Friday, October 04, 2013

KLMBH Hash 228 ~ Putrajaya

Tempat :  Taman Ekuestrian, Putrajaya 
Jarak :  26km (Jarak peribadi 23km lepas cilok)
Hares :  Mark Shine, Conrad Fawcett, Max Dickinson, Lloyd Laughlin, Steve Thomas, Ronan Jezequel

Selain Taman Cabaran Putrajaya, ada beberapa denai lain lagi yang boleh dibuat berkayuh rentas desa (XC).  Antaranya, Taman Wetland.  Baru saja di lawati 2 minggu lepas.  Selain itu ada lagi.  Sudah dengar bermacam cerita cuma tak tau ke mana nak diterjah.  Bila KLMBH buat hash di Putrajaya, satu peluang baik terbuka.  Aku pergi dengan anakku, Faris dan jiranku, Anuar.  Akan berjumpa di sana kawan-kawan siput turbo dari BBS- Jonz, RJ, Khalid, Miao, Fazlee dan JoeLagenda.

Bersiap-siap...
Kayuhan bermula di Taman Ekuestrian.  Aku sampai di sana hampir jam 9.00 pagi.  Parkir sudah hampir penuh.  Kereta yang mengendong basikal masih menderu masuk.  Meriah dan terkejut lagi terecenganglahlah kuda-kuda di situ melihatkan kuda besi, aluminum, carbon, titanium dan seumpama berkeliaran di situ. Pengayuh dari pelbagai latar rupa...

Jam 0915, teriakan Mark Shine selaku kepala gerombolan hares (hares adalah mereka yang menyediakan laluan untuk hari itu) memanggil semua berkumpul.  Taklimat kayuhan akan diberikan.  Shiny (nama manja beliau)
Shiny memberikan taklimat.  Ford Ranger Scott Roberts jadi mangsa.
memaklumkan maklumat-maklumat penting berkenaan laluan short dan long.  Jarak, tandaan kertas, peringatan keselamatan dan seumpama.  Pengayuh juga diperingatkan dengan bukit dan pendakian curam yang bakal dihadap, anjing-anjing yang ramah-tamah dan ular tedung hitam yang mungkin ditemui.  Huh!

0930 teriakan tradisi memulakan hash dilaungkan.  ON ON.  Gerombolan kayuhan long dilepaskan dahulu.  Berpusu basikal dan pengayuh keluar ikut pintu pagar kemudian terus membelok masuk ke denai sempit selari dengan pagar Taman Ekuestrian.  Laluan berakhir dengan cerun pendek kemudian berputar ke bwah lebuh raya dan memasuki kawasan belukar.  Laluan lebar dengan pokok-pokok renek di kiri kanan.  Kayuhan mode santai di jalan rata.  Sekonyong ada kelompokan di hadapan.  Longkang yang dihubungi titian papan lapis menyebabkan ramai yang seriau dan lebih selesa turun dan tolak.  Yang lebih membara semangat turn ke longkang di sebelah kiri dan berkayuh selamba untuk naik semula di seberang.


Pemisah Long dan Short
Ketemu simpang pertama.  Kertas jalur dan kertas carik bertabur membelok ke kanan. Naik ke atas jambatan yang dihujungnya ada gerbang.  Pada gerbang kiri tertempel KLBH Short.  Di kanan pula KLMBH Long.  Anda pilih laluan anda!

Titian usang?  Atau lalauan longkang?
Aku pilih laluan kanan.  Faris, Anuar dan geng siput turbo sudah ke hadapan.  Aku tercicir kerana aku perlahan dan juga sekejap-sekejap berhenti mengambil gambar.  Jalan berbatu halus putih terhampar di dalam kebun kelapa sawit.  Ramai pengayuh di hadapan yang galak berkayuh ikut jalan estet.  Sampai di selekoh, ramai yang meneruskan kayuhan tanpa memerhati yang kertas mengarah masuk ke denai yang selari dengan trek ERL.  Denai sempit agak semak tetapi masih boleh dikayuh.  Mujur laluannya redup.  Pengayuh yang di belakang aku ada yang mengikut.  Denai ERL tamat di bawah jejantas.  Berputar di situ sekejap mencari tandaan kertas.  Lepas terhegeh-hegeh akhirnya terjumpa kertas.  Laluan bersambung dengan mini tar kampung yang kemudian bersambung pula dengan jalan Kajang - Dengkil.

Laluan mengarah ke kiri.  Selepas 300m, menyeberang jalan masuk ke jalan tanah.  Ada kawasan kuari luas di situ.  Sebaik masuk disambut dengan sorakan anjing-anjing nakal.  Mula-mula seekor.  Tabiat anjing ni, bila sekor mula menyalak yang lain akan menyahut.  Bukan takat ikut bersalak, beramai menerpa ke jalan bagai mahu menggigit pengayuh-pengayuh yang lalu.  Tak padan dengan kecik, garang bukan main datang mengacah-acah.  Aku buat acuh-tak-acuh saja dengan usikan anjing.

Kayuhan berlangsung di atas jalan mini tar yang berlari di sepanjang jalan Kajang - Dengkil sehingga berjumpa sungai.  Kertas tandaan berserakan dan penanda untuk short kembali kelihatan.  Sekonyong dari kiri muncul pengayuh-pengayuh short.  Meriah dengan pengayuh-pengayuh kecil di bawah jagaan ayah ibu masing-masing.  Kebanyakan anak-anak orang putih.

Jalan tar mengikut sungai.  Kayuhan tenang dan santai di kejutkan dengan kemunculan Victor, pengayuh veteran dengan baju dan seluar putihnya yang berpatah balik.  Aku tanya kenapa?  Dia kata kertas tak ada.  Aku teruskan kayuhan sambil mata melingas mencari kertas racik untuk long.  memang tak ada.  Naluri mengatakan teruskan kayuhan.  Lalu aku teruskan sehingga berjumpa simpang.  Laluan short membelok ke kanan.  Aku ikut belok kanan dan ternampak tandaan bulatan kertas racik putih di rumput.  OK, sekurangnya pasti laluan betul.  Tapi, tandaan kertas seterusnya untuk long tidak kelihatan.  Ada beberapa cebisan di sana sini tetapi tidak cukup meyakinkan.  Untuk menjadikan kisah lebih rumit ada 3 lauan di situ.  Ke kiri, denai sempit sepanjang sungai. Terus jalan tar kampung.  Ke kanan juga denai tebing sungai.

Anuar dan Lan
Termenung sekejap aku.  Sudahnya aku ambil laluan terus.  Anuar dan Lan ikut aku bersama ramai yang lain.  Kemudian bertemu simpang jalan tanah merah di sebelah kiri.  Kertas tandaan long jelas berserakan di situ.  SAH.  Itulah jalannnya.  Dari kejauhan sudah nampak bala menanti.  Kawasan berbukit yang gondol.  Adussss...

Aku masuk ke situ.  Memang terasa yakin sebab kertas jelas kelihatan.  Dalam 100m dari jalan tar, ada pondok dan simpang kiri.  Bertemu Victor sekali lagi di situ.  Entah dari ceruk mana dia datang.  Aku berhenti sekejap menanti Lan dengan Anuar sampai.  Lat tak lama nampaklah 2 sahabat itu berkayuh beriringan.  Bertiga kami kerabat laluan tanah merah di bawah sinaran mentari. 

Gondol dan terik...
Jalan tanah merah bertemu dengan Jalan Tok Empat Rashid.  Kemudian pendakian di teruskan lagi. Sayup nampak bukit-bukit di hadapan.  Satu pendakian panjang dalam 200m membawa ke paras 110M.  Membelok ke kiri dan melandai sebentar sebelum menyambung deraan mendaki.  Ada yang berhenti sebentar bila berjumpa sedikit teduhan.  Memang teduhan sesuatu yang mahal di situ.  Jurus kayuhan Tekkora aku amalkan.  Berdikit-dikit melepasi beberapa pengayuh lain.  Aku pintas RJ dan Jonz yang santai berpimpinan dengan kuda masing-masing.

Matahari makin panas.  Kecuraman beransur kurang dan puncak dihampiri.  Denai ke arah kiri dan aku terus berkayuh.  Ternampak Faris sedang lepak sebelum turun melorot ikut tebing yang agak curam dengan batuan longgar.  Aku sesah turun bagai menuntut piala setelah berjerih mendaki tadi. 

Ada menara pemancar di situ dengan sedikit pohon rimbun yang memberikan teduhan yang sangat berharga.  Kawan-kawanpun ramai.  Susah untuk menolak pelawaan untuk berhenti sebentar melepaskan lelah.  Ah...legaaaaa.  Dapat berteduh dan minum 100plus dan berfoto-foto.  Mana boleh asyik ambik gambar orang saja.

Ada tempat teduh...Legaaa.
Geng siput turbo bergabung kembali.  Anak dan ayah yang terpisah bersatu semula.  Kayuhan diteruskan.  Laluan menurun.  Curam dengan batu-batu longgar dan tanah gembur.  Seksyen pertama dapat diharung dengan jaya.  Laluan melibas dengan switchback ketat ke kiri.  Aku terbabas.  Cepat-cepat aku lambai pada yang di belakang yang laluan ikut switchback ke kiri.  Selamat mereka termasuk Faris.

Tempat aku tergolek.  Pengayuh berbaju putih itulah Victor.
Masuk seksyen kedua.  Cerun makin curam dengan batu makin banyak.  Aku gagahi turun.  Basikal mula goyang. Tayar tidak mencengkam.  Mungkin sebab terlebih keras.  2.35 di hadapanpun tidak menggigit. Akibatnya, tergolek aku ke dalam semak.  RIDER DOWNNNNN.  Sedang aku terhegeh-hegeh bangkit dari semak dan angkat basikal, CheTa golek turun dengan selamba.  Berlagak la tu...Aku terpaksa akur berpimpinan dengan Sang Bara menuruni baki cerun.

Ingatkan sudah habis, ada satu lagi seksyen yang selamat dituruni yang membawa kepada lorong sempit di dalam belukar.  Tebing curam off camber membuatkan berkayuh masuk hampir mustahil.  Beramai memikul basikal dalam jarak 20 meter dan keluar di sebelah sana.  Berjumpa denai lebar kelapa sawit.

Kayuhan di sambung.  Di depan riuh rendah dengan ramai pengayuh.  Dan sekelompok besar sedang menuju ke arah aku.  Aikkkk???  Bila bertembung mereka melaung "You are heading the wrong way!!!".  Aku dah agak dah.  Terkedu sekejap sambil terhegeh-hegeh kayuh naik bukit.  Tau-tau sampai ke atas.

Menung sekejap aku.  Berfikir-fikir apa nak buat.  Ramai jugak yang serupa aku tersalah arah.  Ada yang ambil keputusan untuk berpatah balik.  Bila terbayang bukit cerun yang aku tergolek tadi dan bayangan indah menolak basikal naik balik, aku batalkan saja pilihan itu.  Laluan sudah bertanda.  Kertas masih ada.  Baik aku ikut saja laluan menongkah arus.  Geng siput dan Faris tidak kelihatan.  Aku ambil keputusan teruskan kayuhan seorang diri.

Persimpangan dilemma...
Kembali menjamah laluan kelapa sawit yang membawa anda ke satu kawasan lapang bersempadan kebun getah.  Ada laluan tar ke kiri.  Laluan tar masuk ke dalam kampung melalui beberapa buah rumah kampung.  Orang kampung pandang memandang.  Pengayuh yang di depan sudah terbabas sampai ke simpang jalan padahal sebelum jambatan ada simpang kiri ke denai kecil.  Aku melaung panggil mereka berpatah balik.  Kayuh masuk ke denai sempit yang lalu sepanjang sungai.  Denai kecil membawa kembali ke simpang yang ada check.  Simpang dilemma yang mula-mula ditempuh.  Rujuk perenggan di atas.

Lama aku lepak di situ.  Sempat beli aiskrim dari penjual bermotor yang kebetulan lalu.  Ada budak kampung yang mengayuh basikal fixie datang meneman aku bersembang-sembang.  Dia macam berminat nak ikut berkayuh hash.  Aku tunggu di situ dengan harapan geng siput dan Faris juga akan lalu di situ.  Sekian lama menunggu merek tak juga muncul.

Aku ambil keputusan untuk ikut jalan tar sekali lagi.  Jalan bernama Jln Dato Dagang Mondok.  Memang kali itu ternampak kertas penanda laluan panjang selepas simpang.  Mujur semasa masuk tadi tidak ternampak kertas-kertas itu.   kalau tidak jadilah kayuhan aku kayuhan hash terpendek.

Laluan mengikut jalan mini tar melalui kampung.  Lebih kurang 600M dari simpang denai tadi, laluan masuk ke jalan tanah.  Di kiri kanan laluan semak dan pokok semalu besar tumbuh sepanjang jalan.  Ada yang rantingnya terjulur di atas jalan.  Beberapa kali kepala aku dilibas ranting berduri.  Mujur ada helmet.

Laluan itu bertemu denga jalan tar.  Rupanya berdekatan dengan simpang laluan long bertemu dengan short.  Short akan ikut kiri manakala long belok kanan dan terus belok kiri ke bawah jambatan.  Hare sudah menampal notis HOME untuk panduan pengayuh. 

Menyusur masuk ke bawah jambatan dan meluncur pergi ikut laluan landai sepanjang sungai.  Bertemu satu lagi jalan tar yang tak diketahui nama.  Papan tanda Kampung Jenderam tersergam.  Terus lintas jalan dan sambung berkayuh melalui kampung orang asli Jenderam.  Anak-anak orang asli beratur di tepi jalan dan bersorak bila aku lalu.  Di depan aku ada seorang mat salleh.  Tangan mereka dihulur untuk bersalam.  Mat salleh di depan menghulur dan bertepuk tangan dengan anak-anak orang asal.  Suka mereka dapat buat macam tu.  Aku ikut sama meraikan mereka.  Mat salleh di depan sempat komen "I feel like a real racer.".

Laluan bertemu jambatan yang membawa aku melintas sungai.  Kemudian bertemu kembali dengan jambatan yang mula-mula memisahkan long dengan short.  Selepas jambatan, bertemu simpang sama ada untuk meneruskan kayuhan ikut laluan sepatutnya atau jalan pintas balik ke taman Ekuestrian.  Mat salleh tadi memilih untuk meneruskan kayuhan.  Aku sudah dihinggap kuman malas, memilih untuk ambil jalan pintas, jalan waktu datang pagi tadi, untuk balik ke Taman Ekuestrian.  Mat salleh perasan aku cilok.  Dia jerit "Mau ke mana?".  Terperanjat aku.  Aku malas nak jawab.  Aku kayuh terus untuk balik ke Taman Ekuestrian.  Belum jam 12.00 tengahari plet nombor aku sudah diserahkan kembali kepada urusetia.  Tanda tangan keluar dalam buku daftar.

Kunci kereta ada dengan Faris.  Terpaksa tunggu dia sampai.  Hampir jam 12.30 dia sampai balik dengan kawan geng siput turbo.  Bila mereka bercerita balik yang laluan melalui kawasan empangan dan ada seksyen turun tangga, aku rasa sedikit terkilan dan menyesal sebab membiarkan kuman malas menjangkiti aku.

Untuk aku selesailah jarak 23KM.  Laluan long kali itu tidak terlalu banyak kerenah.  Cuma faktor panas agak kurang memberansangkan.  Mungkin kalau pokok-pokok sudah besar, keadaan akan teduh sikit.  Entah bila agaknya.  Kawan-kawan siput turbo sudah bersuara untuk ulang kayuh di situ.  Hmmmm...

1 comment:

sevencause said...

bro bleh dapat gpx file ?