Tuesday, September 24, 2013

Memahami Jenis-jenis Pengayuh Freeride

Dalam disiplin basikal MTB ada Cross Country, All Mountain/ Trail, Freeride dan Downhill.  Kategori Dirt Jump dengan Trail tak tahu pulak nak letak celah mana.

Freeride itu sendiri agak luas.  Kita cuba untuk melihat  pecahan kepada disiplin FREERIDE ni pulak.

Kategori 1 - ialah mereka yang berkayuh pada denai yang bersifat teknikal.  Penuh dengan belokan tajam, cerun, lompatan dan seumpana.  Tak cukup dengan cabaran di atas tanah, ditokok lagi  dengan struktur binaan untuk menambahkan lagi cabaran berkayuh.  Antara struktur yang di bina ialah tanjakan (ramp), titian keding (skinny), jongkang jongket (teeter totter), dinding (wall ride) dan bermacam lagilah.  Semua dibuat untuk menambahkan lagi cabaran semasa mengayuh.  Untuk pengayuh kategori ini, kelajuan bukan pencapaian utama.  Walaupun laju, akan tetapi yang menjadi sasaran ialah kesempurnaan dalam mengatasi cabaran di dalam denai dan melakukan gerakan.  Mereka ini umpama gimnas yang mengkagumkan penonton dengan gerakan-gerakan gimnastik mereka.  Kalau boleh kita katakan begitu. 

Antara medan FREERIDE yang sangat terkenal ialah Northshore, di Vancouver, Canada.  Kategori ini adalah pengayuh tegar dengan kemahiran tinggi.  Sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang untuk membina struktur-struktur demi kepuasan.

Kategori 2 - Freerider kedua ialah mereka yang sentiasa sibuk.  Banyak kerja dan tiada banyak kesempatan untuk berkayuh walau hati sangat teringin.  Jadi, sebarang kesempatan masa yang "free", mereka akan ambil kesempatan untuk berkayuh. Kayuh bila-bila free.

Kategori 3
- Freerider kategori 3 ini agak luarbiasa dan menjengkelkan.  Mereka hanya mahukan yang "free" sahaja tanpa mahu mengeluarkan belanja sedikitpun.  Jenis freerider sebegini perlu dihindar.  Mereka ini mahukan yang terbaik tanpa mahu mengeluarkan belanja ataupun sumbangan.  Denai kegemaran ialah denai yang percuma dan tidak mengenakan sebarang bayaran.  Kalau ada denai yang mengenakan bayaran, mereka akan berikhtiar untuk mencilok dan mengelak daripada membayar.  Satu kejayaan besar kalau kalau mereka berjaya mencilok daripada membayar, hatta walau cuma RM3.00. 

Kalau ada jamboree, mereka akan ikut serta tanpa mendaftar.  Juga dikenali dengan gelaran "ghost rider".  Alasan mereka, "Alah...aku ikut kayuh saja, bukan kebulor dengan air dan pisang tuuuu...".  Ayat penghias bibir yang dimuncungkan itu kalau dipenuhi tidak mengapalah juga.  Freerider kategori ini lazimnya kurang sifat malu dan segan.  Yalah, kalau malu dan segan, takkan jadi freerider macam ni.  Bergantung kepada tahap pengawasan penganjur, freerider begini akan mengambil kesempatan semaksima mungkin.  Bermula dengan air dan pisang di feeding station menjangkau ke jamuan makan peserta jamboree.  Tak cukup dengan jamuan untuk diri sendiri, dibawa sekali anak beranak ikut sama menjamu selera.  Parah!  Lagi parah sehingga peserta yang sah yang membayar yuran melepek tak dapat makan.

Tidak cukup dengan Freeride wang ringgit, mereka juga freeride keringat, darah dan air mata.  Hanya mahu denai yang bagus, terurus rapi tetapi tidak sekali mahu membantu mengurus dan menyelenggara denai.  Jangan harap kalau mereka akan sukarela bersama membanting tulang membersih dan menyangkul untuk membina denai kalau panggilan kerja sukarela dibuat.  Oh, mereka bukan tiada sumbangan langsung.  Adaaaaa... bila masuk bab mengkritik, mereka akan segera naik ke podium dan menjadi juara.  Itu tak kena, ini tak betul.  Yuran mahal tak patut.  Patut semua free saja. 

Semua yang dinyatakan dilengkapkan lagi dengan sikap kurang bertanggungjawab bila berada di dalam denai.  Sampah dibuang merata walau cuma secoet pembungkus pawagel.  Botol air dicampak sewenang.  Tiub bocor dikalungkan ke pokok.  Mungkin mahu memberitahu pada sang monyet yang tiub itu boleh diberi pada isteri atau teman wanita mereka sebagai perhiasan.  

Ya tuan, denai yang free tuan sedap-sedap kayuh itu tidak dikenakan bayaran kerana ada orang lain yang sudah "membayarkan" untuk anda.  Setidaknya, sedari dan akui hakikat ini dan hargai "pembayaran" yang dibuat oleh orang lain...

*Sila baca posting ini dengan teliti.  Ia sama sekali tidak bertujuan untuk menghina dan memperkecilkan pengayuh FREERIDE.  Sekadar satu cara satira menegur perilaku tidak molek di kalangan pengayuh MTB.  Kalau ada dari kategori 1 dan 2 yang tersinggung, saya mohon maaf.  Kalau ada dari kategori 3 yang tersinggung...maafkanlah diri anda.  Cubalah lakukan perubahan supaya anda terkeluar daripada kategori 3.

1 comment:

Joe Radzif said...

Terbaik Tuan BC!!!