda mahu keluar ke Pintu Gerbang Taman Wetland.  Bila berjumpa bulatan, ambil laluan terus pukul 12.  Anda akan berjumpa satu lagi bulatan.  Ambil arah pukul 9.  Laluan akan turun bukit.  Terus meluncur dengan gembira sehingga berjumpa simpang kiri laluan berbatu.  Mereka yang dari parkir Pusat Rekreasi Air akan berada di situ.  Berkumpul dan bergerak bersama.
Jalan batu merentas paya

Dari simpang pertemuan jalan batu dengan jalan tar, teruskan berkayuh.  Anda akan berjumpa satu bangunan besar di sebelah kanan  (101.69423, 2.95974).  Selepas bangunan, jalan tar tamat dan berganti dengan jalan batu.  Kemudian ada simpang kiri jalan berbatu merentas paya.  Belok kiri ikut laluan rentas. Penghujung jalan rentas akan bertemu simpang. 

Ambil haluan kanan di atas jalan batu bata.  Jalan batu bata tamat dan bersambung kembali dengan jalan batu.  Berkayuh santai berkitar tasik (paya?) sehingga laluan berbentuk U.  Selepas laluan U anda semakin hampir dengan muka denai.  Bersedia untuk bertukar nada dan irama.
Muka denai. 

Panjat titi kayu yang merintang longkang (101.68943, 2.96292).  Eh...kenapa turun dan tolak?  Kayuh sebentar mengikut denai di kawasan terbuka kemudian masuk ke dalam gerbang denai kelapa sawit.  Denai masih melandai.  Semerta terasa perubahan suasana.  Kawasan terbuka kini terlitup dipagari pohonan kelapa sawit.  Kawasan yang tadinya panas disimbah mentari sekarang redup.  Dan bermula juga upacara pecah peluh kerana denai yang tadinya melandai sudah mula menaik sedikit.  Pendakian manja membawa anda dari aras 40M ke aras 50M.  Baru 10M peningkatan aras...
Menolak la nampaknyaaa...

Di 101.68967, 2.96578 akan bertemu simpang.  Belok kiri dan teruskan kayuhan santai.  Denai dalam kelapa sawit mula beralun dengan anda sederhana.  Layan saja.  Mahirkan jari jemari bermain gear mengikut keperluan.  Sampai di 101.68315, 2.962401 berjaga-jaga.  Pendakian pada batu pasir dengan kecerunan sehingga 15% ke 20% menanti.  Lebih mencabar lagi bila laluan sempit di penuhi pula dengan garit-garit yang boleh menelan tayar. 
Rehat dan rawat... Mana cekodok tadi?

Pendakian pendek lebih kurang 100 meter kembali melandai dan membawa anda keluar ke hadapan balai polis Prsint 11.  Anda sudah berada di pertengahan jalan.  Sesuai untuk berehat sebentar mengambil nafas, mengisi air dan menjamah bekalan cekodok yang dibawa.  Ada yang bawa cekodok?

Dah!  Jangan nak berehat lama sangat.  Nanti badan jadi sejuk dan lemau.  Capai basikal dan kayuh ikut laluan sikal hala menaik ke arah utara.  Laluan menyusur jalan raya kemudian membelok kanan masuk ke denai.  Anda berada di puncak tertinggi pada aras 95M.  Bila sudah berada di puncak apa maknanya?  Maknanya selepas ini akan meluncur turun.  Oh yeahhhhh!
ATTACK!!!

Denai lebar berbatu halus peroi dengan cerun menurun jangan disiakan.  Pasang badan dan kuda-kuda di atas basikal dalam "attack position" dan meluncur turun.  Anda berhak menikmatinya setelah berpenat-penat. Laluan turun sejauh 500M memang terasa tak cukup.  Jadilah...

Tengah sedap laju anda akan dipaksa membrek dan membelok masuk ke kanan ke laluan sempit.  Meluncur turun lagi masuk ke dalam laluan kelapa sawit.  Belok kanan pada simpang dan anda akan melalui satu kolam dengan empangan kecil.  Laluan membawa keluar ke jalan tar (101.68141, 2.97123).   

Belok kanan dan belok kanan sekali lagi pada simpang pertama.  Jalan tar menuju ke stesen janakuasa.  Sebelum sampai ke stesen janakuasa, akan bertemu simpang denai sebelah kiri.  Masuk ke situ.  Ada simpang denai ke kiri (101.68473, 2.96839).  Masuk balik ke dalam teduhan kelapa sawit.  Anda akan berjumpa jalan batu pasir halus yang meluru turun. Belok kiri pada 101.68684, 2.96835 yang akan memaksa anda mendaki kembali.
Pendakian selepas titian pellet

Terus bermain di dalam denai kelapa sawit yang akan membawa anda dalam laluan menurun hingga berjumpa lembah yang di letakkan kayu pellet sebagai titian (101.69000, 2.96888).  Dulunya titian kayu pellet kukuh utuh dan boleh dikayuh.  Lama-kelamaan ia semakin mereput dan tidak lagi selamat untuk dikayuh.  Elok turun dan pikul basikal.  Anda sudah diberi amaran.

Selepas titian, kena mendaki sedikit lagi sebelum denai melandai dan membawa anda keluar ke jalan tar.  (101.68888, 2.96958).
Belok kanan pada jalan tar dan kayuh dalam jarak 500M sehingga berjumpa pondok pengawal di kiri anda. Di sebelah kanan ada tasik / paya dan denai batu kerikil sepanjang tasik.

Masuk ke jalan denai tasik.  Laluan denai tasik ini akan membawa anda pulang semula ke parkir. 
Nampak macam laju? Penulispun nak berposing juga...

Kayuhan semakin menghampiri penghujungnya.  Kalau rasa belum puas dan tenaga masih banyak, sesah saja dari situ sebagai buah penamat.  Kalau yang jenis sentimental (dalam hati ada wetland), nikmati pemandangan dan suasana sekitar.  Tak perlu segan silu untuk berhenti dan bergambar.  Teruskan kayuhan sehingga berjumpa kembali dengan bangunan yang saya sebutkan pada awal cerita.  Dari situ anda sudah boleh mencari jalan balik ke parkir masing-masing. Selamat mencuba denai ini.

Muatturun GPS tracklog di sini sekiranya anda mempunyai alat GPS.  Lebih memudahkan pandu arah anda.


PENGHARGAAN
Terima kasih kepada geng Siput Turbo, BBS yang menjadi jurupandu dalam kayuhan pengenalan kepada denai ini.  Jonz,  MiaoMiao, Hairi, Khalid, Fazlee dan beberapa lagi nama yang tidak sempat saya rakamkan.

3 comments:

Jon Che Ya said...

terbaek bangchik... lenkali kita p trail taman rimba alam pulak..

BC KeLoLo said...

Semuanya dengan bantuan anda semua dan juga dengan izinNya. Harap dapat mensohorkan lagi denai-denai di Putrajaya dan menarik minat lagi ramai pengayuh MTB.

ajak_8887@yahoo.com.my said...

Salam, semalam sy ng membe try terjah trail ni, tp tersesat sikit dlm ldang sawit keluar ke jalan bbatu semula..tak puas ati kami patah balik n jumpa gak jalan sampai ke balai polis tp sejam setengah dr botani..dah suntuk masa kami trus jalan biasa smpai botani balik..insyaallah next time kami cuba lg..tq utk map tu tuan..