Ini adalah Bahagian akhir dari 3 bahagian dalam siri Jamboree Sudah Maree. Satu usaha kecil untuk menerangkan perihal jamboree kepada pengayuh-pengayuh MTB. Apa yang ternukil adalah pendapat dan pandangan peribadi Penulis. Mungkin betul, mungkin salah. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. |
Bahagian 1 telah menyentuh tentang pengenalan kepada jamboree MTB. Juga disorot sedikit panduan memilih jamboree yang mana satu untuk disertai. Rujuk
Jamboree Sudah Maree untuk artikel penuh. Untuk bahagian 2, kita telah bincangkan tindakan-tindakan yang perlu untuk menyertai jamboree. Boleh rujuk
di sini untuk artikel penuh.
Untuk bahagian akhir, kita akan menyorot:-
- Tindakan yang perlu diambil beberapa hari sebelum jamboree
- Tindakan yang perlu diambil sehari sebelum jamboree (D-day - 1)
- Tindakan yang perlu diambil pada hari jamboree
- Pasca jamboree
Sayugia diingatkan, panduan yang saya turunkan di sini lebih sesuai untuk pengayuh-pengayuh biasa saja. Jika anda pelumba handalan, mungkin sesetengahnya tidak sesuai.
SEMINGGU SEBELUM JAMBOREE
Sengaja saya letakkan seminggu sebelum jamboree untuk memudahkan penceritaan. Kurang lebih dalam tempoh ini, tidak banyak yang perlu dilakukan. Cuma perlu rajin-rajin menjengah ke blog/laman web penganjur untuk maklumat-maklumat terkini. Biasa terjadi perkara penting seperti penundaan tarikh jamboree, perubahan tempat permulaan dan seumpama berlaku. Jadi, rajin-rajin perhatikan. Sesekali, periksa juga basikal untuk memastikan basikal siap siaga untuk mengharungi cabaran menanti.
Perhatikan maklumat denai yang di pamerkan oleh penganjur. Berapa jarak. Berapa check-point. Berapa feeding/water point. Berapa pendakian dan seumpama. Bila dan di mana cut off point. Maklumat ini akan membantu anda merangka strategi semasa berkayuh.
Perhatikan pengumuman untuk tarikh, masa dan tempat bagi penyerahan beg ole-ole (goodie bag). Ambil catatan jika perlu. Jika koordinat GPS diberikan, masukkan koordinat GPS bagi memudahkan pencarian tempat berkenaan.
Sesekali, periksa basikal. Manalah tahu kot ada komponen yang meragam menjelang hampirnya acara. Sempat la nak baiki.
SEHARI SEBELUM JAMBOREE (D-DAY - 1)
Beg Ole-ole (goodie bag)
Hari semakin mendekat. Sudah sampai kepada sehari sebelum jamboree. Perkara besar yang biasa berlaku ialah penyerahan beg ole-ole yang di dalamnya terdapat plet nombor penyertaan. Kebanyakan penganjur mengedarkan beg bermula sehari sebelum acara. Hanya Knight of The Round Table (KOTRT), penganjur Kayuh Lasak, yang memberikan beg ole-ole selepas kayuhan!
Anda boleh...
- mengambil sendiri beg ole-ole anda
Pastikan anda mencatat nombor pendaftaran (biasanya terdapat dalam daftar peserta yang dipamerkan dalam laman web/blog penganjur. Jangan lupa bawa bersama salinan borang pendaftaran dan slip bukti pembayaran.
- mewakilkan orang lain untuk mengambil bagi pihak anda
Mewakilkan orang lain untuk mengambil biasa berlaku kepada orang yang tidak dapat hadir sendiri atau bila pendaftaran dibuat secara kumpulan atau sebab-sebab lain. Jika anda mewakilkan orang lain untuk mengambilnya, maklumkan nombor pendaftaran kepada wakil. Juga serahkan salinan borang pendaftaran dan bukti pembayaran kepada wakil. Tetapkan juga dengan wakil bila dan di mana anda akan mengambil beg daripadanya. Sebagai wakil yang dilantik pula, pastikan anda ada butiran lengkap mereka yang anda wakilkan. Apabila mengambil beg ole-ole, semak untuk memastikan supaya semua beg bagi orang yang anda wakilkan cukup lengkap dan sempurna.
Memasang Nombor Plet
Jika beg ole-ole sudah di tangan, luang sedikit masa untuk memasang nombor plet pada basikal. Ini supaya anda tidak kelam kabut dan terkocoh-kacah pada hari acara.
Perjalanan
Jika tempat acara jauh dan memerlukan perjalanan awal, rancang perjalanan supaya selamat sampai dan pada masa yang sepatutnya.
Keselamatan Basikal
Sudah banyak kali berlaku kecurian basikal sewaktu jamboree dan perlumbaan. Maklumlah, bila beramai begitu, kadang-kadang si tangan panjang tidak melepas peluang. Tingkatkan tahap keselamatan untuk basikal anda. Tambahkan perlindungan tambahan dan ambil langkah keselamatan.
- Untuk yang menginap di hotel, bawa basikal ke bilik hotel. Biasanya, hotel-hotel yang terlibat dengan jamboree, akan membenarkan basikal dibawa masuk ke bilik. Ada juga hotel yang menyediakan tempat simpanan khas untuk basikal.
- Bagi yang menyimpan basikal di dalam kereta, kurangkan minat sang penyamun dengan tidak menampakkan basikal anda. Tutuplah basikal supaya tidak kelihatan.
- Bagi yang terpaksa (kalau boleh elakkan) meninggalkan basikal di rak, sama ada atas bumbung atau gantung belakang, usahalah untuk menambah kunci. Rantaikan semua komponen kritikal - frame, set roda, fork. Memang bukan jaminan seratus peratur, tetapi itu akan lebih menyukarkan sang penyamun melarikan harta kesayangan anda.
Isian Karbo (Carbo Loading)
Jamboree memerlukan banyak tenaga dibakar dan diperah. Anda perlu sediakan bahanapi untuk dibakar keesokan harinya. Untuk makan malam anda, makan makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi. Elakkan makanan pedas supaya perut dan usus tidak memberontak selepas makan atau keesokan harinya.
Bekalan
Dapatkan bekalan untuk dibawa berkayuh. Bekalan yang lazim ialah makanan/gel tenaga. Snek yang boleh memberikan tenaga. Minuman isotonik dan seumpama. Bawa dalam jumlah yang bersesuaian. Anda hendak pergi berkayuh, bukan pergi berkelah.
Taklimat
Satu perkara yang sering diremehkan oleh ramai peserta. Taklimat biasa diberikan pada malam sebelum jamboree atau pada pagi jamboree, sebelum waktu berlepas. Berikan perhatian pada taklimat. Seringkali diperhatikan ramai yang tidak ambil pusing. Akibatnya, terjebak kayuh berpusing-pusing. Hilang arah tujuan sebab tidak pasti apa tandaan. Sama ada kerana sistem pembesar suara yang kurang bagus sehingga apa yang diumumkan tidak berbutir, penyampai kurang persediaan atau sikap tidak ambil pusing peserta. Diharapkan semua pihak berkenaan dapat ambil tindakan untuk mengatasi kekurangan semasa taklimat.
Perkara yang biasa disentuh:-
- Jarak kayuhan
- Check points
- Tandaan laluan - cebisan kertas, riben hitam merah, papan tanda, semburan cat dan seumpama. Ini sangat penting terutama jika laluan adalah laluan popular dan menjadi tumpuan penggiat aktiviti lain seperti hiking, larian dan seumpama. Mungkin ada tandaan-tandaan lain yang boleh mengelirukan. Pastikan anda tahu apa tandaan yang digunakan oleh penganjur.
- Feeding point/water point. Lokasi dan jarak akan dinyatakan. Penting untuk diketahui supaya anda boleh merancang bekalan air/makanan sepanjang kayuhan.
- Prosedur kecemasan dan nombor untuk dihubungi andai berlaku kecemasan. Biasanya, di belakang plet jamboree dicetak dengan nombor untuk dihubungi bila kecemasan.
- Batasan masa. Biasa diberikan had batasan masa (cut off time) untuk check point tertentu. Pastikan anda maklum dengan batasan masa supaya anda tidak diarahkan ke perkara seterusnya...laluan AYAM.
- Laluan AYAM. Satu istilah yang sangat sinonim dengan jamboree. Laluan ayam ialah laluan pintas untuk balik ke tempat permulaan. Laluan ini dibuat untuk mereka yang tak lalu lagi untuk meneruskan jamboree atau mereka yang tidak berjaya memenuhi batasan masa yang ditetapkan.
- Nombor kecemasan. Biasanya nombor kecemasan akan dicetak di belakang nombor plet.
- Syarat-syarat kelayakan untuk cabutan bertuah (jika ada). Berapa pelekat diperlukan untuk layak menyertai cabutan bertuah.
Siapkan Beg dan Peralatan
Malam sebelum tidur, siapkan beg dan peralatan.
- Periksa basikal buat kali terakhir. Minyakkan rantai jika perlu. Angin tayar dipam secukupnya.
- Pastikan peralatan cukup - tuas tayar, tiub gantian, pam, penymbung rantai, pemotong rantai dan tool pelbagai
- Bladder beg/ botol air siap diisi.
- Pakaian mengayuh siap tersedia - jersi, seluar, glove
- Kasut dan stokin diletakkan berhampiran
- Helmet
- Handphone siap dicaj
- Bateri untuk kamera dan GPS siap sedia termasuk bateri tambahan
- Cermin mata untuk perlindungan jangan dilupa.
Jika kereta anda berada di tempat yang selamat, semua barang-barang di atas boleh dimasukkan siap-siap ke dalam kereta. Besok pagi dah tak perlu terburu dan terkocoh-kacah.
Pra-Lelap
Sebelum mata ditutup, ingat-ingatkan laluan untuk ke tempat permulaan. Masukkan koordinat GPS kalau ada. Imbas-imbas kembali aturcara - jam berapa kena berada di sana. Sarapan (jika ada) bermula jam berapa. Taklimat bila dan masa berlepas.
Jangan lupa gosok gigi dan basuh kaki sebelum tidur. Takut nanti terngigau pula. Setkan penggera pada jam atau handphone. Masa bangun perlu ambil kira masa bersiap, masa perjalanan termasuk sekali masa untuk bersarapan. Dah sedia? Baca basmalah dan doa' tidur. Tidurlah...anda perlu rehat dan tidur yang cukup untuk berentap esok.
Satu kebiasaan yang kurang sihat ialah melepak hingga ke dini hari malam sebelum jamboree. Jangan diamalkan. Mudarat diri.
HARI JAMBOREE (D-DAY)
Sudah tiba masanya! Jam/handphone berdering. Anda bingkas menekan snooze..dan sambung tidur. Alaaaa...sekejap saja. Sekejap saja..Dan...jahanam sebab terbabas tidur. Kan dah cakap jangan amal sembang sampai dinihari pada malam sebelum jamboree. AMIK KAUUUUU!!!
Bangun Awal
Bila penggera berdering, bingkas bangun dan melompat dari katil. Berlari dengan pantas dan deras ke bilik air. Luangkan sedikit masa untuk meluangkan usus dan pundi kencing. Gosok gigi, bersih diri.
Bergantung kepada jarak tempat anda bermalam dengan tempat jamboree, anda mungkin boleh solat subuh sebelum bertolak ataupun jika perjalanan perlu awal, rancang untuk solat subuh di perjalanan. Dan...satu peringatan untuk saya dan semua saudara muslim...solat subuh TIDAK BOLEH DIJAMAK ATAU DIQASAR.
Punggah-memunggah
Untuk yang belum memunggah barang keperluan dan basikal ke dalam kereta, ingat tadi kita sebut semua barang dan basikal diletakkan setempat? Inilah masanya mendapat faedahnya. Mudah saja mencapai semua barang untuk dimuatkan ke dalam kereta. Kebarangkalian untuk barang tercicir dikurangkan.
Bila sudah siap punggah masuk, semak sepintas untuk memastikan semua barang ada. Masuk kereta, baca doa naik kenderaan dan majulah ke destinasi anda.
Sarapan
Makanan penting pembuka hari. Aturkan supaya anda dapat bersarapan. Kadang-kadang penganjur ada menyediakan sarapan. Yang penting, pastikan anda ada bekalan bahan bakar buat bekalan untuk kayuhan nanti.
Ketibaan
Bila sampai ke tempat jamboree, patuhi papan tanda dan arahan marshal dan petugas. Parkir kereta molek-molek. Jangan parkir sebarang sehingga terjejas laluan orang lain dan penduduk setempat.
Bagi yang belum mengambil goodie, segera berbuat demikian. Pasang nombor plet anda. Periksa jika penganjur memerlukan anda untuk "check-in". Jika ya, pastikan anda check-in. Biasanya, satu sticker diberikan tanda telah check-in.
Bilangan peserta jamboree yang mencecah ribuan orang sudah menjadi perkara biasa. Oleh kerana tiada saringan kelayakan kedudukan peserta dalam kawasan menunggu bergantung kepada "siapa cepat dia dapat". Kalau mahu kedudukan pole position, sila datang awal. Hindarkan daripada cuba mengasak ke hadapan kalau datang lambat. Hodoh perlakuan begitu!
Taklimat
Sebelum berlepas, biasanya penganjur akan memberikan taklimat berupa beberapa peringatan dan makluman-makluman terkini. Sila beri perhatian terutama jika ada perubahan pada laluan. Ini biasa berlaku disebabkan faktor cuaca dan sebagainya. Rujuk para di atas untuk perincian.
Berlepas!!!
Dan masa yang ditunggupun tiba. Berlepas! Kayuhlah!!! Apa tunggu lagi??? Sambil berkayuh, elok juga diperhatikan adab-adab yang perlu diamalkan dan dipatuhi ketika di dalam denai. Ini sesuatu yang masih lagi tampak kurang di kalangan pengayuh kita. Jadi tolong baca, fahamkan dan amalkan untuk kebaikan dan keselesaan semua.
Adab dalam trail
Bagaimana ribuan manusia dengan basikal masing-masing boleh mengharung laluan jamboree yang sempit? Yang membezakan manusia dengan haiwan ialah ADAB. Sayugia diingat, dalam ribuan peserta jamboree, terdapat berbagai peringkat kecerdasan dan kemahiran. Sering juga diperhatikan, ada di antara peserta yang BELUM bersedia untuk ikut kayuhan jamboree. Kemahiran asas dan persediaan jasmani belum mencukupi. Untuk sahabat yang begini, saya nasihatkan bersabar dulu. Biar cukup ilmu asas dan kaki cukup cerdas sebelum berhajat menyertai jamboree. Maaf kalau pedas, tapi ini teguran ikhlas. Atau setidaknyapun ambil tahu adab bila berada di dalam kayuhan.
- Walau jamboree tidak bertumpu kepada perlumbaan, tidak bermakna anda tidak boleh laju. Anda boleh memotong. Seperti peraturan memandu, untuk memotong anda perlu beri isyarat dan memotong bila laluan mengizinkan. Sama juga bila berbasikal. Berikan isyarat bila hendak memotong. Tujuannya supaya orang yang hendak dipotong maklum dan tidak terperanjat bila dipotong. Maklum basikal ni kenderaan jenis "bisu" tanpa bunyi. Maklumkan secara lisan "Potong di kanan". Biasanya ramai yang cakap orang putih "Rider right". Suka hatilah nak cakap bahasa apa asalkan orang yang hendak dipotong faham.
- Walaupun jamboree ini lebih bersifat riadah dan santai, semasa berkayuh, hindarkan dari berkayuh beriringan. Merbahaya kalau di jalan tar yang banyak kenderaan melainkan kalau yakin pasti sepenuh hati yang jalan memang tidak ada kenderaan bermotor lalu-lalang, buatlah... Tabiat kayuh bersaing sambil bersembang ala Cik Kiah ini boleh menyusahkan terutama apabila di laluan sempit. Simpan-simpan la dulu sembang tu sampai kat check point atau waterpoint.
- Laluan jamboree biasalah kalau berbagai kecerunan dan tahap teknikalnya. Upaya pengayuh juga berbeza. Kalau anda tidak upaya mengayuh mendaki bukit, jangan ingat semua pengayuh lain serupa. Maka anda dengan senang hati menolak di bahagian tengah jalan. Bila menurun juga begitu. Perhatikan semasa anda menolak, adakah ada pengayuh di belakang yang masih upaya mengayuh. BERI LALUAN! Itu adab yang sepatutnya. Tidak perlu mencebik sambil mengeluarkan kata "Ellleh...macam la terer sangat" dari mulut yang tidak bertapis. Walau penganjur seringkali mengingatkan peserta supaya menolak basikal pada laluan sukar, masih ramai yang enggan dan tidak mempedulikan. Jadi, tolong ambil perhatian. Menolak di laluan sukar supaya line kayuhan terbuka untuk mereka yang masih upaya mengayuh.
- Jika terpaksa berhenti semasa mengayuh, elakkan daripada berhenti di tengah laluan terutama pada laluan singletrack. Usahakan untuk ke tepi sedapat mungkin. Saya pernah terpaksa membrek mengejut sebab pengayuh di hadapan berhenti di tengah-tengah laluan, sedangkan bahagian sisi masih luas. Berhentinya pula sekadar untuk menurunkan saddle. Satu masalah biasa ialah pada tempat check-point atau water point. Pengayuh berhenti sewenang hingga menutup laluan. Perhatikan dan pastikan tempat anda berhenti supaya anda tidak menghalang jalan. Jadi, ingatlah...mudahkan urusan orang lain, semoga urusan anda juga akan dipermudahkan.
- Untuk pengayuh-pengayuh handalan pula, beradablah bila meminta laluan. Kita tahu anda kuat. Tidak perlu riak dan bongkak. Sentiasa perhatikan keadaan pengayuh di hadapan dan siap siaga untuk sebarang kemungkinan. Jika perlu memotong atau minta laluan, buatlah dengan adab sopan. Tapi...tidak perlulah sampai turun dari basikal dan berjalan sambil membongkok dengan tangan diluruskan ke bawah sambil berkata "Tumpang lalu...tumpang lalu.". Sopan sangatlah pulakkkkk.
- Dalam acara yang ramai peserta begini, saling bantu-membantulah. Bila berdepan laluan berhalangan, lubang, lopak dan seumpama, laung supaya mereka yang di belakang maklum dan bersedia untuk tindakan-tindakan keselamatan. Sedikit laungan anda mungkin boleh menyelamatkan kawan-kawan pengayuh daripada terhumban dan kemalangan. Sesuatu yang biasa dalam jamboree ialah berhadapan dengan halangan yang memerlukan basikal dipikul. Halangan seperti longkang/carok yang dalam, cerun yang curam akan lebih mudah diatasi sekiranya pengayuh berpakat dan bekerjasama. Kerja melepasi halangan lebih mudah jika rantaian manusia dibentuk untuk mengangkut basikal melepasi halangan berbanding dengan usaha berseorangan terhegeh dan terkial untuk melepasi halangan.
- Antara sebab kita ber MTB ialah kerana hubungannya dengan alam. Denai-denai, rimba belantara, bukit-bukau, sungai, jeram dan air terjun yang semulajadi dan indah menjadi juadah penenang jiwa. Sebagai pengayuh, itu semua dihargai dan dihormati. Perlu ada tanggungjawab untuk bersama memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar. Amat jelik kalau pengayuh MTB, ketika menyertai jamboree bersikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Tolonglah...botol air anda yang sudah kosong bukan untuk dihumban atau dibiar bersepah di tepi denai atau di dalam hutan. Penyekkan dan bawa keluar kemudian buanglah di tempat yang sepatutnya. Tiub bocor anda bukan untuk digantung pada pokok-pokok untuk dihadiahkan pada beruk kera monyet. Depapun tak hinginkan tiub yang sudah bocor. Bawalah balik dan buanglah ditempat buangan yang bersesuaian. Pembungkus makanan anda - snek, power gel dan seumpama - bukanlah berat manapun. Janganlah disepah dan dibuang sewenangnya. Plastik yang tanpa berat itu tidak membebankan kalau dibawa keluar dan dibuang dengan cara yang wajar...
Tolonglah sekali lagi... anda lebih hensem dari beruk kera monyet di dalam hutan. Anda akan lebih hensem lagi kalau anda bersama membantu memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar...
Itulah sedikit sebanyak adab di dalam trail yang dapat saya kongsikan. Senarainya mungkin panjang lagi. Gunakan akal dan pertimbangan yang wajar dalam menangani situasi. Maklum, bila dah penat dan oksigen kurang sampai ke otak, kadang kita mudah hilang pertimbangan.
Kayuh dan terus kayuh!
Kayuh dan terus kayuh hingga sampai ke garisan penamat atau terpaksa akur untuk mengikut laluan AYAM atau naik lori AYAM. Mengalah bukan kalah. Anda harus bersikap wajar dan adil kepada diri sendiri.
TAMMAT
Satu nikmat dan lega yang amat bila berjaya melintasi garisan penamat. Terasa semua penat jerih berbayar sudah. Peluh dan keringat yang tumpah jadi saksi!
Biasanya ketibaan anda akan disambut di garisan penamat. Ikut nasib la...Kadang ada gadis manis mengalungkan medal di tengkuk anda. Kadang ada Makcik Kiah, kadang ada abang misai. Tak kisahlah tu...
Biasanya penganjur menyediakan makanan. Sama ada siap berbungkus atau hidangan secara buffet. Anda letih dan lapar. Makanlah, anada berhak. Cuma jangan ceduk dan senduk semahu nafsu. Ingat juga bahagian orang lain.
Barang diingat yang makanan disediakan untuk peserta. Tidak termasuk suami/isteri anak beranak sanak saudara yang ikut serta ke jamboree tapi bukan peserta. Mereka tidak berhak untuk ikut menjamah jamuan yang disediakan. Jangan ambil barang yang bukan hak dan menafikan pula hak orang lain.
Antara tarikan acara jamboree ini ialah cabutan bertuah. Barangan agak lumayan. Daripada peralatan berkayuh, aksesori basikal, alat gantian hinggalah ke basikal lengkap. Siap sedia dengan nombor plet anda. Nombor anda boleh dipanggil bila-bila masa. Semoga anda bertuah.
Tamat acara cabutan bertuah, tamatlah sudah satu jamboree. Akan tercatat dan terpahat berbagai kisah dan pengalaman suka duka. Jumpa lagi di lain jamboree.
PASCA JAMBOREE
Rumah siap pahat berbunyi. Sudah jadi resam biasa. Sementelah ada perantara elektronik canggih-manggih dunia moden ini, lebih mudah untuk melontar rasa, menghimbau bicara. Laman web, chat box dan blog akan bercerita perihal jamboree yang baru berlalu.
Bermacam komen tersiar tersebar. Yang kata bagus, yang merungut tak bagus bercampur baur. Maklumbalas perlu untuk memberitahu kepada penganjur tahap penganjuran mereka. Berikan komen jujur. Dan berpada dalam memberi komen. Tidak perlu maki hamun sampai benda-benda di dalam kain disebut. Bersikap objektif bila memberikan komen. Hindarkan dari memberikan komen seperti "Penganjur macam t**i. Tau nak untung saja". Komen sedemikian tidak memberikan apa-apa faedah melainkan sekadar melampiaskan angin marah sahaja. Sebaliknya nyatakan, misalnya "Tandaan kurang jelas". "Bekalan air tidak mencukupi". "Goodie beg tidak lengkap". "T-shirt/jersi tidak bermutu. Sekali pakai sudah luntur warna".
Dan suka saya mencadangkan, kiranya ada kesempatan, cuba anda sendiri menjadi penganjur. Kalau tidak penganjurpun, cuba ikut jadi petugas semasa jamboree. Cuba untuk berada di sebelah sana sekali sekala supaya anda boleh merasa sendiri dan lebih memahami bagaimana rasanya berada di sebelah sana.
Sekian, nukilan untuk kali ini. Semoga bermanfaat untuk semua dan menjadi panduan berguna. Sebarang komen dan teguran dialukan.