Untuk
pengayuh-pengayuh Gombak, jika ada masa 1 jam untuk kayuhan, ke mana
anda nak berkayuh? Mari jadikan 1 jam itu 1 jam yang gemilang.
Bagaimana? Berkayuh ke Desa Gemilang. Di mana tu? Desa Gemilang ialah
satu taman perumahan di
Kampung Sungai Pusu, Gombak. Terletak pada ketinggian 180m.
Laluan yang saya ambil ialah Taman Melewar - Greenwood - Simpang Tiga - Sg Pusu.
Saya suka laluan ini kerana beberapa sebab:-
- Jaraknya yang ideal untuk kayuhan masa terhad. 10km sehala dengan kayuhan sederhana laju sekitar 17km/j - 20km/j, memberikan jumlah jarak 20km pergi balik dari Taman Melewar - Desa Gemilang - Taman Melewar.
- Rupabumi yang beralun sederhana curam jarak pendek. Anda tidak bosan dengan kelandaian dan tidak pula terlalu terdera dengan pendakian yang curam dan jauh.
- Trafik rendah. Laluan ini termasuk kategori laluan kampung. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Rasa lebih selamat berkayuh di sini.
- Suasana sekelilingnya yang nyaman. Bermula daripada pintu utama UIAM, kawasan dikelilingi kehijauan. Segar pada mata memandang dan segar pada hidung dan paru-paru yang menyedut udara kurang tercemar.
- Cabaran pendakian Sg Pusu dan Desa Gemilang. Menghampiri Kampung
Sungai Pusu, laluan mula mendaki dengan pendakian mencabar. Cabaran
akhir datang dalam bentuk pendakian curam dan panjang menuju puncak
Taman Desa Gemilang. Dan satu
nikmat bila sampai di puncak bila dapat melihat pemandangan damai dan
hening. Banjaran Titiwangsa berbalam dari kejauhan. Ditokok pula
dengan suasana lembayung jingga mentari mula terbenam di ufuk barat.
Sungguh mententeramkan jiwa.
Cerun Selamat Datang. Sg Pusu mengalukan kedatangan anda. - Agak memeranjatkan bila didapati yang laluan itu diterangi lampu sepanjang jalan. Sangkaan awal laluan itu gelap gelemat rupanya meleset. Laluan terang sesuai untuk kayuhan malam. Cuma kayuh berseorangan tidak disarankan. Kalau hendak berkayuh, pergilah sekurangnya berdua.
No comments:
Post a Comment