Friday, June 22, 2012

Jamboree Sudah Maree - Bah 2

Ini adalah Bahagian 2 dalam siri Jamboree Sudah Maree.  Satu usaha kecil untuk menerangkan perihal jamboree kepada pengayuh-pengayuh MTB.  Apa yang ternukil adalah pendapat dan pandangan peribadi Penulis.  Mungkin betul, mungkin salah.  Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. 


Bahagian 1 telah menyentuh tentang pengenalan kepada jamboree MTB.  Juga disorot sedikit panduan memilih jamboree yang mana satu untuk disertai.  Rujuk Jamboree Sudah Maree untuk artikel penuh.  Untuk bahagian 2, kita tengok pula tindakan perlu untuk menyertai jamboree.

Setelah mengambil kira faktor-faktor yang disebutkan dan mendapati yang jamboree boleh disertai, tindakan-tindakan berikut perlu diambil;
  • Mendaftar sama ada secara individu atau berkumpulan
  • Uruskan cuti (jika perlu)
  • Uruskan penginapan (jika perlu)
  • Persiapan diri
  • Persiapan basikal
  • Aktifkan radar - pasang mata dan telinga

MENDAFTAR UNTUK JAMBOREE


Biasanya penganjur akan menyediakan dua kaedah pendaftaran iaitu secara individu atau berkumpulan.  Dan dalam zaman siber ini, semua urusan dijalankan secara dalam talian (on line).  Pendaftaran boleh dilakukan di depan komputer sahaja. Pastikan pendaftaran dibuat sebelum tarikh tutup. Kalau tidak...meloponglah anda.

Pendaftaran Secara Individu


Lazimnya, walau tidak semestinya, penganjur akan menyediakan 2 kaedah pendaftaran iaitu:-

  • Borang elektronik dalam talian
  • Borang untuk muat turun

Sebelum kita ke perincian borang, elok kita sentuh dulu bab pembayaran kerana biasanya di dalam borang, sama ada elektronik atau muat turun, memerlukan maklumat pembayaran.

Bayaran boleh dibuat secara perbankan internet atau melalui mesin tunai. Tak perlulah saya perincikan cara-caranya. Diandaikan semua sudah biasa dengan perbankan internet atau perbankan elektronik. Yang perlu disebut di sini ialah peri pentingnya mencetak slip pembayaran sebagai bukti. Jangan lupa!

Untuk borang elektronik, anda hanya perlu mengisi butir-butir yang dipaparkan pada skrin. Lengkapkan maklumat seperti yang dikehendaki. Semak dan pastikan maklumat yang diberikan adalah betul terutama nama dan nombor telefon untuk dihubungi ketika kecemasan.

Pada akhir bahagian borang lazimnya ada butang pengesahan yang didahului dengan perakuan dan pernyataan penafian yang lazimnya menyebut lebih kurang "...penganjur tidak akan bertanggungjawab di atas keselamatan anda". Dengan menekan butang terima/atau setuju bermakna anda setuju dengan syarat dan peraturan penganjur.

Untuk borang muat turun, biasanya dalam bentuk dokumen "word processor" atau bentuk .pdf. Anda perlu muat turun, cetak dan isi butiran yang diperlukan. Lengkapkan butir seperti yang dikehendaki. Dalam borang juga dimasukkan perenggan perakuan dan pernyataan penafian. Tandatangan jika setuju.

Untuk mereka yang di bawah umur 18 tahun, tandatangan kebenaran ibubapa diperlukan.

Borang yang telah siap diisi bolehlah difakskan kepada penganjur kepada nombor faks yang diberikan. Sertakan sekali slip pembayaran. Ataupun, borang berserta slip pembayaran boleh discan. Kemudian dihantar kepada penganjur melalui e-mel.

Gunakan mana-mana kaedah yang anda rasa selesa. Pastikan anda membuat susulan dengan penganjur untuk memastikan pendaftaran anda telah diterima.

Pendaftaran Secara Berkumpulan


Pendaftaran juga boleh dibuat secara pukal berkumpulan. Biasanya dibuat atas nama persatuan atau kelab basikal. Aliran prosesnya sama seperti aliran proses pendaftaran individu.

Seorang wakil akan memikul amanah membuat pendaftaran. Yuran pendaftaran dikutip daripada ahli kelab/persatuan yang ingin menyertai. Jadi tolong jangan buat naya pada sipemikul amanah dengan gerakan taktikal "Engkau bayarkan dululah, nanti aku cover". Jenuhlah sipemikul amanah tu nanti.

Pembayaran boleh dibuat melalui mesin atau perbankan elektronik sama seperti di atas. Perbezaan yang ketara ialah pada butiran peserta di mana senarai butiran peserta yang akan diberikan kepada penganjur sebagai gantian kepada borang individu. Hal-hal lain sama seperti pendaftaran individu.

Setelah selesai urusan pendaftaran, simpan semua borang dan slip pembayaran baik-baik. Amat berguna sebagai rujukan dan bukti sekiranya berlaku pertikaian.


URUSKAN CUTI


Kalau anda jenis yang lebih suka cuti kecemasan (EL), tidak perlu bersusah payah membaca tajuk ini. Cuma, suka diingatkan yang tabiat mengambil cuti kecemasan ini tidak berapa digemari oleh boss. Lainlah kalau anda boss.

Cuti hari apa yang nak diambil? Biasanya sehari sebelum acara, sehari selepas acara atau sehari sebelum dan selepas acara. Bergantung kepada keadaan.

Sebagai contoh, katakan jamboree dibuat pada hari Sabtu. Tempat jamboree pula nun jauh di utara dalam jarak 300km. Hari Jumaat adalah hari bekerja. Anda perlu berada di tempat permulaan jam 7.00 pagi. Bagi yang jenis suka memandu kereta macam F1 mungkin boleh merempit selepas kerja dan sampai ke destinasi dengan lebihan masa. Bagi yang tidak suka tergopoh gapah, mungkin mahukan perjalanan yang lebih tenang. Maka, cuti pada hari Jumaat disarankan. Mohonlah cuti lebih awal supaya memudahkan diri anda, rakan sekerja dan boss anda.

Untuk contoh kedua, katakan jamboree pada hari Ahad. Tempatnya pula nun di Plentong. Untuk perjalanan pergi tiada masalah kerana hari Sabtu adalah hari cuti. Tetapi, untuk perjalanan balik, dengan penat letih jamboree lagi, lebih baik kalau diambil cuti pada hari Isnin. Perjalanan pulang anda tidak perlu tergopoh gapah. Dan anda ada satu hari rehat untuk pemulihan selepas berhempas pulas di jamboree.


URUSKAN PENGINAPAN


Untuk jamboree yang memerlukan anda untuk bermalam disebabkan jarak yang jauh, penginapan adalah satu perkara penting. Penginapan untuk berehat secukupnya sebelum berjamboree.

Biasanya penganjur akan memberikan sedikit panduan tentang penginapan berserta maklumat hubungan tempat-tempat penginapan yang berdekatan dengan tempat jamboree. Elok dibuat tempahan awal bagi memastikan tempat kerana biasanya tempat penginapan cepat habis ditempah menjelang jamboree.

Pilihlah tempat dan jenis penginapan yang sesuai. Antara pilihan yang ada...

Hotel
Jenis yang paling biasa. Pilihlah hotel berapa bintang dan bulan yang anda mahu sesuai dengan kembung kempisnya kocek anda. Tanyakan sama ada basikal dibenarkan dibawa ke dalam bilik hotel. Maklum barang baik lagi mahal, mana boleh dibiarkan tak berjaga rapi.

Inap desa (homestay)
Jenis penginapan yang semakin masyhur. Sangat sesuai untuk kumpulan besar dan tempoh masa yang singkat. Juga biasanya lebih mesra kocek.

Rumah saudara, kawan dan kenalan yang berdekatan.
Bila lagi nak manfaatkan peluang berziarah mengeratkan silaturrahim. Sambil berjamboree, boleh manfaatkan untuk menziarahi saudara mara handai taulan. Seeloknya maklumkan dulu tuan rumah dan dapatkan keizinannya. Jangan main terjah saja. Saya pernah diberi penghormatan oleh seorang kenalan basikal yang dikenali melalui BBS untuk bermalam di rumah beliau selepas Jamboree Burung Hantu tahun 2011. Saya dan kawan sangat berterima kasih di atas budi baik dan kemurahan hati Bugs.

Masjid/surau
Bagi yang muslim, masjid atau surau boleh dijadikan tempat menumpang. Cuma mungkin sesetengah masjid/surau dikunci bagi mengelak masalah kecurian. Dan, jika mahu menumpang di masjid/surau elok kalau dapat memaklumkan dan mendapatkan keizinan AJK masjid/surau. Juga, ingatlah yang masjid surau itu tempat suci dan mulia. Peliharalah adab dan susila jika mahu bermalam atau memasuki kawasan masjid. Ada beberapa insiden yang saya pernah lihat sendiri di mana pengayuh dengan selamba berkeliaran di dalam kawasan masjid dalam keadaan aurat tidak ditutup dengan sempurna.

Berkhemah
Ini untuk pengayuh yang membara semangat kembaranya. Tebar saja khemah di mana yang sesuai. Pastikan berhampiran dengan punca air dan bilik air. Kena bersusah payahlah sedikit untuk mengusung khemah.


PERSIAPAN DIRI


Pergi ke jamboree bukan macam pergi berkelah. Piawai biasa jarak jamboree ialah sekitar 40km ke 50km. Elok siapkan diri untuk mengharungnya.

Kalau anda belum pernah berkayuh sejauh itu, eloklah mencuba. Bina upaya dan ketahanan diri untuk mengharungi jarak sedemikian. Jamboree ini kalau dapat dihabiskan, akan terasa satu kepuasan yang amat sangat. Sebaliknya, kalau terpaksa menjadi ayam, rasa terkilannya menjeruk berhari-hari. Jadi, sediakan dan biasakan diri anda dengan jarak yang bakal ditempuh.

Laluan untuk jamboree bukannya laluan permaidani merah ke majlis gala. Perhatikan maklumat laluan yang diberikan oleh penganjur. Biasanya akan ada pendakian curam dan panjang. Bila ada pendakian, pasangannya pula laluan meluru turun. Ada yang bertahap biasa dan ada yang bersifat teknikal. Selalu sangat bertembung dengan suasana menolak basikal beramai-ramai dengan gaya lenggang mak limah nak pergi pasar. Sayang sekali pada sesetangah tempat yang ditolak itu sepatutnya boleh dikayuh.

Tolonglah diri anda untuk menikmati jamboree dengan lebih berperisa dengan meningkatkan kemahiran anda. Luanglah sedikit masa untuk belajar, berlatih bagi meningkatkan kemahiran diri. Mulai sekarang, peruntukkan sedikit masa apabila keluar berkayuh untuk menajamkan kemahiran teknikal. Belajar membelok dengan teknik yang betul. Belajar menjadikan brek depan (yang dituduh berhantu dan berpuaka itu) sebagai sahabat anda yang sangat berguna. Belajar teknik menuruni cerun dan teres. Cuba...cuba...dan cuba. Hah! Apa tunggu lagi. Untuk kayuhan terdekat ini, amalkan! Biar orang lain pelik melihat anda mencuba sesuatu bahagian denai berulangkali. Sekali anda berjaya menawan sesuatu bahagian denai yang anda geruni, percayalah...Rasa yakin diri anda akan bertambah kepuasan mengayuh anda akan mencanak naik. Pokoknya, bukan kena peluk pokok, tapi anda harus mahu belajar dan mencuba. Boleh tak ni?

PERSIAPAN BASIKAL


Kuda kesayangan anda juga perlu dipersiapkan. Mana-mana bahagian yang longgar dikemaskan. Biasanya pada bahagian set kepala, braket bawah dan hub. Periksa untuk kelancaran. Bahagian yang mempunyai alas bebola diperiksa. Kalau perlu diminyakkan, minyakkan. Bunga tayar mencukupi. Pad brek mempunyai cukup ketebalan. Pertukaran gear diperiksa. Kalau lari dan melompat, perlu ditalakan semula. Itu antara perkara yang perlu diberi perhatian. Selenggaraan dan persediaan ini membantu mengurangkan pincang tugas dan kerosakan sewaktu berjamboree. Jagalah dan persiapkan basikal anda dan ia akan kembali menjaga anda.


AKTIFKAN RADAR - pasang mata dan telinga


Apa pulak sampai terkeluar radar ni? Pada basikal ada roda. Radar tak pernah pula nampak. Ini bercakap secara maknawiyah, bukan harfiah. Maksudnya di sini, ikuti perkembangan jamboree. Mungkin ada kemaskini atau makluman penting daripda penganjur. Rajin-rajin menyemak laman web atau blog penganjur untuk perkembangan mutakhir. Ini akan menghindarkan anda dari terjebak dengan sebarang kejutan. Mungkin ada perubahan pada laluan, perubahan pada maklumat logistik, perubahan tempat permulaan dan seumpama. Dengan aktif radar, anda akan sentiasa maklum dengan perkembangan terkini dan terselamat daripada kejutan tak memasal.


Checkpoint 2 untuk Jamboree Sudah Maree sampai di sini. Diharapkan apa yang dibebelkan di sini sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan terutama kepada mereka yang baru pertam kali mahu menyertai jamboree.


Selamat berjamboree!!!.

Untuk kembali ke bahagian 1, klik sini
Untuk maju ke bahagian akhir, klik sini

3 comments:

Anonymous said...

terbaik

akmalhizam said...

Lengkap.
Plentong pun ada tu...
:D

BC Kelolo said...

Nama Plentong sengaja dipilih...Ada hasrat terpendam tak kesampaian lagi untuk mencecahkan tayar-tayar ke bumi Plentong..