Friday, September 27, 2013

Mengkacuk Kaset SRAM PG990 Dengan PG980

Kaset antara komponen yang cepat haus.  Ia termasuk dalam komponen kerja berat.  Kadar kehausan pula tidak sekata.  Kaset paling kecil dan kedua kecil paling cepat haus kerana bebanan yang ditanggung.  Bila kaset haus, kayuhan terenjat disebabkan rantai mula melompat.

Kehausan perlu diganti.  Kalau diganti seketul kaset, terasa rugi pula memandangkan kaset yang haus hanyalah kepingan yang paling kecil dan kedua kecil.  Kepingan lain masih belum haus dan masih boleh dipakai.

Bandingan komponen PG990 dengan PG980
Terlintas di hati untuk mencuba menggantikan kepingan yang haus sahaja.  Kaset yang menjadi bahan ujian kacukan kaset ini ialah kaset SRAM PG990 dan SRAM PG980.

Kita akan cuba mengkacukkan kaset 13T dan 11T dari PG980 dengan kaset PG990.



Komponen yang serasi dikenalpasti
Setelah diamati, didapati kepingan yang perlu diganti (13T dan kepingan 11T) serasi di antara kedua-dua model kaset dari SRAM.  Gugusan lain tidak serasi kerana rekabentuk yang berbeza.  PG990 mempunyai rekabentuk spider dengan 7 kepingan manakala PG980 mempunyai rekabentuk gugusan 3 dan 4 keping.

Maka, hanya kepingan 13T dan 11T dari PG980 yang akan dikacuk dengan PG990.  Sedang elok pula sebab 2 keping itu yang haus dan perlu diganti.


Hasil kacukan.  SRAM PG985 (hantam sajalah)
Maka kepingan 13T dan 11T dari PG980 dikacukkanlah dengan PG990.  Dari pandangan mata kasar nampak pemadanan yang sesuai.  Sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat, elok jika kaset kacukan ini (kita panggil PG985lah, suka hati saja...) diuji terlebih dahulu.

Setelah diuji nyata kaset kacukan ini berfungsi dengan baik seperti mana kaset yang asal.  Kacukan berjaya.  Baki komponen PG980 boleh disimpan untuk kegunaan masa depan.  Maklumlah sekarang komponen 9speed dah semakin susah didapati.  Kenalah berhemat.

Wednesday, September 25, 2013

S.O.S - Meminyak Rantai Kaedah Kecemasan!


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman luas dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.

Cabaran berkayuh di denai basah dan berlumpur ialah rantai menjadi berselepat dan bersalut dengan tanah, selut dan lumpur.  Ini membawa kepada masalah kekejangan rantai (chainsuck).  Anda pernah kena?  Rantai tersekat dan tidak berputar lancar menyebabkan kayuhan tergendala.  Ini berlaku sebab tanah, selut dan lumpur yang berselepat menyalut rantai dan menyebabkan plet rantai dan pin tidak dapat bergerak bebas. Saya sendiri pernah mengalami masalah yang sama.  Dan tiada persediaan membawa minyak pelincir semasa berkayuh memburukkan keadaan.  Mujur ada kaedah rawatan kecemasan bagi masalah ini sekiranya kejadian berlaku di dalam ladang kelapa sawit.
Bila ini berlaku, rantai perlu dicuci dan diminyak.  Kalau ada bawa minyak pelincir rantai, mudahlah kerja.  Bagaimana kalau minyak tidak dibawa?
Kalau denai yang dikayuh di dalam kebun kelapa sawit, anda bernasib baik.  Buah kelapa sawit boleh menjadi pembersih rantai sekaligus meminyakkannnya.  Rantai kembali bersih dan berminyak selepas dirawat.  Bolehlah anda meneruskan kayuhan setidak-tidaknya untuk keluar dari denai.
Bagaimana caranya?
Buah kelapa sawit ( Elaies guineesi) masak
 Apa yang diperlukan hanyalah sebiji buah kelapa sawit masak.  Biasa kalau di kebun kelapa sawit, buah ini banyak berserakan di tanah.  Hanya sebiji diperlukan.  Lebih afdal kalau diminta izin dulu daripada empunya ladang.



SOS - Mencuci dan Meminyakkan Rantai
Langkah Tindakan
1
Rantai berkerak


Sandarkan basikal atau terlentangkan basikal.
Tukar gear supaya rantai berada pada keset tengah.

Tengoklah rupa rantai yang kering dan berkerak dengan tanah dan lumpur tu.
2
Lekapkan buah kelapa sawit pada rantai di sebelah atas pulley bawah.  Putarkan rantai ke belakang supaya rantai menyagat buah kelapa sawit.  Plet rantai akan memotong buah kelapa sawit.  Minyak olein di dalam kelapa sawit akan membasahkan rantai.  Sabut kelapa sawit akan bertindak sebagai berus untuk membersihkan rantai.  Terus memutar rantai sehingga rantai bersih dan berminyak.
3

Lekapkan buah kelapa sawit tadi pada pulley bawah pula.  Putarkan rantai supaya gerigi pulley akan menyagat buah kelapa.  Kesannya sama seperti di langkah 2. 
4
Lekapkan buah kelapa sawit tadi pada pulley atas pula.  Putarkan rantai supaya gerigi pulley akan menyagat buah kelapa.  Kesannya sama seperti di langkah 2.
5
Selesai...Perhatikan rantai dan pulley yang sudah dibersihkan dan diminyakkan.

Bolehlah anda meneruskan kayuhan...


Lihat pada bahagian kelapa sawit yang disagat oleh rantai dan pulley.  Nampak bahagian bersabut?  Nampak minyak kelapa sawit?

Semoga panduan ringkas ini berguna dan dapat membantu anda. Selamat mencuba!!!

Tuesday, September 24, 2013

Memahami Jenis-jenis Pengayuh Freeride

Dalam disiplin basikal MTB ada Cross Country, All Mountain/ Trail, Freeride dan Downhill.  Kategori Dirt Jump dengan Trail tak tahu pulak nak letak celah mana.

Freeride itu sendiri agak luas.  Kita cuba untuk melihat  pecahan kepada disiplin FREERIDE ni pulak.

Kategori 1 - ialah mereka yang berkayuh pada denai yang bersifat teknikal.  Penuh dengan belokan tajam, cerun, lompatan dan seumpana.  Tak cukup dengan cabaran di atas tanah, ditokok lagi  dengan struktur binaan untuk menambahkan lagi cabaran berkayuh.  Antara struktur yang di bina ialah tanjakan (ramp), titian keding (skinny), jongkang jongket (teeter totter), dinding (wall ride) dan bermacam lagilah.  Semua dibuat untuk menambahkan lagi cabaran semasa mengayuh.  Untuk pengayuh kategori ini, kelajuan bukan pencapaian utama.  Walaupun laju, akan tetapi yang menjadi sasaran ialah kesempurnaan dalam mengatasi cabaran di dalam denai dan melakukan gerakan.  Mereka ini umpama gimnas yang mengkagumkan penonton dengan gerakan-gerakan gimnastik mereka.  Kalau boleh kita katakan begitu. 

Antara medan FREERIDE yang sangat terkenal ialah Northshore, di Vancouver, Canada.  Kategori ini adalah pengayuh tegar dengan kemahiran tinggi.  Sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang untuk membina struktur-struktur demi kepuasan.

Kategori 2 - Freerider kedua ialah mereka yang sentiasa sibuk.  Banyak kerja dan tiada banyak kesempatan untuk berkayuh walau hati sangat teringin.  Jadi, sebarang kesempatan masa yang "free", mereka akan ambil kesempatan untuk berkayuh. Kayuh bila-bila free.

Kategori 3
- Freerider kategori 3 ini agak luarbiasa dan menjengkelkan.  Mereka hanya mahukan yang "free" sahaja tanpa mahu mengeluarkan belanja sedikitpun.  Jenis freerider sebegini perlu dihindar.  Mereka ini mahukan yang terbaik tanpa mahu mengeluarkan belanja ataupun sumbangan.  Denai kegemaran ialah denai yang percuma dan tidak mengenakan sebarang bayaran.  Kalau ada denai yang mengenakan bayaran, mereka akan berikhtiar untuk mencilok dan mengelak daripada membayar.  Satu kejayaan besar kalau kalau mereka berjaya mencilok daripada membayar, hatta walau cuma RM3.00. 

Kalau ada jamboree, mereka akan ikut serta tanpa mendaftar.  Juga dikenali dengan gelaran "ghost rider".  Alasan mereka, "Alah...aku ikut kayuh saja, bukan kebulor dengan air dan pisang tuuuu...".  Ayat penghias bibir yang dimuncungkan itu kalau dipenuhi tidak mengapalah juga.  Freerider kategori ini lazimnya kurang sifat malu dan segan.  Yalah, kalau malu dan segan, takkan jadi freerider macam ni.  Bergantung kepada tahap pengawasan penganjur, freerider begini akan mengambil kesempatan semaksima mungkin.  Bermula dengan air dan pisang di feeding station menjangkau ke jamuan makan peserta jamboree.  Tak cukup dengan jamuan untuk diri sendiri, dibawa sekali anak beranak ikut sama menjamu selera.  Parah!  Lagi parah sehingga peserta yang sah yang membayar yuran melepek tak dapat makan.

Tidak cukup dengan Freeride wang ringgit, mereka juga freeride keringat, darah dan air mata.  Hanya mahu denai yang bagus, terurus rapi tetapi tidak sekali mahu membantu mengurus dan menyelenggara denai.  Jangan harap kalau mereka akan sukarela bersama membanting tulang membersih dan menyangkul untuk membina denai kalau panggilan kerja sukarela dibuat.  Oh, mereka bukan tiada sumbangan langsung.  Adaaaaa... bila masuk bab mengkritik, mereka akan segera naik ke podium dan menjadi juara.  Itu tak kena, ini tak betul.  Yuran mahal tak patut.  Patut semua free saja. 

Semua yang dinyatakan dilengkapkan lagi dengan sikap kurang bertanggungjawab bila berada di dalam denai.  Sampah dibuang merata walau cuma secoet pembungkus pawagel.  Botol air dicampak sewenang.  Tiub bocor dikalungkan ke pokok.  Mungkin mahu memberitahu pada sang monyet yang tiub itu boleh diberi pada isteri atau teman wanita mereka sebagai perhiasan.  

Ya tuan, denai yang free tuan sedap-sedap kayuh itu tidak dikenakan bayaran kerana ada orang lain yang sudah "membayarkan" untuk anda.  Setidaknya, sedari dan akui hakikat ini dan hargai "pembayaran" yang dibuat oleh orang lain...

*Sila baca posting ini dengan teliti.  Ia sama sekali tidak bertujuan untuk menghina dan memperkecilkan pengayuh FREERIDE.  Sekadar satu cara satira menegur perilaku tidak molek di kalangan pengayuh MTB.  Kalau ada dari kategori 1 dan 2 yang tersinggung, saya mohon maaf.  Kalau ada dari kategori 3 yang tersinggung...maafkanlah diri anda.  Cubalah lakukan perubahan supaya anda terkeluar daripada kategori 3.

Wednesday, September 18, 2013

Kole Kelolo dan Soket 26mm

Sekian lama blog ini kontang daripada posting.  Sungguh, aku sendiri sangat kontang.  Kontang dengan ilham penulisan.  Kontang dengan masa setelah pembantu rumah yang telah berkhidmat selama 13 tahun mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung.

Jadi apa kena mengena tajuk kole dan soket ini dengan kekontangan yang melanda?  

Kole dan soket...
Kehadiran 2 objek ini bagai petanda.  Bagai pemangkin membangkitkan kembali ilham yang sekian lama tidur lena bungkam.  Hadirnya bagai simbolisme.  Kole sebagai bekas menahan dan menakung limpahan ilham.  Soket umpama satu penzahiran kepada upaya membuka nat yang ketat melekat.  bagai merongkai keseliratan dan keserabutan pemikiran...

Kole bukan sebarang kole.  Kalau setakat kole biasa, berlambak boleh jumpa di kedai dan pasaraya.  Ini kole istimewa, datang tanpa di sangka.

Ceritanya, siang tadi dapat SMS dari Akmal Hizam, seorang penggerek dan juga empunya blog Akmal Bikepark,

SMSnya;
"Salaam.  Tengahari ni ada apa plan?  If nothing yet, can we meet up?  I have something for you".

Saspen.  Apa something tu?  Tengahari memang ada plan.  Mau jumpa Tengku Zul (Zulsaturn) untuk ambil soket hex 26mm.  (Dah mula nampak kaitannya?).  Janji dengan Zul pukul 12.00.  Dah tembak mesej Whatsapp ke Zul untuk jumpa dia.  Belum berjawab.  Lagi 2 minit jam 12.00, Zul confirm.  Dengan segera SMS Akmal untuk berjumpa di Concourse jam 12.30.

Mujur aku berulang alik kerja dengan motor.  Walau hanya sebuah kapcai, tetapi untuk berdesup pantas di KL, itulah kenderaan terbaik. Sekonyong aku sudah berada di tempat yang dijanjikan.  Soket hex 26mm berpindah tangan.  

Soket hex 6 point 26mm
Soket itu sebenarnya dibelikan oleh RJ Sutan.  Baik sungguh hati kawan-kawan.  Dia ternampak pesanan di chatbox Bicyclebuysell yang aku sedang mencari soket hex 26mm untuk mengerjakan fork Fox aku yang sudah meleleh minyak.  Payah sungguh nak jumpa sebab saiznya yang agak besar.  Mujur RJ jenis insan berhati mulia.  Bila terjumpa di satu kedai, dia tolong belikan.  Dan Zul tolong pula untuk sampaikan ke tangan aku.  Budi baik kalian aku sanjung tinggi.  Terima kasih!

Selesai urusan dengan Zul.  Aku vrooom dengan pantas ke KLCC pula.  Mudah saja mencari parkir untuk motor.  Langsung aku ke concourse.  Jadi jakun sekejap melihat gedung-gedung barangan berjenama di KLCC.  Nama saja duduk di KL, jarang sekali aku ke KLCC.  Akmal sudah sampai.  Tepat jam 12.30.  Selepas bersalaman dan bertanya khabar, satu beg dihulur.

"Apa di dalam ni?, aku tanya.
"Tengoklah sendiri", jawab Akmal selamba.
 
IT'S A GREAT DAY TO FIX A BIKE
Biasala kalau barang dalam bungkus akan dirasa-rasa, dipicit-picit.  Keras.  Aku buka bungkusan kertas styrofoam.  Kole!  Tapi bukan sebarang kole, kole dengan logo PARKTOOL.  Oh, menarik sungguh.  Hati segera tertawan.  Tertera cetakan "IT'S A GREAT DAY TO FIX A BIKE".  Kreatif dan memang sesuai untuk kaki pomen basikal macam aku.  Senyum lebar terukir di wajahku.

Terima kasih Akmal di atas ingatan dan susah payah memberikan aku kole itu!  Kole akan menjadi teman bila aku pomen-pomenan.  Kopi-O tentunya akan rasa lebih sedap kalau bancuh dalam kole ini.