Monday, November 28, 2011

Kembali Melantun Semula!

 Fork Magura Rond 2 Stroke ini sudah sekian lama terbarai dan terperok.  Tinggalan seorang kenalan setelah minyak meleleh keluar melalui celahan pengedapnya.  Sudah tersadai hampir 2 tahun.  Tiada yang istimewanya pada fork ini.  Hanya fork biasa ampaian spring dengan pelaras pra-beban.  Tiada kawalan canggih seperti pengunci, pelaras lantunan atau pelaras mampatan.


Usianya yang mencecah 10 tahun menjadikannya istimewa.  Warisan teknologi Jerman daripada Magura terasa sayang untuk dibiarkan begitu saja.  Aku tak pandai langsung bab-bab fork ni.  Tapi, alang-alang benda dah rosak, kalau aku rosakkan teruspun tidak menjadi hal.

Jenuh la jugak meng"Google" mencari rujukan.  Tak banyak rujukan yang didapati.  Mungkin sebab barang model lama.  Lama sangat.  Aku agak-agak saja berdasarkan dokumen .pdf yang didapati daripada beberapa website.

Tak banyakpun yang aku buat untuk fork ini.  Pertama, aku londehkan bahagian kaki fork.  Kerja mudah hanya dengan membuka bolt pengikat pada setiap kaki.  Bila kaki sudah ditanggalkan, minyak dikeluarkan.

Kedua, menanggalkan pengedap.  2 pengedap habuk dan dua pengedap minyak.  Pengedap minyak dikunci pada tempatnya dengan klip pengunci.  Juga kerja mudah.

Kerja membongkar aku terhenti setakat itu sahaja.  Aku tak berjaya meleraikan komponen dalam stanchion.  Segala spring dan bushing di dalam tidak berjaya dikeluarkan.  Selepas beberapa lama mencuba, aku menyerah kalah.  Biarkanlah saja spring dan bushing di dalam tu tak berusik.

Kemudian datang bahagian yang payah.  Payah sungguh nak mencari pengedap gantian.  Jenuh aku berkawad ke beberapa kedai alat ganti yang kononnya ada menjual bermacam jenis pengedap.  Semua hampa.

Akhirnya, seorang kawan, Riza, memberikan pautan ke Enduroforkseals.  Sebab sudah buntu, aku celapak ke situ dan terus memesan set pengedap untuk fork Magura stanchion 30mm.  Servis cepat dan bagus.  4 hari selepas pembayaran, barang sudah sampai ke rumah.  Kos semuanya hampir RM120.  Selesai satu perkara.

Kerenah seterusnya ialah mencari minyak fork yang sesuai.  Ikut pada manual, perlu guna minyak fork SAE30 50ml kaki kiri dan 145ml kaki kanan.  Sekali lagi aku berkawad mencari minyak pulak.  Tak berjumpa.  Yang aku jumpa ialah minyak fork jenama Revoil di sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Sentul.  Fikir punya fikir, hantam sajalah.  Harga sebotol minyak 150ml ialah RM5 sahaja.  Aku henjut 2 botol.

Bahan sudah cukup (walaupun tak sempurna), maka kerja pemasangan balik dimulakan.  Pengedap minyak disumbat ke kedudukannya.  Kelip dipasang.  Kemudian pengedap habuk dimasukkan.  Bahagian stanchion dimasukkan.  Masuk 3/4 jalan sahaja.  Fork diterbalikkan atas ke bawah.  Minyak dimasukkan seperti disarankan.  Setelah selesai semua itu, bolt pengunci stanchion dipasang dan dikemaskan.  Siaplah kerja-kerja senggaraan dan baik pulih fork ini.

Sekarang tergantung megah di dinding.  Belum ada kerangka yang sesuai untuk dipadankan dengan fork ini.  Dalam kepala sudah terbayang satu single speed...Boleh kot???   




5 comments:

kookabooras said...

walaupun dah 10 tahun tapi masih cantek. Magura - brand yg x payah nak cerita.

akmalhizam said...

80mm?

akmalhizam said...

80mm?

Azizan Zolkipli said...

tahniah kerana berjaya membaiki sendiri ! Magura jenama bagus, cuma kita kat sini aje yang selalu dipropagandakan oleh jenama 'Musang' hehehe ...

BC Kelolo said...

Anak jantan dok jeling-jeling Magura nih. Lepas tu dok compare-compare dengan Suntour XCR dia..."Magura ni lagi ringan kan ayah". Senyum...Ayahpun pasanglah Magura tu kat beskal dia...Tangguh lagi la projek single ayah.